Author: Bernama

  • Dua beradik direman 3 hari disyaki buat bayaran palsu RM23 juta

    Dua beradik direman 3 hari disyaki buat bayaran palsu RM23 juta

    DUA beradik direman tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit kes membuat pembayaran palsu bernilai lebih RM23 juta bagi projek pembinaan pangsapuri.

    Majistret Mahkamah Putrajaya Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman bermula hari ini sehingga Jumaat, selepas kedua-dua lelaki berusia 60-an itu ditahan pada 7 malam kelmarin ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.

    Menurut sumber SPRM, kedua-dua suspek adalah bekas pengarah urusan di sebuah syarikat pembangunan, kejuruteraan dan pembinaan.

    “Suspek disyaki membuat pembayaran palsu kepada perunding, subkontraktor dan pihak-pihak ketiga dengan menggunakan kemudahan perbankan overdraf sebuah bank tempatan bernilai lebih RM23 juta.

    “Mereka melakukan kegiatan berkenaan antara tahun 2017 hingga 2019 bagi projek pembinaan pangsapuri di Kuala Lumpur bernilai lebih RM350 juta sedangkan projek tersebut tidak dijalankan,” kata sumber itu.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – BERNAMA

  • Kerajaan setuju pengambilan 10,000 pekerja asing Sri Lanka

    Kerajaan setuju pengambilan 10,000 pekerja asing Sri Lanka

    JEMAAH Menteri bersetuju bagi pengambilan 10,000 pekerja asing dari Sri Lanka dengan mengambil kira keadaan negara tersebut yang dilanda krisis ekonomi ketika ini. 

    Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata kerajaan Sri Lanka telah mengemukakan permohonan rasmi untuk membekalkan tenaga kerja dan memohon kuota sebanyak 10,000 pekerja.

    Beliau berkata Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Sept lepas bersetuju bagi pengambilan pekerja tersebut dan ia merupakan antara usaha kerajaan untuk membantu negara Sri Lanka yang sedang berdepan krisis ekonomi terburuk di negara itu.

    “Saya menggesa pihak industri dan majikan untuk memberi sokongan kepada niat murni kerajaan ini dengan menggajikan pekerja asing dari Sri Lanka bagi mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor yang dibenarkan untuk pengambilan pekerja asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Saravanan, majikan yang telah diberi kelulusan kuota dan telah menyelesaikan bayaran levi boleh merebut peluang tersebut. 

    Beliau berkata sehingga 14 Sept lepas, bayaran levi telah dibuat bagi 416,634 permohonan pekerja asing. 

    Saravanan berkata majikan yang berminat untuk mengambil pekerja asing boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran KSM ([email protected]) atau Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia ([email protected]) untuk maklumat lanjut. – BERNAMA

  • Kes rasuah: 59 kakitangan universiti awam, swasta ditahan SPRM

    Kes rasuah: 59 kakitangan universiti awam, swasta ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 59 kakitangan universiti awam dan swasta dengan 49 daripadanya didakwa di Mahkamah antara 2017 dan Ogos tahun ini, atas kesalahan rasuah.

    Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata kes itu melibatkan sejumlah RM1,323,203.68 wang haram iaitu RM1,311,403.68 daripada universiti awam dan RM11,800 universiti swasta.

    Beliau berkata antara kes itu melibatkan seorang pengarah universiti awam yang ditahan baru-baru ini, didakwa menerima sebuah kereta sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat mendapatkan tender bernilai RM1.6 juta dan seorang profesor universiti yang turut ditahan berhubung dakwaan tuntutan palsu melibatkan dana penyelidikan RM66,000.

    “Insiden rasuah seperti sogokan, penyalahgunaan kuasa, tuntutan palsu dan lain-lain kesalahan kewangan berlaku di universiti awam dan swasta kita,” katanya dalam ucaptama pada majlis pelancaran Rangka Kerja Pencegahan Rasuah di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Gombak di sini, hari ini.

    Beliau berkata segala bentuk amalan rasuah seperti penyalahgunaan kuasa dan penipuan akreditasi dalam pendidikan tinggi memberi implikasi besar terhadap reputasi institusi dan mengurangkan nilai teras yang cuba diajar kepada penuntut iaitu kejujuran.

    Mengenai UIAM, Norazlan berkata ia dinilai sebagai agensi berisiko sederhana pada 2020 tetapi ia tidak bermakna universiti awam itu bebas daripada sebarang amalan rasuah.

