Author: Bernama

  • Pemimpin, ketua kampung perlu ada data asa kampung – Mahdzir

    Pemimpin, ketua kampung perlu ada data asa kampung – Mahdzir

    PEMIMPIN atau ketua kampung perlu mempunyai data asas kampung mereka yang lengkap, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Katanya, ini bagi memastikan setiap program atau bantuan yang dilaksanakan kerajaan dapat disalurkan kepada golongan sasar dengan tepat dan lebih berkesan.

    Beliau berkata pemimpin atau ketua kampung bagi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) perlu mempunyai maklumat antaranya mengenai jumlah penduduk, bilangan ibu tunggal dan golongan orang kurang upaya.

    “Di peringkat Persekutuan, kita terus-menerus ada bantuan nak diberikan kepada penduduk di kampung dan bandar, bila nak bagi kena ada saluran, kadang-kadang ada masalah sikit dari segi penyampaian sebab tak sampai ke saluran sebenarnya.

    “Ini menjadi sebahagian daripada tanggungjawab Persekutuan untuk melantik ketua-ketua kampung, peranan dimainkan ketua kampung ada banyak, paling utama adalah data yang patut disediakan oleh mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota JPKPP Negeri Sembilan yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan negeri Khairy Jamaluddin di Seremban hari ini.

    Selain itu, beliau berkata setiap ketua kampung dan pemimpin juga perlu mempunyai kemahiran dalam pentadbiran pendidikan, kesihatan dan keselamatan, agar dapat menguruskan kampung dengan lebih baik.

    Katanya, JPKK dan JPKKP yang ketika ini berjumlah lebih 15,000, memainkan peranan penting dalam membantu menyediakan perkhidmatan secara sistematik kepada komuniti setempat.

    Dalam pada itu, beliau berkata seramai 123 kampung di seluruh negara dicalonkan dalam pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera yang diadakan selama enam bulan bermula April lepas hingga Oktober ini.

    — BERNAMA

  • 11 remaja ditahan, disyaki terlibat kes buli di asrama

    11 remaja ditahan, disyaki terlibat kes buli di asrama

    POLIS menahan 11 remaja berusia 13 hingga 16 tahun bagi membantu siasatan berhubung satu kes buli membabitkan tiga mangsa iaitu pelajar asrama sebuah sekolah harian di Kemaman pada Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Supt. Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima tiga laporan daripada pelajar lelaki berusia 13 hingga 15 tahun itu, yang mendakwa mereka dipukul oleh beberapa pelajar senior di asrama sehingga cedera.

    Susulan laporan itu, beliau berkata pihaknya telah menahan 11 remaja terbabit di asrama sekolah dan rumah masing-masing di sekitar Kemaman hari ini untuk siasatan lanjut.

    “Mangsa mendakwa dipukul kerana suspek berang dengan tindakan mereka melaporkan kepada guru perbuatan suspek yang menghisap vape di asrama.

    “Akibat kejadian itu, mangsa pertama pecah gegendang telinga kanan, manakala mangsa kedua dan ketiga mengalami lebam di beberapa bahagian badan,” katanya kepada pemberita di Kemaman hari ini.

    Hanyan berkata 11 remaja tersebut direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 235 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

    Beliau juga menasihatkan supaya pihak pengurusan sekolah lebih peka dan mengambil tindakan segera jika terdapat aduan daripada pelajar mengenai kes buli yang boleh membawa kepada kejadian lebih buruk. – Bernama

  • Tiap seorang daripada 20 kanak-kanak alami gangguan mental

    Tiap seorang daripada 20 kanak-kanak alami gangguan mental

    TINJAUAN Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menganggarkan tiap seorang daripada 20 kanak-kanak berumur lima hingga sembilan tahun di Malaysia mengalami gangguan mental, termasuk gangguan dari segi perkembangannya, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

    Bercakap kepada media selepas melancarkan Laporan dan Infografik Negara Malaysia: Memperkukuh Sistem dan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) untuk Kanak-kanak dan Remaja di Rantau Asia Timur dan Pasifik di sini hari ini, beliau berkata tinjauan itu juga mendapati tiap seorang daripada lapan remaja berumur 10 hingga 19 tahun mengalami gangguan mental.

