Author: Bernama

  • PKR mungkin teruskan tindakan undang-undang terhadap bekas ahli khianati parti- Fahmi

    PKR mungkin teruskan tindakan undang-undang terhadap bekas ahli khianati parti- Fahmi

    PKR mungkin mempertimbangkan untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap beberapa bekas ahlinya yang telah mengkhianati parti sebelum ini, kata Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.

    Beliau berkata perkara ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang memerintahkan bekas Naib Presiden PKR Datuk Zuraida Kamaruddin membayar RM10 juta kepada parti berkenaan kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

    “Dalam Mesyuarat Pimpinan Pusat PKR akan datang mungkin ada perbincangan di mana tindakan terhadap Zuraida telah diambil dan ada keputusan sebegini… bukan beliau sahaja yang melompat parti pada waktu itu tetapi ada sejumlah yang lain.

    “Maka PKR mungkin meneruskan tindakan undang-undang kepada mereka yang telah mengkhianati parti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Parlimen Lembah Pantai hari ini, lapor BERNAMA.

    Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan saman PKR itu selepas mendapati bon tersebut merupakan kontrak yang sah dan mengikat malah mahkamah juga memerintahkan Zuraida untuk membayar kos RM50,000.

    Mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata ia juga membuktikan pendirian PKR bahawa tindakan lompat parti adalah tidak berprinsip walaupun Zuraida melanggar kontrak itu semasa negara belum melaksanakan Akta Anti Lompat Parti.

    “Sebab itu PKR mengenakan bon kepada beliau (Zuraida) dan kepada semua yang bertanding (pilihan raya) atas tiket PKR,” kata beliau dan mengingatkan semua ahli PKR supaya tidak sesekali mengkhianati parti itu.

    Pada Februari 2020, seramai 11 Ahli Parlimen mewakili PKR termasuk Zuraida mengisytiharkan keluar parti serta Pakatan Harapan (PH) dan antara yang turut keluar ialah bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Sementara itu, mengenai Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM itu, Fahmi berkata seramai 34 pelajar kawasan Parlimen Lembah Pantai telah menerima sumbangan wang tunai sebagai tanda memberi semangat setelah mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tahun lepas.

    “Ini adalah sebahagian usaha saya sebagai Ahli Parlimen untuk membantu mereka yang ramai daripada keluarga B40 dan M40 dengan harapan anak-anak ini dapat meneruskan pelajaran.

    “Semoga mereka juga dapat mendampingi dan mempelajari pelbagai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan dan mengikuti trend terkini supaya mereka bersedia untuk memasuki alam pekerjaan nanti,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

    — BERNAMA

  • Jika Pas terus tadbir, Terengganu akan ikut jejak Kelantan mundur – Ahmad Said

    Jika Pas terus tadbir, Terengganu akan ikut jejak Kelantan mundur – Ahmad Said

    TERENGGANU bakal mengikuti jejak langkah negeri jirannya, Kelantan yang mundur dalam pelbagai aspek pembangunan jika Pas terus diberi mandat mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata perkara itu tidak mustahil apabila mengambil kira ketiadaan sebarang pembaharuan atau kemajuan ketara dibawa ke Terengganu sejak PAS merampas negeri itu daripada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    “Tiada pembangunan, tiada apa-apa (di bawah pimpinan Pas), tetapi orang Kelantan tiada masalah sebab mereka boleh cari kerja di Kuala Lumpur, orang Terengganu dia tak berapa nak keluar sangat. Jadi, mereka akan jadi mangsa. Tengok di Kelantan, isu air sudah hampir 30 tahun pun belum selesai.

    “Dalam PRU15 rakyat beri peluang Pas menang 8-0  (menang semua kerusi Parlimen Terengganu) dan apa rakyat dapat? Tiada menteri atau timbalan menteri dari negeri ini dan tiada peruntukan untuk negeri. Siapa yang rugi? Rakyat rugi tiada pembangunan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran jentera PRN BN Terengganu di sini malam tadi. 

    Menurut Ahmad, rakyat Terengganu akan menerima lebih banyak kemudahan jika kerajaan negeri dan kerajaan pusat daripada gabungan parti yang sama, terutamanya dalam isu menerima peruntukan untuk pembangunan negeri. 

    “Sebab itu kita nak rakyat Terengganu bertukar, dalam PRN kali ini beri semula (mandat) kepada BN. Banyak benda kita sudah rancang untuk dibuat… Terengganu di bawah Pas dengan dua menteri besar dari Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar), apa orang Marang dapat?. 

