Author: Bernama

  • Jenayah komersial di N. Sembilan babit kerugian RM45.1 juta

    Jenayah komersial di N. Sembilan babit kerugian RM45.1 juta

    KES jenayah komersial di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan dengan 1,747 kes direkodkan membabitkan kerugian berjumlah RM45.1 juta sejak Januari hingga Julai lepas, kata Ketua Polis negeri Datuk Ruslan Khalid.

    Beliau berkata angka itu sedikit membimbangkan memandangkan kes jenayah komersial direkodkan sepanjang tahun lepas adalah sebanyak 2,671 kes dengan kerugian berjumlah RM42 juta manakala hanya 1,890 kes dicatat dengan nilai kerugian RM95.6 juta pada 2020.

    Menurut Ruslan, daripada keseluruhan 1,747 kes, penipuan mencatatkan kes tertinggi iaitu 1,676 kes dengan kerugian RM39.7 juta diikuti Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (38 kes, RM27,420), pecah amanah jenayah (12 kes, RM4.8 juta), jenayah siber (11 kes, RM594,026), wang palsu (9 kes, RM1,300) dan pemalsuan satu kes.

    “Kita telah mencapai era digital, jadi kebanyakan kes bertukar arah ke penipuan dalam talian termasuk macau scam dan love scam yang menunjukkan trend membimbangkan serta memberi ancaman serius kerana melibatkan kerugian jutaan ribu ringgit.

    “Jenayah konvensional seperti ragut, curi, pecah rumah dan kekerasan menurun mungkin tahun lepas semua orang berada di rumah kerana COVID-19 tetapi apa yang meningkat ialah jenayah komersial sebab orang dah mula guna media sosial untuk jual dan beli barang,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan ‘Townhall Discussion bersama Ketua Polis Negeri Sembilan’ yang turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor di sini hari ini.

    Ruslan berkata keadaan itu sekali gus memberi peluang kepada ‘scammer’ untuk beralih daripada jenayah konvensional kepada jenayah siber yang dilihat lebih mudah dilakukan selain kononnya memberi keuntungan segera.

    Beliau berkata sindiket penipuan turut menggunakan sentimen emosi melalui perasaan kasih sayang dan kepercayaan bagi memperdaya mangsa walaupun pelbagai kempen dan platform digunakan pihak berkaitan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

    “Kita lihat mereka (scammer) ambil kesempatan serang emosi sebab dalam diri kita ini ada sifat tamak, tak mahu kesunyian dan suka apabila tengok ada tawaran murah, itu yang menyebabkan masyarakat terdedah dengan sindiket itu dan terbabit dengan love scam, pelaburan tak wujud dan banyak lagi,” katanya.

    Mengenai townhall itu, beliau berkata ia sebagai usaha merapatkan hubungan masyarakat dan polis terutama dalam memberi kesedaran mengenai isu semasa dengan memfokuskan agensi kerajaan, pelajar sekolah serta orang awam.

    Sementara itu, Ramli berkata kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu penipuan dalam talian malah beberapa perkara mengenai isu itu turut dicadang dalam pindaan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.- BERNAMA

  • Remaja 17 tahun didakwa seludup 25 warga Myanmar dalam Vellfire

    Remaja 17 tahun didakwa seludup 25 warga Myanmar dalam Vellfire

    SEORANG remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup 25 warga Myanmar yang ditemukan di dalam kenderaan jenis Toyota Vellfire, awal bulan ini.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada remaja berusia 17 tahun itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi kerana kes itu merupakan kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) yang akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi. 

    Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas melakukan perbuatan itu di Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching, Sentul di sini pada 12.05 tengah hari, 2 Ogos lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan boleh juga didenda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding hari ini pihak media tidak dibenarkan masuk ke dalam mahkamah memandangkan kes itu melibatkan pesalah juvana.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Zuraidi Zulkifli manakala remaja itu tidak diwakili peguam.

    Muhamad Zuraidi ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata mahkamah menetapkan 17 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan izin memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

    Media sebelum ini melaporkan, polis telah menahan remaja lelaki berusia 17 tahun yang didapati mengambil upah membawa 25 pendatang tanpa izin ke ibu negara selepas menahan kenderaan Toyota Vellfire yang dinaiki mereka di Jalan Selinsing di sini.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kenderaan yang dipandu remaja itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota sekitar Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching dekat sini pada 12.05 tengah hari.

    Katanya, remaja itu enggan memberhentikan kenderaan selepas diarahkan polis dan bertindak melarikan diri, sebelum terbabas akibat terlanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang anggota polis yang sedang bertugas serta tiga kereta orang awam. 

    Siasatan mendapati remaja dan seorang lagi rakannya yang telah melarikan diri itu membawa kesemua pendatang izin dengan bayaran RM6,000 seorang dari Rantau Panjang, Kelantan ke Kuala Lumpur.- BERNAMA

  • Mayat wartawan bebas Mexico ditemukan, petugas media ke-14 dibunuh tahun ini

    Mayat wartawan bebas Mexico ditemukan, petugas media ke-14 dibunuh tahun ini

    MAYAT Juan Arjon Lopez, seorang wartawan bebas,ditemukan di utara Mexico, menjadikan jumlah wartawan dan petugas media yang dibunuh setakat ini pada 2022, kepada 14 orang, kata pegawai pada Selasa.

    Semasa satu sidang media, Peguam Negeri Sonora, Claudia Indira Contreras Cordova berkata Lopez hilang sejak 9 Ogos, lapor Agensi Anadolu.

    “Kami baru menerima maklumat terdapat penemuan yang bertepatan dengan orang yang ditemukan mati dengan maklumat kami mengenai beberapa tatu di badan wartawan itu,” katanya.

    Menurut rakan sekerja dan ahli keluarga Lopez, wartawan portal maklumat A Qué Le Temes yang berusia 62 tahun itu kali terakhir dilihat pada 8 Ogos, dan mereka mula melaporkan kehilangannya melalui media sosial.

    Selepas berita mengenai kehilangan Lopez tersebar luas, pihak berkuasa di Sonora menganjurkan pasukan mencari. Bagaimanapun, pencarian itu tidak rasmi kerana tiada laporan rasmi dibuat.

    Pada 10 Jan, wartawan Jose Luis Gamboa ditemukan mati di negeri Veracruz. Sejak itu, berlaku gelombang pembunuhan yang menjadikan 2022 tahun paling banyak mencatat pembunuhan wartawan.

    Keganasan terhadap pengamal media telah berleluasa dan menjadi sumber kritikan terhadap Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador.- BERNAMA

  • Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah ubah wang haram RM2.04 juta

    Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah ubah wang haram RM2.04 juta

    SEORANG ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.04 juta.

    Norida Syakira Agus Yadi, 28, yang beralamat di Banting, Selangor, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

    Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 8 Jan 2021 hingga 20 Jun 2021, menerusi akaun syarikatnya DSS Berkat Enterprise di Maybank Islamic Berhad cawangan Kuala Lipis, dekat sini. 

    Norida Syakira didakwa melakukan kesalahan itu dengan membeli perniagaan sushi bernilai RM1.317 juta selain memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM242,770, RM369,700 dan RM32,500 serta didakwa telah melupuskan wang berjumlah RM80,000. 

    Dia dituduh mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya AMLA Rohaiza Zainal menawarkan jaminan RM500,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan dan memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, memandangkan tertuduh telah didakwa dengan satu pertuduhan di mahkamah itu, selain empat pertuduhan di Mahkamah Majistret Shah Alam melibatkan nilai jutaan ringgit pada 24 Feb lepas. 

    Bagaimanapun, peguam M. Manoharan yang mewakili tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak berkeupayaan untuk membayar jaminan setelah menjelaskan jaminan sebanyak RM17,500 di Shah Alam dan berharap jaminan itu boleh diguna pakai di sini. 

    “Tertuduh telah kehilangan kerja selepas dihadapkan ke mahkamah sebelum ini dan suaminya juga tidak bekerja. Tertuduh mempunyai sepasang anak berusia lapan dan setahun dan mereka sangat rapat dengan tertuduh,” katanya. 

    Mahkamah membenarkan Norida Syakira diikat dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

    Hakim turut membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam. – BERNAMA 

  • Lapan warga Myanmar, tekong darat ditahan di Pasar Borong Kuala Lumpur

    Lapan warga Myanmar, tekong darat ditahan di Pasar Borong Kuala Lumpur

    LAPAN warga Myanmar dipercayai baru tiba di negara ini ditahan dalam operasi bersepadu di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di sini hari ini.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata turut ditahan dalam operasi berkenaan seorang lelaki tempatan dipercayai tekong yang membawa semua warga Myanmar itu ke pasar borong berkenaan pagi ini.

    “Kesemua lelaki yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun, mereka ditahan mengikut Seksyen 5 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan.

    Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai.

    Menurut Yahaya dalam operasi berkenaan, pihaknya turut menahan 18 warga asing kerana positif dadah.

    Beliau berkata sebanyak 400 warga asing diperiksa dalam operasi berkala bagi membanteras pendatang tanpa izin, penyalahgunaan dadah dan gengsterisme itu turut disertai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

    Sementara itu, Jalaluddin berkata pihaknya dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain akan terus menjalankan operasi bersepadu dan pemeriksaan bagi memastikan premis-premis di sekitar ibu kota mematuhi syarat lesen perniagaan.

    “Dalam operasi hari ini, sebanyak tiga premis perniagaan di pasar borong ini disita kerana disewakan dan diuruskan oleh warga asing,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya menasihatkan pemilik premis perniagaan agar tidak mengambil pendatang tanpa izin sebagai pekerja atau menyewakan premis perniagaan yang diberikan DBKL dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu melanggar syarat berkenaan.- BERNAMA

  • Suami isteri didakwa subahat, salah guna kedudukan

    Suami isteri didakwa subahat, salah guna kedudukan

    SEPASANG suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini atas dakwaan bersubahat dan menyalahguna kedudukan untuk kerja-kerja berkaitan penilaian berjumlah lebih RM570,000 bagi Majlis Perbandaran Klang (MPK) antara 2019 dan 2020.

    Hazliza Md Salleh, pengarah penilaian dan pengurusan harta di MPK dan suaminya, Shahril Nizam Mokhtar, masing-masing berhadapan dengan dua pertuduhan. 

    Hazliza, 48, didakwa menggunakan jawatannya dengan mencadangkan pelantikan Nilai Harta Consultant Sdn Bhd yang Shahril Nizam mempunyai kepentingan dalam syarikat terbabit bagi melaksakan kerja penilaian berkenaan.

    Cadangan tersebut bagi melaksanakan kerja-kerja penilaian kadaran bagi harta-harta khas (Klang Utara) dengan harga kerja RM251,000 dan kerja-kerja penilaian kadaran fasa 4 bagi sebahagian harta di kawasan operasi 2 melibatkan harga kerja RM324,360. 

    Pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

    Sementara itu, Shahril Nizam, 48, dituduh bersuhabat dengan Hazliza bagi menggunakan kedudukan isterinya untuk mencadangkan Syarikat Nilai Harta Consultant Sdn Bhd yang mempunyai kepentingan terhadapnya untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 23(1) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama. 

    Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Hakim Rozilah Salleh membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin yang berlainan serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Selangor Noryusriza Zulkifli manakala Hazliza diwakili peguam, V.S Selvanteran dan Shahril Nizam diwakili peguam, Nurfatin Amirah Mohd Shaari.

     Kes akan disebut semula pada 22 Sept.- BERNAMA

  • Tiada bukti kukuh kaitkan kematian PPS dengan unsur buli

    Tiada bukti kukuh kaitkan kematian PPS dengan unsur buli

    TIADA bukti kukuh bagi mengaitkan insiden kematian seorang pegawai perubatan siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan unsur buli di tempat kerja, kata Pengerusi Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir. 

    Beliau berkata ia adalah dapatan HWCITF selepas melaksanakan analisis ke atas Laporan Pengesanan dan Pengesahan oleh Unit Integriti Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung insiden itu.

    “HWCITF mengekalkan pandangan ini selagi mana tiada maklumat tambahan berkaitan insiden kematian PPS daripada polis menerusi siasatan mereka ke atas kes ini,” katanya pada taklimat media khas laporan  Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan 2022 di sini hari ini.

    HWCITF ditubuhkan pada 13 Mei lepas susulan insiden kematian seorang PPS di HPP selain laporan dan aduan yang diterima berkaitan kejadian buli serta masalah tekanan mental yang dihadapi bukan sahaja oleh PPS malah kakitangan perkhidmatan kesihatan.

    Pada 17 April lepas, seorang doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran HPP.

    Mengenai dapatan kaji selidik berkaitan budaya kerja yang disertai 110,411 pegawai dan kakitangan KKM, beliau berkata lebih 60 peratus responden kaji selidik menyatakan budaya kerja di KKM adalah positif terutamanya penjagaan pesakit, komuniti dan kerja berpasukan.

    Katanya, insiden ‘burnout’ (lesu upaya) dan buli serta budaya kerja kurang sihat dapat disahkan berlaku di KKM namun pada tahap yang berbeza dan bukan di semua fasiliti kesihatan KKM. 

    “Didapati budaya buli tidak hanya berlaku dalam kalangan PPS, malah ia berlaku merentasi semua peringkat warga kerja KKM secara langsung atau tidak langsung

    “Antara faktor penyumbang ialah kekurangan kecekapan, kemahiran dan tahap kesediaan untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan,” katanya.

    Siti Hamisah berkata HWCITF mendapati pematuhan terhadap pelaksanaan sistem kerja fleksi PPS dalam garis panduan tidak menyeluruh dan latihan PPS tidak konsisten antara satu hospital dengan hospital lain termasuk waktu kerja PPS yang panjang.

    “Justeru, HWCITF mencadangkan pendekatan yang lebih berstruktur dan konsisten melalui pematuhan dan pemantapan standard serta garis panduan sedia ada,” katanya.

    Beliau berkata HWCITF juga mendapati terdapat keperluan untuk mengoptimumkan bilangan sumber manusia dan kemudahan infrastruktur bagi memastikan kesinambungan penjagaan pesakit yang terbaik.

    Selain itu, kebanyakan urusan kerja masih dilaksanakan secara manual dan kekurangan pendigitalan telah menyebabkan peningkatan beban kerja yang boleh dielakkan serta melewatkan proses penyampaian perkhidmatan kesihatan.

    Siti Hamisah berkata HWCITF turut menggariskan 10 syor utama bagi tujuan penambahbaikan dan memperkasakan perkhidmatan kesihatan di KKM dan di kesemua fasilitinya.

    Antara syor-syor tersebut adalah pendigitalan proses pengintegrasian sistem digital sedia ada, penambahbaikan sistem e-Housemen serta penubuhan kumpulan sokongan PPS dan lain-lain perkhidmatan

    “Cadangan penambahbaikan budaya kerja mestilah tidak memberi kesan negatif kepada kualiti pegawai perubatan dan perkhidmatan mereka. 

    “Ini kerana terdapat ramai lagi pegawai perubatan yang dilatih dalam suasana yang kondusif dan mampu memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada pesakit,” katanya.- BERNAMA

  • Pekerja kontrak maut dihempap dinding batu

    Pekerja kontrak maut dihempap dinding batu

    SEORANG pekerja kontrak maut akibat dihempap dinding batu ketika sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian bangunan di ladang kelapa sawit Jemima & Sungai Sendayan Estate Sdn Bhd, Springhill Port Dickson, petang ini.

    Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Mohamad Rosman Md Nor berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian pada pukul 3.55 petang sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

    “Pekerja kontrak itu sedang memecahkan dinding dan kerja-kerja itu juga hampir siap, namun dia tidak sempat melarikan diri, lalu kakinya terhempap runtuhan dinding. Pasukan kami membantu mengeluarkannya daripada runtuhan,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya lelaki berusia 53 tahun berstatus pemastautin tetap itu disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    —  BERNAMA

  • LCS: Cadangan penubuhan RCI dibawa ke Kabinet esok

    LCS: Cadangan penubuhan RCI dibawa ke Kabinet esok

    CADANGAN  penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan dibawa ke Kabinet, esok.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, ketika menggulung perbahasan usul berkaitan isu itu di Dewan Negara hari ini, berkata beliau memberikan jaminan akan membawa sendiri perkara itu untuk mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

    “Ini tanggungjawab saya untuk bawa ke Kabinet esok dan saya akan lakukan. Kabinet juga perlu persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai penubuhan sesuatu RCI,” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab cadangan beberapa Ahli Dewan Negara hari ini yang menggesa kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat isu LCS bagi meneliti segala aspek agar tidak ada pihak yang bersalah terlepas daripada dakwaan.

    Sementara itu, Hishammuddin memaklumkan bahawa Jabatan Perdana Menteri telah memulakan proses menyahklasifikasikan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

    Berhubung laporan pengauditan forensik LCS, katanya, Jemaah Menteri sedang menunggu maklum balas Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Audit Negara memandangkan audit forensik berkenaan dimiliki BNS dan bukannya milik kerajaan.

    Selain itu, beliau juga memaklumkan empat kapal Kapal Misi Pesisir (LMS) telah diterima dan berkemungkinan kumpulan kedua kapal LMS akan dibekalkan dengan senjata supaya isu LCS tidak menjejaskan kedaulatan dan keselamatan pertahanan perairan negara.

  • Penipuan tawaran kerja dalam talian: Enam individu ditahan

    Penipuan tawaran kerja dalam talian: Enam individu ditahan

    POLIS menahan enam individu termasuk dua warga Indonesia kerana disyaki terlibat kes penipuan penawaran kerja secara dalam talian dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama di sini semalam.

    Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata kesemua yang berusia 20 hingga 31 tahun itu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki dan wanita warga Indonesia.

    Beliau berkata sindiket yang menyasarkan warga Indonesia itu memaklumkan mangsa bahawa mangsa akan ditawarkan kerja sebagai ejen jualan dalam sebuah aplikasi jualan dalam talian dengan syarat mangsa membuat pembelian barang menerusi pautan yang diberikan.

    “Selepas beli barang, mangsa kena kongsikan pautan dan memberi ‘like’ atau tanda suka kepada produk yang dibeli dan mangsa perlu buat 10 kali pembelian barang untuk dapatkan komisen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Amihizam, selepas mangsa mematuhi semua arahan diberikan, sindiket berkenaan akan memaklumkan mangsa bahawa mereka sudah menjadi ejen aplikasi jualan dalam talian itu namun tidak diberi sebarang surat tawaran kerja.

    Beliau berkata dalam serbuan itu, polis merampas enam komputer riba, 12 telefon bimbit pelbagai jenama dan 10 keping kad sim telefon prabayar yang digunakan dalam kegiatan tersebut.

    Menurutnya sindiket berkenaan disyaki beroperasi sejak bulan lepas dan kesemua suspek dibayar antara RM3,000 hingga RM3,500 sebulan tidak termasuk empat hingga lima peratus daripada keseluruhan kutipan ‘hasil jualan’ yang dilakukan dalam tempoh sebulan.

    Amihizam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran kerja secara dalam talian yang menawarkan peluang pekerjaan tidak jelas tetapi menjanjikan pulangan wang yang lumayan.- BERNAMA