    Katanya NHMS juga mendapati kira-kira 424,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah mental, tetapi ramai yang tidak tampil untuk mendapatkan bantuan.

    “Di Malaysia, kanak-kanak dan remaja mengalami beban kesihatan mental yang teruk,” katanya dan menambah antara faktor risiko adalah kesihatan mental yang lemah, pendedahan kepada keganasan, penganiayaan rakan sebaya dan buli, kesunyian dan pengasingan sosial amat berleluasa.

    Mengenai MHPSS, Dr Noor Azmi berkata laporan itu menekankan jurang kritikal dalam tindak balas dan cabaran semasa pelaksanaan MHPSS dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, termasuk kesukaran atau akses terhad kepada perkhidmatan bagi menangani masalah kesihatan mental, kekurangan pemerkasaan undang-undang dan dasar sedia ada, kelemahan dalam komunikasi dan penyelarasan antara sektor, serta pembiayaan yang tidak mencukupi.

    Dr Noor Azmi berkata Kementerian Kesihatan juga komited untuk menterjemahkan penemuan penyelidikan MHPSS kepada dasar dan amalan.- BERNAMA

  • PRU15: PKR Perak hasrat tanding lebih 14 kerusi

    PRU15: PKR Perak hasrat tanding lebih 14 kerusi

    PKR Perak berhasrat bertanding lebih 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Ketua PKR negeri, Chang Lih Kang, berkata daripada jumlah itu, parti tersebut menyasarkan memenangi 10 kerusi untuk membantu Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri.

    “Kami memang berharap ada lebih banyak kerusi berbanding 14 yang ditandingi pada PRU14 lepas. Namun, segala-galanya akan diputuskan pucuk pimpinan yang dijangka bermesyuarat Khamis ini.

    “Untuk penentuan kawasan dan calon yang dipilih, kami akan muktamadkan dalam masa sebulan dua lagi,” kata ADUN Teja dan Ahli Parlimen Tanjung Malim itu dalam sidang media.

    Pada PRU14, PKR Perak bertanding di 14 kerusi DUN dan menang empat daripadanya iaitu Kuala Kurau, Teja, Simpang Pulai dan Hulu Kinta.

    Bagi Parlimen, PKR Perak bertanding lima kerusi dan memenangi tiga kerusi melibatkan Tanjung Malim, Sungai Siput dan Gopeng.

    Terdapat 59 kawasan DUN di Perak, manakala kawasan Parlimen berjumlah 24.

    Pada sidang media itu, Chang, yang juga naib presiden PKR dan dilantik sebagai ketua PKR Perak pada 11 Ogos, turut memperkenalkan barisan baharu kepimpinan negeri bagi sesi 2022-2025. – Bernama

  • Kapal perang terbesar UK rosak dalam perjalanan ke AS

    Kapal perang terbesar UK rosak dalam perjalanan ke AS

    KAPAL perang terbesar UK rosak di luar pantai selatan England lewat Ahad baru selepas memulakan pelayaran ke Amerika Syarikat (AS).

    Menurut Agensi Anadolu, HMS Prince of Wales, satu daripada dua kapal induk Tentera Laut Diraja, kekal berlabuh di Isle of Wight dengan siasatan mengenai kerosakannya dijalankan.

    “Kapal HMS Prince of Wales berlabuh di Kawasan Latihan Pantai Selatan ketika siasatan terhadap isu mekanikal yang muncul dijalankan,” lapor Anadolu memetik kenyataan Tentera Laut Diraja.

    Jurnal Pertahanan UK, sebuah portal berita pertahanan, melaporkan bahawa aci kipas kanan kapal perang itu juga turut mengalami kerosakan.

     Kapal perang itu dijadualkan belayar ke AS, Kanada dan Caribbean, dan akan mengendalikan jet pejuang F-35 generasi kelima serta dron.

    HMS Prince of Wales, yang mengetuai tugas kumpulan pengangkut, dikerahkan bersama kapal frigat, kapal tangki serta kumpulan helikopter dan dron. 

    Jet pejuang F-35 dijangka menyertai kapal itu apabila ia tiba di AS, tambahnya.

