Author: Bernama

  • Perlu wujud mekanisme kawalan teratur industri ganja dan ketum

    Perlu wujud mekanisme kawalan teratur industri ganja dan ketum

    SATU bentuk mekanisme kawalan yang teratur perlu diwujudkan terlebih dahulu oleh pihak yang sedang meneliti cadangan perindustrian ganja dan ketum, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata langkah itu adalah bagi melindungi rakyat Malaysia daripada sebarang kemudaratan akibat penyalahgunaan dan penagihan bahan-bahan psikotropik yang terdapat pada kedua-dua tanaman tersebut.

    “Walaupun ada pihak yang mencadangkan supaya dibenarkan pengeksportan ketum ke negara jiran, saya berpandangan bahawa sebarang tanaman untuk tujuan eksport akan menjadi satu tanaman komoditi,” katanya dalam majlis perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan Tahun 2022 bertema “Kongsi Fakta, Sayangi Keluarga Malaysia” anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini hari ini.

    Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Halim Abdul Rahman. Turut hadir Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon.

    Hamzah berkata selain ganja, kawalan terhadap tanaman ketum juga telah dilaksanakan sejak 2003 dengan penyenaraian alkaloid mitragynine yang terdapat dalam tanaman ketum sebagai bahan psikotropik yang memberi kesan khayal ke atas penggunanya di bawah Jadual Ketiga Akta Racun 1952.

    Hamzah berkata kawalan tersebut merangkumi kawalan khas ke atas aktiviti pengimportan, penjualan, pembekalan, pemilikan dan penggunaannya di bawah Peraturan-Peraturan Racun (Bahan-bahan Psikotropik) 1989.

    Beliau berkata individu yang melakukan kesalahan di bawah akta itu jika disabitkan kesalahan akan didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.

    Menurutnya Malaysia berdepan cabaran baharu berkaitan perubahan polisi dan dasar dadah di negara serantau contohnya Thailand yang telah mengisytihar untuk mengeluarkan ganja daripada senarai dadah narkotik perundangan pada 9 Jun lepas.

    “Perkembangan ini telah membangkitkan cabaran baharu kepada Malaysia dalam mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan, pengedaran, penagihan dan penyalahgunaan dadah di dalam negara,” katanya.

    Hamzah berkata terdapat kebimbangan sebilangan rakyat Malaysia yang melancong ke Thailand akan mudah terdedah kepada produk-produk berasaskan ganja dalam bentuk makanan, minuman dan suplemen yang dijual bebas di negara itu.

    “Tambahan lagi, produk-produk berasaskan ganja dalam bentuk makanan, minuman dan suplemen ini mungkin akan diseludup masuk ke negara kita untuk kepada orang ramai.

    “Kita bimbang ada antara kita yang menjadi ketagih kepada ganja disebabkan pengambilan produk-produk ini tanpa sedar,” katanya.

    Hamzah berkata penyalahgunaan dadah dan bahan telah memberi kesan yang besar terhadap penjagaan kesihatan, perkhidmatan awam, ketenteraman awam dan keselamatan negara.

    Katanya bagi mengurangkan risiko kepada rakyat, kerajaan telah menyediakan sejumlah peruntukan setiap tahun untuk membendung penyeludupan dan pengedaran dadah, memberi kesedaran dan advokasi kepada masyarakat dan juga untuk merawat pulih tabiat ketagihan dadah.

    “Pada 2021, daripada 123,139 penagih dadah dan bahan yang dikesan di Malaysia, 66 peratus atau 81,112 orang adalah dalam kalangan mereka yang berumur 19-39 tahun.

    “Angka ini menunjukkan bahawa penglibatan golongan ini dalam masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah dan bahan adalah tinggi dan amat membimbangkan,” katanya.

    Hamzah berkata 53 negara ahli Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyokong satu usul iaitu mengeluarkan ganja dan resin ganja dari Jadual IV Konvensyen 1961 pada 2020 ketika persidangan 63rd Commission on Narcotics Drugs (CND).

    “Walau apa-apapun keputusan persidangan CND tersebut, pendirian Malaysia mengenai status kawalan ke atas ganja dan semua bahan-bahan berkaitan ganja dalam negara masih kekal di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Tindakan undang-undang tetap akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melanggar peruntukan di bawah akta ini,” katanya.

    Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini giat menggerakkan Kempen Kita Demi Negara bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk bersama-sama memikul tanggungjawab menjaga keselamatan dan memelihara ketenteraman negara termasuk juga untuk membendung isu penagihan dan penyalahgunaan dadah dan bahan. – BERNAMA

  • Agenda bubar Parlimen dibincang jika berkesempatan – PM

    Agenda bubar Parlimen dibincang jika berkesempatan – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ‘agenda tambahan’ termasuk berkaitan pembubaran Parlimen mungkin dibincangkan pada majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini jika berkesempatan.

    Beliau berkata kebiasaannya pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilakukan setiap minggu, sehari sebelum mesyuarat Kabinet bagi membincangkan perihal berkaitan Kabinet.

    Menurutnya, perbincangan itu mungkin mengambil masa yang panjang memandangkan banyak perkara yang akan diterangkan selain beliau menerima pesanan daripada Seri Paduka.

    Semasa ditemui selepas meninjau persiapan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan di sini hari ini, Ismail Sabri yang ditanya sama ada tarikh pembubaran Parlimen akan dibawa pada majlis menghadap hari ini berkata: “Tak pasti lagi nak bawa atau tak. Kalau bincang hal Kabinet panjang sangat, pasal Kabinet sahaja.”

    Ditanya lagi sama ada terdapat agenda “tambahan atau khusus” semasa menghadap Agong, Ismail Sabri berkata: “Kita tengok, kalau bincang sampai Maghrib tak sempat nak bincang hal lain”.

    Ismail Sabri dijangka menghadap Seri Paduka pada pukul 4 petang ini di Istana Negara. 

    Mengenai tindakan menteri Perikatan Nasional (PN) membantah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini, beliau berkata mereka berhak memberikan pandangan masing-masing namun keputusannya tertakluk kepada Yang di-Pertuan Agong. 

    Perdana Menteri berkata pembubaran Parlimen adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong yang tidak boleh dicabar dan Seri Paduka mempunyai kuasa budi bicara sepenuhnya berdasarkan Perkara 40(2)(b) Perlembagaan.

    Menurut Perkara 40(2)(b) Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara dalam melaksanakan fungsi iaitu tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen. 

    “Jadi siapa sahaja berhak beri pandangan termasuk Perdana Menteri berhak beri pandangan tetapi kuasa pemutus adalah (Yang di-Pertuan) Agong.

    “Kalau mereka nak tulis surat ke atau nak buat kenyataan akhbar ke, boleh. Itu bebas tapi akhirnya keputusan oleh (Yang di-Pertuan) Agong,” kata beliau.

    Dilaporkan 12 ahli Kabinet dari Bersatu dan PAS tidak bersetuju PRU15 diadakan tahun ini kerana bimbang risiko banjir dan menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian mereka.

    Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan surat itu ditandatangani oleh semua menteri PN kerana tidak mahu PRU-15 diadakan tahun ini, manakala Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata surat bertarikh 3 Okt itu sudah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong semalam. – BERNAMA

  • Banjir: Agong titah beri perhatian sistem amaran awal bencana, agihan bantuan

    Banjir: Agong titah beri perhatian sistem amaran awal bencana, agihan bantuan

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan agar Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberi perhatian kepada sistem amaran awal bencana sebagai persiapan menghadapi banjir.

    Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Al-Sultan Abdullah turut menitahkan supaya perhatian diberikan terhadap proses pengagihan bantuan kepada rakyat yang terjejas jika berlaku bencana.

    Beliau berkata Seri Paduka bertitah demikian pada sesi sembah taklimat cuaca dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di sini hari ini.

