Author: Bernama

  • Cadang wujud agensi sehenti kumpul data penerima bantuan

    Cadang wujud agensi sehenti kumpul data penerima bantuan

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan sebuah agensi sehenti diwujudkan untuk mengumpul data mengenai individu dan isi rumah yang benar-benar memerlukan bantuan.

    Beliau berkata agensi itu yang juga bertujuan menyelaras segala bentuk bantuan, boleh mengambil model Centrelink yang dilaksanakan di Australia dalam mengurus penyaluran bantuan kepada penerima yang layak. 

    Beliau berkata sistem semakan kelayakan dan penyaluran bantuan yang cekap, cepat dan seragam adalah supaya tiada pertindihan penerima bantuan, sekali gus memastikan tidak berlaku keciciran.

    “Dengan cara ini sumber kewangan kerajaan dapat dioptimumkan di samping memastikan tiada sesiapa yang tertinggal,” katanya dalam ucaptama pada Konvensyen Perikatan Nasional (PN) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata kerajaan membelanjakan lebih RM70 bilion setahun dalam bentuk subsidi dengan jumlah itu meningkat saban tahun, selain tidak mapan untuk jangka panjang.

    Justeru, beliau berkata penyaluran subsidi lebih bersasar perlu diwujud untuk memastikan subsidi kerajaan dinikmati golongan yang benar-benar memerlukan, tiada ketirisan dan tiada seorang pun ketinggalan.

    Menerusi penyaluran subsidi lebih bersasar, sistem bantuan rakyat yang seragam dan pengurusan kewangan kerajaan lebih optimum, Muhyiddin berkata beberapa bentuk bantuan baharu juga boleh diwujudkan seperti bantuan sewa rumah kepada kumpulan miskin bandar bagi memastikan setiap individu dan keluarga mempunyai tempat berteduh, selain mengatasi masalah gelandangan. 

    Pelbagai bentuk bantuan yang penting dalam menjamin kesejahteraan hidup rakyat seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan latihan kemahiran khususnya untuk golongan muda yang sedang mencari pekerjaan juga mesti diberikan keutamaan, katanya. 

    Dalam pada itu, Muhyiddin menyarankan agar negara segera beralih kepada industri berteknologi tinggi dengan nilai tambah lebih tinggi serta tawaran gaji lebih lumayan. 

    “Walaupun usaha ini telah dimulakan, hasilnya masih belum dapat dilihat secara ketara, justeru suatu daya usaha lebih berfokus, pantas dan tangkas mesti digembleng melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan industri untuk memastikan peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 di negara ini berlaku dengan lebih deras,” katanya.

    Beliau berkata kerajaan juga perlu meningkatkan daya saing Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terutamanya dalam meningkatkan nilai tambah termasuk melalui penguasaan automasi dan pendigitalan, sekali gus dapat mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat.- BERNAMA

  • Empat maut, 12 cedera kemalangan empat kenderaan di LPT

    Empat maut, 12 cedera kemalangan empat kenderaan di LPT

    EMPAT maut manakala 12 cedera dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 135.7 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Kuantan pada awal pagi tadi. 

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Zulfadli Zakaria berkata kemalangan melibatkan sebuah lori kontena, Proton Exora, Proton Waja dan trak tunda. 

    Mereka yang maut ialah sepasang warga emas dan seorang remaja lelaki menaiki Proton Exora serta pemandu trak tunda. 

    “Bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.26 pagi. Kejadian dipercayai berlaku apabila lori kontena terbabas sebelum merempuh trak tunda yang sedang mengangkat Proton Exora rosak di tepi lebuh raya. 

    “Proton Waja itu pula difahamkan berada di tepi jalan yang sama. Kemalangan menyebabkan Proton Exora jatuh ke gaung dianggarkan sedalam 40 kaki (12.19 meter),” katanya dalam kenyataan. 

    Zulfadli berkata mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA 

  • Dua maut dua lagi cedera nahas dua kereta di Sibu

    Dua maut dua lagi cedera nahas dua kereta di Sibu

    DUA maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Ulu Oya di Sibu, kira-kira 13 kilometer dari pusat bandar awal pagi hari ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan satu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu telah digerakkan ke lokasi kejadian pada 2.15 pagi tadi. 

