Author: Bernama

  • Polis Thailand edar gambar wanita mangsa culik

    Polis Thailand edar gambar wanita mangsa culik

    POLIS Thailand telah mengedarkan gambar mangsa kes culik di Tumpat, dekat sini, ke 19 buah balai polis di Wilayah Narathiwat bagi membantu mengesan wanita itu. 

    Ketua Polis Wilayah Narathiwat Jeneral Wan Seman Wan Salleh berkata gambar seorang suspek lelaki turut diedarkan dan usaha berkenaan dijalankan bagi membantu polis Kelantan yang mengesyaki mangsa diculik dan dilarikan ke Thailand.

    “Kita kini menjalankan operasi besar-besaran bagi membantu PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengesan wanita yang juga ejen kosmetik berusia 36 tahun yang diculik dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat, pada 13 September lalu.

    “Operasi mengesan mangsa itu digerakkan sejurus pihaknya menerima gambar mangsa dan juga seorang suspek yang dipercayai antara individu yang terlibat menculik wanita tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    — LAGI

    POLIS-CULIK (NARATHIWAT) 2 (AKHIR) KOTA BHARU

    Wan Seman berkata operasi mengesan mangsa dilakukan dengan pantas atas hubungan baik dengan polis Kelantan dan kerjasama rentas sempadan selama ini.

    Beliau berkata beberapa siri serbuan telah dijalankan di hotel, stor simpanan barang dan rumah kediaman, namun masih gagal menemukan mangsa. 

    “Polis Thailand juga telah memaklumkan mengenai kes tersebut di balai polis bersempadan dengan Kelantan iaitu di Balai Polis Sungai Golok, Waeng, Takbai dan Buketa supaya melipat gandakan usaha.

    “Operasi ini juga melibatkan Unit Risikan Thailand yang kini masih menjalankan usaha mengesan,” katanya dan menambah gambar mangsa dan suspek turut diedarkan ke sempadan Wilayah Pattani dan Songkhla.

    Dalam kejadian 13 September lepas, seorang wanita berusia 36 tahun yang juga ejen kosmetik diculik beberapa lelaki dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat kira-kira pukul 5.10 petang.

    Mangsa disyaki dilarikan ke negara jiran melalui pangkalan haram di Kuala Jambu, Tumpat ekoran penemuan kereta yang digunakan suspek.- BERNAMA

  • Lelaki Singapura dipercayai sesat daki Hutan Simpan Panti Timur

    Lelaki Singapura dipercayai sesat daki Hutan Simpan Panti Timur

    SEORANG lelaki warganegara Singapura dilaporkan hilang selepas dipercayai sesat ketika mendaki Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang lelaki warga tempatan pada 3.26 petang.

    Beliau berkata lelaki warga tempatan itu yang juga rakan mangsa, memaklumkan dia telah terputus hubungan dengan Jason Ren Jie, yang berusia 30-an, semasa mendaki bersamanya di hutan berkenaan.

    “Mereka mula mendaki lebih kurang pukul 11.30 pagi. Pengadu berkata dia terpisah dengan mangsa kira-kira 1 tengah hari apabila mangsa dan pengadu berpisah di satu lokasi ketika mendaki.

    “Pengadu berjalan dahulu manakala mangsa menunggu di belakang. Tetapi, selepas 30 minit menanti, mangsa tidak muncul-muncul. Pengadu cuba mencari semula mangsa tetapi tidak jumpa,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

    Susulan itu, katanya sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Batu Ampat telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian mangsa yang dilaporkan sesat. 

    Operasi mencari dan menyelamat ini turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Balai Bomba Kota Tinggi serta Jabatan Perhutanan Wilayah Johor Selatan (Kota Tinggi), katanya.

    “Setakat pukul 11:30 malam tadi, mangsa masih belum dijumpai dan operasi mencari dan menyelamat dihentikan seketika kerana keadaan persekitaran terlalu gelap dan menyukarkan pencarian. Operasi akan disambung semula hari ini,” katanya.

    Hussin turut menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk melakukan aktiviti pendakian terutama di kawasan Hutan Simpan agar mendapatkan permit terlebih dahulu daripada Pejabat Perhutanan Daerah Kota Tinggi dan memaklumkan kepada balai polis yang terdekat bagi mengelak kejadian sebegini berulang.- BERNAMA

  • Kisah Setanggi Ratna Inderapura bakal difilemkan

    Kisah Setanggi Ratna Inderapura bakal difilemkan

    KEMENTERIAN Komunikasi Dan Multimedia (K-KOMM) akan menjadikan kisah Setanggi Ratna Inderapura sebagai filem yang berupaya menembusi pasaran pawagam antarabangsa.

