Author: Bernama

  • 19 terbunuh, 28 cedera dalam kejadian letupan bom

    19 terbunuh, 28 cedera dalam kejadian letupan bom

    SEKURANG-kurangnya 19 orang terbunuh dan 28 lagi cedera dalam satu kejadian pengeboman bunuh diri di sebuah pusat pendidikan di ibu negara Afghanistan, Kabul, pada pagi Jumaat, lapor Agensi Anadolu.

    Pengebom berkenaan mensasarkan pelajar di institusi pendidikan Kaaj di kejiranan Dasht e Barchi, di Presint 13 Kabul pada 7.30 pagi waktu tempatan (0300GMT), semasa pemeriksaan masuk pelajar di instutusi itu, menurut Khalid Zadran, jurucakap polis ibu negara.

    Orang ramai di situ segera minta bantuan, dalam rakaman yang cepat dikongsi di media sosial.

    Minggu lepas, bom yang diletakkan di dalam sebuah kereta, meletup di luar sebuah masjid di bandar Kabul di Afghanistan ketika jemaah keluar selepas solat Jumaat, membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan 41 yang lain, termasuk kanak-kanak.

    Kumpulan pengganas Daesh mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

    Mulawai Mujeebur Rehman Ansari, seorang pendakwah Islam pro-Taliban, adalah antara 18 individu yang terbunuh pada 2 September apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya semasa solat Jumaat di bandar Herat barat.

  • 110 mangsa sindiket penipuan bekerja di luar negara berjaya diselamatkan

    110 mangsa sindiket penipuan bekerja di luar negara berjaya diselamatkan

    SERAMAI 110 mangsa yang diperdayakan sindiket penipuan bekerja di luar negara berjaya diselamatkan dan dibawa pulang, kata Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Saaduddin.

    Beliau berkata berdasarkan laporan yang diterima dari 2021 sehingga hari ini, masih terdapat 174 mangsa sindiket berkenaan yang terkandas di luar negara.

    “Bagi tempoh yang sama PDRM telah menerima 224 laporan melibatkan 284 mangsa daripada ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa berkaitan rakyat tempatan yang diperdayakan oleh sindiket penipuan untuk bekerja di luar negara.

    “PDRM akan terus menggunakan semua platform untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama Interpol (Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa), Aseanapol (Polis ASEAN) untuk menangani penipuan tawaran kerja kepada rakyat Malaysia di luar negara, selain turut terlibat dalam jawatankuasa khas yang diterajui oleh Kementerian Luar Negeri,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

    Sementara itu Noorsiah berkata PDRM menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati ketika menerima tawaran-tawaran pekerjaan di luar negara melalui media sosial, dan membuat semakan terlebih dahulu mengenai kesahihan atau ketulenan maklumat majikan dengan Kementerian Luar Negeri.

    “PDRM juga mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat untuk melaporkan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah sindiket penipuan pekerjaan agar tindakan lanjut dapat diambil,” katanya.

    Pada 20 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kerajaan akan memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di beberapa negara dibawa pulang dengan selamat dan usaha sedang dilaksanakan melalui saluran yang ada.

    Ismail Sabri juga menegaskan kerajaan amat prihatin dan mengambil serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang terkandas di Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja kerana menjadi mangsa sindiket penipuan kerja.

  • Hantaran di media sosial tak rujuk kepada Ebit Lew- saksi

    Hantaran di media sosial tak rujuk kepada Ebit Lew- saksi

    SATU hantaran bertarikh 26 Julai 2021 di media sosial oleh saksi pertama dalam perbicaraan gangguan seksual Ebit Lew, tidak merujuk kepada pendakwah itu.

    Presiden pertubuhan bukan kerajaan Multiracial Reverted Muslims (MRM) Firdaus Wong Wai Hung, 39, yang juga seorang pendakwah, memberi keterangan sebagai saksi ketiga dalam perbicaraan itu memberitahu Mahkamah Majistret Tenom, hantaran menerusi akaun Facebook Akhi Fairuz Al-Jengkawi milik saksi pertama, Mohd Fairuz Abu, 37, hanya meletakkan pendakwah selebriti terkenal.

    “Selain itu, kami menerusi sayap wanita MRM juga sedang mengendalikan beberapa kes melibatkan individu-individu yang berpengaruh dalam masyarakat. Majoriti mangsa yang mengadu tidak tahu dan takut untuk mendapatkan keadilan.

