Author: Bernama

  • Anak Mat Sabu kekal bebas tuduhan salah guna dadah

    Anak Mat Sabu kekal bebas tuduhan salah guna dadah

    ANAK bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam hari ini kekal bebas atas tuduhan penyalahgunaan dadah, tiga tahun lepas.

    Ini berikutan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said, yang menolak rayuan pihak pendakwaan selaku perayu bagi mengetepikan keputusan hakim Mahkamah Tinggi berhubung pembebasan Ahmad Saiful Islam, 34.

    “Mahkamah telah mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak dan tidak bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah dari segi fakta dan undang-undang kerana membenarkan rayuan Ahmad Saiful Islam.

    “Mahkamah berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah mempertimbangkan keterangan secara keseluruhan dan mahkamah ini mendapati tiada keraguan terhadap keputusan hakim itu yang melepas dan membebaskan Ahmad Saiful Islam.

    “Oleh itu, rayuan pendakwaan ditolak dan keputusan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk M. Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.

    Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 2.05 pagi, 5 Jan 2019.

    Pada 27 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Ahmad Saiful Islam atas pertuduhan itu selepas membenarkan rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret pada 24 Jun 2020.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika membuat keputusan itu berkata pengambilan hanya satu botol air kencing telah membuka kemungkinan berlakunya pencemaran kerana sampel yang sama digunakan oleh polis untuk ujian saringan dan ahli kimia untuk ujian pengesahan.

    Beliau berkata mahkamah mendapati kegagalan pihak polis untuk mematuhi garis panduan dengan tidak mengambil dua botol sampel air kencing telah menyebabkan sabitan itu cacat.

    Sebelum ini, Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas Ahmad Saiful Islam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai manakala Ahmad Saiful Islam diwakili peguam Datuk Nicholas Kow, Nasar Khan dan Emile Ezra Hussain.- BERNAMA

  • Seorang maut, 4 cedera kereta terhumban ke laut

    Seorang maut, 4 cedera kereta terhumban ke laut


    SEORANG lelaki maut dan empat rakannya cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu terhumban ke dalam laut di Jalan Persiaran Pantai Kuala Perlis-Sungai Baru, Simpang Empat di Kangar malam tadi.

    Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata dalam kejadian pada 11 malam itu, kereta jenis Proton Wira yang dinaiki lima mangsa itu menuju ke arah Sungai Baru sebelum terbabas di kiri jalan dan melanggar benteng batu pemecah ombak sebelum terjunam ke dalam laut.

    “Seorang penumpang yang berada di bahagian hadapan dikenali sebagai Ahmad Baihaqi Mahamad Shafie, 25, tercampak keluar dari kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Surina berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dan empat lagi mangsa berusia antara 17 hingga 24 tahun yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

    “Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada kesan brek dan tidak melibatkan kenderaan lain…ketika kejadian, hujan turun dan keadaan jalan basah,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

  • Wanita maut disyaki ditekup bantal oleh teman lelakinya

    Wanita maut disyaki ditekup bantal oleh teman lelakinya

    SEORANG wanita berusia 24 tahun ditemukan mati dipercayai akibat ditekup dengan menggunakan bantal oleh kekasihnya di sebuah rumah di Kampung Pandan, Klang, dekat sini, semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima aduan kira-kira jam 9.12 malam, semalam, daripada seorang wanita tempatan.

    “Kaunter aduan Balai Polis Klang telah menerima satu aduan daripada seorang perempuan warga tempatan, yang menyatakan bahawa pada 7.18 malam semalam telah terima panggilan video daripada suspek, yang meminta bantuan untuk mengambilnya di kawasan Kampung Pandan, Klang.

    “Ini kerana suspek dikatakan telah bertindak menekup muka dengan mengunakan bantal terhadap seorang perempuan, sehingga tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati, punca kejadian adalah disebabkan mangsa ingin memutuskan hubungan dengan suspek.

    “Pihak polis yang sampai di lokasi tempat kejadian mendapati, kejadian berlaku di sebuah rumah jenis lot di kawasan Kampung Pandan, Klang. Mangsa telah ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil di dalam sebuah bilik rumah tersebut, pemeriksaan tubuh badan mangsa tiada sebarang kesan kecederaan,” katanya.

    Cha berkata suspek berusia 19 tahun telah ditangkap pihaknya di tepi jalan berdekatan dengan tempat kejadian, ketika beliau mahu melarikan diri.

