Author: Bernama

  • Bekas pegawai kanan Pos Malaysia didakwa terima suapan RM248,000

    Bekas pegawai kanan Pos Malaysia didakwa terima suapan RM248,000

    SEORANG bekas ketua perancang bahagian pengurusan pengangkutan Pos Malaysia Berhad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di Melaka atas 26 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM248,000 bagi membantu mempercepatkan bayaran oleh syarikat kurier itu kepada sebuah syarikat.

    Hazri Mokhtar, 43, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

    Mengikut semua pertuduhan, Hazri dituduh secara rasuah menerima untuk dirinya wang melalui pindahan dalam talian melibatkan dua akaun berlainan miliknya daripada syarikat OnxOn Logistik Sdn Bhd.

    Pindahan tersebut didakwa dilakukan melalui lima individu sebagai upah antara RM5,000 dan RM15,000 untuk tertuduh membantu mempercepatkan bayaran Pos Malaysia kepada syarikat tersebut bagi kerja-kerja perkhidmatan tertentu di Sabah dan Sarawak.

    Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Bank Simpanan Nasional, Jalan Munshi Abdullah dan Maybank Melaka Main di Graha Peladang, Jalan Hang Tuah di sini antara  8 Julai 2020 dan 11 Okt 2021. 

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

    Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sepanjang kes berjalan.

    Peguam Mohammad Amir Aizat Abd Rani yang mewakili Hazri, merayu agar jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya kini bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan, menyara tiga anak yang masih bersekolah serta memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan.

    Mahkamah menetapkan jaminan RM35,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan dan  2 Nov untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Angkara suapan RM400, bekas pengarah AADK didenda RM3,000

    Angkara suapan RM400, bekas pengarah AADK didenda RM3,000

    SEORANG bekas pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Melaka didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh kerana menerima suapan wang tunai, empat tahun lepas.

    Hakim Elesabet Paya Wan turut menjatuhkan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh, Mohamad Yusof Kameh, 55, gagal menjelaskan denda berkenaan. 

    Mohamad Yusof terdahulu mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu secara rasuah menerima untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai RM400 tanpa balasan daripada Budyarif Rahmat yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

    Mohamad Yusof didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Melaka pada 22 Jun 2018.

    Pertuduhan pilihan itu dibaca mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan. 

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Melaka Nur Syakila Yaacob manakala Mohamad Yusof diwakili peguam Datuk Naran Singh.- BERNAMA

  • Maybank tak guna lagi SMS OTP menjelang Jun 2023

    Maybank tak guna lagi SMS OTP menjelang Jun 2023

    MAYBANK akan beralih sepenuhnya kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat melalui Secure2u menjelang Jun 2023 untuk aktiviti atau transaksi dalam talian yang berkaitan dengan pembukaan akaun, pemindahan dana dan pembayaran serta perubahan kepada maklumat peribadi dan tetapan akaun.

    “Ini adalah selaras dengan cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk bank berhijrah daripada Kata Laluan Satu Kali SMS (SMS OTP) kepada pengesahan yang lebih selamat untuk transaksi-transaksi ini,” kata bank dalam satu kenyataan hari ini.

    Pada masa ini, Maybank hanya membenarkan Secure2u untuk satu peranti bagi setiap pemegang akaun (setiap pelanggan) untuk meminimumkan kemungkinan butiran perbankan dalam talian pelanggan dikompromi atau digunakan oleh mana-mana pihak ketiga.

    Sebagai langkah keselamatan tambahan, Maybank memaklumkan pelanggan melalui SMS, ‘push notification’ dan emel apabila Secure2u telah didaftarkan pada peranti baharu.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Khairussaleh Ramli berkata ini adalah sejajar dengan usaha bank untuk mengutamakan keselamatan simpanan dan transaksi perbankan dalam talian pelanggannya pada setiap masa.

    “Kami kekal komited dalam membantu pelanggan kami bagi mengelakkan mereka daripada ditipu oleh penipu.

    “Ini dilakukan melalui langkah keselamatan sedia ada pada masa ini dan ketika kami secara berperingkat melancarkan lebih banyak langkah yang boleh membantu untuk menghalang atau meminimumkan kemungkinan pelanggan menjadi mangsa penipuan kewangan,” katanya.