    “Kita harap pengundi UMNO sedar akan perkara ini dan jangan lagi digula-gulakan (dengan politik wang). Sebab kita mahukan pembangunan untuk Terengganu yang ada potensi pelancongan ini,” katanya. 

    Sementara itu, mengenai agihan kerusi antara gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu, Ahmad yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal berkata perkara itu telah lama selesai namun keputusan akhir masih belum ditentukan pucuk pimpinan parti. 

    Terdahulu, Ahmad dilaporkan media sebagai berkata rundingan pengagihan kerusi di peringkat negeri untuk 32 DUN Terengganu dalam kalangan parti dalam kerajaan Perpaduan diadakan sebanyak tiga kali sebelum diserahkan kepada pimpinan tertinggi parti untuk diputuskan.

    Pengarah Pilihanraya Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Ahmad Sabri Ali sebelum ini pula dilaporkan pihaknya meminta BN mempertimbangkan tujuh kerusi DUN untuk ditandingi PKR pada PRN akan datang.

    — BERNAMA

  • Lokman Adam bebas tuduhan sebar berita palsu mengenai vaksin,Covid-19

    Lokman Adam bebas tuduhan sebar berita palsu mengenai vaksin,Covid-19

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Lokman Noor Adam daripada dua pertuduhan menyebarkan berita palsu di laman Facebook miliknya berhubung kemasukan warga India menyebar virus COVID-19 dan kematian seorang pegawai polis akibat vaksin, pada April dan Mei 2021.

    Bernama melaporkan, Hakim Nor Hasniah Ab Razak membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes yang dihadapi Lokman, 50, di bawah Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021, di akhir kes pendakwaan.

    “Pihak pendakwaan gagal mengasaskan satu kes prima facie terhadap tertuduh. Mahkamah dengan ini memerintahkan agar tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapinya. Wang jaminan (RM20,000) dikembalikan,” katanya.

    Pada 1 Okt 2021, Lokman mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyebarkan berita tidak benar melalui rakaman audio visual tentang kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran virus COVID-19 dan kematian seorang pegawai polis yang dikaitkan dengan vaksin.

    Penyebaran itu melalui aplikasi media sosial Facebook atas nama profil “Lokman Adam” itu dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang didakwa dilakukan pada 10.55 malam, 3 Mei dan 10.38 malam, 9 April 2021.

    Dua rakaman itu kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada 4.40 petang, 9 Mei dan 8.55 malam, 11 April 2021. 

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh manakala Lokman diwakili peguam Logen Eskander.

    Ketika ditemui media di luar mahkamah selepas prosiding, Lokman yang hadir ke mahkamah berbaju Melayu biru mengucapkan terima kasih kepada hakim dan mahkamah yang mendengar kesnya serta peguam yang mewakili beliau.

    “Dengan pembebasan saya daripada pertuduhan ini, maknanya seperti yang dihujahkan peguam saya, tidak ada keterangan saya yang menyalahi fakta ataupun bak kata orang, tidak benar,” kata Lokman.

  • DUN Selangor bubar secara rasmi hari ini

    DUN Selangor bubar secara rasmi hari ini

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan hari ini, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

    Pembubaran itu selaras dengan pengumuman Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani pada Isnin lalu selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

    Ini bermakna DUN Selangor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan dua hari lebih awal berbanding tempoh mandat DUN yang akan berakhir pada 25 Jun ini, lapor BERNAMA.

    Dengan pembubaran itu, pentadbiran Selangor kini ditadbir kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN nanti.

    Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) mendominasi Selangor apabila menang 51 daripada 56 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) dan PAS masing-masing mendapat empat dan satu kerusi. 

    Kedudukan terkini kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

    Satu lagi kerusi, DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

  • 936 gambar tangkap layar sejarah layari sesawang lucah dalam telefon bimbit Ebit Lew 

    936 gambar tangkap layar sejarah layari sesawang lucah dalam telefon bimbit Ebit Lew 

     

    SEORANG saksi dalam perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa sebanyak 936 gambar tangkap layar mengenai sejarah melayari laman sesawang berunsur lucah diperoleh hasil analisisnya daripada sebuah telefon bimbit.

    Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM) Latifah Abdul Aziz, 43, berkata daripada jumlah itu 146 gambar tangkap layar adalah berunsur lucah.

    “Saya mohon untuk merujuk gambar tangkap layar yang pertama dan terakhir, tempoh sejarah yang berjaya dikenal pasti bermula pada 14 Jun 2020 hingga 19 Ogos 2021,” kata saksi ketujuh pendakwaan itu.