    “Pada taklimat hari ini, JPS dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sembah maklum data, persiapan dan lokasi ‘hotspot’ banjir kepada Seri Paduka dan Tuanku berpuas hati.

    “Tuanku menekankan soal sistem amaran awal dan kita sembah maklum bahawa KASA telah menambahkan fasiliti amaran awal seperti siren dan kemudahan lain terutama kawasan hotspot.

    “Tuanku juga titahkan pelarasan dari segi bantuan di bawah NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dengan agensi lain bagi mengelakkan kekeliruan di samping bantuan sampai kepada mangsa,” kata beliau kepada pemberita.

    Beliau berkata demikian selepas sesi sembah taklimat itu yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke sesi sembah taklimat itu yang diadakan secara tertutup bagi mengetahui kesiapsiagan agensi terlibat untuk menghadapi Monsun Timur Laut 2022/2023 yang dijangka bermula pertengahan November ini dan berakhir pada Mac 2023.

    Turut hadir Ketua Setiausaha KASA Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Ketua Pengarah JPS Datuk Dr Md Nasir Md Noh dan Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah.

    Sembah taklimat selama dua jam itu bermula dengan keadaan cuaca dan persiapan banjir daripada JPS serta MetMalaysia seterusnya berhubung situasi terkini COVID-19 serta kesediaan Kementerian Kesihatan (KKM) menghadapi banjir oleh Khairy. Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan melawat pusat kawalan PRABN.

    Sementara itu, Khairy berkata KKM turut mempersembahkan persiapan serta penempatan petugas kesihatan di pusat pemindahan sementara (PPS) serta perancangan sekiranya fasiliti kesihatan awam turut dilanda banjir.

    Ditanya sama ada sesi sembah taklimat itu turut menyentuh soal persiapan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau berkata perbincangan taklimat hanya menjurus kepada persediaan menghadapi musim banjir.

    “Tuanku hanya minta pandangan isu ini secara biasa bukan (kerana) PRU15, sebab memang kita berdepan Monsun Timur Laut, tak ada perbincangan selanjutnya (mengenai PRU15). Tuanku sangat cakna dengan kesejahteraan rakyat,” katanya. – BERNAMA

  • Tuntutan Sulu bersifat peribadi, tiada kaitan soal kedaulatan negara

    Tuntutan Sulu bersifat peribadi, tiada kaitan soal kedaulatan negara

    TUNTUTAN kumpulan Sulu adalah tuntutan peribadi dan tidak ada kena-mengena soal kedaulatan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Beliau berkata ia adalah tuntutan kepada kerajaan Malaysia sebagai menuntut apa yang dikatakan sewaan jajahan Sabah dahulu.

    Bagaimanapun, menurutnya kerajaan sentiasa memerhati reaksi ahli politik dan kerajaan Filipina dalam soal ini sebelum mengambil sebarang tindakan.

    “Setakat ini, Wisma Putra dapat maklum ada perkara-perkara dibangkit senator dan ahli politik di sana, ketika itu nanti apabila kerajaan Filipina memberi reaksi kepada kehendak ahli politik ini, barulah Wisma Putra akan mengambil tindakan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang ingin tahu mengenai isu tuntutan kumpulan Sulu yang menurutnya kini beralih menjadi isu kedaulatan negara selepas beberapa senator Filipina dilapor mahu memperbaharui tuntutan ke atas Sabah sebagai sebahagian Filipina.

    Wan Junaidi berkata isu tuntutan terhadap Sabah sememangnya sentiasa dimainkan ahli politik Filipina yang cuba ‘menangguk di air yang keruh’ susulan tuntutan kumpulan Sulu terhadap Sabah.

    “Ada satu ketika dahulu di zaman Ramos (bekas Presiden Filipina Fidel Ramos) hendak digugurkan (isu tuntutan Sabah) pun tak gugur, dikekalkan di situ sebagai isu politik mereka, kalau tak ada isu lain, isu inilah yang akan dibangkitkan.

    “Tetapi setakat ini, hanyalah suara-suara yang orang kata, tak betul disuara ahli politik di sana, menumpang di air keruh,” katanya.

