Author: Bernama

  • Isteri juruterbang helikopter terhempas tuntut mayat di HRPB

    Isteri juruterbang helikopter terhempas tuntut mayat di HRPB

    ISTERI kepada juruterbang yang maut dalam nahas helikopter terhempas di Hutan Simpan Chikus, Bidor baru-baru ini, telah menuntut mayat mendiang di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh hari ini.

    Isteri mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard tiba kira-kira 10.40 pagi dengan ditemani seorang wanita, manakala mayat mendiang dibawa keluar dari jabatan forensik tersebut pada 11.15 pagi.

    Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Leung berkata pihaknya akan mengadakan pembakaran mayat Tsz Kin Richard Chan di Ipoh dan abu mayat mendiang akan dibawa pulang ke Hong Kong sebelum disemadikan mengikut upacara keagamaan.

    Leung yang bertutur dalam Bahasa Kantonis bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut lokasi pembakaran mayat.

    Dalam kejadian 11 Sept lepas, juruterbang warganegara Hong Kong berusia 58 tahun itu maut apabila helikopter yang dipandunya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh, terhempas di hutan tersebut.

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter EC120B milik syarikat swasta itu gagal dihubungi selepas berlepas dari Subang dan terputus hubungan radio dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada 12.16 tengah hari.

  • Kontraktor didakwa buat komunikasi jelik terhadap penjawat awam

    Kontraktor didakwa buat komunikasi jelik terhadap penjawat awam

    SEORANG hari kontraktor pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap penjawat awam, Februari lepas.

    Wong Hon Mun, 40, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.

    Tertuduh yang masih bujang didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu teks berserta video berdurasi kurang seminit yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui akaun Twitter miliknya, ‘@mevius_m_’ pada 5.54 petang, 28 Februari 2022.

    Hantaran itu kemudian dilihat di Aras 8, Menara MCMC 1, Jalan Impact, Cyber 6, 63000 Cyberjaya pada kira-kira 2.30 petang pada 1 Mac lepas.

    Kandungan video berserta teks yang mengandungi kata kesat itu antara lain menyebut ‘Doakan kepada tuhan semua anggota polis mati dalam kemalangan jalan raya, semua penjawat awam isteri sedang tunggu bersalin anak semua mati dalam hospital’.

    Hon Mun didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Nazrul Nizam Mohd Zameri mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun Hon Mun yang tidak diwakili peguam memohon agar wang jaminan dikurangkan kerana hanya menerima gaji sekitar RM2,000 sebulan selain tidak bekerja ketika ini.

    Mahkamah membenarkan OKS diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

  • Deretan rumah kedai di Kampung Cina K.Terengganu terbakar

    Deretan rumah kedai di Kampung Cina K.Terengganu terbakar

    DERETAN 12 buah rumah kedai termasuk sebuah kedai emas di Jalan Kampung Cina di Kuala Terengganu, musnah dalam kebakaran malam ini.

    Pemilik Kedai Emas Seri Cahaya Mohd Ridzuan Mohd Yasin, 39, berkata dia mengetahui mengenai kejadian itu pada 8.15 malam setelah dimaklumkan oleh rakannya.

    “Saya tutup kedai 5 petang tadi dan pulang ke rumah di Hiliran (di sini)… Selepas tahu kedai terbakar saya bergegas ke kedai tapi masa sampai api dah marak dan bomba tak benarkan saya masuk.

    “Saya tak sempat nak selamatkan apa-apa dan tak tahu setakat mana tahap kerosakan barang kemas yang ada dalam kedai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di Kuala Terengganu.

    Katanya, kedai milik keluarganya itu telah beroperasi sejak 25 tahun lepas dan terdapat peti besi untuk menyimpan stok barangan kemas selain beberapa mesin dan peralatan pertukangan emas.

    Menurut Mohd Ridzuan, dia dimaklumkan kebakaran bermula dari sebuah kedai kain, menyebabkan api marak dengan cepat ke kedai bersebelahan.

    Dalam kejadian itu juga, difahamkan empat keluarga yang menginap di deretan rumah kedai berkenaan tinggal sehelai sepinggang.

    Seorang daripada ahli keluarga mangsa, Cham Lau Wee, 53, berkata dia yang sedang makan di medan selera berhampiran, bergegas ke tempat kejadian setelah diberitahu mengenai kebakaran itu.

    “Ada empat orang keluarga tinggal di rumah keluarga (pusaka) kami ini, tapi semua tak ada di rumah masa kejadian. Abang dan kakak ipar pergi Melaka, dua lagi kakak keluar bersenam, saya tinggal di rumah berasingan di Jalan Sultan Sulaiman.

