Author: Bernama

  • Lelaki tunggang motosikal lawan arus di Lebuh Raya SUKE dikenal pasti

    Lelaki tunggang motosikal lawan arus di Lebuh Raya SUKE dikenal pasti

    POLIS telah mengenal pasti individu yang menunggang motosikal melawan arus di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada Rabu lepas yang menyebabkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata lelaki tempatan berumur 41 tahun yang bekerja sebagai peniaga makanan itu telah tampil membuat laporan polis mengenai kemalangan berkenaan di Balai Trafik Kajang, semalam.

    “Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang tapi telah tersesat dan buat keputusan untuk memasuki jejambat Lebuhraya SUKE dengan melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan berkenaan.

    “Akibat kemalangan, suspek juga terjatuh dari motosikalnya dan mengalami kecederaan patah di bahagian bahu kanan, patah jari kelingking, luka di bahu kiri dan kaki kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata suspek bertindak pulang ke rumah selepas insiden itu dan hanya mengetahui kes (kemalangan maut) berlaku setelah menonton berita di televisyen dan hebahan menerusi media sosial.

    Mohd Azam berkata untuk tujuan siasatan, pihak polis telah merampas motosikal jenis Yamaha miliknya dan beberapa barangan lain serta merakam percakapan suspek serta lima individu lain.

    “Bagaimanapun suspek tidak ditahan kerana masih lemah akibat kecederaannya,” katanya.

    Mohd Azam berkata kedua-dua motosikal terlibat dalam kemalangan berkenaan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.

    Dalam kejadian tengah hari Rabu lepas, mangsa Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, meninggal dunia selepas terjatuh dari jejambat Lebuhraya SUKE dengan ketinggian 30 meter akibat mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang melawan arus.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kematian. 

  • Shahidan tarik diri tanding Presiden DPMM

    Shahidan tarik diri tanding Presiden DPMM

    AHLI Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar) menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) pada pemilihan persatuan itu yang dijadualkan hari ini.

    Bekas Menteri Besar Perlis itu berkata keputusan berkenaan dibuat demi menjaga perpaduan dalam kalangan ahli persatuan itu.

    “Demi perpaduan dan keharmonian dan juga masa depan DPMM yang lebih cemerlang, maka dengan ini saya menarik diri daripada bertanding dan saya berdoa semoga kawan-kawan yang akan memegang jawatan nanti membuat yang terbaik demi masa depan DPMM,” katanya kepada pemberita sebelum mesyuarat agung persatuan itu, di Kuala Lumpur hari ini.

    Shahidan yang juga Presiden DPMM Perlis berkata beliau akan memberikan sokongan dan bersedia untuk membantu kepimpinan DPMM pusat dari semasa ke semasa.

    Sementara itu, mengulas mengenai sama ada dirinya akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan, Shahidan berkata keputusan mengenainya terletak pada pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN)

  • MB: Terengganu belum putuskan tarikh bubar DUN

    MB: Terengganu belum putuskan tarikh bubar DUN

    TARIKH pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) belum diputuskan, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Bagaimanapun beliau berkata tarikh-tarikh tertentu berkenaan perkara itu sudah difikirkan, namun ia perlu dipersembahkan kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dahulu untuk diperkenan baginda.

    “Bila untuk saya menghadap Tuanku Sultan pun belum tahu lagi. Saya belum hantar permohonan untuk menghadap Tuanku Sultan berhubung perkara itu.

    “Cuma gambaran awal itu sudah ada, biar saya maklumkan kepada Tuanku Sultan dahulu kemudian saya akan umumkan. Kita masih ada masa hingga 30 Jun (terbubar secara automatik),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) kawasan Marang, malam tadi.

    Selain Terengganu, Kerajaan Negeri Kedah dan Selangor juga masih belum mengumumkan tarikh pembubaran DUN masing-masing, manakala DUN Kelantan dilaporkan akan dibubarkan pada 22 Jun, Pulau Pinang (28 Jun), dan Negeri Sembilan (30 Jun).

    Sementara itu, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang turut hadir pada majlis itu berkata Majlis Presiden PN akan bersidang pada Rabu bagi menoktahkan perbincangan agihan kerusi parti dalam gabungan itu untuk berdepan PRN akan datang.

    Beliau berkata ketika ini, hanya berbaki beberapa kerusi lagi yang belum selesai, mengambil kira kesesuaian parti-parti komponen PN untuk bertanding di sesuatu kawasan.

  • Remaja hilang ditemukan lemas di Air Terjun Chamang

    Remaja hilang ditemukan lemas di Air Terjun Chamang

    REMAJA lelaki yang dilaporkan hilang semasa mandi di Air Terjun Chamang, Bentong semalam ditemukan lemas hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata mayat Muhamad Akmal Husni Mohamad Ridzuan, 19, ditemukan pada 9.52 pagi oleh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

    “Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di Kuantan hari ini.

