Author: Bernama

  • Alza bawa 10 PATI terbabit kemalangan, pemandu ditahan

    Alza bawa 10 PATI terbabit kemalangan, pemandu ditahan

    SEORANG lelaki tidak sempat menerima habuan membawa 10 pendatang asing tanpa izin (PATI), apabila dia ditahan polis selepas kereta Perodua Alza dipandunya terbabit kemalangan jalan raya di Kampung Tok Dor dekat sini semalam.

    Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata dalam kejadian pada 7.20 pagi itu, suspek yang ‘menyumbat’ 10 penumpang (semua lelaki) dalam kereta tersebut, dikatakan ditawarkan upah RM1,200 bagi membawa pendatang asing itu dari Chiku di Gua Musang, Kelantan ke Gambang, Pahang.

    “Suspek dikatakan terlelap semasa memandu menyebabkan keretanya melanggar belakang sebuah kereta Proton Persona di hadapannya. Kereta yang dilanggar tersebut kemudian hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira dari arah bertentangan.

    “Tiga pendatang asing tanpa izin yang cuba melarikan diri dari tempat kemalangan berjaya diberkas oleh orang awam, manakala pemandu dan seorang lagi pendatang asing yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Besut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurutnya empat pendatang asing tanpa izin (termasuk seorang yang cedera) yang gagal melarikan diri berusia 19 hingga 47 tahun ditahan bersama pemandu berusia 34 tahun itu, dan pihaknya masih mengesan enam lagi yang masih lolos.

    Abdul Rozak berkata siasatan awal ke atas pemandu kereta itu mendapati pada Isnin lepas dia dihubungi seorang lelaki warganegara Thailand dikenali sebagai ‘Pak Do’ yang menawarkan upah untuk memandu dan membawa pendatang asing tanpa izin menggunakan kereta Perodua Alza yang disediakan Pak Do.

    “Hasil semakan kesalahan lampau pemandu itu mempunyai dua rekod kesalahan dadah, manakala ujian saringan air kencing pula mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

    “Polis turut merampas empat biji pil berwarna kemerahan dipercayai pil kuda dan enam unit telefon bimbit,” katanya.

    Abdul Rozak berkata lelaki itu ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, manakala pendatang asing tanpa izin ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

    Menurutnya kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

  • Tertembak peluru berpandu ke Pakistan, tiga tentera India dipecat

    Tertembak peluru berpandu ke Pakistan, tiga tentera India dipecat

    KERAJAAN India memecat tiga pegawai tenteranya ekoran insiden melancarkan peluru berpandu ke Pakistan pada Mac.

    Perkhidmatan mereka ditamatkan berkuat kuasa serta-merta, menurut Tentera Udara India.

    Siasatan mendapati berlakunya pengabaian terhadap prosedur operasi standard oleh tiga pegawai berkenaan sehingga membawa kepada insiden menembak peluru berpandu dengan tidak sengaja, menurut pihak tentera dalam satu kenyataan pada Selasa.

    Peluru berpandu BrahMos, ialah sistem senjata yang dibangunkan Rusia dan India, terhempas berhampiran bandar Mian Channu di wilayah Punjab pada 9 Mac.

    Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan susulan insiden berkenaan dan Kementerian Pertahanan India pada ketika itu mengeluarkan kenyataan mengenai berlakunya “kepincangan teknikal”.

    Pakistan membantah keras insiden itu dan menyifatkannya sebagai “pencabulan tanpa provokasi” terhadap ruang udaranya.- BERNAMA

  • PBD komponen penting bantu kembangkan prestasi murid

    PBD komponen penting bantu kembangkan prestasi murid

    PELAKSANAAN Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) di dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilihat menjadi komponen penting dalam membina dan mengembangkan potensi murid, khusus dengan adanya langkah intervensi.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pelaporan baharu PBD bagi setiap mata pelajaran di sekolah mempunyai tiga aspek meliputi penguasaan mata pelajaran, ujian akhir tahun dan komponen usaha murid dalam memberi pelaporan menyeluruh terhadap prestasi murid.

