Author: Bernama

  • Dua anggota polis antara empat individu didakwa rompak libatkan jutaan ringgit

    Dua anggota polis antara empat individu didakwa rompak libatkan jutaan ringgit

    DUA anggota polis yang bertugas di Bukit Aman antara empat individu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan merompak seorang lelaki membabitkan nilai jutaan ringgit di sebuah kondominium.

    Dua sarjan iaitu Ahmad Shahrizan Ab Rahman, 42, dari Bahagian Risikan, Operasi, Rekod Jenayah (D4) dan Mohamad Shawal Chekman, 40, dari E9 Cawangan Khas serta Khairul Anwar Ahmad, 40, dan Muhammad Firdaus Zainal, 27, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

    Empat lelaki itu didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan ke atas Mohammad Syafiq Hazane Dzulfikri, 25, di Irama Wangsa Kondominium, Seksyen 10, Wangsa Maju, pada 8.30 malam, 25 Mei lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip berkata pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

    “Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, saya mencadangkan setiap tertuduh dijamin RM50,000 dengan seorang penjamin kerana ia membabitkan nilai rompakan jutaan ringgit,” kata Nidzuwan.

    Peguam Mohamed Yazzer Azzad Zainudin, yang mewakili dua anggota polis itu memohon agar mahkamah membenarkan kedua-dua anak guamnya diikat jamin dengan jumlah yang rendah.

    “Tertuduh pertama, iaitu Ahmad Shahrizan adalah anggota polis D4 yang bertugas di Bukit Aman. Dia yang telah bercerai dan kini menanggung empat anak telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia selama 16 tahun dan berpendapatan RM3,000 sebulan.

    “Anak guam saya juga pernah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang pada 2009 dan 2018,” katanya.

    Mohamed Yazzer berkata Mohammad Shawal pula yang merupakan anggota polis bertugas di E9 Cawangan Khas menanggung empat anak dan pernah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang pada 2021.

    Sementara itu, peguam Mohamad Rohan Mohamad Razi mewakili dua lagi tertuduh memohon kedua-dua anak guamnya diikat jamin RM3,000.

    Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 31 Julai ini.

  • DUN Kedah secara rasmi bubar hari ini

    DUN Kedah secara rasmi bubar hari ini

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan hari ini selaras dengan perkenan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Ahad lepas.

    Pembubaran itu sekali gus menamatkan pentadbiran tiga tahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) pada 17 Mei 2020.

    Susulan pembubaran itu, bermula hari ini pentadbiran kerajaan negeri Kedah akan dijalankan oleh kerajaan interim ataupun ‘Caretaker Government‘, dengan segala fungsi kerajaan akan berlangsung sebagaimana biasa sehingga kerajaan negeri yang baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 yang menyaksikan PH mengambil alih kerajaan negeri dengan kemenangan 18 daripada 36 kerusi, persidangan pertama DUN Kedah bagi penggal ke-14 berlangsung pada 3 Julai 2018.

    Pembubaran DUN Kedah hari ini menyaksikan mandat lima tahun berakhir enam hari lebih awal berbanding tarikh akhir pada 4 Julai.

    Kedah antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

    Negeri ini mempunyai 36 kerusi dengan kedudukan terkini DUN Kedah menyaksikan PN memiliki 20 kerusi (Pas-14, Bersatu-6); PH menguasai 10 kerusi (PKR-5, Amanah-3, DAP-2); Barisan Nasional memperoleh dua kerusi (UMNO-2) dan Parti Pejuang Tanah Air (2).

    Dua lagi kerusi kosong apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Gurun daripada PKR, Tan Sri Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Dis tahun lepas dan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, manakala ADUN Belantek, Datuk Mohd Isa Shafie pula meninggal dunia 14 Jun lepas.

  • PRN: PAS akui sukar capai sasaran 30% calon muda

    PRN: PAS akui sukar capai sasaran 30% calon muda

    PAS mengakui parti itu berdepan kesukaran bagi mencapai sasaran 30 peratus calon muda untuk diketengahkan pada PRN di enam negeri tidak lama lagi.

    Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata untuk PRN kali ini, kemungkinan besar calon muda yang akan diketengahkan PAS hanyalah sekitar 10 peratus.

    “Kalau kita ambil ucapan dasar presiden PAS beberapa tahun lepas iaitu kita sasarkan 30 peratus calon muda, tapi saya tak fikir ia boleh dicapai baik dari aspek muka baharu atau calon muda… kalau dapat 10 peratus pun dah okey.

