Author: Bernama

  • JDT juara Liga Super kali kesembilan berturut-turut

    JDT juara Liga Super kali kesembilan berturut-turut

    JOHOR Darul Ta’zim (JDT) dinobatkan selaku juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut dengan berbaki empat perlawanan liga malam ini, sekali gus mencipta sejarah terunggul dalam arena bola sepak negara yang sukar dicabar pasukan lain.

    FOTO JOHOR Southern Tigers

    Kejayaan itu hadir apabila skuad bimbingan Hector Bidoglio mencatat kemenangan 5-0 ke atas Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada aksi malam ini, manakala pencabar terdekat Sabah FC tewas kepada Terengganu 0-2, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus.

    Kekalahan Sabah itu menamatkan perebutan takhta musim ini, apabila JDT yang mengumpul 46 mata daripada 18 perlawanan, tidak lagi mampu digugat skuad Sang Badak, yang mengutip 36 mata di tempat kedua dan hanya tinggal tiga perlawanan menuju penghujung musim.

    Kejayaan menjuarai saingan musim 2022 juga, menyaksikan skuad Harimau Selatan berpeluang memperbaiki pencapaian mara ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim ini, apabila meraih tiket automatik ke kejohanan itu tahun hadapan.

    Lebih manis, ia merupakan kejayaan berganda buat JDT, selepas pasukan feeder mereka JDT II ditabalkan sebagai juara Liga Premier, semalam.

    Pada aksi di malam ini, JDT selesa mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan pemain sayap muda Arif Aiman Mohd Hanapi dan Leandro Velazquez, masing-masing pada minit ke-35 dan ke-37, sebelum Arif Aiman mencetak gol kedua peribadinya tiga minit selepas rehat.

    Pemain import dari Brazil Bergson da Silva, turut tidak ketinggalan mencetak nama sebagai penjaring selepas menyumbat dua gol masing-masing pada minit ke-60 dan ke-88, untuk terus gah menerajui senarai penjaring terbanyak dengan koleksi 24 gol. Rakan sepasukan Fernando Forestieri kedua (13 gol).

    Di Kuala Nerus, jaringan Pape Diakite seawal minit ketujuh dan Nik Sharif Haseefy Lazim (minit ke-30) memastikan skuad bimbingan Mohd Nafuzi Mohd Zain, meraih tiga mata sementara Sabah FC terus gagal menamatkan kemarau kemenangan dalam empat aksi terakhir.

    Sementara itu, kehadiran bekas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe bersama Selangor FC dilihat memberi impak segera selepas skuad Gergasi Merah, yang dihimpit prestasi terumbang-ambing mencatat kemenangan bergaya 5-0 ke atas Melaka United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

    Gol Mohammad Nor Hakim Hassan pada minit ke-16 dan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (minit ke-32), masing-masing meletakkan pasukan mendahului 2-0 pada babak pertama sebelum Selangor meledak lagi tiga gol menerusi Brendan Gan (minit ke-66 dan ke-78) dan Herlison Caion pada minit ke-90.

    Dalam pada itu, jaringan tunggal V. Ruventhiran pada minit ke-69, menyaksikan Petaling Jaya (PJ) City FC mengejutkan Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-0 di laman sendiri pada pertembungan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

    Pada masa sama, Sri Pahang FC menundukkan Sarawak United 4-1 ketika bertandang ke Stadium Negeri, Kuching.- BERNAMA

  • Tengku Aizan terima Anugerah Warga Emas Wanita Negara

    Tengku Aizan terima Anugerah Warga Emas Wanita Negara

    BEKAS pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia Prof Datuk Dr Tengku Aizan Tengku Abdul Hamid hari ini menerima Anugerah Warga Emas Wanita Negara sempena sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2022.

    Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengurniakan anugerah itu kepada Tengku Aizan pada majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini.

    Tengku Aizan, 64, menerima anugerah itu atas keterlibatannya dalam bidang pendidikan serta penyelidikan sejak 2002 hingga kini dan beliau juga banyak menyumbang kepada pemerkasaan warga emas di peringkat kebangsaan serta antarabangsa dengan membantu menggubal pelbagai polisi berkaitan golongan itu.

    Dalam majlis anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) turut menerima penganugerahan sebagai pusat paling aktif menganjurkan program bermanfaat untuk warga emas, yang disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Selain itu, anugerah Warga Emas Bidang Kesenian diberikan kepada pelakon veteran Fauziah Nawi, 69, yang menceburi bidang kesenian selama 40 tahun serta pernah merangkul gelaran pelakon terbaik dalam beberapa anugerah berprestij.

    Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh pula menerima anugerah bagi Warga Emas Bidang Kesukarelaan (badan bukan kerajaan), yang antara sumbangannya adalah terlibat dalam persediaan Malaysia menuju negara tua menjelang 2030.

