Author: Bernama

  • Blok asrama SMK Seri Kenangan di Segamat terbakar

    Blok asrama SMK Seri Kenangan di Segamat terbakar

    SEBUAH blok bangunan asrama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan di Segamat terbakar pada awal pagi tadi.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Segamat Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Aizad Mamat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.58 pagi dan menjalankan operasi pemadaman dengan kekuatan 20 anggota.

    “Pasukan keluaran operasi bertindak membuat pemadaman menggunakan air tangki pam jentera dan pili bomba berhampiran blok bangunan asrama setinggi dua tingkat itu.

    “Kebakaran tersebut memusnahkan 30 peratus daripada keseluruhan bangunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata kejadian itu tidak melibatkan mangsa dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

    Operasi memadam kebakaran tersebut tamat sepenuhnya pada 4.03 pagi.

  • Hadi Awang ucap terima kasih, kirim salam kepada semua

    Hadi Awang ucap terima kasih, kirim salam kepada semua

    KEADAAN kesihatan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan semakin pulih.

    Perkara itu dikongsikan Setiausaha Politik beliau, Mohd Syahir Che Sulaiman menerusi akaun Instagram (Instastory) hari ini.

    “Alhamdulillah, keadaan Tok Guru makin baik, sudah pulih dan dalam pemantauan (doktor). Masa terluang (Tok Guru) diisi dengan membaca dan menulis. Beliau sedang menyiapkan dua artikel baharu selain turut berbincang hal-hal semasa,” katanya.

    Menurut Ahli Parlimen Bachok itu juga, Abdul Hadi turut mengirimkan salam kepada semua serta berterima kasih atas doa dan ingatan ke atasnya.

    Semalam, kesihatan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilaporkan merosot dan dimasukkan ke hospital di Kuala Terengganu bagi menerima rawatan.

    Perkara itu dimaklumkan anaknya, Muhammad Khalil menerusi hantaran di laman Facebooknya pagi semalam.

    Dalam hantaran sama, Muhammad Khalil turut memaklumkan ayahnya berada dalam keadaan uzur sejak hadir ke pelancaran jentera pilihan raya Pemuda Pas Terengganu di Marang pada 27 Jun lepas.

  • Jatuh bot di Sungai Kelantan, dua mangsa ditemui lemas

    Jatuh bot di Sungai Kelantan, dua mangsa ditemui lemas

    SEORANG kanak-kanak lelaki dan bapa saudaranya yang jatuh daripada bot dinaiki mereka di Sungai Kelantan di Kampung Pasir Pekan Hulu, di Tumpat, Jumaat lepas ditemukan lemas, pagi ini.

    Ketua Polis Tumpat ACP Amran Dolah berkata kedua-dua mangsa ditemukan terapung oleh pasukan penyelamat.

    “Mangsa pertama iaitu Amrullah Fitri Afendi, 10, ditemukan sekitar 8.15 pagi tadi di tebing sungai dalam jarak 900 meter dari pusat kawalan tempat kejadian (PKTK), manakala, bapa saudaranya Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, pula ditemukan bawah jambatan Sultan Yahya Petra iaitu tengah-tengah kawasan sungai dan tidak jauh dari mangsa pertama dijumpai,” katanya kepada pemberita di Tumpat, hari ini.

    Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan susulan penemuan itu operasi mencari dan menyelamat ditamatkan.

    Pada Jumaat, Wan Muhamad Najmi, isterinya Nor Awadah Sulong, 30, dan anak perempuan mereka, Wan Nur Ameena, 14 bulan serta Amrullah Fitri terpelanting dan terjatuh ke dalam sungai selepas enjin bot dinaiki mereka tiba-tiba mati.

    Nor Awadah meninggal dunia akibat kejadian itu manakala anak perempuannya selamat.

  • PRN: BN tanding 110 daripada 245 kerusi – Zahid 

    PRN: BN tanding 110 daripada 245 kerusi – Zahid 

    BARISAN Nasional (BN) dijangka bertanding 45 peratus atau 110 kerusi daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN), manakala selebihnya akan ditandingi oleh Pakatan Harapan (PH).

    Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat, berdasarkan kedudukan semasa kerusi yang dimenangi oleh BN dan PH, pada pilihan raya umum yang lepas.

    “Ini berdasarkan kepada kerusi (DUN) yang sedia ada, yang dimenangi oleh PH… Sebab itu peratus itu lebih kepada parti komponen dalam PH. Kita akan umum statistik (sebenar) apabila keputusan terakhir dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat BN di Pantai Penunjuk dekat sini, hari ini.

    Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata BN akan bertanding lebih 100 kerusi DUN dan keputusan akhir akan dibuat oleh beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam masa terdekat.

    PRN akan datang membabitkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

    “Saya dan perdana menteri akan berbincang buat kali terakhir pada minggu hadapan bagi seluruh enam negeri… kawasan bertindih juga kita telah dapat selesaikan. Insya-Allah lepas ni kita akan selesaikan pula tentang calon bagi kerusi yang diperuntukkan kepada BN dan PH. Biro politik telah ambil keputusan, setiap DUN, pihak perhubungan negeri akan kemuka sekurang-kurangnya tiga calon,” katanya.

    Ahmad Zahid berkata setiap calon bukan sahaja akan melalui saringan daripada aspek boleh menang, malah penelitian akan turut dibuat di peringkat Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Mahkamah Syariah.

    “Kita akan lakukan saringan bukan hanya dari segi kebolehmenangan, kebolehterimaan dan bagaimana pengundi beri dukungan kepada calon-calon. Apabila senarai pendek telah dibuat, kita akan buat juga saringan kesihatan bagi menentukan setiap calon bersih dari segi lahiriah, fizikal dan mempunyai tahap kesihatan yang baik,” katanya.

    Mengenai kriteria pemilihan calon, beliau berkata golongan muda menjadi antara elemen utama dalam pemilihan calon, bagi membuktikan bahawa kerajaan BN-PH mendengar denyut nadi pengundi muda.

    “Kita lihat daripada PRN Melaka dan Johor, memperlihatkan kebolehmenangan muka baharu telah terbukti… Ini memperlihatkan cita rasa terutama pengundi baharu dalam kalangan umur 40 ke bawah, terutama usia 18, 19 dan 20 tahun. Mereka mahu cita rasa dan denyut nadi mereka (golongan muda) diambil keprihatinan oleh parti yang akan memerintah nanti. Dalam perkara ini BN khususnya UMNO kira ini elemen penting untuk raih kemenangan di DUN,” katanya.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan pelancaran jentera parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan akan bermula pada 7 Julai ini di Selangor, diikuti negeri-negeri lain.

    Beliau berkata secara dasarnya, tarikh serta tentatif program telah ada dan akan dipanjangkan kepada setiap badan perhubungan negeri untuk tindakan persediaan.

    — BERNAMA

  • 7 buah kilang musnah dalam kebakaran 

    7 buah kilang musnah dalam kebakaran 

    TUJUH kilang dan satu stor simpanan barangan musnah manakala dua  lagi rosak teruk dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian Budiman, Cheras, awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi itu tidak melibatkan mangsa.

    “Pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.15 pagi dan pasukan pertama sampai ke lokasi kejadian 23 minit kemudian.

    “Seramai 48 anggota bersama 10 jentera dan empat lori tangki air bersama sebuah ambulans dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn, BBP Serdang, BBP Pandan, BBP Kajang, BBP Bangi, BBP Petaling Jaya, BBP Shah Alam dan BBP Cyberjaya dikerahkan ke lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya kebakaran bermula daripada empat kilang di kawasan berkenaan yang kemudian merebak ke kilang lain yang terletak berhampiran.

    “Api merebak dengan pantas berikutan pengubahsuaian kilang dan kedudukan yang rapat, kilang-kilang yang terlibat juga padat dengan bahan yang mudah terbakar,” katanya.

    Wan Md Razali berkata lapan premis yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu adalah sebuah stor simpanan barang acara dan tujuh kilang melibatkan kilang barang plastik, kilang model rumah, kilang tembakau, kilang membuat perabot dan tilam, kilang audio kereta dan kilang makanan kucing.

    Katanya api dapat dikawal pada 4.37 pagi tadi dengan kerja-kerja memadam api di lokasi masih berjalan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

    — BERNAMA

  • Polis Johor tumpas sindiket edar dadah guna TikTok, WeChat

    Polis Johor tumpas sindiket edar dadah guna TikTok, WeChat

    POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan aplikasi TikTok dan WeChat selepas menahan lapan individu menerusi empat serbuan berasingan di sekitar bandar raya Johor Bahru, pada Ahad dan Isnin lepas.

    Timbalan Ketua Polis Johor DCP M Kumar berkata kesemua lima lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang wanita warga asing yang berusia antara 19 hingga 67 tahun itu ditahan dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor.

    “Kesemua individu termasuk seorang lelaki yang disyaki dalang itu ditahan hasil risikan yang dibuat sejak Mac lepas. Modus operandi mereka adalah menguar-uarkan kepada pembeli menggunakan TikTok dan WeChat sebelum mengedarkannya ke pasaran tempatan.

    “Sindiket akan meninggalkan dadah di suatu tempat sebelum diambil pembeli. Kita dapati sindiket ini menjadikan kondominium berpagar dan berpengawal sebagai tempat pembungkusan dan stor penyimpanan dadah,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru hari ini.

    Beliau berkata pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM926,644, antaranya 10.65 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 914.20 gram ketamin, 118 biji pil ekstasi dan 100 biji pil erimin 5 selain menyita dua buah kenderaan, wang tunai sebanyak RM11,910 dan 500 dolar Singapura.

    Kumar berkata saringan awal terhadap kesemua individu yang direman tujuh hari mulai Isnin lepas itu mendapati lima orang positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin, manakala empat orang mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

    Sementara itu, dalam kes berlainan, beliau berkata pihaknya menahan enam lelaki dan dua wanita tempatan bersama 16.22 kg heroin bernilai RM134,657 dalam serbuan berasingan di sekitar Batu Pahat, Isnin lepas.

    Beliau berkata kesemua individu berusia lingkungan 19 hingga 53 tahun itu dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran yang aktif sejak Mac lepas dan kesemua mereka direman selama tujuh hari mulai Isnin.

    “Modus operandi sindiket adalah menggunakan kenderaan dan rumah sewa sebagai stor penyimpanan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,“ katanya sambil menambah empat individu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan tetrahydrocannabinol (THC), manakala seorang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

    Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • PRN: Berkempen secara matang – Mufti Kelantan

    PRN: Berkempen secara matang – Mufti Kelantan

    MASYARAKAT Kelantan, khususnya umat Islam diingatkan agar bersikap lebih dewasa dan matang terutamanya dalam tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

    Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata sikap sedemikian bakal mencerminkan peribadi seseorang sekali gus mengelakkan tercetusnya perbalahan dan perpecahan sesama sendiri.

    “Kita telah menempuh beberapa kali pilihan raya, sepatutnya perkara ini mendewasakan kita.

    “Oleh itu, berkempenlah secara matang dan dewasa dan tidak menimbulkan sebarang provokasi. Kalau timbul perbalahan mahupun perpecahan antara masyarakat itu tandanya masih kebudak-budakan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Arafah #QuranHour di Masjid Sultan Muhammad II, di Kota Bharu hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Marhaini Yusoff.

    Mohamad Shukri juga menasihatkan orang ramai agar memilih pemimpin yang akan membawa kebaikan kepada masyarakat dalam PRN yang bakal diadakan.

    “Kita nak pilih pemimpin, pilih mereka yang akan memperkenalkan perkara kebaikan kepada negara dan masyarakat. Jangan pula kita nak menempa kemajuan dan kebaikan tetapi kita melakukan perkara yang bercanggah dengan perkara itu,” katanya.

    Mengulas mengenai majlis berkenaan, Marhaini berkata program Arafah #QuranHour bersempena dengan Hari Arafah merupakan penganjuran kali keenam yang turut diadakan secara serentak di beberapa lokasi berdaftar di Tanah Suci.