    “Kita (PAS) sentiasa harapkan supaya dapat ketengahkan seramai mungkin pemuda atau anak muda yang tidak semestinya mewakili Pemuda PAS, namun ia bergantung kepada keputusan pimpinan di peringkat akhir yang sudah tentunya mahukan calon boleh menang,” katanya.

    Beliau kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Jentera PRN Pemuda PAS Terengganu oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang di Marang, malam tadi.

    Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata walaupun dengan mengetengahkan lebih ramai calon muda akan membuat pengundi muda rasa lebih dihargai, calon boleh menang masih menjadi faktor utama pemilihan calon di sesuatu kawasan.

    “Sebab di Kelantan dan Terengganu ini, calon yang nak diletakkan itu bukan calon Touch ‘n Go atau hit and run, bila lepas kita letak tu, hilang entah ke mana. Kita akan letakkan calon yang merupakan anak tempatan yang sudah dikenali pengundi tempatan dan berpotensi menang,” katanya.

    Selain Terengganu dan Kelantan, empat negeri lagi yang akan terlibat dengan PRN akan datang ialah Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    Sementara itu, ditanya mengenai pembatalan kemenangan Ahmad Amzad Hashim yang mewakili PAS pada PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu oleh Mahkamah Pilihan Raya Terengganu semalam, beliau berkata PAS menghormati keputusan itu.

    “PAS sendiri akan failkan rayuan dan dapatkan perintah sementara untuk kekalkan Ahli Parlimen yang ada sebelum rayuan diangkat ke Mahkamah Persekutuan, mengikut undang-undang pilihan raya,” katanya.

    Beliau berkata Pemuda PAS juga sentiasa bersedia jika berlaku PRK membabitkan pembatalan kerusi dimenangi Amzad.

    Semalam, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Amzad selepas mendapati pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

  • DUN Negeri Sembilan bubar 1 Julai

    DUN Negeri Sembilan bubar 1 Julai

    YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan membubarkan DUN negeri itu pada Sabtu ini, bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).

    Perkara itu diumumkan Menteri Besar Aminuddin Harun selepas menghadap Tuanku Muhriz hari ini.

    Susulan pembubaran DUN itu, PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

    Pada PRU15, enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Kelantan tidak membubarkan DUN.

    Media sebelum ini melaporkan pemimpin enam negeri terbabit mencapai kata sepakat masa paling sesuai berbuat demikian adalah dalam tempoh dua minggu terakhir Jun bagi membolehkan PRN diadakan serentak.

    Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN.

  • DUN Terengganu rasmi bubar, kerajaan negeri ditadbir ‘caretaker’

    DUN Terengganu rasmi bubar, kerajaan negeri ditadbir ‘caretaker’

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Terengganu dibubarkan secara rasmi hari ini, dua hari lebih awal daripada mandat yang sepatutnya tamat, 30 Jun ini.

    Yang Dipertua DUN Terengganu, Datuk Yahaya Ali memaklumkan kepada Bernama, wakilnya telah menyerahkan watikah pembubaran kepada Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu Muhammad Salahuddin Salleh, semalam.

    Susulan pembubaran itu, bermula hari ini Terengganu ditadbir kerajaan negeri sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

    Pembubaran hari ini diperkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin selepas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menghadap dan mempersembahkan tarikh cadangan pembubaran DUN kepada baginda di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu semalam.

    Selain Terengganu, dua lagi DUN iaitu Pulau Pinang dan Kedah dibubarkan secara rasmi hari ini, manakala DUN Kelantan dan Selangor masing-masing telah dibubarkan secara rasmi pada 22 dan 23 Jun lepas.

    Hari ini Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akan menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, bagi memohon perkenan tarikh pembubaran DUN, negeri terakhir bagi enam negeri yang akan berhadapan PRN.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerajaan negeri Terengganu dibentuk oleh PAS, selepas parti itu berjaya memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN, manakala BN hanya memperoleh 10 kerusi iaitu Jertih, Kuala Besut, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.

    PKR yang turut sama ke gelanggang PRU14 di Terengganu, bagaimanapun gagal memperoleh sebarang kerusi daripada kesemua 32 kerusi DUN yang ditandingi.