    Maybank juga menyokong pengumuman BNM pada 26 Sept 2022 (Isnin) berhubung langkah-langkah yang akan diguna pakai oleh bank di Malaysia bagi memastikan kepiawaian keselamatan lebih tinggi, terutamanya bagi perkhidmatan perbankan internet dan mudah alih.

    ‘Industri perbankan komited untuk bekerjasama untuk memerangi penipuan kewangan yang semakin berleluasa dalam persekitaran digital hari ini,” tegas beliau.

    Selain itu, Maybank juga telah menyediakan talian hotline 24/7 khusus untuk pelanggan melaporkan insiden penipuan kewangan.

    Pelanggan digesa untuk menghubungi talian hotline penipuan di +603 5891 4744 dengan kadar segera jika mereka mengesyaki butiran perbankan mereka telah terjejas atau telah berlaku transaksi yang mencurigakan atau sekiranya mereka ingin menggantung akaun bank mereka dengan pantas.

    Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh menghubungi Talian Perkhidmatan Pelanggan Maybank di 1 300 88 6688.

    Maybank sentiasa berkongsi kandungan bermaklumat di laman web Maybank2u dan di Facebook dan Instagram, dalam usaha untuk mengingatkan dan mewujudkan kesedaran di kalangan pelanggan tentang bahaya penipuan kewangan ini. – BERNAMA

  • Majikan diwajibkan tunggu ketibaan pekerja asing baharu di KLIA

    Majikan diwajibkan tunggu ketibaan pekerja asing baharu di KLIA

    MAJIKAN diwajibkan menunggu ketibaan pekerja-pekerja asing baharu mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memastikan pekerja berkenaan mempunyai majikan yang sah, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

    Khairul Dzaimee berkata majikan perlu bertanggungjawab menguruskan dokumentasi pekerja berkenaan dan membuat pengesahan bahawa mereka adalah majikan kepada pekerja-pekerja tersebut.

    Beliau berkata peraturan Jabatan Imigresen itu memberi tempoh selama enam jam kepada majikan untuk menerima pekerja-pekerja asing mereka di KLIA, namun dalam keadaan tertentu, tempoh itu akan dilanjutkan.

     “Pekerja-pekerja asing berkenaan tidak akan dilepaskan keluar sehingga majikan sebenar sepertimana dalam permohonan tiba di KLIA untuk menerima mereka. Peraturan ini bertujuan untuk memastikan semua pekerja asing mempunyai majikan yang sah.

    “Kegagalan majikan mematuhi peraturan ini akan menyebabkan pekerja asing berkenaan diberikan Notis Penolakan Masuk (NTL) dan akan diarah pulang dengan penerbangan berikutnya ke negara asal,” katanya dalam kenyataan hari ini merujuk dakwaan berkaitan pengurusan masuk pekerja asing di KLIA menerusi laman sosial.

    Satu hantaran menerusi Facebook mempersoalkan tindakan menghantar balik pekerja asing yang tidak diambil selepas enam jam tiba di KLIA, dan kononnya Jabatan Imigresen tidak mahu mengambil tanggungjawab sekiranya berlaku kelewatan.

    Menurut Khairul Dzaimee, sejak pembukaan semula sempadan negara, Jabatan Imigresen telah menguruskan kemasukan pekerja asing baharu berjumlah 98,079 dari 1 April hingga 26 Sept lepas.

    — BERNAMA

  • Kebakaran: Empat sekeluarga hilang tempat tinggal, kenderaan

    Kebakaran: Empat sekeluarga hilang tempat tinggal, kenderaan

    SEORANG ibu bersama tiga anak perempuannya hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal di Melaka, musnah dijilat api dalam kejadian awal pagi tadi. 

    Mangsa Liliwati Kaharudin, 50, berkata kebakaran pada kira-kira 1.40 pagi itu turut menyebabkan tiga kereta dan sebuah skuter milik mereka musnah.

    Beliau berkata insiden itu disedari anaknya yang berusia 20 tahun yang terbau asap dan mendapati api merebak dari belakang penyaman udara di tingkat bawah rumah mereka.