    Mengenai soalan tambahan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang mahu tahu adakah kerajaan bersikap proaktif dalam isu tuntutan kumpulan Sulu, Wan Junaidi memberi komitmen bahawa kerajaan melalui jawatankuasa yang ditubuhkan telah memainkan peranan proaktif.

    “Saya beri jaminan setiap perkara yang berlaku kita akan lihat. Tetapi dalam keadaan sekarang, kita tidak boleh memberi penjelasan setiap strategi kita kepada umum, kerana tindakan kita berlandaskan jangan diketahui pihak lawan,” katanya.

    Pada 12 Julai lepas, Mahkamah Rayuan Paris telah membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award bertarikh 28 Feb 2022 yang dikeluarkan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa berikutan tuntutan kumpulan Sulu melalui satu prosiding timbangtara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.- BERNAMA

  • Nelayan didenda RM11,000 miliki bahan letupan, tangkap ikan tanpa lesen

    Nelayan didenda RM11,000 miliki bahan letupan, tangkap ikan tanpa lesen

    SEORANG nelayan warga tempatan didenda RM11,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan termasuk memiliki bahan letupan, April lepas.

    Abdul Gafar Abdul Latif, 48, dituduh memiliki bahan letupan jenis emulex tanpa kebenaran di dalam sebuah vesel nelayan tempatan pada kedudukan 0.2 batu nautika dari Tanjung Selantai, Mersing, pada 18 April lepas.

    Menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini, lelaki berkenaan yang dijatuhi hukuman semalam, didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, yang membawa hukuman  dipenjara tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Selain itu, Abdul Gafar juga didakwa menangkap ikan tanpa lesen serta memiliki peralatan menangkap ikan tanpa lesen pada hari yang sama pada pukul 11 malam.

    Pertuduhan menangkap ikan tanpa lesen mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (b) akta yang sama manakala memiliki peralatan menangkap ikan tanpa lesen merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11 (3) (b) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (b) Akta yang sama.

    Bagi kedua-dua kesalahan itu, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

    Hakim Norsiah Ujang menjatuhi hukuman denda RM10,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua, jika gagal berbuat demikian lelaki itu boleh dipenjara tiga bulan bagi pertuduhan pertama dan dua bulan untuk pertuduhan kedua.

    Selain itu, Norsiah turut mengarahkan tertuduh membayar denda RM1,000 bagi pertuduhan ketiga dan jika gagal membayarnya, boleh dipenjara satu bulan.

    Mahkamah mengarahkan barang kes seperti vesel, dan peralatan menangkap ikan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maritim Negeri Johor Azlan Bohari manakala Abdul Gafar tidak diwakili peguam.

  • Pintu terkunci,tangga curam dan panik punca tragedi Stadium Kanjuruhan-Jokowi

    Pintu terkunci,tangga curam dan panik punca tragedi Stadium Kanjuruhan-Jokowi

    TRAGEDI 1 Okt di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur dikenal pasti berpunca daripada pintu keluar terkunci, kata Presiden Indonesia Joko Widodo.

    Beliau yang lebih dikenali sebagai Jokowi berkata tinjauannya di stadium pada Khamis mendapati tangga ke pintu keluar juga terlalu curam dan ditambah dengan penyokong yang panik.

    “Hal itu perlu dilihat secara terperinci oleh jawatankuasa khas bebas dan yang paling penting ialah keseluruhan bangunan stadium akan diaudit oleh Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Rakyat (PUPR),” katanya dalam satu kenyataan.

    Kementerian itu juga diarah mengaudit dan memperbaiki semua stadium yang menjadi venue perlawanan dalam liga bola sepak sesuai dengan standard yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

    FIFA menyatakan kesediaan untuk membantu menambah baik pengurusan stadium semasa perbualan telefon dengan Presiden Gianni Infantino pada Isnin, kata Jokowi.

