Author: Bernama

  • Azalina hantar surat peletakan jawatan Penasihat Khas PM

    Azalina hantar surat peletakan jawatan Penasihat Khas PM

    AHLI Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) bertarikh 29 Ogos lepas.

    Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menerima peletakan jawatan itu.

    “Notis sebulan diberikan bertujuan menyelesaikan kerja-kerja yang berkaitan dengan kakitangan beliau namun dalam tempoh itu, Azalina tidak lagi bertugas di Pejabat Perdana Menteri kerana diberi cuti mulai 1 Sept hingga tamat notis pada akhir September,” menurut kenyataan itu.

    Perdana Menteri menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas perkhidmatan yang telah diberikan sepanjang tempoh beliau berkhidmat.

    Azalina dilantik ke jawatan itu pada 2 Okt 2021. Sebelum itu pada 23 Ogos tahun sama, beliau meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    — BERNAMA

  • Polis tahan pengawal peribadi miliki senjata api tiruan

    Polis tahan pengawal peribadi miliki senjata api tiruan

    POLIS menahan seorang pengawal peribadi di sebuah stesen minyak di Ukay Perdana di Ampang dan merampas senjata tajam termasuk senjata api tiruan, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berumur 21 tahun itu yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan ditahan pada 1.56 pagi.

    Beliau berkata pemeriksaan ke atas suspek menemukan sebilah kerambit, sebuah objek menyerupai pistol dan satu walkie-talkie di dalam beg silang miliknya.

    “Suspek dipercayai menyimpan senjata berkenaan untuk kegunaan pekerjaannya sebagai pengawal peribadi kepada seorang individu berstatus Datuk,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

    Mohamad Farouk berkata siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau atas kesalahan dadah dan hasil ujian air kencing bagaimanapun negatif.

    Beliau berkata suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

  • Wanita ditikam bekas kekasih kerana mahu putus hubungan

    Wanita ditikam bekas kekasih kerana mahu putus hubungan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita luka di muka, lengan kanan, pergelangan tangan dan rusuk kanan ditikam kerana mahu berpisah dengan bekas kekasihnya, dalam kejadian di sebuah apartment di Masai, Johor Bahru, semalam.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kejadian itu disedari seorang pengawal keselamatan yang bekerja di situ pada pukul 12 tengah hari selepas mendengar jeritan mangsa.

    “Semasa membuat pemeriksaan di rumah tersebut pengawal keselamatan warga asing berusia 31 tahun itu melihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat seorang lelaki tempatan sedang memegang pisau.

    “Pengawal keselamatan tersebut memaklumkan insiden tersebut sebelum membuat laporan polis pada pukul 1.44 petang. Sepasukan anggota dari Balai Polis Masai ke tempat kejadian dan menahan suspek, 30, di rumah mangsa, 34, pada pukul 1 petang.

    Seorang wanita dicederakan bekas kekasihnya kerana mahu berpisah dengan bekas kekasihnya.

    “Suspek didapati bertindak mencederakan mangsa dengan menetak di beberapa bahagian badan dan menikam mangsa. Mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pihak polis turut merampas pisau sepanjang 19 sentimeter yang digunakan dalam kejadian tersebut.

    Katanya, siasatan awal mendapati suspek bertindak sedemikian kerana marah terhadap mangsa yang enggan meneruskan hubungan percintaan antara mereka.

    “Pemeriksaan awal ke atas suspek mendapati lelaki berkenaan mempunyai satu rekod lampau bersabit kesalahan jenayah,” katanya dan memberitahu suspek bekerja sebagai pemandu grab.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

    Suspek direman enam hari bermula hari ini hingga 6 September ini selepas permohonan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, Khalida Farhana Abu Bakar, di Mahkamah Majistret Joho Bahru, hari ini.

    Tertuduh tiba ke pekarangan mahkamah pada pukul 8.30 pagi dengan lengkap berpakaian lokap berwarna ungu.