    Pada PRU14, beberapa kerusi DUN memperlihatkan persaingan sengit antara dua parti dominan di Terengganu iaitu Pas dan Barisan Nasional (BN) apabila majoriti diperoleh sangat tipis dengan majoriti paling tipis di DUN Ajil yang menyaksikan calon Pas, Maliaman Kassim menewaskan Dr Ghazali Taib (BN) dan Zamani Mamat (PKR) dengan hanya majoriti empat undi.

    Bagi kerusi DUN Bukit Besi pula, Roslee Daud (BN) juga menang tipis dengan majoriti 46 undi, mengalahkan calon PAS, Ghazali Sulaiman dan Mohamad Arif Arifin (PKR) manakala bagi DUN Jabi, calon PAS, Dr Azman Ibrahim menang dengan majoriti 55 undi menewaskan Mohd Iskandar Jaafar (BN) dan Aziz Abas (PKR).

    Selepas disahkan menang selesa 22 kerusi DUN Terengganu, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang diangkat sebagai Menteri Besar ke-15, menggantikan ADUN Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (BN).

    Ahmad Samsuri mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 10 Mei 2018 di hadapan Sultan Mizan sebelum memulakan persidangan DUN pertama pada 1 Julai 2018.

    Tidak seperti negeri-negeri lain, Terengganu menyaksikan tiada sebarang Pilihan Raya Kecil (PRK) sepanjang penggal ini, sama ada disebabkan ADUN meninggal dunia, lompat parti atau meletakkan jawatan baik daripada blok kerajaan negeri mahupun pembangkang.

  • SPRM tegur lafaz IBR tapi ambil rasuah… ibarat wayang pertunjukan!

    SPRM tegur lafaz IBR tapi ambil rasuah… ibarat wayang pertunjukan!

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan terdapat kes individu yang telah menyatakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), tetapi memungkiri janji dan ditahan disebabkan perbuatan itu.

    Ketua Pesurujayanya Tan Sri Azam Baki berkata perkara berkenaan sesuatu yang memalukan dan seolah-olah IBR hanya ‘wayang’ untuk pertunjukan sahaja.

    “Walaupun telah melafazkan IBR, individu terbabit ditangkap SPRM kerana melakukan rasuah. Janji untuk mencegah rasuah hanya di mulut, tidak sampai ke hati sanubari. Saya amat berharap, program IBR pada hari ini bukan bersifat one-off atau kosmetik semata-mata,” katanya.

    Beliau berkata kepada pemberita selepas hadir majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di Kuala Lumpur hari ini.

    Mengenai penglibatan WTCKL dalam IBR, Azam berkata program IBR ini merupakan satu langkah yang baik dalam menerapkan nilai-nilai integriti dalam kalangan warga kerja WTCKL.

    “IBR ialah janji yang dibuat oleh kempimpinan organisasi bagi meningkatkan integriti, tadbir urus baik dan mencegah rasuah dalam organisasi,” katanya.

    Azam berkata penzahiran komitmen Pengurusan WTCKL melalui IBR adalah amat penting, bagi menunjukkan pendirian pengurusan tertinggi organisasi berkaitan pencegahan rasuah.

    Mengenai perkembangan siasatan berhubung penglibatan ahli politik dalam judi dalam talian, Azam berkata SPRM sedang mengumpul maklumat berkaitan ahli politik yang mendalangi dan melindungi kegiatan judi dalam talian.

    Beliau berkata maklumat berkenaan bagaimanapun tidak boleh didedahkan kerana masih dalam siasatan.

    “Saya hanya boleh sahkan bahawa siasatan sedang dibuat dan tidak boleh mendedahkan mereka (ahli politik) yang terlibat. Saya juga tidak boleh dedahkan sama ada ahli politik itu di sebelah kerajaan atau di sebelah pembangkang,” katanya.

    Baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan kepada Dewan Rakyat bahawa wujud elemen naungan politik dalam kegiatan perjudian dalam talian di negara ini.

    Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata elemen berkenaan, menjadi kekangan terbesar kepada KDN dan Polis Diraja Malaysia (PRDM) serta kerajaan secara keseluruhannya, dalam usaha membanteras kegiatan itu.

  • DUN Terengganu bubar esok

    DUN Terengganu bubar esok

    Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu akan dibubarkan esok bagi memberi laluan kepada PRN.

    Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata perkara itu diputuskan selepas persembahan tarikh cadangan pembubaran DUN diperkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.T

    Terdahulu, Samsuri menghadap Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah kira-kira 9 pagi tadi.