    Penerima anugerah lain ialah Datuk Sayed A.Rahman Sayed Mohd yang merangkul anugerah Warga Emas Kesukarelaan (individu), Roslan Yatim (Warga Emas Bidang Pendidikan) dan Mary Shanthi Dairiam yang membawa pulang anugerah Warga Emas Bidang Kemanusiaan.

    Terdahulu, Rina ketika berucap berkata penganugerahan kepada warga emas itu sebagai manifestasi penghormatan, penghargaan dan keprihatinan kepada sumbangan mereka dalam bidang-bidang tertentu.

    “Pemilihan penerima anugerah adalah berdasarkan kepada empat kriteria utama iaitu sihat, aktif dan produktif; memberi sumbangan kepada komuniti, masyarakat dan negara; pencapaian dan pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa; serta penglibatan aktif dalam pemerkasaan dan pembangunan warga emas.

    “Pemilihan dibuat melalui jawatankuasa penilaian daripada pencalonan yang diterima dari seluruh Malaysia dengan mengambil kira kriteria-kriteria yang telah ditetapkan,” tambahnya. – BERNAMA

  • 2 lagi ahli Parlimen sertai PBM

    2 lagi ahli Parlimen sertai PBM

    AHLI Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr Santhara Kumar hari ini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). 

    Bakal Presiden PBM Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengumumkan perkara itu berkata dengan kemasukan Xavier yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen bebas dan Santhara dari Parti Bersatu, PBM kini mempunyai enam orang Ahli Parlimen termasuk Zuraida sebagai Ahli Parlimen Ampang; Steven Choong (Tebrau); Larry Sng (Julau) dan Mohammadin Ketapi (Lahad Datu).

    “Dua orang lagi yang berpotensi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri dari Negeri Sembilan, insya-Allah kita sedang meneliti sedikit perkara dan akan membuat pengumuman,” katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan 2022 PBM di sini hari ini. 

    Beliau berkata susulan kemasukan Santhara yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ke dalam PBM, secara automatiknya beliau telah keluar dari Parti Bersatu. 

    Mengenai permohonan PBM yang mahu menyertai Barisan Nasional (BN), Zuraida berkata perbincangan masih berjalan dan maklum balas yang diterima adalah positif.  – BERNAMA

  • RM500,000 baik pulih Balai Polis Karakit di Pulau Banggi – Hamzah

    RM500,000 baik pulih Balai Polis Karakit di Pulau Banggi – Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini  mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk kerja-kerja membaik pulih Balai Polis Karakit di Pulau Banggi dekat Kudat bagi meningkatkan tahap keselamatan dan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada penduduk.

    Beliau berkata penduduk di pulau itu juga boleh membuat laporan kelahiran dan kematian di Balai Polis Karakit sebelum diambil tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) setiap bulan.

    “Sebuah bot Polis Marin akan ditempatkan di Pulau Banggi bagi tujuan rondaan keselamatan,” katanya dalam kenyataan pada lawatannya selama sehari ke Pulau Banggi di sini hari ini.

    Beliau berkata menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang dijalankan di pulau itu hari ini, sebanyak 30 dokumen pengenalan telah diserahkan kepada penduduk merangkumi sijil kelahiran, Mykad dan Mykid.

    Pada 4 Ogos lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang mengadakan lawatan ke pulai itu berkata Balai Polis Karakit wajar dinaik taraf bagi memberikan keselesaan kepada anggota bertugas selain meningkatkan keselamatan di pulau berkenaan serta perairan sekitar.

    Acryl Sani berkata ketika ini 38 anggota yang diketuai seorang pegawai berpangkat ASP bertugas di Balai Polis Karakit yang sudah usang dan sempit untuk operasi harian.

    Kudat ialah sebuah daerah terletak di utara Sabah kira-kira 180 km arah utara dari Kota Kinabalu dan Pulau Banggi terletak di bahagian utara daerah itu. – BERNAMA

  • Tarikh bubar Parlimen selepas dipersembahkan kepada Agong – GTA

    Tarikh bubar Parlimen selepas dipersembahkan kepada Agong – GTA

    GERAKAN Tanah Air (GTA) akan menyatakan pendiriannya mengenai cadangan tarikh pembubaran Parlimen selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

    Pengerusi Penajanya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata selepas itu juga, GTA akan membuat keputusan sama ada membantah atau menyokong tarikh pembubaran Parlimen yang akan membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

    “Kita berpendapat bahawa sepatutnya PRU15 diadakan pada waktu kita tidak menghadapi banjir besar dan angin kencang supaya semua pengundi selamat dan boleh mengundi dengan baik,” katanya pada sidang media selepas program Suara Tanah Air di sini hari ini.

