KEMENTERIAN Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menguatkuasakan siling gaji baharu untuk maksud caruman mulai 1 Sept ini.
Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata dijangka 1.5 juta pekerja atau hampir 19 peratus daripada keseluruhan pencarum Perkeso di seluruh negara terlibat dalam peningkatan siling gaji itu yang merangkumi pekerja tempatan dan pekerja asing.
Beliau berkata peningkatan siling itu susulan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) yang melibatkan peningkatan had siling gaji bagi maksud caruman daripada RM4,000 kepada RM5,000 sebulan.
Katanya langkah meningkatkan siling gaji itu akan menambah baik liputan keselamatan sosial Perkeso menerusi peningkatan kadar bayaran faedah sedia ada sehingga 25.3 peratus.
“Faedah tersebut adalah seperti Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Pencen Penakat dan Pencen Ilat di bawah Akta 4 serta Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) dan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) di bawah Akta 800.
“Mulai September ini, amaun caruman yang akan terpakai bagi pekerja bergaji melebihi RM4,000 sebulan adalah seperti yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga, Akta 4 dan Jadual Kedua, Akta 800. Bagi pekerja yang bergaji melebihi RM5,000 sebulan, amaun caruman adalah mengikut had siling gaji RM5,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohammed Azman berkata bayaran caruman hendaklah dibuat oleh majikan mengikut pindaan had siling gaji baharu bagi September ini dan seterusnya.
“Majikan diminta mencatatkan jumlah potongan caruman dalam penyata atau slip gaji pekerja masing-masing bagi tujuan rekod dan aktiviti pemeriksaan oleh Perkeso,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sejak penubuhan Perkeso pada 1971 hingga kini, peningkatan siling gaji telah dilaksanakan sebanyak lima kali.
Menurutnya langkah yang dilaksanakan itu sejajar dengan usaha berterusan agensi itu dalam menyediakan perlindungan sosial lebih komprehensif kepada pencarum dan orang tanggungannya.- BERNAMA
SEORANG pengawal keselamatan disiasat selepas disyaki menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka,hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya, berkata keterangan daripada lelaki berusia 50 tahun itu diambil selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.54 tengah hari tadi.
“Sebelum itu, Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menurunkan satu dron secara ‘force landing’ iaitu balik ke tempat asal dron itu dinaikkan di tepi jalan berhampiran sebuah restoran di Bulatan Dato Onn pada jam 9.30 pagi.
“Keterangan daripada lelaki itu sudah diambil dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya kepada Bernama.
Noor Dellhan berkata laporan tersebut diklasifikasikan sebagai merujuk kepada agensi lain (ROA) iaitu pihak CAAM untuk siasatan di bawah Peraturan 143 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Sebelum ini, CAAM menasihatkan orang ramai untuk tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini membabitkan keselamatan orang awam serta mengundang risiko kemalangan terhadap pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menjalankan penerbangan formasi rendah pada sambutan tersebut.- BERNAMA
JENAZAH empat beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Semanggar Dalam di Kota Tinggi semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Pasir Raja petang ini.
Pasangan suami isteri, Mohamad Suti Yahaya, 39, dan Siti Jamaliah Mohd Yatim, 27, serta anak mereka Nurfatihah Jannah berusia sembilan bulan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad sekitar pukul 5.30 patang.
Jenazah seorang lagi anak pasangan itu, Nur Firman Hadi Abdul Rahman, 5, tiba lebih awal kira-kira 3.40 petang untuk dikebumikan secara berasingan di tanah perkuburan sama mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berikutan disahkan positif COVID-19.
Terdahulu, jenazah Mohamad Suti, isteri dan anak perempuannya itu dibawa ke Masjid Jamek al-Sharif, Felda Pasir Raja sebelum disembahyangkan serta diberi penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan kenalan.