    “Saya tak sempat selamatkan apa-apa termasuk tiga motosikal dalam rumah sebab masa sampai api dah besar,” katanya yang memberitahu bahawa rumah berstruktur papan berkenaan sudah didiami keluarganya lebih 60 tahun.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohd Khairiri Mat Rasad @ Arshad berkata pihaknya menerima panggilan pada 8.42 malam namun pasukannya telah berada di tempat kejadian lebih awal.

    Katanya, oleh kerana jarak balai bomba dari tempat kejadian hanya 800 meter dan pihaknya telah mengetahui tentang kebakaran itu daripada orang awam yang datang terus ke balai.

    “Lima buah rumah kedai musnah 100 peratus, manakala selebihnya ada yang musnah 90, 50 dan ada yang hanya 30 peratus,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

    Beliau berkata 60 anggota dan pegawai bomba terlibat dalam operasi dengan empat jentera, dua lori tangki serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    “Api berjaya dikawal dalam 45 minit manakala punca kebakaran masih dalam siasatan. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

  • Dua lelaki berpakaian taktikal anime ditahan polis

    Dua lelaki berpakaian taktikal anime ditahan polis

    DUA lelaki lengkap berpakaian taktikal Let’s Anime Cosplay ditahan kerana disyaki memiliki senjata api dan bom tangan tiruan di sebuah pusat beli-belah, Damansara Jaya, di sini, semalam.

    Kedua-dua suspek warga tempatan masing-masing berumur 15 dan 24 tahun itu ditahan pada 4.30 petang selepas polis menerima laporan mengenai mereka.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pemeriksaan dilakukan ke atas suspek, polis menemukan satu laras senjata jenis M4, sepucuk pistol jenis Glock dan dua butir bom tangan yang kesemuanya tiruan.

    Beliau berkata kedua-dua suspek tidak memiliki sebarang rekod kesalahan lampau.

    “Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

    “Kedua-dua mereka direman selama tiga hari mulai hari ini sehingga Selasa ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Ku Mashariman menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau memiliki senjata tiruan dengan sengaja kerana ia menyalahi undang-undang dan tindakan boleh diambil di bawah Akta Senjata 1960.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang di sekitar daerah Petaling Jaya boleh menghubungi Hotline Polis Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.- BERNAMA

  • Lelaki Singapura hilang ditemukan selamat

    Lelaki Singapura hilang ditemukan selamat

    LELAKI warga Singapura yang dilaporkan hilang ketika mendaki bersama rakannya di Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi, semalam, ditemukan selamat petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata Jason Ren Jie berusia 30-an ditemukan selamat oleh orang awam setelah mangsa berjaya keluar sendiri dari hutan kira-kira 2.20 petang.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan telefon dari orang awam pada 2.22 petang memaklumkan telah menemui seorang lelaki di Kilometer 52, Jalan Kota Tinggi – Mersing berhampiran Kubu Jepun (Batu 15). 

    “Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan Response Team telah digerakkan ke lokasi penemuan dan mangsa dalam keadaan selamat dengan hanya mengalami luka-luka kecil. Dia dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Operasi mencari dan memyelamat mangsa yang masuk hari kedua di Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi, dimulakan 10 pagi tadi, melibatkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Perhutanan Wilayah Johor Selatan (Kota Tinggi) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Kota Tinggi.

    Sementara itu, Hussin berkata mangsa dan rakannya akan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan lanjut memandangkan mereka tidak mendapatkan kebenaran dan permohonan permit bagi memasuki Kawasan Hutan Simpanan Kekal.

    Beliau menasihati orang ramai yang berhasrat untuk melakukan aktiviti pendakian terutama di kawasan Hutan Simpan agar mendapatkan permit kebenaran terlebih dahulu dari Pejabat Perhutanan Daerah Kota Tinggi, mendapatkan khidmat malim gunung dan memaklumkan pergerakan masuk serta keluar kepada Balai Polis yang terdekat bagi mengelak kejadian sebegini berulang lagi.

    Dalam kejadian semalam, lelaki berkenaan dilaporkan hilang kira-kira 1 tengah hari selepas mendaki bersama rakan lelakinya yang juga warga tempatan.- BERNAMA

  • Pusat hiburan tanpa lesen diserbu, 16 GRO warga asing ditahan

    Pusat hiburan tanpa lesen diserbu, 16 GRO warga asing ditahan

    POLIS menyerbu sebuah pusat hiburan tidak berlesen di Jalan Metro Perdana Barat, Taman Usahawan Kepong dekat sini semalam dan menahan 16 warga asing dipercayai bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO).

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata serbuan pada 10.50 malam itu dijalankan oleh sepasukan pegawai serta anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan. 

