Author: Bernama

  • Tanam duit RM36j, elak bayar cukai

    Tanam duit RM36j, elak bayar cukai


    SEPASANG suami isteri di Rom mengaku mengelak membayar cukai selepas wang tunai berjumlah lapan juta euro (kira-kira RM36.17 juta) dijumpai ditanam di tanah persendirian milik mereka di Franciacorta.

    Pasangan terbabit membuat pengakuan berkenaan menerusi peguam mereka ketika perbicaraan di hadapan Hakim pada Rabu.

    Menurut Agensi Berita Itali (ANSA), pasangan itu ditahan dan dibawa ke penjara selepas syarikat mereka disyaki mengeluarkan invois palsu sebanyak 500 juta euro dan mengelak membayar cukai sebanyak 93 juta euro.

  • Mayat lelaki tidak dikenali ditemukan di Sungai Bidut

    Mayat lelaki tidak dikenali ditemukan di Sungai Bidut

    MAYAT seorang lelaki yang tidak mempunyai pengenalan diri ditemukan oleh orang ramai di tepi Jalan Tanjung Maling, Sungai Bidut di Sibu, hari ini.

    Pemeriksaan awal pihak polis, yang menerima maklumat tersebut pada 9.24 pagi, mendapati lelaki itu tidak mempunyai tanda suntikan BCG pada kedua-dua lengannya.

    “Tiada kesan kecederaan luaran di tubuh si mati serta tiada unsur jenayah dikesan di tempat kejadian setakat ini,” kata Ketua Polis Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataan.

    Menurut beliau, bedah siasat akan dilakukan bagi menentukan punca kematian dan kes setakat ini diklasifikasi sebagai kematian mengejut.

    Beliau meminta mana-mana saksi, individu, waris atau majikan yang mempunyai maklumat berhubung penemuan itu atau kehilangan ahli keluarga atau pekerja, untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat ASP Binsin Lunjong di talian 017-8025675.

  • Keputusan empat ADUN Pulau Pinang pinda saman 6 Oktober

    Keputusan empat ADUN Pulau Pinang pinda saman 6 Oktober

    MAHKAMAH Tinggi di George Town sini menetapkan 6 Oktober untuk keputusan sama ada membenarkan permohonan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk meminda saman pemula (OS) mereka bagi menghalang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang daripada meluluskan usul untuk mengosongkan kerusi mereka.

    Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat hari ini berhubung permohonan ADUN tersebut.

    “Keputusan itu akan disampaikan melalui e-mel kepada kedua-dua pihak pada 6 Oktober, dengan e-semakan untuk arahan lanjut berkaitan OS, memandangkan kedua-dua peguam berpejabat di Kuala Lumpur,” katanya.

    Semasa prosiding, peguam Datuk D. P. Naban, yang mewakili ADUN tersebut berkata permohonan itu difailkan atas alasan undang-undang antilompat parti negeri itu tidak mengikut perlembagaan.

    “Ia melanggar kebebasan bersuara mereka kerana jika mereka bersuara secara berbeza, mereka mungkin dipecat daripada parti mereka dan terpaksa mengosongkan kerusi di bawah Perkara 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.

    Sementara itu, peguam Surendra Ananth, yang mewakili defendan (Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (DUN) dan Speakernya Datuk Law Choo Kiang) memberitahu mahkamah bahawa jika pindaan OS itu dibenarkan, ia akan melambatkan lagi kes dan pendengaran OS.

    Beliau berkata permohonan itu sebagai taktik untuk melengahkan kes.

    Pada 2020, empat ADUN – Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) – memfailkan OS terhadap kedua-dua defendan itu untuk mencabar perlembagaan Perkara 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, dan menghalang empat kerusi berkenaan daripada diisytiharkan kosong, menurut Perkara 14A(1).

    Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

    Pada 12 April lepas, Azizan membenarkan permohonan defendan untuk merujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi memutuskan keperlembagaan undang-undang antilompat parti negeri itu.

    DUN Pulau Pinang dan speaker mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak sah kerana tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan berpersatuan.

    Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada 3 Ogos memutuskan bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

  • Agong, permaisuri wakili Malaysia ke istiadat pemakaman Ratu Elizabeth sII

    Agong, permaisuri wakili Malaysia ke istiadat pemakaman Ratu Elizabeth sII

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan mewakili Malaysia ke istiadat pemakaman negara Ratu Elizabeth II pada Isnin.

    Perkara itu dinyatakan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah kepada pemberita pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Luar, di Putrajaya, hari ini.

    Ratu Elizabeth II, Raja Britain paling lama menduduki takhta, mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral di Scotland pada 8 September.

    Menurut laporan media, jasad Ratu Elizabeth II kini berada di London dan ditempatkan di Istana Buckingham sehingga istiadat pemakaman negara di Westminster Abbey pada 19 September.

