Author: Bernama

  • Pengebumian negara Ratu Elizabeth II pada 19 Sept

    Pengebumian negara Ratu Elizabeth II pada 19 Sept

    UPACARA pengebumian negara Ratu Elizabeth II akan diadakan di Westminster Abbey pada 19 Sept, umum Istana Buckingham pada Sabtu.

    “Sebelum upacara Pengebumian Negara, jasad baginda akan ditempatkan di Westminster Hall selama empat hari, bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir,” menurut kenyataan itu.

    Keranda ratu kini berada di Istana Balmoral, Scotland sebelum dibawa ke Istana Holyroodhouse, Edinburgh.

    Pada 13 Sept, keranda ratu akan dibawa ke London menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja, lapor Agensi Anadolu.

    Keranda ratu kemudiannya akan dibawa berarak menuju ke Westminster Hall. Turut serta dalam perarakan itu Raja Britain dan kerabat diraja.

    Jasad baginda akan disemadikan bersebelahan makam suaminya, mendiang Putera Philip.

    Ratu Elizabeth II, Raja Britain paling lama menduduki takhta, mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral di Scotland pada Khamis.- BERNAMA

  • Tarikh PRU-15: Belum bincang dengan ‘Top Five’ UMNO – PM

    Tarikh PRU-15: Belum bincang dengan ‘Top Five’ UMNO – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata beliau belum berbincang dengan ‘Top Five’ UMNO berhubung tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    ‘Top Five’ UMNO merujuk kepada Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan perdana menteri sendiri.  

    Katanya, selepas berbincang dengan ‘Top Five’, baharulah beliau akan berbincang dengan parti MCA dan MIC serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

    “… kemudian ia perlu dibawa ke Kabinet sebab di bawah Perlembagaan, kena ada kelulusan Kabinet sebelum saya menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk (mendapat perkenan) membubarkan Parlimen. 

    “Itu prosedur yang perlu dipatuhi,” katanya semasa merucap pada Majlis Penyampaikan Peruntukan Masyarakat Cina dan India Parlimen Bera 2022 di Dewan Kompleks UMNO Bera di Padang Luas di sini hari ini.

    Walaupun belum berbincang mengenai tarikh PRU15, Ismail Sabri mengingatkan pimpinan BN di Parlimen Bera untuk bersedia memperkemaskan gerak kerja jentera termasuk berjumpa pengundi bagi mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Bera dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Guai dan Kemayan selain merampas semula DUN Triang.

    PRU15, menurut Ismail Sabri walaupun tarikhnya belum diketahui, namun memberi bayangan “semakin hari ia semakin dekat’ dan secara berseloroh berkata perkara itu perlu ditanya kepada perdana menteri mengenai bilakah tarikh pilihan raya akan diadakan?.

    Bagaimanapun jika merujuk kenyataan Mohamad, Ismail Sabri berkata Timbalan Presiden UMNO itu menjangkakan PRU15 akan diadakan sebelum hujung tahun ini, dan ini bermaksud tempohnya semakin hampir sekali gus penting bagi jentera parti untuk mula membuat persiapan.

    Di Bera, Ismail Sabri berkata beliau mahu jentera BN bekerja keras bagi mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Bera, DUN Guai dan DUN Kemayan, selain merampas kembali DUN Triang yang dianggap kerusi selesa DAP.  

    “Saya harap pastikan di Parlimen Bera kita menang bukan dengan 2,000 majoriti tetapi 5,000 atau 10,000 majoriti. Kita kena menang dengan bergaya, kena menang besar kerana seluruh Malaysia pandang kerusi Parlimen Bera. Ini kerusi Perdana Menteri, tak akan menang dua atau tiga ribu majoriti?. 

    “Kerusi DUN Triang yang selama ini MCA minta dari dulu…Gerakan (bertanding di DUN Triang) dan MCA tidak berpuas hati kerana ahli mereka lebih ramai di situ. Dahulu kuota kerusi telah ditetapkan dan waktu itu Triang diberikan kepada Gerakan dan mereka tak pernah menang tapi kalah berkali-kali. 

    “Sekarang kerusi ini (DUN Triang) diberikan kepada MCA dan MCA kena buktikan mereka boleh menang bila diberikan kerusi. Ini merupakan cabaran kepada MCA dan kita semua kena sama-sama bantu rampas DUN Triang yang semua orang bercakap akan kekal kepada DAP,” katanya.

