Author: Bernama

  • Pemakaian pelitup muka dalam kawasan sekolah tidak lagi diwajibkan

    Pemakaian pelitup muka dalam kawasan sekolah tidak lagi diwajibkan

    PEMAKAIAN pelitup muka di dalam bangunan dan luar bangunan dalam kawasan sekolah tidak lagi diwajibkan, sebaliknya mengikut pilihan masing-masing, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Menerusi video di Facebooknya, Radzi berkata namun demikian, pemakaian pelitup muka masih digalakkan dalam sekolah terutama di tempat ramai orang.

    “Selain itu, murid-murid yang menaiki bas sekolah diingatkan untuk memakai pelitup pada setiap masa.

    “Apa yang paling penting, kita pastikan keadaan sekolah selamat,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata maklumat lanjut berkaitan pemakaian pelitup muka di sekolah akan disertakan dalam kenyataan media yang akan dikeluarkan pada hari ini.

    Radzi berkata demikian berikutan pengumuman Kementerian Kesihatan (KKM) pada 7 Sept lepas yang menetapkan bahawa pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu.

  • 11 termasuk dua beradik maut disambar petir

    11 termasuk dua beradik maut disambar petir

    SEKURANG-kurangnya 11 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera disambar petir di Bangladesh sejak dua hari lepas, menurut laporan pada Jumaat.

    Kejadian terbaharu dilaporkan di daerah barat daya Khulna yang meragut nyawa dua beradik manakala sembilan lagi kematian dilaporkan pada Khamis di daerah utara Sirajganj.

    Kekerapan kematian akibat disambar petir telah mencetuskan kebimbangan.

    “Kami bimbang nak keluar rumah kalau hujan atau cuaca ribut sebab takut petir,” kata Md Rashedul Islam, penduduk kawasan Mirpur, di Dhaka kepada Agensi Anadolu.

    Beliau berkata penduduk akan naik ke bumbung ketika hujan untuk mandi dan bermain hujan, tetapi sekarang aktiviti itu jarang dilihat.

    Menurut rekod Kementerian Pengurusan Bencana dan Bantuan, lebih 3,000 terbunuh akibat disambar petir di Bangladesh sejak 2011. Sekurang-kurangnya 362 orang terbunuh pada 2021, pada Jun sahaja 31 mangsa maut. 

    Data menunjukkan hampir 70 peratus kematian direkodkan di negara yang terjejas akibat perubahan iklim antara April dan Jun.

    Pencinta alam sekitar berkata penanaman pokok secara besar-besaran di negara itu sangat berkesan membantu melindungi warga Bangladesh daripada panahan petir di samping langkah pencegahan lain.

  • Penunggang motosikal maut dihempap pokok di LPT

    Penunggang motosikal maut dihempap pokok di LPT

     

    SEORANG penunggang motosikal maut dihempap pokok yang tumbang di Kilometer 67.4 Lebuhraya Pantai Timur menghala ke Kuantan hari ini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.17 malam sebelum tujuh anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bergegas ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata sejurus tiba pasukan bomba telah menjalankan operasi mengeluarkan Muhammad Mustaqim Noor Azhar, 21, daripada timbunan pokok, yang kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

    “Mayat mangsa yang beralamat di Taman Hijau, Karak diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi. 

    ,

  • Wanita warga Indonesia rentung dalam kebakaran

    Wanita warga Indonesia rentung dalam kebakaran

    SEORANG pekerja wanita warga Indonesia rentung apabila bilik didiaminya di sebuah blok rumah pekerja di kilang papan lapis di Jalan Kemena, Bintulu, kira-kira 200 kilometer dari Sibu, terbakar awal pagi tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, ketika kejadian, hanya wanita berusia 24 tahun itu berada di bilik berkenaan manakala dua rakan sebiliknya sedang bekerja.

    Beliau berkata, seramai 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu digerakkan ke lokasi kejadian sejurus bomba menerima panggilan kebakaran pada 2.59 pagi.

    “Kebakaran hanya melibatkan sebuah bilik nombor lima (daripada tujuh pintu) dan terbakar 100 peratus.

    “Kebakaran berjaya dikawal pada 3.20 pagi dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 5.30 pagi,” katanya dalam kenyataan.

    Menurut jurucakap itu, mayat wanita tersebut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.

  • Polis nafi kejadian culik kanak-kanak lelaki di pusat tuisyen

    Polis nafi kejadian culik kanak-kanak lelaki di pusat tuisyen

    POLIS menafikan berlaku kejadian penculikan membabitkan seorang kanak-kanak lelaki di sebuah pusat tuisyen seperti yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil semakan mendapati pesanan mesej yang mendakwa kejadian tersebut berlaku di Johor Bahru adalah palsu dan tiada sebarang laporan dibuat mengenai insiden itu.

    Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kanak-kanak berusia sembilan tahun itu berada di rumah bersama bapanya.

    “Hal ini (perbuatan penyebaran mesej) dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai.

    “Perbuatan menyebar dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan.

    Kamarul Zaman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan menyebarkan dakwaan sedemikian yang diperoleh daripada sumber tidak sahih.

  • 24 rakyat Malaysia mangsa penipuan kerja di Kemboja diselamatkan

    24 rakyat Malaysia mangsa penipuan kerja di Kemboja diselamatkan

    SERAMAI 24 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Phnom Penh, Kemboja berjaya diselamatkan dan kembali ke tanah air hari ini.

    Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, yang berada di Phnom Penh untuk lawatan kerja, membawa pulang kesemua mereka yang berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun itu dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) melalui pesawat AK0539 pada kira-kira 4.50 petang tadi.

    Beliau berkata 29 lagi rakyat Malaysia masih berada di depoh imigresen di Kemboja kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ketika memasuki negara berkenaan dan mereka berada dalam keadaan selamat.

    Ketika lawatan kerjanya ke Phnom Penh, Saifuddin berkata beliau sempat melawat tujuh rakyat Malaysia yang berada di depoh imigresen di ibu negara Kemboja itu, manakala 22 orang lagi dilaporkan berada di wilayah Sihanoukville.

    “Mereka akan dihantar pulang secara berperingkat bergantung kepada pihak imigresen Kemboja kerana ada yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan kes yang melibatkan siasatan pihak berkuasa di sana,” katanya kepada pemberita di klia2 di sini hari ini.

    Menurutnya setakat ini, 118 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan daripada 148 kes yang dilaporkan.

    “Terima kasih kepada kerajaan Malaysia, kerajaan Kemboja, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen yang beri arahan khusus supaya diadakan operasi menyelamatkan sebahagian rakyat Malaysia di sana,” katanya.

    Mengulangi nasihat agar rakyat Malaysia berwaspada dengan iklan pekerjaan di luar negara dengan tawaran memikat, beliau berkata : “Sekiranya mendapat apa-apa tawaran, hubungi kedutaan kita di Phnom Penh untuk mereka membantu memeriksa sama ada syarikat itu sahih atau tidak dan bukannya pergi tanpa sebarang maklumat yang tepat.”

    Katanya terdapat kira-kira 500 syarikat Malaysia beroperasi di Kemboja dan 5,000 rakyat Malaysia yang bekerja serta berniaga di negara berkenaan dan semuanya dalam keadaan baik.

  • Suami isteri ditemukan mati dalam rumah

    Suami isteri ditemukan mati dalam rumah

    SEPASANG suami isteri ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Bandar Dataran Segar, Lukut dekat Seremban semalam.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 5.15 petang memaklumkan lelaki berusia 61 tahun dan isterinya, 58, itu disyaki tidak sedarkan diri.

    “Polis dengan dibantu sepasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Port Dickson kemudian memecahkan mangga hadapan pintu jeriji rumah dan melakukan pemeriksaan di dalam rumah berkenaan. Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Lukut telah mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian.

    “Siasatan mendapati mangsa lelaki mempunyai sejarah rawatan darah tinggi manakala isterinya tiada sebarang sejarah rawatan kesihatan. Polis juga tidak menemukan sebarang unsur pelakuan jenayah,” katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.

    Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai ‘mati mengejut’.

  • Empat rakan didakwa simbah cat, ugut peminjam along

    Empat rakan didakwa simbah cat, ugut peminjam along

    EMPAT rakan dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di Kuantan hari ini atas pertuduhan mengugut, mengurung dan melakukan khianat terhadap 11 peminjam wang daripada pemberi pinjaman wang tidak sah atau along.

    Pemandu lori Muhamat Faizul Abu Yamin, 35, mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan melibatkan enam mangsa iaitu empat wanita dan dua lelaki dengan merantai pintu pagar rumah mereka, membaling cat merah ke rumah dan kereta serta menampal notis ugutan di rumah mangsa di sekitar daerah Kuantan antara 22 Ogos lepas hingga 1 September lepas.

    Mekanik Mohamad Nadzrin Musa, 29, mengaku bersalah atas satu pertuduhan bersubahat dengan Muhamat Faizul mengurung dua wanita sama di sebuah rumah di Taman Balok Jaya di Kuantan pada 31 Ogos lepas dengan cara merantai dan mengunci pintu pagar rumah itu.

    Majistret, Ainis Abu Hassan Shaari membenarkan Muhamat Faizul diikat jamin RM20,500 bagi semua enam pertuduhan manakala Mohd Nadzrin RM2,000 masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 September untuk menjatuhkan hukuman terhadap mereka.

    Sementara itu, Ahmad Fadil Mahmudin, 43, buruh ladang kelapa sawit pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan ugutan jenayah, khianat serta mengurung secara salah seorang wanita lain yang didakwa dilakukan di sebuah rumah di Indera Mahkota di Kuantan pada 26 Ogos.

    Majistret membenarkan Ahmad Fadil diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 23 September.

    Sementara itu, di hadapan Majistret, Nurul Farahah Mohd Suah, Muhamat Faizul mengaku bersalah atas empat lagi pertuduhan melakukan ugutan jenayah, khianat dan mengurung secara salah terhadap tiga wanita sama dan satu wanita lain antara 18 April lepas hingga 31 Ogos lepas.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan menampal notis ugutan di hadapan rumah dan menyimbah cat merah ke kereta serta halaman rumah mereka antaranya di Taman Tas Ria dan Bandar Baru Chendor di Kuantan.

    Pekerja am Muhamad Adam Sait, 35, juga mengaku bersalah atas tiga pertuduhan sama terhadap tiga mangsa lain antara 21 dan 26 Ogos lepas di sekitar daerah ini.

    Nurul Farahah membenarkan jaminan RM10,000 terhadap Muhamat Faizul dan RM7,000 ke atas Muhamad Adam sementara menunggu tarikh jatuh hukum pada 27 Sept ini.

    Pertuduhan mengugut dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, Seksyen 342 kanun sama (mengurung secara salah) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan Seksyen 427 kanun sama (melakukan khianat) iaitu hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Abdul Wahab, Aini Adilah Muhammad Faizal dan Anuarul Hakim Abdul Muen.

  • Ahli perniagaan didakwa tipu Datin Seri RM150,000

    Ahli perniagaan didakwa tipu Datin Seri RM150,000

    SEORANG ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu seorang Datin Seri berhubung pelaburan dana Islamik membabitkan jumlah RM150,000, lima tahun lepas.

    Calvin Damian Wong, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Datin Sabariah Othman.

    Lelaki itu didakwa menipu Datin Seri Alauyah Jaafar, 58, dengan memperdayakan mangsa dalam pelaburan PIOF (Public Mutual) dengan pulangan tinggi sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM150,000 melalui cek ke akaun syarikat tertuduh.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di pusat membeli belah di sini pada 7 malam, 25 April 2017 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ishak menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Oktober untuk sebutan semula kes.

  • Kadar pengangguran terus menurun-Tok Pa

    Kadar pengangguran terus menurun-Tok Pa

    PASARAN buruh Malaysia bertambah kukuh pada bulan Julai dengan kadar pengangguran mencatat 3.7 peratus, iaitu menghampiri paras prapandemik berdasarkan penerbitan Statistik Tenaga Buruh.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pencapaian itu adalah jauh lebih baik berbanding 4.5 peratus yang dicatatkan pada tahun 2021 dan 4.2 peratus pada Januari 2022.

    Bilangan penganggur terus menurun kepada 620,700 orang pada Julai 2022 berbanding 630,600 orang pada bulan sebelumnya, manakala bilangan penduduk bekerja pada Julai 2022 terus mencatatkan pertumbuhan positif 0.3 peratus kepada 15.98 juta orang, katanya.

    “Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan semakin meningkat, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit serta aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan.

    “Guna tenaga dalam sektor pembuatan dan pembinaan turut menunjukkan peningkatan, kecuali bagi sektor pertanian, perlombongan dan pengkuarian yang mencatatkan penurunan dalam guna tenaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mustapa berkata kedudukan tenaga buruh pada Julai 2022 juga bertambah baik berikutan peningkatan berterusan dalam bilangan tenaga buruh sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan merekodkan 16.60 juta orang.

    Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi direkodkan pada bulan tersebut iaitu pada kadar 69.6 peratus, katanya.

    Beliau berkata pencapaian pasaran buruh yang lebih kukuh itu disokong oleh kedudukan ekonomi yang bertambah baik bagi suku kedua tahun 2022 dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin kukuh pada kadar 8.9 peratus.

    Bagi separuh pertama tahun 2022, ekonomi negara berkembang sebanyak 6.9 peratus.

    “Peningkatan aktiviti ekonomi dan sosial yang kembali normal, terutamanya susulan pembukaansempadan negara sejak 1 April 2022 memberi impak positif terhadap pasaran buruh negara yang mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.

    “Momentum pemulihan pasaran buruh ini juga selaras dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, seperti program JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) dan pewujudan Portal Pekerjaan Negara, MyFutureJobs,” katanya.

    Mustapa berkata kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan mempertingkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

    Beliau menjangkakan pasaran buruh akan terus kukuh pada suku tahun ketiga dengan jangkaan prestasi perniagaan lebih baik.

    “Petunjuk keyakinan mencatat 4.7 peratus bagi suku ketiga tahun 2022 berbanding 3.5 peratus pada suku kedua.

    “Ini menggambarkan situasi ekonomi dijangka lebih baik pada suku ketiga tahun ini,” jelasnya.