    Jasad baginda akan dimakamkan bersebelahan makam suaminya, mendiang Putera Philip.

    Baginda ialah raja kedua paling lama menduduki takhta dalam sejarah Eropah selepas Raja Perancis Louis XIV.

  • Pengasas firma audit didakwa pecah amanah RM2.38 juta

    Pengasas firma audit didakwa pecah amanah RM2.38 juta

    RAKAN Kongsi Pengurusan Negara Grant Thornton Malaysia, Datuk C R Narendrakumar didakwa di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas lapan pertuduhan pecah amanah wang deposit berjumlah RM2.38 juta milik sebuah syarikat pengurusan pelaburan.

    Narendrakumar, 72, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid manakala tiga pertuduhan di hadapan Datin Sabariah Othman.

    Mengikut kesemua pertuduhan itu, Narendrakumar sebagai ejen iaitu pengurus dan penerima di syarikat Sabah Forest Industries Sdn Bhd didakwa melakukan pecah amanah wang deposit berjumlah RM2,383,370.31 milik syarikat Pelangi Prestasi Sdn Bhd dalam akaun CIMB, yang diamanahkan kepadanya.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, antara 6 Disember 2019 hingga 18 September 2020.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan maksimum 20 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

    Semasa pendakwaan bagi lima pertuduhan, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zulaaikha Mohd Apandi tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, beliau memohon jaminan RM200,000 bagi kesemua pertuduhan itu dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

    View Post

    TPR Lim Chooi Yi yang mengendalikan pendakwaan bagi tiga lagi pertuduhan itu juga tidak mencadangkan jaminan atas alasan sama.

    Peguam AG Kalidas yang mewakili Narendrakumar memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin dengan jaminan rendah.

    “Anak guam saya adalah pengasas bersama Grant Thornton, iaitu syarikat audit serta perunding guaman yang mempunyai beribu-ribu pekerja. Anak guam saya juga mengalami masalah kesihatan iaitu jantung dan sakit belakang selain tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri,” kata peguam itu.

    Bakri membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan dua penjamin bagi kelima-lima pertuduhan manakala Sabariah membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin untuk ketiga-tiga pertuduhan.

    Kedua-dua mahkamah memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 14 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

  • Wanita hamil lima bulan trauma disamun hampir RM30,000

    Wanita hamil lima bulan trauma disamun hampir RM30,000

    SEORANG wanita mengandung lima bulan berdepan detik cemas apabila barangan kemas dan wang tunai miliknya yang keseluruhannya dianggar bernilai RM30,000 disamun oleh seorang lelaki di rumahnya di Kampung Gong Mengkelih, di sini semalam.

    Siti Nur Rafeeqa Abdul Hamid, 29, berkata dia berada di dalam bilik tidur bersama anak lelakinya berusia lima tahun pada 9.50 pagi sebelum didatangi suspek yang menceroboh masuk ke dalam rumah melalui tingkap diumpil menggunakan cangkul.

    “Lelaki itu mengambil pisau di dapur dan mengarahkan saya menyerahkan beg tangan yang di dalamnya berisi rantai, gelang dan cincin emas serta sejumlah wang tunai.

    “Saya tidak berfikir panjang dan terus mengikut arahannya kerana bimbang keselamatan diri dan anak,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini.

    Suami suri rumah itu, Ruzman Ishak, 46, pula berkata ketika kejadian beliau sedang bekerja dan dimaklumkan mengenainya kira-kira 10.40 pagi.

    “Suspek turut mengambil sebuah telefon pintar dan melarikan motosikal jenis Honda EX5 milik saya sebelum ditemukan semula di lorong kubur Kampung Chengal Pusas, Jalan Jeram Pasu di sini kira-kira dua kilometer dari rumah pada 4 petang semalam,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria dalam kenyataan mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.

    Beliau berkata lelaki berkenaan sedang diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.- BERNAMA

  • Produk kosmetik diarah henti jualan ada racun berjadual

    Produk kosmetik diarah henti jualan ada racun berjadual

    NOTIFIKASI produk kosmetik Night Cream ForU By D Ains Beauty Empire telah dibatalkan kerana dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Beliau berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesan produk kosmetik tersebut mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate, dan penggunaan produk yang mengandungi bahan berkenaan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

    “Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

    Menurutnya, hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultra violet (UV) berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

    Beliau berkata penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

    Betamethasone 17-valerate pula boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

    “Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

    Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA di www.npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.- BERNAMA

  • Rakan kongsi Pengurusan Negara Grant Thornton Malaysia didakwa pecah amanah RM2.38 juta

    Rakan kongsi Pengurusan Negara Grant Thornton Malaysia didakwa pecah amanah RM2.38 juta

    RAKAN Kongsi Pengurusan Negara Grant Thornton Malaysia, Datuk C. R Narendrakumar didakwa di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas lapan pertuduhan pecah amanah wang deposit berjumlah RM2.38 juta milik sebuah syarikat pengurusan pelaburan.