    Media semalam melaporkan mangsa yang merupakan pelajar pondok di Perak difahamkan menyertai aktiviti perkhemahan di kawasan air terjun itu bersama 14 pelajar selama empat hari bermula Rabu.

  • Rakaman CCTV kemalangan maut di SUKE dihantar ke makmal forensik

    Rakaman CCTV kemalangan maut di SUKE dihantar ke makmal forensik

    RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada Rabu, telah diteliti dan dihantar ke makmal forensik untuk dianalisis.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata setakat ini, tiada tangkapan dilakukan pihaknya berhubung kes itu.

    “Bedah siasat terhadap mangsa telah selesai dijalankan di Hospital Ampang semalam dan sebab kematian ialah kecederaan yang pelbagai akibat kemalangan jalan raya. Jenazah mangsa telah diserahkan kepada waris, pada hari yang sama selesai bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam kejadian tengah hari kelmarin, mangsa Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, meninggal dunia selepas terjatuh dari jejambat lebuh raya berkenaan dengan ketinggian 30 meter, akibat mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang melawan arus.

    Allahyarham yang menunggang motosikal jenis Ducati Panigale, maut di lokasi kejadian dan rakaman CCTV kejadian berkenaan tular menerusi media sosial sejak kelmarin.

    Mohd Azam meminta saksi kejadian, untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan di balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya Insp Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-1307 8348.

  • ‘Kumpulan Baby’ aktif samun warga emas tumpas

    ‘Kumpulan Baby’ aktif samun warga emas tumpas

    POLIS Sarawak menumpaskan sekumpulan penyamun dan peragut dikenali sebagai ‘Kumpulan Baby’ yang aktif memburu warga emas sebagai mangsa di sekitar Kuching, Padawan dan Kota Samarahan sejak tiga bulan lepas.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kumpulan yang diketuai seorang lelaki yang menggunakan nama samaran ‘Baby’ itu terdiri daripada tujuh warga tempatan dengan lingkungan umur antara 23 hingga 30 tahun.

    “Kumpulan ini terdiri daripada dua wanita serta lima lelaki dan menyasarkan warga emas yang keluar berjalan pada awal pagi dengan mengacukan senjata tajam kepada mangsa, namun tiada yang mendatangkan kecederaan,” katanya dalam sidang media mengenai tangkapan itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuching di Kuching hari ini.

    Beliau berkata, menerusi tangkapan berkenaan, polis telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 13 kes samun dan ragut, dua kes curi dalam bangunan serta satu kes curi motosikal.

    Turut dirampas, sebuah motosikal yang dilaporkan hilang serta sembilan telefon bimbit, empat kad bank dan 11 senjata tajam dengan nilai kerugian sepanjang kegiatan melibatkan kira-kira RM42,000.

    Mohd Azman berkata, siasatan lanjut masih dijalankan sekiranya terdapat ahli kumpulan lain yang belum ditahan dan meneliti kes seumpama yang menggunakan modus operandi sama.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, 380 Kanun Keseksaan dan 379A Kanun Keseksaan. Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari yang tamat esok,” katanya dan menambah suspek turut didapati positif dadah serta mempunyai rekod lampau kes dadah dan jenayah samun.

  • Dua wanita antara tiga ditahan dalam operasi di sebuah makmal proses ubat tiruan: Bukit Aman

    Dua wanita antara tiga ditahan dalam operasi di sebuah makmal proses ubat tiruan: Bukit Aman

    DUA wanita dan seorang lelaki ditahan dalam operasi ke atas sebuah makmal memproses ubat-ubatan tiruan di Taiping, Perak, Selasa lepas.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Saaduddin berkata hasil pemeriksaan menemui peralatan pemprosesan dan ubat-ubatan yang disyaki tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Semua peralatan pemprosesan dan ubat-ubatan tersebut yang dianggarkan berjumlah RM6.4 juta dirampas dan kes disiasat di bawah Peraturan 7(1)(A) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1982,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

    Operasi berkenaan dilaksanakan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) serta KKM.

    Noorsiah berkata sepanjang 2022, WCB/PSK telah melaksanakan dua serbuan dengan nilai rampasan berjumlah RM3.4 juta dan bagi tempoh 1 Jan hingga hari ini, sebanyak lapan serbuan telah dilaksanakan dengan nilai rampasan berjumlah RM12.8 juta.

    Beliau berkata PDRM khususnya JKDNKA komited membantu kementerian serta agensi kerajaan dalam menangani pelbagai isu ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat.

    “Operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa yang lain akan diteruskan dari semasa ke semasa. Penglibatan dan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat amat digalakkan agar jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya. 

