Author: Bernama

  • MB Terengganu menghadap Sultan esok, mohon bubar DUN

    MB Terengganu menghadap Sultan esok, mohon bubar DUN

    MENTERI Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar akan menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin esok, untuk mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu, beliau akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran DUN kepada baginda di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu pada 9 pagi.

    Ditanya mengenai tarikh yang dicadangkan, beliau berkata perkara itu akan diumumkan selepas selesai beliau menghadap Tuanku Sultan.

    “Esok saya akan menghadap Tuanku pada sebelah pagi, sudah dapat perkenan untuk menghadap …. Sebaik saya sembah maklum Tuanku (baru umum tarikh) …. Lebih cantik saya maklumkan Tuanku dulu, InsyaAllah lepas itu buat kenyataan,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.

    Ahmad Samsuri turut memberitahu tempoh mandat DUN Terengganu akan berakhir pada 30 Jun ini.

    DUN Terengganu mempunyai 32 kerusi yang menyaksikan 22 kerusi dikuasai PAS selepas Pilihan Raya Umum ke-14, manakala selebihnya milik Barisan Nasional (BN).

  • Siasatan lanjut penyerang Kamal Adli, Mahkamah Singapura tangguh ke 10 Julai

    Siasatan lanjut penyerang Kamal Adli, Mahkamah Singapura tangguh ke 10 Julai

    MAHKAMAH Singapura membenarkan penangguhan dua minggu lagi untuk pendakwa raya menjalankan siasatan lanjut ke atas seorang lelaki yang didakwa menyerang pelakon Kamal Adli.

    Hakim Daerah Ong Hian Sun juga mengekalkan tiada jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 10 Julai untuk sebutan kes.

    “Pendakwaan kes polis belum lagi bersedia. Kami memohon penangguhan selama dua minggu. AGC (Jabatan Peguam Negara) telah berunding dan IO (pegawai penyiasat) telah dibimbing untuk menjalankan siasatan lanjut,” kata pendakwa raya.

    Wee tidak mempunyai bantahan terhadap penangguhan itu dan juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya telah mengarahkannya untuk membuat permohonan ikat jamin.

    Wee juga bertanya kepada pihak pendakwaan sama ada siasatan lanjut pihak berkuasa berkaitan dengan pertuduhan baharu atau yang sedia ada.

    Pendakwa raya dalam reaksinya berkata: “Ia adalah atas pertuduhan sedia ada. Pertuduhan baharu masih belum ditawarkan.”

    Lelaki berusia 33 tahun itu didakwa di Mahkamah Negeri pada 14 Mac kerana “disyaki terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya secara sukarela”.

    Jika sabit kesalahan menyebabkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman.

    Pada 12 Mac, polis telah dimaklumkan mengenai kes di 1 Expo Drive, suspek didakwa menyerang pelakon berusia 36 tahun itu dengan baton yang kemudian dirampas oleh polis sebagai bukti.

    Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

    Kamal dan isterinya, Uqasha Senrose berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 selama tiga hari bermula 10 Mac, di Dewan 5A Ekspo Singapura apabila insiden itu berlaku pada penghujung acara.

  • Insiden latihan menembak: Jurulatih cedera dalam keadaan stabil

    Insiden latihan menembak: Jurulatih cedera dalam keadaan stabil

    SEORANG jurulatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terbabit dalam insiden kemalangan ketika menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di Tapak Latihan Grenade Asas, lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas semalam dilaporkan stabil.

    TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan jurulatih di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR), Pangkalan Udara Sendayan, Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Segamat, Johor dan berada dalam pemantauan rapi.

    Terdahulu, dalam kejadian 12.10 tengah hari itu, dua anggota turut maut iaitu penuntut INSTAR Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi, 22, yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala jurulatih Koperal Udara Syuib Bidin, 33, meninggal dunia pada 5.45 petang ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah di Hospital Segamat.