    “Maka, posting (kiriman) itu tidak merujuk kepada Ebit Lew sahaja kerana sehingga kini menerusi sayap wanita MRM masih menerima kes-kes lain yang berprofil tinggi,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, hari ini.

    Wong memberitahu, hantaran itu dibuat oleh Fairuz menerusi akaun Facebook miliknya selepas mereka berbincang bahawa terdapat wanita lain yang telah mengadu kepada mereka mengenai gangguan seksual oleh Ebit Lew.

    “Maka kami menawarkan, jikalau ada wanita di luar yang menjadi mangsa seksual atau gangguan seksual, untuk tampil ke hadapan tanpa perlu risau,” katanya.

    Zahida: Adakah kamu tahu bagaimana permulaan pengadu (mangsa), membuat aduan kepada Mohd Fairuz?.

    Wong: Ya, saya tahu bagaimana permulaan pengadu membuat aduan kepada Akhi Fairuz (Mohd Fairuz) iaitu selepas beliau (pengadu) melihat satu kiriman oleh Mohd Fairuz, pengadu telah berhubung dengan Akhi Fairuz menerusi telefon (aplikasi) Whatsapp.

    Zahida: Apa kiriman yang kamu maksudkan?

    Wong: Kiriman yang saya maksudkan adalah satu kiriman di Facebook.

    Zahida: Kamu boleh ingat apakah kandungan kiriman tersebut?

    Wong: Antara isi kandungan kiriman yang saya ingat adalah berkaitan kesediaan, kesanggupan dan penawaran dari Akhi Fairuz untuk membantu mangsa-mangsa gangguan seksual.

    Wong turut mengecam sekeping gambar daripada lapan gambar kemaluan lelaki yang dikongsi oleh Mohd Fairuz, yang menerima gambar berkenaan daripada pengadu.

    Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lalu.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani bersambung pada 20 hingga 22 Disember depan.

  • Polis rampas dua senapang, tahan lapan individu

    Polis rampas dua senapang, tahan lapan individu

    POLIS Kelantan merampas selaras senapang patah serta selaras senapang angin, dan menahan lapan individu termasuk seorang lelaki warga Thailand dalam dua serbuan Ops Tapis Khas, Rabu lepas.


    Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata dalam serbuan di sebuah bangsal dekat kelapa sawit di Felda Ciku 2, Gua Musang, polis menahan lima lelaki termasuk seorang warga Thailand berusia 22 hingga 39 tahun.


    Beliau berkata pemeriksaan lanjut di bangsal itu membawa kepada penemuan satu plastik hitam yang mengandungi bahagian-bahagian daging dipercayai kijang dan selaras senapang patah serta 15 butir peluru hidup bore 12 dalam balutan kanvas.

    “Kesemua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan ditahan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu hari ini.

    Katanya kes disiasat di bawah Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 60(1)(b) Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010.


    Muhamad Zaki berkata dalam satu lagi serbuan pada kira-kira pukul 10.40 malam hari yang sama, polis merampas selaras senapang angin dipercayal buatan sendiri sepanjang 113 sentimeter dan sebiji bebola besi disyaki digunakan sebagai peluru, di sebuah rumah di Kampung Air Limau dekat Gual Ipoh, Tanah Merah.

    “Kita telah menahan reman tiga lagi individu selama empat hari, dan kes disiasat di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010. Muhamad Zaki berkata dalam satu lagi serbuan pada kira-kira pukul 10.40 malam hari yang sama, polis merampas selaras senapang angin dipercayai buatan sendiri sepanjang 113 sentimeter dan sebiji bebola besi disyaki digunakan sebagai peluru, di sebuah rumah di Kampung Air Limau dekat Gual Ipoh, Tanah Merah.


    “Kita telah menahan reman tiga lagi individu selama empat hari, dan kes disiasat di bawah Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Pemandu lori didakwa rogol, seks luar tabii dan cabul anak kandung

    Pemandu lori didakwa rogol, seks luar tabii dan cabul anak kandung

    SEORANG bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan mencabul anak perempuannya, dua minggu lepas.


    Pemandu lori berusia 55 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamed Khalid.

    Tertuduh didakwa merogol anak kandungnya berusia 23 tahun 10 bulan di tempat duduk belakang sebuah lori di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur antara 2.30 petang sehingga 3.30 petang pada 18 Sept lepas.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.


    Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga pula, dia didakwa melakukan persetubuhan aturan tabii serta mencabul kehormatan mangsa pada tempat, masa dan tarikh sama.