    Menurutnya, dalam kenderaan pertama seorang lelaki dan seorang wanita yang merupakan penumpang di bahagian belakang maut, manakala seorang pemandu lelaki cedera parah.

    “Seorang penumpang wanita yang duduk di kerusi penumpang depan berjaya keluar dari kereta sebelum ketibaan pasukan bomba.

    “Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sibu,” katanya.

    Beliau berkata pemandu sebuah lagi kenderaan terlibat tidak mengalami kecederaan.- BERNAMA

  • Istana Kelantan sangkal dakwaan Ketua Hakim Negara, suami dilarang ke Istana

    Istana Kelantan sangkal dakwaan Ketua Hakim Negara, suami dilarang ke Istana

    ISTANA Kelantan hari ini menyangkal dakwaan sebuah portal yang mengatakan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan suaminya dilarang ke Istana Kelantan.

    Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata kenyataan yang dikeluarkan portal itu adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas

    “Tidak pernah ada larangan seperti yang didakwa dikeluarkan oleh Istana Kelantan.

    Istana Kelantan memandang serius tohmahan berupa fitnah seperti ini dan menyarankan agar pengamal media merujuk kepada istana terlebih dahulu mengenai kesahihan apa-apa berita sebelum disiarkan bagi mengelak dari mengelirukan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Nik Mohd Shafriman berkata pihak istana akan mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berkenaan sekiranya fitnah tidak berasas ini berlarutan.

    — BERNAMA

  • Hujung minggu yang padat dengan agenda parti politik

    Hujung minggu yang padat dengan agenda parti politik

    SEMASA tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terus jadi tajuk utama perbualan dalam kalangan ramai pemerhati politik, parti-parti politik dan gabungannya pula dilihat berlumba-lumba mengadakan konvensyen dan perhimpunan, sekali gus membuat persiapan menghadapi pilihan raya.

    Esok sahaja, ada lima pertemuan politik melibatkan pelbagai parti dan gabungan masing-masing iaitu UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Warisan (Warisan), Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) dan Perikatan Nasional (PN).

    Di ibu negara, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan Taklimat Khas Presiden bersama ahli jawatankuasa bahagian dan pimpinan parti itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, bagi membincangkan kesiapsiagaan UMNO menghadapi pilhan raya, selain menyentuh isu semasa melibatkan parti.

    Dua hari lepas Biro Politik UMNO sudah pun mengadakan mesyuarat di ibu pejabat parti, difahamkan bagi membincangkan perkembangan semasa, termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    PN pula buat julung kalinya akan mengadakan Konvensyen PN 2022 bagi menetapkan hala tuju dalam menghadapi PRU15 serta membincangkan isu-isu semasa berkaitan rakyat pasca COVID-19, di samping majlis sambutan ulang tahun keduanya.

    Konvensyen yang dijadualkan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang itu akan dihadiri 1,800 perwakilan daripada semua parti komponen PN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP).

    Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan sebelum ini berkata konvensyen itu akan menjadi wadah untuk memperbaharui tekad perjuangan dan mengukuhkan kerjasama parti sekutu PN secara keseluruhannya.

    PKR, parti utama dalam Pakatan Harapan pula akan menganjurkan Konvensyen Pilihan Raya 2022 sebagai persediaan untuk menghadapi  PRU15 di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Sukan Selangor, Shah Alam. 

    Pengarah Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022 G.Manivanan dalam kenyataan berkata kovensyen itu melibatkan semua lapisan pimpinan termasuk pimpinan pusat, negeri, cabang, Angkatan Muda Keadilan, Wanita, Srikandi, Ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, aktivis parti, akar umbi dan sukarelawan parti. 

    Konvensyen bermula 2 petang itu terbahagi kepada dua segmen iaitu segmen pertama suara akar umbi dan segmen kedua, suara pimpinan terdiri daripada ucapan dan amanat khas pilihan raya oleh Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim serta amanat strategi pilihan raya oleh Pengarah Pilihan Raya PKR Rafizi Ramli.

    Sementara itu dianggarkan 2,000 pimpinan Berjasa, yang baru-baru ini mengumumkan kerjasama dengan beberapa parti lain di bawah gabungan Gerakan Tanah Air (GTA), akan menyertai Himpunan Nasional 2022 di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Bank Rakyat, di sini.