    Latifah turut memaklumkan beliau juga diarahkan untuk menjalankan analisis bagi sebuah lagi telefon bimbit dan menemui lapan imej berunsur lucah.

    Beliau berkata imej-imej itu adalah daripada aplikasi WhatsApp dan mendapati hanya satu imej sahaja yang mempunyai penambahan pelekat aplikasi WhatsApp.

    Semalam, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa laman sesawang itu diakses daripada aplikasi Google.

    Pada prosiding hari ini, peguam Ebit Lew Ram Singh membantah soalan daripada pihak pendakwaan kepada saksi mengenai sejarah carian menerusi Google. 

    Peguam itu berkata beliau berpendapat tiada bukti dalam sejarah carian melalui Google bahawa sesebuah laman sesawang sebenarnya dilawati sebagaimana dikatakan saksi. 

    Ram Singh berkata terlalu banyak carian dibuat di dalam telefon bimbit itu yang dianalisis saksi dan tidak relevan kepada pertuduhan. 

    Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria berkata pihak pendakwaan ingin mengemukakan keterangan yang relevan dengan pertuduhan merujuk kepada carian Google berunsur lucah pada tarikh-tarikh pertuduhan.

    Zahida berkata keterangan itu penting untuk menunjukkan perbuatan dan keadaan tertuduh pada tarikh-tarikh tersebut yang melayari laman sesawang berkenaan sebelum menghantar mesej berunsur lucah kepada pengadu.

    Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan bersambung esok.

    — BERNAMA

  • Lelaki ditahan tipu tawar bantuan kewangan ‘Tengku Zafrul’

    Lelaki ditahan tipu tawar bantuan kewangan ‘Tengku Zafrul’

    POLIS menahan seorang lelaki tempatan semalam kerana memperdaya dua wanita warga emas dengan menawarkan bantuan kewangan yang tidak wujud.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 70 tahun dari Kampung Asahan, Kuala Selangor yang mendakwa beliau didatangi suspek lelaki yang menaiki kereta dan memperkenalkan dirinya sebagai wakil pemberi bantuan daripada ‘Tengku Zafrul’.

    Katanya, mangsa bersama jirannya berumur 72 tahun diperdaya untuk menaiki kereta suspek bagi mengambil kupon pendaftaran di balai raya, namun kedua-dua warga emas itu telah dibawa ke pekan Bestari Jaya dan diminta menyerahkan barang kemas mereka untuk ditukarkan kepada wang tunai.

    “Mangsa kemudian diminta untuk menunggu di kedai makan. Setelah menunggu beberapa jam, mangsa dan jirannya mendapati kereta lelaki tersebut telah tiada dan mengesyaki mereka telah ditipu dengan jumlah kerugian lebih kurang RM8,100,” katanya.

    Bertindak atas maklumat, suspek yang berumur lingkungan 30-an itu berjaya ditahan petang semalam dan turut dirampas sebuah kereta, dua utas gelang tangan, tiga bentuk cincin serta sekeping resit pajak gadai.

    Lelaki itu kini direman hingga 25 Jun dan hasil siasatan lanjut mendapati terdapat tiga laporan polis yang dibuat berkaitan modus operandi sama dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Youtuber ‘Noel Faizal’ didenda RM2,500 miliki dadah

    Youtuber ‘Noel Faizal’ didenda RM2,500 miliki dadah

    YOUTUBER Noel Faizal didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis methamphetamine di kawasan tempat letak kereta sebuah kondominium, Mac lepas.

    Majistret Muhammad Iskandar Zainol turut memerintahkan Noel Faizal atau nama sebenarnya Noel Faizal Firdaus Muhamad, 40, dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan pindaan, Noel Faizal didakwa ada dalam kawalannya 0.68 gram dadah jenis methamphetamine di kawasan tempat letak kereta sebuah kondominium, Damansara Perdana di Petaling Jaya pada 2.15 pagi, 21 Mac lepas.

    Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1980) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Loh Xian Yee memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh, mengambil kira faktor kepentingan awam serta kekerapan kes dadah yang berlaku manakala Noel Faizal yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

  • DUN Kelantan bubar secara rasmi hari ini

    DUN Kelantan bubar secara rasmi hari ini

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang mempunyai 45 kerusi hari ini secara rasmi dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Ia susulan pengumuman Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob pada sidang medianya Rabu lepas, bahawa pembubaran DUN itu mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

    Pembubaran DUN bagi penggal ke-14 itu dilakukan empat hari lebih awal, berbanding tempoh mandat DUN yang akan berakhir pada 26 Jun ini.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS mendominasi Kelantan apabila menang 37 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) menguasai lapan kerusi.

    Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas Datuk Seri Mustapa Mohamed kemudian bertindak keluar daripada Umno dan menyertai Bersatu.

    PRN Kelantan kali ini akan menyaksikan BN membuat kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH), selain PAS yang menerajui Kelantan sejak 1990 juga tidak bersendirian apabila membentuk kerjasama dengan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN).

    Ketika ditemui media semalam, Setiausaha PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat mengesahkan parti itu akan bertanding di 39 kerusi DUN manakala Bersatu akan menentang BN di enam kerusi.

    Bagi BN dan PH, kedua-dua gabungan berkenaan juga telah menyelesaikan pembahagian kerusi masing-masing.

    Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Zawawi Othman dilapor berkata calon BN akan diletakkan di 31 kerusi manakala 14 kerusi diberikan kepada PH.

    Kelantan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN termasuk Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

  • 136 kes pegawai imigresen terlibat jenayah, salah laku

    136 kes pegawai imigresen terlibat jenayah, salah laku

    SEBANYAK 136 kes melibatkan pegawai imigresen telah disiasat dan didapati melakukan kesalahan jenayah dan salah laku melibatkan proses kemasukan warga asing ke Malaysia, sejak 2020 hingga tahun lepas.

    Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata daripada jumlah itu 112 kes membabitkan kakitangan yang melanggar tatakelakuan di bawah Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib 1993), manakala 24 lagi adalah kesalahan jenayah yang diputuskan mahkamah.

    “KDN sangat serius serta bertegas dalam soal integriti dan tidak kompromi dalam soal salah laku kakitangan JIM,” katanya di Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan Senator Hussin Ismail yang mahu tahu bilangan kes disiasat berhubung kewujudan unsur jenayah rasuah serta salah laku dalam kalangan pegawai imigresen melibatkan proses kemasukan warga asing.

    Hussin juga mahu penjelasan tentang usaha kerajaan dalam mengatasi isu pelancong yang tidak keluar dari Malaysia setelah tamat visa pelancong.

    Shamsul Anuar berkata dari 2020 dan hingga 6 Jun lepas, Jabatan Imigresen telah menangkap seramai 13,242 warga asing yang melakukan kesalahan tinggal lebih masa di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

    Katanya jumlah itu merangkumi 4,292 warga asing pada tahun 2020, 2,704 (2021), 4,267 (2022) dan 1,979 bagi tempoh Januari hingga 6 Jun tahun ini.

    Beliau berkata JIM tidak pernah berkompromi dalam aspek keselamatan melibatkan kemasukan dan keberadaan warga asing di dalam negara dengan melaksanakan beberapa strategi antaranya mengenakan syarat keperluan visa ke atas warganegara asing tertentu.

  • Polis siasat kematian pelajar di Manjung

    Polis siasat kematian pelajar di Manjung

    POLIS menyiasat kematian seorang pelajar lelaki Tingkatan 3 Sabtu lalu selepas dimasukkan ke Hospital Seri Manjung (HSM) pada 16 Jun.

    Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, berkata pihaknya menerima laporan kematian mengejut pelajar lelaki pada 4.30 petang semalam selepas mengadu tidak sihat di sekolah pada Jumaat.

    “Siasatan awal dengan pihak sekolah mendapati pelajar itu dilihat tidak sihat dengan berjalan menggunakan tongkat kerana mengalami kesakitan pada bahagian kaki sebelum menelefon keluarga mangsa untuk dibawa pulang.

    ‘Keluarga pelajar kemudian membawa mangsa pulang ke rumah sebelum membawanya ke hospital setelah mendapati keadaan anak mereka semakin teruk. Keadaan mangsa semasa diterima di Jabatan Kecemasan adalah tenat dan diberikan bantuan pernafasan serta-merta dan terus dimasukkan ke wad rawatan rapi bagi penjagaan pakar pada 10.10 malam,” katanya dalam satu kenyataan.

    Nordin berkata, pihak hospital kemudian memaklumkan pelajar terbabit meninggal dunia pada 12.06 tengah malam.

    “Pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan punca kematian mangsa akibat ‘Alute Massive Pulmonary Embolism’ atau darah beku tersumbat pada paru-paru.

    “Polis membuka satu kertas siasatan bagi kes mati mengejut dan kita minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kejadian ini,” katanya.