Ketiga-tiga jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan kira-kira satu kilometer dari masjid untuk disemadikan dalam suasana pilu serta penuh hiba, dan hujan renyai.
KEMALANGAN-KEBUMI 2 (AKHIR) KOTA TINGGI
Pasangan itu meninggalkan seorang cahaya mata Nur Suzila berusia lapan tahun yang kini di bawah jagaan ibu Siti Jamaliah, iaitu Rosni Sintingan, 53.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora dilaporkan berkata kejadian pada pukul 1.20 tengah hari itu dipercayai berlaku apabila Mohamad Suti yang membawa tiga lagi mangsa, gagal mengawal motosikal yang dinaiki mereka semasa melalui selekoh dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori.
Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.- BERNAMA
SERAMAI 10 orang maut termasuk tujuh murid dalam satu nahas jalan raya melibatkan sebuah treler, trak pikap dan dua motosikal, berhampiran kawasan sekolah di Bekasi, Jawa Barat pada Rabu.
Ketua Pesuruhjaya Trafik Polis Metro Jaya, Latief Usman berkata kejadian pada 11 pagi waktu tempatan itu dipercayai berpunca daripada treler berkenaan yang mengalami masalah brek sebelum merempuh perhentian bas.
Rempuhan itu turut menyebabkan tiang telekomunikasi tumbang dan menghempap trak pikap.
Latief berharap jumlah mangsa yang maut tidak bertambah, menurut laporan media.
Treler berkenaan turut merempuh ibu bapa dan murid Sekolah Rendah Kota Bekasi yang baru menamatkan sesi persekolahan.
Beliau berkata polis akan meneruskan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar nahas. – BERNAMA
PARA pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) disaran menghadkan jumlah pindahan harian menerusi perbankan Internet bank rakan strategik TH sebagai langkah keselamatan dari penipuan dalam talian.
TH dalam kenyataan hari ini berkata pendeposit juga perlu sentiasa memastikan maklumat peribadi dan akses kata laluan platform perbankan Internet tidak dikongsi dengan mana-mana pihak, selain membuat semakan penyata akaun secara berkala melalui aplikasi THiJARI.
Menurut TH, langkah keselamatan adalah penting supaya pendeposit tidak terjerat dengan perangkap pihak tidak bertanggungjawab atau ‘scammer’.
TH juga sedang mengambil langkah mengurangkan had pindahan harian menerusi perbankan Internet bank-bank rakan strategik bagi mengekang penipuan dalam talian dari menimpa pendeposit.
“Platform dalam talian TH iaitu THiJARI amat selamat kerana pengeluaran atau pindahan keluar dari TH adalah tidak dibenarkan sama sekali. Malah, THiJARI dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri keselamatan antaranya nama pengguna, kata laluan, TAC serta gambar keselamatan untuk memastikan aplikasi tersebut disambung ke laman web rasmi THiJARI.
“Peraturan pengeluaran atau pindahan wang juga tidak boleh dilaksanakan melalui panggilan telefon, manakala arahan pindahan telegrafik di kaunter hanya boleh dibuat dari akaun TH ke akaun bank milik sendiri sahaja,” menurut kenyataan itu.
TH berkata menerusi aplikasi THiJARI, satu sesi log masuk sahaja dibenarkan bagi setiap akses dan maklumat sulit akaun pendeposit juga tidak akan disimpan dalam telefon bimbit, selain sentiasa dikemas kini dan penambahbaikan kawalan keselamatan teknologi dilaksanakan secara berterusan.
Dalam pada itu, TH memandang serius penyalahgunaan media sosial dalam penyebaran berita palsu atau kandungan tidak jelas, sehingga menimbulkan suasana keresahan dan panik dalam kalangan orang ramai terhadap TH.
“TH tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan undang-undang seperti diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“TH komited untuk terus memberi peringatan dan nasihat berkaitan perkara ini kepada para pendeposit di platform-platform komunikasi rasmi TH. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA
KEHARMONIAN Keluarga Malaysia dan keterujaan jelas terpancar di wajah ribuan individu pelbagai lapisan umur, bangsa dan latar belakang yang membanjiri Dataran Merdeka, bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2022.