    Katanya, dia terjaga selepas mendengar jeritan anaknya itu, manakala anak sulungnya (berusia 23 tahun) yang masih berjaga segera menjerit memanggil anak bongsunya, 15, yang sedang tidur di bilik atas untuk menyelamatkan diri.

    “Saya juga cuba untuk selamatkan satu daripada kereta kami namun tingkap kereta itu tiba-tiba meletup membuatkan saya jadi takut dan membatalkan hasrat,” katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.

    Liliwati berkata jiran-jiran cuba membantu memadamkan kebakaran namun api semakin marak sehingga menyebabkan bahagian bawah rumahnya terbakar hampir 80 peratus.

    Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh Penolong Kanan Penguasa Bomba Zahrul Azha Mokthar berkata panggilan kecemasan diterima pada 1.45 pagi dan 10 anggota digerakkan ke lokasi. 

    “Sejurus tiba 10 minit kemudian, kita dapati sebuah rumah dua tingkat berkeluasan 22×70 kaki persegi telah terbakar dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2.58 pagi,” katanya. 

    Katanya punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

  • JAWI saran solat jenazah ghaib buat Al-Qaradawi malam ini

    JAWI saran solat jenazah ghaib buat Al-Qaradawi malam ini

    JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini menyarankan masjid, surau Jumaat serta surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melaksanakan solat Jenazah Ghaib selepas solat Isyak malam ini, untuk mendoakan kesejahteraan dan kerahmatan bagi ulama tersohor, Allahyarham Profesor Dr Syeikh Yusuf Abdullah Al-Qaradawi.

    Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail dalam kenyataan berkata pemergian Al-Qaradawi, 96, adalah suatu kehilangan yang besar kepada dunia Islam khususnya bagi umat Islam di Malaysia di atas sumbangan khazanah ilmu yang tidak terhitung nilainya kepada ummah. 

    “Kami mendoakan semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham dalam kalangan para anbia dan solihin,” katanya.

    Al-Qaradawi dilahirkan di Mesir, namun Allahyarham menghabiskan hampir seluruh hayatnya di Qatar.

    Allahyarham meninggal dunia di Doha semalam,- BERNAMA

  • Wanita kongsi tangkap layar perbualan Ebit Lew, gambar lucah – Saksi

    Wanita kongsi tangkap layar perbualan Ebit Lew, gambar lucah – Saksi

    PERBICARAAN kes Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, bermula hari ini dengan Mahkamah Majistret Tenom dekat Sabah mendengar keterangan pakar motivasi yang membantu seorang mangsa gangguan seksual membabitkan pendakwah selebriti itu.

    Mohd Fairuz Abu, 37, memberitahu mahkamah bahawa seorang wanita yang menggunakan nama samaran menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp selepas beliau memuat naik hantaran mengenai seorang pendakwah terlibat dalam kes gangguan seksual di laman sosial Facebook pada 26 Julai tahun lepas.

    “Pada awalnya, beliau tidak memperkenalkan diri dan menyebut namanya. Beliau bertanya siapa individu yang saya maksudkan dalam hantaran itu.

    “Apabila saya sebut hantaran itu berkaitan Ebit Lew maka wanita tersebut terus berkongsi tangkap layar perbualan Ebit Lew dengannya dan juga gambar lucah yang diberi oleh Ebit melalui WhatsApp,” katanya di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria.

    Saksi itu berkata beliau turut menghantar tangkap layar yang dikongsi mangsa kepada individu bernama Firdaus Wong yang sedang mengendalikan kes sama membabitkan tertuduh dan wanita lain.

    Ketika ditanya Zahida tindakan selepas menghantar tangkap layar itu kepada Wong, Mohd Fairuz berkata pada 27 Julai tahun lepas, beliau menghubungi wanita tersebut menerusi panggilan telefon untuk mendengar kronologi penuh gangguan terhadapnya.

    “Pada awalnya, beliau takut-takut dan berasa tidak selamat untuk berkongsi namun selepas saya menenangkannya, barulah beliau kongsikan dari A-Z (daripada awal hingga akhir).