    Menurutnya, pentadbir, pengurusan stadium, penonton dan keselamatan memerlukan penilaian menyeluruh agar kejadian selepas perlawanan antara Arema FC dan Persebaya Surabaya tidak berulang.

    Beliau dan isteri Iriana Joko Widodo mengunjungi hospital di Malang untuk melawat mangsa dan memberikan pampasan 50 juta rupiah (sekitar RM15,000) kepada keluarga mangsa yang terkorban.

    Tragedi itu berlaku selepas pasukan Arema FC tewas, mencetuskan kemarahan penyokongnya yang memasuki padang untuk bersemuka dengan pemain dan pegawai pasukan itu selepas perlawanan tamat.

    Keadaan tegang memaksa pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata yang menyebabkan ribuan penyokong berasak-asak untuk keluar stadium melalui beberapa pintu sehingga berlaku rempuhan.

    Sementara itu, Angkatan Darat Tentera Nasional Indonesia menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa khas bebas untuk menyiasat mengenai dakwaan beberapa anggotanya yang melakukan kekerasan semasa menyuraikan rusuhan.

    Bagaimanapun, Ketua Staf Jeneral Dudung Abdurachman berkata kekerasan yang dilakukan kemungkinan bersebab dan ramai anggotanya turut membantu menyelamatkan penyokong.

    Dalam video yang tular di media sosial, anggota tentera yang turut serta menjaga keselamatan di stadium bertindak kasar dengan menendang penyokong bola sepak hingga terjatuh.

  • Pekerja ladang warga India terlepas tali gantung

    Pekerja ladang warga India terlepas tali gantung

    SEORANG pekerja ladang warga India terlepas tali gantung setelah Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati kerana membunuh rakan sekerja pada 2018 kepada hukuman penjara 14 tahun selepas mengaku bersalah atas dakwaan membunuh tanpa niat.

    Ini berikutan selepas pihak pendakwaan menerima representasi S Rajendran, 55, untuk meminda pertuduhan membunuh kepada membunuh tanpa niat.

    Panel tiga hakim terdiri daripada hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah memerintahkan Rajendran memulakan hukuman penjara mulai tarikh tangkapan pada 17 April 2018.

    Rajendran pada mulanya dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh tahun lalu selepas didapati bersalah membunuh P Ramunaidu, seorang buruh di ladang kelapa sawit, berhampiran sebuah rumah di Simpang Kampung Awah, Jalan Maran, Marah, Pahang antara jam11.10 malam hingga 11.30 malam pada 6 April 2018.

    Dalam mitigasi, peguamnya, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu berkata, trend hukuman bagi kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan adalah antara 12 hingga 20 tahun.

    “Kepentingan awam juga akan dilaksanakan sebaik-baiknya sekiranya perayu (Rajendran) boleh diberi peluang untuk membuka lembaran baharu dalam hidupnya dan masa yang dihabiskan perayu dalam penjara selama empat tahun lima bulan sejak tarikh dia ditangkap, telah memberikannya kesan pemulihan,” katanya.

    Baljit Singh berhujah bahawa anak guamnya, yang juga bekerja di ladang kelapa sawit, telah diprovokasi oleh si mati, sambil menambah bahawa Rajendran tidak mempunyai sabitan lampau dan merupakan pesalah kali pertama.

    Mengikut fakta kes, Rajendran sedang tidur apabila si mati menarik kakinya menyebabkan dia terjatuh dari katil.

    Si mati kemudian menyerangnya dengan menampar dan memukul serta memarahinya dengan kata-kata yang menyinggung perasaan.

    Rajendran merayu si mati untuk berhenti tetapi tidak diendahkan oleh si mati yang kemudiannya mengambil sebatang besi dan memukul kepala dan dada tertuduh sebelum Rajendran kemudian melawan dan secara spontan menetak si mati dengan sebilah parang.

    Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman penjara antara 15 hingga 18 tahun.

  • SOSMA: Kontraktor gagal dapat jaminan

    SOSMA: Kontraktor gagal dapat jaminan

    SEORANG kontraktor yang berdepan dengan pertuduhan menyeludup migran ke negara ini dan menerima habuan daripada aktiviti tersebut gagal dalam permohonanya untuk dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan kesnya.

