Author: Bernama

  • Polis siasat kes cubaan culik murid di Ipoh

    Polis siasat kes cubaan culik murid di Ipoh

    POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan cubaan culik seorang murid di hadapan Sekolah Kebangsaan Pengkalan, Taman Pinji Mewah, Ipoh, Jumaat lepas, yang tular menerusi media sosial.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada ibu kanak-kanak itu pada pukul 9 malam hari sama.

    “Polis telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes ini dari pelbagai sudut di samping bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan negeri serta pihak sekolah dalam mempertingkatkan langkah pencegahan dan keselamatan di sekolah.

    “Ibu bapa diminta menghantar dan mengambil murid mengikut waktu ditetapkan dan memaklumkan kepada pihak sekolah jika mempunyai sebarang masalah mengenai urusan mengambil dan menghantar murid ke sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Yusri berkata pihak sekolah juga diingatkan supaya memastikan urusan menghantar dan mengambil murid hanya dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga yang sah sahaja.

    “Selain itu, kami telah menempatkan pegawai polis sebagai pegawai perhubungan sekolah (PPS) di seluruh Perak,” katanya.

    Kes berkenaan tular menerusi Facebook selepas bapa kanak-kanak berkenaan memuat naik satu hantaran mendakwa anaknya hampir menjadi mangsa penculikan namun berjaya menyelamatkan diri ketika berada di hadapan sekolah tersebut. Bernama

  • Bicara kes gangguan seksual Ebit Lew esok

    Bicara kes gangguan seksual Ebit Lew esok

    PERBICARAAN kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew melibatkan gangguan seksual akan bermula esok hingga 30 Sept di Mahkamah Majistret Tenom.

    Lew, 37, menghadapi 11 pertuduhan, antaranya didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Majistret Nur Asyraf Zolhani akan mendengar kes itu manakala pendakwaan akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohammad Ramli dan Adibah Saiful Bahari.

    Barisan peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye akan mewakili Lew.

    Pada Februari lepas, Lew mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual dan dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.

    Tenom merupakan sebuah daerah di pedalaman Sabah terletak kira-kira 145 kilometer arah selatan dari Kota Kinabalu.- BERNAMA

  • Azmin wakili PM ke upacara pengebumian negara Shinzo Abe

    Azmin wakili PM ke upacara pengebumian negara Shinzo Abe

    MENTERI Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ke Upacara Pengebumian Negara bekas Perdana Menteri Jepun, mendiang Shinzo Abe, pada 27 Sept di Nippon Budokan, Tokyo.

    Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan upacara itu juga merangkumi sesi pertemuan bersama Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kabinet Hirokazu Matsuno, dan Menteri Luar Yoshimasa Hayashi, diikuti pertemuan ringkas bagi menyampaikan ucapan takziah kepada balu mendiang Abe, Akie Abe, di Akasaka Palace, Tokyo.

    Abe, perdana menteri paling lama berkhidmat di Jepun, meninggal dunia selepas ditembak ketika menyampaikan ucapan dalam kempen pilihan raya di Nara pada 8 Julai.

    Semasa menjadi Perdana Menteri Jepun, Abe pernah melawat Malaysia sebanyak tiga kali dan memainkan peranan penting dalam meningkatkan hubungan dua hala termasuk mengukuhkan lagi Dasar Pandang ke Timur (DPT). 

    Lawatan terakhir beliau ke Malaysia selaku Utusan Khas Perdana Menteri Jepun bagi memperingati ulang tahun ke-40 DPT, menyaksikan Abe mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada Mac 2022.

    Pada 13 Julai, Perdana Menteri dan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menandatangani buku takziah di Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur, menurut kenyataan itu.- BERNAMA

  • Belum dapat ilham untuk bubar Parlimen – PM

    Belum dapat ilham untuk bubar Parlimen – PM

    KETIKA spekulasi mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 semakin kencang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum membuat keputusan bila beliau akan membubarkan Parlimen. 

    Perdana Menteri berkata sebarang keputusan mengenai tarikh pembubaran Parlimen bergantung kepada perbincangan dalam kalangan pemimpin tertinggi UMNO pada 30 Sept ini. 

