Author: Bernama

  • Rayuan Isa Samad terhadap sabitan,hukuman didengar 7 Mac

    Rayuan Isa Samad terhadap sabitan,hukuman didengar 7 Mac

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 7 Mac depan untuk mendengar rayuan bekas pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad terhadap sabitan dan hukuman enam tahun penjara serta denda bagi kesalahan rasuah yang berkaitan dengan pembelian sebuah hotel di Sarawak.

    Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    Beliau berkata sebelum pendengaran rayuan, pengurusan kes ditetapkan pada 21 Feb depan, dan pihak pendakwaan serta pembelaan perlu menfail hujah masing-masing pada 14 Feb.

    Tarikh pendengaran itu ditetapkan berikutan pengurusan kes yang diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron hari ini.

    Pada 3 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Isa, 72, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan dengan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, oleh Felda.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan 54 tahun, serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

    Bagaimanapun Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

    Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta di samping menetapkan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan selesai, dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Feb 2021.

  • Agong berkenan tamatkan darurat di kerusi Parlimen,DUN kosong

    Agong berkenan tamatkan darurat di kerusi Parlimen,DUN kosong

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, berkuat kuasa semalam.

    Perintah pembatalan itu melibatkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah; serta Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (No. 2) (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.054 Gerik, Perak.

    Turut dibatalkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 3) (Pembatalan) 2022) dan Proklamasi Darurat (No. 3) (Pembatalan) 2022 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Bugaya, Sabah.

    Dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 6 Okt yang disiarkan oleh Jabatan Peguam Negara, pembatalan itu berikutan Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa keperluan kesemua ordinan dan proklamasi darurat berkenaan yang diisytiharkan susulan wabak penyakit berjangkit Covid-19, telah berakhir.

    Pembatalan semua ordinan dan proklamasi darurat berkenaan mengikut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dan Fasal (1) dan (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

    Warta Kerajaan Persekutuan itu turut menyatakan perkara itu akan dibentangkan di Parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

    Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong perkenan isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi berkuat kuasa 18 Nov 2020 serta Parlimen Gerik dan DUN Bugaya masing-masing berkuat kuasa 12 Dis 2020, untuk membendung penularan COVID-19.

    -Bernama

  • Tragedi Stadium Kanjuruhan: Enam individu berdepan tuduhan jenayah

    Tragedi Stadium Kanjuruhan: Enam individu berdepan tuduhan jenayah

    Enam individu terdiri daripada tiga anggota jawatankuasa penganjur dan tiga anggota polis berdepan tuduhan jenayah berkaitan tragedi 1 Okt di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur yang meragut 125 nyawa termasuk kanak-kanak.

    Tiga anggota polis itu adalah mereka yang bertugas semasa pertembungan ‘derby Jawa Timur’ antara Arema FC dan Persebaya Surabaya, kata Ketua Polis Jenderal Listyo Sigit Prabowo dalam sidang media yang disiarkan stesen televisyen tempatan.

    Beliau berkata mereka akan didakwa di bawah Perkara 359 dan 360 Kanun Keseksaan iaitu kecuaian sehingga menyebabkan kematian dan Perkara 103 perenggan 1 Undang-Undang No 11 Tahun 2022 mengenai sukan.

    Listyo berkata ketua PT Liga Indonesia Baru, organisasi yang mentadbir pertandingan bola sepak profesional Indonesia disyaki gagal memastikan stadium memenuhi syarat untuk pensijilan operasi.

    Ketua jawatankuasa pengelola pertandingan Arema FC mencetak tiket melebihi kuota menjadi 42,000 tiket melampaui had 38,000 tiket dan pegawai keselamatan kelab tidak menyelaraskan penjaga pintu ketika kejadian.

    Seorang anggota polis didapati gagal mencegah penggunaan gas pemedih mata meskipun tahu ia dilarang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa, manakala dua lagi memerintahkan anggota bawahan melepaskan gas pemedih mata.