    Timbalan Menteri K-KOMM Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata kisah sejarah Sultanah Alam Shah atau lebih dikenali sebagai Raja Ungu, srikandi Melayu yang terkenal dengan berpencak senjata dan mengetuai angkatan perang dapat dijadikan pengajaran khusus buat generasi muda pada masa ini.

    “Ramai yang perlu tahu mengenai kisah Raja Ungu ini kerana ia sangat bermakna dan cerita ini bukan sahaja menonjolkan tentang sejarah Melayu tetapi elemen seperti syair dan nazam Melayu, harus ditonjolkan kepada generasi muda,” katanya selepas menonton Teater Syair Setanggi Ratna Inderapura di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini hari ini. 

    Menurut Zahidi, beliau akan ke Thailand dalam masa terdekat untuk mengadakan kolaborasi strategik antara produksi filem tempatan bersama produksi filem Thailand bagi tujuan berkenaan. 

    “Minggu depan saya nak ke Thailand kerana kita mahu menggalakkan filem Setanggi Ratna Inderapura ini menembusi pasaran antarabangsa…saya juga akan berusaha mencari produksi-produksi  filem di sana untuk bekerjasama dalam mengeluarkan filem ini,” katanya. – BERNAMA

  • Cabaran sukar untuk Pakatan Harapan, Amanah pada PRU15

    Cabaran sukar untuk Pakatan Harapan, Amanah pada PRU15

    PARTI Amanah dan gabungan Pakatan Harapan (PH) bakal berdepan cabaran amat sukar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disebabkan pelbagai masalah dalaman, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.

    “Masih ada riak-riak dan gejala-gejala yang amat tidak saya senangi. Ketika berdepan PRU15 ini nanti, saya mahu ahli-ahli bersaing secara terbuka dan sihat, dalam rangka ‘Fastabiqul Khairat’ – atau Perlumbaan Yang Baik.

    “Tidak wajar ia menjejas kelancaran dan kemajuan parti dan organisasi terutama dalam persiapan pilihan raya nanti,” katanya semasa merasmikan Konvensyen Amanah Nasional 2022 dengan tema Amanah Untuk Malaysia di Seremban hari ini.

    Pada sidang media selepas itu Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata rundingan agihan kerusi antara parti PH bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka akan diselesaikan hujung bulan ini.

    Semalam, Naib Pengerusi PH Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kira-kira 70 peratus daripada 52 kerusi yang ditandingi Bersatu pada PRU14 telah selesai dirunding antara parti gabungan PH.

    Konvensyen Amanah 2022 yang akan berakhir esok dihadiri oleh lebih 800 perwakilan seluruh negara.

  • Peniaga diingat jangan salah guna logo halal-Idris

    Peniaga diingat jangan salah guna logo halal-Idris

    PENIAGA diingatkan untuk tidak menyalahguna logo halal di produk-produk keluaran mereka sebagai alat untuk melariskan jualan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

    “Soal seperti ini saya harapkan peniaga jangan tipu, kita bukan nak halang orang lain makan tapi yang kita nak jaga ialah keperluan orang Islam itu sendiri.

    “Jangan sampai menggunakan agama seperti ini, menggunakan tanda halal (palsu) semata-mata untuk beri nilai komersil pada produk jualan,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Nadwah Ulama dan Ilmuan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) (NUIM): Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera di Putrajaya, hari ini.

    Idris berkata demikian ketika mengulas mengenai bungkusan produk gula-gula yang menggunakan logo tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), dan kandungan gula-gula berkenaan didapati mengandungi bahan tidak halal.

    Pada 11 Sept lepas Bahagian Hab Halal Jakim dalam hantaran Facebooknya mengesahkan bahawa produk gula-gula itu menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf Jakim.

    Terdahulu Idris dalam ucapan semasa merasmikan persidangan itu berkata aspirasi Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera mengangkat tinggi nilai perpaduan serta membawa satu harapan besar untuk rakyat bersama-sama membantu memulihkan negara dan masyarakat yang terjejas teruk akibat krisis kesihatan awam COVID-19.