  • Polis tahan tujuh lelaki warga Pakistan disyaki terlibat pemerdagangan orang

    Polis tahan tujuh lelaki warga Pakistan disyaki terlibat pemerdagangan orang

    POLIS menahan tujuh lelaki warga Pakistan kerana disyaki terlibat dalam kes pemerdagangan orang, di sebuah apartmen di Taman Pandan Perdana, Ampang, di Kuala Lumpur, Isnin lepas.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata kesemua mereka berumur antara 21 hingga 44 tahun itu ditahan pada pukul 5.30 petang oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

    Beliau berkata polis menerima laporan daripada seorang mangsa lelaki yang juga warga Pakistan berusia 23 tahun telah dipukul oleh empat lelaki senegara yang merupakan ejen yang membawanya masuk ke Malaysia untuk mencari pekerjaan.

    “Pasportnya juga telah dirampas serta mangsa dipukul dan diugut tidak dibenarkan keluar dari rumah, mangsa mengalami kecederaan sakit pada bahagian badan dan lengan serta tangan bahagian kiri.

    “Semasa tangkapan, polis turut menyelamatkan empat mangsa lelaki warga Pakistan yang lain serta merampas 22 pasport Pakistan milik mangsa, lima beg pakaian, tiga telefon bimbit, serta batang penyapu yang digunakan untuk memukul mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Azam berkata modus operandi mereka ialah melakukan tipu daya bagi warganegara asing dengan melakukan pekerjaan secara paksa.

    “Semakan rekod jenayah terhadap semua tangkapan mendapati tiada rekod ditemukan manakala ujian air kencing ke atas tangkapan pertama hingga ketujuh negatif dadah.

    “Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Isnin depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu memperdagangkan orang dengan maksud eksploitasi,” katanya.

  • Trump mengaku tak bersalah 37 pertuduhan dokumen sulit kerajaan

    Trump mengaku tak bersalah 37 pertuduhan dokumen sulit kerajaan

    BEKAS presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengaku tidak bersalah pada Selasa atas 37 pertuduhan yang difailkan oleh pendakwa raya persekutuan berkaitan dakwaan dia menyimpan dokumen sulit kerajaan selepas penggal pentadbirannya berakhir.

    Trump membuat pengakuan itu seperti yang dijangka semasa perbicaraannya di mahkamah persekutuan di Miami, Florida, menurut beberapa laporan.

    Dia dijadual menyampaikan ucapan umum pada malam Selasa dari kelab golfnya di Bedminster, New Jersey, menurut Agensi Anadolu.

    Trump dilihat duduk sambil menyilangkan tangannya sepanjang perbicaraan dan tidak bercakap melainkan berbisik kepada Todd Blanche, seorang peguam yang mewakilinya, menurut akhbar The Washington Post.

    Hakim Daerah AS Jonathan Goodman memaklumkan Trump bahawa dia akan mengarahkan bekas presiden agar tidak berinteraksi dengan mana-mana saksi kes atau defendan bersamanya Walt Nauta.

    Dalam pada itu, kekecohan tercetus semasa Trump meninggalkan kamar mahkamah, dengan penunjuk perasaan — kedua-duanya penyokong dan penentang — bergegas ke hadapan konvoi bekas presiden itu.

    Dia didakwa atas 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan, kata peguam daerah Manhattan pada petang Selasa, lapor Xinhua.

    Trump menjadi bekas presiden pertama AS yang didakwa dengan kesalahan jenayah selepas didakwa di sebuah mahkamah Florida minggu lalu. Dia berdepan pertuduhan di negeri berasingan berkaitan urusan perniagaannya di New York.

    Sebanyak 37 pertuduhan dihadapi Trump itu termasuk 31 pertuduhan sengaja menyimpan maklumat pertahanan negara, kebanyakannya berhubung kait dengan dokumen yang dirampas FBI semasa mengeledah kediaman di estet Mar-a-Lago miliknya pada 8 Ogos tahun lalu.

    Sejumlah 11 lagi pertuduhan berkaitan dengan dokumen yang diserahkan kepada penyiasat FBI oleh peguam Trump pada Jun.

    Sementara itu, Trump mengulangi dakwaan bahawa pertuduhan ke atasnya bermotifkan politik bagi menjejaskan reputasinya.

  • 2 beradik maut kereta dirempuh lori tangki

    2 beradik maut kereta dirempuh lori tangki

    DUA beradik maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh lori tangki membawa muatan petroleum berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir di Jalan Kuantan-Segamat, Kuantan malam tadi.

    Ketua Polis Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mereka yang maut ialah Siti Mazurah Zulkifli, 30, dan Siti Nur Alia Saffiyah, 18, berasal dari Felda Lepar Hilir Satu.

    “Kemalangan pada 11 malam itu dipercayai berlaku apabila lori tangki yang dalam perjalanan ke sebuah stesen minyak di Gambang hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kejadian berlaku ketika hujan itu menyebabkan kereta dipandu Nur Alia Saffiyah terperosok ke bawah lori tangki dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Zahari berkata, pemandu lori tangki berusia 31 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan ujian saringan air kencing yang dilakukan negatif.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.