    Bagi kesalahan persetubuhan aturan tabii, dia dituduh mengikut Seksyen 377C KK yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan manakala untuk kesalahan mencabul, pendakwaan mengikut Seksyen 354 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika disabitkan bersalah

    Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub tidak menawarkan jaminan atas alasan mangsa dikatakan tinggal bersama isteri kedua tertuduh (bukan ibu mangsa), namun jika jaminan diberikan ada risiko tertuduh akan mendekati anaknya kerana mereka tinggal di Kuala Lumpur.

    “Dalam pertuduhan hari ini, ada kesalahan merogol anak kandung dan untuk keselamatan mangsa, jaminan tidak ditawarkan,” katanya.

    Peguam Mona Anak Leonard Lubon yang mewakill tertuduh memohon jaminan diberikan kepada anak guamnya kerana tertuduh tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri selain memberi kerjasama dengan pihak polis sejak ditahan Sabtu lepas.


    “Anak guam saya berjanji tidak akan mengganggu anak kandungnya itu dan dia juga setuju jika ada syarat lain dikenakan seperti melaporkan diri di balai polis setiap bulan,” kata peguam.

    Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 21 Oktober ini untuk sebutan kes.

  • Operasi SAR tamat, ‘mangsa’ dipercayai tidak wujud

    Operasi SAR tamat, ‘mangsa’ dipercayai tidak wujud

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikatakan hilang di Hutan Gunung Senyum di Temerloh dekat Kuantan, ditamatkan hari ini, selepas ‘mangsa’ terlibat dipercayai tidak wujud. 

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata operasi SAR diaktifkan petang semalam selepas pihaknya dimaklumkan terdapat dua mangsa hilang di hutan itu. 

    Maklumat diterima daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang menghubungi talian kecemasan sekitar 5 petang semalam, memaklumkan dirinya sesat, sebelum berjaya ditemukan pasukan penyelamat kira-kira tiga jam kemudian. 

    “Mangsa yang dijumpai dalam keadaan keletihan memaklumkan telah meninggalkan rakannya yang sangat keletihan sementara dia cuba mencari bantuan. Bagaimanapun, usaha untuk mengesan rakan mangsa yang dikatakan berusia 20-an gagal. 

    “Siasatan awal mendapati mangsa yang mempunyai rekod sakit mental dipercayai mengalami gangguan dan rakannya yang didakwa turut sesat sebenarnya tidak wujud,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Selain bomba, operasi SAR juga disertai polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perhutanan dan penduduk setempat. 

  • Eksport Turkiye, Malaysia nikmati layanan bebas cukai mulai 1 Jan 2023

    Eksport Turkiye, Malaysia nikmati layanan bebas cukai mulai 1 Jan 2023

    KIRA-kira 99 peratus eksport Turkiye ke Malaysia akan menikmati layanan bebas cukai, manakala hampir 86 peratus eksport Malaysia ke negara itu turut menerima kelebihan yang sama di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA), berkuat kuasa 1 Jan 2023.

    Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Ekonomi dan Perdagangan Bersama (JETC) yang diadakan di Ankara pada Khamis, dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan rakan sejawatan Menteri Perdagangan Turkiye Dr Mehmet Mus.

    ETC itu diadakan bersempena dengan pemeteraian Protokol untuk Meminda Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Turkiye untuk meluaskan MTFTA sedia ada yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2015.

    Protokol itu yang berjaya disiapkan dalam tempoh 15 bulan, kini telah diperluaskan skopnya untuk merangkumi perdagangan dalam perkhidmatan, pelaburan dan e-dagang.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkenaan mesyuarat JETC itu, Mohamed Azmin berkata pengembangan skop MTFTA akan meningkatkan antara lain aliran silang pelaburan serta meningkatkan mobiliti profesional antara Malaysia dan Turkiye.

    Langkah itu juga akan melonjakkan lagi keyakinan pengguna dalam urus niaga dalam talian melalui penyelarasan peraturan dan penggunaan mekanisme pemudahcara manakala perusahaan mikro, kecil dan sederhana turut mendapat manfaat daripadanya kerana ia akan meningkatkan penyertaan mereka dalam perdagangan antarabangsa.

    Pada mesyuarat itu, kedua-dua negara turut membincangkan pelbagai isu berkaitan perdagangan dua hala dan kerjasama ekonomi, termasuk kemungkinan memperkukuh lagi kerjasama dalam sektor perindustrian seperti industri halal serta langkah anti-lambakan untuk mencegah persaingan tidak adil.