    “Pada 30 hari bulan, petang ada (mesyuarat) Top 5 dan biro politik, malam ada MT (Mesyuarat Tertinggi). Jadi kita tunggulah,” katanya pada sidang media di akhir lawatan kerja empat hari ke Amerika Syarikat. 

    Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata beliau belum mendapat maklumat mengenai agenda mesyuarat MT UMNO. 

    “Saya pun tak tahu apa agenda MT dan sebagainya. Jadi malam tu lah kita akan bincang,” katanya. 

    Top 5 merujuk kepada Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden UMNO.

    Ditanya sama ada beliau sudah mendapat ilham bila akan membubarkan Parlimen semasa berada di bandar raya ini dan adakah ia semakin dekat, Ismail Sabri menjawab “belum lagi.” 

    “Saya berjalan di sekitar Central Park dan kagum dengan bagaimana kawasan hijau seluas 832 ekar di tengah-tengah bandar raya ini dikekalkan dan dipulihara” katanya. 

    Perdana Menteri berkata jika di Malaysia, pasti akan ada cadangan di atas meja beliau untuk membangunkan kawasan seumpama itu. 

    “Saya mendapat inspirasi bagaimana untuk memulihara kawasan hijau kita. Namun untuk pilihan raya, saya tidak mendapat apa-apa inspirasi,” katanya sambil tersenyum. – BERNAMA

  • PRU15: Ketua Menteri nafi DUN Sabah bubar serentak dengan parlimen

    PRU15: Ketua Menteri nafi DUN Sabah bubar serentak dengan parlimen

    KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menafikan khabar angin kononnya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibuat serentak dengan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.

    Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata DUN Sabah masih mempunyai tiga tahun untuk berkhidmat secara penuh, dan kerajaan negeri di bawah GRS dan Barisan Nasional (BN) berikrar untuk bekerjasama membangunkan Sabah dan membawa kemajuan kepada rakyat.

    “Kita mesti belajar daripada kesilapan politik lepas. Cukuplah, kita tidak perlu berpuak-puak dan berpecah-belah lagi. Kali ini kita berharap dapat bekerjasama dengan sebaik mungkin dan memajukan Sabah selaras dengan slogan Sabah Maju Jaya,” katanya dalam kenyataan sempena Jelajah GRS Batu Sapi di Sandakan hari ini.

    Pada 11 September lalu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berkata tiada kemungkinan DUN dibubarkan untuk PRU15.

    Sementara itu, Hajiji berkata semua parti komponen GRS iaitu Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) telah bersetuju menggunakan simbol GRS pada PRU15.

    “Apa yang penting kita terus memperkukuh GRS, gabungan yang mewakili rakyat berbilang kaum dan agama di Sabah. Ada pihak mendakwa PRU15 akan diadakan Oktober ini dan ada yang mengatakan ia akan diadakan tahun depan, tetapi apa pun, GRS sentiasa siap sedia,” katanya.

  • Tindakan susulan kes MH17 dibuat selepas keputusan mahkamah Belanda – PM

    Tindakan susulan kes MH17 dibuat selepas keputusan mahkamah Belanda – PM

    SEBARANG tindakan susulan Malaysia berhubung kes penembakan jatuh pesawat MH17 hanya akan dibuat selepas mahkamah di Belanda membuat keputusan mengenainya pada 17 Nov depan.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Belanda Mark Rutte di New York pada Jumaat, beliau menyuarakan pendirian negara yang mahu bersikap adil kepada semua pihak yang dikaitkan dengan insiden itu.

    “Kes ini telahpun berada di peringkat mahkamah dan keputusan November ini, kita akan sama-sama tunggu keputusan. Apa-apa tindakan akan kita buat selepas keputusan mahkamah. Sebab MH17 ini libatkan ramai rakyat Belanda dan Malaysia,” katanya pada sidang media di New York, pada Sabtu.

    Kedua-dua pemimpin itu yang berada di bandar raya itu untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-77, bertemu di ibu pejabat PBB.

