Author: Bernama

  • Keputusan permohonan baharu Rosmah gugurkan Sri Ram 30 Ogos ini

    Keputusan permohonan baharu Rosmah gugurkan Sri Ram 30 Ogos ini

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 30 Ogos ini untuk memutuskan permohonan baharu Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion yang dihadapinya.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Rosmah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh serta Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Sri Ram, yang mewakili dirinya sendiri.

    Hakim itu berkata, beliau akan memberikan keputusan itu melalui e-mel.

    Sebelum itu, Shamsul yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), membantah permohonan semakan kehakiman Rosmah bagi memulakan cabaran perundangan berhubung perkara itu atas alasan ia adalah penyalahgunaan proses mahkamah.

    “Pemohon cuba campur tangan dalam prosiding jenayah dengan mengemukakan cabaran di mahkamah sivil.

    Sri Ram pula berhujah permohonan Rosmah pada Khamis adalah umpama ‘meminta mahkamah menyemak semula keputusan mahkamah lain’ selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pelantikan beliau adalah sah.

    Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu pernah memfailkan permohonan serupa di Mahkamah Tinggi Jenayah di Kuala Lumpur.

    Bagaimanapun, permohonan itu telah ditolak dan keputusan tersebut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.

    Prosiding pada hari ini, Akberdin berhujah bahawa anak guamn beliau hendaklah dibenarkan memulakan cabaran perundangan itu serta mendakwa mereka mempunyai kes yang boleh dihujah dan Rosmah juga ‘terjejas teruk’ susulan pelantikan Sri Ram sebagai pendakwa raya ad hoc dalam perbicaraan kes rasuahnya.

    Rosmah, 70, memfailkan permohonan itu pada 24 Jun lepas di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

    Menerusi permohonan terbaharunya, Rosmah memohon satu deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat) bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021, adalah tidak sah.

    Selain itu, Rosmah memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung sejak 15 Nov 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah serta batal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    Rosmah berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion bagi menyalurkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah di kawasan luar bandar Sarawak. – Bernama

  • Pengurus bank sahkan Shahrir terima cek RM1 juta daripada Najib

    Pengurus bank sahkan Shahrir terima cek RM1 juta daripada Najib

    SEORANG pengurus bank hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa Tan Sri Shahrir Ab Samad menerima sekeping cek bernilai RM1 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sembilan tahun lepas.

    Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 43, yang mengesahkan perkara itu berkata cek tersebut dikeluarkan oleh Najib sendiri atas nama bekas Pengerusi Felda berkenaan pada 27 Nov 2013 dan telah ‘clear’ pada keesokan harinya.

    Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    “Berdasarkan salinan penyata bank Datuk Seri Najib, baki wang untuk bulan November 2013 adalah berjumlah RM48,273,239.26 manakala baki yang tinggal pada 30 Nov 2013 adalah RM36,922,068.26. Pada 28 Nov 2013, terdapat pengeluaran berjumlah RM1 juta daripada akaun tersebut,” kata saksi pendakwaan ke-12 itu.

    Bagaimanapun, Uma Devi berkata akaun bank milik Najib itu, yang dibuka pada 31 Julai 2013, telah ditutup pada 9 Mac 2015 atas sebab yang tidak dinyatakan.

    “Baki dalam akaun tersebut bersama dua lagi akaun beliau yang lain ialah sebanyak RM103,361.17 telah dikeluarkan menerusi cek atas nama Ihsan Perdana Sdn Bhd,” katanya.

    Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 5 Sept ini.- BERNAMA

  • Keputusan STPM 2021 dikeluarkan 18 Ogos

    Keputusan STPM 2021 dikeluarkan 18 Ogos

    KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 akan dikeluarkan pada 18 Ogos.

    Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan calon sekolah boleh mendapatkan slip keputusan peperiksaan STPM di sekolah masing-masing bermula 12 tengah hari pada tarikh itu. 

    Calon sekolah dan calon persendirian pula boleh membuat semakan keputusan STPM 2021 menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM/Nombor kad pengenalan/AngkaGiliran dan hantar ke 15888.

    “Sistem ini akan diaktifkan mulai 11 pagi pada 18 Ogos sehingga 12 tengah hari pada 28 Ogos.

    “Selain itu, semakan boleh dibuat menerusi secara dalam talian untuk dapatkan slip keputusan penuh STPM 2021 di pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpmK mulai 12 tengah hari pada 18 Ogos,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA

  • Lebih 9,000 pasport dipohon dalam talian masih belum dituntut

    Lebih 9,000 pasport dipohon dalam talian masih belum dituntut

    LEBIH 9,000 Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) telah dicetak tetapi masih tidak dituntut oleh individu yang memohon dan memperbaharui pasport berkenaan secara dalam talian, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud. 

    Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang telah membuat permohonan PMA untuk mengambilnya dengan segera di pejabat pengeluar pasport seluruh negara bagi mengelak pasport berkenaan dibatalkan. 

    Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata rakyat Malaysia yang telah memperbaharui pasport secara dalam talian perlu menuntut segera dokumen berkenaan bagi mengelak daripada dilupuskan dalam tempoh 90 hari.

    Khairul Dzaimee dalam kenyataan sama turut memaklumkan waktu operasi baharu bagi semua pejabat pengeluar PMA dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Semenanjung Malaysia berkuat kuasa 15 Ogos ini berikutan trend statistik permohonan PMA yang semakin berkurangan pada sesi malam.

    Pejabat pengeluar PMA di semua negeri dan cawangan beroperasi bermula 8 pagi hingga 7 malam  pada hari bekerja kecuali bagi negeri Perlis, Pahang, Terengganu dan Kedah yang beroperasi mulai 8 pagi hingga 5 petang

    Sementara itu, pejabat pengeluar PMA di semua negeri dan cawangan pula beroperasi bermula 8 pagi hingga jam 12.30 tengah hari pada hari Sabtu kecuali bagi Perlis, Pahang, Terengganu dan Kedah.

    Pejabat UTC pula beroperasi dari 8 pagi hingga 9 malam pada hari bekerja kecuali bagi negeri Perlis, Pahang, Terengganu dan Kedah beroperasi dari 8 pagi hingga 5 petang.

    Semua pejabat UTC termasuk Perlis, Pahang, Terengganu dan Kedah beroperasi dari 8 pagi hingga 5 petang pada hujung minggu.

    Sebelum ini, waktu pengoperasian di enam pejabat pengeluar pasport dan kaunter Jabatan Imigresen dipanjangkan hingga 10 malam manakala enam lagi telah dilanjutkan hingga 6 petang sejak 11 Mei lepas bagi mengatasi kesulitan rakyat Malaysia dalam mendapatkan PMA.

    Enam premis yang dipanjangkan waktu operasi hingga 10 malam ialah Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, manakala Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Perlis dilanjutkan hingga 6 petang.- BERNAMA

  • Penganggur jadi tokan dadah ditahan

    Penganggur jadi tokan dadah ditahan

    POLIS menahan seorang penganggur yang dipercayai menjadi tokan dadah dan merampas pelbagai jenis dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sempang Pantai di Jasin awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, lelaki berusia 48 tahun yang juga penagih dadah tegar itu diberkas hasil serbuan yang dilakukan pada pukul 1.50 pagi tadi menerusi Op Tapis.

    Katanya, hasil pemeriksaan polis ke atas lelaki itu menjumpai 30 paket plastik lut sinar disyaki heroin dengan anggaran berat 207 gram, 22 paket plastik lut sinar disyaki syabu (52 gram), satu paket lut sinar disyaki pil erimin 5 (lapan gram) dan satu paket lut sinar berisi ketulan mampat serta cebisan daun kering disyaki ganja (dua gram).

    “Kesemua dadah tersebut ditemukan dalam beg silang berzip berwarna hijau yang disilang pada badan lelaki itu ketika serbuan dilakukan di premis berkenaan dan ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis MOP.

    “Siasatan awal mendapati lelaki itu terlibat dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah sejak kira-kira 30 tahun lepas serta mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan bahan terlarang itu,” katanya dalam kenyataan di Jasin, hari ini.

    Mispani berkata, siasatan awal juga mendapati suspek mengaku memperoleh bekalan dadah itu daripada seorang lelaki di Muar, Johor dan dijual secara kecil-kecilan di sekitar kawasan Merlimau dan Sungai Rambai di sini.

    Menurutnya, lelaki tersebut direman tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) serta Seksyen 6 akta sama. – Bernama

  • Dua beradik kembali ke sekolah selepas empat tahun keciciran

    Dua beradik kembali ke sekolah selepas empat tahun keciciran

    SEORANG ibu tidak dapat menggambarkan perasaaan gembira dan terharu apabila kedua-dua anak perempuannya menerima surat tawaran kembali ke sekolah setelah empat tahun terpaksa berhenti kerana dibelenggu masalah kewangan serta kesihatan.

    Wanita berusia 54 tahun yang ingin dikenali sebagai Lisa berkata, mereka sering mengalami masalah kewangan namun keadaan menjadi lebih teruk pada tahun lepas apabila kaki kirinya terpaksa dipotong kerana penyakit kencing manis dan suami pula meninggal dunia akibat dijangkiti COVID-19.

    “Suami pernah bekerja sebagai pemandu pelancong dan pemandu teksi tapi terpaksa berhenti kerana keadaan ekonomi tidak menentu ketika itu. Kemudian, dia bekerja sambilan untuk mendapatkan komisyen menjual hartanah dan sebagainya.

    “Pada ketika itu, kereta juga selalu rosak di tengah jalan, lalu kami membuat keputusan untuk menjualnya. Ketiadaan pengangkutan untuk hantar anak ke sekolah dan masalah kewangan membuatkan kami terpaksa membuat keputusan untuk berhenti menghantar mereka ke sekolah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Butterworth hari ini.

    Dua beradik itu Yumn Nakyeishaa Amir Hamzah,16, dan Dahnea Dabryshaa Amir Hamzah, 14, turut melafazkan perasaan gembira mereka kerana akhirnya dapat menyambung pelajaran di sekolah. 

    “Selama ini, kami berdua cuma bergantung dengan Google dan Youtube untuk membuat rujukan pembelajaran tapi ia kurang membantu kerana tiada guru untuk membimbing kami,” menurut kakak sulung dari dua beradik yang bersekolah di SJK Aik Keow Telok Air Tawar sebelum ini.

    Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang Datuk Zulkafli Kamaruddin hari ini menyerahkan surat tawaran kepada adik beradik itu untuk bersekolah di SMK Kampong Kastam.

    Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal Soon Lip Chee berkata pihaknya akan memberi bantuan kepada dua beradik itu untuk menghadiri kelas tuisyen supaya mereka boleh mengikuti perkembangan pelajaran dengan baik setelah empat tahun tidak bersekolah.

    “Pihak kami juga telah memberi bantuan makanan, komputer riba, buku rujukan, alat tulis, beg sekolah dan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 masing-masing,” katanya. – Bernama

  • Polis kesan taktik penasihat jualan syarikat kereta tipu pelanggan

    Polis kesan taktik penasihat jualan syarikat kereta tipu pelanggan

    POLIS mengesan taktik terbaru penipuan melibatkan penasihat jualan sebuah syarikat kereta yang memerangkap pelanggan untuk membeli kereta dengan meminta bayaran pendahuluan tetapi kereta dijanjikan tidak diterima.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata tindakan licik penasihat jualan berumur 44 tahun itu berakhir apabila polis menahannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, pada Jumaat lepas.

    Beliau berkata suspek akan meminta pelanggannya untuk membuat bayaran pendahuluan dan yuran tempahan ke akaun peribadinya atau membuat bayaran tunai tanpa melalui akaun syarikat.

    “Setakat ini sebanyak tujuh kes telah dilaporkan di bawah kawasan pentadbiran daerah Sentul dengan nilai kerugian berjumlah RM122,868.

    “Lelaki itu telah direman selama enam hari bermula Jumaat lepas hingga semalam dan akan diserahkan kepada daerah lain yang terbabit hari ini iaitu Nilai, Negeri Sembilan dan Sepang bagi kes penipuan sama tetapi melibatkan pelanggan berbeza,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Beh berkata selepas selesai siasatan di daerah berkenaan polis akan mengambilnya semula untuk dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur.

    Menurut sumber polis, suspek ditahan semasa dia datang dipercayai untuk mengambil wang pendahuluan daripada pelanggannya juga anggota polis yang sudah mengetahui penipuannya.

    Sementara itu, seorang mangsa penipuan pembelian kereta terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 30, berkata dia hanya menyedari ditipu apabila pusat jualan syarikat berkenaan menghubunginya baru-baru ini dan memaklumkan suspek telah ditahan polis kerana penipuan dan pecah amanah.

    “Saya panik selepas mendengar berita tersebut kerana jika diikutkan apa diberitahu oleh penasihat jualan itu, kereta yang saya tempah akan tiba pada pertenghan bulan ini.

    “Saya telah melakukan sebanyak tiga kali bayaran iaitu dua kali menerusi transaksi dalam talian dan  ketiga secara tunai kepada suspek yang kesemuanya berjumlah hampir RM7,000,” katanya yang sudah membuat laporan polis semalam.

    Beh berkata kes disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Bernama

  • Malaysia catat kerugian RM560 juta akibat jenayah siber

    Malaysia catat kerugian RM560 juta akibat jenayah siber

    MALAYSIA mencatat lebih 20,000 kes jenayah siber yang menyebabkan kerugian sebanyak RM560 juta pada tahun lepas, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

    Beliau berkata kes yang direkodkan itu antara lain membabitkan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, memancing data dan penipuan e-mel yang dilihat semakin meningkat saban tahun.

    Katanya untuk rekod kira-kira 13,000 kes jenayah siber dengan kerugian RM539 juta dicatatkan pada 2019, namun tidak memberikan angka untuk 2020.

    “Menjelang 2025, ekonomi digital dijangka menyumbang kira-kira 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    “Oleh itu dalam usaha membangunkan diri sebagai sebuah negara yang dipacu ekonomi digital, kita perlu mengenal pasti ancaman yang berpotensi mendatangkan gangguan kepada sasaran penting dan sektor ekonomi secara amnya,” katanya di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di sini mewakili Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

    Sasaran penting merujuk kepada pemasangan yang hasil keluaran atau perkhidmatannya sangat penting dan sekiranya musnah atau rosak akan menyebabkan kerugian amat besar kepada ekonomi serta pertahanan negara atau menjejaskan fungsi kerajaan dan imej negara.

    Abdul Halim berkata keperluan untuk memperoleh ruang siber yang selamat dan terjamin pada hari ini amat penting untuk meningkatkan agenda keselamatan siber bagi kepentingan sasaran penting di negara ini.

    “Adalah penting bagi pemilik atau penghuni sasaran penting untuk sentiasa memberi tumpuan dan perhatian agar keselamatan maklumat sentiasa terjaga selain diberi kawalan keselamatan sewajarnya agar tidak berlaku sebarang kebocoran maklumat lebih-lebih dari dalam instalasi itu sendiri,” katanya.

    Menurutnya keselamatan siber yang kukuh juga penting ketika Malaysia menuju Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) kerana era itu bergantung sepenuhnya kepada teknologi digital dan sebarang isu melibatkan keselamatannya bakal memberi kesan terhadap kerajaan, ekonomi, sosial dan masyarakat.

    “Ketika kita bergerak ke hadapan serta hidup dengan teknologi dengan bandar pintar sedang dibina dan misi data kritikal dihantar ke pangkalan data menggunakan internet, isu keselamatan siber perlu diletakkan di barisan hadapan di keseluruhan ekosistem digital,” katanya.- BERNAMA

  • Hantar komunikasi ajak berhimpun, penganggur didenda RM7,000

    Hantar komunikasi ajak berhimpun, penganggur didenda RM7,000

    SEORANG penganggur didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi berbaur ancaman melalui aplikasi Twitter dengan mengajak satu perhimpunan ketika tempoh pandemik COVID-19, tahun lepas.

    Hakim Nor Hasniah Ab Razak yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Nur Taufiq Azhar, 27, selaku orang kena saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut, turut memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

    Lelaki itu membayar denda berkenaan.