    “Kerana terdapat situasi ibu bapa lihat anaknya rajin tetapi apabila sampai masa keputusannya tidak tinggi. Melalui tiga pendekatan ini, jika anak kita dapat tahap penguasaan lima (markah penilaian), ujian akhir tahun (dua) dan usaha (enam) bererti anak murid itu adalah seorang pelajar yang rajin.

    “Namun, terdapat beberapa topik pada mata pelajaran itu yang dia sangkut. Maka, dengan adanya pelaporan PBD ini, di situ kita dapat bantu murid itu,” katanya pada program Ruang Bicara terbitan BernamaTV yang disiarkan hari ini.

    Radzi berkata PBD jika dibandingkan dengan sistem pembelajaran sebelum ini, dilihat mampu mengembangkan potensi murid secara total berikutan prestasi mereka tidak diukur dan terhad hanya kepada peperiksaan semata-mata.

    “Anak-anak kita ini mempunyai kekuatan masing masing dan kita perlu pastikan supaya kita tidak ‘bunuh’ potensi anak-anak ini di peringkat yang terlalu awal.

    “Sebelum ini, kalau lihat keputusan UPSR, maka itulah (keputusannya), tiada langkah intervensi. Di situ berlakunya perkara seperti murid yang tidak boleh membaca meskipun sudah di peringkat sekolah menengah, kerana tiada langkah intervensi dilakukan bagi menangani perkara ini,” katanya.

    Pada April tahun lepas, Radzi telah mengumumkan pemansuhan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2021 sekali gus memberi tumpuan terhadap pemerkasaan PBS manakala kemasukan ke sekolah berasrama penuh dan sebagainya mulai 2022 adalah berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

    — BERNAMA

  • Penggunaan kanabis dalam perubatan: Malaysia minat belajar dari Thailand

    Penggunaan kanabis dalam perubatan: Malaysia minat belajar dari Thailand

    MALAYSIA berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kanabis terutama dalam aspek aplikasi berasaskan penyelidikan dan produk farmaseutikal untuk kegunaan perubatan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau juga berharap Malaysia dan Thailand akan terus saling bertukar pengetahuan teknikal dan penyelidikan klinikal untuk memastikan keselamatan serta keberkesanan produk kanabis dalam perubatan.

     “Pegawai kami (Malaysia dan Thailand) masih meneruskan pertukaran maklumat teknikal supaya kami lebih memahami bukti klinikal penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan serta kerangka kerja pengawalseliaan baharu,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatannya Anutin Charnvirakul, di sini, Selasa. 

    Khairy sedang mengadakan lawatan kerja empat hari atas undangan Anutin, yang juga Timbalan Perdana Menteri Thailand.

    Terdahulu, Khairy melawat Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan (GPO) dan diberi taklimat mengenai dasar perubatan kanabis di Thailand, termasuk amalan, kaedah penanaman dan penyelidikan serta penggunaan kanabis dan ketum untuk tujuan kesihatan.

    Pada 9 Jun, Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk perubatan.

    Khairy berkata beliau dan Anutin turut berbincang mengenai potensi dan peluang Thailand membekalkan Malaysia produk kanabis melalui GPO untuk tujuan penyelidikan klinikal bagi keselamatan dan keberkesanan penggunaan produk kanabis. 

    “Saya turut meminta Anutin untuk mengkaji kemungkinan Malaysia membekalkan Thailand dengan daun dan pokok ketum mentah,” katanya.

    Khairy turut mengucapkan terima kasih kepada Anutin yang telah mempelawa untuk mengetahui potensi penggunaan kanabis dan ketum serta kerangka kerja undang-undang untuk kegunaan perubatan.

    “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Anutin dan Kementerian Kesihatan Awam Thailand yang telah berjaya mengubah kanabis menjadi sesuatu yang membawa manfaat kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat Thailand,” katanya. 