    Mohamed Azmin turut mencadangkan penubuhan secara rasmi Pasukan Petugas bagi Ketahanan Rantaian Bekalan Semikonduktor dua hala yang telah diterima baik oleh Turkiye.

    Pasukan petugas ini akan memformalkan rangka kerja kerjasama ke arah memastikan daya tahan rantaian bekalan semikonduktor melalui penyelidikan dan pembangunan, keupayaan reka bentuk, kapasiti perkongsian pengeluaran, pembangunan bakat dan akses pasaran.

    Menteri MITI dan rakan sejawatannya dari Turkiye juga menyatakan Malaysia dan Turkiye masing-masing berada di kedudukan strategik untuk menjadi hab pembuatan pilihan untuk ASEAN dan Kesatuan Eropah.

    Sementara itu, Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Bersama peringkat pegawai kanan seterusnya pada tahun hadapan. – BERNAMA

  • Yusoff Rawther fail rayuan kes serangan seksual kaitkan Anwar

    Yusoff Rawther fail rayuan kes serangan seksual kaitkan Anwar

    BEKAS Pembantu Penyelidik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas Presiden PKR itu.

    Peguam Mahajoth Singh, yang mewakili Muhammed Yusoff berkata pihaknya telah memfailkan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Rayuan pada 28 Sept.

    “Kes ditetapkan untuk pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) pada 27 Dis ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Muhammed Yusoff memfailkan notis rayuan itu berikutan tidak berpuas hati dengan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee yang menolak permohonannya pada 9 Sept lepas.

    Permohonan itu adalah berhubung saman dikemukakan Muhammed Yusoff pada 14 Julai 2021 mengenai dakwaan berlaku serangan seksual terhadapnya di kediaman ahli politik tersebut empat tahun lepas.

    Anwar selaku defendan kemudian memfailkan saman balas terhadap saman dikemukakan Muhammed Yusoff.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Muhammed Yusoff selaku plaintif mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Okt 2018 di kediaman Anwar di Segambut apabila beliau diminta oleh Setiausaha Sulit Anwar iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-150 Mahatma Gandhi anjuran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India kepada defendan.

    Muhammed Yusoff, yang meletak jawatan pada 24 Jun 2019, berkata satu laporan polis telah dibuat terhadap Anwar pada 7 Dis 2019

    Jabatan Peguam Negara kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa Anwar.

    Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuh dan merosakkan karier politik defendan selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin yang menyokong Anwar serta orang awam.- BERNAMA

  • Penunggang motosikal maut terlanggar tapir

    Penunggang motosikal maut terlanggar tapir

    SEORANG penunggang motosikal maut selepas melanggar seekor tapir yang secara tiba-tiba melintas jalan raya di KM17 Jalan Seremban-Kuala Pilah di Kuala Pilah, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata kejadian berlaku kira-kira 11.15 malam ketika lelaki berusia 33 tahun itu menunggang motosikal jenis Honda RS150 seorang diri dari arah Seremban menghala ke Kuala Pilah.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan tidak sempat mengelak dan merempuh tapir terbabit sebelum dia tercampak ke tepi jalan.

    “Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

    Amran berkata tapir berkenaan turut mati di lokasi kejadian dan bangkainya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri.

    Beliau berkata kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • MBSA nafi Datuk Bandar Shah Alam ditahan SPRM

    MBSA nafi Datuk Bandar Shah Alam ditahan SPRM

    MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan bahawa Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zamani Ahmad Mansor hanya dipanggil untuk membantu siasatan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada petang Rabu.

    MBSA dalam kenyataan menafikan dakwaan berhubung penahanan Datuk Bandar Shah Alam itu oleh SPRM bagi membantu siasatan terhadap tender projek tebatan banjir dan dibebaskan dengan jaminan RM50,000 oleh seorang penjamin.

    “Datuk Bandar Shah Alam telah kembali melaksanakan kerja seperti biasa di pejabat semalam. Pihak MBSA juga ingin menegaskan bahawa akan sentiasa sedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu melengkapkan siasatan dengan pihak SPRM,” menurut kenyataan itu.

    Media semalam melaporkan, SPRM berjaya membongkar satu kartel yang dipercayai memonopoli tender projek di MBSA susulan serbuan di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada Ahad lepas.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata setakat ini sembilan individu termasuk beberapa kakitangan MBSA dan seorang pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan.