Author: Bernama

  • Agong, Permaisuri berangkat tunai haji

    Agong, Permaisuri berangkat tunai haji

    YANG di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan haji.

    Turut mengiringi, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah.

    Majlis keberangkatan Seri Paduka berdua yang diadakan di Istana Negara dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

    Pada majlis itu, Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah memimpin bacaan doa, disusuli laungan azan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam Istana Negara Mohd Mustafidurrohman Mohd Syahroni.

    Sebelum berangkat, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bersalaman bersama kakitangan Istana Negara.

    Yang di-Pertuan Agong juga sempat berpesan kepada perdana menteri untuk menjaga negara.

    Seri Paduka berdua dijadual berada di Tanah Suci dari 21 Jun hingga 2 Julai.

    Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

    Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf, yang merupakan kemuncak haji, adalah pada Selasa, 27 Jun, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun.

  • Bermula Julai, TH hanya benar pindah wang simpanan ke akaun bank pencarum sahaja

    Bermula Julai, TH hanya benar pindah wang simpanan ke akaun bank pencarum sahaja

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) meneruskan usaha untuk memperkukuh keselamatan perkhidmatan digitalnya dengan menambah baik kawalan teknologi demi keselesaan dan keselamatan urusan kewangan pendeposit.

    TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa bermula 1 Julai, TH membenarkan pemindahan wang daripada akaun simpanan TH ke akaun bank sendiri sahaja.

    “Pendeposit juga hanya boleh mengaktifkan kad ATM dengan akaun TH menerusi mesin ATM dan bukan melalui perkhidmatan perbankan dalam talian bank-bank rakan strategik TH,” menurut kenyataan itu.

    Langkah itu merupakan satu daripada usaha TH dalam memastikan para pendeposit tidak terjerat dalam perangkap pihak tidak bertanggungjawab atau scammer kerana TH memandang serius terhadap penipuan yang berlaku melibatkan pendeposit melalui perbankan Internet bank-bank rakan strategik TH.

    “TH sentiasa cakna dan prihatin akan keselamatan urusan para pendeposit. Justeru, TH akan terus berusaha untuk memperkasakan lagi perkhidmatan digital TH demi keselesaan para pendeposit,” kata Pengarah Eksekutif Operasi TH Mohamad Ameen Abdul Wahab dalam kenyataan berkenaan.

    TH juga sentiasa melakukan kemas kini dan memperketat kawalan keselamatan teknologi sedia ada secara berterusan bagi memastikan semua transaksi yang dilakukan oleh pendeposit adalah selamat.

    Orang ramai boleh merujuk laman web rasmi TH, www.tabunghaji.gov.my atau terus menghubungi Pusat Panggilan TH (THCC) menerusi talian 03-6207 1919 bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang perkhidmatan lain yang ditawarkan.

  • Kerajaan kekal pendirian tak tambat ringgit

    Kerajaan kekal pendirian tak tambat ringgit

    KERAJAAN kekal dengan pendirian untuk tidak menambat ringgit dalam usaha menangani penyusutan nilainya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), berikutan kesan buruknya kepada rakyat.

    Ketika menegaskan perkara itu, Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan menambat ringgit akan menyebabkan Malaysia hilang keupayaan untuk meneruskan dasar monetari, seterusnya memaksa Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke tahap sama seperti kadar faedah AS yang kini di ambang 5.00-5.25%.

    “Alangkan OPR kita pada 3% rakyat sudah rasa amat tidak selesa, ini kan pulak (jika) dinaikkan kepada 5.25%,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

    “Satu lagi keburukan (menambat ringgit), kawalan aliran modal tidak akan bebas kerana keluar masuk pelaburan asing ke dalam negara kita akan dikawal. Apabila kita tambat nilai ringgit, maka ini menjejaskan keyakinan dan daya saing negara.”

    Beliau menjawab soalan tambahan Senator Shamsuddin Abd Ghaffar sama ada kerajaan akan menambat ringgit serta punca kejatuhan ringgit dan usaha menanganinya.

    Mengulas selanjutnya, Ahmad berkata, sebahagian besar daripada kejatuhan kadar pertukaran ringgit dalam tempoh terdekat ini didorong oleh pengukuhan dolar AS, dan nilai mata wang serantau seperti yen Jepun, baht Thailand, won Korea, renminbi China dan peso Filipina turut susut.

    “Walaupun terdapat mata wang negara jiran yang menunjukkan prestasi lebih baik berbanding dolar AS, namun negara-negara tersebut mengetatkan dasar monetari dengan lebih agresif,” katanya.

    Ahmad berkata, Malaysia juga akan memerlukan rizab antarabangsa yang tinggi untuk menjaga tambatan itu seperti nilai yang ditetapkan.

    Dalam keadaan pasaran kewangan global yang tidak menentu, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel memainkan peranan yang penting sebagai penyerap kejutan luaran, di samping mengurangkan impak terhadap aktiviti ekonomi domestik

    Sehubungan itu, katanya, kerajaan terus komited dan fokus dalam usaha melaksanakan polisi struktural yang berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara bagi menarik aliran masuk dana dan pelaburan asing yang akan menyokong pengukuhan nilai ringgit.

    Ini termasuk menerusi dasar untuk menambah baik iklim pelaburan dan produktiviti Malaysia menerusi pelaksanaan Dasar Pelaburan Baharu (NIP).

    “Kerajaan juga akan memastikan kemampanan fiskal dan keadaan makroekonomi yang stabil akan terus terpelihara dengan merumus dasar fiskal jangka sederhana yang teguh, berhemah dan jelas seperti Dasar fiskal, Akta Tanggungjawab Fiskal yang akan dibentangkan pada Parlimen tidak lama lagi,” katanya.

    Pada masa sama, beliau berkata, BNM akan mengambil pendekatan untuk memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur.

    Malah, bagi menangani kemeruapan pasaran pertukaran asing, bank pusat itu akan terus menguruskan risiko-risiko dari perkembangan domestik dan luaran serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur.

    “Risiko daripada pergerakan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS juga dapat dikurangkan melalui penggunaan instrumen lindung nilai, penekanan kepada pinjaman luar yang berhemah dan kedalaman pasaran mata wang dalam negara yang tinggi,” katanya.

  • PRN: ‘Jangan main isu sensitif, agama, kaum ketika kempen’ – Sultan Selangor

    PRN: ‘Jangan main isu sensitif, agama, kaum ketika kempen’ – Sultan Selangor

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan calon pilihan raya dan penyokong agar tidak memainkan isu berkaitan agama, kaum dan isu sensitif lain yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan kelak.

    Baginda berpesan supaya setiap kempen pilihan raya dijalankan dengan cara berhemah dan bertanggungjawab dengan mematuhi undang-undang pilihan raya sedia ada serta undang-undang lain yang berkaitan.

    “Calon dan penyokong juga diingatkan tidak mencaci, menabur fitnah dan mengadu domba terhadap pihak lawan ketika berkempen bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan rakyat,” titah baginda ketika Istiadat Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Balai Dewan Diraja Istana Alam Shah, di Klang, hari ini.

    Sultan Selangor menjelaskan istiadat berkenaan diadakan lebih awal, hari ini memandangkan baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin akan berangkat menunaikan ibadah haji esok dan dijangka kembali ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji pada 4 Julai ini.

    “Maka oleh yang demikian, Beta dalam menjalankan kuasa diberikan di bawah Fasal (2) Perkara 70 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan setelah berunding dan menerima permintaan pembubaran DUN Selangor dari Menteri Besar, telah berkenan menandatangani Proklamasi Pembubaran Dewan Negeri Selangor hari ini dan akan berkuat kuasa pada hari Jumaat 23 Jun,” titah baginda.

    Dalam masa sama, Sultan Sharafuddin berharap semua pihak dapat mendoakan agar Allah mempermudahkan segala urusan baginda berdua ketika menjalankan ibadah haji dan memperoleh haji yang mabrur.

    Susulan perkenan Sultan Sharafuddin itu, ia menyaksikan DUN Selangor yang diterajui PH dibubarkan dua hari lebih awal daripada mandat yang sepatutnya tamat pada 25 Jun ini.

    Persidangan DUN Selangor yang pertama adalah pada 26 Jun 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.

    Selain Selangor, lima lagi negeri akan berhadapan dengan PRN tahun ini, iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

    Sementara itu, Sultan Selangor juga memaklumkan bahawa pada 28 Julai nanti, baginda akan berangkat ke London untuk menjalani rawatan dan pembedahan Holmium Laser Enucleation of the Prostate (HoLEP) yang akan diketuai oleh Dr Tev Aho.

    “Beta menjangkakan akan kembali ke tanah air pada 15 Ogos 2023. Sekiranya kesihatan Beta mengizinkan, Beta akan berangkat balik lebih awal daripada tarikh berkenaan,” titah baginda.

    Sultan Sharafuddin juga berharap pada sekalian yang hadir dapat mendoakan kesihatan dan kesejahteraan baginda ketika menjalani rawatan itu nanti agar kembali sembuh seperti sediakala bagi membolehkan baginda menjalankan tugas.

  • Pelabur asing jual saham sembilan minggu berturut-turut

    Pelabur asing jual saham sembilan minggu berturut-turut

    PELABUR asing kekal sebagai penjual bersih untuk minggu kesembilan berturut-turut di Bursa Malaysia, dengan aliran keluar asing bersih berkurangan kepada RM189.4 juta berbanding RM443.8 juta pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Research.

    Dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 16 Jun 2023, firma penyelidikan itu berkata pelabur asing adalah penjual bersih pada sepanjang minggu terbabit kecuali pada hari Isnin apabila mereka memilih kaunter seperti Maybank (RM17.7 juta), RHB Bank (RM8.6 juta) dan YTL Corporation (RM8.5 juta).

    Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah pengangkutan dan logistik (RM103.9 juta), pembinaan (RM28.4 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM14.3 juta).

    Dalam pada itu, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM141.4 juta), perladangan (RM60.1 juta) serta produk perindustrian dan perkhidmatan (RM50.4 juta).

    Sebaliknya, MIDF Research berkata pelabur asing terus menjadi pembeli bersih ekuiti Asia untuk minggu ketujuh berturut-turut, dengan belian bersih sebanyak AS$3.04 bilion.

    “Satu-satunya negara yang mencatatkan aliran keluar ialah Indonesia, Thailand dan Malaysia,” katanya.

    Menurut MIDF Research, pelabur institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu ketiga berturut-turut sebanyak RM81.2 juta.

    Setakat ini, institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih ekuiti domestik selama 18 daripada 24 minggu, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM3.20 bilion.

    Pada masa sama, peruncit tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu keempat berturut-turut selepas membeli RM108.3 juta saham, dengan jumlah belian bersih setakat ini sebanyak RM418.2 juta.

    Dari segi penyertaan, firma penyelidikan itu berkata terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan dalam kalangan pelabur runcit (13.7 peratus), institusi tempatan (15.1 peratus) dan warga asing (46.5 peratus).

  • Perbicaraan kes cerai di Perlis diadakan secara tertutup

    Perbicaraan kes cerai di Perlis diadakan secara tertutup

    MAHKAMAH syariah di Perlis akan melaksanakan sesi perbicaraan kes perceraian secara tertutup bermula Julai ini.

    Istana Arau dalam kenyataan berkata keputusan itu dibuat melalui arahan Ketua Hakim Syarie Perlis Jaidi Ahmad setelah dipersembah maklum dan diperkenankan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

    Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan agar perbicaraan secara tertutup dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) bermula 1 Julai 2023.

    Titah perkenan itu dizahirkan ketika program Forum Safar Ilmu MAIPs bersempena cerapan Rukyah Hilal Awal Zulhijjah 1444 Hijrah anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis di Masjid Al Hussain Kuala Perlis semalam.

    Menurut kenyataan itu keputusan berkenaan dibuat bagi menjaga aib pihak-pihak yang terlibat terutamanya membaitkan kes yang mendedahkan keaiban peribadi selain bagi mengelakkan unsur ghibah dan boleh membawa kepada fitnah.

    Jaidi dalam kenyataan sama berkata pelaksanaan berkenaan dibuat hasil penelitian terhadap amalan yang dilaksanakan di Doha, Qatar.

    Sementara itu, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata Islam menegaskan kewajiban menutup aib peribadi seseorang yang tidak boleh diketahui dan diulas oleh pihak lain untuk dimanipulasikan.

    “Masyarakat sering membuat penilaian sendiri tentang hubungan rumah tangga orang lain tanpa memahami situasi yang sebenarnya, padahal tiada kepentingan untuk mereka ambil tahu atau memberi komentar,” katanya dalam kenyataan sama.

  • Suami isteri maut, anak parah kemalangan di LPT2

    Suami isteri maut, anak parah kemalangan di LPT2

    SEPASANG suami isteri warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 392.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Bukit Besi-Ajil, malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira 9 malam tadi, mangsa, Mohd Ghani, 68, dan Minah Abdullah, 69, yang berasal dari Kampung Tok Rimau di Kuala Terengganu maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan manakala anak lelaki mereka yang memandu kenderaan mengalami kecederaan patah kedua-dua belah kaki.

    Ketua Polis Hulu Terengganu Hasmeera Hassan berkata siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mangsa dengan anak lelakinya datang dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu manakala treler pula dari arah Kuantan ke Kota Bharu.

    Beliau berkata ketika di lokasi kejadian, kenderaan terbabit merempuh treler yang berada di lorong kiri dari arah belakang.

    “Rempuhan tersebut menyebabkan kerosakan teruk pada bahagian hadapan kenderaan pacuan empat roda manakala treler yang membawa muatan hampas kelapa sawit hanya pecah tayar kanan dan bengkok besi belakang.

    “Pemandu dan kelindan treler tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda patah kaki kiri dan kanan,” katanya ketika dihubungi.

    Hasmeera berkata mayat mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pihak bomba dari Balai Bomba Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Umat Islam sambut Aidiladha 29 Jun ini

    Umat Islam sambut Aidiladha 29 Jun ini

    UMAT Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun ini, menurut Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Datuk Mohd Aseral Jusman.

    “Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dengan ini mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1444 Hijrah ialah pada 20 Jun 2023 Masihi.

    Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Khamis, 29 Jun 2023 Masihi,” menurutnya dalam pengumuman yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

  • Suami isteri maut, 2 anak parah nahas di LPT2

    Suami isteri maut, 2 anak parah nahas di LPT2

    PASANGAN suami isteri maut manakala dua anak mereka parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 267.2, berhampiran susur keluar Jabor dekat Kemaman, di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Mohd Riduan Mohd Yaacob, 35, dan isterinya, Zahidah Hanisah Mohamad, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

    Dua kanak-kanak dipercayai anak pasangan berkenaan iaitu Muhammad Uwais Wafiuddin, 8, dan Raudhatul Khayra, 3, pula dilaporkan mengalami kecederaan parah.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.14 petang sebelum lapan anggota dengan dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh digerakkan ke lokasi.

    “Tiada kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan itu dan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

    “Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala dua kanak-kanak tersebut masing-masing telah dibawa ke Hospital Kemaman dan Hospital Kuantan untuk diberi rawatan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terenganu, hari ini.

    Menurutnya, operasi JBPM masih diteruskan untuk kerja-kerja pembersihan di lokasi kemalangan.

  • Seorang maut insiden bot bertembung di Pulau Perhentian

    Seorang maut insiden bot bertembung di Pulau Perhentian

    SEORANG kru bot nelayan maut manakala dua penumpang cedera parah dalam insiden dua bot bertembung di perairan Pulau Perhentian dekat Jertih kira-kira pukul 8.15 pagi tadi.

    Mangsa, Rahmat Mat Ariffin, 43, dari Kampung Nail, Kuala Besut disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, nahas itu membabitkan sebuah bot nelayan yang membawa tiga kru serta 10 penumpang dan sebuah bot pelancong yang dinaiki dua kru serta 10 penumpang.

    “Kemalangan dikatakan berlaku ketika bot pelancong dari Pasir Panjang di Pulau Perhentian Kecil (yang dalam perjalanan) ke jeti sebuah pusat peranginan di Pulau Perhentian Besar melanggar bot nelayan yang menjalankan aktiviti sewaan mencandat sotong (yang dalam perjalanan) ke jeti kampung Pulau Perhentian.

    “Akibat pelanggaran tersebut, bot nelayan bocor dan tenggelam manakala seorang kru meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya, dua penumpang cedera parah dan seorang cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Azrol berkata, bot pelancong jenis gentian kaca hanya mengalami kerosakan kecil manakala semua kru serta penumpang termasuk tiga warga asing dan dua kanak-kanak tidak mengalami kecederaan.

    Beliau berkata, mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian oleh bot orang awam sebelum dihantar ke Hospital Besut menggunakan bot Pasukan Polis Marin dan bot ambulans Klinik Kesihatan Pulau Perhentian.

    “Kejadian ini telah dirujuk kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

    “Polis menasihati semua pengusaha dan pemandu bot agar mematuhi peraturan yang ditetapkan semasa berada di perairan seperti memastikan bot dalam keadaan baik serta sentiasa mematuhi peraturan lain yang ditetapkan termasuk memastikan semua kru dan penumpang memakai jaket keselamatan,” katanya.