  • Pegawai khas PM buat laporan polis terhadap Lokman Adam

    Pegawai khas PM buat laporan polis terhadap Lokman Adam

    PEGAWAI Khas Perdana Menteri pada Khamis membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam kerana didakwa membuat kenyataan fitnah terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Dr Kamarul Zaman Yusoff membuat laporan polis itu di Balai Polis Presint 7 di Putrajaya pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

    Bercakap kepada media selepas membuat laporan polis, Kamarul Zaman mendakwa Lokman Noor Adam telah membuat fitnah terhadap Perdana Menteri menerusi satu siaran langsung Facebook mengenai kandungan ‘perjanjian’ Ismail Sabri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Kes berkenaan dirujuk ke Ibu Pejabat Daerah Sepang dan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi mengesahkan terdapat laporan berkaitan kes berkenaan.

  • Pekebun durian didakwa edar lebih 841 kilogram dadah

    Pekebun durian didakwa edar lebih 841 kilogram dadah

    SEORANG pekebun durian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong hari ini atas pertuduhan mengedar 841.06 kilogram dadah jenis Methamphetamine, bulan lepas.

    Lee Kok Choong, 61, didakwa mengedar dadah itu di sebuah rumah di Taman Anggerik, Bentong kira-kira 9 malam, 20 Ogos lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Qasiratul Jannah Usmani Othman kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nor Azura Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 1 Nov depan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

    Media baru-baru ini melaporkan polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dan pengedaran tempatan selepas merampas 841.06 kilogram syabu dianggar bernilai RM30.8 juta di sebuah rumah di Bentong pada 20 Ogos lepas.

    Dadah berkenaan dikatakan dijual di pasaran pada harga anggaran RM36,000 sekilogram serta boleh digunakan seramai kira-kira 4.2 juta penagih.

  • Rosmah dipenjara 10 tahun, denda RM970 juta

    Rosmah dipenjara 10 tahun, denda RM970 juta

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan denda RM970 juta, atau penjara 10 tahun, ke atas Datin Seri Rosmah Mansor selepas beliau didapati bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

    Bagaimanapun, Rosmah, hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana Hakim Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

    Beliau dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, yang ketika itu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion itu.

    Pada 18 Feb tahun lepas, Rosmah diperintah membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

    Setelah memanggil dua saksi iaitu tertuduh sendiri dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod, pihak pembelaan menutup kes pada 23 Feb lepas.

  • Lokman Adam didakwa buat komunikasi jelik terhadap PM, kerajaan

    Lokman Adam didakwa buat komunikasi jelik terhadap PM, kerajaan

    BEKAS Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Sesyen, di Kuala Lumpur, hari ini atas dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan.

    Lokman, 49, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook atas nama profil ‘Lokman Noor Adam Official’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

    Bagi pertuduhan pertama membabitkan Perdana Menteri, beliau dituduh melakukan perbuatan itu pada 11.16 malam, 20 Ogos lepas.

    Hantaran tersebut kemudiannya dibaca pada 8.15 pagi, 24 Ogos lepas di Mutiara Villa Jalan Tung Shin, Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

    Bagi pertuduhan kedua, Lokman dituduh melakukan perbuatan sama terhadap kerajaan pada 10.28 malam, 22 Ogos lepas dan pautan itu kemudian dibaca pada 11.30 pagi, 23 Ogos lepas di sebuah restoran di Jalan Sentul di Kuala Lumpur.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Mohd Izhar menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atau komen di platform media sosial berkaitan kes itu.

    Peguam Logen Eskander yang mewakili Lokman memohon jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan anak guamnya mempunyai 11 anak yang masih bersekolah dan kini bekerja sebagai penjual sate dengan pendapatan tidak menentu.

    “Beliau juga pernah memegang jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO bagi 2008 hingga 2013 dan sangat dihormati dalam kalangan ahli keluarga serta masyarakat,” katanya.

