Author: Bernama

  • Lelaki lemas cuba selamatkan kereta menggelonsor ke laut

    Lelaki lemas cuba selamatkan kereta menggelonsor ke laut

    SEORANG lelaki lemas apabila cuba menyelamatkan kereta Proton Gen2 miliknya yang menggelongsor ke dalam laut di Teluk Senangin dekat Lumut, malam tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak dalam kenyataan berkata Muhammad Hafiz Ramli, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.

    Jurucakap itu berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis digegaskan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 11.34 malam.

    “Pihak bomba dimaklumkan oleh orang awam terdapat seorang lelaki terperosok di bawah kereta itu selepas dipercayai cuba menahan kenderaan tersebut daripada masuk ke laut. Mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa naik ke tepi pantai sebelum pasukan penyelamat sampai di lokasi,” katanya.

    Menurut jurucakap itu, anggota bomba membuat pemeriksaan ke atas kereta dan mencabut kabel bateri kenderaan itu.

    Katanya mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi berkenaan ditamatkan kira-kira 1.45 pagi tadi.

    — BERNAMA

  • Kastam rampas methamphetamine  RM40.56 juta dalam mesin moulding industri

    Kastam rampas methamphetamine  RM40.56 juta dalam mesin moulding industri

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan rampasan terbesar tahun ini dengan penemuan 676 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM40.56 juta yang disembunyikan dalam mesin moulding industri.

    Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata rampasan dilakukan ketika serbuan pasukan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM terhadap satu kontena bersaiz 12.1 meter di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor pada 10 Sept lepas.

    “Dalam serbuan itu dadah berkenaan ditemukan dalam bungkusan teh dibaluti aluminium dan disembunyikan dalam mesin moulding industri berkapasiti besar, yang kami percaya ini merupakan taktik terbaharu sindiket dadah untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Nilai hari ini.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati kontena tersebut adalah untuk dieksport ke Australia, namun pihaknya masih menyiasat dari mana dadah itu diperolehi.

    Menurut Zazuli seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang merupakan wakil kepada pemilik kontena tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan.

     Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebat tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

    “Kami tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan ditahan dalam masa terdekat,” katanya.

     — BERNAMA

  • 43,508 pemilih baharu didaftarkan: SPR

    43,508 pemilih baharu didaftarkan: SPR

    DAFTAR Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2022 (DPT BLN8/2022) yang telah diperaku dan diwartakan, kini dibuka untuk semakan bagi tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 14 Oktober.

    Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata, DPT BLN8/2022 mengandungi nama bagi 43,508 warganegara berumur 18 tahun dan ke atas bagi tempoh 1 hingga 31 Ogos lepas yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

    Beliau berkata, DPT BLN8/2022 juga turut membabitkan sejumlah 19,868 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 6,544 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

    Untuk semakan, beliau berkata, SPR menyediakan lima kaedah iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my dan portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.

    Selain itu, semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak dan hotline SPR di talian 03-8892 7018.

    “SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Ogos 2022 hingga 31 Ogos 2022 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN8/2022.

    “Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN8/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata, pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D (bantahan) dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

    “Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN8/2022,” katanya.

  • Empat bersaudara ditahan bersama dadah bernilai RM90,000

    Empat bersaudara ditahan bersama dadah bernilai RM90,000

    POLIS menahan empat bersaudara termasuk tiga adik-beradik dan merampas dadah jenis ganja seberat lebih 27.31 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM90,000 dalam serbuan di sebuah premis di Kilometer 16, Jalan Apas di Tawau pada Isnin lepas.

    Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tiga beradik iaitu dua wanita dan seorang lelaki serta seorang saudara lelaki mereka itu, yang kesemuanya berusia antara 20 dan 43 tahun ditahan dalam serbuan di premis tersebut pada pukul 5 petang.

    Katanya, serbuan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu, adalah hasil maklumat orang awam.

    “Ketika serbuan didapati dua lelaki sedang mengangkat tiga kotak dari sebuah kereta ke premis tersebut. Hasil pemeriksaan menemukan 29 bungkusan yang masing-masing berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja.

    “Dua wanita berada dalam kenderaan itu turut ditahan. Dadah yang dirampas itu disyaki untuk dipasarkan di sekitar Tawau yang mampu dibekalkan kepada 20,000 pembeli,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

    Jasmin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Video rakaman percakapan Bella dimainkan di mahkamah

    Video rakaman percakapan Bella dimainkan di mahkamah

    VIDEO rakaman percakapan remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella di Pusat Temuduga Kanak-Kanak dimainkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

    Video itu memaparkan remaja berusia 13 tahun itu, yang didakwa diabai dan didera pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, ditemu bual oleh pegawai polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita, Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah selepas diselamatkan dari sebuah kondominium milik tertuduh di Wangsa Maju pada 12 Julai 2021.

