Author: Bernama

  • Serpihan konkrit LRT 3 jatuh, tiada kemalangan jiwa

    Serpihan konkrit LRT 3 jatuh, tiada kemalangan jiwa

    MAJLIS  Perbandaran Klang (MPK) memaklumkan berlaku kejadian serpihan batu konkrit jejambat landasan pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) terjatuh ke khemah peniaga berdekatan Pasar Besar Meru, Klang, hari ini.

    MPK menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

    “Gerai peniaga yang terlibat telah diarahkan tutup serta-merta bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Pihak pengurusan LRT3 turut memberhentikan kerja secara serta-merta.

    “Pemeriksaan mendapati serpihan konkrit itu terjatuh atas khemah di pasar tersebut. Pembinaan telah dihentikan dan pembersihan turut dilakukan di lokasi berkenaan. Peniaga juga telah diarahkan berpindah,” menurut hantaran itu.

    — BERNAMA

  • KPM akan umum data pelajar lepasan SPM tidak lanjutkan pelajaran

    KPM akan umum data pelajar lepasan SPM tidak lanjutkan pelajaran

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan mengumumkan data sebenar jumlah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak melanjutkan pelajaran dalam tempoh terdekat.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ketika ini kementeriannya sedang mengumpulkan rekod dan data baharu mengenai hala tuju pelajar berkenaan selepas tamat menduduki peperiksaan tersebut.

    “KPM akan perincikan data-data (pelajar), kita akan kongsikan data ini dalam masa terdekat dan kita akan terangkan (ke mana pelajar) berdasarkan data yang kita dapat,” katanya kepada pemberita selepas program Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan-Guru Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

    Turut hadir Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Tah Nia Jaman.

    Baru-baru ini media melaporkan kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM membuat keputusan untuk tidak menyambung pelajaran mereka.

    Mengulas angka dilaporkan itu, Radzi berkata kajian itu dibuat tidak menyeluruh dan merekodkan ‘ex cohort’ atau tidak mempunyai situasi sama misalnya generasi lepas yang kini berusia 70 hingga 80 tahun mempunyai sebab berbeza tidak melanjutkan pelajaran berbanding generasi muda masa kini.

    “Sebab itu kita kena lihat secara lebih mendalam. Saya tidak mahu mengulas mengenai 72 peratus, biar kita jelaskan hal itu berdasarkan data yang kita dapat mengenai pelajar yang menamatkan SPM,” katanya.

    Dalam pada itu, Radzi berkata kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan agensi lain dalam usaha membantu pelajar yang mengalami kesukaran untuk ke sekolah di Sabah.

    Beliau berkata sekiranya perkara itu melibatkan isu infrastruktur, KPM akan mencari pendekatan untuk membantu pelajar berkenaan supaya mendapat akses pendidikan yang terbaik.

    Mengenai program itu, Radzi berkata ia adalah usaha transformasi KPM untuk menyampaikan mesej secara menyeluruh dalam ekosistem pendidikan supaya dapat melihat arah pembangunan sistem pendidikan negara.

    Beliau berkata pada program bersama kira-kira 1,000 warga pendidik itu, banyak perkara yang  disampaikan tentang aspek pendidikan yang telah dan akan dilaksanakan selain memberi ruang kepada guru untuk menyampaikan pandangan serta cadangan masing-masing bagi penambahbaikan sistem pendidikan.

    — BERNAMA

  • Op tapis : Polis rampas dadah bernilai lebih RM800,000

    Op tapis : Polis rampas dadah bernilai lebih RM800,000

    JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan bersama Pasukan Zon 1 Bukit Aman berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM814,612.25 dan menahan 301 penagih serta pengedar dadah menerusi Op Tapis Bersepadu yang dijalankan selama tiga hari bermula Khamis lalu.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, rampasan terbesar ketika operasi itu adalah melibatkan penahanan dua suspek lelaki warga tempatan berusia 53 dan 34 tahun di sebuah rumah dekat Jalan JKR Pasir Mas pada pukul 6 petang, kelmarin.