Manifestasi tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, sambutan hari bersejarah tahun ini cukup bermakna dalam menzahirkan kesyukuran dan rasa bangga masyarakat majmuk negara ini yang beramai-ramai berhimpun di lokasi utama perarakan dan perbarisan seawal 4.30 pagi untuk menyaksikan acara itu.
Lautan manusia termasuk pelancong asing mengambil peluang menghayati tema sambutan dengan menampilkan semangat patriotisme, kebersamaan dan kesepaduan memeriahkan acara sambutan peringkat kebangsaan penuh warna-warni dan besar-besaran.
Pasukan barisan hadapan melintasi pentas tetamu kehormat pada acara perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.
Setelah dua tahun disambut dalam persekitaran norma baharu ekoran pandemik COVID-19, acara perbarisan dan perarakan oleh hampir 20,000 peserta pelbagai kontinjen tahun ini diadakan gilang-gemilang yang mempamerkan komponen kenegaraan, barisan hadapan, urus tadbir negara, ketenteraman awam, keselamatan negara, komponen Keluarga Malaysia dan pertunjukan udara.
Acara sambutan yang melibatkan sejumlah 369 aset darat dan 68 aset udara serta 76 ekor haiwan dalam perkhidmatan, turut disiarkan secara langsung di kaca televisyen dan laman media sosial, orang ramai disajikan dengan dendangan lagu-lagu patriotik, diiringi Orkestra RTM pimpinan Datuk Mokhzani Ismail, yang julung kali terlibat dalam acara bersejarah itu.
Ketibaan rasmi dif-dif kenamaan dan pemimpin negara bermula 7.30 pagi disusuli dengan kemuncak keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang menaiki Kereta Kuda Diraja, satu penampilan unik berbeza daripada kelaziman tahun-tahun sebelum ini.
Pesawat Pengangkut A400m dan C130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan lintas hormat pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.
Kereta Kuda Diraja kali terakhir digunakan pada 17 tahun lepas semasa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berangkat menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2005.
Sejurus keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di pentas diraja, lima pesawat helikopter melakukan terbang lintas diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku.
Seri Paduka kemudian menerima Tabik Hormat Diraja dan berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota diketuai Mejar Nurul Fauzan Md Sabri.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, empat menteri kanan dan menteri-menteri Kabinet termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, diplomat dan perwakilan asing serta dif-dif kenamaan menghadiri sambutan hari bersejarah itu.
Sebahagian daripada persembahan ketika Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.
Mendahului acara sambutan Hari Kebangsaan 2022 itu ialah nyanyian lagu Negaraku seiring dengan acara menaikkan Jalur Gemilang. Serentak itu kedengaran 14 das tembakan kehormatan, simbolik kepada 14 negeri di Malaysia, dilaksanakan oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja diketuai Lt Kol Mohamad Asri Che Wil.
Menyemarakkan suasana sambutan, hadirin disajikan dengan lagu tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, nyanyian Alif Satar & The Locos bersama kumpulan koir Keluarga Malaysia dengan iringan muzik Orkestra RTM.
Tidak sempurna acara tanpa bacaan ikrar Rukun Negara, atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, yang merupakan pemegang rekod acara 100 meter negara mengetuai 65 pembaca ikrar yang terdiri daripada pelbagai kaum, sekali gus menonjolkan elemen keterangkuman.
Usai lafaz ikrar, laungan keramat ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali bergema di Dataran Merdeka.
Pada sambutan kali ini, hadirin dipersembahkan dengan persembahan khas colour guard ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ oleh 600 pelajar sekolah menengah di bawah penyelarasan Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.