    Sebelum memulakan pelayaran dan mengalami kerosakan, Pegawai Pemerintah Kapten Richard Hewitt dalam satu kenyataan berkata “HMS Prince of Wales yang akan berada di Atlantik untuk sepanjang tahun ini bukan saya akan memperluaskan had operasi kapal perang UK ini, selain ia juga akan mengukuhkan lagi hubungan rapat dengan sekutu terdekat kami.”

    Menurut beliau, kejayaan mengendalikan F35 Lightnings dan dron serta tuan rumah Forum Masa Depan Atlantik di atas kapal berkenaan adalah hasil dedikasi petugas di atas kapal yang kebanyakannya adalah penempatan pertama mereka dengan Tentera Laut Diraja,” tambah Hewitt.

    HMS Prince of Wales, seberat 65,000 tan metrik dan menelan belanja £3 bilion (US$3.5 bilion) untuk dibina, telah dirasmikan pada 2021 di bandar Portsmouth.- BERNAMA 

  • Kes basikal lajak: Pengurusan kes bagi rayuan kerani ditetapkan 13 Oktober

    Kes basikal lajak: Pengurusan kes bagi rayuan kerani ditetapkan 13 Oktober

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 13 Okt bagi pengurusan kes selanjutnya dalam rayuan kerani Sam Ke Ting terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.

    Peguam Harvinderjit Singh, seorang daripada peguam yang mewakili Sam, apabila dihubungi berkata tarikh baharu itu ditetapkan selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norkamilah Aziz hari ini.

    Tarikh baharu itu ditetapkan kerana rekod rayuan belum siap, kata peguam itu.

    Pada 28 Okt 2018, Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan Sam tanpa memerintahkan membela diri terhadap pertuduhan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017.

    Lapan remaja yang maut dalam tragedi itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. 

    Pada 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Dr Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Majistret dan mengarahkan Sam untuk membela diri bagi pertuduhan tersebut.

    Majistret Siti Hajar Ali yang mendengar kes itu pada 2019, sekali lagi melepas dan membebaskan Sam di akhir kes pembelaan, menyebabkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan kedua ke Mahkamah Tinggi.

    Pada 13 April tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mensabitkan kesalahan memandu secara melulu dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000.

    Sam mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas untuk merayu terhadap sabitan dan hukumannya.

    Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan Sam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan membebaskannya dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu pendengaran rayuannya.–Bernama

  • Inflasi Malaysia melonjak 4.4 peratus pada Julai

    Inflasi Malaysia melonjak 4.4 peratus pada Julai

    INFLASI Malaysia meningkat 4.4 peratus kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama pada tahun sebelumnya, kata Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

    Beliau berkata Indeks Makanan yang meningkat 6.9 peratus kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi pada bulan itu.

    “Peningkatan inflasi Malaysia pada bulan itu turut disebabkan oleh kesan asas yang lebih rendah pada tahun lalu berikutan pemberian diskaun bil elektrik dari lima hingga 40 peratus mengikut jumlah penggunaan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Julai hingga September 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata terdapat item makanan yang menunjukkan momentum peningkatan yang lebih perlahan berbanding Jun 2022. Antaranya ialah subkumpulan Ikan dan Makanan Laut (4.2 peratus) dan Sayur-sayuran (7.1 peratus).

    Selain daripada kumpulan Makanan, Mohd Uzir berkata kesemua kumpulan lain juga terus merekodkan peningkatan kecuali Komunikasi yang kekal tidak berubah berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

    Restoran dan Hotel meningkat 5.8 peratus diikuti Pengangkutan (5.6 peratus); Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (4.0 peratus) serta Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (3.8 peratus).

    Sementara itu, Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus, Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (2.1 peratus) dan Pendidikan (1.2 peratus).

    Inflasi bagi tempoh Januari hingga Julai 2022 meningkat 2.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

    Bagi perbandingan bulanan, inflasi meningkat 0.4 peratus berbanding Jun 2022.

    Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh Restoran dan Hotel (0.8 peratus) serta Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (0.7 peratus). Ini diikuti Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (0.6 peratus) dan Pengangkutan (0.5 peratus).