    Bagaimanapun sebelum video itu ditayangkan, peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun memohon agar galeri awam dikosongkan memandangkan Bella adalah kanak-kanak bawah umur dan dilindungi di bawah Seksyen 6 Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.

    Hakim Izralizam Sanusi membenarkan permohonan itu dan mengarahkan hanya pihak pendakwaan, pembelaan, peguam pemerhati dan tertuduh berada di dalam mahkamah.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad memaklumkan bahawa saksi yang dijadual memberi keterangan hari ini iaitu pakar psikiatrik yang mengendalikan kes Bella tidak dapat hadir kerana terbabit dengan sesi pembentangan lain berkaitan kepakarannya.

    “Pendakwaan mempunyai lima lagi saksi termasuk seorang pakar psikiatrik, seorang doktor perubatan, dua pegawai penyiasat dan Bella sendiri. Saksi selepas pakar psikiatrik adalah Bella. Pakar psikiatrik perlu membantu mahkamah memahami ketidakupayaan dan keterbatasan intelektual Bella.

    “Pakar itu boleh beri contoh soalan yang boleh dikemukakan kepada Bella. Kami berpendirian Bella hanya boleh dipanggil selepas pakar psikiatri beri keterangan,” katanya.

    Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan bersambung 21 September ini. – Bernama

  • Bekas ejen hartanah didakwa tipu pelaburan babit RM620,000

    Bekas ejen hartanah didakwa tipu pelaburan babit RM620,000

    SEORANG bekas ejen hartanah didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung pelaburan perumahan membabitkan RM620,000, pada 20 tahun lepas.

    Soo Seng Chee, 63, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

    Seng Chee didakwa memperdaya Tan Han Kwan, 51, supaya membuat pelaburan bersamanya dengan membeli dua lot tanah banglo di tapak projek Residence At Mont milik Syarikat Sunrise Sdn Bhd.

    Seng Chee dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM620,000 secara berperingkat kepadanya melalui cek dan tunai yakni mangsa tidak akan menyerahkan wang berkenaan sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

    Tertuduh, yang ditangkap 2 September lepas, didakwa melakukan kesalahan itu di Plaza Mont Kiara, Mont Kiara di Kuala Lumpur, antara November 2002 hingga Mac 2003, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi menawarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam Saranjeet Kaur Sindhu yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000 atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan mempunyai sakit jantung, selain memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menetapkan 17 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

  • Bebas atau bela diri? Keputusan kes gubah wang haram Shafee diketahui 28 Okt

    Bebas atau bela diri? Keputusan kes gubah wang haram Shafee diketahui 28 Okt

    KEPUTUSAN sama ada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan dibebaskan atau diperintah membela diri terhadap dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua tuduhan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan diketahui pada 28 Okt ini.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pendakwaan.

    “Saya perlu meneliti dan mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak yang lebih 500 muka surat. Oleh itu, keputusan ditetapkan pada 28 Okt ini, 9 pagi,” kata hakim itu.

    Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala Muhammad Shafee diwakili peguam Harvinderjit Singh, Farhan Read dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

    Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kes selepas mengemukakan seramai lapan saksi pada perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021.

    Antara saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan R.Uma Devi, Pengurus Cawangan CIMB Bank Bukit Tunku Rosnita Ahmad, bekas pegawai LHDN Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad dan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Farid Jabar.

    Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee, 70, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya, iaitu cek RM4.3 juta diterima pada 13 Sept 2013 manakala RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.

    Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat ibu negara mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram. – Bernama

  • MT UMNO akan tentukan rundingan dengan Pas – Ismail Sabri

    MT UMNO akan tentukan rundingan dengan Pas – Ismail Sabri

    KEPUTUSAN untuk membuka atau menutup terus pintu rundingan UMNO dengan Pas hanya boleh ditetapkan Majlis Tertinggi.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu tersebut berkemungkinan dibawa ke mesyuarat MT nanti.

    Jelas beliau, walaupun UMNO bersikap terbuka tetapi keputusan parti tetap akan ditentukan MT.

    “Kita serah kepada MT, kita dengar pandangan daripada semua pihak, UMNO ini memang macam itu, kita terbuka…sesiapa sahaja boleh beri pandangan, akhirnya dari segi keputusan parti, ia akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi.

    “Jadi kita tangguh mesyuarat hari Sabtu, malam minggu ini dan akan ditangguhkan kepada tarikh yang akan diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Ahmad Maslan).

    “Jadi mungkin perkara itu boleh dibawa di dalam mesyuarat MT yang akan datang,” katanya memetik laporan Bernama.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berkenaan MT UMNO disaran menutup pintu rundingan dengan PAS berkaitan hala tuju 27 kerusi Parlimen yang didakwa kritikal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Malam tadi, Ismail Sabri berkata perjumpaan lima pemimpin tertinggi UMNO bagi membincangkan berkenaan PRU15 yang dijadual Sabtu ini ditangguh ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

    Menurutnya ia susulan pemakluman daripada Setiausaha Agung UMNO bahawa Mesyuarat MT Khas yang dijadual pada hari sama ditangguh.