    Mengikut pertuduhan, Muhammad Nur Taufiq didakwa membuat dan memulakan penghantaran “sabtu riot?! TURUN!” yang mengancam sifatnya dengan niat untuk mengganggu orang lain melalui akaun Twitter “Tulangkata @ tul4ng” pada 4.44 petang, 13 Julai tahun lepas.

    Hantaran itu kemudian dibaca di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman di sini, pada 10.15 pagi, 14 Julai tahun lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Terdahulu, Muhammad Nur Taufiq yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia kini tidak bekerja selain menyesal atas tindakannya itu.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS  berikutan ciapan yang dimuat naiknya bersifat mengancam iaitu satu ajakan untuk perhimpunan sedangkan ketika itu negara masih di dalam tempoh pandemik.

    “Ciapan itu telah mendapat ulang ciap sebanyak 1,819 (kali) dan perhimpunan itu kemudian berlangsung pada 17 Julai 2021. Ajakan perhimpunan tersebut seolah-olah memperlekehkan usaha petugas barisan hadapan dalam menjaga kesihatan rakyat ketika itu,” katanya.

    Mengikut fakta kes, lelaki itu ditahan pihak polis di Dataran Merdeka di sini, kerana telah berhimpun bersama 20 individu lain tanpa kebenaran pihak berkuasa dan dikenakan kompaun RM2,000 kerana melanggar Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.- BERNAMA

  • Pendakwa tutup kes, nasib Zahid ditentukan bulan depan

    Pendakwa tutup kes, nasib Zahid ditentukan bulan depan

    PIHAK  pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), hari ini menutup kes mereka selepas memanggil 18 saksi.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan, memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa bahawa pendakwaan menutup kesnya selepas saksi ke-18, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) V. Mahendran, 38, selesai memberi keterangan.

    Mohd Yazid memerintahkan pihak pembelaan untuk memfailkan hujahan bertulis pada 29 Ogos ini dan pihak pendakwaan pada 5 Sept.

    Beliau juga menetapkan 1, 2, 5 hingga 8 Sept untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum mahkamah memutuskan sama ada membebaskan Ahmad Zahid, daripada 40 pertuduhan itu atau memerintahkannya membela diri.

    “Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada barisan pembelaan dan pendakwaan, di atas kerjasama pihak-pihak di dalam kes ini,” katanya.

    Raja Rozela memaklumkan pihak pendakwaan telah menawarkan 27 saksi kepada pihak pembelaan termasuk bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kawalan dan Penguatkuasaan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Wahab Mohd Yasin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan II) Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Raja Muhammad Azhan Shah Raja Muhammad serta pegawai SPRM S. Vijaya Kumar (pengadu di dalam kes).

    Terdahulu, semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal, peguam itu mempersoal tindakan saksi pendakwaan ke-18 yang tidak merekod keterangan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sedangkan nama Menteri Kanan Pertahanan itu terdapat di dalam borang aduan SPRM.

    Mahendran berkata beliau tidak merakam percakapan Hishammuddin kerana tiada keterangan saksi-saksi dan maklumat daripada lejar UKSB mengenai pembayaran kepada ahli politik itu.

    Ahmad Zaidi: Berkenaan siasatan, semalam Encik Mahendran memberitahu mahkamah siasatan memfokuskan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid sahaja?

    Mahendran: Tidak setuju, fokus kepada kontrak VLN dan OSC (Pusat Sehenti) yang melibatkan pegawai-pegawai serta menteri-menteri KDN.

    Saksi itu juga berkata menteri-menteri KDN yang dimaksudkannya adalah Hishammuddin dan Ahmad Zahid.

    Selain itu, beliau juga menolak cadangan peguam itu bahawa Ahmad Zahid hanya menerima RM100,000 sebanyak dua kali daripada UKSB.

    Selain itu, Mahendran juga tidak bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa keterangan yang diberikan saksi-saksi utama kes tersebut iaitu bekas Pengurus Pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun dan dua bekas Pengarah UKSB Harry Lee Vui Khiun serta Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani tidak boleh dipercayai.

    Dalam perbicaraan yang bermula pada 24 Mei 2021 itu, pendakwaan turut diwakili Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B. Thavani manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Ahmad Zaidi dan Hamidi Mohd Noh.

    Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    — BERNAMA