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Vernon Ong Lam Kiat menolak permohonan Samat Yamin selepas memutuskan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) menghadkan pemberian jaminan kepada tertuduh tertentu adalah berperlembagaan.

    Seksyen 13 akta itu memperuntukkan bahawa jaminan tidak boleh diberikan kepada individu yang didakwa dengan kesalahan keselamatan dan pengecualian diberikan kepada tahanan berusia bawah 18 tahun, wanita,individu yang sakit atau uzur.

    Dalam penghakimannya, Ong berkata Samat, 56, gagal memenuhi syarat di bawah Seksyen 13 Akta SOSMA untuk diberi jaminan sementara menunggu perbicaraan.

    “Kami tidak fikir pemohon (Samat) sakit atau uzur mengikut takrifan Seksyen 13 Akta SOMSA,” katanya yang bersidang bersama hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang.

    Ong juga berpendapat pertuduhan Samat mengikut Seksyen 26A dan 26D Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) berada dalam lingkungan SOSMA.

    Samat, didakwa di Mahkamah Tinggi Klang dua tahun lalu atas tuduhan menyeludup migran dan menerima hasil daripada penyeludupan migran di sebuah rumah di Setapak, Kuala Lumpur, antara 17 Mei dan 20 Mei 2020.

    Mahkamah Tinggi pada 2020 menolak permohonan Samat untuk memperoleh jaminan sementara menunggu perbicaraan susulan dua pertuduhan dihadapinya menyentuh soal keselamatan negara dan pihak pendakwaan menggunakan Akta SOSMA untuk tidak membenarkannya dibebaskan dengan ikat jamin.

    Mahkamah Rayuan juga menolak rayuan Samat pada Mei tahun ini yang memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

    Hari ini, Mahkamah Persekutuan menolak bantahan awal pihak pendakwaan dan meneruskan untuk mendengar merit permohonan jaminan selepas memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

    Peguam Samat, Ram Karpal Singh, berhujah bahawa Seksyen 13 adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana terdapat diskriminasi dalam pemberian jaminan kepada orang yang didakwa atas kesalahan keselamatan.

    Beliau berkata lelaki cergas dan sihat yang didakwa atas kesalahan keselamatan di bawah SOSMA tidak boleh memohon dan mendapatkan jaminan tetapi wanita yang didakwa melakukan kesalahan sama di bawah SOSMA boleh mendapatkan jaminan tanpa mengira sama ada sihat atau sebaliknya.

    Beliau berkata sekatan dalam Seksyen 13 yang hanya membenarkan ikat jamin kepada tertuduh tertentu adalah melanggar prinsip kesaksamaan yang termaktub dalam Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu tidak berperlembagaan.

    Ram Karpal, yang dibantu oleh Sangeet Kaur Deo, Harshaan Zamani, Simranjit Kaur, berkata anak guamnya menghidap penyakit gout, jantung, buah pinggang dan diabetes dan sepatutnya diberi jaminan sementara menunggu perbicaraan.

    Beliau juga berkata pertuduhan yang dihadapi anak guamnya bukanlah kesalahan berkaitan keselamatan kerana tiada unsur keganasan atau aktiviti keganasan.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, berhujah bahawa Seksyen 13 tidak diskriminasi dan selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, sambil menambah bahawa Samat tidak menghidap penyakit yang mengancam nyawa yang memerlukan rawatan berterusan.

  • DUN Selangor, N. Sembilan dan P. Pinang tidak dibubar tahun ini

    DUN Selangor, N. Sembilan dan P. Pinang tidak dibubar tahun ini

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang hanya akan dibubarkan tahun depan iaitu pada satu tarikh yang akan diumum kelak, menurut Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

    Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu diperoleh menerusi satu perbincangan dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada hari ini berhubung isu tarikh pembubaran DUN di negeri berkenaan.

    Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di bangunan Parlimen di sini berkata pendirian pemimpin di ketiga-tiga negeri itu adalah menumpukan perhatian menangani permasalahan banjir dan meringankan beban mangsa yang terpaksa berdepan bencana itu.

    “Oleh yang demikian, mereka (negeri berkenaan) tidak akan mengadakan pilihan raya sehingga selesai isu banjir dijangka Februari, Mac dan mereka ada ruang atau wewenang untuk menetapkan (tarikh) selepas itu.

    “Pokoknya (negeri berkenaan) tidak akan bersama dengan Kerajaan Persekutuan seandainya pilihan raya diadakan semasa banjir kerana pada anggapan Ketua Menteri Pulau Pinang, Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan mereka tidak harus tambah derita dan penderaan kepada rakyat yang terpaksa mengharungi masalah banjir,” katanya.

    Kenyataan Majlis Presiden PH berkenaan dikeluarkan secara bersama oleh Anwar yang juga Presiden PKR, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. 

    Sementara itu, Anwar mengumumkan PH bersetuju menggunakan logo baharu, namun gabungan itu akan menggunakan logo lama untuk pilihan raya akan datang sekiranya diadakan dalam masa terdekat kerana kesukaran melibatkan logistik.

    “Maknanya soal logo ini tidak perlu dibincangkan lagi… saya ucap terima kasih kerana ketua-ketua parti PH itu menghargai pandangan, kita juga bersama dan bersetuju tetapi kepentingan kita ialah untuk menghadapi pilihan raya segera,” katanya.

    Berkenaan perkembangan penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam PH, Anwar berkata perkara itu masih dalam perbincangan.

    Pada 21 Sept, Majlis Presiden PH dilaporkan memaklumkan bersetuju membentuk satu jawatankuasa bagi mengadakan rundingan dengan MUDA dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

    Majlis Presiden PH memaklumkan jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh seorang wakil dari setiap parti komponen gabungan itu iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Steven Sim Chee Keong (DAP), Mohd Hasbie Muda (Amanah) dan Datuk Ewon Benedick (UPKO).- BERNAMA

  • Penganggur didakwa cederakan anggota polis

    Penganggur didakwa cederakan anggota polis

    SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dakwaan menyebabkan kecederaan parah seorang anggota polis di sebuah kediaman di Jalan Siswi, Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36, di Shah Alam bulan lepas.

    Norazizul Lizam Miskun, 47, yang tidak diwakili peguam didakwa mencederakan Mohd Ridzuan Marsudi, 32, menggunakan parang pada 4.01 petang, 26 September lepas.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

    Hakim Rihaida Rafie memerintahkan Norazizul Lizam diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta diarahkan untuk tidak mengganggu mangsa atau saksi sehingga kes selesai dan menetapkan 21 Disember ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Reetha.

    Sementara itu di Mahkamah Majistret di Shah Alam, Norazizul Lizam didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan merosakkan dua kenderaan milik dua abangnya di kediaman yang sama, bulan lepas.

    Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menjatuhkan hukuman itu ke atas Norazizul Lizam yang melakukan perbuatan itu di kediaman sama kira-kira 4 petang, 25 September dan didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa dengan sengaja mengambil pasu bunga dan menghempasnya pada cermin dua kereta masing-masing milik Noor Hadi Miskun, 53, dan Nor Baiza Miskun, 49, sehingga menyebabkan cermin kenderaan berkenaan pecah serta mengakibatkan kerugian.

    Di Mahkamah Majistret berlainan di Shah Alam, Norazizul Lizam turut mengaku bersalah di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani atas satu pertuduhan memasukkan dadah jenis tetrahydro cannabinol hydrocarboxy lic acid (THC); methamphetamine dan amphetamine di Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Shah Alam, pada 7.40 malam, 26 September.

    Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 15(1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Nur Faizah kemudian memerintahkan tertuduh djamin RM2,000 dan menetapkan 21 November untuk tarikh serahan laporan patologi sebelum hukuman dijatuhkan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saidah Fasihah.