Author: Bernama

  • Lelaki ditahan disyaki lakukan pemerasan sebar video bogel

    Lelaki ditahan disyaki lakukan pemerasan sebar video bogel

    SEORANG lelaki ditahan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur selepas disyaki melakukan pemerasan dengan menyebar video bogel sehingga memaksa mangsa membayar sejumlah wang kepadanya.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah dalam kenyataan berkata lelaki berusia 23 tahun itu ditahan pada 28 Ogos lepas dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan kemudian dibawa ke IPD Batu Pahat semalam untuk siasatan lanjut.

    Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 26 tahun pada Julai lepas  berkaitan satu ugutan membabitkan video bogel yang didakwa melibatkan dirinya.

    Mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengugut akan menyebarkan ‘video bogel’ terbabit sekiranya mangsa tidak membayar wang.

    Mangsa kemudian memindahkan wang berjumlah RM1,900 ke akaun lelaki berkenaan.

    “Lelaki itu direman hingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya.- BERNAMA

  • Tulisan khat: Tiga individu gagal dapat kebenaran semakan kehakiman

    Tulisan khat: Tiga individu gagal dapat kebenaran semakan kehakiman

    TIGA individu hari ini gagal dalam rayuan untuk memperoleh kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan terdahulu memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk P. Ravinthran, Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Nordin Hassan, dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan mereka.

    Tiga individu itu ialah bekas Presiden Persatuan Pelajar Sekolah Cina, Tan Kim Sen @ Tan Boon Tak, Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, D. Ravi dan R.Visa Letchumy.

    Nordin, yang menyampaikan keputusan mahkamah dalam prosiding dalam talian, berkata Mahkamah Tinggi betul dalam menolak permohonan kebenaran ketiga-tiga mereka untuk semakan kehakiman itu kerana ia difailkan di luar masa dan mereka juga tidak menunjukkan alasan yang kukuh untuk melanjutkan tempoh masa untuk memfailkan permohonan mereka.

    Beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi adalah wajar dan Mahkamah Rayuan tidak perlu mengganggu budi bicara hakim.

    Hakim itu berkata undang-undang memperuntukkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman perlu difailkan dalam tempoh 30 hari apabila keputusan yang ingin dicabar oleh pemohon pertama kali dimaklumkan kepadanya dan mahkamah boleh melanjutkan tempoh untuk memfailkan permohonan kebenaran jika terdapat alasan kukuh yang diberikan oleh pemohon.

    Keputusan untuk melaksanakan pengajaran khat di sekolah adalah pada 14 Ogos 2019 dan perayu memfailkan kebenaran mereka untuk semakan kehakiman pada 20 Mei 2020, lewat sembilan bulan, katanya.

    Beliau berkata Mahkamah Tinggi mendapati alasan yang dikemukakan oleh perayu bahawa Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Pergerakan Bersyarat telah dikuatkuasakan semasa pandemik COVID-19 masing-masing pada 18 Mac 2020 dan 4 Mei 2020, tidak boleh menjadi sebab kelewatan untuk memfailkan permohonan tersebut.

    Hakim itu berkata rayuan yang dikemukakan Tan, Ravi dan Visa adalah tanpa merit dan mahkamah mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 April 2020 yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman.

    Beliau juga tidak memberi sebarang arahan mengenai kos kerana berkata kes itu adalah kes kepentingan awam.

    Hakim itu juga berkata apabila perayu memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran, tiada keputusan wujud untuk melaksanakan pengajaran khat kerana bukti menunjukkan pelaksanaan tulisan khat digantikan dengan tulisan jawi berdasarkan keputusan Kabinet.

    Ketiga-tiga mereka memfailkan permohonan itu pada Mei 2020, terhadap Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia, mendakwa keputusan kerajaan sebelum ini untuk memperkenalkan tulisan khat kepada murid Tahun Empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

    Peguam T. Gunaseelan dan Keshvinjeet Singh mewakili ketiga-tiga mereka manakala Peguam Kanan Persekutuan Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman dan Peguam Persekutuan Ng Wee Li mewakili Menteri Pendidikan dan kerajaan.- BERNAMA

  • Angka penduduk Pakistan terbunuh akibat banjir cecah 1,325

    Angka penduduk Pakistan terbunuh akibat banjir cecah 1,325

    ANGKA korban akibat banjir di Pakistan mencecah 1,325, dengan 11 lagi kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, menurut agensi bencana negara itu pada Isnin.

    Kesemua 11 mangsa yang terkorban berasal dari wilayah selatan Sindh, dengan kejadian banjir terbaharu menenggelamkan lebih banyak kawasan dalam tempoh 48 jam, lapor Agensi Anadolu.

    Sejak 14 Jun, seramai 289 orang maut di Khyber Pakhtunkhwa, diikuti 260 terkorban di Balochistan, manakala 189 orang maut di wilayah timur laut Punjab, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA).

    Seramai 12,703 orang dilaporkan cedera akibat hujan dan banjir melanda seluruh negara sejak 14 Jun. 

    Beribu-ribu lagi mangsa banjir telah dipindahkan dari pelbagai kawasan di daerah Jamshoro dan Dadu di Sindh.

    Rakaman oleh stesen penyiaran tempatan memaparkan rumah, masjid, sekolah, dan bangunan lain ditenggelami banjir lumpur.

    Perkhidmatan kereta api di kawasan dilanda banjir dan seluruh negara dihentikan selama 10 hari lagi kerana banjir telah menenggelamkan beberapa kawasan landasan kereta api.

    Lebuhraya Indus utama juga masih ditenggelami air di kebanyakan tempat, dengan ratusan kenderaan beratur menunggu jalan dibuka semula.

    Berpuluh ribu penduduk masih terkandas di berpuluh-puluh kawasan yang dilanda banjir di saat pesawat angkatan tentera terus membantu membawa mereka yang terperangkap di wilayah Sindh, Punjab dan Balochistan.

    Beratus-ratus ribu mangsa banjir turut bergelut dengan wabak besar-besaran seperti penyakit bawaan air, penyakit mata dan kulit, hingga mencetuskan kebimbangan lebih banyak mangsa yang terkorban kerana sistem penjagaan kesihatan negara sedang bergelut merawat pelbagai penyakit di keempat-empat wilayah.

    Terpaksa bersesak dalam khemah dan sekolah, beribu-ribu mangsa  terdedah kepada cirit-birit, gastrousus, denggi, malaria dan penyakit lain akibat air yang tercemar dan tahap kebersihan yang rendah.

    Banjir dicetuskan oleh hujan lebat telah menenggelamkan satu pertiga negara itu, mendorong kerajaan memohon bantuan antarabangsa.- BERNAMA

  • Parti tempatan Sabah dialu-alukan sertai GRS – Hajiji

    Parti tempatan Sabah dialu-alukan sertai GRS – Hajiji

    GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) mengalu-alukan parti tempatan menyertai gabungan itu dan bersama-sama memajukan Sabah demi rakyat, kata Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor.

    Ketua Menteri itu berkata GRS sedia menerima parti politik tempatan kerana percakaran dalam politik tidak akan membawa kepada kebaikan malah boleh mengakibatkan pembangunan negeri terjejas.

    Justeru, katanya, parti politik tempatan di Sabah tidak boleh hanya memikirkan kepentingan parti masing-masing sahaja kerana politik memerlukan gabungan dan kerjasama untuk meraih kejayaan seterusnya membawa pembangunan untuk negeri Sabah.

    “Cukup pengalaman lalu bagaimana kita dilayan dan banyak kerugian, saya yakin GRS akan memastikan tiada satu kaum tercicir pembangunan kerana semua orang Sabah itu adalah sama. Marilah kita memajukan sama-sama Sabah.

    “Saya tidak terfikir jadi Ketua Menteri. Apabila pilihan raya negeri dipanggil kita ada kerjasama GRS dan Barisan Nasional (BN)…kerana kita bersatu akhirnya kita menang,” katanya ketika berucap melancarkan GRS Parlimen Lahad Datu, di Lahad Datu, hari ini.