Mendahului segmen kenegaraan ialah perarakan kontinjen pembawa bendera besar bersaiz 24.3 meter x 12.2 meter oleh 60 pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan kadet pelatih dari Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia.
Ia diikuti dengan perarakan 330 pembawa Jalur Gemilang dan pembawa bendera negeri-negeri.
Bagi menggambarkan kesepakatan sinergi penyampaian perkhidmatan awam Malaysia, 27 kementerian dan jabatan daripada sektor perkhidmatan am, ekonomi, industri, keselamatan, infrastruktur, kemudahan awam dan sosial menyertai kontinjen barisan kementerian.
Turut menarik perhatian, perarakan kontinjen Persatuan Jurumasak Malaysia diketuai Presiden Khairuddin Kamarudin. Tunku Azizah merupakan penaung persatuan ini yang ditubuhkan pada 1977 dengan objektif menyatukan profesional masakan serta mewujudkan hubungan antara pemain industri serta jalinan kerjasama profesional.
Sebahagian daripada acara menaikkan Jalur Gemilang ketika Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.
Perarakan kemudiannya dimeriahkan dengan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia yang diketuai Sabri Said, melibatkan lima unit kenderaan pacuan empat roda daripada Jabatan Penerangan Malaysia dan 65 motosikal berkuasa tinggi BMW K16.
Bidang sukan yang menjadi elemen penyatuan rakyat Malaysia tidak ketinggalan membuat penampilan. Atlet Malaysia termasuk mereka yang mewakili negara pada temasya Sukan Komanwel Brimingham 2022 menaiki dua bas ‘hop-on hop-off’ menerima tepukan gemuruh para hadirin.
Menyerikan lagi sambutan tahun ini ialah perarakan 30 kenderaan klasik yang membawa tokoh dan karyawan seni antaranya pengarah filem Datuk Yusof Haslam serta personaliti filem pecah panggung ‘Mat Kilau’, Datuk Jalaluddin Hassan dan Shaharuddin Thamby.
Sejumlah 650 peserta daripada 33 syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan swasta serta kereta berhias yang membawa pelbagai maskot karekter animasi tempatan seperti Didi & Friends, Omar dan Hana, BoBoiBoy dan Papa Zola menceriakan perarakan dengan aksi masing-masing.
Pasukan barisan hadapan melintasi pentas tetamu kehormat pada acara perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, hari ini.
Dalam segmen ketenteraman awam, kontinjen barisan hadapan menarik perhatian ramai apabila turut membariskan petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan serta petugas keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merupakan tonggak utama negara tatkala pandemik COVID-19 melanda negara.
Bagi segmen keselamatan negara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memulakan acara perbarisan dengan persembahan demonstrasi menyelamatkan tebusan oleh pasukan elit, Grup Gerak Khas berserta aset-aset milik ATM.
Aset pesawat udara kontinjen keselamatan negara dipertontonkan di ruang udara, antaranya melibatkan dua jenis pesawat pengangkut terbesar A400M dan C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Buat julung kalinya ruang udara Kuala Lumpur digegarkan dengan persembahan formasi mega terbang lintas udara yang dibarisi 21 pesawat helikopter pelbagai agensi ATM, Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Agensi Penguatkuasaan Maritim.
Lagu tema ‘Keluarga Malaysia’ ciptaan Jerry dan lirik oleh Annuar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022, mengakhiri persembahan sambutan yang memukau para hadirin.- BERNAMA
SEORANG ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) direman hingga Rabu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memukul adik lelakinya yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) di Bandar Sri Jempol, dekat sini pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 40-an itu ditahan pada 4 petang Ahad lepas selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung perkara itu.
Mangsa yang berusia 39 tahun mendakwa dipukul oleh abang kandungnya dengan menggunakan objek dan dicucuh dengan api.
“Dia kemudian dibawa ke Hospital Jempol untuk pemeriksaan doktor dan disahkan mempunyai kecederaan pada bahagian perut serta belakang badan sebelum menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hoo berkata kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan.