    Hakim Nor Hasniah Ab Razak membenarkan Lokman diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan tidak dibenarkan membuat apa-apa kenyataan di media sosial berkaitan kes itu.

    Sebutan semula kes ditetapkan 26 Sept.

  • Pemain bola Sri Pahang, Lee Tuck kini warganegara Malaysia

    Pemain bola Sri Pahang, Lee Tuck kini warganegara Malaysia

    PEMAIN tengah Sri Pahang FC Lee Tuck kini sah mendapat taraf warganegara Malaysia selepas melengkapkan proses naturalisasi. 
     

    Perkembangan itu diumumkan oleh pemain berusia 34 tahun itu menerusi hantaran dalam Instagram beliau malam tadi. 
     

    “Hari ini (semalam) akhirnya dan secara rasminya saya boleh katakan saya warganegara Malaysia. 
     
    “Saya sangat bersyukur mendapat kewarganegaraan Malaysia. Proses ini perjalanan yang sukar dengan membuat pengorbanan untuk sampai ke sini tetapi ia peluang yang tidak dapat saya lepaskan,” tulisnya. 

     
    Pemain kelahiran Huddersfield, England itu melahirkan penghargaannya kepada pemimpin tertinggi Sri Pahang terutama pemilik kelab bola sepak itu Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah kerana menyokong beliau sepanjang proses naturalisasi berjalan. 

     
    “Saya juga ingin berterima kasih kepada keluarga tercinta dan kawan rapat,” katanya. 
     

    Tuck telah bermain dalam Liga Malaysia (Liga-M) sejak 2017 apabila menyertai pasukan Negeri Sembilan sebelum berhijrah ke Terengganu FC pada 2018 dan bersama Sri Pahang pada musim lepas. 

     
    Sri Pahang sebelum ini dilaporkan cuba untuk menjadikan Tuck dan pemain kelahiran Argentina, Sergio Aguero sebagai pemain naturalisasi, bagaimanapun status Aguero yang bermain dalam Liga-M sejak 2017, masih belum dapat disahkan lagi.  

    Untuk rekod, Malaysia sebelum ini sudah mempunyai tiga pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya. 

  • Pendakwaan bantah permohonan Rosmah supaya Hakim tarik diri

    Pendakwaan bantah permohonan Rosmah supaya Hakim tarik diri

    PIHAK pendakwaan hari ini membantah permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes rasuahnya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

    Rosmah, 70, memfailkan permohonan itu di saat akhir atas alasan tular di media massa dan elektronik pada 26 Ogos lepas berkenaan berlakunya kebocoran penghakiman kes itu yang disediakan oleh pihak lain.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata ‘penghakiman’ bocor yang dirujuk oleh Rosmah pemohon bukanlah penghakiman bertulis.

    “Jelas daripada dokumen itu sendiri bahawa ia adalah penyelidikan dan penulisan pendapat yang disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya.

    Sri Ram berhujah bahawa permohonan itu sepenuhnya berdasarkan kepada keterangan dengar cakap serta niat jahat dan pemohon tidak mengemukakan sebarang bukti yang boleh dipercayai dan kukuh untuk menyokong tuduhannya yang berat sebelah dan ketidakwajaran kehakiman terhadap Hakim Mohamed Zaini.

    “Kami sedia berhujah dan kami membantah sebarang permohonan penangguhan dan penyampaian penghakiman. Jika mereka tidak bersedia, kami minta ia (permohonan) ditolak,” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi membalas permohonan peguam Datuk Jagjit Singh supaya menangguhkan prosiding permohonan itu kerana mereka memerlukan lebih masa untuk mengumpul fakta.

    Peguam itu membangkitkan perkara tersebut ketika prosiding bermula pada 9.28 pagi.

    Jagjit juga berkata pihak pembelaan memerlukan masa untuk menjawab afidavit disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn yang membantah permohonan Rosmah.

