Author: Bernama

  • Najib dakwa badan kehakiman bersikap tidak adil terhadapnya

    Najib dakwa badan kehakiman bersikap tidak adil terhadapnya

    DATUK  Seri Najib Tun Razak mendakwa badan kehakiman telah bersikap tidak adil terhadapnya.

    Dari kandang tertuduh di Mahkamah Persekutuan hari ini, ahli politik berusia 69 tahun itu berkata sepanjang minggu lepas, beliau menyaksikan peluangnya untuk berjaya dalam rayuan itu terhakis secara perlahan-lahan.

    “Bukan kerana ketiadaan merit tetapi kerana saya tidak diwakili. Saya mendapati keputusan Mahkamah Yang Mulia ini meskipun menghalang peguam saya menarik diri, hakikatnya saya masih tidak diwakili.

    “Yang Arif, saya merayu agar mahkamah tidak mengambil hati dengan apa yang saya luahkan, tetapi ini adalah apa yang saya rasakan. Sebagai seorang tertuduh dan perayu di peringkat akhir kes, perasaan inilah yang paling teruk, iaitu apabila menyedari badan kehakiman menentang saya dengan cara yang paling tidak adil,” kata beliau ketika membaca pernyataan 20 muka surat.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata inilah kali pertama beliau menukar peguam atas sebab yang munasabah dan ini juga kali pertama permohonan penangguhan dalam tempoh empat bulan, tidak seperti kes lain apabila penangguhan kira-kira 70 kali dibenarkan oleh mahkamah.

    “Dikatakan bahawa tertuduh adalah orang paling penting dalam mahkamah jenayah, namun saya berasa dianiaya dan saya rasa perbicaraan yang adil tidak diberikan kepada saya,” katanya.

    — BERNAMA

  • Saya minta maaf jika keputusan tidak berpihak kepada saya – Najib

    Saya minta maaf jika keputusan tidak berpihak kepada saya – Najib

    BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta maaf kepada penyokongnya sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini tidak berpihak kepada beliau.

    Najib, 69, yang keluar berjumpa dengan penyokongnya di luar Istana Kehakiman kira-kira pukul 3.10 petang tadi mendakwa, beliau tidak mendapat keadilan yang wajar walaupun telah berusaha sedaya upaya.

    “Saya ucap terima kasih kepada semua yang hadir dan sokongan padu yang diberikan kepada saya. Saya minta maaf, saya telah berusaha sedaya upaya tetapi nampaknya setiap usaha saya mohon kepada mahkamah telah ditolak,” katanya.

    Najib berkata beliau tidak dapat diwakili oleh peguam, selain tidak mempunyai masa secukupnya untuk membuat persediaan dan tidak dapat menangguhkan kes.

    “Dalam kes lain dapat penangguhan lebih 70 kali tetapi dalam kes saya tidak diizinkan,” katanya tanpa merujuk kepada mana-mana kes secara spesifik.

    Najib yang kelihatan tenang meminta penyokongnya untuk menunggu sebarang keputusan mahkamah dan mendoakan yang terbaik untuknya. 

    Turut menemani Najib ialah dua anaknya iaitu Nooryana Najwa dan Norashman.

    Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

    Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.

    — BERNAMA

  • Permohonan salinan percakapan saksi utama kes Syed Saddiq ditolak

    Permohonan salinan percakapan saksi utama kes Syed Saddiq ditolak

    PIHAK pembelaan pada Selasa gagal mendapatkan salinan rakaman percakapan seorang saksi utama pendakwaan yang direkod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

    Ini berikutan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid yang menolak permohonan peguam Gobind Singh Deo untuk mendapatkan salinan percakapan saksi pendakwaan ke-13, bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rafiq Hakim Razali.

    Sebelum ini, Gobind berhujah pernyataan yang dirakam oleh SPRM pada 2020 itu penting kerana wujud dua senario bercanggah yang diberikan oleh saksi tersebut berhubung kutipan dana untuk tujuan kempen Ahli Parlimen Muar itu.

    Beliau berkata, Rafiq Hakim memberitahu pegawai penyiasat SPRM bahawa wang dalam akaun Armada adalah hasil kutipan dana orang ramai oleh Syed Saddiq sendiri untuk berkempen di Muar, namun ketika memberi keterangan lisan di mahkamah, saksi itu menyatakan dana tersebut dikumpul untuk kegunaan Armada.

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bagaimanapun memohon permohonan itu ditolak atas alasan pembelaan gagal meyakinkan mahkamah bahawa mereka telah memenuhi syarat di bawah Seksyen 51 Kanun Tatacara Jenayah.

    Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpue pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur antara 8 dan 21 April 2018.

    Ahli Parlimen Muar itu juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – Bernama

  • Permohonan Muhammad Shafee untuk tangguh hujah prosiding Ketua Hakim tarik diri ditolak

    Permohonan Muhammad Shafee untuk tangguh hujah prosiding Ketua Hakim tarik diri ditolak

    SELEPAS digugurkan daripada menjadi peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lepas, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat kemunculan semula dalam prosiding rayuan terakhir bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Persekutuan hari ini.

    Terdahulu, Peguam baharu Najib, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa Muhammad Shafee akan membantu beliau dalam permohonan Najib agar Ketua Hakim Negara itu menarik diri daripada mendengar rayuan kes itu.

    Tengku Maimun berkata “saya ingat beliau telah digugurkan” dan meminta Hisyam meneruskan hujahan sementara menunggu Muhammad Shafee.

    Apabila Muhammad Shafee tiba di mahkamah, beliau menjelaskan bahawa pendiriannya hari ini yang memohon agar prosiding itu ditangguhkan bukanlah satu taktik untuk melengahkan pendengaran rayuan tersebut.

    “Saya hanya dimaklumkan mengenai perkara ini oleh Hisyam dua jam lepas dan saya tidak memiliki sebarang bahan dengan saya.

    “Lagipun, integriti badan kehakiman sedang terancam. Tiada salahnya membenarkan penangguhan bagi membolehkan saya menyediakan hujahan dalam tempoh 24 jam. Keadilan mesti dilihat ditegakkan,” katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V. Sithambaram membantah permohonan itu atas alasan ia akan menghuru-harakan rayuan kes tersebut.

    “Yang Amat Arif, ini bukan kali pertama, di Mahkamah Rayuan sekali pun, sehari sebelum penghakiman pada 8 Dis (tahun lepas), mereka (pembelaan) memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti baharu. Ini adalah satu kesalahan yang serius.

    “Saya telah memulakan hujahan minggu lepas manakala mereka enggan berhujah. Permohonan ini adalah mala fide semata-mata, justeru saya membantah penangguhan itu,” katanya.

    Tengku Maimun menolak permohonan itu atas alasan tiada sebab untuk menangguhkan prosiding penarikan diri beliau daripada mendengar rayuan Najib dan meminta Hisyam meneruskan hujahannya.

    Muhammad Shafee kemudian menyoal “Bolehkah saya kembali esok?”

    Tengku Maimun berkata terpulang kepada peguam itu sama ada beliau ingin kembali esok.

    “Jika kita teruskan hari ini, semuanya akan selesai hari ini. Tiada alasan untuk kamu (Muhammad Shafee) kembali esok. Malah, tiada siapa perlu kembali esok,” kata Ketua Hakim Negara itu.

    Hisyam kemudian meneruskan hujahan beliau mengenai permohonan agar Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan kes SRC Najib.

    Mahkamah menangguhkan sementara prosiding hari ini untuk membincangkan permohonan Najib berhubung penarikan diri Tengku Maimun.

    Terdahulu, Muhammad Shafee tiba di Istana Kehakiman pada 11.15 pagi dan dilihat meninggalkan kompleks mahkamah pada kira-kira 11.45 pagi.

    — BERNAMA

  • Perkhidmatan palsu, alamat palsu antara pendedahan dalam laporan audit forensit LCS

    Perkhidmatan palsu, alamat palsu antara pendedahan dalam laporan audit forensit LCS

    BUKTI penyelewengan dan kelemahan tadbir urus berhubung program kapal tempur pesisir (LCS) telah dikumpulkan seawal 2010 lagi, menurut laporan audit forensik oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd bagi Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC).

    Laporan yang tidak lagi diklasifikasikan sebagai rahsia dan dimuat naik ke laman web rasmi Parlimen malam ini, menyatakan bukti-bukti mengesahkan bahawa vendor bagi program itu sudah ditentukan walaupun sebelum Surat Anugerah (LOA) dikeluarkan oleh kerajaan, memihak kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

    Laporan itu juga mendapati bahawa syarat kebanyakan LOA dan Pesanan Variasi lebih menguntungkan sebuah syarikat bernama Contraves Advanced Devices Sdn Bhd, dengan kebanyakan LOA kepada syarikat itu dikeluarkan tanpa dibentangkan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pemandu LCS (LCSSC) untuk kelulusan mereka.

    Menurutnya keputusan utama juga diambil melalui Resolusi Pekeliling Pengarah tanpa mengadakan mesyuarat Lembaga, sekali gus tambah menjejaskan ketelusan dan peluang untuk berbincang secara terperinci dan meneliti dokumen penting tertentu sebelum resolusi diluluskan.

    Lembaga tidak mengendahkan nasihat bekas Panglima Tentera Laut yang membangkitkan bantahan pada mesyuarat Lembaga mengenai pemilihan DCNS untuk komtrak Reka Bentuk dan sokongan.

    Kontrak pembekalan enam LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menjadi isu hangat selepas didedahkan bahawa projek yang dijadualkan untuk dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun dari 3 Okt 2013 hingga 2 Okt 2023 itu, hanya 53.29 peratus siap pada 31 Mei 2019.

    Berdasarkan laporan Jawatankuasa Penyiasat Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan yang didedahkan pada Rabu, RM5.94 bilion telah dibayar Kementerian Pertahanan kepada BNS untuk projek berkenaan setakat ini.

    LOA telah diberikan kepada BNS pada 16 Dis 2011, dengan kontrak terakhir hanya ditandatangani pada 17 Julai 2014, kira-kira dua setengah tahun selepas LOA ditandatangan pada harga kontrak RM9 bilion.

    Menurut IFA, Terma Rujukan (TOR) LCSSC juga didapati berat sebelah kerana ahli jawatankuasa itu akan dipilih oleh Pengarah Urusan BHIC tanpa perundingan dengan Lembaga Pengarah, dengan MD akan menjadi Pengerusi.

    “Ini memberikan MD kawalan mutlak dan mengakibatkan kekurangan kebebasan dalam kalangan ahli jawatankuasa yang lain. Akibatnya ahli menjadi berlebihan dan gagal melaksanakan fungsi mereka yang dipilih untuk berada di dalam LCSSC,” katanya.

    Selain itu bayaran RM23.37 juta melibatkan beberapa syarikat kerana menyediakan perkhidmatan teknikal perkhidmatan penilaian yang berkaitan dengan Kapal Peronda Generasi Kedua (SGPV), didapati ia adalah perkhidmatan palsu.

    “Invois untuk perkhidmatan yang tidak wujud itu digunakan sebagai cara untuk melarikan dana, kerana syarikat-syarikat ini telah memberikan alamat palsu pada invois mereka dan pembayaran telah dialihkan ke tempat lain.

    “Salah satu daripada syarikat itu adalah milik orang sama yang turut terlibat dalam Alizes Marine. Keseluruhan wang yang dikeluarkan untuk Alizes Marine disyaki diterima oleh sebuah syarikat yang berdaftar di Labuan,” katanya.

    Walaupun dengan pelbagai tanda amaran dibangkitkan oleh bekas pegawai serta sekutu syarikat berkenaan mengenai pelbagai penyelewengan dalam pelaksanaan program LCS, tiada langkah-langkah pembetulan diambil di pihak pengurusan mahupun Pengerusi Lembaga BHIC bagi menghentikan penyalahgunaan kuasa.

    — BERNAMA

  • Hujan Lebat: 10 kenderaan rosak ditimpa pokok di ibunegara

    Hujan Lebat: 10 kenderaan rosak ditimpa pokok di ibunegara

    SEBANYAK tujuh kereta dan tiga buah motosikal rosak ditimpa pokok di lapan lokasi sekitar ibu kota susulan angin kencang dan hujan lebat yang berlaku kira-kira 4 hingga 6 petang tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata kejadian kereta rosak akibat pokok tumbang dilaporkan di hadapan  sebuah kondominium di Bukit Kiara melibatkan dua buah kereta.

    “Kejadian di Bukit Tunku dan Jalan Kuang masing-masing melibatkan sebuah kereta, di Kampung Kasipillay pula melibatkan sebuah kereta yang dinaiki oleh dua individu, mereka bagaimanapun tidak mengalami apa-apa kecederaan.

    “Selain itu, kejadian di Damansara Height pula melibatkan sebuah kereta manakala di Stesen Bas Jalan Duta sebuah kereta dan tiga buah motosikal rosak ditimpa pokok tumbang,” katanya ketika dihubungi malam ini.

    Menurutnya, kejadian yang sama di Taman Duta dan di Hadapan Kompleks KDN di Jalan Duta, di sini, tidak melibatkan apa-apa kerosakan kenderaan.

    — BERNAMA

  • Baharuddin dilantik Pemangku Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman

    Baharuddin dilantik Pemangku Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman

    DATUK Baharuddin Ahmad dilantik sebagai pemangku jawatan Pengarah Cawangan Khas berkuat kuasa mulai esok, menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

    Menerusi kenyataan hari ini, Acryl Sani berkata lantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri Zamri Yahya yang akan bersara wajib selepas 36 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “PDRM yakin Baharuddin mampu memikul amanah yang diberikan dengan cemerlang berdasarkan pengalamannya yang luas dalam bidang penugasan Cawangan Khas,” katanya.

    Acryl Sani turut merakamkan penghargaan kepada Zamry sepanjang kepimpinan beliau yang cemerlang dan kesetiaan serta khidmat baktinya dalam PDRM.

    Majlis serah tugas yang berlangsung itu antara lain turut menyaksikan penyerahan jawatan Pengerusi Perkep Cawangan Khas Datin Seri Dr Sazilah Tun Ahmad Sarji kepada pemangkunya Datin Hasimah Yon Mohd Isa.

    — BERNAMA

  • “Saya tidak guna sumbangan politik RM6 juta untuk kepentingan peribadi” – Ahmad Zahid

    “Saya tidak guna sumbangan politik RM6 juta untuk kepentingan peribadi” – Ahmad Zahid

    BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau tidak pernah menggunakan wang RM6 juta yang didakwa sumbangan politik daripada Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad (DGB), Chew Ben Ben untuk kepentingan peribadinya.

    Beliau juga berulang kali menegaskan, beliau memilih untuk tidak memasukkan wang RM6 juta tersebut ke dalam akaun peribadinya atau digunakan untuk kepentingan peribadinya.

    “Walaupun pada ketika itu saya memegang jawatan Timbalan Presiden parti (UMNO) dan wang terbabit boleh digunakan bagi tujuan politik, saya tidak menggunakannya untuk tujuan politik dan peribadi, sebaliknya disalurkan untuk amal jariah, wakaf dan aktiviti keagamaan,” katanya ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob.

    Beliau berkata demikian semasa membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana YAB.

    Kepada soalan Abdul Malik mengapa wang RM6 juta yang didakwa beliau sebagai sumbangan politik tidak dimasukkan ke dalam akaun parti politik UMNO atau Barisan Nasional, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjawab ‘tidak semestinya’.

    “Sekiranya mana-mana ahli politik menerima sumbangan politik, tidak semestinya wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun parti politik, kerana pada cek tersebut tidak dinyatakan ‘sumbangan kepada parti politik’

    “Tetapi sekiranya wang diberikan kepada mana-mana ahli politik, beliau mempunyai budi bicara untuk memasukkannya ke dalam akaun peribadinya atau ke dalam mana-mana akaun yang difikirkan sesuai,” katanya.

    Ahmad Zahid juga tidak bersetuju dengan cadangan Abdul Malik bahawa wang RM6 juta yang diterimanya daripada Chew merupakan wang rasuah atas usahanya kerana menyokong pemberian kontrak kepada Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB), yang mempunyai prestasi tidak baik dalam melaksanakan projek cip pasport Biodata Polycarbonate Pasport Malaysia.

    Berdasarkan pertuduhan ke-14 dan 15 yang dihadapinya, Ahmad Zahid didakwa menerima dua suapan berjumlah RM6 juta daripada Chew sebagai upah melantik syarikat DTSB, melaksanakan projek cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman
    Biodata Polycarbonate Pasport Malaysia, untuk Jabatan Imigresen secara rundingan terus di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pukul 2 petang. – BERNAMA

  • Rakan, individu terakhir jumpa Zalina – Polis

    Rakan, individu terakhir jumpa Zalina – Polis

    SEORANG rakan kepada Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman, dipercayai individu terakhir bertemu dengan bekas pembaca berita itu sebelum beliau dilaporkan hilang sehingga kini.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata ia susulan keterangan diambil daripada individu berusia 30an itu pada 16 Ogos lepas.

    “Berdasarkan keterangan yang diambil, individu tersebut bertemu dengan Zalina pada Julai 2021 dan ketika pertemuan tersebut, Zalina dalam keadaan sihat serta seperti biasa sahaja.

    “Orang terakhir itu adalah rakan kepada Zalina sahaja dan bukan ahli keluarga atau pekerja binaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, hasil siasatan mendapati individu itu tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan Zalina selain tiada perkembangan terbaru melibatkan kes itu sehingga kini.

    Polis menerima laporan mengenai kehilangan Zalina, 58, daripada anak lelakinya Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

    Polis percaya Zalina masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkannya yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.–Bernama

  • Kerap hadir program bukan bermakna bertanding di Putrajaya – Dr Radzi

    Kerap hadir program bukan bermakna bertanding di Putrajaya – Dr Radzi

    MENTERI Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin hari ini menepis desas-desus  akan bertanding di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) susulan kekerapan menghadiri pelbagai program di pusat pentadbiran kerajaan itu sejak akhir-akhir ini.

    Radzi yang pernah bertanding pada PRU14 di Parlimen Ketereh, Kelantan pada 2018 itu berkata kehadirannya pada setiap program adalah bagi memenuhi jemputan kerana ia adalah anjuran Kementerian Pendidikan (KPM).

    Beliau yang juga Naib Presiden Bersatu itu berkata Putrajaya dipilih sebagai lokasi bagi setiap program bagi memudahkan pergerakan logistik dari KPM dan menjimatkan masa.

    “Ia (program KPM) diadakan di Putrajaya sebab banyak sangat program dan kita perlu cari lokasi dekat (KPM), mudahkan pergerakan. Itu penting.

    “Dalam bulan ini (Ogos) hingga September, hampir hari-hari akan ada program atau pelancaran perkara baharu bagi mengisi slot ‘Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan’,” katanya pada sidang media selepas melancarkan platform pembelajaran digital KPM Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMA): Agenda Digital Kita di sini hari ini.

    Sepanjang minggu lepas, Radzi telah menghadiri beberapa majlis di Putrajaya antaranya Kejohanan Bola Tampar Amatur di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 16 (1) pada 7 Ogos, Showcase Transformasi Pendidikan di Pusat Beli Belah Alamanda (13 Ogos), program Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat di SMK Putrajaya 14 (1) (18 Ogos), Majlis Transformasi Pendidikan Pemerkasaan Teknologi Informasi dan Komunikasi (ICT) di SMK Presint 18 (1) (20 Ogos) dan hari ini pelancaran DELIMA KPM di SMK Putrajaya Presint 8 (1).

    Timbul desas-desus Radzi sedang ‘mengintai’ kerusi Parlimen Putrajaya pada PRU15 selepas tewas pada PRU14 di tangan penyandang kerusi Parlimen Ketereh Tan Seri Annuar Musa.

    Parlimen Putrajaya disandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memegang kerusi itu selama empat penggal. – BERNAMA