    Beliau berkata pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

    “Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian, telah menemukan beberapa barang yang boleh membantu siasatan,” katanya.

    Cha berkata siasatan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

    Beliau berkata suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 31 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Polis tahan tiga warga emas, rampas dadah bernilai lebih RM30 juta

    Polis tahan tiga warga emas, rampas dadah bernilai lebih RM30 juta

    POLIS percaya berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dan pengedaran tempatan dengan penahanan tiga lelaki warga emas di Bukit Tinggi dekat sini dan rampasan 841.06 kilogram syabu dianggar bernilai RM30.8 juta di sebuah rumah di Bentong, Sabtu lepas.

    Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata hasil penahanan terhadap mereka, polis menyerbu rumah tersebut dan menemukan dadah terbabit yang dijual di pasaran pada harga anggaran RM36,000 sekilogram serta boleh digunakan kira-kira 4.2 juta penagih.

    Suspek yang berusia 61 dan 63 tahun merupakan pekebun durian manakala suspek berusia 62 tahun adalah penganggur serta mereka disyaki terlibat dengan sindiket tersebut sejak awal tahun ini.

    “Sindiket tersebut dipercayai menggunakan khidmat kurier dan laluan laut untuk menyeludup dadah ke pasaran antarabangsa… yang kita syaki ke negara serantau serta mereka turut disyaki terlibat mengedar dadah untuk pasaran tempatan.

    “Polis masih mengesan ahli sindiket lain kerana mereka ini bukan dalang namun hanya sebahagian daripada anggota sindiket tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong hari ini.

    Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Azmi Awang Lah.

    Ramli berkata polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock, selaras senjata api tiruan, kelopak peluru, peluru hidup, sebuah kereta jenis Nissan Sunny dan wang tunai RM1,564. 

    Menurutnya kesemua lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga mendapati mereka negatif terhadap dadah.

    Mereka direman hingga Sabtu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

    Dalam kes lain, Ramli berkata polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang dipercayai terlibat mengedar dadah dalam operasi pada 10 hingga 11 malam semalam di Kampung Pengsenam, dekat Temerloh.

    Beliau berkata siasatan menemukan 10 peket plastik lut sinar disyaki berisi syabu dianggar seberat 507.27 gram bernilai RM18,000 daripada lelaki itu dan dipercayai untuk diedar di sekitar kawasan Felda.

    Katanya suspek yang tidak memiliki rekod jenayah dipercayai memperoleh dadah itu dari Lembah Klang dan dia kini direman hingga Isnin ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952. – Bernama

  • 1MDB: Bekas CEO 1MDB tidak layan bila minta dokumen pelaburan – Saksi

    1MDB: Bekas CEO 1MDB tidak layan bila minta dokumen pelaburan – Saksi

    SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak pernah melayan permintaan daripada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) untuk mendapatkan dokumen berhubung pelaburan usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

    Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, 63, berkata tindakan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi itu seolah-olah tidak menghormatinya.

    Saksi pendakwaan ke-26 itu berkata beliau pernah mengadu perkara itu kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) ketika itu, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, bagaimanapun, tiada apa-apa tindakan daripada mereka.

    Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, pada perbicaraan kes bekas perdana menteri itu berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB.

    Saksi juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Shahrol Azral sepatutnya melayan permintaanya itu.

    Muhammad Shafee: Tindakannya (Shahrol Azral) macam kurang ajar?

    Siti Zauyah: Itu perkataan (kurang ajar) Tan Sri sebut. Tapi perbuatan Shahrol Azral adalah macam tidak hormat.

    Ketika ditanya sama ada beliau mengadu (berhubung Shahrol Azral) kepada Najib, saksi menjawab beliau tidak pernah mengadu kepada Najib kerana beliau mempunyai ‘boss’ sendiri.

    Muhammad Shafee: Itu saya faham, saya pun ada boss di rumah. Tapi kita tak boleh buat kesimpulan bahawa Najib mengarahkan Shahrol Azral berkelakuan sedemikian. Ya atau tidak? Sebab kamu sendiri tak beritahu Najib mengenai masalah yang kamu hadapi.

    Siti Zauyah: Bukan level (peringkat) saya untuk berurusan dengan PM (Najib).