    Presiden Parti Zamani Ibrahim dalam kenyataan memaklumkan himpunan itu akan mengetengahkan aspirasi perjuangan serta tawaran parti Berjasa dalam rangka mengangkat agenda memperkasakan negara.

    Pengerusi GTA merangkap pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menyampaikan ucapan di majlis itu.

    Di Sabah, Parti Warisan (Warisan) dijadual mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan 2021 dan pemilihan parti di Dewan Kadazandusun Cultural Association Sabah (KDCA), Penampang bermula 9.15 pagi esok.

    Presiden parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang mengekalkan jawatan setelah menang tanpa bertanding, dijadual merasmikan mesyuarat itu dan menyampaikan ucapan dasar parti.

    Hanya 20 jawatan Ahli Majlis Tertinggi Parti akan dipertandingkan dalam pemilihan kali ini susulan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden parti disahkan dimenangi tanpa bertanding. Sayap parti iaitu Wira, Wirawati dan Wanita mengadakan Persidangan Agung Tahunan 2021 dan pemilihan masing-masing, hari ini.

    Seramai 5,000 perwakilan dan pemerhati daripada 25 bahagian parti itu di Sabah, satu bahagian di Labuan dan beberapa Jawatankuasa Penaja dari Semenanjung dijadual menghadiri perhimpunan itu.- BERNAMA

  • Kakitangan APM didenda RM28,000 terima suapan

    Kakitangan APM didenda RM28,000 terima suapan

    SEORANG kakitangan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) didenda RM28,000 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini kerana menerima suapan berkaitan pembekalan peralatan pejabat, tahun lepas.

    Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Nazrin Mohd Nasir, 38, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tiga pertuduhan pilihan.

    Mohd Nazrin sebagai penjawat awam iaitu Pembantu Pertahanan Awam di APM didakwa menerima wang tunai berjumlah RM20,500 dan cuba mendapatkan RM18,000 tanpa balasan daripada pemilik Syarikat Pendang Jaya Sdn Bhd yang tertuduh ketahui syarikat tersebut tiada kena-mengena dengan tugas rasminya.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tiga restoran berasingan di Putrajaya dan Pahang antara 7 hingga 11 Oktober 2021, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

    Peguam Khairul Naim Rafidi yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga yang menyara isteri serta seorang anak berusia 13 tahun selain menghidap diabetis yang memerlukan suntikan insulin.

    Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras memohon hukuman berat kerana tertuduh yang merupakan penjawat awam telah mengetepikan integritinya dengan terlibat dalam jenayah rasuah yang merupakan suatu perbuatan jijik dalam kalangan masyarakat. – Bernama

  • Arul Kanda tidak tahu penglibatan Hakim Nazlan dalam pinjaman 1MDB

    Arul Kanda tidak tahu penglibatan Hakim Nazlan dalam pinjaman 1MDB

    BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak mengetahui tentang penglibatan Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam pinjaman RM4.17 bilion kepada dana kekayaan negara itu.

    Malah Arul Kanda berkata beliau tidak pernah berjumpa secara langsung dengan Mohd Nazlan, yang merupakan pegawai undang-undang am Kumpulan Maybank ketika itu.

    Hakim Mohd Nazlan yang kini hakim Mahkamah Rayuan telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta pada 28 Julai 2020.

    Saksi pendakwaan ke-15 itu berkata berhubung pinjaman yang diambil 1MDB daripada Maybank, beliau sering berurusan dengan jurubank lain seperti Michael Oh-Lau.

    Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes pindaan laporan akhir pengauditan 1MDB membabitkan Najib dan Arul Kanda.

    Muhammad Shafee: Adakah mana-mana pegawai ini menyedarkan anda bahawa mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada ketua mereka?

    Arul Kanda: Bukan secara langsung… Saya bekas jurubank. Sebelum ini, perbincangan diadakan pada satu peringkat dan dalaman bank, mereka perlu melalui proses kelulusan mereka sendiri.

    Muhammad Shafee: Dari segi undang-undang, siapakah pegawai undang-undang am bagi Kumpulan Maybank? 

    Arul Kanda: Nazlan. Saya tidak pasti nama penuhnya.