  • Mangsa banjir di Batu Pahat menurun pagi ini

    Mangsa banjir di Batu Pahat menurun pagi ini

    JUMLAH mangsa banjir di Batu Pahat menurun kepada 232 orang setakat 8 pagi ini berbanding 236 orang yang direkodkan malam tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan memaklumkan, lokasi terjejas di daerah itu melibatkan Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading, Pekan Seri Gading dan Kampung Seri Tanjung.

    Menurut JPBD, kesemua mangsa terdiri daripada 67 keluarga itu ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gading di Batu Pahat yang dibuka sejak Rabu lepas.

    Banjir di daerah itu berlaku disebabkan pertembungan hujan lebat bermula 1.30 pagi hingga 5.30 pagi, Rabu lepas dan fenomena air pasang.

  • Pemuda Amanah mahu tanding kerusi ‘gred A’ dalam PRU-15

    Pemuda Amanah mahu tanding kerusi ‘gred A’ dalam PRU-15

    PEMUDA Parti Amanah Negara (Amanah) mahu pucuk pimpinan parti mengutamakan kerusi ‘gred A’ atau kerusi ‘boleh menang’ diberikan kepada sayap itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Pemuda Amanah Nasional Mohd Hasbie Muda berkata sayap itu menuntut agar kerusi yang diagih perlulah setanding dengan kerusi yang diberikan kepada rakan politik lain iaitu bersifat boleh menang (winnable).

    “Ada rakan sebut kekecewaan, parti lebih mudah melepaskan kerusi gred A kepada rakan, kepada sayap pemuda sendiri kerusi ‘national service’ sahaja diberikan. Jadi Pemuda nak kerusi yang sama.

    “Ada kepimpinan Pemuda kena ‘tebas lalang’ dulu (kalau nak bertanding), kawan-kawan (rakan politik) terus masuk je, tak payah tebas lalang, ini kita rasa pelik sikit,” katanya ketika menyampaikan pidato pada Konvensyen Pemuda Amanah Nasional sempena Konvensyen Amanah 2022 di sini hari ini.

    Mohd Hasbie Muda

    Dalam pada itu, Mohd Hasbie berkata Pemuda Amanah juga mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), namun menyerahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk membuat keputusan.

     Beliau berkata sayap itu menerima apa sahaja keputusan sama ada penyertaan MUDA ke dalam PH sebagai sebahagian parti komponen atau kerjasama strategik.

    Mohd Hasbie juga mahu seluruh sayap dalam PH terus menggembleng usaha menarik undi golongan muda pada PRU15 nanti dan usaha itu tidak seharusnya dipertanggungjawabkan ke atas sayap Pemuda sahaja.

    Sementara itu, Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar sewaktu ditemui pemberita selepas merasmikan konvensyen itu berkata pucuk pimpinan parti akan menambah kerusi untuk golongan muda parti itu pada PRU15 nanti.

    “Kita juga akan pastikan kerusi yang ‘winnable’ diberikan kepada mereka,” katanya.

    — BERNAMA

  • Bayaran Fasa 3 dan rayuan BKM bermula Selasa ini – PM

    Bayaran Fasa 3 dan rayuan BKM bermula Selasa ini – PM

    PEMBAYARAN Fasa 3 dan rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai Selasa ini secara berperingkat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Menurutnya pembayaran berjumlah RM2.2 bilion ini akan memanfaatkan seramai 8.7 juta penerima terdiri daripada penerima sedia ada kategori isi rumah, warga emas bujang atau tiada pasangan, bujang serta mereka yang telah lulus rayuan.

    Menurutnya keseluruhan pembayaran berkenaan dijangka selesai pada 27 Sept.

    “Kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan seluruh Keluarga Malaysia terutama ketika negara berdepan dengan cabaran kenaikan inflasi dan krisis geopolitik yang memberi kesan menyeluruh terhadap rantaian global. Bantuan Keluarga Malaysia merupakan komitmen berterusan kerajaan bagi meringankan beban golongan B40,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

     Perdana Menteri berkata untuk BKM Fasa 3, setiap penerima sedia ada bakal menerima sehingga RM900, manakala lebih 80,000 penerima yang diluluskan rayuan akan menerima sehingga RM2,350 mengikut kategori kelayakan, termasuk Bantuan Tunai Tambahan yang diumumkan kerajaan, Jun lepas.

    Ismail Sabri berkata sehingga bulan ini, sebanyak RM5.9 bilion disalurkan kepada penerima BKM melalui fasa pembayaran yang telah ditetapkan.