    Ismail Sabri juga percaya PRU15 adalah waktu terbaik untuk MCA merampas DUN Triang kerana DAP dan Pakatan Harapan (PH) telah gagal menunaikan janji selepas berpeluang memerintah selama 22 bulan, menjadikan rakyat sedar mereka telah tertipu. 

    Pada majlis itu Perdana Menteri menyampaikan sumbangan kepada 68 persatuan dan kelab masyarakat Cina dan India dari sekitar Parlimen Bera.- BERNAMA 

  • Edar dadah: Peniaga alat ganti kenderaan terlepas hukuman gantung

    Edar dadah: Peniaga alat ganti kenderaan terlepas hukuman gantung

    SEORANG peniaga alat ganti kenderaan terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di Kota Bharu, hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar 342.3 gram methamphetamine empat tahun lepas.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Wan Muhammad Azlan Wan Mahamod, 34.

    Mohamad Abazafree dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah menerusi isu berkaitan akses bilik tertuduh, kehadiran orang lain di kediaman tertuduh dan kewujudan sebuah kereta jenis Proton Satria di lokasi serbuan milik orang lain.

    “Tertuduh telah membuat pembelaan dengan keterangan bersumpah. Dalam keterangannya dari peringkat awal pendakwaan, seorang lelaki bernama Mohd Harif Mohd Azmi telah datang tidur di bilik tertuduh sebelum kediaman itu diserbu polis,” katanya.

    Wan Muhammad Azlan didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di dalam bilik di sebuah rumah di Kampung Kepas, Jalan Banggol Jering, Pasir Mas lebih kurang 4.10 pagi pada 2 Sept 2018.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Norazlinawati Mohd Arshad manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed.- BERNAMA

  • Jasad lelaki diserang buaya ditemukan tidak sempurna

    Jasad lelaki diserang buaya ditemukan tidak sempurna

    SEPASUKAN anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan hari ini menemukan kepala seorang mangsa lelaki yang hilang dipercayai diserang dan dibaham buaya ketika cuba menyeberang Sungai Seguntor, dekat Taman Kenari di Sandakan, Jumaat lepas.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan berkata kepala mangsa ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada 7.30 pagi tadi, dalam keadaan tidak sempurna kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

    Kes tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan seorang lelaki dewasa hanya dikenali sebagai Abdul, disyaki dibaham buaya pada kira-kira 6 petang Jumaat di sungai kawasan setinggan itu.

    “Mangsa dikatakan menaiki rakit yang diperbuat daripada buluh cuba menyeberangi sungai untuk ke rumahnya yang terletak 100 meter dari tebing sungai.

    “Ketika sedang menyeberangi sungai, mangsa disyaki disambar oleh seekor buaya dan sempat menjerit meminta tolong, namun hilang daripada pandangan saksi,” katanya.- BERNAMA

  • Gempa 7.6 magnitud, amaran tsunami sepanjang pantai Papua New Guinea, Indonesia

    Gempa 7.6 magnitud, amaran tsunami sepanjang pantai Papua New Guinea, Indonesia

    GEMPA bumi berukuran 7.6 pada skala Richter menggegarkan Papua New Guinea pada Sabtu, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

    Gempa bumi berlaku pada kedalaman 61.4 kilometer (km) dan 67 km dari timur Kainantu, sebuah bandar di timur Papua New Guinea.

    Sistem amaran tsunami Amerika Syarikat mengeluarkan amaran ancaman berikutan gempa bumi itu, lapor Sputnik.

    “Gelombang tsunami berkemungkinan melanda sekitar 1,000 km dari pusat gempa di sepanjang pantai Papua New Guinea dan Indonesia,” menurut Pusat Amaran Tsunami Pasifik AS.

    Dua gempa bumi lemah berlaku di barat daya bandar Pariaman, Indonesia dipercayai mencetuskan gempa bumi kuat itu.