  • Taklimat pilihan raya kepada guru: KPM dapatkan maklumat lanjut daripada SPR

    Taklimat pilihan raya kepada guru: KPM dapatkan maklumat lanjut daripada SPR

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan guru-guru dipanggil menghadiri taklimat petugas pilihan raya ketika waktu persekolahan. 

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata tugas hakiki guru semasa waktu persekolahan adalah untuk berada di sekolah masing-masing. 

    “Saya rasa SPR cukup faham dengan tugas dan tanggungjawab guru. Cuma kes ini saya nak kena semak apakah konteksnya. 

    “Kita sentiasa bekerjasama rapat dengan SPR bagi memastikan tugas SPR itu kita dukung tetapi pada masa yang sama tugas hakiki guru di sekolah dapat berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program pengukuhan sukan sepak takraw, hari ini. 

    Sebuah portal melaporkan terdapat rungutan daripada wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah di Kajang yang mendakwa SPR ‘memaksa’ guru menghadiri taklimat Pilihan Raya Umum ketika waktu persekolahan yang menyebabkan kebanyakan guru tidak dapat mengajar.

    “Kalau perlu untuk beri taklimat kepada guru-guru maka masa untuk mereka menghadiri taklimat itu kita perincikan, ini bagi memastikan bahawa tugas hakiki di sekolah tidak terganggu,” katanya dan menambah KPM akan sentiasa bekerjasama dengan SPR bagi mencari jalan tengah berhubung perkara itu.

    Mengenai program pengukuhan sukan sepak takraw itu, Radzi berkata sebanyak 150 sekolah rendah di seluruh negara melibatkan 1,200 pelajar akan menyertai program pencarian bakat untuk fasa pertama pelaksanaannya. 

    Beliau berkata pelaksanaan program itu adalah untuk mengenal pasti bakat murid berusia bawah 12 tahun yang berpotensi untuk diketengahkan seterusnya ditempatkan di pusat kecemerlangan sukan KPM iaitu Pusat Latihan Daerah, Sekolah Sukan Negeri dan Sekolah Sukan Malaysia. 

    Program yang bermula hari ini dan dijadual berakhir pada 13 Nov ini turut melibatkan 10 jurulatih mentor dalam kalangan guru yang juga bekas pemain sepak takraw yang akan bergerak dari sekolah ke sekolah.

    Radzi berkata proses pencarian bakat murid akan berpandukan modul ujian kemahiran sukan sepak takraw yang terdiri daripada ujian antropometrik, kecergasan, kemahiran asas dan kemahiran spesifik. 

    Beliau berkata secara umumnya, KPM tidak meletakkan had bilangan pelajar yang akan dipilih menjadi pelapis dalam sukan berkenaan, namun ia bergantung kepada kekosongan yang ada di fasiliti latihan.

  • Jabatan Perhutanan henti sementara pembalakan berhampiran Tasik Kenyir – Exco

    Jabatan Perhutanan henti sementara pembalakan berhampiran Tasik Kenyir – Exco

    JABATAN Perhutanan Negeri Terengganu telah mengambil tindakan pantas dengan menghentikan sementara aktiviti pembalakan di kawasan berhampiran Tasik Kenyir yang didakwa menjadi punca aliran Air Terjun Sungai Lasir bertukar keruh.

    Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu Sulaiman Sulong berkata difahamkan, aktiviti pembalakan di kawasan kira-kira empat kilometer dari hulu Sungai Lasir itu telah dihentikan sebaik sahaja isu pencemaran berkenaan dilaporkan dalam akhbar dan laman sosial.

    Beliau berkata, operasi tersebut akan dihentikan sehingga aliran air terjun yang menjadi lokasi tumpuan pelancong ke Tasik Kenyir kembali jernih.

    “Pihak Jabatan Perhutanan telah ambil tindakan-tindakan alternatif dengan segera bagi memastikan pembalakan yang berlaku di sekitar empat kilometer dari hulu Sungai Lasir dapat dihalang atau diminimumkan.

    “Pada masa yang sama, faktor hujan lebat juga dipercayai mengakibatkan berlakunya air keruh dan berkeladak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup kursus jurupandu Taman Geo di Tasik Kenyir petang semalam.

    Sulaiman mengulas mengenai laporan akhbar semalam yang mendakwa Air Terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir ‘indah khabar dari rupa’ kerana air keruh dan berkeladak, dipercayai berpunca daripada kegiatan pembalakan di kawasan berhampiran.

    Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan semalam dilaporkan berkata isu air berkeladak di Tasik Kenyir adalah disebabkan hujan lebat dan bukanlah kerana aktiviti pembalakan.

    Beliau dipetik sebagai berkata semua aktiviti berkaitan perhutanan dan pembalakan mempunyai syarat-syarat khusus termasuk penentuan jarak bersesuaian antara kawasan pembalakan dengan gigi air bagi mengelak pencemaran.