Author: Bernama

  • Tabung Haji perkasa perkhidmatan melalui cawangan bergerak

    Tabung Haji perkasa perkhidmatan melalui cawangan bergerak

    BAKAL menyambut ulang tahun ke-59 pada 30 Sept ini, Lembaga Tabung Haji (TH) nyata tidak berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini apabila terus menggiatkan usaha membantu umat Islam Malaysia menabung bagi merealisasikan Rukun Islam kelima – menunaikan haji.

    Bagi mengukuhkan kedudukannya selaku sebuah institusi pengurusan dana Islam yang ‘dekat’ dengan masyarakat, ia melancarkan Cawangan Bergerak TH yang bukan sahaja memudahkan pendeposit sedia ada berurusan, tetapi juga untuk menarik pendeposit baharu.

    Mempunyai kira-kira sembilan juta pendeposit dengan 123 cawangan statik setakat ini, TH dengan visi ‘Tonggak Kejayaan Ekonomi Ummah: Pengurusan Haji Terbilang’, menyasarkan peningkatan pendeposit baharu sekurang-kurangnya lima peratus dalam tempoh tiga tahun hingga 2024, disokong oleh pelancaran cawangan bergerak itu yang mula beroperasi pada Jun lepas.

    Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata perkhidmatan Cawangan Bergerak TH itu dilancarkan bagi mendekati ummah secara langsung berikutan 55 peratus umat Islam di negara ini didapati belum mempunyai akaun deposit TH.

    Jelasnya, inisiatif itu melibatkan pegawai TH daripada lapan masing-masing Pusat Perkhidmatan TH (PPTH) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) serta meliputi semua kawasan di Johor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah, Terengganu, Melaka dan Sabah.

    “Cawangan Bergerak TH atau nama lainnya pasukan pemasaran luar akan menyediakan perkhidmatan di sekitar daerah yang dikenal pasti bagi memudahkan para pendeposit mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan TH di lokasi dan masa yang ditetapkan.

    “Apa yang mahu TH ketengahkan sekarang adalah konsep ‘mobile’, mahu lari daripada stigma hanya duduk sahaja menunggu pelanggan datang. Statistik kami juga mendapati transaksi di PPTH terlalu rendah manakala lokasi UTC pula terlalu hampir dengan cawangan TH negeri,” katanya ketika ditemui di Menara Tabung Haji, baru-baru ini.

    Beliau berkata antara perkhidmatan yang disediakan di Cawangan Bergerak TH ialah pembukaan akaun baharu, pembukaan akaun secara maya, kemas kini profil, urusan dan pendaftaran haji, pengaktifan THiJARI, penamaan waris, pertukaran status akaun kanak-kanak kepada dewasa, simpanan, pengaktifan akaun serta cetakan penyata.

    Objektif utama TH ialah membantu umat Islam di negara ini mengerjakan ibadat haji, justeru sewajarnya setiap daripada mereka memanfaatkan institusi itu.

    Namun kata Mohamed Ameen, setakat ini hanya 45 peratus umat Islam di negara ini mempunyai akaun bersama TH.

    Sehubungan itu, katanya TH melancarkan Pelan Transformasi Strategik TH 2022-2024 atau HIJRAH24 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 20 April lepas, yang antara lain bertujuan meningkatkan pendeposit kepada 50 peratus.

    “Adalah menjadi harapan saya untuk membawa TH ke tahap lebih tinggi dan matlamat HIJRAH24 adalah untuk sekurang-kurangnya 50 peratus umat Islam negara menjadi pendeposit TH menjelang 2024.

    “Oleh itu, TH perlu mencapai peningkatan pendeposit sekurang-kurangnya lima peratus dalam masa tiga tahun ini. Kalau kami duduk di cawangan sahaja tak jadi kerja. TH perlu menggiatkan usaha pergi ke tempat mereka (pendeposit) sendiri dengan Cawangan Bergerak TH,” tegasnya.