    Hakim berkata pihak pembelaan telah memfailkan sijil perakuan segera biasanya bermakna perkara itu harus didengar secepat mungkin.

    “Jika tidak pada hari yang sama, ia harus didengar pada hari berikutnya. Apabila kamu memfailkan sijil perakuan segera sehari sebelum hari Merdeka, saya telah mengarahkan pegawai saya supaya menyediakan prosiding hari ini,” katanya.

     Hakim bertanya kepada pihak pembelaan idea siapa permohonan itu difailkan dan Jagjit menjawab, “Kami bertindak atas arahan.”

    “Kamu mahu (prosiding) permohonan itu ditangguhkan ke hari lain? Permohonan ini akan bersifat akademik selepas saya menyampaikan keputusan saya,” kata hakim.

    Beliau juga mengambil maklum dakwaan dalam permohonan agar beliau menarik diri itu berkaitan kononnya penghakiman ditulis oleh pihak ketiga bagi pihaknya.

    Bagaimanapun, hakim itu berkata beliau seorang sahaja yang akan menjawab perkara itu dan meminta pihak pembelaan berhujah mengenai permohonan tersebut sebelum menangguhkan prosiding itu.

      “Saya akan tunggu. Beritahu saya apabila sudah bersedia,” katanya.

    Hakim dijadual menyampaikan keputusan kes itu hari ini.

  • Bersalah atau dibebaskan: Keputusan kes rasuah Rosmah esok

    Bersalah atau dibebaskan: Keputusan kes rasuah Rosmah esok

    SELEPAS hampir empat tahun perbicaraan, Datin Seri Rosmah Mansor akan mengetahui esok sama ada beliau akan dibebaskan atau disabitkan atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan dijadual mengumumkan keputusannya pada 9 pagi di mahkamah terbuka.

    Bagaimanapun, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu telah memfailkan permohonan di saat akhir supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan berhubung kes tersebut.

    Permohonan itu difailkan semalam atas alasan tular di media massa dan elektronik pada 26 Ogos lepas berkenaan berlakunya kebocoran keputusan kesnya yang disediakan oleh pihak lain.

    Difahamkan Mahkamah Tinggi esok akan mendengar permohonan itu terlebih dahulu.

    Rosmah, 70, menghadapi satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin. 

    Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh mewakili Rosmah.

    Pada 18 Feb 2021, Rosmah diperintah membela diri atas tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Pihak pembelaan menutup kes pada 23 Feb lalu selepas memanggil dua saksi iaitu tertuduh sendiri dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

    Najib, dijadual memberi keterangan selaku saksi pembelaan ketiga, bagaimanapun pada 10 Jan 2022, pihak pembelaan memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak akan memanggil bekas perdana menteri itu untuk memberi keterangan.

    Pada 11 Dis 2020, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi dalam perbicaraan yang bermula 5 Feb tahun yang sama.

    Antara saksi yang dipanggil ialah Saidi, bekas Pegawai Khas Rosmah Datuk Rizal Mansor, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed.

    Rosmah sepatutnya dibicarakan bersama Rizal, 46, yang didakwa dengan empat tuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah atas projek berkenaan.

    Bagaimanapun pada 8 Jan 2020, sebelum perbicaraan bermula, mahkamah membebaskan Rizal daripada tuduhan setelah pihak pendakwaan menarik balik keempat-empat tuduhan terhadapnya dan Rizal kemudian menjadi saksi utama pendakwaan.

    Pada 15 Nov 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan rasuah.

    Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui Rizal, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.

    Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

    Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini antara Mac dan April 2016.

    Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi bagi tujuan sama di kediamannya di Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬, pada 7 Sept 2017.

    Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa pada 20 Dis 2016, di kediaman Seri Perdana di Putrajaya.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Semua kes itu telah dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini. – BERNAMA