    “Saya mencadangkan kepada wanita itu untuk membuat laporan polis tetapi beliau takut dan berkata ‘saya ni orang kecil saja. Ebit Lew orang besar. Jadi saya tak nak buat laporan,” katanya.

    Mohd Fairuz berkata wanita itu kemudian meminta tempoh untuk berbincang dengan suaminya sebelum membuat laporan polis pada 7 Ogos tahun lepas.

    Saksi itu berkata beliau pernah bertemu secara peribadi dan mampu mengecam wanita tersebut yang hadir di mahkamah dengan kawalan ketat.

    Mohd Fairuz turut mengecam Lew.

    Pendakwah selebriti itu berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas. 

    Lew, 37, didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- BERNAMA

  • Kes Syed Saddiq: Pendakwaan selesai kemuka kes, hujahan 6 Okt ini

    Kes Syed Saddiq: Pendakwaan selesai kemuka kes, hujahan 6 Okt ini

    PIHAK pendakwaan dalam perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini selesai mengemukakan kes selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya menutup kes selepas tiga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Mohd Syahmeizy Sulong, Nurul Hidayah Kamarudin dan Asbi Munip yang dipanggil semula untuk disoal balas pasukan pembelaan selesai memberi keterangan.

    “Pendakwaan menawarkan 13 saksi kepada pihak pembelaan,” kata Wan Shaharuddin yang mengetuai pasukan pendakwaan.

    Antara 13 saksi itu ialah Pegawai Forensik SPRM Moses Lawrence dan Wan Zulkifli Wan Jusoh, rakan-rakan Syed Saddiq iaitu Mohamed Amshar Aziz, Nurali Nadzwan dan Muhammad Suhaimi Yahya.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid kemudian memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis pada Jumaat atau selewat-lewatnya Isnin depan.

    Mahkamah Tinggi itu turut menetapkan 6 dan 7 Okt ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan, sebelum memutuskan sama ada Syed Saddiq dibebaskan daripada pertuduhan itu atau diperintahkan untuk membela diri.

    Pada perbicaraan kes itu yang bermula 21 Jun lalu, pihak pendakwaan telah memanggil 30 saksi antaranya ibu dan bapa Syed Saddiq, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff serta bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Rafiq Hakim Razali.

    Pada prosiding hari ini, Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Haijan Omar.

    Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

    Ahli Parlimen Muar itu juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

  • Bajet 2023: KPWKM harap 30 peratus peningkatan peruntukan – Rina

    Bajet 2023: KPWKM harap 30 peratus peningkatan peruntukan – Rina

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap terdapat peningkatan peruntukan sekurang-kurangnya 30 peratus bagi kementerian itu menerusi Belanjawan 2023, kata Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Beliau berkata ini kerana bagi Belanjawan 2023, negara sedang berada dalam fasa pemulihan ekonomi, justeru KPWKM perlu diberi ruang terutama bagi usaha memperkasa golongan wanita dalam pelbagai bidang.

    “Kita harap ada peningkatan (Bajet 2023 untuk KPWKM). Memang, saya gesa setiap kali jumpa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mengenai bajet ini kerana jika diberi peluang saksama kepada wanita maka sekali gus dapat membantu keluarga mereka serta ekonomi negara.

    “Malah ada menurut kajian dibuat mendapati sekiranya ada banyak penglibatan wanita (dalam sektor ekonomi) turut akan dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis prapelancaran Sidang Kemuncak Kepemimpinan Wanita Dunia 2023 (WWLS 2023), hari ini.

    Pada Bajet 2022, KPWKM menerima peruntukan sebanyak RM2.682 bilion dengan peningkatan 4.56 peratus berbanding tahun sebelumnya.

    Selain itu, Rina berkata antara cadangan yang dibawa kepada kerajaan adalah untuk memperkasa Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) dengan aspek pelaksanaannya dapat diadakan secepat mungkin.

    “…dan ia juga bergantung kepada peruntukan bajet dan sebagainya,” katanya dan menambah kementeriannya juga bercadang untuk meneruskan program Wanita Bangkit@KPWKM menerusi bajet berkenaan.