    Menurutnya, masih terdapat bayaran Fasa 4 berjumlah RM2.1 bilion yang akan disalurkan kepada individu yang layak pada Disember ini.

    “Kerajaan kekal komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar dengan aspek jaringan keselamatan sosial akan terus diberi tumpuan di dalam Bajet 2023,” katanya.

    Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai Selasa ini melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

    — BERNAMA

  • Agong, Raja Permaisuri berangkat ke UK beri penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II

    Agong, Raja Permaisuri berangkat ke UK beri penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berangkat ke United Kingdom (UK), London bagi memberi penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II yang mangkat pada Khamis) lepas.

    Lawatan khas Al-Sultan Abdullah bagi memenuhi jemputan rasmi kerajaan UK selama enam hari bermula hari ini, diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pada 10.30 pagi.

    Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar hadir mengucapkan selamat berangkat kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

    Sebelum berangkat, Pegawai Agama Istana Negara Datuk Munir Md Salleh membacakan doa selamat bagi memohon perlindungan serta keselamatan keberangkatan Seri Paduka berdua.

    Seri Paduka berdua berkenan melintasi barisan pasukan Kawalan Kehormat Diraja sebelum menaiki pesawat.

    Dalam rangka lawatan khas itu, Seri Paduka berdua akan menghadiri Majlis Resepsi Bersama Raja Britain Raja Charles III pada Ahad ini dan istiadat pemakaman negara Ratu Elizabeth II pada Isnin di Westminster Abbey.

    Al-Sultan Abdullah turut dijadual mengadakan pertemuan dengan beberapa ketua negara asing semasa berada di UK.

    Menurut laporan media, jasad Ratu Elizabeth II, Raja Britain paling lama menduduki takhta yang mangkat pada usia 96 tahun, kini berada di London dan ditempatkan Westminster Hall sehingga istiadat pemakaman negara diadakan.

    Baginda ialah raja kedua paling lama menduduki takhta dalam sejarah Eropah selepas Raja Perancis Louis XIV.

    Ratu Elizabeth II semasa pemerintahannya pernah melawat Malaysia sebanyak tiga kali iaitu pada 1972 bagi lawatan khas, 1989 sempena mesyuarat Ketua Negara Komanwel ke-11 dan 1998 sempena Sukan Komanwel ke-16.

    Seri Paduka berdua pula pernah mengadakan kunjungan hormat serta memenuhi undangan majlis santapan tengah hari bersama Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham pada 13 Dis 2019 ketika lawatan khas ke England.

    Al-Sultan Abdullah menjalin persahabatan dengan Raja Charles III sejak lebih empat dekad dan pernah bersukan polo berkuda bersama-sama ketika zaman remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.

    Malaysia dan UK mempunyai hubungan dua hala yang rapat sejak kemerdekaan Malaysia 65 tahun lepas.

    Al-Sultan Abdullah sebelum ini berkenan supaya bendera negeri Pahang dikibarkan secara separuh tiang selama tiga hari berturut-turut bermula Sabtu lepas (10 Sept) bagi menzahirkan penghormatan atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

    Berikutan lawatan khas itu, lawatan negara Seri Paduka berdua ke Singapura yang dijadualkan pada Isnin ini (19 Sept) ditangguhkan.

    — BERNAMA

  • 11 mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja tiba di KLIA2 malam tadi

    11 mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja tiba di KLIA2 malam tadi

    SERAMAI 11 orang lagi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan warganegara Malaysia di Kemboja selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada pukul 11.55 malam tadi.

    Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan setakat semalam, seramai 123 daripada 153 orang mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja telah berjaya diselamatkan.

    “Kementerian merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Kemboja melalui pihak berkuasa negara itu atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam mengesan serta menyelamatkan mangsa.

    “Kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh akan terus komited dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Kemboja untuk mengesan serta menyelamatkan mangsa bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu, individu atau waris kepada warganegara Malaysia yang terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara boleh berhubung secara terus dengan Kementerian Luar melalui Unit Bantuan Konsular Rakyat Malaysia di Luar Negara menerusi e-mel [email protected].

    “Selain itu, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh juga boleh dihubungi melalui e-mel [email protected] sekiranya terdapat individu atau waris yang terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja,” menurut Kementerian Luar.

    — BERNAMA