    “Sejak 2017 hingga Ogos 2022, kami hanya mempunyai dua kes terhadap kakitangan UIAM. Berdasarkan rekod, saya percaya UIAM telah dikendalikan dengan rejim tadbir urus yang agak ketat dan tidak hairanlah jika ia bertujuan untuk memastikan sifar rasuah dengan pengenalan Rangka Kerja Pencegahan Rasuah bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

    Rangka Kerja tersebut menggariskan prinsip dan tatacara universiti terhadap amalan rasuah dalam menjalankan perniagaannya bagi memastikan ahli lembaga pengarah, pihak berkuasa universiti dan semua kakitangan menjunjung nilai-nilai murni dan integriti ke arah mencapai visi dan misinya.- BERNAMA

  • Mesut Ozil tidak pernah berada dalam ‘radar’ JDT – TMJ

    Mesut Ozil tidak pernah berada dalam ‘radar’ JDT – TMJ

    BEKAS pemain Arsenal Mesut Ozil tidak pernah berada dalam perancangan Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk diambil sebagai pemain baharu.

    Pemilik Kelab JDT Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah demikian sekali gus menepis desas-desus yang mengatakan bintang kelahiran Jerman itu bakal menyertai kelabnya.

    Baginda bagaimanapun memberi bayangan bahawa tidak mempunyai masalah untuk mempertimbangkan pemain kelab Sepanyol Sevilla iaitu Papu Gomez sekiranya mampu memberikan komitmen untuk bermain di JDT.

    “Saya tidak tahu mana cerita Mesut Ozil ini datang, tetapi jikalau Papu Gomez..kalau dia boleh memberi saya komitmen dan harga munasabah, insya-Allah. Tetapi Mesut Ozil tidak pernah ada dalam perancangan saya.

    “Kalau dia (Ozil) bagus kenapa tidak ada satu pun kelab ambil dia, mungkin ada masalah peribadi, kita tidak tahu, mungkin dari segi sikap…saya tidak mahu memburukkan sesiapa kerana saya tidak kenal dia. 

    “Tetapi, itu antara faktor kami harus ambil dan buat penilaian, tidak kami terima setakat hendak nama besar sahaja dalam JDT, saya hendak keputusan, kejayaan dan bukan jadi populis,” titah baginda dalam Sesi Soal Jawab Bersama Penyokong di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

    Baginda pada masa sama bertitah tidak mahu JDT dijadikan sebagai kelab persaraan untuk mana-mana pemain dunia dan menjelaskan hanya pemain yang mampu memberikan komitmen dan sanggup berjuang bermati-matian untuk pasukan berada di kelab itu.

    “Saya rasa, saya tidak akan bayar pemain yang tidak akan lari tiga meter dalam padang. Di Johor tidak ada superstar, yang ada, pemain yang memberi komitmen dan sanggup bermati-matian antara satu sama lain, komited untuk menyerang dan bertahan sebagai satu unit,” titah baginda.

    Baginda juga bertitah penyertaan JDT III dalam pertandingan bola sepak kompetitif seperti Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 pada masa sama mampu memberikan pendedahan kepada pemain sekali gus memperbaiki prestasi pemain.

    Perjuangan JDT III  pada Sukma ke-20 berakhir di peringkat suku akhir setelah tewas 4-5 menerusi sepakan penalti ketika berdepan Wilayah Persekutuan setelah terikat 1-1 dalam 90 minit perlawanan.

    Sementara itu, Tunku Ismail turut menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet Johor atas kejayaan mendahului tangga teratas carta kutipan pingat Sukma ke-20.

    Setakat semalam, Johor mendahului kutipan pingat pada temasya sukan dwitahunan itu dengan 50 pingat emas, 31 perak dan 21 gangsa diikuti Terengganu 26 emas, 26 perak dan 24 gangsa.- BERNAMA

  • Sembilan maut depoh kontena runtuh

    Sembilan maut depoh kontena runtuh

    SEKURANG-kurangnya sembilan orang terbunuh dan seramai 28 yang lain cedera pada Selasa apabila sebahagian daripada depoh kontena runtuh di Sao Polo, Brazil.

    Menurut Bomba, kejadian berlaku di bandar Itapecerica da Serra, di depot milik Multiteiner, sebuah syarikat yang menjual dan memajak kontena kepada perniagaan yang mengeksport barangan.