    Menurutnya, inisiatif itu telah mencatatkan pembukaan 5,835 akaun baharu sejak dilancarkan pada 7 Jun lepas.

    “Ia terbukti memberikan peluang kepada lebih ramai orang Islam untuk menikmati perkhidmatan yang disediakan TH dengan adanya cawangan bergerak ini,” katanya yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang perbankan.

    Seorang pendeposit, Ghazizani Abd Ghani, 47, yang ditemui Bernama ketika berurusan di Cawangan Bergerak TH yang beroperasi di Masjid Kariah Paroi Jaya, Seremban, Negeri Sembilan, mengakui kewujudan cawangan bergerak memudahkannya menyelesaikan pelbagai urusan TH.

    Katanya, antara kelebihan penempatan cawangan bergerak itu di kawasan masjid tersebut ialah kawasan tempat letak kenderaan yang luas, kemudahan yang lengkap selain menyediakan peluang yang tidak terhad kepada orang ramai untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan TH.

    “Saya tinggal di Taman Panchor Jaya, iaitu kira-kira dua kilometer sahaja dari masjid ini. Tak perlu berebut tempat letak kereta, berbanding kalau ke UTC yang terletak kira-kira lapan km dari rumah.

    “Kita juga boleh bertanya banyak tentang haji, dan sebagai pendeposit, saya rasa ini lebih mesra pelanggan berbanding berurusan di cawangan di UTC yang kadang-kadang perlu tergesa-gesa,” ulas wanita itu.

    Menurut ibu kepada lima anak itu, dia juga mengambil peluang membuka akaun baharu untuk dua anak perempuannya yang masing-masing berusia 12 dan 14 tahun.

    “Hanya RM10 masing-masing untuk buka akaun buat mereka,” tambahnya.

    Bagi Pengerusi Jawatankuasa masjid berkenaan Muhammad Fadillah Zulkafli, 51, beliau melihat inisiatif itu sebagai berita gembira bagi mereka yang tidak mempunyai masa untuk ke cawangan statik atau UTC.

    “Saya berhajat buka akaun TH untuk dua lagi anak saya namun tidak ada masa untuk berbuat demikian. Apabila dengar tentang cawangan bergerak ini saya terus ambil peluang buka akaun untuk anak yang berusia 12 dan 14 tahun. Dua abang mereka sudah pun ada akaun dengan TH dan saya manfaatkan untuk tambah simpanan mereka,” jelasnya yang turut melihat inisiatif itu sebagai usaha mengimarahkan masjid.

    Eksekutif Kewangan UTC Seremban Nur Haziqah Hashim berkata secara purata, 35 hingga 40 pendeposit, sama ada yang baharu atau sedia ada, datang ke Masjid Kariah Taman Paroi Jaya untuk berurusan di Cawangan Bergerak TH.

    “Dalam sehari, sebanyak 60 hingga 70 transaksi antaranya kemas kini profil, menyimpan duit dan membuka akaun telah dilakukan pendeposit,” katanya sambil menjelaskan empat petugas ditempatkan di cawangan bergerak, iaitu seorang penyelia, dua juruwang dan seorang polis bantuan.

    Beliau berkata setakat ini, sambutan terhadap Cawangan Bergerak TH amat menggalakkan dan berpendapat ia adalah satu alternatif terbaik yang akan berkembang dan mendapat tempat di hati para pendeposit.

    Lazimnya pendeposit hadir di cawangan untuk berurusan, kini TH pula menyantuni pendeposit di kawasan mereka sendiri, ujarnya.

  • Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra buat kemunculan pertama

    Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra buat kemunculan pertama

    SULTANAH Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah semalam membuat kemunculan pertama di Istana Negeri Kubang Kerian di Kota Bharu apabila berkenan menerima menghadap rombongan Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan (PKDK).

    Majlis menerima menghadap itu adalah yang pertama Nur Diana Petra membuat kemunculan awam selepas Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengisytiharkan isteri baginda sebagai Sultanah Kelantan pada 2 Ogos lalu.

    Unit Media Pejabat Sultan Kelantan dalam hantaran di Facebook memaklumkan rombongan beberapa ahli pertubuhan PKDK itu diketuai oleh presidennya Tengku Ramizan Tengku Abdul Aziz.

    Turut hadir Tengku Sri Kelantan D’ Raja Kelantan, Datuk Seri Raja Rezza Shah; Tengku Kaya Perkasa Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan pegawai-pegawai Istana Kelantan.

    Sultanah Nur Diana Petra turut berkenan mengurniakan cenderamata kenangan kepada semua ahli rombongan pada majlis itu. – Bernama

  • Kecederaan kepala punca kematian juruterbang helikopter

    Kecederaan kepala punca kematian juruterbang helikopter

    KEPUTUSAN bedah siasat hari ini mendapati juruterbang warganegara Hong Kong, Tsz Kin Richard Chan yang maut dalam nahas helikopter terhempas di Hutan Simpan Chikus Ahad lalu, disebabkan kecederaan pada bahagian kepala mangsa.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataan ringkas berkata kecederaan itu disebabkan kemalangan aviasi.

    Semalam Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter EC120B milik syarikat swasta gagal dihubungi selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

    Richard Chan menerbangkan Eurocopter EC120B dari Subang ke Ipoh apabila terputus hubungan radio dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

    Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini jam 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.- BERNAMA

  • Belanjawan 2023: Perkasa belia, hidupkan industri sukan fokus KBS

    Belanjawan 2023: Perkasa belia, hidupkan industri sukan fokus KBS

    MEMPERKASA golongan belia dengan program-program pembangunan dan menghidupkan industri sukan, merupakan antara fokus Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Belanjawan 2023.

    Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan menerusi KBS sentiasa berusaha untuk memastikan masa depan rakyat khususnya belia terjamin.

    “Belanjawan diputuskan di peringkat Kementerian Kewangan, namun usaha KBS ialah untuk menghidupkan industri sukan, apabila kita membudayakan sukan melalui Liga Sukan Malaysia, Malaysia Litte League dan banyak lagi, maka limpahan ekonomi kepada negara menjadi lebih besar.

    “(Selain itu) program seperti Malaysia Future Leaders School (MFLS) pula dapat menyemarakkan potensi belia sebagai pemimpin, pendedahan tentang tanggungjawab mereka melalui Undi18 dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stadium Mini Arena Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda, di sini hari ini.

    Ahmad Faizal berkata pihaknya juga mahu memperhebat pembangunan e-sukan yang dilihat mempunyai potensi besar untuk dikembangkan, selain program-program pembangunan belia.

    Belanjawan 2023 dijangka dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Okt ini.

    Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan berkata belanjawan kali ini antara lain akan memberi penekanan kepada kebajikan Keluarga Malaysia, selain mengambil kira kesediaan negara berdepan kemungkinan krisis ekonomi global yang lebih mencabar berbanding sebelum ini.- BERNAMA

  • Tiada lagi saman individu tidak pakai pelitup muka

    Tiada lagi saman individu tidak pakai pelitup muka

    TIADA lagi saman dikeluarkan terhadap mana-mana individu yang tidak mengenakan pelitup muka di tempat awam susulan pengumuman baru-baru ini.

    Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu yang telah berkuat kuasa minggu lepas.

    “Kerajaan tidak kenakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan tidak akan saman sesiapa lagi.

    “Rakyat sudah biasa dan faham tentang kesihatan awam ini dan hampir kepada kehidupan seperti biasa malah sosial dan ekonomi juga telah dibuka dan perkumpulan sudah dibenarkan.

    “Jadi kita perlu menjaga diri sendiri dan mengamalkan norma baharu termasuk memakai pelitup muka sekiranya mempunyai simptom COVID-19 dan mengasingkan diri sendiri selain membuat laporan dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.

    Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata demikian pada sidang media sempena Perbincangan Meja Bulat Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM) yang turut dihadiri Ahli Pemegang Amanah yayasan itu Prof Emeritus Datuk Dr. Abdul Latif Mohamad di sini hari ini.

    Dr. Noor Azmi berkata orang ramai bagaimanapun digalakkan memakai pelitup muka di tempat sesak dan pemakaian diwajibkan ketika menaiki pengangkutan awam atau berada di fasiliti kesihatan.

    Pada 7 Sept lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu namun pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau sebaliknya.

    Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia sedang menunggu pengisytiharan untuk negara ini memasuki fasa endemik COVID-19 kerana sudah merekodkan jumlah jangkitan kes yang rendah dalam kalangan komuniti ketika ini.

    Menurutnya, pengisytiharan itu bergantung kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menentukan status fasa endemik sesebuah negara.

    “Kita memasuki fasa peralihan ke endemik sebelum ini disebabkan masih ada kes COVID-19 yang dilaporkan dan ada perkara kita masih kena jaga dan kawal,” katanya.- BERNAMA

  • Wanita dipenjara 80 bulan tipu jual barangan elektrik tidak wujud

    Wanita dipenjara 80 bulan tipu jual barangan elektrik tidak wujud

    SEORANG wanita yang sedang menjalani hukuman penjara kerana menipu, hari ini dihukum penjara berjumlah 80 bulan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan menipu berhubung penjualan barangan elektrik yang tidak wujud.

    Majistret R.Salini menjatuhkan hukuman penjara 12, 14, 16, 18, dan 20 bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Nurul Yasmin Rosli, 33, dan memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 7 Sept 2021.

    Ini bermakna wanita itu yang merupakan ibu kepada bayi berusia tujuh bulan itu, hanya perlu menjalani hukuman penjara 20 bulan.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, Nurul Yasmin didakwa dengan curang menipu lima individu, sehingga mendorong mereka membuat bayaran bagi pembelian barangan elektrik pelbagai jenama ke akaun Hong Leong Bank atas nama Melati Zainol, iaitu ibu tertuduh berjumlah RM5,235 namun tertuduh gagal menyerahkan barang tersebut.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar daerah Johor Bahru dari 16 Feb 2021 hingga 25 Jun 2021, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, kesemua mangsa diperdaya selepas menghubungi nombor WhatsApp yang tertera di laman Instagram ‘Beauty Saranghae’ sebelum membuat tempahan dan pembayaran, namun mereka tidak menerima sebarang barangan seperti ditawarkan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Pada 13 Sept tahun lepas, tertuduh dan ibunya, Melati, 55, didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor atas beberapa pertuduhan menipu berhubung penjualan barang elektrik dan perkakas dapur yang tidak wujud melibatkan kerugian berjumlah RM41,645.

    Pada 13 Ogos 2019 pula, Nurul Yasmin didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah, atas empat pertuduhan menipu pakej umrah membabitkan kerugian sebanyak RM12,000 pada 2012 dan 2013.

    Tertuduh kini menjalani hukuman penjara di Penjara Wanita Kajang, Selangor bagi pertuduhan menipu di Mahkamah Majistret Shah Alam.- BERNAMA

  • ‘Squid Game’ menang pengarah, pelakon drama bersiri terbaik di Emmys

    ‘Squid Game’ menang pengarah, pelakon drama bersiri terbaik di Emmys

    DRAMA survival yang menjadi fenomena di Korea Selatan “Squid Game” menjadi drama bukan bahasa Inggeris pertama memenangi anugerah pelakon dan pengarah terbaik bagi kategori drama bersiri di Anugerah Primetime Emmy, lapor Agensi Berita Yonhap.

    Penerbit, pengarah dan penulis skrip ‘Squid Game’ Hwang Dong Hyuk, membawa pulang hadiah Pengarah dan Penulisan Cemerlang untuk episod pertama siri Netflix, “Red Light, Green Light”, pada Edisi ke-74 anugerah berprestij di Teater Microsoft di Los Angeles pada Isnin.

    Beliau bersaing dengan Mark Mylod, Cathy Yan dan Lorene Scafaria dari “Succession”, Ben Stiller dari “Severance”, Jason Bateman dari “Ozark” dan Karyn Kusama dari “Yellowjackets.”

    Ini adalah kali pertama siri TV bukan Inggeris memenangi Emmy, penghormatan yang paling didambakan dalam industri TV Amerika Syarikat.

    Hwang mengucapkan terima kasih kepada platform penstriman global Netflix kerana memberi ruang terhadap siri rancangannya mengakses pasaran global.

    “Saya benar-benar berharap ‘Squid Game’ bukan siri bahasa Inggeris terakhir saya untuk dicalonkan di Emmys, dan saya juga berharap ini juga bukan kemenangan terakhir saya.”

    Pelakon utama Lee Jung Jae turut memenangi kategori Pelakon Utama Dalam Siri Drama, menewaskan Jason Bateman daripada “Ozark”, Brian Cox dan Jeremy Strong daripada “Succession”, Bob Odenkirk daripada “Better Call Saul” dan Adam Scott daripada “Severance.”

    Secara keseluruhan, “Squid Game” telah memperoleh enam gelaran Emmy: dua kemenangan pada Isnin dan empat di Emmy Seni Kreatif yang diadakan minggu lepas.

    Filem yang boleh diakses menggunakan platform Netflix itu memperoleh 14 pencalonan di Emmys tahun ini.

    Ia adalah siri asal paling popular Netflix pernah ditonton, dengan jumlah tontonan sebanyak 1.65 bilion jam dicatatkan pada empat minggu pertama. 

    Musim kedua ‘Squid Game’ kini dalam penggambaran.- BERNAMA

  • Mahkamah benar Muhammad Shafee pinda tarikh pelepasan sementara pasport ke Australia

    Mahkamah benar Muhammad Shafee pinda tarikh pelepasan sementara pasport ke Australia

    MAHKAMAH Tinggi Kuala lumpur hari ini membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk meminda tarikh pelepasan pasport bagi membolehkannya menghadiri mesyuarat perundangan di Australia dengan peguam kanan dari United Kingdom.

    Muhammad Shafee memohon untuk meminda tarikh pelepasan sementara pasportnya itu kepada 15 Sept hingga 19 Sept 2022. Tarikh sebelum ini ialah 6 Sept hingga 12 Sept 2022.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Muhammad Shafee itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut.

    Terdahulu, peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Muhammad Shafee berkata pihaknya memohon untuk meminda tarikh pelepasan sementara pasport anak guamnya dari 6-12 Sept 2022 kepada 15-19 Sept 2022 dan dipulangkan semula kepada mahkamah pada 22 Sept.

    “Tan Sri Muhammad Shafee perlu menangguhkan penerbangannya ke Australia kerana peguam kanan Geoffrey Robertson memerlukan sedikit masa untuk memahami dan menghalusi dokumen sebelum beliau bersedia untuk memberi nasihat serta cadangan kepada Tan Sri,” katanya.

    Muhammad Shafee, 70, peguam utama kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyerahkan pasportnya kepada mahkamah pada September 2018 selepas beliau sendiri didakwa di mahkamah.

    Permohonan bagi pelepasan sementara pasportnya untuk ke luar negara beberapa kali sebelum ini juga dibenarkan mahkamah.

    Muhammad Shafee didakwa atas dua pertuduhan menerima RM9.5 juta yang merupakan hasil aktiviti haram melalui dua cek yang dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

    Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kes berkenaan selepas memanggil lapan saksi pada perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021 dan hujahan lisan ditetapkan pada 15 Sept.- BERNAMA

  • Saman fitnah: Tun Mahathir dakwa Ahmad Zahid sengaja bangkitkan isu perkauman

    Saman fitnah: Tun Mahathir dakwa Ahmad Zahid sengaja bangkitkan isu perkauman

    TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sengaja membangkitkan isu perkauman selain menjatuhkan reputasi bekas perdana menteri itu sebagai tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia.