    Inflasi teras dan inflasi tanpa bahan api, masing-masing mencatatkan peningkatan 3.4 peratus dan 4.2 peratus pada Julai 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

    Kesemua negeri menunjukkan peningkatan dalam inflasi dengan tiga negeri meningkat melepasi paras inflasi nasional 4.4 peratus. – BERNAMA

  • Tiga pulau jadi pulau tenaga hijau – Takiyuddin

    Tiga pulau jadi pulau tenaga hijau – Takiyuddin

    TIGA pulau dalam negara dicadang dijadikan Pulau Tenaga Hijau menggunakan 100 peratus Tenaga Boleh Baharu (TBB), menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Beliau berkata pulau-pulau berkenaan ialah Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Terengganu serta Pulau Tioman di Pahang.

    Katanya, kertas cadangan mengenai inisiatif berkenaan telah dibentang kepada Kabinet, Jumaat lepas.

    “Kita cadang mulakan di Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Tadi Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) umum satu lagi pulau iaitu Pulau Tioman.

    “Kerajaan memang serius dan kita harapkan walaupun tidak seluruh negara, ada komponen seperti pulau-pulau ini yang gunakan 100 peratus Tenaga Boleh Baharu,” katanya pada sidang media selepas perasmian Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Kelima 2022 oleh perdana menteri, di sini hari ini.

    Perdana menteri ketika berucap berkata inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau ini adalah antara empat sistem pembekalan elektrik negara.

    Dalam pada itu, Takiyuddin berkata kajian Malaysia Energy Transition Outlook (METO) kini sedang disediakan kerajaan dengan kerjasama Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) dan dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan.

    “Ia penting kerana akan beri kita garis panduan bagaimana untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih 2050,” katanya.

    Terdahulu, dalam ucapannya, Takiyuddin berkata ketetapan dasar serta inisiatif pembangunan tenaga lestari dijangka dapat mengurangkan 45 peratus intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sektor bekalan elektrik.

    Beliau berkata penetapan dasar serta inisiatif tersebut juga akan menghasilkan limpahan ekonomi melalui penjanaan pelaburan sehingga RM33 bilion dan mewujudkan 47,000 peluang pekerjaan langsung.

    “Komitmen inj memerlukan gandingan usaha semua pemegang taruh dalam bidang tenaga lestari,” katanya. – BERNAMA

  • Ahmad Zahid dakwa PH buat pendakwaan terpilih menerusi Thomas

    Ahmad Zahid dakwa PH buat pendakwaan terpilih menerusi Thomas

    Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melakukan pendakwaan terpilih yang bermotifkan politik terhadapnya dan lebih 20 pemimpin Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Ahmad Zahid, 69, berkata apabila BN gagal membentuk kerajaan pada 2018, beliau dan pemimpin lain termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah diheret ke mahkamah atas kesalahan jenayah.

    “Yang Arif, saya sedari bahawa pada 9 Mei 2018, apabila kerajaan di bawah BN telah gagal memperoleh kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan, maka gabungan parti lain ambil alih dan dalam bulan Jun (2018) laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat kepada saya,” katanya.

    Bekas timbalan perdana menteri itu berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal ketika membela diri atas 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana Yayasan Akalbudi (YAB).

    Menurut Ahmad Zahid, apabila gabungan baharu PH mengambil alih, pertuduhan terhadap 15 individu di mahkamah telah ditarik balik antaranya Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa, Naib Presiden PKR ketika itu Rafizi Ramli dan beberapa individu lain.

    “Kalau ini bukan pertuduhan bermotifkan politik, saya tidak tahu apakah lagi istilah lain yang digunakan? Yang dituduh ditarik balik (kes) oleh peguam negara ketika itu, manakala individu dari parti yang kalah diheret ke mahkamah untuk dituduh. 

    “Apa yang mahu saya sebut di sini ialah keyakinan kami kepada mahkamah yang adil serta sistem perundangan yang betul,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

    Ahmad Zahid berkata kertas laporan dalam siasatan sepatutnya mengutamakan untuk menyiasat isu yang merosakkan sistem keadilan dan penguatkuasaan, bukannya dijadikan sebagai satu langkah untuk membalas dendam oleh pemimpin yang mengambil alih kerajaan.

    Kepada soalan Ahmad Zaidi sama ada beliau diugut secara halus atau kasar contohnya oleh perdana menteri dan timbalan perdana menteri berhubung kes YAB, Ahmad Zahid berkata:

    “Tidak spesifik diugut perkara yang berhubung kait dengan YAB tetapi ugutan pada jawatan yang saya pegang dalam parti apabila saya jalankan tugas sebagai Presiden UMNO”.

