Author: Bernama

  • Penipuan kerja: Ibu bapa cari anak di Bangkok rupanya sudah meninggal

    Penipuan kerja: Ibu bapa cari anak di Bangkok rupanya sudah meninggal

    PASANGAN suami isteri warga Malaysia yang ke Bangkok untuk mencari anak lelakinya yang hilang tidak dapat menahan kesedihan sebaik mengetahui anaknya sudah pun meninggal dunia 11 Mei lalu di Hospital Mae Sot berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.

    Lebih menyedihkan apabila Goi Chee Kong, 50, dan isterinya yang berusia 45 tahun dari Ipoh, Perak mendapat tahu yang anak sulungya Zhan Feng, 23, menjadi mangsa sindiket penipuan kerja.

     Zhan Feng dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan diseludup ke Myawaddy,  Myanmar serta dipaksa bekerja untuk sindiket itu.

    Pasangan suami isteri itu berlepas ke Bangkok pada 30 Ogos dan dijadualkan ke Mae Sot pada hari berikutnya untuk bertemu anak mereka.

    “Kami diberitahu anak kami sakit dan menerima rawatan di hospital. Jadi, saya dan isteri datang ke Bangkok untuk bawa dia pulang ke Malaysia bagi dapatkan rawatan.

    “Bagaimanapun, kami diberitahu dia meninggal dunia pada 2 pagi 11 Mei. Doktor percaya anak saya didera sebelum ditinggalkan di hospital pada 11 April,” katanya kepada Bernama di sini.

    Chee Kong berkata anaknya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital itu dengan menggunakan nama dan nombor pasport palsu.

    Berikutan itu katanya pihak hospital tidak dapat menghubungi kedutaan dan keluarga untuk membincangkan mengenai keadaan kesihatan dan rawatan anaknya. 

    “Disebabkan tidak mendapat rawatan lanjut, sebulan kemudian dia meninggal dunia. Jasadnya dikebumikan di tanah perkuburan di Si Racha di wilayah Chonburi,” katanya.

    Beliau dan isterinya berharap dapat membawa pulang abu anak mereka secepat mungkin.

    Bagaimanapun, beliau perlu menjelaskan tunggakan bil hospital kira-kira RM40,000 sebelum boleh mendapatkan sijil kematian untuk menjalankan ujian DNA dan pembakaran mayat.

    Dengan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum Sim Chon Siang yang berada di Bangkok, satu kempen mengumpul dana telah dilancarkan pada Jumaat.

    Hanya kira-kira 22 jam, sejumlah RM50,000 dapat dikumpulkan yang akan digunakan bagi membayar bil dan yuran pembakaran mayat serta membawa abu pulang ke Ipoh, Perak.

    Sim berkata urusan pembayaran bil hospital akan dibuat pada Isnin bagi mendapatkan sijil kematian serta kebenaran untuk menggali kubur.  

    “Kami berharap dapat bawa pulang abu ke Malaysia pada Khamis. Kami harap semuanya akan berjalan lancar,” kata Sim.

    Zhan Feng, pelajar tahun akhir Institut Pendidikan Guru (IPG) itu belepas ke Bangkok untuk bercuti pada 19 Januari lalu dan bagi bertemu rakan yang dikenalinya di media sosial.

    Dia sepatutnya pulang ke Malaysia untuk menyambut ulang tahun kelahiran ibunya pada 5 Feb. Berikutan itu pada 7 Feb bapanya membuat laporan orang hilang. 

    Pada 31 Mac, pelajar itu menghubungi keluarganya dan memberitahu dia berada di Mae Sot di Wilayah Tak serta memerlukan RM80,000 untuk rawatan perubatan.

    “Kami percaya sesuatu berlaku pada dia. Kami yakin dia sedang diperhatikan dan diancam. Dia minta maaf kerana tak dapat balik ke rumah. Dia janji akan balik semula setahun kemudian…sejak itu kami tidak dengar apa-apa berita daripadanya,” kata Chee Kong.

    Beliau percaya anaknya menjadi mangsa sindiket penipuan kerja dan telah membuat laporan polis pada 2 April lalu.