    Muhammad Shafee: Adakah Mohd Nazlan Mohd Ghazali?

    Arul Kanda: Ya, (tetapi) saya tidak pernah berjumpa beliau sebelum ini.

    Muhammad Shafee: Saya cadangkan pinjaman sebesar ini mesti mendapat kelulusan daripada bahagian undang-undang bank?

    Arul Kanda: Saya rasa begitu.

    Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, saksi itu berkata beliau tidak mengetahui mengenai penglibatan Mohd Nazlan dalam proses pinjaman itu.

    Sri Ram: Adalah dicadangkan kepada kamu oleh pihak pembelaan bahawa Mohd Nazlan terlibat dalam (pinjaman kepada 1MDB)?

    Arul Kanda: Ya.

    — LAGI

    MAHKAMAH-NAJIB (LAPORAN AUDIT) 4 KUALA LUMPUR

    Sri Ram: Adakah anda mempunyai pengetahuan tentang perkara ini (Mohd Nazlan terlibat dalam pinjaman kepada 1MBD)?

    Arul Kanda: Tidak.

    Semasa prosiding hari ini, Arul Kanda juga memberitahu mahkamah bahawa bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir telah menyekat maklumat daripada pengetahuan Jabatan Audit Negara (JAN) ketika dana kekayaan negara itu dalam proses diaudit pada 2015.

    Arul Kanda seterusnya berkata beliau tidak bertanggungjawab ke atas operasi harian 1MDB, mahupun berhubung terus dengan JAN untuk proses audit kerana tugas itu adalah tanggungjawab Azmi.

    Najib, 69, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung kes SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016, mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 2 Sept.- BERNAMA

  • Pelepasan automatik kebankrapan selepas 3 tahun

    Pelepasan automatik kebankrapan selepas 3 tahun

    MENAMBAH baik peruntukan Seksyen 33C Akta Insolvensi (Akta 360) berkenaan pelepasan automatik daripada kebankrapan selepas tiga tahun, adalah antara cadangan yang dikemukakan Jabatan Insolvensi kepada kerajaan bagi menambah baik undang-undang insolvensi.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata cadangan penambahbaikan kepada peruntukan Seksyen 33C Akta 360 itu adalah bagi membantu lebih ramai individu bankrap dapat keluar daripada kebankrapan selepas tempoh tiga tahun.

    Wan Junaidi dalam satu kenyataan hari ini berkata Jabatan Insolvensi turut mencadangkan untuk menetapkan had masa pemfailan Borang Bukti Hutang oleh pemiutang bagi mempercepatkan proses pelepasan kebankrapan atau pembatalan perintah kebankrapan.

    Beliau berkata turut dicadangkan ialah pemansuhan Mesyuarat Pertama Pemiutang.

    “Cadangan untuk mesyuarat pemiutang hanya perlu diadakan berdasarkan keperluan dan permintaan pemiutang bagi mengelakkan kelengahan dan perancangan seterusnya dapat dibuat untuk membantu bankrap keluar daripada kebankrapan,” katanya.

    Turut dicadangkan adalah penambahan penggunaan baharu berkenaan teknologi komunikasi jarak jauh dalam urusan pentadbiran kebankrapan yang dapat membantu mereka yang bankrap berurusan dengan Jabatan Insolvensi secara dalam talian dan digital serta memudahkan pentadbiran kebankrapan, katanya.

    “Fokus utama Jabatan Insolvensi adalah untuk mempercepatkan proses pentadbiran kebankrapan dan membantu bankrap untuk keluar daripada kebankrapan dengan segera,” katanya.

    Wan Junaidi berkata cadangan berkenaan akan dikaji secara terperinci oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) serta dibincangkan menerusi beberapa sesi libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum dimuktamadkan.

    Susulan ambang keberhutangan ditingkatkan kepada RM100,000, Wan Junaidi berkata statistik kes kebankrapan yang didaftarkan menunjukkan pola penurunan iaitu 12,051 kes pada 2019, 8,351 kes pada 2020 dan 6,554 kes pada 2021.

    Sebanyak 3,604 kes direkodkan setakat bulan Julai 2022.