    Dr Mahathir, 97, selaku plaintif berkata hanya dengan mempunyai salasilah keturunan yang berdarah India, tidak menjadikan beliau “kurang Melayu” atau “bukan Melayu”.

    “Ini juga telah dibangkitkan oleh defendan (Ahmad Zahid) hanya selepas saya tidak lagi bersama UMNO yang jelas menunjukkan motif dan niat jahat defendan,” dakwa Dr Mahathir menerusi jawapan kepada pernyataan pembelaan Ahmad Zahid, yang difailkan pada 8 Sept lepas.

    Dr Mahathir menyaman Ahmad Zahid, 69, pada 20 Julai lepas atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu ‘kutty’.

    Ahli Parlimen Langkawi itu yang menjawab pembelaan Ahmad Zahid, turut mendakwa bekas timbalan perdana menteri itu sememangnya mempunyai niat jahat (malice) apabila memfitnah dengan menggelarnya sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ tanpa sebarang usul periksa tentang latar belakang atau keturunan beliau.

    Dakwa Dr Mahathir, defendan juga gagal mengambil langkah wajar dan munasabah untuk mendapatkan penjelasan dan penerangan daripadanya sebelum membuat kenyataan fitnah itu.

    Dr Mahathir dalam pernyataan tuntutannya mendakwa, Ahmad Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

    Dakwanya, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ dan menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.

    Sementara itu, Ahmad Zahid dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 17 Ogos lepas, menafikan kenyataan yang dibuat pada 30 Julai 2017 adalah berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasi plaintif di khalayak umum.

    Dakwa Presiden UMNO itu, nama “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty” merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat dalam salinan kad pengenalan yang lama selain mendakwa beliau juga tidak mempunyai kawalan ke atas sebarang penerbitan video berhubung kenyataannya di platform media.

    Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr Mahathir ketika dihubungi Bernama hari ini memaklumkan pada prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris secara e-Review, mahkamah menetapkan 7 Nov ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

    — BERNAMA

  • Lima pemimpin tertinggi UMNO akan bincang tarikh PRU-15 dalam masa terdekat – Ismail Sabri

    Lima pemimpin tertinggi UMNO akan bincang tarikh PRU-15 dalam masa terdekat – Ismail Sabri

    PERBINCANGAN antara lima pemimpin tertinggi UMNO bagi menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka diadakan dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata tempoh untuk mengadakan PRU15 dalam tahun ini masih terbuka dan tarikh itu akan ditentukan selepas mesyuarat lima pemimpin tertinggi UMNO.

    “Seperti yang saya beritahu sebelum ini, setiap keputusan mengenai PRU akan dibuat selepas perbincangan lima pemimpin tertinggi UMNO,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 (WCIT 2022) di sini hari ini.

    Ketika ditanya sama ada perbincangan itu akan diadakan sebelum atau selepas pembentangan Bajet 2023 pada 7 Okt ini di Dewan Rakyat, Ismail Sabri berkata perkara itu masih belum ditentukan.

    “Perbincangan boleh dibuat secepat mungkin atau mungkin lebih awal sebelum pembentangan Bajet 2023,” kata beliau.

    Lima pemimpin tertinggi UMNO itu merujuk kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden parti iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri.

    Sementara itu, semasa ditanya mengenai keadaan Datuk Seri Najib Tun Razak, Ismail Sabri berkata beliau telah memberitahu Kementerian Kesihatan (KKM) supaya melihat keperluan bekas perdana menteri itu.

    “Saya telah meminta KKM supaya bantu apa yang Najib perlukan… kalau boleh masuk ke Institut Jantung Negara (IJN) atau tidak, itu akan ditentukan KKM,” katanya.

    Terdahulu di Mahkamah Kuala Lumpur, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya itu tidak akan dapat hadir ke mahkamah kerana masalah kesihatan dan akan dipindahkan dari Hospital Kuala Lumpur ke IJN hari ini.

    — BERNAMA