    Tiada kerosakan dilaporkan setakat ini.- BERNAMA

  • Bas terbakar, 44 pelajar Kolej Matrikulasi Kedah selamat

    Bas terbakar, 44 pelajar Kolej Matrikulasi Kedah selamat

    SERAMAI  44 pelajar Kolej Matrikulasi  Kedah (KMK), Changlun, Kedah terselamat apabila bas persiaran yang dinaiki terbakar di Kilometer 39.5 Jalan Raya Timur Barat dekat Tasik Banding di sini hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata sebuah jentera dengan pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.05 petang.

    “Setibanya anggota di lokasi kejadian mendapati api sudah marak dan memusnahkan 80 peratus daripada bas persiaran itu.

    “Bagaimanapun, semua penumpang termasuk pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan apabila berjaya keluar sendiri dari kenderaan itu dan berada di jarak yang selamat sebelum api marak,” katanya dalam satu kenyataan.

    Katanya api berjaya dipadamkan dan operasi ditamatkan pada 3.48 petang.

    Dalam kejadian itu, bas terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Kelantan menghala ke KMK untuk menghantar pelajar pulang.

    — BERNAMA

  • Kedai emas disamun, kerugian dianggarkan lebih setengah sejuta

    Kedai emas disamun, kerugian dianggarkan lebih setengah sejuta

    TIGA pekerja sebuah kedai emas berdepan detik cemas sewaktu baru memulakan operasi perniagaan apabila disamun dua lelaki yang melarikan barang kemas dan wang tunai bernilai kira-kira RM660,000 dalam satu rompakan di Selasar Rokam, Taman Ipoh Jaya hari ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya dimaklumkan mengenai rompakan itu kira-kira 10.15 pagi dan polis bergegas ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut.

    “Hasil siasatan awal mendapati dua lelaki telah mengacukan senjata menyerupai pistol kepada tiga pekerja semasa mereka hendak membuka kedai lalu melarikan sejumlah barang kemas dan wang tunai.

    “Namun ketiga-tiga mangsa tidak mengalami kecederaan semasa kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata pihaknya sedang giat memburu dua suspek berkenaan dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Fadli Ahmad 019-2500019 untuk membantu siasatan polis.

    Tinjauan Bernama ditempat kejadian mendapati pasukan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi tersebut yang terletak dalam kawasan lot perniagaan.

  • PN tubuh jawatankuasa manifesto PRU-15

    PN tubuh jawatankuasa manifesto PRU-15

    PERIKATAN Nasional telah menubuhkan satu jawatankuasa manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang memberi fokus kepada kestabilan politik dan ekonomi negara.

    Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kandungan manifesto itu adalah inklusif untuk semua kaum.

    “Perikatan Nasional telah menubuhkan jawatankuasa manifesto yang dipengerusikan Datuk Dr Radzi Jidin  dan dianggotai oleh wakil-wakil parti komponen Perikatan Nasional.

    Manifesto ini memberi fokus bukan sahaja kepada kestabilan politik tetapi juga kepada pembangunan ekonomi dengan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya selepas merasmikan Persidangan Cawangan Srikandi dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Labuan di Desa Tunas Hijau dekat Labuan hari ini.

    Hamzah berkata jawatankuasa itu akan memastikan setiap kandungan dalam manifesto yang bakal dibentangkan sebelum PRU-15 dapat dicapai.

     Mengenai persaingan antara Bersatu dan UMNO untuk menarik pengundi Melayu dalam PRU-15, beliau berkata Bersatu kini semakin diterima rakyat seluruh negara khususnya di Labuan dengan melihat ramai bekas ahli UMNO menyertai parti itu.

    Hamzah berkata sejak Bersatu ditubuhkan enam tahun lepas, seramai lebih 600,000 telah berdaftar menjadi ahli.

    “Kita akan berusaha memastikan Bersatu melahirkan ramai pemimpin unggul yang boleh datangnya dari Labuan dan negeri-negeri lain untuk membantu memimpin kerajaan,” katanya.

    Seterusnya Hamzah mengumumkan peruntukan RM50,000 bagi tujuan urus tadbir bahagian dan cawangan Bersatu Labuan dan 300 bakul makanan setiap bulan kepada keluarga memerlukan di pulau bebas cukai ini.

  • ‘Tak pernah cakap tanding di Rembau, cuma kata sampai masa ke parlimen’

    ‘Tak pernah cakap tanding di Rembau, cuma kata sampai masa ke parlimen’

    TIMBALAN Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan beliau belum membuat keputusan berhubung kerusi parlimen mana yang mahu ditandinginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Menurutnya, keutamaan parti ketika ini adalah memperkukuh dan mempersiapkan jentera di seluruh bahagian terlebih dahulu sebelum memutuskan soal pembahagian kerusi dan calon.

    Malah, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan bersama parti komponen BN dalam masa terdekat iaitu selepas selesai sesi libat urus dan perjumpaan dengan Jentera BN Sabah.

    “Saya belum bercakap pasal kerusi lagi, baru cakap pasal kesiapsiagaan jentera, tak pernah cakap nak tanding mana-mana, saya cuma cakap sudah tiba masanya untuk saya bertanding di parlimen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Mini Keselamatan dan Kesihatan sempena Sambutan Hari Malaysia di Seremban hari ini.

    Mengulas lanjut Mohamad berkata sebagai Timbalan Presiden UMNO, beliau berhak memilih bertanding di mana-mana kawasan Parlimen dan tidak semestinya di Parlimen Rembau sebagaimana diuar-uarkan.

    Pada 4 Sept lepas, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dilapor tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada PRU15 bagi memberikan laluan kepada Mohamad yang berhasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan.

    Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau itu berkata pihaknya sudah meminta rakan-rakan komponen BN menyatakan kawasan yang ingin diletakkan calon masing-masing.

    “Ada beberapa kerusi yang perlu dilakukan perubahan, itu biasa, kita buat penukaran kerana ada beberapa tempat kita tak menang tiga, empat kali PRU, jadi kita perlu melihat strategi pula, dalam ‘perang’, strategi penting untuk pastikan kita menang,” katanya menambah pemilihan calon akan mengambil kira muka lama dan muda ke arah usaha meremajakan parti.

    Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata tahap kesiapsiagaan jentera di seluruh negeri ketika ini berada dalam keadaan baik dan terdapat beberapa perkara yang perlu diperkasakan sebelum berdepan PRU15.

    Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata beliau tidak mengetahui cadangan untuk mengadakan perbincangan bersama PAS berhubung 27 kerusi kritikal menjelang PRU15 akan datang.

    “Saya tak tahu ada 27 kerusi yang perlukan bimbingan tapi yang saya lakukan sekarang ini adalah saya pergi ke setiap negeri untuk mengenal pasti dan melihat kesiapsiagaan jentera menghadapi PRU15 yang boleh diadakan bila-bila masa,” katanya.

    Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan memaklumkan parti itu terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO berhubung 27 kerusi kritikal yang mana kerusi terbabit dimenangi Pakatan Harapan dalam PRU14 lepas.

  • Penceramah bebas kenal mangsa melalui program motivasi: Polis

    Penceramah bebas kenal mangsa melalui program motivasi: Polis

    SEORANG penceramah bebas yang ditahan kerana disyaki melakukan amang seksual fizikal telah berkenalan dengan kesemua pengadu menerusi program motivasi di sekolah sekitar Selangor.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan mendapati suspek berusia 40-an itu melakukan perbuatan tersebut ke atas empat mangsa berumur lingkungan 17 hingga 18 tahun.

    “Siasatan awal pihak polis mendapati suspek telah berkenalan dengan kesemua pengadu dalam program motivasi yang diadakan di sekolah sekitar Selangor. Hasil perkenalan itu, suspek didakwa telah bertindak melakukan jenayah amang seksual fizikal ke atas semua pengadu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata hasil siasatan itu berdasarkan laporan yang diterima pihaknya pada 30 Ogos lepas iaitu dua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan serta masing-masing satu di IPD Shah Alam dan IPD Kajang.

    Arjunaidi berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor telah membuat tangkapan ke atas suspek sekitar 4 petang pada 8 September lepas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri itu.

    “Kebenaran tahanan reman selama enam hari bermula semalam hingga 14 September ini juga telah diperoleh daripada Mahkamah Majistret Klang bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut ke atas suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

    Arjunaidi turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana ia akan menjejaskan siasatan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

    “Pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan secara tegas mengikut peruntukan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang didapati cuba mengelirukan masyarakat dengan menyebarkan sesuatu berita atau isu yang tidak tepat,” katanya.