    “Pusat hiburan berkenaan didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen dan pasukan kita telah menahan 16 wanita warga asing itu serta seorang lelaki berusia 21 tahun yang merupakan penjaga premis berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata turut diperiksa 50 pelanggan berusia di 23 hingga 57 tahun yang berada di pusat berkenaan dan mereka telah dibebaskan tanpa syarat manakala peralatan audio yang digunakan untuk tujuan hiburan antara yang dirampas.

    Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana menjalankan aktivi pusat hiburan tanpa lesen perniagaan yang sah, Seksyen 55B Akta Imigresen kerana mengajikan warga asing tanpa permit yang sah, Seksyen 6(1) (c) AKta Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen kerana kesalahan menyalahgunakan pas lawatan.- BERNAMA 

  • Bot karam: Nelayan hilang ditemukan lemas

    Bot karam: Nelayan hilang ditemukan lemas

    SEORANG nelayan tempatan yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya karam di perairan Bagan Lipas dekat Lumut semalam ditemukan lemas. 

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak Kapten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata mayat lelaki itu ditemukan terapung pada kira-kira pukul 11.30 pagi oleh nelayan setempat. 

    “Kita telah terima laporan insiden bot karam pagi semalam pada kedudukan 1.9 batu nautika timur laut perairan Bagan Lipas dan telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat). 

    “Operasi yang bersambung hari ini berjaya menemukan mangsa dan Op Carilamat telah ditamatkan 12.40 tengah hari tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

    Beliau berkata mangsa berusia 56 tahun dan berasal dari Kuantan, Pahang bekerja sebagai nelayan sebuah syarikat perikanan dekat Hutan Melintang.

    Katanya dalam kejadian pada kira-kira 3 pagi itu, bot nelayan dinaiki tiga lelaki dimasuki air dan ketiga-tiga mereka terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri. 

    Dua daripada mereka yang merupakan warga Indonesia sempat mencapai tong air untuk terapung manakala mangsa gagal menyelamatkan diri dan dihanyutkan arus deras.

    Susulan itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan Op Carilamat dan Bot Petir 83 daripada MN Selangor telah diatur gerak ke lokasi bagi melaksanakan penugasan operasi. 

    Beliau berkata Op Carilamat turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, Balai Polis Rungkup dan Komander Operasi Komponen Maritim (MCOC).

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri dalam kenyataan berkata bot terbabit dikatakan berlabuh di muara Bagan Lipas bagi tujuan rehat sebelum kembali ke pelantar di Hutan Melintang.

    “Mereka keluar menangkap ikan pada 13 Sept lepas di lima batu nautika dari kawasan pelantar dan bot mereka tenggelam sekitar pukul 3 pagi. 

    “Operasi menyelamat telah dilakukan pada hari sama pada 12 tengah hari namun terpaksa memberhentikan operasi pada 7 malam akibat cuaca gelap sebelum disambung hari ini,” katanya. 

    Beliau berkata mayat mangsa ditemukan tersangkut pada tiang sebuah kelong di Muara Sungai Bagan Lipas dan mayat telah dikenal pasti oleh waris mangsa sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.- BERNAMA

  • Ahli Parlimen, ADUN Amanah langgar keputusan parti gugur keahlian secara automatik

    Ahli Parlimen, ADUN Amanah langgar keputusan parti gugur keahlian secara automatik

    AMANAH hari ini meluluskan usul meminda perlembagaannya agar mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan (ADUN) parti itu yang melanggar keputusan parti atau whip, tergugur keahliannya dari parti secara automatik.

    Usul itu disokong dan dibahas oleh dua perwakilan dan dilulus majoriti perwakilan.

    Naib Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi ketika mencadangkan berkata pIndaan itu berkata ia boleh dipinda dengan memasukkan fasal baharu iaitu Fasal 6.3 dalam perlembagaan Amanah.

    “… mereka (ahli yang melanggar keputusan parti) juga telah sebagai bertindak melepaskan keanggotaan daripada parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 49A(1)(a)(i) Perlembagaan Persekutuan dan juga dianggap sebagai tidak lagi menjadi anggota parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika mencadangkan usul itu pada Konvensyen Amanah Nasional 2022 di sini hari ini.

    Ia adalah antara empat usul yang diterima untuk dibahas pada konvensyen kali ini, selain usul kenaikan harga barang asas, hak warganegara Malaysia mewariskan kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara, serta pindaan retorik perjuangan Melayu Islam dan gagasan Melayu Islam bermaruah.

    Ahmad Zamri berkata usul itu sebagai menyelaras Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti, yang diluluskan Dewan Rakyat pada Julai lalu.

    “Semasa sesi penggulungan oleh YB Menteri (Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar) pada 28/7/2022, telah memberikan penjelasan kepada soalan YB Seremban (Loke Siew Fook) bahawa jika ada mana-mana ahli parti yang juga Ahli Parlimen yang melanggar keputusan parti, ingkar arahan Whip, maka keanggotaannya sebagai Ahli Parlimen tidak akan terjejas melainkan jika ada peruntukan dalam perlembagaan parti itu yang menyatakan bahawa dia akan tergugur keahliannya jika berbuat demikian.

    “Maknanya Ahli Parlimen itu boleh menyokong apa-apa usul atau tindakan sama ada di pihak Kerajaan atau di pihak Pembangkang, dan tindakannya itu tidak akan menjatuhkan keahliannya melainkan dia melompat atau menyertai parti itu.

    “Oleh yang demikian, pindaan Perlembagaan Parti Amanah Negara perlu dibuat bagi memberi takrifan yang jelas kepada perkara itu dan bagi tujuan penyelarasan dengan pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

    Pengarah Komunikasi Amanah Abdul Khalid Samad ketika bangun menjelaskan mengenai usul itu berkata parti perlu menambah atau meminta perlembagaan sedia ada supaya jika ada Ahli Parlimen atau ADUN yang melanggar keputusan parti, mereka boleh dianggap mengeluarkan dirinya dari parti dan boleh dianggap melompat parti.

    Selain itu konvensyen kali ini juga menerima 14 lagi usul tanpa dibahas termasuk usul gabungan pembangkang menghadapi PRU ke-15 dengan menyokong usaha pimpinan Amanah dan Pakatan Harapan (PH) menggabungkan pembangkang yang bersetuju dengan dasar PH dalam ‘khemah besar’.

    Selain itu turut diterima usul pemakaian logo PH bagi PRU15 memandangkan logo PH tidak pernah teruji pada PRU selepas gabungan itu didaftarkan secara rasmi dan disahkan selepas PRU14.- BERNAMA

  • Tiga maut, dua pesawat kecil bertembung di udara

    Tiga maut, dua pesawat kecil bertembung di udara

    TIGA orang terbunuh apabila dua pesawat kecil bertembung di udara pada Sabtu di negeri Colorado Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa.

    Menurut Pejabat Syerif daerah Boulder, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada 8.54 pagi waktu tempatan (1454 GMT).

    Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS dalam hantaran Twitter mengesahkan ia sedang menyiasat pelanggaran di udara antara pesawat Cessna 172 dan pesawat Sonex Xenos berhampiran Longmont, Colorado, lapor Xinhua.

    Pasukan bantuan menemukan dua lokasi kemalangan yang berasingan, kata Pejabat Syerif dalam satu kenyataan berita.

    “Pesawat pertama yang terhempas ditemukan di blok 10,000 Niwot Rd di sebelah selatan. Dua orang yang berada di dalam pesawat itu terbunuh di tempat kejadian,” kata pejabat sheriff.

    “Pesawat kedua ditemukan di blok 9,700 Niwot Rd di sebelah utara,” dan seorang penumpang di dalamnya juga maut sebelum pasukan bantuan tiba di tempat kejadian, kata pejabat sheriff.

    Pegawai berkata punca nahas masih dalam siasatan.- BERNAMA

  • Wanita berpakaian ihram seperti lelaki di Mekah diminta tampil

    Wanita berpakaian ihram seperti lelaki di Mekah diminta tampil

    WANITA yang tular di media sosial kerana berpakaian ihram seperti lelaki di Mekah diminta tampil bagi membantu siasatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad. 

    “Patutnya dia perlu berani tampil ke hadapan sebab dia berani tunjuk gambar berada di sana (Mekah) dengan berpakaian ihram seolah-olah ingin menimbulkan provokasi, mengapa perlu takut,” katanya kepada pemberita selepas Program Berjalan Teguh Bersama di Dataran Tarbiah di sini hari ini.

    Pada 1 Sept lepas, Idris dilaporkan berkata individu tersebut telah pulang dari Tanah Suci namun masih belum mendapatkan maklumat bagi mengesannya.

    Menerusi video yang tular pada 12 Ogos, wanita berkenaan berada di Mekah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki dan difahamkan menggunakan visa pelancong dan bukan menerusi khidmat agensi.

    Terdahulu, program hari ini yang bertujuan merapatkan ukhuwah rakyat di kawasan Parlimen Bukit Gantang dihadiri ribuan peserta dari pelbagai lapisan umur.

    “Walaupun dengan keadaan cuaca yang kurang baik, kita berjaya menghabiskan perjalanan sepanjang 2.5 kilometer dari Dataran Tarbiah hingga ke Arena Futsal Bukit Gantang,” tambahnya.- BERNAMA