    “Pola penurunan ini disebabkan beberapa faktor termasuk inisiatif kerajaan melalui pemberian moratorium dan bantuan bersasar bank dengan pihak pemberi pinjaman (pemiutang) dan pihak peminjam boleh berbincang bagi membuat penyusunan semula hutang,” katanya.- BERNAMA

  • Penganggur rogol, liwat, bunuh nenek umur 85 tahun dihukum mati

    Penganggur rogol, liwat, bunuh nenek umur 85 tahun dihukum mati

    SEORANG penganggur yang membunuh wanita warga emas berusia 85 tahun selepas merogol dan meliwatnya dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini.

    Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas K. Satiaraj, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata, tertuduh mempunyai niat mendatangkan kecederaan terhadap si mati dan melakukan perbuatan itu dalam keadaan sedar.

    “Berdasarkan keterangan-keterangan, tertuduh tidak mengalami kesukaran dalam mengingati dan menceritakan apa yang berlaku.

    “Tertuduh masuk ke rumah si mati untuk mencuri selain tertuduh mengetahui perbuatan menutup mulut dan mengikat tangan si mati supaya wanita itu tidak boleh menjerit.

    “Tertuduh juga mengetahui tujuan dia mengikat tangan si mati supaya tidak dapat membuka kain yang disumbat di mulut si mati,” katanya dan menambah tertuduh sebelum ini turut mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan meliwat si mati.

    Ab Karim berkata, perbuatan tertuduh menyelongkar almari bagi mencari sesuatu untuk dicuri dan kemudian mencuri rantai emas selepas merogol dan meliwat si mati, jelas menunjukkan tertuduh dalam keadaan sedar.

    “Sebaik keluar dari rumah si mati, tertuduh secara sedar telah meminta bantuan daripada rakannya (N. Hari Krishnan, saksi pendakwaan kelapan (SP8) untuk menggadaikan rantai tersebut kerana tertuduh tidak mempunyai kad pengenalan.

    “Selain itu, tidak ada dalam keterangan SP8 yang menunjukkan tertuduh dalam keadaan mabuk. Tertuduh juga tidak mempunyai apa-apa bukti yang menunjukkan ketika kejadian dia dalam keadaan mabuk, kesemua menunjukkan bahawa perbuataan tertuduh dalam keadaan normal,” katanya.

    Sathiaraj didakwa membunuh wanita itu di sebuah rumah di Kampung Tasik Tambahan, Ampang antara 11.40 pagi hingga 1 tengah hari, 19 Sept 2019 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

    Sebelum ini, tertuduh yang mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan meliwat warga emas itu dihukum penjara 13 tahun dengan lima sebatan.

    Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita warga emas ditemukan mati dengan kedua-dua tangannya diikat. Mangsa dijumpai dalam keadaan tertiarap oleh anak keduanya yang pulang daripada bekerja. – BERNAMA

  • Kes LCS: Setiausaha Agung parti MUDA mengaku tidak bersalah

    Kes LCS: Setiausaha Agung parti MUDA mengaku tidak bersalah

    SETIASAHA Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Amir Hariri Abd Hadi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur berhubung perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’?

    Amir Hariri, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa selaku penganjur telah gagal memberitahu pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur pada 2 petang 14 Ogos lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Radzi Shah Ab Razak menawarkan jaminan RM10,000 manakala TPR Fatin Hanum Abdul Hadi memohon supaya syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh agar pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak membuat sebarang komen di media sosial berkaitan kes itu.

    Peguam Beatrice Chin Yuen Xin yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan antara RM500 hingga RM1,000 dengan alasan anak guamnya tidak bekerja serta tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau selain memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis sepanjang siasatan kes itu.

    Seorang lagi peguamnya, Raj Surian Pillai membantah syarat tambahan yang dikemukakan pendakwaan supaya pasport anak guamnya diserahkan kepada mahkamah kerana kesalahan itu boleh dijamin serta tiada risiko tertuduh untuk melarikan diri.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Nov untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

    Turut hadir ke mahkamah, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Sebelum ini media melaporkan, kira-kira 60 individu terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan, mahasiswa, ahli parti politik serta beberapa individu telah berhimpun berkaitan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ pada 14 Ogos lepas.

    Susulan itu polis membuka kertas siasatan berkaitan perhimpunan berkenaan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa notis.