Justeru, menurutnya orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan dan menyeru jika ada pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut agar tampil ke balai polis berdekatan.- BERNAMA
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini selesai memberikan keterangan setelah 17 hari membela diri terhadap kes rasuah membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbdudi (YAB) yang dihadapinya.
Ahmad Zahid, 69, memberikan keterangan bersumpah dari tempat saksi di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bermula 13 April lepas dengan menafikan segala dakwaan terhadapnya.
Berkenaan prosiding seterusnya, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid berkata pihak pembelaan akan mengurangkan saksi pembelaan daripada 43 saksi kepada 40.
“Pihak pembelaan akan menyediakan pernyataan saksi dan menyerahkannya kepada pendakwaan dalam tempoh 14 hari sebelum mereka memberi keterangan,” kata peguam itu.
Hakim Sequerah: Perlu ke memanggil 40 saksi lagi?
Hamidi: Ya Yang Arif, walaupun bilangannya mencecah 40 saksi, keterangan mereka tidak akan mengambil masa yang lama, malah kami akan mengikut jadual perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran mencadangkan agar 20 saksi sahaja dipanggil memberikan keterangan.
“Sebelum ini 43 saksi dikatakan akan dipanggil memberikan keterangan, sekarang turun kepada 40 saksi, namun ia masih dikira ramai. Jadi saya cadangkan mahkamah dapat menetapkan tarikh tambahan untuk prosiding akan datang,” katanya.
Peguam utama Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik kemudian berkata tarikh tambahan tidak perlu ditetapkan pada masa ini kerana saksi-saksi ini tidak akan mengambil masa terlalu lama untuk memberikan keterangan.
Mahkamah menetapkan 40 saksi itu memberikan keterangan selama 20 hari iaitu pada 19 hingga 22 Sept, 26 hingga 29 Sept, pada Oktober iaitu 17, 18, 19, 20 dan 31 manakala November pada 1, 2, 3, 7, 8, 9 dan 10.
Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana YAB.
TUJUH warga asing direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang lelaki tempatan dalam bonet kereta di Jalan Tugu di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata permohonan reman sehingga 5 Sept itu dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi ini.
“Kebenaran reman ini akan membantu polis dalam menyiasat motif pembunuhan dan setakat hari ini tiada tangkapan baharu dilakukan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Dalam pada itu, Noor Dellhan berkata proses bedah siasat mayat mangsa belum selesai dan punca kematian belum dapat dikenal pasti.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Semalam polis menahan lima lelaki dan dua wanita, kesemuanya warga asing berusia 20 hingga 26 tahun bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat lelaki berusia 41 tahun itu.
Media melaporkan mayat lelaki dipercayai pemandu e-hailing ditemukan dengan kaki diikat menggunakan kain serta kesan cedera pada muka dan telinga dalam bonet Perodua Bezza yang ditinggalkan di Jalan Tugu kira-kira 6.30 pagi. – BERNAMA
SEORANG penolong pegawai pendidikan daerah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan melantik syarikat milik anak saudaranya dalam tender kantin sebuah sekolah bernilai RM50,400.
Tertuduh Mahalay @ Mahali Jahaya, 48, dituduh melakukan kesalahan itu melibatkan tender kantin sekolah SK Bukit Garam II, Kinabatangan dengan mengambil tindakan dalam proses pemilihan penawaran kerja untuk syarikat Damai Enterprise, yang pemiliknya adalah anak saudaranya Amiruddin Baro, 37, bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Dis 2015 hingga 30 Nov 2018.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan pada 11 Nov 2015.
Mahalay didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama iaitu penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Abu Bakar Manat membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan RM4,000 didepositkan oleh seorang penjamin tempatan, dan menetapkan 7 Okt depan untuk sebutan semula.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Rekhraj Jaswant Singh.- BERNAMA