    Kira-kira 64 pekerja berkumpul di depoh itu apabila platform runtuh, menurut jurucakap bomba Luciana Soares, sambil menambah bahawa pekerja penyelamat sedang berusaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan, lapor Xinhua.

    Kejadian berlaku ketika dua calon untuk kerusi timbalan, Jones Donizette dan Ely Santos, melawat kemudahan itu dalam satu kempen menjelang pilihan raya 2 Oktober.

    “Ketika mereka mengucapkan selamat tinggal kepada pekerja, sebahagian daripada struktur konkrit pecah dan mereka terperangkap dalam runtuhan itu,” kata pasukan media calon-calon itu di media sosial.

    — BERNAMA

  • KPDNHEP bendung jual minyak masak dalam talian, kerjasama platform e-dagang

    KPDNHEP bendung jual minyak masak dalam talian, kerjasama platform e-dagang

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bekerjasama dengan beberapa penyedia platform e-dagang tempatan dalam usaha membendung aktiviti penjualan minyak masak secara dalam talian.

    Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata hasil kerjasama dengan penyedia platform seperti Shopee, Lazada dan Mudah.my, sebanyak 121 iklan penjualan minyak masak secara dalam talian telah dinyahturun sejak awal tahun ini hingga Isnin lepas. 

    Selain itu, beliau berkata bagi tempoh sama, 55 pemeriksaan dilakukan KPDNHEP di seluruh negara berhubung aktiviti penjualan minyak masak secara dalam talian.

    Menurutnya, tiga tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 diambil ke atas pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan kesalahan berkaitan penjualan minyak masak secara dalam talian melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,564.90.

    “Antara kesalahan yang dikesan ialah berurus niaga secara borong dan runcit barang kawalan berjadual iaitu minyak masak tanpa lesen yang sah dan menyimpan minyak masak di tempat yang tidak dilesenkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Azman turut meminta masyarakat untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan berjadual.- BERNAMA

  • Perdana Menteri ketuai delegasi Malaysia ke UNGA ke-77

    Perdana Menteri ketuai delegasi Malaysia ke UNGA ke-77

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di sini.

    Beliau akan menyertai pemimpin dunia dari lebih 150 negara yang mula tiba di bandar itu pada Selasa, selepas pandemik COVID-19 membuatkan mereka terpaksa berucap pada perhimpunan tahunan itu secara maya sejak dua tahun lepas.

    Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata tema sesi ke-77 itu, ‘Detik Peralihan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait’, adalah tepat pada masanya dan membolehkan negara anggota memanfaatkan platform pelbagai hala itu untuk menangani isu yang dihadapi dunia.

    “Perhimpunan ini sentiasa memberi penekanan terhadap komitmen kolektif yang dibuat pemimpin dunia untuk menangani cabaran pandemik COVID-19, konflik Rusia-Ukraine dan perubahan iklim,” katanya kepada media Malaysia di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini pada Selasa.

    Saifuddin berkata sesi ini akan menjadi penampilan kedua perdana menteri di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selepas menghadiri secara maya Sesi ke-76 tahun lepas berikutan pandemik COVID-19.

    Antara pemimpin yang berucap di UNGA pada Selasa ialah Presiden Brazil Jair Bolsonaro, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Presiden Perancis Emmanuel Macron, manakala Presiden Amerika Syarikat Joe Biden akan berucap pada Rabu.

    Menurut Saifuddin, Perdana Menteri yang dijadualkan tiba di sini pada Khamis untuk lawatan tiga hari, akan menyampaikan Kenyataan Negara semasa sesi Debat Umum pada Jumaat dalam bahasa Melayu, iaitu inisiatif beliau sendiri untuk mempromosikan bahasa Melayu di pentas antarabangsa seperti PBB.

    Saifuddin berkata Ismail Sabri dijangka berkongsi dalam ucapannya, beberapa pengalaman Malaysia dalam menangani pandemik dan cabaran global, serta mengetengahkan beberapa penyelesaian kepada konflik global seperti situasi di Ukraine, Palestin dan Myanmar.

    “Perdana Menteri juga akan menggariskan kepentingan konsep kewujudan bersama secara aman dalam menyelesaikan pertikaian secara aman bagi mewujudkan sebuah keluarga negara,” katanya.

    Pada acara luar UNGA, Perdana Menteri dijadualkan bertemu Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Jumaat dan kedua-dua pemimpin akan menyaksikan majlis menandatangani empat memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dengan Palestin, iaitu mengenai Penubuhan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama, Kerjasama dalam Bidang Kesihatan, Pelancongan dan Hal Ehwal Islam.