    Mahkamah Daerah The Hague akan memutuskan perbicaraan kes MH17 pada 17 Nov depan. Ia melibatkan empat individu yang menghadapi 298 pertuduhan membunuh kerana didakwa menembak jatuh pesawat yang sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.

    Perdana Menteri mengakui terdapat tekanan terhadap Malaysia untuk menyertai beberapa negara mengambil tindakan terhadap Rusia yang dituduh terlibat dengan kejadian penembakan jatuh pesawat milik Malaysia Airlines itu, namun ia tetap dengan pendirian untuk menunggu keputusan mahkamah.

    Ismail Sabri juga berkata kedua-dua negara bersetuju meningkatkan jalinan hubungan dua hala, termasuk perdagangan dan bantuan teknikal untuk menangani isu banjir di Malaysia.

    “Kita mendapat nasihat daripada pakar-pakar Belanda yang datang ke Malaysia tahun ini untuk membantu kita susulan banjir besar tahun lepas. Belanda walaupun kebanyakan tanahnya berada di bawah paras laut, namun mereka mampu kawal banjir,” katanya.

    Dari segi perdagangan, Belanda merupakan pembeli minyak kelapa sawit terbesar di Eropah manakala Malaysia banyak mengimport produk-produk pertanian daripada negara itu, katanya.

  • DAP lulus pindaan perlembagaan halang wakil rakyat lompat parti

    DAP lulus pindaan perlembagaan halang wakil rakyat lompat parti

    KONGRES Khas DAP 2022 hari ini meluluskan pindaan perlembagaan yang melarang wakil rakyatnya melompat parti seiring pelulusan Rang Undang-Undang Antilompat Parti oleh Parlimen.

    Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata pindaan itu, yang disokong oleh 632 perwakilan manakala dua menentang, akan dihantar ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dalam masa terdekat agar ia dapat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Beliau berkata pindaan itu turut merangkumi Ahli Parlimen yang dipecat kerana melanggar arahan dan dasar parti.

    “Kalau dalam perlembagaan parti kata bahawa seseorang Ahli Parlimen yang melanggar arahan terlucut keahliannya maka Parlimen akan mengikut,” katanya pada sidang media selepas kongres DAP di Shah Alam hari ini.

    Loke juga berkata rundingan mengenai pembahagian kerusi di antara parti komponen Pakatan Harapan di beberapa negeri telah selesai manakala bakinya dijangka dimuktamadkan pada akhir bulan ini.

  • Tulang manusia berusia 1.4 juta tahun ditemui di Burgos

    Tulang manusia berusia 1.4 juta tahun ditemui di Burgos

    TENGKORAK berusia 1.4 juta tahun, fosil manusia tertua pernah ditemukan di benua Eropah dan dipercayai mampu mengubah pengetahuan mengenai prasejarah manusia, menurut saintis yang terlibat dalam penemuan itu.

    “Kami masih belum mengetahui spesies manusia pertama berdasarkan penemuan itu,” ahli arkeologi Aurora Martin, yang juga penyelaras am Muzium Evolusi Manusia di Burgos, utara Sepanyol, memberitahu Agensi Anadolu.

    Tulang-tulang itu, ditemukan di dalam gua di tapak penggalian Sierra de Atapuerca berhampiran Burgos pada akhir Jun, dianggap “satu kejayaan yang akan membantu menulis kembali sejarah evolusi manusia.”

    “Sehingga 1994, diketahui bahawa tiada spesies manusia purba di Eropah sehingga 500,000 tahun dahulu. 

    “Sekarang terdapat bukti kewujudan manusia pada 1.4 juta tahun dahulu. Dalam erti kata lain, kita menolak evolusi manusia di Eropah pada satu juta tahun lepas.

    “Penemuan baharu itu,  merupakan tengkorak satu spesies, yang digali pada musim panas 2022, dan dipercayai berusia 1.4 juta tahun. 

    “Hal ini membuka lembaran baharu untuk pelbagai persoalan.