    “Hasil pemeriksaan menemukan dadah jenis ganja seberat 453.75 gram (gm), 50gm heroin, 40 biji pil psikotropik dan tiga biji pil Eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM27,780.

    “Polis juga telah menyita sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina yang dianggarkan bernilai RM50,000. Kedua-dua suspek juga didapati positif Methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah berkaitan narkotik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata kedua-dua suspek yang ditahan itu direman selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 Ogos ini untuk siasatan lanjut merngikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Katanya, hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek itu juga, polis kemudiannya membuat serbuan susulan pada jam 7 malam hari yang sama dekat sebuah rumah di Kampung Demit, Kubang Kerian, di sini.

    “Dalam serbuan tersebut tiada tangkapan dilakukan tetapi hasil pemeriksaan di dalam rumah telah menemukan dadah jenis ganja seberat 3,000gm, 3,050gm heroin, 800 biji pil Eramin 5, 2,000 biji pil Yaba dan 24.37gm syabu yang dianggarkan bernilai RM499,832,” katanya.

    Sementara itu, Muhamad Zaki berkata dalam serbuan berasingan di Flat Sri Guchil, Kuala Krai pada pukul 10.45 malam, Jumaat, pihaknya turut berjaya menahan seorang buruh berusia 23 tahun warga tempatan dan merampas 18,000 pil Yaba bernilai RM180,000.

    “Polis juga telah menyita sebuah kereta Honda Jazz dianggarkan bernilai RM20,000 dan wang tunai RM1,000.

    “Suspek yang turut positif dadah jenis Methamphetamine serta mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah telah direman selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 Ogos untuk siasatan lanjut,” katanya. – Bernama

  • OKT meninggal dunia ketika terima rawatan di Klinik Kesihatan Bachok-Polis

    OKT meninggal dunia ketika terima rawatan di Klinik Kesihatan Bachok-Polis

    SEORANG buruh yang merupakan orang kena tahan (OKT) di lokap Balai Polis Bachok, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bachok selepas dipercayai bergaduh dengan tahanan lain, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 32 tahun itu meninggal dunia semasa menerima rawatan di klinik tersebut pada pukul 11 pagi.

    Katanya, siasatan mendapati mangsa dipercayai bergaduh dengan tahanan lain di dalam lokap sehingga dia mengalami sesak nafas sebelum diasingkan ke lokap lain.

    “OKT dimasukkan ke lokap balai polis itu selepas ditahan atas tiga kes dadah pada 2 Ogos lalu dan sepatutnya dituduh di mahkamah hari ini atas kesalahan tersebut.

    “Malah, OKT juga dikatakan sering menimbulkan masalah kepada tahanan lain dengan membuang air kecil dan besar di dalam sel lokap tersebut,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, di Kota Bharu, untuk bedah siasat.

    “Kita akan menunggu laporan bedah siasat hari ini. Berdasarkan laporan tersebut dan rakaman kamera litar tertutup  (CCTV) lokap, kita akan dapat mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya yang menambah kes tersebut disiasat oleh Siasatan Jenayah Dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman. – Bernama

  • Mahkamah Persekutuan akan dengar rayuan akhir kes dana SRC,esok

    Mahkamah Persekutuan akan dengar rayuan akhir kes dana SRC,esok

    ESOK Mahkamah Persekutuan dijadual mendengar rayuan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

    Ia adalah rayuan terakhir Najib selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lepas, mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu serta denda RM210 juta yang dikenakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 28 Julai 2020.

    Difahamkan, Mahkamah Persekutuan akan terlebih dahulu mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC dalam usahanya untuk mendapatkan perbicaraan semula.

    Jika Najib gagal dalam permohonannya bagi menuntut perbicaraan semula kes SRC, Mahkamah Persekutuan dijangka meneruskan pendengaran rayuan Najib berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya.

    Mahkamah Persekutuan menetapkan 15 hingga 19 Ogos dan 23 hingga 26 Ogos untuk mendengar rayuan.

    Ahli politik berusia 69 tahun itu telah menukar pasukan peguamnya hanya 21 hari sebelum rayuan dengan melantik peguam jenayah terkemuka Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utamanya, manakala Tertuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners’ (ZIST) rakan kongsi Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam sebagai menjadi peguam cara baharunya untuk rayuan itu.

    Sebelum ini, firma guaman Tetuan Shafee & Co yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah mewakili Najib dalam kes SRC sejak pertama bekas perdana menteri itu didakwa, bagaimanapun pada 26 Julai, Najib bertindak memberhentikan serta-merta firma dan peguam terbabit daripada mewakilinya dalam rayuan terakhirnya.

    Pada 26 Julai, pasukan peguam baharu Najib memohon Mahkamah Persekutuan untuk menangguhkan pendengaran rayuan kerana ‘pasukan baharu sepenuhnya telah mengambil alih’ kes SRC.

    Walau bagaimanapun, pada 28 Julai, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan penangguhan pasukan pembelaan Najib dan mengarahkan perbicaraan rayuan dimulakan pada 15 Ogos seperti yang dijadualkan.

    Najib telah mengemukakan 94 alasan dalam petisyen rayuannya mengenai alasan beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan itu.

    Antara alasan yang dibangkitkan dalam petisyen itu ialah kedua-dua mahkamah (Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi) telah tersilap fakta dan/atau undang-undang dengan gagal menilai bukti dengan betul dan gagal mengiktiraf perbezaan antara fakta terbukti dan tidak terbukti, dan antara inferens yang dibenarkan dibuat, dan tekaan semata-mata berdasarkan cadangan, dakwaan tidak berasas, sangkaan, syak wasangka, dan khabar angin.

    Najib didakwa pada 4 Julai 2018, sekali gus kes pertama seumpamanya dalam sejarah kehakiman negara.

    Pada 28 Julai 2020, Hakim Mohd Nazlan, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

    Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana hakim mengarahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

    Najib kini dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan.

    Pendakwaraya ad hoc Datuk V. Sithambaram akan hadir untuk responden (pendakwa raya) manakala peguam Hisyam, Liew dan Rueben mewakili Najib sebagai perayu.

    Setiap wakil media yang mempunyai kebenaran untuk menghadiri perbicaraan akan diberikan pas media dengan pas biru untuk wartawan dan pas kuning untuk jurugambar dan juruvideo. – Bernama

  • ADUN Batu Lintang umum wakil Bebas

    ADUN Batu Lintang umum wakil Bebas

    PARTI Sarawak Bersatu (PSB) hilang satu kerusi selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How mengumumkan menjadi wakil Bebas, kata Speaker Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar.

    Mohamad Asfia berkata, See menghantar sepucuk surat kepadanya pada Jumaat lalu memaklumkan beliau meletakkan jawatan sebagai ahli PSB berkuat kuasa serta-merta tanpa menyatakan sebarang alasan.

    Menurutnya, keputusan See itu menjadikan PSB kini tinggal tiga kerusi, manakala DAP kekal dua, Gabungan Parti Sarawak (76 kerusi) dan Bebas (satu kerusi).

    “Dalam surat itu, beliau (See) tidak menerangkan mengenai alasan meletakkan jawatan dalam parti itu. Kita terima (keputusannya) dan kita akan susun semula barisan pembangkang (dalam DUN).

    “Dia tak melompat (parti) dari PSB ke parti lain tetapi dia hanya meletak jawatan (dalam PSB dan bergerak) sebagai (wakil) Bebas,” katanya dalam sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun), di Kuching, hari ini.

    Mohamad Asfia berkata, menerusi surat itu, ADUN Batu Lintang berkenaan memaklumkan beliau akan kekal berkhidmat untuk penduduk kawasannya dan semua rakyat Sarawak meskipun bergerak sebagai wakil rakyat Bebas.