    Beliau berkata penanaman kanabis menawarkan sumber pendapatan baharu untuk petani dan orang ramai.

    Apabila ditanya sama ada Malaysia bercadang untuk membenarkan penggunaanya untuk tujuan perubatan, Khairy berkata “jika terdapat bukti klinikal yang membolehkannya”.

    “Antara ilmu penting yang diperoleh daripada pengalaman di Thailand ialah mengenai data klinikal dan data yang dikumpul sejak penggunaan kanabis untuk perubatan.

    “Sekiranya kami berpuas hati dengan data itu, pasti akan mempengaruhi kami untuk membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan,” katanya.

    Beliau berkata langkah Thailand dalam menerajui usaha membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk tujuan perubatan ialah contoh yang baik di rantau ASEAN dengan negara anggota lain boleh menggunakan data yang ada bagi merangka dasar.

    Sementara itu, Anutin berkata beliau berharap dapat berkongsi pengalaman Thailand dalam perubatan kanabis dengan Khairy dan Malaysia.

    Anutin juga berbesar hati untuk berkongsi pengalamannya tentang proses membenarkan kanabis dalam perubatan.

    Terdahulu, Khairy melawat Hospital Antarabangsa Bumrungrad, antara hospital swasta terbesar di Asia Tenggara, untuk mempelajari amalan terbaik dalam pelancongan perubatan. – BERNAMA

  • 10 pelajar kolej ditahan pukul rakan hingga cedera

    10 pelajar kolej ditahan pukul rakan hingga cedera

    POLIS menahan 10 pelajar lelaki di sebuah kolej vokasional di Wangsa Maju, di Kuala Lumpur semalam kerana disyaki memukul seorang pelajar lain hingga mencederakan pelajar itu.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata penahanan kesemua pelajar berusia 16 hingga 20 tahun itu susulan daripada laporan polis dibuat seorang wanita semalam berkenaan kes itu.

    Beliau berkata pengadu seorang wanita tempatan yang merupakan ibu mangsa telah menerima makluman daripada warden asrama mengatakan anaknya tidak sihat dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan. 

    “Mangsa (lelaki) memaklumkan bahawa beliau telah dipukul beramai-ramai oleh rakan-rakan senior kolej semasa berada di surau asrama. 

    Mangsa mengalami kecederaan di bahagian tulang rusuk, pinggang serta sakit di keseluruhan badan akibat dipukul,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Beliau berkata sehubungan itu, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya. 

    Ashari berkata kes ini masih dalam siasatan dan menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. 

    “Tindakan akan diambil kepada mana-mana individu yang melanggar undang-undang tanpa mengira pesalah itu berstatus pelajar,” katanya.- BERNAMA  

  • Pemilik kedai kopi terkenal di Ipoh

    Pemilik kedai kopi terkenal di Ipoh

    SEORANG pemilik kedai kopi terkenal di Ipoh dilaporkan hilang selepas keluar dari kedainya di Jalan Sultan Iskandar di sini, Ahad lepas.

    Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata Kamarudin Daud, 58, dilaporkan kali terakhir dilihat ketika keluar dari kedai kopi miliknya kira-kira pukul 9.20 pagi.

    Beliau berkata menurut laporan daripada menantu lelakinya yang berusia 26 tahun, bapa mentuanya keluar dengan membawa barang peribadi dan sebuah beg.

    “Kebiasaannya mangsa keluar untuk membeli barang sahaja tetapi sehingga laporan polis dibuat, mangsa masih tidak balik ke kedai dan rumah.

    “Mangsa dilihat kali terakhir memakai kemeja-T berwarna hitam dan hijau dan bertulis ‘Islam’ berwarna hijau,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Yahaya berkata tiada rekod mangsa dimasukkan atau didaftarkan di mana-mana hospital termasuk Hospital Raja Permaisuri Bainun dan hospital swasta berhampiran.