    Hajiji turut berharap pemimpin UMNO dan BN mahu meneruskan kerjasama bersama GRS demi kepentingan negeri dan rakyat Sabah.

    GRS dianggotai Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang menjalin kerjasama bersama BN bagi mentadbir negeri ini.

    Sementara itu, beliau berharap pengundi di Parlimen Lahad Datu menyokong kerajaan sedia ada demi kemajuan kawasan yang dilihat berpotensi besar untuk dibangunkan.

    “Di bawah kerajaan saya, selain daerah lain, Lahad Datu menjadi keutamaan untuk dimajukan menjadi daerah yang maju di pantai timur Sabah, potensinya cukup besar, pelbagai program kerajaan telah dirancang untuk daerah ini,” katanya.

    Mengenai soal keselamatan, Hajiji berkata beliau selalu menekankan tumpuan keselamatan di pantai timur Sabah dapat terus ditingkatkan daripada semasa ke semasa, malah telah menyuarakan keperluan di peringkat Persekutuan untuk meningkatkan aset keselamatan di pantai timur Sabah.

    “Kita kena jaga isu keselamatan ini lebih rapi, ini penting kerana kita mahu rakyat rasa selamat, kita  mahu tiada gangguan kepada perancangan program kerajaan terutama melibatkan pembangunan untuk rakyat di pantai timur Sabah,” katanya.

  • Liz Truss Perdana Menteri UK baharu, ganti Boris Johnson

    Liz Truss Perdana Menteri UK baharu, ganti Boris Johnson

    SETIAUSAHA Luar Britain Liz Truss dipilih menjadi Perdana Menteri baharu United Kingdom (UK), umum Jawatankuasa Parti Konservatif 1922 pada Isnin.

    Truss, 46, memperoleh 81,326 undi manakala pencabarnya Rishi Sunak sekadar mendapat 60,399 undi, menurut pengerusi jawatankuasa itu, Sir Graham Brady.

    Beliau akan menggantikan Boris Johnson sekali gus menjadi perdana menteri wanita ketiga UK selepas Margaret Thatcher dan Theresa May, lapor Agensi Anadolu.

    Truss dijangka menerima watikah untuk membentuk kerajaan baharu daripada Ratu Elizabeth II pada Selasa.- BERNAMA

  • Lori simen jatuh gaung, tiga pekerja maut

    Lori simen jatuh gaung, tiga pekerja maut

    TIGA lelaki maut apabila lori simen yang mereka naiki terjatuh ke dalam gaung di Jalan Merit, 30 kilometer dari Kapit, hari ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak memaklumkan, sepasukan 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapit digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan lebih kurang pukul 11.35 pagi.

    Bagaimanapun, berikutan jalan ke lokasi adalah jalan balak, anggota-anggota bomba tersebut terpaksa menaiki dua kenderaan pacuan empat roda milik syarikat simen itu untuk sampai ke lokasi kemalangan.

    “Setibanya di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan sebuah lori simen dinaiki tiga orang pekerja yang jatuh gaung sedalam enam meter,” kata jurucakap itu.

    Pasukan bomba telah memotong bingkai cermin lori tersebut bagi mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit.

    Mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian adalah George Wong dan Steven Janggai Bungkang kedua-duanya berusia 33 tahun serta Bunyau Manggie, 40.

    Mereka dinaikkan ke jalan menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • 1MDB: Saksi berulang kali jawab ‘tidak ingat’

    1MDB: Saksi berulang kali jawab ‘tidak ingat’

    SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau ‘tidak ingat’ mengenai beberapa bahagian dalam pernyataan saksinya membabitkan pegawai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwanya berkomunikasi terus dengan Pejabat Perdana Menteri bagi mengelak daripada disoal oleh Kementerian Kewangan.

    Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, 63, memberikan jawapan itu kepada beberapa soalan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed pada perbicaraan kes 1MDB yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Memandangkan saksi berulang kali menjawab ‘tidak ingat,’ Wan Aizuddin bertanya sama ada kenyataan mengenai komunikasi terus di antara pegawai 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri itu merupakan kenyataan beliau sendiri dan saksi menjawab “ya.”

    Wan Aizuddin: Sekarang ini jika benar ia adalah kenyataan daripada Datuk sendiri, saya nak tanya bagaimana Datuk tahu pihak 1MDB berhubung terus dengan Pejabat Perdana Menteri?

    Siti Zauyah: Saya tidak ingat.

    Wan Aizuddin: Adakah Datuk diberitahu oleh seseorang atau pernah lihat sebarang dokumen mengenai komunikasi mereka? (1MDB dan Pejabat Perdana Menteri)

    Siti Zauyah: Saya tidak ingat.

    Wan Aizuddin: Saya cadangkan kenyataan yang Datuk buat mengenai perkara ini (komunikasi terus antara 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri) tidak berasas. Saya katakan Datuk tiada bukti untuk sokong kenyataan itu.

    Siti Zauyah: Saya tidak ingat.

    Kepada soalan Wan Aizuddin mengapa saksi tidak memaklumkan sendiri kepada Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu mengenai masalah komunikasi terus antara 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri, Siti Zauyah berkata “Saya hanya melapor kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.”

    Bagaimanapun, Siti Zauyah berkata, beliau juga tidak ingat sekiranya pernah memberitahu Mohd Irwan mengenai masalah komunikasi terus itu.

    Sementara itu, Siti Zauyah mengakui beliau berasa pelik apabila menerima arahan Mohd Irwan untuk menyegerakan pengeluaran memorandum daripada Kementerian Kewangan mengenai syarikat usaha sama yang ditubuhkan bagi tujuan khusus oleh 1MDB dan Aabar Investment PJS.

    Dalam pernyataan saksinya, Siti Zauyah berkata, dokumen mengenai syarikat usaha sama antara 1MDB dan Aabar itu diarah disediakan dengan pantas supaya ia boleh dibentang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Februari 2013.

    Katanya, beliau juga berasa pelik kerana permintaan untuk menyegerakan pengeluaran sesuatu dokumen tidak pernah dilakukan di kementerian itu sebelum ini.

    Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

  • Shahrir Samad tidak tahu sumber wang RM1 juta diterima daripada Najib

    Shahrir Samad tidak tahu sumber wang RM1 juta diterima daripada Najib

    SEORANG pengurus bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Tan Sri Shahrir Ab Samad, tidak mengetahui daripada mana bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperoleh wang RM1 juta, yang diberikan kepada bekas pengerusi Felda itu.

    Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 43, yang mengesahkan perkara itu berkata beliau yang berpengalaman dalam bidang perbankan selama 12 tahun, juga tidak mengetahui sumber wang tersebut.

    Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam yang mewakili Shahrir Tan Sri Dzulkifli Ahmad, pada perbicaraan Shahrir yang berhadapan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib, kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Dzulkifli: Sebagai pegawai bank yang berpengalaman, jika cek bank tersebut (RM1 juta) ditunaikan bermakna tiada apa-apa isu berkenaan sumber wang tersebut.

    Uma Devi: Ya, pada ketika itu tiada (isu).

    Dzulkifli: Cik Uma boleh mengesahkan cek ini tiada masalah, apatah lagi Tan Sri Shahrir juga boleh beranggapan bahawa cek tersebut tiada masalah ketika menerima dan memasukkan (wang) ke dalam akaunnya.

    Uma Devi: Ya.

    Selain itu, Uma Devi bersetuju dengan Dzulkifli bahawa pihak LHDN tidak merakam percakapannya, memandangkan kes itu berkaitan dengan pengubahan wang haram yang mana Shahrir didakwa tidak melaporkan pendapatan sebenar kepada LHDN, bukan melibatkan rasuah.

    Kata saksi itu, hanya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang merakam percakapannya.

    Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967,  iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek, yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.-  BERNAMA

  • 20,000 permohonan PVIP dalam tempoh 24 jam

    20,000 permohonan PVIP dalam tempoh 24 jam

    SEBANYAK 20,000 permohonan diterima oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi ejen dalam tempoh 24 jam pelancaran fasa pertama Program Visa Premium (PVIP) Malaysia, Khamis lalu.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pada fasa pertama, kerajaan menetapkan tidak lebih daripada 25,000 permohonan.

    Beliau berkata  Kabinet sebelum ini bersetuju agar pemohon perlu membayar yuran penyertaan sebanyak RM200,000 sekali sahaja serta yuran RM100,000 sekali sahaja akan dikenakan untuk setiap tanggungan.

     “Jika menerima pemohonan menggalakkan, kita mungkin akan menaikan kadar yuran pada fasa berikutnya,” katanya kepada pemberita  selepas perasmian Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bersama masyarakat Siam di Pusat Latihan Penjara (PULAPEN), Pusat Koreksional Perlis, hari ini.

    Pelaksanaan PVIP Malaysia dilihat mampu membawa masuk pelaburan ke negara ini dengan menarik hartawan global menetap dan melabur di negara ini.

    Mengenai program MEKAR, Zainudin berkata ia memudahkan urusan masyarakat Siam di negeri itu menukar maklumat keturunan dalam kad pengenalan daripada bangsa Thai kepada Siam bagi membolehkan mereka mendapat manfaat yang sama seperti bumiputera.

     Katanya, dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), maklumat kad pengenalan seramai  8,910 penduduk Siam adalah keturunan  bangsa Thai.

     Beliau berkata masyarakat Siam di Kedah, Kelantan, Perak dan beberapa negeri lain diminta untuk menguruskan permohonan kad pengenalan baharu di pejabat JPN berhampiran kediaman masing-masing.

    Program tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh, Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengerusi Persatuan Siam Malaysia, Senator Ak Nan a/l Eh Took.- BERNAMA

  • Bekas isteri SM Faisal gagal cabar prosiding komital di Mahkamah Syariah

    Bekas isteri SM Faisal gagal cabar prosiding komital di Mahkamah Syariah

    BEKAS isteri ahli perniagaan Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal gagal memperoleh kebenaran bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah Kuala Lumpur yang memulakan prosiding komital terhadapnya.

    Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Emilia Hanafi.

    Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali, yang mewakili AGC, berkata hakim itu memutuskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai  bidang kuasa untuk memulakan prosiding komital sebagaimana termaktub dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.

    “Prosiding dan keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh disemak oleh Mahkamah Sivil berdasarkan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Keputusan permohonan itu disampaikan melalui e-mel.

    Mohammad Sallehuddin berkata Ahmad Kamal juga mendapati semakan kehakiman itu difailkan di luar tempoh yang ditetapkan kerana keputusan Mahkamah Syariah berhubung perintah komital dibuat pada 9 Feb lepas namun Emilia memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran pada 8 Jun.

    Prosiding komital terhadap Emilia, 43, adalah berhubung tindakan beliau melanggar perintah mahkamah mengenai hak lawatan SM Faisal antaranya membabitkan hak bermalam dan lokasi untuk ahli perniagaan itu mengambil tiga anak mereka.

    Menurut permohonan semakan kehakiman itu, Emilia tidak tinggal atau bermastautin di Wilayah Persekutuan dan semasa prosiding hadhanah difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 23 Julai 2018, beliau tinggal atau bermastautin di Kajang.

    Permohonan itu mendakwa Seksyen 4 Akta Undang-Undang Keluarga (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 adalah terpakai untuk semua orang Islam yang tinggal dalam Wilayah Persekutuan dan yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan tetapi Emilia tinggal di luar Wilayah Persekutuan.

    Emilia memohon deklarasi bahawa Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar serta menghukum mana-mana individu yang menghina mahkamah sebaliknya bidang kuasa itu adalah hak eksklusif mahkamah sivil di peringkat Mahkamah Persekutuan, Rayuan dan Tinggi berdasarkan Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan.- BERNAMA