    Samsuri menerusi catatan di Facebook beliau berkata menurut Fasal 44 (2) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) memperuntukkan bahawa Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku boleh memberhenti atau membubarkan DUN.

    “Maka oleh yang demikian, Sultan Mizan dalam menjalankan kuasa yang diberikan bawah Fasal 44 (2) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) telah mengampuni perkenan untuk membubarkan DUN pada Rabu, 09 Zulhijjah bersamaan 28 Jun 2023,” katanya.

    Pada PRU14 2018, PAS mengambil alih pentadbiran kerajaan Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) selepas memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN, manakala BN hanya memperoleh 10 kerusi. Tempoh mandat bagi DUN Terengganu akan berakhir 30 Jun ini.

    Terengganu antara enam negeri akan mengadakan PRN tahun ini selain Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.DUN Kelantan dibubarkan pada 22 Jun manakala DUN Selangor sehari selepas itu.

    Selain Terengganu, DUN Kedah dan Pulau Pinang juga masing-masing akan dibubarkan esok manakala DUN Negeri Sembilan dijangka dibubarkan pada 30 Jun.- BERNAMA

  • ‘Datuk’ bebas tuduhan tipu pembelian pesawat, helikopter

    ‘Datuk’ bebas tuduhan tipu pembelian pesawat, helikopter

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini melepaskan dan membebaskan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, daripada dua pertuduhan menipu berhubung pembelian milikan pegangan pesawat dan helikopter berjumlah lebih RM7 juta.

    Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Datuk Ismail Hassan, 59, di akhir kes pendakwaan.

    “Sehubungan itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada kedua-dua pertuduhan tanpa dipanggil membela diri. Wang jaminan (RM10,000) dikembalikan,” katanya.

    Dalam penghakimannya, Kamarudin berkata, mahkamah mendapati tidak wujud elemen pernyataan palsu dan niat tidak jujur oleh tertuduh di dalam pertuduhan pertama.

    “Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, tertuduh tidak pernah pada bila-bila masa berjanji untuk membeli pesawat tersebut dan mengeluarkan dua cek.

    “Pembelian yang dikatakan itu datangnya daripada kehendak pengadu sendiri, seperti mana terbukti dalam rantaian perbualan WhatsApp antara tertuduh dan pengadu, yang mana pengadu ingin menjual pegangannya atas pesawat-pesawat tersebut serta desakan pengadu ke atas tertuduh.

    “Oleh itu, mahkamah melihat tidak ada apa-apa perbuatan pemerdaya atau pernyataan tidak jujur daripada tertuduh,” kata Kamarudin.

    Mengenai pertuduhan kedua, Kamarudin berkata, berdasarkan keterangan saksi, mahkamah mendapati terdapat surat dari Jabatan Insolvensi yang telah dikeluarkan kepada tertuduh, sejak 6 September 2016.

    “Surat tersebut menyatakan bahawa tertuduh dibenarkan menjalankan tugas sebagai perunding syarikat tanpa apa-apa syarat sekatan lain, namun tertuduh tidak boleh menjadi penjamin bagi pinjaman kepada syarikat itu atau mana-mana pihak.

    “Walaupun tanpa pelepasan dari seorang bankrap (muflis), namun dengan adanya surat kebenaran tersebut, ia memadai untuk tertuduh melaksanakan apa-apa perkara berkaitan perjalanan syarikat kerana ia dalam pengetahuan pihak insolvensi, yang telah menimbang dengan halus akan baik dan buruknya kemampuan serta keupayaan tertuduh, sebelum surat kebenaran menjalankan tugas itu dikeluarkan kepadanya,” Hakim Kamarudin.

    Perbicaraan kes itu bermula Mei lalu dengan 12 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan, manakala Ismail diwakili peguam Datuk Zainal Omar dan Ahmad Fadli Salleh.

    Mengikut pertuduhan pertama, Ismail didakwa menipu seorang ahli perniagaan berusia 57 tahun dengan memperdayakannya bahawa tertuduh hendak membeli milikan pegangan pesawat Cessna 650 Citation III (N95AZ) dan helikopter jenis EC120B (N120TX), dengan harga RM7,092,995.

    Tertuduh telah menyerahkan dua cek bernilai RM1 juta dan RM6,092,995 kepada mangsa, sedangkan beliau mengetahui bahawa kedua-duanya tidak boleh ditunaikan.