    Menyifatkan wakil rakyat itu sebagai disenangi, bijaksana dan cekap, Mohamad Asfia yakin See yang juga Ahli Jawatankuasa Perundingan dalam menasihati Dewan berhubung Perjanjian Malaysia 1963, dapat terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ADUN dengan baik.

    Dalam pada itu, Mohamad Asfia berkata, persidangan ketiga DUN negeri itu dijangka berlangsung pada November ini.

    Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak lalu, See mempertahankan kerusi Batu Lintang selepas memperoleh 4,420 undi menewaskan calon GPS, Sih Hua Tong yang memperoleh 4,327 undi, Cherishe Ng (PKR) 1,823 undi, Voon Lee Shan Parti Bumi Kenyalang (PBK) 1,570 undi dan Alex Leong Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) 187 undi. – Bernama

  • Gempa bumi lemah landa Kundasang

    Gempa bumi lemah landa Kundasang

    SATU gempa bumi lemah berukuran 3.1 pada skala Richter dikesan melanda Kundasang, Sabah pada 7.27 pagi ini.

    Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa pada jarak 13 kilometer (km) barat laut dari Ranau itu berlaku pada kedalaman 10 km.

    Penilaian awal mendapati gegaran dirasai di sekitar Kundasang dan Ranau dan pihak MetMalaysia akan terus memantau keadaan. – Bernama

  • PRU15: BN kekal keputusan gerak solo

    PRU15: BN kekal keputusan gerak solo

    BARISAN Nasional (BN) kekal dengan keputusan untuk bergerak solo bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, berkata parti gabungan itu akan berusaha keras memenangi seberapa banyak kerusi di Parlimen untuk membentuk kerajaan sendiri pada PRU15.

    Bagaimanapun, beliau yang juga pengarah pilihan raya BN berkata, jika keputusan menunjukkan sebaliknya, pihaknya sedia berunding dengan parti lain untuk menubuhkan kerajaan yang mantap dan stabil demi kemakmuran rakyat.

    “Walaupun ramai orang kata bahawa kami akan pergi dengan parti itu, parti ini pada PRU15, BN masih kekal dengan keputusan untuk pergi secara solo dengan disokong oleh parti rakan.

    “Selepas pilihan raya kami tengoklah, kalau menang dan dapat tubuh sendiri kerajaan…Alhamdulillah. Jika tidak, keputusan parti akan tentukan dengan siapa kami perlu berunding untuk bentuk kerajaan yang mantap,” katanya pada pelancaran jentera PRU15 BN Terengganu di Pantai Penunjuk, Kijal.

    Mohamad berkata, antara kriteria ditetapkan untuk pemilihan parti yang akan membentuk gabungan itu nanti ialah yang mempunyai titik persamaan dan agenda perjuangan sama dengan BN.

    “Ia bagi memastikan persefahaman antara mereka seterusnya mewujudkan suasana politik yang stabil dalam negara.

    “Kita tak mahu rakyat terus jadi mangsa pergolakan politik…cukup-cukuplah. Empat tahun ini negara kita masih tak ke mana sedangkan negara lain yang lebih teruk diserang Covid-19, berbanding kita telah melonjak prestasi (ekonomi) kerana ramai pelabur asing datang melabur disebabkan politik yang stabil,” katanya.

    Sebelum ini, melalui laporan daripada media tempatan, penganalisis politik memberi bayangan tiada mana-mana gabungan parti akan meraih kemenangan secara majoriti pada PRU15 dan penggabungan antara parti yang menang diperlukan bagi membentuk kerajaan pusat.

  • KPM akan perkenal sistem rekod markah berpusat, kurang beban guru

    KPM akan perkenal sistem rekod markah berpusat, kurang beban guru

    PEMBANGUNAN sistem pelaporan berpusat bagi tujuan merekod markah pentaksiran pelajar sekolah merupakan antara elemen transformasi pendidikan yang bakal diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM), kata Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin.

    Selain mengurangkan beban guru bagi mengelak tugas merekod markah berulang kali, sistem itu turut bertujuan meningkatkan kecekapan sistem KPM agar relevan dengan transformasi digital pada masa ini.