    Beliau juga akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif pada Khamis dan rakan sejawatannya dari Belanda Mark Ruttel pada Jumaat.

    Saifuddin berkata buat kali pertama, delegasi rasmi Malaysia ke UNGA turut terdiri daripada dua wakil belia sebagai sebahagian daripada langkah PBB untuk memperkasa belia.

    Perdana Menteri juga akan menjadi hos majlis makan malam ‘Keluarga Malaysia’ untuk diaspora Malaysia di New York.- BERNAMA

  • Bakal haji tidak boleh terus bergantung pada bantuan kewangan

    Bakal haji tidak boleh terus bergantung pada bantuan kewangan

    SEJURUS berakhirnya musim haji tahun ini, isu kemungkinan akan berlaku lagi peningkatan bayaran mengerjakan ibadah itu untuk jemaah muassasah di negara ini kembali dibicarakan.  

    Kemungkinan berlaku peningkatan bayaran itu dibayangkan oleh Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Azman Mokhtar pada bulan lepas, apabila beliau menyatakan Tabung Haji dijangka membincangkan tentang isu kenaikan kos musim depan dengan kerajaan.

    Bagi mereka yang terlibat dalam pengurusan haji, peningkatan bayaran untuk musim haji 1444 Hijrah/2023 Masihi, jika berlaku, dianggap wajar kerana kos mengerjakan ibadah itu sebenarnya meningkat saban tahun atas beberapa faktor termasuk inflasi, pergerakan nilai tukaran mata wang, pengenalan caj dan cukai baharu oleh kerajaan Arab Saudi  selain pembangunan di Makkah dan Madinah. 

    Meskipun begitu, kata mereka, kenaikan kos tersebut tidak begitu dirasai oleh jemaah haji muassasah negara ini lantaran langkah Tabung Haji yang melaksanakan bantuan kewangan.

    TIDAK DAPAT DIELAK

    Berkongsi pandangan mengenai perkara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd Datuk Md Daud Che Ngah berkata peningkatan kos haji adalah perkara yang perlu diterima oleh bakal jemaah kerana ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

    Menurutnya, kenaikan itu adalah fenomena yang sudah dijangka, khususnya pascapandemik COVID-19.

    “Memang dijangka kos haji meningkat setiap tahun atas beberapa faktor termasuk penginapan jemaah, pengangkutan dan pergerakan para jemaah haji serta lain-lain perkara yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi di saat kita masih berhadapan dengan pandemik COVID-19 ini.

    “Umat Islam yang berhasrat untuk menunaikan haji perlu bersedia dengan kenaikan kos itu, dan mereka (bakal haji) tidak boleh bergantung pada subsidi atau bantuan kewangan semata-mata untuk menunaikan ibadat tersebut,” katanya kepada Bernama.

    Ini juga seiring dengan pendekatan maqasid syariah (matlamat dalam setiap hukum syarak) yang mana antara kewajipan menunaikan fardu haji adalah bagi mereka yang berkemampuan termasuk dari sudut kewangan.

    Justeru, sekiranya bakal jemaah haji memahami konsep berkemampuan mengikut lunas Islam, pasti secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan beban kos subsidi yang ditanggung oleh Tabung Haji.

    “Istilah kemampuan ini juga boleh dipecahkan kepada aspek-aspek berikut, iaitu bakal haji berkemampuan membayar kos tunai haji, ada bekalan nafkah untuk waris yang ditinggalkan, ada pengangkutan, aman perjalanan (tiada kekacauan), sihat tubuh badan dan mempunyai masa dan kebenaran (untuk menunaikan haji).

    “Sudah tiba masanya Tabung Haji tidak dibebankan dengan jumlah subsidi haji yang tinggi dan bakal haji perlu bersedia untuk membayar lebih serta tidak boleh lagi bergantung pada bantuan Tabung Haji semata-mata,” katanya.

    Tabung Haji dianggar membelanjakan hampir RM200 juta untuk musim haji tahun ini bagi menampung sebahagian daripada kos sebenar mengerjakan ibadah tersebut.

    TELITI DALAM PEMBERIAN SUBSIDI

    Katanya, sebagai ‘orang lama’ dalam bidang pengurusan haji, beliau berpandangan pemberian bantuan kewangan haji tersebut perlu diteliti semula termasuk hanya diberikan kepada bakal haji yang benar-benar layak.  