    Katanya program yang disertai 700 peserta di Kelantan itu, turut diadakan di 18 lokasi membabitkan lapan negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Perak, Selangor dan Pulau Pinang untuk melahirkan ejen perubahan dalam kalangan ummah.

    “Kita juga berharap program ini dapat menjadi program wajib setiap tahun memandangkan ia mampu menjadi pencetus kebangkitan dalam menggerakkan pelbagai projek membina ummah,” katanya.

  • Bapa dipenjara, denda kerana cederakan anak lelaki dengan rotan

    Bapa dipenjara, denda kerana cederakan anak lelaki dengan rotan

    SEORANG bapa dihukum penjara sehari dan didenda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret di Muar hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan anak lelakinya dengan rotan, tahun lepas.

    Majistret Analia Kamaruddin menjatuhi hukuman itu terhadap Goh Chiaw Hoe, 36, seorang penganggur, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah, sewaktu sebutan kes hari ini.

    Mahkamah memerintahkan bapa lima anak itu menjalani hukuman penjara tersebut hari ini dan mengarahkan dia dipenjara dua bulan, sekiranya gagal membayar denda tersebut.

    Mengikut pertuduhan, Goh didakwa telah menyebabkan kecederaan ke atas kanak-kanak berusia tujuh tahun ketika kejadian, di Taman Beting di Muar, pada 6 petang, 7 Ogos tahun lepas.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, pada 12.30 tengah hari, 8 Ogos 2022, seorang pegawai perubatan telah menerima seorang pesakit, dibawa oleh gurunya kerana terdapat kecederaan di tangan kiri dan kaki kiri akibat dirotan oleh bapanya, sebelum pegawai perubatan itu membuat laporan di Balai Polis Muar dan menyatakan mangsa telah dipukul.

    Mangsa yang mengalami kecederaan lebam di tangan kiri serta kaki kiri telah dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar dan bapa kanak-kanak itu telah ditangkap untuk siasatan lanjut pada 10 malam, 9 Ogos 2022.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabihah Mohd Noor manakala peguam Tay Chee Fu mewakili tertuduh.

  • Pelajar tingkatan lima ditahan bersama heroin bernilai RM40,000

    Pelajar tingkatan lima ditahan bersama heroin bernilai RM40,000

    POLIS menahan seorang remaja berusia 17 tahun serta merampas sejumlah dadah disyaki heroin seberat 74.80 gram bernilai RM40,000, di Pasir Puteh semalam.

    Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata remaja yang juga pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah di Pasir Puteh, ditahan ketika serbuan dilakukan di tepi jalan di Kampung Lembah Semerak pada 5 petang.

    Beliau berkata ketika intipan dilakukan suspek dilihat sedang duduk di atas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR warna kuning/hitam tanpa nombor pendaftaran di tepi jalan.

    “Suspek bertindak untuk cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah yang membuat serbuan.

    “Hasil pemeriksaan ke atas motosikal suspek telah ditemukan sebanyak 20 botol plastik cerah bertudung kuning yang setiap satu botol berisi serbuk keputihan disyaki dadah jenis heroin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Zaizul Rizal berkata hasil ujian saringan awal polis mendapati suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.

    “Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 4 Julai depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.

  • Pegawai, dua anggota polis antara ditahan positif dadah

    Pegawai, dua anggota polis antara ditahan positif dadah

    SEORANG pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden serta dua anggota berpangkat Sarjan dan Koperal antara 152 individu ditahan kerana positif terhadap dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Sungai Padungan, di Kuching, Ahad lepas.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri pada sidang media di Kuching hari ini berkata, ketiga-tiganya yang berusia antara 45 hingga 49 tahun disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas hasil saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

    Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM197,458 selain menyita harta yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta.

    Katanya, serbuan pada 1.20 hingga 6 pagi itu memeriksa seramai 204 pengunjung sebelum hasil pemeriksaan mendapati 152 daripadanya positif terhadap dadah.

    “Mereka yang positif dadah ini berusia antara 19 hingga 54 tahun dan disiasat di bawah seksyen sama,” katanya.