    Beliau menasihatkan pencari kerja tidak terpedaya dengan tawaran pekerjaan di luar negara dengan upah yang lumayan.

    “Kami terima apa yang berlaku. Saya harap apa yang menimpa anak saya menjadi pengajaran kepada semua pencari kerja. Saya harap perkara yang sama tidak akan berulang,” katanya.- BERNAMA

  • 6 maut ketika daki Gunung Berapi Klyuchevskaya Sopka

    6 maut ketika daki Gunung Berapi Klyuchevskaya Sopka

    ENAM orang maut ketika mendaki gunung Klyuchevskaya Sopka di Kamchatka Rusia pada Sabtu, lapor Agensi Berita Xinhua.

    Menurut laporan TASS, sekumpulan 10 pelancong Rusia dan dua pemandu pelancong memulakan misi mendaki gunung itu pada Selasa.

    Pada Sabtu, sembilan daripada pendaki berkenaan mula mendaki Klyuchevskaya Sopka manakala yang selebihnya berada di kem yang terletak pada ketinggian 3,300 meter.

    Mangsa dipercayai meninggal dunia ketika berada pada ketinggian kira-kira 4,150 meter. Anggota penyelamat sedang mengesan pendaki yang lain.

    Maklumat lanjut mengenai kejadian itu masih belum diumumkan.

    Klyuchevskaya Sopka yang mempunyai ketinggian kira-kira 4,750 meter ialah gunung berapi aktif tertinggi di Eurasia.

  • Alami kebocoran, NASA batalkan pelancaran Artemis I

    Alami kebocoran, NASA batalkan pelancaran Artemis I

    NASA sekali lagi membatalkan pelancaran misi kapal angkasa Artemis I pada Sabtu berikutan masalah kebocoran, lapor Xinhua.

    Artemis I ialah ujian bersepadu pertama sistem penerokaan angkasa lepas NASA melibatkan kapal angkasa Orion, roket Sistem Pelancaran Angkasa Lepas dan sistem darat.

    Percubaan kali kedua di Pusat Angkasa Kennedy, Florida itu sepatutnya diancarkan pada 2.17 petang waktu timur (1817 GMT).

    Sebelum ini percubaan kali pertama pada 29 Ogos lalu turut dibatalkan kerana masalah enjin.

    “Semasa Artemis I hendak dilancarkan pada Sabtu masalah kebocoran dikesan berlaku di bahagian penyambungan bekalan ketika cuba memindahkan bahan api ke roket.

    “Pasukan cuba menyelesaikan masalah itu tetapi gagal,” ciap NASA di Twitter.

    Artemis I ialah misi tanpa anak kapal mengelilingi Bulan yang akan membuka jalan bagi melaksanakan ujian penerbangan kru dan penerokaan manusia ke bulan pada masa depan.

    Misi itu juga ialah sebahagian daripada program lunar Artemis NASA.- BERNAMA

  • Dr Mahathir dibenar keluar IJN

    Dr Mahathir dibenar keluar IJN

    BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.30 pagi tadi.

    Pejabat Dr Mahathir dalam satu kenyataan memaklumkan Dr Mahathir akan meneruskan kuarantin di rumah sehingga Selasa ini (6 Sept).

    Sebelum ini, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN untuk pemantauan buat beberapa hari seperti yang dinasihatkan oleh pasukan kesihatan, setelah disahkan positif COVID-19 pada 31 Ogos lepas.- BERNAMA

  • Tok Mat mahu pertahan DUN Rantau, tanding Parlimen

    Tok Mat mahu pertahan DUN Rantau, tanding Parlimen

    TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan membayangkan akan bertanding di kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

    Penyandang kerusi DUN Rantau sejak tahun 2004 itu optimis mahu mempertahankannya dan yakin pengundi di situ, yang mencerminkan imbangan penduduk berbilang kaum di Malaysia, akan terus memberi sokongan kepada BN.

    “Pengundi Melayu di Rembau setakat 51 peratus sahaja jadi ia perlu diurus dengan baik, insya-Allah saya akan terus mempertahan kerusi DUN Rantau pada PRU15.

    “Memandangkan saya Timbalan Presiden UMNO, saya juga perlu bertanding di kawasan Parlimen bagi memainkan peranan di peringkat kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas program Semarak Merdeka di Rembau.

    Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu tidak menyatakan kawasan Parlimen yang bakal ditandinginya.

    “Ini kerana sebagai Timbalan Presiden dan kepimpinan kanan parti, kita perlu berada di peringkat kebangsaan untuk menguruskan parti dan insya-Allah, kalau diberikan keyakinan oleh pengundi… menubuhkan kerajaan di peringkat pusat,” katanya.

    Ketika ini, kerusi Parlimen Rembau disandang oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Mengulas senarai calon BN di Negeri Sembilan, beliau berkata sehingga kini perkara itu masih belum dibincangkan dan fokus gabungan politik itu ialah memperkuat jentera parti bagi menghadapi PRU15.

    “Saya turun ke negeri-negeri termasuk Negeri Sembilan untuk melihat kesiapsiagaan parti dan keperluan kita menggerakkan jentera di peringkat akar umbi… soal calon masih belum dibincangkan atau belum lagi sampai ke tahap itu,” katanya.

  • Polis cari Nur Haziqah Hamidi saksi penting kes ‘Long Tiger’

    Polis cari Nur Haziqah Hamidi saksi penting kes ‘Long Tiger’

    POLIS mencari seorang wanita Nur Haziqah Hamidi yang menjadi saksi penting bagi perbicaraan kes di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan berkaitan ‘Long Tiger’ atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid.

    Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohd Fadhil Minhat berkata wanita berusia 25 tahun itu sepatutnya perlu hadir perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak pada 7 dan 8 Sept ini, namun gagal dihubungi.

    Beliau berkata saksi telah gagal dihubungi sejak dua tahun lepas bersabit dengan satu kes pemerasan, melalui laporan yang dibuat di Balai Polis Bukit Gambir, dekat Tangkak.

    “Kami mengharapkan orang ramai yang mengenali saksi agar dapat memberitahunya agar saksi dapat hadir ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Fadhil berkata sebarang maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes Insp Intan Norathirah Mohd Suhaidi di talian 016-988 3520.

  • 32 mangsa terperangkap dalam kejadian kepala air

    32 mangsa terperangkap dalam kejadian kepala air

    SEBANYAK 32 individu termasuk 13 kanak-kanak terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Ulu Kasar, Sungai Tong di Setiu petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Setiu DSP Afandi Hussin berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 petang, fenomena kepala air itu melanda tempat orang ramai beriadah, mandi manda dan berkhemah sehingga menyebabkan enam kereta turut terperangkap.

    Katanya, ketika pasukan penyelamat tiba di kawasan rekreasi berkenaan pada 6.30 petang, didapati tempat kejadian tidak dapat dimasuki akibat arus deras.

    “Kejadian berpunca daripada kepala air dari bahagian hulu Sungai Ulu Kasar akibat hujan lebat menyebabkan mangsa dan kenderaan terperangkap.

    “Mangsa terperangkap terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa serta 13 kanak-kanak dan mereka telah diselamatkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.

    Beliau berkata semua mangsa dibawa ke Masjid Merbau Menyusut Sungai Tong pada 8.40 malam oleh pihak polis, bomba serta orang awam untuk proses dokumentasi dan didapati tiada mangsa yang hilang atau lemas.

    Afandi berkata pihaknya turut menasihati semua mangsa terlibat untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

  • Kastam rampas minuman keras lebih RM1.5 juta termasuk cukai

    Kastam rampas minuman keras lebih RM1.5 juta termasuk cukai

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah merampas dua kontena berisi minuman keras yang dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta termasuk cukai dalam dua serbuan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, 23 Ogos lepas.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Mohammad Sabri Saad berkata pemeriksaan ke atas kedua-dua kontena dalam serbuan pada 5 hingga 6.30 petang itu menemukan keseluruhan 42,630.66 liter minuman keras jenama Knight General, Tsingtao dan China Liquor dianggar bernilai RM334,810.

    Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diisytiharkan dalam borang kastam, dagangan itu dinyatakan sebagai ‘Nut and Washer’ dan ‘Bolt Washer’ dari negara jiran.