    Muhammad Shafee: Datuk, berapa lama perbuatan ini (tidak diendahkan) berlarutan di 1MDB?

    Siti Zauyah: Sejak penubuhan sampai sekarang.

    Muhammad Shafee: Sekarang juga?

    “Saya kena tanya kepada siapa yang menjaga portfolio berkenaan,” katanya yang bersara pada Nov 14 2019.

    Perbicaraan hari ini dihentikan lebih awal apabila Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa beliau mengalami sakit gastrik.

    Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 5 Sept ini.

    Najib yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 4.20 petang dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) serta diiringi beberapa kenderaan polis.

    Esok, Najib akan hadir ke mahkamah sekali lagi untuk perbicaraan kesnya dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy membabitkan pertuduhan meminda laporan audit 1MDB di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan. – Bernama

  • Akta sedia ada mencukupi untuk denda individu hina Islam – Idris

    Akta sedia ada mencukupi untuk denda individu hina Islam – Idris

    AKTA-AKTA sedia ada sudah mencukupi untuk mengenakan denda terhadap individu yang menghina agama Islam sebagai Agama Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Senator Idris Ahmad.

    Bercakap sebagai tetamu dalam program BERNAMA Radio ‘Jendela Fikir – Bangkit Menentang Penghinaan Agama’ hari ini, beliau berkata antaranya Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 dan Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

    “Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    “Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga digunakan untuk individu yang melakukan perkara menimbulkan ketidakharmonian dan ketenteraman orang, dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 dan penjara tidak lebih setahun, atau kedua-dua sekali.

    “Akta Hasutan 1948 (Akta 15) pun sudah ada, ia juga mengenakan hukuman kepada individu yang menghina agama ini dengan penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak melebihi tujuh tahun,” katanya.

    Beliau berkata demikian susulan kejadian penghinaan agama Islam dalam negara yang semakin menjadi-jadi, antaranya seorang model memperagakan fesyen yang menampakkan bahagian dada serta berseluar pendek sambil memakai songkok di Minggu Fesyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Katanya, tindakan berdasarkan akta-akta berkenaan adalah supaya hal penguatkuasaan agama kuat dan ketenteraman agama wujud secara baik dalam negara, di samping memudahkan umat Islam melakukan ibadat.

    Dalam pada itu, beliau dalam catatan di laman Facebook menasihatkan orang ramai supaya sempadan batas agama, sensitiviti keagamaan dan kaum usah dibuat bahan mainan.

    “Masyarakat Islam kita cukup marah dan kecewa. Usahlah kita berperilaku yang melanggar dengan ajaran agama, adat ketimuran dan tatasusila. Pastikan untuk sentiasa berfikir panjang sebelum melakukan apa-apa perbuatan,” katanya.

    Beliau berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera terhadap individu tersebut supaya perkara ini dapat dibendung dan dijadikan pengajaran kepada semua pihak.- Bernama

  • Dalang samun pemegang cip lebih RM4 juta diburu polis

    Dalang samun pemegang cip lebih RM4 juta diburu polis

    POLIS sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai dalang utama kes samun sejumlah pemegang cip bernilai lebih RM4 juta di sebuah stor sebuah kilang di Bukit Tengah, di Bukit Mertajam, 5 Julai lalu.

    Lelaki berusia 30-an itu dipercayai memecah masuk stor tersebut bersama sekumpulan lelaki sebelum melarikan 16 kotak mengandungi pemegang cip tersebut menggunakan sebuah lori.

    Kejadian berlaku kira-kira 11 malam dengan mereka dipercayai mengikat dua pengawal keselamatan yang bertugas sebelum memecah masuk stor tersebut.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, susulan kejadian itu, polis menahan tujuh lelaki berusia 24 hingga 60 tahun termasuk dua pengawal keselamatan berkenaan dan seorang pekerja kilang itu dalam beberapa serbuan.

    Beliau berkata, kesemua mereka bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

    Tan berkata, berdasarkan siasatan, lelaki yang diburu itu dipercayai telah melarikan semua pemegang cip tersebut dan tidak menolak kemungkinan ia dijual untuk pasaran luar negara.

    Katanya kes itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – Bernama

  • MB Perlis, Sova Ali sah bercerai talak satu

    MB Perlis, Sova Ali sah bercerai talak satu

    MENTERI Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Sova Ali, hari ini sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini, selepas melayari bahtera perkahwinan selama 12 tahun.