    Ismail didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah firma guaman di Solaris Dutamas, Sentul di Kuala Lumpur pada 21 Februari 2019 mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, Ismail didakwa sebagai seorang muflis yang belum dilepaskan, telah memasuki satu perjanjian pinjaman bertarikh 29 November 2017 dengan lelaki sama, bagi tujuan pembelian pesawat dan helikopter sama serta penubuhan sebuah syarikat untuk menjalankan perniagaan penyewaan pesawat di negara ini.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat di Jalan Pinang, Dang Wangi di Kuala Lumpur pada 29 November 2017, mengikut Seksyen 109(1) (m) (ii) Akta Kebankrapan 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Seramai 1,659,837 jemaah haji berada di Arab Saudi setakat Ahad

    Seramai 1,659,837 jemaah haji berada di Arab Saudi setakat Ahad

    SERAMAI 1,659,837 jemaah telah memasuki Arab Saudi melalui pelabuhan udara, darat dan laut untuk musim haji tahun ini setakat Ahad, menurut Direktorat Am Pasport Arab Saudi.

    Daripada jumlah itu, seramai 1,592,199 jemaah tiba melalui lapangan terbang, termasuk 242,272 penerima ‘Makkah Route Initiative’, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

    Jumlah ketibaan melalui pelabuhan darat pula seramai 60,807 jemaah, manakala 6,831 jemaah tiba melalui pelabuhan laut.

    Pihak direktorat komited untuk menggunakan semua keupayaan yang ada untuk memudahkan prosedur kemasukan jemaah haji.

    Ini termasuk melengkapkan platform di pelabuhan udara, darat dan laut antarabangsa dengan peranti teknologi terkini dan dikendalikan oleh kakitangan berkelayakan yang mahir dalam pelbagai bahasa.

  • Rasionalisasi subsidi mungkin jejas pertumbuhan KDNK Malaysia – Ahli Ekonomi

    Rasionalisasi subsidi mungkin jejas pertumbuhan KDNK Malaysia – Ahli Ekonomi

    PENGHAPUSAN subsidi boleh menjejajskan pertumbuhan jangka pendek Malaysia dan merumitkan proses penambaikan gaji ketika paras harga kekal tinggi, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) Firdaos Rosli.

    Ahli Ekonomi itu berkata, ia adalah tidak sesuai untuk melakukan rasionalisasi subsidi terutamanya ketika negara masih dalam proses pemulihan daripada era pandemik.

    “Kita memerlukan subsidi buat masa ini supaya orang ramai berbelanja yang sepatutnya berlaku dalam era pasca pandemik,” katanya pada sidang media mengenai keputusan kewangan suku pertama Bank Islam, semalam.

    Firdaos berkata naratif ekonomi Madani (NEM) oleh kerajaan yang akan dilancarkan pada Ogos depan, perlu memberi tumpuan kepada strategi meningkatkan pertumbuhan, justeru anjakan paradigma daripada rangka kerja sedia ada diperlukan.

    Beliau berkata ia kerana kaedah pendapatan boleh guna semasa digunakan untuk pemberian subsidi mungkin hanya menyukarkan penggubalan dasar dan bukannya memudahkannya.

    “Adalah lebih baik untuk memberi tumpuan dalam menambah baik hasil cukai serta memastikan pertumbuhan jangka pendek kekal kukuh. Seperti yang saya nyatakan walaupun tanpa kerajaan melakukan apa-apa, jumlah perbelanjaan subsidi akan turun secara semula jadi pada tahun ini kerana harga minyak global sekarang lebih rendah berbanding tahun lepas,” katanya.

    Firdaos berkata NEM harus melengkapkan penentukuran semula Rancangan Malaysia ke-12 memandangkan semakan separuh penggal akan diumumkan tidak lama lagi.

    “Malaysia tidak mempunyai pakej rangsangan fiskal yang cukup tinggi untuk berkembang selepas pandemik. Justeru, bagaimana kita akan mengganti semula pengeluaran RM145 bilion Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan dividen semasa COVID-19 dulu,” katanya.

    Beliau berkata kerajaan harus menyediakan naratif ekonomi yang betul untuk pertumbuhan jangka terdekat bagi memberi keyakinan kepada pelabur dan mengukuhkan ringgit.

    Menurutnya, ringgit dijangka ditutup pada RM4.28 berbanding dolar AS pada akhir tahun ini berdasarkan trend pertumbuhan ekonomi.