    “Kedua-dua kes sedang disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967. Ejen atau wakil penghantaran bagi sebuah kontena telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Jabatan Kastam Zon Tengah di Kelana Jaya di sini hari ini.

    Beliau berkata pihaknya percaya minuman keras itu dibawa dari Timur Tengah selain tidak menolak penglibatan sindiket atau kongsi gelap dalam kes berkenaan.

    Menurut Mohammad Sabri, pihaknya berjaya merampas pelbagai barangan elak cukai bernilai lebih RM210 juta melibatkan 911 kes sejak Januari hingga 26 Ogos lepas dengan 75 peratus daripadanya adalah rokok dan minuman keras.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tampil membantu membanteras penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.- BERNAMA

  • Tak puas hati keputusan Mahkamah Tinggi, Rosmah kemuka rayuan

    Tak puas hati keputusan Mahkamah Tinggi, Rosmah kemuka rayuan

    DATIN Seri Rosmah Mansor hari ini mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya bagi tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Rosmah, 70, memfailkan notis rayuan tersebut menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Rayuan menerusi e-mel.

    Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    Menurut notis rayuan, Rosmah tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan semalam dan ingin merayu terhadap keputusan yang mensabitkannya mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) 2009 serta hukuman penjara dan denda di bawah Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009.

    Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan kes tersebut.

    Semalam, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan denda RM970 juta ke atas Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah.

    Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan. Bagaimanapun, beliau hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana Hakim Mohamed Zaini memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

    Mahkamah juga memerintahkannya dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

    Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin. 

    Hakim Mohamed Zaini dalam penghakimannya antara lain memutuskan bahawa pembelaan Rosmah hanya penafian semata-mata dan wang RM6.5 juta memang untuknya dan beliau menerima wang itu di kediamannya di Jalan Langgak Duta serta Seri Perdana.

    Dalam penghakiman setebal 116 halaman, hakim itu juga memutuskan bahawa Rosmah telah menguasai suaminya, Najib dan mempunyai kawalan ke atas bekas perdana menteri itu dan jelas daripada rakaman  klip audio “Can I advise you something” antara Najib dan Rosmah yang tular sebelum ini  bahawa tertuduh memberi arahan kepada Najib berhubung urusan kerajaan.- BERNAMA

  • Penipuan pilihan raya: Suu Kyi dihukum penjara 3 tahun

    Penipuan pilihan raya: Suu Kyi dihukum penjara 3 tahun

    MAHKAMAH junta Myanmar menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Aung San Suu Kyi atas tuduhan melakukan penipuan dalam pilihan raya, lapor media tempatan pada Jumaat.

    Pemimpin yang digulingkan itu disabitkan bersalah atas dakwaan menipu ketika pilihan raya oleh Majlis Perang Melawan Keganasan, lapor Agensi Anadolu memetik media tempatan Khit Thit Media.

    Bulan lalu, mahkamah junta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun kepada bekas Kaunselor itu. 

    Dia sebelum ini disabitkan dengan enam pertuduhan lain pada Disember, Januari dan April.

    Suu Kyi sehingga ini disabitkan dengan hukuman penjara yang tempohnya berjumlah 20 tahun selepas tentera menggulingkan kerajaannya pada Februari tahun lalu.

    Pada Jun lepas, rejim tentera memindahkannya ke penjara dan menempatkannya dalam kurungan perseorangan.

    Selepas rampasan kuasa  pada 24 Feb 2021, Suu Kyi telah menjalani hukuman tahanan di rumah sehingga April lepas, dan kemudian dipindahkan ke lokasi yang tidak diketahui tetapi dipercayai Penjara Naypyitaw.

    Dia menghadapi berpuluh pertuduhan, termasuk rasuah, dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada April.

    Kerajaan Suu Kyi telah digulingkan pada 1 Feb 2021 dalam rampasan kuasa tentera selepas memenangi pilihan raya kebangsaan pada November 2020.

    Orang ramai mengecam tindakan penyingkiran dan rampasan kuasa oleh tentera. 

    Sejak itu, junta telah membunuh lebih 1,500 orang yang menentang pemerintahan junta, menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik, sebuah kumpulan pemantau tempatan.- BERNAMA