    Kenyataan itu menyebut waris anggota yang terlibat telah dimaklumkan dan TUDM akan memastikan semua urusan kebajikan keluarga mangsa yang terlibat diutamakan serta urusan pengebumian disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

    “Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Datuk Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan serta pucuk pimpinan tertinggi menzahirkan rasa dukacita atas kejadian berkenaan dan merakamkan salam takziah kepada waris anggota yang meninggal dunia yang merupakan kehilangan besar kepada TUDM,” menurut kenyataan itu.

    Semua waris anggota yang terlibat juga diharap bersabar, tabah dan reda menghadapi ujian yang berlaku, katanya.

    Pihak TUDM turut meminta supaya semua pihak tidak menyebarkan sebarang spekulasi dan berita tidak sahih sehingga proses siasatan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia selesai, tambah kenyataan itu.

  • Masalah jantung, rayuan Isa Samad ditangguh 16 Okt ini

    Masalah jantung, rayuan Isa Samad ditangguh 16 Okt ini

    PENDENGARAN rayuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda bagi kesalahan rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak, ditangguhkan sekali lagi berikutan bekas Pengerusi Felda itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Seremban kerana masalah jantung.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan penangguhan itu selepas peguam Datuk Salehuddin Saidin, yang mewakili Mohd Isa memaklumkan bahawa anak guamnya dimasukkan ke hospital malam tadi dan laporan perubatan telah diterima daripada pihak hospital pagi ini.

    “Isteri kepada Mohd Isa selaku penjamin juga tidak dapat hadir pada prosiding hari ini kerana semalam beliau mendapatkan suntikan pada lututnya yang sakit dan beliau tidak boleh berjalan hari ini akibat suntikan itu.

    “Kami baru dimaklumkan mengenai perkara itu dan pihak keluarga memohon maaf atas kesulitan tersebut,” kata peguam itu.

    Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah penangguhan rayuan berkenaan.

    Hakim Hadhariah, yang kemudiannya menetapkan 16 Okt depan untuk pendengaran rayuan berkata pihak mahkamah berharap agar Mohd Isa sihat pada tarikh pendengaran baharu itu.

    “Jika ada masalah sakit, tidak ada sesiapa boleh buat apa-apa,“ kata hakim itu.

    Sebelum ini, rayuan berkenaan ditetapkan pada 7 Mac lepas, namun pada tarikh itu, rayuan berkenaan dijadual semula hari ini (26 Jun) berikutan pihak pembelaan memerlukan masa untuk membalas hujahan pendakwaan.

    Pada 3 Feb 2021, Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Isa, 73, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, oleh Felda.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

    Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

  • Seorang lagi anggota TUDM maut dalam letupan bom lempar

    Seorang lagi anggota TUDM maut dalam letupan bom lempar

    SEORANG lagi anggota tentera terkorban dalam kejadian letupan bom lempar ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan semalam.

    Bernama melaporkan dalam kejadian 12.10 tengah hari itu, seorang penuntut Institut Pentadbiran dan Pengajian Pangkalan Udara Sendayan maut di tempat kejadian, manakala seorang jurulatih meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Segamat.

    Seorang lagi jurulatih turut cedera dan masih menerima rawatan di hospital.

    Menurut laporan, kejadian itu berlaku ketika sesi latihan menembak senjata dan bom lempar di Tapak Latihan Grenade Asas, lapang sasar Kem Syed Sirajuddin pada 12.10 tengah semalam.

    Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa korban.

    “Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham Koperal Udara Mohd Syuib Bidin dan Leftenan Udara I Mohd Iqmal Masdi.

    “Gugurnya perajurit dalam latihan demi mempertahankan negara. Semoga ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan keredaan dengan ketentuan-Nya jua,” katanya dalam catatan Facebook.

    Tentera Udara Diraja Malaysia dalam kenyataan malam tadi memaklumkan lembaga penyiasatan akan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

    Justeru, semua pihak digesa tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai dan menghormati sensitiviti keluarga mangsa.

  • Saman ditolak, syarikat teknologi diarah bayar RM14.39 juta kepada SSM

    Saman ditolak, syarikat teknologi diarah bayar RM14.39 juta kepada SSM

    SEBUAH syarikat teknologi dikehendaki membayar RM14.39 juta kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selepas tuntutan samannya terhadap suruhanjaya itu ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Dalam kenyataan hari ini, SSM menjelaskan saman tersebut difailkan Liberty Technology Resources Sdn Bhd (LTRSB) berikutan pihaknya menamatkan kontrak pembangunan sistem ‘Enterprise Resource Planning’ (ERP) pada 19 Dis 2019.

    Menurutnya, kontrak ditamatkan kerana LTRSB gagal membangun dan menyiapkan projek tersebut dalam tempoh ditetapkan walaupun dengan lanjutan masa.

    Perjanjian bagi pembangunan projek itu ditandatangani antara SSM dan LTRSB pada 13 Sept 2017.

    Menurut kenyataan itu, Hakim Ong Chee Kwan turut membenarkan tuntutan balas SSM, dengan LTRSB diarah memulangkan semula RM12,228,365.80 juta yang telah dibayar SSM, selain membayar RM1,966,812.94 juta sebagai ganti rugi tertentu dan ditetapkan kepada suruhanjaya itu.

    Hakim juga mengarahkan LTRSB membayar faedah sebanyak 5% atas jumlah tuntutan SSM yang dikira dari 26 Nov 2020 sehingga pembayaran penuh tuntutan SSM serta kos sebanyak RM200,000 kepada SSM.

  • PRN: Putra tiada masalah guna logo PN – Ibrahim Ali

    PRN: Putra tiada masalah guna logo PN – Ibrahim Ali

    PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berharap dapat bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), dan diberi peluang oleh gabungan itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

    Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata tanpa mengharapkan jumlah kerusi yang banyak, Putra sedia bertanding di mana-mana jua sekiranya diberi peluang, malah tidak ada masalah untuk bertanding dengan menggunakan logo PN.

    “Saya ingin nyatakan di sini bahawa Putra tidak akan jadi tukang sorak. Kita boleh bersama jika kita diiktiraf. Kalau tak banyak sekalipun (perlu) ada bukti, tanda bahawa kita dapat bersama.

    “Kalau diberi kesempatan bekerjasama dengan PN, kalau boleh dua (atau) tiga kerusi juga tiada masalah, beri di mana sekalipun tidak kisah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Putra kali Keempat di Kuala Lumpur, hari ini.

    Ibrahim berkata beliau sudah menyampaikan hasrat itu kepada Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam petemuan mereka sebelum ini.

  • Majlis Syura Ulama mesyuarat minggu depan, tapi calon PAS

    Majlis Syura Ulama mesyuarat minggu depan, tapi calon PAS

    PAS akan mengadakan mesyuarat peringkat Majlis Syura Ulama minggu depan untuk membincangkan mengenai tapisan senarai nama-nama calon yang akan bertanding di 126 Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri.

    Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata soal pembahagian kerusi sudah selesai dan tiada sebarang masalah besar berkenaan perkara itu, tetapi tapisan mengenai calon sedang berlangsung dan berterusan.

    “Majlis Syura Ulama akan bermesyuarat pada minggu depan untuk membincangkan tentang tapisan calon. Dari segi manifesto pula, ia masih dalam perancangan,” katanya selepas Himpunan Pakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Kelantan, di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di Kota Bharu malam tadi.

    Ia turut dihadiri Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan partinya akan bertanding di kesemua 245 kerusi DUN di enam negeri pada PRN nanti, yang Bersatu bakal bertanding di 83 DUN, PAS di 126 DUN manakala 36 DUN lagi ditandingi Parti Gerakan (Gerakan).

    PRN akan datang membabitkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45) dan Terengganu (32) yang berada di bawah pentadbiran PN, manakala Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36) iaitu negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH).

  • Kumpulan WhatsApp mengandungi gambar,video berunsur lucah ditemukan dalam telefon bimbit -saksi

    Kumpulan WhatsApp mengandungi gambar,video berunsur lucah ditemukan dalam telefon bimbit -saksi

    SEORANG saksi dalam perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret Tenom hari ini satu Kumpulan WhatsApp  mengandungi gambar dan video berunsur lucah ditemukan dalam telefon bimbit yang diterimanya pada 8 Okt 2021.

    Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM) ASP Latifah Abdul Aziz, 43, berkata telefon bimbit itu dihantar ke makmal forensik PDRM kira-kira pukul 12.02 tengah hari oleh pegawai penyiasat.

    Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata telefon bimbit itu disimpan dalam keadaan selamat, sebelum dikeluarkan pada 22 Okt 2021 untuk proses analisis namun telefon bimbit itu mempunyai kata laluan.

    “Saya menghubungi pegawai penyiasat untuk mendapatkan kata laluan bagi membolehkan akses oleh sistem analisis dan telah diberikan pada hari yang sama…saya kemudian jalankan analisis terhadap telefon bimbit itu sebelum menemukan Kumpulan WhatsApp itu,” katanya.

    Latifah berkata demikian semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad yang bertanya hasil analisis saksi terhadap telefon bimbit yang diterimanya itu.

    Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Majistret Nur Asyraf Zolhani menetapkan perbicaraan disambung dari 16 hingga 18 Ogos depan.

    — BERNAMA

  • Kes Wang Kelian : 4 warga Thailand didakwa seludup imigran

    Kes Wang Kelian : 4 warga Thailand didakwa seludup imigran

    EMPAT warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas pertuduhan menjalankan penyeludupan migran terhadap dua warga Myanmar di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar antara 2013 dan 2015.

    Keempat-empat lelaki itu, Jehpa Lapi-E, 56; Somphon A-Dam, 51; Arun Kaeofainok, 30; dan Amree Nesalaeh, 58; masing-masing menghadapi satu pertuduhan yang dibacakan secara berasingan dalam bahasa Thai oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Musyiri Peet.

    Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan pertuduhan dibuat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, tiga tertuduh iaitu Jehpa Lapi-E, Somphon A-Dam dan Arun Kaeofainok didakwa menjalankan penyeludupan migran terhadap seorang lelaki warga Myanmar iaitu Mohd Belal di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar pada Februari 2013 sehingga April 2013.

    Sementara seorang lagi tertuduh, Amree Nesalaeh didakwa menjalankan penyeludupan migran seorang lelaki warga Myanmar iaitu Zedul Islam di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar lebih kurang 5.30 pagi pada Ogos 2014 sehingga Mac 2015.

    Keempat-empat tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda, atau kedua-duanya.

    Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 25 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Md Kamal, VV Suloshini dan Lee Jun Keong manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Pada Mei 2015, Malaysia dikejutkan dengan penemuan kem dan kubur di Wang Kelian yang menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dari dalam dan luar negara.

    Susulan hasil siasatan dijalankan, kerajaan Malaysia mengemukakan permintaan ekstradisi kepada kerajaan Thailand terhadap 10 individu warga Thailand pada 6 Jan 2017, dan kedua-dua negara telah berusaha untuk mengesan kesemua individu berkenaan bagi melaksanakan proses ekstradisi.

    Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata empat warga Thailand yang disyaki terlibat dalam kes penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015 diekstradisi ke Malaysia semalam, bagi menghadapi pertuduhan di mahkamah di Malaysia.

    Saifuddin Nasution berkata hasil daripada kerjasama baik antara kedua-dua negara, empat daripada 10 individu berjaya dikesan dan dihadapkan ke mahkamah Thailand bagi tujuan ekstradisi.

    — BERNAMA