    “Ini adalah kali pertama mangsa keluar dari rumah tanpa memberitahu apa-apa dan kemungkinan mangsa merajuk dan berlaku selisih faham antara keluarga. Namun punca sebenar mangsa keluar dari rumah masih tidak dapat dikenal pasti,” katanya.

    Kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.

    — BERNAMA

  • Deraf penghakiman kes Najib bocor, Pejabat Ketua Pendaftar buat laporan polis

    Deraf penghakiman kes Najib bocor, Pejabat Ketua Pendaftar buat laporan polis

    PIHAK Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) telah membuat laporan polis berkenaan deraf kerja penghakiman berhubung rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak, yang telah bocor kepada pihak media hari ini.

    Dalam satu kenyataan lewat petang ini, pihak PKPMP merujuk kepada satu laporan yang disiarkan portal Malaysia Today hari ini bertajuk “Najib’s Razak SRC Appeal: The Judgement” yang  mengandungi deraf kerja yang belum dimuktamadkan serta dokumen bocor yang telah diubah suai.

    “Penyiasatan dalaman telah dimulakan dan pejabat ini mengesahkan dokumen tersebut merupakan deraf kerja yang belum dimuktamadkan. Penghakiman muktamad hanya disampaikan di mahkamah terbuka pada lebih kurang jam 4 petang pada tarikh yang sama,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu juga memaklumkan perbuatan membocorkan deraf kerja merupakan suatu tindakan sengaja  untuk menjejaskan integriti pengoperasian mahkamah dan pentadbiran keadilan.

    “Badan Kehakiman tidak akan diganggu-gugat oleh perbuatan-perbuatan yang menyalahi undang-undang dan menjejaskan integriti sistem kehakiman negara,” katanya.

    Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

    — BERNAMA

  • Najib tidak pernah pertikai RM42 juta dideposit ke akaunnya – Mahkamah Persekutuan

    Najib tidak pernah pertikai RM42 juta dideposit ke akaunnya – Mahkamah Persekutuan

    MAHKAMAH  Persekutuan hari ini memutuskan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mempertikai RM42 juta didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya sepanjang perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

    Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan penghakiman setebal 15 muka surat itu berkata, teras pembelaan Najib adalah untuk mencabar elemen mens rea atau niat melakukan jenayah iaitu beliau menafikan pengetahuan bahawa dana itu adalah daripada SRC.

    Hakim nombor satu negara itu berkata pihak pendakwaan berpendirian bahawa pihak pembelaan tidak wajar dipercayai kerana di satu pihak, mereka mendakwa RM42 juta yang dikatakan telah diperoleh secara salah oleh perayu (Najib) sehingga menyebabkan kerugian kepada SRC tidak beliau ketahui.

    Beliau berkata sebaliknya, perayu juga menegaskan bahawa beliau telah dianiaya dalam konspirasi oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, Allahyarham Datuk Azlin Alias ​​(ketika itu setiausaha sulit utama Najib), Nik Faisal Ariff Kamil (bekas ketua pegawai eksekutif SRC), dan pegawai bank.

    “Perayu juga mempertahankan bahawa wang yang dikreditkan ke dalam akaun peribadi di bank  AmIslamic yang menjadi subjek enam pertuduhan terakhir, adalah derma dari Arab Saudi.

    “Responden berhujah mereka sentiasa mengekalkan dalam perbicaraan bahawa pembelaan sama sekali tidak konsisten dan bercanggah. Responden juga merujuk kepada bukti dokumen yang membuktikan perayu telah membelanjakan RM42 juta,” katanya.

    Ketua Hakim Negara seterusnya berkata Hakim Mahkamah Tinggi (Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali) tidak terkhilaf dalam menilai semua keterangan yang dikemukakan berhubung pembelaan dan tidak mempercayai naratif pembelaan.

    Tengku Maimun berkata mahkamah membuat kesimpulan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pembelaan adalah betul.