    “Seorang yang telah jadi perdana menteri ketika itu iaitu Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) menyatakan beliau mahu jumpa saya dan ugutan yang dibuat jika saya tidak keluar parti dan membubarkan UMNO, sesuatu akan dilakukan kepada saya, tentulah pertuduhan yang dibuat kepada saya ekoran daripada ugutan itu,” katanya.

    Katanya Dr Mahathir mengakui di dalam beberapa media bahawa beliau memintanya (Ahmad Zahid) keluar parti dan membubarkan UMNO dan pengakuan tersebut merupakan bukti yang kukuh.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 2 petang.

    — BERNAMA

  • Trend kurangkan jejak karbon beri impak positif buat negara – PM

    Trend kurangkan jejak karbon beri impak positif buat negara – PM

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata trend semasa dunia yang dilihat begitu agresif dalam mengurangkan jejak karbon, memberi impak perkembangan cukup positif buat negara.

    Ini, menurut Perdana Menteri kerana peningkatan dalam pelaburan serta permintaan bekalan elektrik mesra alam atau elektrik hijau akan membuka peluang ekonomi dan perniagaan baharu kepada pemain industri Tenaga Boleh Baharu (TBB) tempatan.

    “Mengambil kira Malaysia memiliki rantaian nilai industri TBB yang kukuh daripada peringkat pembuatan sehingga ke peringkat pembekalan perkhidmatan, negara dalam hal ini perlu memanfaatkan kelebihan dimiliki untuk menarik pelaburan hijau dan bernilai tinggi ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Kelima 2022, di sini, hari ini.

    Turut hadir Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pengarah Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui (IRENA) Francesco La Camera.

    Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata hasrat ini perlu didukung melalui penetapan dasar perancangan penjanaan dan pembekalan elektrik lebih kompetitif, bercita-cita tinggi dan dicorak berasaskan perkembangan dan permintaan semasa.

    “Ini termasuk penyediaan mekanisme dan sistem pembekalan yang anjal dan responsif melalui teknologi moden dan pintar, bagi mengendalikan kemasukan tenaga boleh baharu yang lebih tinggi dan menguruskan permintaan tenaga secara efisien.

    “Perkara ini penting dalam menjadikan Malaysia lebih mampu menarik kemasukan pelaburan langsung asing kerana kelebihannya menyediakan capaian kepada bekalan elektrik hijau yang berkualiti,” katanya.

    Sehubungan itu, katanya Kementerian Tenaga dan Sumber Asli telah diminta menerajui perubahan dasar ini dengan menambah baik kerangka dasar dan regulatori pembekalan elektrik sedia ada, agar selaras dengan keperluan dan permintaan semasa.

    Beliau yakin Malaysia yang diberkati pelbagai sumber TBB yang boleh diterokai, sekiranya diwujudkan satu dasar peralihan tenaga yang berdaya maju, negara mampu menarik pelaburan syarikat korporat yang memerlukan bekalan elektrik hijau.

    “Oleh itu, saya menyambut baik laporan awal kajian Malaysia Energy Transition Outlook (METO) tentang senario peralihan tenaga yang boleh kita laksanakan.

    “Saya berharap laporan akhir METO yang akan dimuktamadkan nanti, bakal menjadi panduan penetapan hala tuju peralihan tenaga negara sehingga tahun 2050 dan menyumbang secara lebih signifikan terhadap aspirasi negara neutral karbon 2050,” katanya.

    Mengulas mengenai persidangan ISES, Ismail Sabri percaya ia akan membuka peluang kepada penggubal dasar, pemain industri dan cendekiawan dalam bidang tenaga lestari untuk berbincang dan memahami strategi serta amalan terbaik berkaitan peralihan tenaga di seluruh dunia.

    “Saya berharap dasar, amalan dan inisiatif terbaik yang sedia dipraktikkan dan terbukti berjaya, boleh diaplikasi dan disesuaikan untuk dilaksanakan, agar Malaysia juga boleh menyumbang dalam menangani isu perubahan iklim di peringkat global,” katanya.- BERNAMA