    Peguam Syarie Nurul Atikah Abd Rashid yang mewakili Azlan selaku defendan berkata Hakim Syarie Abdullah Zuhdee Ab Halim mengesahkan perceraian tersebut, pada prosiding yang berlangsung secara tertutup.

    “Hakim mengesahkan lafaz cerai itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, selepas berpuas hati dengan keterangan pihak-pihak berhubung perceraian yang dilafazkan defendan di Jakarta, Indonesia pada 23 April lalu,” katanya ketika ditemui pemberita.

    Berdasarkan Seksyen 57, seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, hendaklah melaporkan kepada mahkamah dalam masa tujuh hari dari pelafazan talak itu.

    Sementara itu, Peguam Syarie Muhammad Syafiq Ibrahim yang mewakili Sova selaku plaintif berkata anak guamnya memfailkan saman berhubung pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, pada 3 Jun lepas.

    “Setakat ini tiada apa-apa tuntutan berkenaan nafkah, harta sepencarian dan sebagainya. Saya masih menunggu arahan anak guam,” katanya dan menambah saman itu difailkan di mahkamah di sini kerana anak guamnya bermastautin di Bangi.

    Prosiding pengesahan perceraian itu sepatutnya berlangsung pada 4 Julai lalu, namun ditangguhkan ke hari ini kerana Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong itu tidak hadir atas urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.

    Azlan, 63, dan  Sova, 40, warganegara Indonesia berkahwin pada 21 Mac 2010 di Perlis, namun tidak dikurniakan cahaya mata.- BERNAMA

  • Remaja 17 tahun pecah rekod juruterbang termuda terbang solo keliling dunia

    Remaja 17 tahun pecah rekod juruterbang termuda terbang solo keliling dunia

    MACK Rutherford, 17, mendarat di Sofia, Bulgaria pada Rabu selepas memecahkan rekod dunia sebagai juruterbang termuda terbang solo ke seluruh dunia.

    Pencapaiannya mendapat pengiktirafan Guinness World Records, yang memberikannya dua sijil sejurus selepas mendarat: individu termuda (lelaki) mengelilingi dunia dengan pesawat secara solo, dan individu termuda (lelaki) mengelilingi dunia dalam pesawat ringan mikro secara solo.

    Rutherford berlepas dari Sofia pada 23 Mac lepas dan mendarat semula di sini selepas terbang melalui 52 negara dan mencatat kira-kira 250 jam masa penerbangan.

    Beliau bermula dan menamatkan penerbangannya di Bulgaria kerana mendapat penajaan daripada syarikat Bulgaria ICDSoft.

    “Perjalanan lima bulan dan hakikat bahawa saya berlepas dan kembali ke Bulgaria adalah “sangat menakjubkan”, Rutherford memberitahu pemberita selepas mendarat.

    “Saya sangat gembira. Ini satu perjalanan yang sangat menarik dan mengagumkan.”

    Terdapat beberapa saat “yang mencemaskan” sepanjang perjalanan itu, katanya, tetapi ia tidak melunturkan semangatnya.

    Rutherford, seorang juruterbang Belgium-British, dilahirkan pada 21 Jun 2005, capai usia 17 tahun semasa perjalanan itu. Beliau menetap di Belgium.

    “Saya bercita-cita mahu terbang sejak berumur 11 tahun, dan telah terbang ratusan jam bersama ayah saya, yang merupakan juruterbang profesional,” katanya.

    “Ketika saya berumur 15 tahun, saya menerima lesen juruterbang pesawat ringan mikro menjadikan saya pada masa itu juruterbang termuda di dunia. Sejak itu, saya juga telah melakukan dua penerbangan lintas Atlantik.”- BERNAMA

  • Wanita didakwa abai bayi hingga meninggal dunia

    Wanita didakwa abai bayi hingga meninggal dunia

    SEORANG wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang bayi perempuan berusia tiga bulan hingga menyebabkan kematian, awal bulan ini.

    Nor Malisa Mansor, 39, yang ketika itu sebagai pengasuh kepada bayi itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di rumahnya di Presint 9, Putrajaya, antara 11 pagi hingga 1 tengah hari, pada 9 Ogos lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 31 (5) (b) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta serupa, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duannya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun Nor Malisa yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia mempunyai tiga anak dan seorang daripadanya masih menyusu.

    Hakim Izralizam Sanusi membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Sept ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA