Author: Bernama

  • Dua beradik bergaduh ditemukan maut

    Dua beradik bergaduh ditemukan maut

    DUA beradik ditemukan maut selepas dipercayai bertengkar dalam satu kejadian di Jalan Mohamed Naseh, di Ipoh pada pagi tadi.

    Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 10 pagi berhubung kejadian tersebut dan bergegas ke lokasi kejadian.

    “Setibanya di sebuah rumah, didapati seorang lelaki terbaring berlumuran darah di dapur dengan kesan tikaman manakala seorang lagi lelaki berada di luar rumah (dalam keadaan tergantung). Siasatan awal mendapati, kedua-duanya merupakan adik-beradik yang telah bertengkar di rumah itu.

    “Isteri kepada lelaki pertama (adik) dipercayai cuba menenteramkan keadaan sehingga luka pada ibu jari tangan kanannya. Kami masih melakukan siasatan untuk mengetahui punca insiden pergaduhan. Menurut saksi, mereka kerap dengar kejadian pergaduhan di rumah ini,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

    Beliau berkata siasatan juga mendapati suspek, 70, yang bekerja sebagai pemandu teksi dipercayai bertengkar dan kemudian menikam adiknya, 67, seorang pesara, sebelum menggantung diri di luar rumah dan pihaknya turut menjumpai pisau kecil yang berada berdekatannya.

    “Sewaktu kejadian, ada beberapa ahli keluarga. Keterangan akan direkodkan untuk tujuan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dan menambah mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat. –Bernama

  • Cederakan ustaz pusat tahfiz: Tiga lelaki dipenjara lapan bulan, denda RM1,000

    Cederakan ustaz pusat tahfiz: Tiga lelaki dipenjara lapan bulan, denda RM1,000

    MAHKAMAH Majistret Kuala Lipis hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan kepada tiga lelaki selepas mereka mengaku bersalah mencederakan seorang tenaga pengajar pusat tahfiz, minggu lepas. 

    Majistret Siti Aisyah Ahmad juga memerintahkan Wan Haris Wan Ismail, 38, dan Azraen Che Mat Noor, 43, kedua-duanya bekerja sebagai jurukimpal serta buruh Zulkifli Mohd Nasir, 27, menjelaskan denda RM1,000 atau penjara enam bulan, jika gagal berbuat demikian. 

    Semua mereka yang beralamat di Jerantut dekat sini mengaku bersalah mencederakan Muhammad Zulhafiz Mohd Rasid, 26, pada 5.10 petang, 11 Ogos lepas di surau Pusat Tahfiz Darul Fikri Al-Mahmudiah di sini. 

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-dunya, jika sabit kesalahan. 

    Berdasarkan fakta kes, semua tertuduh didakwa memukul Muhammad Zulhafiz selepas menceroboh pusat tahfiz itu, menyebabkan mangsa mengalami cedera di mata kanan sehingga perlu dijahit.  

    Pada prosiding itu, peguam Fariha Nuzuruhan merayu mahkamah hanya menjatuhkan hukuman denda paling minimum atas alasan semua tertuduh berpendapatan sekitar RM1,500 dan RM2,000, menanggung keluarga serta telah insaf dengan perbuatan mereka. 

    Bagaimanapun, Pengarah Pendakwaan Pahang Abdul Ghafar Ab Latif memohon hukuman penjara sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam supaya tidak bertindak sewenang-wenangnya dan menghormati institusi pendidikan serta tenaga pengajar. 

    “Kes ini juga telah tular sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat. Tertuduh bertiga telah memukul seorang tenaga pengajar dan mangsa tidak melawan, sebaliknya membiarkan dirinya dipukul beberapa kali selain kecederaan itu meninggalkan parut kekal,” katanya. 

    Di mahkamah sama, semua tertuduh bersama dua lagi Mohd Amirul Afif Che Mat Noor, 29, dan Rizuwan Hazmi, 47, kedua-duanya bekerja kampung, mengaku bersalah atas tuduhan menceroboh pusat tahfiz itu dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda Suzuki Dmax pada masa dan hari yang sama. 

    Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Siti Aisyah memerintahkan semua tertuduh dipenjarakan selama 10 bulan dan denda RM2,000 atau jika gagal penjara enam bulan.

    Semua hukuman penjara diarahkan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu antara 12 dan 13 Ogos lepas . 

    Timbalan Pendakwa Raya Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif pada prosiding itu memohon hukuman yang dapat menunjukkan keseriusan kesalahan dilakukan tertuduh sehingga menyebabkan trauma terhadap pelajar pusat tahfiz itu. – BERNAMA 

  • Portal aduan buli dilancar, aduan terus ke KPM – Radzi Jidin

    Portal aduan buli dilancar, aduan terus ke KPM – Radzi Jidin

    PORTAL aduan buli dilancarkan hari ini bagi membolehkan aduan mengenai kes buli di sekolah dilaporkan secara terus kepada Kementerian Pendidikan (KPM), kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Portal aduan buli yang boleh diakses di laman sesawang https://www.moe.gov.my/aduanbuli itu menyediakan tiga saluran untuk orang awam, mangsa, ibu bapa atau penjaga melaporkan sebarang kejadian buli di sekolah, katanya.

    Saluran tersebut adalah melalui talian khas aduan buli (03-88849352), e-mel ([email protected]) atau aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) KPM yang tersedia di portal aduan itu.

    “Talian khas tersebut boleh dihubungi 24 jam dan setiap aduan akan diambil tindakan segera oleh KPM,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas melancarkan portal aduan buli di sini hari ini.

    Turut dilancarkan ialah program Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan Selamat iaitu kolaborasi antara KPM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menangani isu buli dan salah laku melibatkan penggunaan barang terlarang iaitu dadah melibatkan pelajar sekolah. 

    Mengulas lanjut, Radzi berkata sebanyak 122 kes buli yang disabitkan kesalahan di seluruh negara direkodkan antara Januari dan Julai tahun ini.

    “Apa yang penting berikan maklumat tepat untuk kami lakukan siasatan. Setiap aduan diterima akan direkod dan maklumat pengadu juga boleh dirahsiakan sekiranya mereka inginkan,” katanya yang meminta orang ramai memanfaatkan portal aduan buli itu.

    Radzi dalam ucapannya pada majlis itu menegaskan yang KPM tidak akan berkompromi dalam isu buli dan pihak sekolah juga telah diarahkan untuk tidak menyembunyikan kes buli di tempat mereka.

    “Kita tidak perlu berselindung dan tidak perlu sorokkan (kes buli)… sebab itu ketika saya masuk kementerian jika ada kes buli kami tidak pernah sorokkan.

    “Kami maklumkan pada pihak sekolah jangan ada sesiapa yang cuba sorokkan kes buli ini kerana untuk selesaikan masalah, kita kena faham setakat mana perkara ini berlaku,” katanya.

    Dalam pada itu, Hamzah berkata beliau telah mengarahkan pihak polis untuk memberi penekanan terhadap kejadian buli yang berlaku di sekolah.

    “Generasi baharu beranggapan buli itu perkara biasa dan sebab itu kita ingin buli ini dikurangkan. Saya setuju polis beri penekanan untuk turun ke sekolah untuk beri lebih banyak penerangan,” katanya.- BERNAMA

  • Rayuan akhir kes SRC: Permohonan peguam Najib tarik diri ditolak Mahkamah

    Rayuan akhir kes SRC: Permohonan peguam Najib tarik diri ditolak Mahkamah

    MAHKAMAH Persekutuan hari ini menolak permohonan peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mengendalikan rayuan akhir kes SRC International Sdn Bhd.

    Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan kemudian mengarahkan prosiding rayuan akhir dimulakan dengan pihak pendakwaan terlebih dahulu mengemukakan hujahan.

    Sebelum itu, pendengaran rayuan kes SRC International Sdn Bhd Najib hari ini bertukar dramatik apabila Hisyam memohon untuk menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu.

    Peguam itu berkata beliau memerlukan lebih banyak masa kerana beliau tidak bersedia untuk membawa kes itu.

    Hisyam yang dilantik Najib sebagai peguam utama baharunya pada 27 Julai, menggantikan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu di hadapan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel lima hakim pada hari pertama pendengaran rayuan Najib.

    Hakim Tengku Maimun berkata sebagai peguam, Hisyam tidak boleh berundur diri sebaliknya memikul tanggungjawab itu untuk mewakili anak guamnya.

    Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

    Hakim Tengku Maimun memberitahu Hisyam bahawa mahkamah telah mendengar permohonannya untuk penangguhan pada Selasa dan telah memberikan alasan mengapa mereka menolak permohonannya itu.

    “Kami telah memberikan alasan yang menyeluruh. Adakah kamu sedar bahawa sebagai mahkamah tertinggi kami mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk melaksanakan keadilan, dan bidang kuasa kami adalah untuk memastikan mahkamah berfungsi?”.

    “Adakah kamu menerimanya? Anak guam kamu tidak akan diwakili. Jika kamu menarik diri, anda akan membiarkannya tanpa diwakili. Boleh anda menerimanya?”, soal Ketua Hakim Negara itu dengan tegas.

    Hisyam menjawab beliau menerima semua yang dikatakan oleh Hakim Tengku Maimun.

    “… tetapi dalam keadaan ini saya tidak boleh terus mewakili Datuk Seri Najib,” katanya.

    Hakim Tengku Maimun menjawab: “Tetapi kamu masih memerlukan kebenaran kami untuk menarik diri. Kamu sepatutnya memfailkan afidavit dahulu. Peguam tidak seharusnya meninggalkan begitu sahaja tanpa memberitahu mahkamah.

    “Pada pendapat kami, kamu boleh mengendalikan kes ini dan kamu mempunyai banyak peguam yang tersedia,” kata beliau sebelum menghentikan seketika prosiding itu untuk memutuskan perkara tersebut.

    Mahkamah pada Selasa menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan dan mengarahkan prosiding diteruskan hari ini.

    Mahkamah juga menolak usaha Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRCnya untuk membatalkan perbicaraan.

    Perbicaraan rayuan itu telah ditetapkan pada 15 hingga 19 Ogos dan 23 hingga 26 Ogos.

  • PRU-15: PAS terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali PH

    PRU-15: PAS terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali PH

    PAS terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik selain Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerjasama itu penting kerana PAS melihat terdapat sekurang-kurangnya 27 kerusi Parlimen berpotensi dimenangi PH jika tidak wujud persefahaman antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

    “Kerana itu saya melihat bahawa perlunya ada kerjasama menyeluruh (antara PN dan BN) yang kami harapkan tetapi PAS bersedia, kalau sekiranya BN buat keputusan sebagaimana yang telah diumum, kami bersedia untuk berlawan (dengan BN),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Himpunan 5K dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Melaka di perkarangan Pejabat Badan Perhubungan PAS Melaka di Semabok di sini malam tadi.

    Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini dilaporkan berkata BN kekal dengan keputusan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi PRU15.

    Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki dipetik sebagai berkata PH berpotensi menang besar pada PRU15 ini berikutan terdapat 27 kerusi berisiko besar jatuh ke tangan PH jika tiada perpaduan antara BN dan PN.

    Mengulas mengenai penggunaan logo yang akan digunakan parti itu pada PRU15 nanti, Tuan Ibrahim berkata secara prinsipnya PAS akan menggunakan logo PN dan akan membincangkannya secara spesifik.

    “Tentang logo, ada permintaan yang parti terima daripada negeri pantai timur khususnya yang mereka mencadangkan penggunaan logo parti, tapi ini perlu dibincang dan diperhalusi di peringkat kepimpinan parti,” katanya.- BERNAMA

  • Polis kesan lelaki berbaju merah gunting Jalur Gemilang

    Polis kesan lelaki berbaju merah gunting Jalur Gemilang

    POLIS sedang mengesan seorang lelaki berhubung insiden menggunting Jalur Gemilang, dalam kejadian dipercayai berlaku petang semalam di ibu negara.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata bagaimanapun setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu.

    “Polis tidak menerima sebarang laporan setakat ini. Tindakan mengesan individu yang melakukan perkara itu sedang dijalankan,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Terdahulu, tular satu video berdurasi 37 saat dalam aplikasi Tik Tok memaparkan seorang lelaki berbaju merah dan bertopi biru menggunting beberapa Jalur Gemilang yang dipasang di laluan pejalan kaki dipercayai di hadapan Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di Jalan Ampang di sini.

    Menurut pemilik akaun Tik Tok berkenaan, beliau telah menegur perbuatan lelaki itu tetapi tidak diendahkan selain khuatir akan keselamatan diri ekoran pelaku memegang gunting.- BERNAMA

  • ‘’Tak guna fikir dana tambahan, kalau LCS pertamapun tak siap’’ -Hishammuddin

    ‘’Tak guna fikir dana tambahan, kalau LCS pertamapun tak siap’’ -Hishammuddin

    TIADA dana tambahan diperuntukkan sekiranya kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia yang pertama tidak disiapkan mengikut jadual, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata tumpuannya kali ini adalah memastikan dalam masa terdekat ini, kapal pertama LCS dapat disempurnakan.

    “Jadi saya hendak tengok apa yang dah dirancang, apa yang telah dibentangkan kepada kabinet, apa yang telah saya jawab di Dewan Negara dapat disempurnakan, dan ujiannya adalah kapal pertama tadi. Kapal pertama ini tidak akan menerima suntikan dana terbaharu.

    “Buktikan kepada saya yang kita boleh siapkan kapal (LCS) pertama dahulu. Kalau kapal pertama pun tak boleh siapkan seperti agenda di bawah pelan kita kali ini, tidak guna kita fikirkan dana tambahan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan dan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera ke-50, di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

    Sementara itu Hishammuddin menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa tiada sebarang perkembangan langsung berhubung pembinaan kapal LCS, malah menurutnya aset berada dalam pelbagai peringkat pembinaan.

    “Yang penting dengan perancangan yang tulus, dengan pembentangan kepada semua, itulah harapan kita semua. Kapal pertama, kedua dan selanjutnya. Ada perancangan lain seperti pembinaan kapal misi pesisir (LMS) yang kedua, kita harap ia dapat dipenuhi dan kita dapat sampaikan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia,” katanya.

    Mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Hishammuddin berkata semua perkara sedang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet dan akan disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapatkan pandangan.

    “Sebab itulah saya harap jangan kita hanya memikirkan isu RCI sahaja kerana kertas laporan yang diumumkan telah pun dalam proses diklasifikasi, proses mobilisasi, untuk melihat ke hadapan, projek ini sedang berjalan rancak sekarang,” katanya.

    Semalam, Hishammuddin sewaktu menggulung perbahasan usul berkaitan projek LCS di Dewan Negara berkata beliau akan membawa cadangan oleh beberapa ahli Dewan Negara berhubung penubuhan RCI bagi menyiasat skandal LCS ke kabinet hari ini.

    — BERNAMA

  • 2.72 tan minyak masak subsidi disita

    2.72 tan minyak masak subsidi disita

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menyita lebih 2.72 tan minyak masak paket bersubsidi satu kilogram (kg) dalam Operasi Bersepadu bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor serta Tok Bali, dekat sini semalam.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan Aswadi Jaafar berkata dua suspek yang terdiri daripada pemandu dan kelindan lori yang membawa minyak masak itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

    Beliau berkata selain minyak masak bernilai kira-kira RM6,800 pihaknya turut merampas lori yang membawa barang itu, bernilai sekitar RM15,000.

    Katanya dalam operasi semalam, pihaknya mengesan sebuah lori Isuzu yang dilihat mencurigakan dari arah Pauh Lima menuju ke Peringat pada pukul 3 petang semalam, dan selepas diperiksa pemandu serta kelindan lori berkenaan gagal mengemukakan sebarang butiran atau catatan transaksi berkaitan minyak masak yang ditemukan.

    “Kedua-dua suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen sebagai pemilikan barang kawalan itu seperti yang diarahkan oleh pasukan dibawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Aswadi berkata kedua-dua suspek berusia 40-an dan 50-an disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki memiliki barang kawalan tanpa lesen dengan niat melakukan kesalahan.- BERNAMA

  • Kanak-kanak warga Perancis maut disengat obor-obor

    Kanak-kanak warga Perancis maut disengat obor-obor

    SEORANG kanak-kanak lelaki warga Perancis berusia lima tahun meninggal dunia akibat terkena sengatan obor-obor semasa mandi di pantai Teluk Nipah di Pulau Pangkor, pada Isnin.

    Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang, mangsa menjerit kesakitan semasa mandi bersama-sama keluarganya di pantai berkenaan.

    “Orang awam yang berhampiran dengan mangsa telah datang dan membawa mangsa ke tepi pantai dan mendapati mangsa telah terkena sengatan obor-obor.

    “Semasa mangsa dibawa naik ke darat, mangsa mula tidak sedarkan diri dan keluarganya telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Pangkor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nor Omar berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada petugas klinik kesihatan tersebut pada 7.30 malam memaklumkan mangsa telah disahkan meninggal dunia.

    Katanya, pemeriksaan ke atas mangsa menemukan kesan lilitan dipercayai sengatan obor-obor pada bahagian perut, tangan kiri dan kaki kiri mangsa. 

    Beliau berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Seri Manjung mendapati punca kematian adalah disebabkan jellyfish envenomation atau pembisaan obor-obor dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

    Pulau Pangkor terletak lebih kurang 90 kilometer dari sini.- BERNAMA

  • Geng Hitam Putih aktif menyamun tumpas

    Geng Hitam Putih aktif menyamun tumpas

    POLIS menumpaskan kumpulan samun ‘Geng Hitam Putih’ dipercayai bergiat aktif di sekitar negeri ini berikutan penahanan empat lelaki tempatan, Khamis lepas. 

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata kesemua individu berusia lingkungan 30 hingga 35 tahun itu ditahan di sekitar Iskandar Puteri kira-kira 1.30 petang, susulan aduan dibuat seorang mangsa yang disamun dan dilarikan kereta di kediamannya.

    Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 2 petang Rabu itu, mangsa yang juga seorang guru wanita berusia 38 tahun bersama tiga anaknya sedang berada di dalam rumah sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal meluru masuk ke rumah sebelum mengacukan pisau kepada mangsa.

    “Dua lelaki terbabit kemudiannya mengambil telefon dan melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Myvi milik mangsa yang tinggal di Taman Mutiara Rini, Skudai di sini. 

    “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis telah menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dengan jenayah berkenaan dan turut merampas kereta serta dua telefon milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Rahmat berkata hasil siasatan mendapati kumpulan itu terbabit dengan 12 kes jenayah termasuk samun, pecah rumah dan melarikan kenderaan yang dilakukan di sekitar negeri ini dengan tujuh daripadanya di Iskandar Puteri. 

    “Selain itu, hasil saringan air kencing mendapati kesemua lelaki tersebut positif dadah dengan dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah,” katanya. 

    Katanya, kesemua lelaki berkenaan masih direman sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – BERNAMA