    Beliau turut berharap supaya usaha memperkasa wanita menerusi Bajet 2023 bukan sahaja dipertingkat menerusi KPWKM tetapi juga kementerian lain yang juga mahu membantu golongan itu dengan program berkaitan wanita.

    Bajet 2023 akan dibentang 7 Okt ini.

    Sementara itu, mengulas WWLS 2023 yang akan berlangsung pada 2 dan 3 Mac tahun depan, Rina berkata program anjuran KPWKM bersama Women Leadership Foundation (WLF) itu merupakan platform untuk menyatukan para pemimpin wanita dari seluruh dunia, buat julung kalinya.

    Beliau berkata persidangan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu, akan membincangkan peranan dan kepimpinan wanita dalam isu kesihatan, sains dan teknologi, pendidikan, perniagaan, kewangan, pentadbiran dan alam sekitar.

    “Bertemakan ‘New Norms, Fresh Hopes, Big Dreams’ ia bertepatan dengan fokus negara dan selari dengan hasrat Keluarga Malaysia dalam menunjukkan semangat serta agenda untuk wanita bangkit selepas pandemik COVID-19, khususnya memartabatkan peranan wanita dalam menerajui kepimpinan keluarga dan juga dalam komuniti,” katanya.

  • Jangan sebar maklumat tidak tepat soal culik kanak-kanak, kata Polis Kelantan

    Jangan sebar maklumat tidak tepat soal culik kanak-kanak, kata Polis Kelantan

    POLIS Kelantan memohon kerjasama rakyat di negeri itu khususnya warga siber, supaya menghentikan perbuatan menyebar dakwaan kes culik sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dakwaan cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak di pekarangan sekolah yang berlegar-legar dalam laman media sosial sejak kebelakangan ini, didapati tidak berasas.

    “Beberapa hantaran yang dimuat naik dalam media sosial dan ditularkan telah mendorong Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya di Kelantan menjalankan siasatan.

    “Dakwaan yang mengaitkan indvidu mencurigakan berada di pekarangan sekolah atau tempat tertentu telah disiasat oleh pihak polis, namun kesemua dakwaan berkenaan tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

    Muhamad Zaki berkata, tindakan menyebar bahan atau perkara tidak berasas sehingga boleh menimbulkan kegelisahan awam dan ketakutan dalam masyarakat merupakan satu kesalahan.

    Beliau berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (mendatangkan kegusaran awam), yang boleh membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Polis Kelantan pada 22 dan 26 Sept lepas telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan cubaan menculik pelajar sekolah rendah masing-masing di daerah Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

    “Hasil siasatan pihak polis mendapati individu yang dikatakan berada di kawasan sekolah berkenaan tidak mempunyai niat untuk menculik sebaliknya mempunyai urusan lain,” katanya.

    Ujar beliau lagi, dakwaan sama turut berlaku di Kuala Krai baru-baru ini sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk di daerah itu.

    “Bila kita jalankan siasatan, individu yang dikatakan cuba menculik itu rupanya kakitangan sebuah syarikat perkhidmatan penapis air yang mempunyai urusan untuk membuat kutipan bulanan daripada pelanggan di situ,” katanya.

    Muhamad Zaki berkata, kejadian seumpama itu turut berlaku di kawasan Masjid Muhammadi, Kota Bharu pada awal September lepas, sehingga seorang lelaki kurang siuman menjadi mangsa keadaan apabila dibelasah oleh orang ramai kerana didakwa cuba menculik kanak-kanak.

    Mengenai penularan satu pekeliling oleh sebuah sekolah di Kelantan yang mengingatkan ibu bapa supaya menjaga dan mengawasi anak mereka berikutan risiko culik, Muhamad Zaki berkata siasatan mendapati dakwaan itu juga tidak berasas. 

    “Pihak polis telah menjalankan siasatan selepas tular dakwaan seumpama itu, namun perkara berkenaan tidak benar dan tidak berasas apatah lagi yang mengaitkan mengenai sindiket mengambil organ kanak-kanak dan sebagainya,” katanya.

    Beliau turut meminta orang ramai supaya merujuk sesuatu kejadian dan dakwaan itu melalui sumber sahih termasuklah daripada pihak polis supaya tidak berlaku kekeliruan.