    Jika sabit kesalahan keenam-enam mereka boleh dipenjara maksimum lima tahun, kata Listyo sambil menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada penambahan suspek memandangkan siasatan masih diteruskan.

    Kekalahan pertama Arema FC di tempat sendiri kepada Persebaya Surabaya dalam tempoh 23 tahun mencetuskan kemarahan penyokongnya yang memasuki padang untuk bersemuka dengan pemain dan pegawai pasukan itu sebaik tamat perlawanan.

    Situasi tegang memaksa pihak keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan menyebabkan ribuan penyokong berasak-asak untuk keluar stadium melalui beberapa pintu sehingga berlaku rempuhan.

    Akibat insiden itu, Arema FC didenda 250 juta rupiah (RM76,124) oleh Persatuan Bola Sepak Indonesia, manakala Polis Indonesia memecat ketua polis Malang dan sembilan lagi anggota.

  • PRU-15: Semua jentera parti komponen PN bergerak atas nama gabungan

    PRU-15: Semua jentera parti komponen PN bergerak atas nama gabungan

    Mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) hari ini bersetuju agar semua jentera pilihan raya parti komponen di setiap peringkat bergerak atas nama gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

    Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PN dan Biro Politik Bersatu yang berlangsung sebentar tadi. 

    “Tadi kita ada mesyuarat bincang mengenai persiapan PRU15. Bila masa (PRU15), Wallahualam kita tidak tahu tapi ini bukan baharu dah kita sudah bincang beberapa kali tapi hari ini lebih terperinci untuk menentukan supaya satu, menyelaraskan semua jentera kita atas nama PN.

    “Kita dah bersetuju di peringkat PN agar semua jentera (parti komponen) di semua peringkat bergerak atas nama PN, maknanya gabungan parti-parti iaitu Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah AirKu (STAR). Itu yang telah kita tetapkan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuararat berkenaan.

    Turut hadir pada mesyuarat itu Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin, dua Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin serta Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

    Mesyuarat Biro Politik Bersatu turut diadakan selepas itu.

    Muhyiddin juga berkata, mesyuarat Majlis Presiden PN turut bersetuju untuk meneruskan Program Jelajah Prihatin bagi memberikan penerangan terperinci tentang pandangan gabungan itu berkaitan isu semasa.

    “Ini termasuklah tentang apa yang kita nak masukkan dalam manifesto kita dan apa yang kita nak sediakan… tumpuan kepada soal isu rakyat, rakyat kita mahu utamakan. 

    “Selain itu, Program Gerai Prihatin juga diteruskan untuk bantu rakyat menghadapi masalah besar seperti kos sara hidup tinggi, inflasi dan sebagainya… kita sudah mulakan di banyak negeri dan kita akan beri tumpuan dalam masa terdekat supaya kawasan-kawasan yang memerlukan bantuan, dapat dibantu,” katanya.

    Mengenai kedudukan PAS sama ada kekal dalam PN bagi menghadapi PRU15, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu secara ringkas berkata: “Insya-Allah, kita istiqamah.” – BERNAMA

  • Polis buka kertas siasatan penyebaran laporan buku Tommy Thomas

    Polis buka kertas siasatan penyebaran laporan buku Tommy Thomas

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung penyebaran laporan siasatan buku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ oleh laman web Malaysia Today.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam satu kenyataan hari ini berkata siasatan terhadap laman web tempatan itu dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Siasatan kes dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas selepas PDRM menerima satu laporan polis berhubung penyebaran maklumat itu yang disiarkan dengan tajuk, ‘Rahsia: Laporan Siasatan Ke Atas Buku Tan Sri Tommy Thomas”, kata Noorsiah.

    Tinjauan terhadap laman web berkenaan mendapati laporan berkenaan telah dimuat naik pada hari ini dan boleh dimuat turun oleh pengguna.