    Semalam, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Majlis Tertinggi (MT) UMNO mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini dan Ismail Sabri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

    Sementara itu, Dr Mahathir berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memaklumkan proses pendaftaran gerakan itu tidak dapat dipercepatkan kerana terdapat lebih 30 parti politik turut membuat permohonan, namun RoS memberi pengakuan GTA tiada masalah untuk didaftarkan.

    Dr Mahathir juga berkata GTA bercadang untuk menampilkan lebih 30 peratus calon muda dalam PRU15. – BERNAMA

  • Isu Tommy Thomas: Kertas siasatan diperkemas dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara

    Isu Tommy Thomas: Kertas siasatan diperkemas dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara

    KERTAS siasatan yang telah diperkemaskan, berhubung dakwaan-dakwaan yang terkandung dalam buku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara Isnin ini untuk arahan selanjutnya. 

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan hari ini berkata Polis Diraja Malaysia PDRM juga telah selesai mengambil keterangan Thomas.

    “Susulan laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang telah ditaklimatkan kepada Jemaah Menteri, dan arahan oleh Perdana Menteri agar siasatan lanjut segera dilaksanakan, kertas siasatan yang telah diperkemaskan akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara,” katanya.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguat kuasa segera melaksanakan siasatan lanjut bagi menyiasat kemungkinan salah laku Thomas, berhubung pelbagai dakwaan yang terkandung dalam bukunya.

    Ismail Sabri berkata berdasarkan siasatan, pasukan petugas itu telah mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa serta kecuaian profesional; dan kenyataan berbaur hasutan. – BERNAMA

  • Aset KPM sedia diguna untuk banjir, PRU-15

    Aset KPM sedia diguna untuk banjir, PRU-15

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sentiasa bersedia dengan asetnya untuk digunakan oleh pihak berkuasa sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilangsungkan ketika musibah banjir melanda negara, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata sebagai sebuah institusi, ia sentiasa memberi sokongan dan dukungan dalam konteks keperluan untuk menggunakan sekolah sebagai pusat pemindahan banjir atau pusat pengundian, dan perkara sebegitu sudah dilaksanakan KPM sejak sekian lama.

    “Dalam apa jua keadaan diperlukan untuk banjir, maka kami (KPM) bersedia beri kerjasama untuk tujuan itu. Kalau diperlukan sekolah untuk digunakan sebagai pusat pengundian pun, itulah yang kita akan beri kerjasama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Pelaksanaan Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15 di sini hari ini.

    KPM merupakan institusi yang terbabit secara langsung apabila berlaku banjir dengan asetnya seperti sekolah berfungsi sebagai pusat pemindahan sementara mangsa banjir, pada masa sama biasanya juga digunakan sebagai pusat pengundian bagi sebarang proses pilihan raya.

    Bagaimanapun Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu berpendirian kebajikan rakyat diutamakan terlebih dahulu tanpa memikirkan kepentingan politik biarpun semasa parti itu bersedia menghadapi PRU15.

    “Kita faham dan kita simpati kesusahan rakyat. Kita ingin beri ruang sebanyaknya untuk proses pentadbiran dan pengurusan negara dapat diberi keutamaan demi kesejahteraan rakyat, tetapi kalau dipanggil juga (untuk diadakan) PRU, kami sebagai sebuah parti bersedia bila-bila masa,” katanya ketika mengulas pendirian parti mengenai PRU15. – BERNAMA

  • Sabah tekad perhebat momentum pembangunan – Hajiji

    Sabah tekad perhebat momentum pembangunan – Hajiji

    KERAJAAN Sabah terus bertekad untuk memperhebat lagi momentum pembangunan negeri, di samping menambah baik kualiti hidup rakyat menerusi pelbagai program dan inisiatif yang dirangka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Beliau berkata masih banyak perlu dilakukan di Sabah, dan kerajaan bertanggungjawab, agenda membela nasib rakyat dengan memacu pembangunan di seluruh negeri akan terus diperhebat meliputi pelbagai sektor.

    “Kerajaan akan terus memperkasa pembangunan infrastruktur dan utiliti luar bandar termasuk dalam aspek jaringan komunikasi, meningkatkan kualiti pendidikan, kesihatan dan modal insan, menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik serta mengurangkan kemiskinan.

    “Selain itu, menambah peluang pekerjaan, meningkatkan tahap keselamatan dan lebih penting membangunkan semula ekonomi negeri yang ternyata mengalami kelembapan serta terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah sempena ulang tahun ke-69 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, menyaksikan 54 orang menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat masing-masing.

    Hajiji berkata Sabah membelanjakan lebih RM2.39 bilion untuk projek pembangunan sehingga 4 Sept tahun ini di bawah pelan pusingan kedua Rancangan Malaysia Ke-12, sekali gus menunjukkan prestasi 45.67 peratus daripada lebih RM5.23 bilion diperuntukkan di bawah pelan itu untuk 1,118 projek pembangunan diluluskan.

    Beliau berkata agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya kini berada di landasan betul dan mula menampakkan hasil positif termasuk dalam sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan, selain pembangunan modal insan bagi memastikan anak Sabah tidak tercicir dalam bidang pekerjaan.

    “Saya percaya rakyat bijak untuk menilai fakta pencapaian kita khususnya ketika berhadapan pandemik COVID-19. Kita adalah kerajaan bertanggungjawab bukan hanya memikirkan dan merancang, malah lebih penting adalah melaksanakan banyak agenda pembangunan untuk membantu rakyat,” katanya. – BERNAMA

  • BMTKM fasa kedua bermula pertengahan Okt – Mustapa

    BMTKM fasa kedua bermula pertengahan Okt – Mustapa

    PROGRAM Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) fasa kedua akan bermula pada pertengahan bulan ini membabitkan 110 lokaliti di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Beliau berkata penyertaan seramai kira-kira 10,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar merupakan inisiatif kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan Keluarga Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

    “Hasil daripada pengalaman melaksanakan BMTKM Fasa 1 akan digunakan untuk menambah baik setiap aspek bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektif yang telah ditetapkan.

    “Penglibatan lebih aktif daripada sektor swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) amatlah dialu-alukan, terutama melalui inisiatif tanggungjawab korporat (CSR) mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan sesi dialog bersama penduduk Orang Asli Kuala Lah di sini hari ini.

    Mustapa berkata kerajaan sentiasa komited dalam menangani kemiskinan dan ketidaksamarataan supaya usaha membangunkan masyarakat inklusif serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan negeri dapat dicapai. 

    “Berdasarkan statistik bank data kemiskinan nasional, sejumlah 130,709 KIR miskin tegar direkodkan di seluruh negara hingga 15 Sept tahun ini.

    “Oleh itu, kerajaan menyeru semua pihak untuk tampil bagi bersama-sama menjayakan matlamat ini dengan mengguna pakai pendekatan keseluruhan negara yang akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh tiga tahun enam bulan,” katanya.

    Mengenai lawatan dan sesi dialog bersama penduduk Orang Asli Kuala Lah, Mustapa berkata dua projek di lokaliti tersebut telah diperakukan untuk pelaksanaan melibatkan 35 KIR dengan kos berjumlah RM415,995.

    “Projek yang dikenal pasti ialah tanaman serai, halia serta cendawan tiram kelabu dan kesemua peserta ini telah menandatangani aku janji sebagai komitmen mereka untuk memanfaatkan bantuan yang diberikan,” katanya.

    Beliau berkata sehingga kini pelaksanaan projek BMTKM Fasa 1 telah melibatkan 70 lokaliti di seluruh negara dengan membabitkan 1,536 KIR dengan kos berjumlah kira-kira RM17.2 juta. – BERNAMA

  • Dr S. Streram dakwa dipinggirkan PKR Negeri Sembilan

    Dr S. Streram dakwa dipinggirkan PKR Negeri Sembilan

    CALON Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau 2019, Dr S.Streram yang mengumumkan keluar PKR pada 8 Sept lepas, mendakwa beliau berbuat demikian kerana dipinggirkan parti itu.

    Bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Rantau itu juga berkata beliau kini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pimpinan Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga bekas Naib Presiden PKR, bagi meneruskan khidmat kepada rakyat, sejak bulan lepas.

    “Saya sudah 14 tahun dengan PKR dan sudah lama berkhidmat untuk rakyat tetapi selepas PRK Rantau, saya dan ramai lagi rakan saya dipinggirkan di Negeri Sembilan.

    “Saya membuat keputusan menyertai PBM untuk berkhidmat kepada rakyat, itu adalah matlamat penting saya ketika ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Pakar bius itu berkata beberapa rakan lain dalam PKR juga mendakwa mereka tidak bersefahaman dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun selain tidak bersetuju dengan pemilihan Aminuddin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

    Sementara itu Setiausaha PKR Negeri Sembilan Aliudin Mohamed berkata setakat ini beliau belum menerima sebarang pemakluman dari PKR pusat mengenai surat keluar parti daripada Dr Streram.

    “Saya belum menerima apa-apa surat daripada beliau, mungkin juga dia (Streram) boleh ajukan surat berkenaan kepada PKR pusat, namun setakat ini tiada pemakluman daripada mana-mana pihak,” katanya.

    Beliau juga memaklumkan sebelum ini Streram tidak mempunyai sebarang isu bersama PKR negeri, namun parti berkenaan tetap menghormati keputusannya.- BERNAMA