    “Dalam membuat kesimpulan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, kami mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah menjalankan analisis menyeluruh terhadap keterangan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

    “Oleh itu, kami tidak dapat membuat kesimpulan bahawa mana-mana dapatan Mahkamah Tinggi, seperti yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan adalah jelas salah sehingga memerlukan campur tangan rayuan. Kami bersetuju bahawa pembelaan sememangnya tidak konsisten dan luar biasa sehingga tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan,” kata Ketua Hakim Negara.

    — BERNAMA

  • Najib akan jalani hukuman mulai hari ini di Penjara Kajang

    Najib akan jalani hukuman mulai hari ini di Penjara Kajang

    BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjalani hukuman penjara 12 tahun  mulai hari ini.

    Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

    Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata selepas meneliti bukti, hujahan dan rekod-rekod rayuan, adalah didapati rungutan perayu sepertimana terkandung dalam petisyen rayuan tidak mempunyai merit.

    “Mengenai keseluruhan bukti, kami mendapati sabitan ke atas semua tujuh pertuduhan ke atas perayu adalah selamat. Kami juga mendapati hukuman yang dijatuhkan adalah tidak keterlaluan.

    Oleh itu rayuan ini ditolak sebulat suara dan sabitan serta hukuman dikekalkan,” kata beliau.

    Semasa memerintahkan Najib untuk menjalani hukuman serta-merta, Tengku Maimun berkata: ”Saya keluarkan waran komital.”

    Peguam utama Najib,  Hisyam Teh Poh Teik kemudian memohon penangguhan hukuman sementara satu permohonan semakan ke atas keputusan hari ini.

    “Permohonan ditolak. Mahkamah ditangguhkan,” Tengku Maimun berkata demikian sebelum meninggalkan  mahkamah.

    Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

    Najib dijangka menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.

    –BERNAMA

  • Rayuan MB Kedah dalam kes saman fitnah ditangguh

    Rayuan MB Kedah dalam kes saman fitnah ditangguh

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menangguhkan pendengaran rayuan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya membayar ganti rugi RM50,000 kepada Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berhubung saman berkaitan kenyataan fitnah.

    Semasa prosiding dalam talian Hakim Datuk Lee Swee Seng memberitahu peguam terlibat bahawa pihak mahkamah tidak dapat mendengar rayuan hari ini memandangkan mereka perlu menghadiri mesyuarat pada pukul 3 petang tadi.

    Terdahulu mahkamah mendengar beberapa rayuan kes lain di sebelah pagi, yang berlarutan hingga pukul 2 petang, dan mahkamah mempunyai dua lagi kes yang perlu didengar hari ini termasuk rayuan Muhammad Sanusi.

    Swee Seng bersama dua lagi panel hakim, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, kemudian mengarahkan supaya pengurusan kes diadakan esok bagi menetapkan tarikh pendengaran baharu.

    Pada 8 November lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Muhammad Sanusi membayar RM50,000 sebagai ganti rugi selepas membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Mahfuz.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran turut memerintahkan Muhammad Sanusi menulis permohonan maaf kepada plaintif di laman Facebook milik defendan dalam tempoh 14 hari dan memerintahkan defendan membayar kos tindakan guaman kepada plaintif berjumlah RM15,000.

    Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi yang menegah defendan atau ejen-ejennya daripada menerbitkan kata-kata fitnah terhadap plaintif pada masa hadapan.

    Pada 9 Oktober 2019, Mahfuz memfailkan saman itu berdasarkan hantaran dibuat oleh Muhammad Sanusi dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019 yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan itu.

    Mahfuz juga mendakwa Muhammad Sanusi menerbitkan satu video berdurasi 7 minit 57 saat di akaun Facebooknya pada 27 Julai 2019 yang memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.

    Peguam Yusfarizal Yussoff dan Mohd Faizi Che Abu mewakili Muhammad Sanusi, manakala Mahfuz diwakili peguam Noorazmir Zakaria. – Bernama.