    Ini kerana bantuan kewangan yang diberikan secara langsung oleh Tabung Haji pada masa ini tidak hanya dimanfaatkan oleh golongan sasaran tetapi turut dinikmati oleh mereka yang berpendapatan tinggi dan berkemampuan membayar kos sebenar.

    “Saya pernah berkhidmat dengan Tabung Haji (selama) kira-kira 25 tahun, dan saya melihat peruntukan subsidi yang diberikan kepada jemaah muassasah ini terlalu tinggi hingga mencapai lebih 60 peratus untuk seorang jemaah.

    “Bagi saya, secara peribadi, Tabung Haji kena nilai semula pemberian subsidi haji secara menyeluruh sebab kita tidak mahu, jika bantuan tersebut diberikan dalam jangka masa panjang, ia akan beri kesan kepada Tabung Haji itu sendiri.  Bagi saya, kalau nak bagi bantuan pun cukup sekadar 30 peratus.

    “Dalam situasi ini, kita kena berbalik kepada maqasid syariah. Selain keupayaan kewangan, mereka yang layak juga mestilah sihat tubuh badan dan bebas penyakit. Saya lihat ada jemaah (ketika melakukan ibadah haji) menggunakan kerusi roda dan ditolak dengan bantuan para petugas haji, sedangkan mereka yang sakit ini tidak wajib pun menunaikan haji,” tambahnya.

    Pada awal tahun ini, Tabung Haji menganggarkan kos menunaikan ibadah itu bagi setiap jemaah muassasah untuk musim 1445 Hijrah/2022 Masihi ialah RM25,540, namun angka sebenar meningkat kepada RM28,632.

    Daripada jumlah itu, seorang jemaah muassasah B40 hanya membayar RM10,980 manakala bagi yang bukan daripada  B40 pula sebanyak RM12,980.

    Pandangan senada turut disuarakan oleh Pengarah Eksekutif Wira Saujana Travel & Tours Mohamad Adzri Othman yang berkata pemberian bantuan itu seharusnya dibuat secara bersasar dengan memfokuskan pada mereka yang kurang berkemampuan, bukan meliputi semua jemaah seperti amalan semasa. 

    “Bantuan yang diberikan biarlah adil, sedangkan ada dalam kalangan jemaah muassasah ini daripada mereka yang mampu pergi haji tanpa bantuan (kewangan) Tabung Haji pun. Bagi saya perkara seperti inilah yang perlu dinilai semula,” katanya.

    PERKHIDMATAN LEBIH BAIK

    Mohamad Adzri berkata jemaah seharusnya akur dengan peningkatan kos mengerjakan haji kerana ia seiring dengan kualiti perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan kepada setiap jemaah.

    Namun begitu menurutnya, jemaah haji di negara ini masih beruntung kerana bayaran yang ditetapkan itu masih lagi rendah berbanding  negara lain.

    “Untuk jemaah muassasah, mereka yang mendapat subsidi hanya perlu membayar jumlah yang kecil berbanding kos sebenar ibadah itu.

    “Jemaah swasta pula perlu membayar kos haji mencecah lebih RM30,000 seorang. Walaupun jumlah ini disifatkan agak besar, perkhidmatan yang kita berikan sebagai pengendali haji swasta adalah yang terbaik termasuk penginapan dan kemudahan pengangkutan yang selesa untuk jemaah,” katanya.

    Jelasnya, peningkatan kos mengerjakan ibadah haji juga dibuat mengikut situasi semasa berikutan kerajaan Arab Saudi sentiasa menaik taraf semua perkhidmatan bagi keselesaan para jemaah haji yang datang dari seluruh dunia.

    “Jika masih belum berkemampuan, tidak perlu memaksa diri mengerjakan haji. Bagi saya, dengan kos tinggi yang jemaah bayar, mereka boleh menikmati setiap kemudahan yang terbaik, bukan sahaja yang disediakan kerajaan Arab Saudi tetapi juga daripada syarikat pengendali haji,” ujarnya.- BERNAMA

  • Hentikan kempen negatif berkaitan Pulau Langkawi – Sanusi

    Hentikan kempen negatif berkaitan Pulau Langkawi – Sanusi

    SEBARANG kempen negatif berkaitan pelancongan di Pulau Langkawi perlu dihentikan segera kerana bimbang akan memberi kesan terhadap industri pelancongan di pulau legenda itu.

    Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri tidak boleh memaksa pelancong untuk memilih Langkawi sebagai destinasi pelancongan ataupun menghalang mereka melancong ke negara jiran, Thailand.

    “Kalau mereka pergi sana, kita tidak boleh halang kerana bagi saya itu normal dalam industri pelancongan. Kalau mereka pernah datang melancong ke Langkawi, mesti mereka mahu pergi melancong ke tempat-tempat atau negara lain pula.

    “Cuma hentikan sebarang kempen yang memburukkan Langkawi. Kerajaan negeri kini dalam usaha untuk meningkatkan daya tarikan di Langkawi dan Tanah Besar bagi menarik lebih ramai pelancong luar untuk datang ke Kedah,” katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas beberapa hantaran di media sosial yang menggalakkan orang ramai melancong ke Thailand berbanding Langkawi kerana harga hotel dan makanan di pulau itu didakwa jauh lebih mahal berbanding negara jiran tersebut.

    Muhammad Sanusi berkata sehingga kini, Langkawi mencatatkan kemasukan pelancong yang menggalakkan berdasarkan data Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

    “Kalau ramai yang pergi Thailand, tidak bermakna kita akan terjejas teruk… keadaan ini hanya sementara,” katanya.

    Terdahulu, beliau menghadiri Dialog Bajet 2023 Kerajaan Negeri Kedah yang turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Norizan Khazali dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Isahak Murat, yang bertindak sebagai moderator.

    “Sesi dialog ini adalah bagi mendapatkan input daripada pihak lain kerana mereka boleh memberi pandangan yang boleh digunakan dalam penyediaan bajet tahun hadapan.

    “Semua pandangan akan diambil kira berdasarkan keupayaan negeri untuk menyediakan peruntukan bagi semua cadangan yang disuarakan,” katanya.

    — BERNAMA

  • Wanita dapat kebenaran mulakan prosiding komital bekas suami

    Wanita dapat kebenaran mulakan prosiding komital bekas suami

    IBU tunggal, Loh Siew Hong hari ini memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur untuk memulakan prosiding komital terhadap bekas suaminya, Muhammad Nagahswaran Muniandy yang sebelum ini didakwa melarikan dan menukar agama ketiga-tiga anak mereka kepada Islam.

    Hakim Evrol Mariette Peters memberikan kebenaran itu selepas mendengar permohonan ex-parte (sebelah pihak) dikemukakan peguam Gunamalar Joorindanjn, yang mewakili Siew Hong selaku pempetisyen.

    Terdahulu, Gunamalar berhujah bahawa Muhammad Nagahswaran selaku responden melanggar perintah mahkamah apabila melarikan tiga anak mereka iaitu pasangan kembar perempuan berusia 14 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

    “Responden dari awal lagi mengetahui pempetisyen diberikan hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal ke atas ketiga-tiga anak mereka, namun mereka (anak-anak pasangan itu) diambil daripada ibu mereka tanpa kebenaran pempetisyen. Ini menunjukkan responden tidak menghormati perintah mahkamah ini,” kata Gunamalar yang turut dibantu peguam Tony Thian Yee Chin.

    Menurut Gunamalar, permohonan itu hanya difailkan pada 4 Julai lepas kerana keberadaan kanak-kanak itu sebelum ini tidak diketahui.

    Pada 15 Jun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk mendapatkan kebenaran menukar perintah hak penjagaan tiga anak yang diperoleh Siew Hong.

    Hakim Peters membuat keputusan tersebut selepas mendapati MAIPs gagal menunjukkan bahawa mereka adalah pihak berkepentingan dalam hidup kanak-kanak itu dan memerintahkan MAIPs agar membayar kos RM8,000 kepada Siew Hong.

    Beliau berkata, MAIPs juga gagal mendapatkan pandangan bekas suami Siew Hong berhubung permohonan difailkan pada 7 Mac lepas untuk mencelah dalam petisyen perceraian pasangan itu bagi membolehkan ia memiliki locus standi bagi memohon kebenaran menukar perintah hak penjagaan diperoleh wanita tersebut.

    Dalam petisyen perceraian itu, Siew Hong, 34, diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal bagi ketiga-tiga anaknya.

    Sementara itu, Gunamalar memberitahu pemberita, rayuan MAIPs berhubung keputusan mahkamah yang menolak permohonan badan itu untuk menjadi pencelah dalam petisyen perceraian Siew Hong dan bekas suaminya akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 7 Februari 2023.