    Narendrakumar, 72, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid manakala tiga pertuduhan di hadapan Datin Sabariah Othman.

    Mengikut kesemua pertuduhan itu, Narendrakumar sebagai ejen iaitu pengurus dan penerima di syarikat Sabah Forest Industries Sdn Bhd didakwa telah melakukan pecah amanah wang deposit berjumlah RM2,383,370.31 milik syarikat Pelangi Prestasi Sdn Bhd dalam akaun CIMB, yang telah diamanahkan kepadanya.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, antara 6 Dis 2019 hingga 18 Sept 2020.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan maksimum 20 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

    Semasa pendakwaan bagi lima pertuduhan, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zulaaikha Mohd Apandi tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, beliau memohon jaminan RM200,000 bagi kesemua pertuduhan itu dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

    TPR Lim Chooi Yi yang mengendalikan pendakwaan bagi tiga lagi pertuduhan itu juga tidak mencadangkan jaminan atas alasan sama.

    Peguam AG Kalidas yang mewakili Narendrakumar memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin dengan jaminan rendah.

    “Anak guam saya adalah pengasas bersama Grant Thornton, yang merupakan syarikat audit serta perunding guaman yang mempunyai beribu-ribu pekerja. Anak guam saya juga mengalami masalah kesihatan iaitu jantung dan sakit belakang selain tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri,” kata peguam itu.

    Bakri membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan dua penjamin bagi kelima-lima pertuduhan manakala Sabariah membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin untuk ketiga-tiga pertuduhan.

    Kedua-dua mahkamah memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 14 Okt ini untuk sebutan semula kes.

    — BERNAMA

  • Rasuah RM400,000: Tiga individu direman bantu siasatan

    Rasuah RM400,000: Tiga individu direman bantu siasatan

    DUA lelaki dan seorang wanita direman seminggu bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM400,000 berhubung kelulusan permohonan memiliki tanah kerajaan.

    Wanita berusia 30 tahun yang merupakan pembantu tadbir Pejabat Tanah dan Galian serta dua pengarah syarikat berusia 41 dan 50 tahun tiba dengan berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga di Mahkamah Majistret di Ipoh pada kira-kira 10.30 pagi.

    Perintah reman bermula hari ini hingga Selasa depan dikeluarkan Majistret Noor Hafiza Ishak bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Menurut sumber SPRM, mereka ditahan kerana disyaki terlibat penerimaan wang rasuah daripada pemilik syarikat supaya mendapatkan kelulusan permohonan memiliki tanah kerajaan seluas kira-kira dua hektar di daerah Kinta.

    Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk mengesan sekiranya ada individu lain turut terbabit dalam kes itu.

  • Ringgit terus susut berbanding dolar AS, terendah dalam tempoh 24 tahun

    Ringgit terus susut berbanding dolar AS, terendah dalam tempoh 24 tahun

    RINGGIT terus merosot kepada paras terendah baharu dalam tempoh 24 tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sewaktu dibuka pada Rabu, seiring dengan harga minyak yang rendah berikutan ramai pelabur beralih kepada mata wang selamat.

    Pada 9.05 pagi, mata wang tempatan menyusut kepada 4.5200/5220 berbanding dolar AS daripada 4.5070/5085 sewaktu ditutup semalam.

    Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS menunjukkan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan pada 8.3 peratus berbanding ramalan 8.1 peratus.

    “Bacaan yang lebih tinggi ini menyebabkan pelabur tertanya-tanya seberapa besar kenaikan kadar faedah yang boleh dilihat pada mesyuarat Rizab Persekutuan yang akan datang pada 21 September.

    “Sebelum data IHP ini dikeluarkan, pasaran meramalkan kenaikan 0.5 – 0.75. Bagaimanapun, kini banyak pihak telah menaikkan ramalan mereka kepada 0.75-1.0 peratus,” katanya kepada Bernama.

    Diniz berkata pasaran telah memberikan reaksi kukuh terhadap data itu, menyebabkan berlaku satu lagi kenaikan kukuh dolar AS berbanding mata wang lain.

    Beliau berkata harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras global merosot sebanyak 0.08 peratus kepada AS$93.10 setong.

    Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia tidak mengalami krisis ekonomi meskipun penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS ketika ini.

    Beliau berkata prestasi ringgit harus dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya dibandingkan dengan dolar AS kerana mata wang tempatan itu juga meningkat berbanding banyak mata wang utama lain di dunia.

    Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

    Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2153/2174 berbanding 3.2320/2333 sewaktu ditutup semalam dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.1282/1301 daripada 3.1690/1703.

    Ia turut menokok berbanding pound Britain kepada 5.1989/2012 daripada 5.2768/2786 semalam dan naik berbanding euro kepada 4.5105/5125 daripada 4.5818/5833 sebelum ini.- BERNAMA