    Beliau berkata, ketika ini, guru itu dikehendaki menyalurkan rekod markah pelajar kepada pelbagai pihak termasuk KPM dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

    “Dengan adanya sistem pelaporan berpusat ini, pihak lain yang mahukan rekod markah boleh ‘mengekstrak’ data daripadanya. Begitu juga dengan pembinaan jadual waktu sekolah, difahamkan masih ada sekolah yang buat secara manual.

    “Jadi KPM akan mewujudkan satu sistem khusus bagi membolehkan pihak sekolah membina jadual waktu sekolah mengikut kesesuaian masing-masing,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Showcase Transformasi Pendidikan yang berlangsung sejak 12 Ogos sehingga hari ini di pusat beli-belah Alamanda, di Putrajaya.

    Menurut Radzi, KPM komited dalam menjadikan ekosistem pendidikan negara sebagai yang terbaik selain memberikan fokus utama kepada kemenjadian murid secara menyeluruh tanpa bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata.

    “Contohnya, baru-baru ini bekerjasama dengan FGV Holdings Berhad dengan membawa pelajar mendekati flora dan fauna agar mereka faham tentang perubahan iklim dan sebagainya,” katanya dan menambah transformasi pendidikan kementerian meliputi kerjasama rentas agensi kerajaan dan swasta.

    Bagi mendekati masyarakat terutamanya golongan ibu bapa agar mereka faham tentang transformasi pendidikan dan dasar KPM, Radzi berkata KPM juga akan mengadakan Hari Terbuka PPD di 142 lokasi seluruh negara pada 26 dan 27 Ogos depan.

    Radzi berkata, KPM menerusi sesi perbincangan dan libat urus dengan lebih 20,000 orang termasuk pemimpin masyarakat sehingga kini turut menerima maklum balas positif berkaitan transformasi pendidikan yang giat diaplikasikan.

    Antara inisiatif KPM mengorak langkah ke depan transformasi pendidikan meliputi pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi memastikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dapat dilaksanakan dengan berkesan selain menjaga kebajikan guru dengan memudahcara urusan permohonan pertukaran guru.

    Showcase Transformasi Pendidikan merupakan satu daripada pengisian KPM di bawah program ‘Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan’ yang diadakan bermula 1 Ogos sehingga 30 Sept depan di seluruh negara.

    Ia antara lain memaparkan inovasi dan pencapaian murid dan guru, perkembangan pendidikan digital dan aplikasi sistem yang memudahkan pengurusan pendidikan. – Bernama

  • ‘Saya dan MINDEF tidak sembunyikan apa-apa’ – Hishammuddin

    ‘Saya dan MINDEF tidak sembunyikan apa-apa’ – Hishammuddin

    KERAJAAN memberi fokus terhadap pemulihan projek kapal tempur pesisir (LCS) bagi memastikan projek itu kembali ke landasannya, seperti yang telah ditetapkan Jemaah Menteri.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dalam hantaran menerusi Facebook, berkata rundingan dengan pihak vendor, pengilang peralatan asal (OEM) dan perbankan sedang dimobilisasikan.

    Hishammuddin berkata demikian berhubung perolehan LCS yang menjadi kontroversi susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendedahkan tiada satu kapal telah disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion itu memperuntukkan lima daripada enam kapal tersebut seharusnya disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022.

    Dalam hantaran tersebut, beliau turut memaklumkan pihaknya telah membawa para petugas media ke Boustead Naval Shipyard di Lumut, Perak hari ini untuk melihat keadaan luaran dan dalaman LCS yang sedang dalam pembinaan.

    Katanya, petugas media turut dibawa ke gudang penyimpanan peralatan kapal-kapal tersebut dan diberi taklimat tentang reka bentuknya.

    “Saya tidak jemu untuk menegaskan berkali-kali iaitu saya dan Kementerian Pertahanan tiada apa hendak disembunyikan. Dalam masa sama, pihak yang salah mesti dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya. – BERNAMA