    “Kami akan cuba mencari jawapan kepada persoalan ini, tetapi semuanya akan dilakukan selepas penyelidikan. Kami tidak boleh memberikan jawapan sekarang,” katanya.

    Tapak Atapuerca dijumpai semasa pembinaan kereta api pada akhir abad ke-19, dan penggalian pertama bermula pada 1976.

    Fosil manusia tertua pernah ditemukan di benua Eropah sebelum ini ialah pada 2007, yang berusia 1.2 juta tahun.

    Menurut laporan fosil manusia dan haiwan Zaman Batu Purba yang ditemukan di Atapuerca, Tapak Warisan Dunia itu kini dipamerkan di Muzium Evolusi Manusia di Burgos.

  • Dari suka gaduh di sekolah, kini Jackson pemenang emas Sukma sukan tinju

    Dari suka gaduh di sekolah, kini Jackson pemenang emas Sukma sukan tinju

    MENYEDARI kecenderungannya bergaduh dan bertumbuk di sekolah tidak mendatangkan sebarang manfaat, atlet Sarawak Jackson Chambai Ikeh memutuskan untuk menyertai sukan tinju seawal usia 12 tahun.

    Hari ini pemuda berusia 21 tahun itu merangkul emas Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 menerusi acara fly 48-51 kilogram (kg) di Kompleks Futsal Malaysia di sini.

    “Masa sekolah selalu gaduh, lagi-lagi masa itu berdarah panas asyik nak bertumbuk je. Bertumbuk di luar tak berguna, lebih baik saya main tinju.

    “Jadi 2013 saya mula main tinju dengan jurulatih pertama saya Joseph Harry,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini hari ini.

    Dalam pada itu, mengulas perlawanannya hari ini Jackson yang menjadikan petinju Kazakhstan Genandy Golovkin sebagai idolanya berkata beliau hanya fokus kepada strategi untuk membuat serangan balas terhadap pihak lawan.

    “Saya sangat puas hati pada pusingan pertama tapi pusingan kedua saya tak puas hati sebab pihak lawan suka peluk saya, jadi saya tak dapat nak buat serangan,” katanya.

    Jackson mempamerkan gerakan pantas untuk menundukkan pencabarnya dari Wilayah Persekutuan, Mohamad Hakimi Sumadi 5-0.

    Tempat ketiga menjadi milik Muhammad Aidil Ashraf Abdul Razak daripada Johor dan Muhammad Mukhriz Khan Muzafar Khan yang mewakili Pulau Pinang.

    Sementara itu, Sarawak turut muncul juara acara Feather 54-57kg menerusi jaguhnya Daeloniel Mcdelon Bong.

    Daeloniel yang dikenali sebagai Kilat Boy, menang mudah ke atas petinju Wilayah Persekutuan Alif Akmal Muhamad Asri 5-0, sementara gangsa menjadi milik Sheikh Rahmatullah Ibrahim daripada Pulau Pinang dan atlet Sabah, Mohammad Fairul Yee Abdullah. – BERNAMA

  • Tiga termasuk dua pegawai MBSA ditahan SPRM

    Tiga termasuk dua pegawai MBSA ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk dua pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dipercayai berhubung projek kerajaan negeri.

    Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi berkata satu lagi individu yang ditahan ialah seorang kontraktor.

    Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata pihaknya masih menunggu laporan SPRM dan tidak dapat mengesahkan sama ada penahanan itu berkait  projek tebatan banjir sebagaimana dilapor sebuah portal.

    Menurut Zamani, projek itu ketika ini masih di peringkat perbincangan dengan kerajaan negeri dan belum dimulakan.

    Beliau juga tidak dapat memastikan sama ada SPRM membawa keluar beberapa fail dari premis berkenaan ketika serbuan dipercayai dibuat SPRM di Wisma MBSA, di sini, Isnin lepas.

    “Pada ketika itu, semua pegawai kanan berada di luar menghadiri dialog bajet, ada yang kata serbuan tapi saya tak dapat mengesahkan perkara itu kerana tidak berada di sana dan tidak mendapat apa-apa maklumat daripada SPRM lagi,” katanya ketika dihubungi Bernama.- BERNAMA