    Pada 30 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguat kuasa segera melaksanakan siasatan lanjut bagi menyiasat kemungkinan salah laku Thomas, berhubung pelbagai dakwaan yang terkandung dalam buku dihasilkannya.

    Menurut Ismail Sabri berdasarkan siasatan, pasukan petugas itu telah mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa serta kecuaian profesional; dan kenyataan berbaur hasutan. – BERNAMA

  • Produk gantian nikotin dikategorikan bukan racun mulai hari ini

    Produk gantian nikotin dikategorikan bukan racun mulai hari ini

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengambil langkah proaktif dengan menjadikan produk gantian nikotin sebagai bukan racun berkuat kuasa hari ini, bagi membantu perokok yang bermotivasi untuk berhenti merokok, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

    Ia dilakukan dengan memberikan pengecualian kepada nikotin daripada kawalan di bawah Akta Racun 1952 bagi produk dalam bentuk koyok atau gula-gula getah yang berdaftar di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984, yang digunakan sebagai bantuan untuk berhenti merokok.

    Khairy dalam kenyataan hari ini berkata menerusi pengecualian itu, akses kepada produk gantian nikotin dalam bentuk berkenaan kini menjadi lebih mudah dan meluas menerusi pembelian di kaunter termasuk di kedai runcit atau serbaneka yang membekalkannya, sama seperti amalan di Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Australia.

    “Pengecualian ini juga diharap dapat membantu perokok yang bermotivasi untuk berhenti merokok dalam menangani kesan simptom penarikan. Kebergantungan nikotin melalui sediaan koyok dan gula-gula getah didapati kurang memberikan kesan mudarat berbanding kebergantungan kepada nikotin melalui rokok,” katanya.

    Menurut Khairy buat masa ini perokok yang ingin berhenti merokok mempunyai akses yang terhad kepada produk gantian nikotin memandangkan nikotin dikawal selia di bawah Akta Racun 1952, yang menetapkan pembekalannya hanya boleh dilakukan oleh ahli farmasi berlesen atau pengamal perubatan berdaftar.

    Pengecualian tersebut turut selaras dengan pewartaan Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2022 (P.U.(A) 309/2022) pada 5 Okt.- BERNAMA

  • Majlis Presiden PN bincang persiapan, manifesto PRU-15

    Majlis Presiden PN bincang persiapan, manifesto PRU-15

    MAJLIS Presiden Perikatan Nasional (PN) mengadakan mesyuarat hari ini dengan antara lain membincangkan hal berkaitan manifesto dan persiapan jentera pilihan raya peringkat negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, kepada media di saat spekulasi PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat semakin hangat diperkatakan.

    “Mesyuarat hari ini merupakan mesyuarat bulanan PN iaitu pelaporan daripada pelbagai unit, keduanya tentang persiapan PRU termasuk manifesto serta pelancaran jentera pilihan raya di Selangor semalam dan selepas ini di Perak dan Pahang. 

    “Jawatankuasa perundingan kerusi juga masing-masing buat pelaporan awal, apa pun kita akan adakan perbincangan berikutnya selepas ini dan setiap parti dia ada jawatankuasa bersama,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut.

    Mengenai pembahagian kerusi antara parti komponen PN, Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata perkara tersebut juga masih dalam perbincangan.

    “Ada beberapa kerusi yang kita fikir kita perlu duduk untuk muafakat bagi elak kerusi tersebut jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH)…kita akan bentang perincian nanti,” katanya. 

    Mesyuarat dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN turut dihadiri  Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dua Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin serta Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.- BERNAMA

  • KPDNHEP teruskan Program Food Bank Malaysia bantu mangsa banjir

    KPDNHEP teruskan Program Food Bank Malaysia bantu mangsa banjir

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneruskan Program Food Bank Malaysia (PFBM) bagi membantu mangsa banjir sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka melanda tidak lama lagi.

    Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata tahun lalu PFBM bencana berkenaan yang dikenali sebagai Bantuan Food Bank Banjir telah membantu sebanyak 25,000 mangsa daripada 6,000 keluarga di Lembah Klang dan Pantai Timur.

    Beliau berkata bagi berdepan bencana terbabit, pihak kementerian telah bersiap siaga dengan menyimpan barangan yang akan diagihkan kepada mangsa banjir di lima Gudang Food Bank Malaysia yang terletak di Selangor, Johor, Melaka, Kelantan dan Sarawak.

    “Kita juga telah menyediakan 12 mesin retort (mesin pek makanan) di 10 lokasi di negara ini iaitu di Kuala Lumpur, Selangor Putrajaya, Pahang, Terengganu, Perak, Sarawak dan Sabah.

    “Antara makanan retort yang akan disumbangkan seperti kari kambing, ayam sambal, ayam percik, nasi goreng, daging rendang dan pelbagai lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Food Bank Siswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Pagoh, hari ini

    Rosol berkata Bantuan Food Bank Banjir yang selepas ini akan dikenali sebagai Bantuan Food Bank Bencana, tidak hanya memfokuskan kepada mangsa banjir semata-mata tetapi bantuan turut akan diberikan kepada apa sahaja bencana.

    Sementara itu, berkenaan Food Bank Siswa pula, katanya, pihaknya telah menerima 28 permohonan daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT) termasuk IPT swasta dan politeknik seluruh negara semenjak dilancarkan pada Februari 2019.

    Katanya, pelaksanaan Food Bank Siswa ini dilaksanakan dengan konsep ‘Food Pantry’ yang mana makanan kering akan diagihkan kepada pelajar mengikut jadual dan konsep ‘Food Kitchen’ dengan agihan makanan bermasak kepada pelajar.

    “Sehingga bulan lalu, seramai 20,951 pelajar IPT telah menerima manfaat melalui program ini dan hari ini seramai 500 pelajar UIAM Cawangan Pagoh menjadi penerima terbaharu,” katanya. – BERNAMA

  • Penangguhan terakhir untuk rayuan NFCorp

    Penangguhan terakhir untuk rayuan NFCorp

    MAHKAMAH Rayuan membenarkan penangguhan akhir prosiding rayuan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan empat yang lain berhubung saman pelanggaran kontrak mereka terhadap sebuah bank.

    Hakim Datuk Azizah Nawawi, yang mengetuai panel tiga hakim, bagaimanapun mengarahkan NFCorp, Pengerusi Eksekutifnya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan tiga anak syarikat iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd dan Agroscience Industries Sdn Bhd and Real Food Company Sdn Bhd supaya membayar kos RM5,000 kepada Public Bank Berhad.

    Mahkamah membenarkan penangguhan prosiding rayuan itu selepas dimaklumkan bahawa peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili NFCorp dan empat yang lain, tidak sihat.

    “Memandangkan sijil sakit dikemukakan oleh Muhammad Shafee, kes ditangguhkan ke tarikh lain. Pihak-pihak perlu mengadakan pengurusan kes untuk menetapkan tarikh baharu.

    “Ini akan menjadi penangguhan terakhir untuk rayuan ini,” kata Azizah yang bersidang bersama Hakim Lee Heng Cheong dan Datuk Hashim Hamzah.

    Mahkamah sepatutnya mendengar rayuan yang dikemukakan NFCorp dan empat yang lain terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 29 Julai 2019 yang menolak saman mereka terhadap Public Bank atas dakwaan pelanggaran kontrak untuk melindungi kerahsiaan akaun bank mereka.

    Semasa prosiding secara dalam talian hari ini, peguam Sarah Malini Abishegam yang mewakili NFCorp dan empat yang lain memohon mahkamah memberikan penangguhan singkat kerana Muhammad Shafee demam, batuk dan sakit tekak serta hilang suara.

    “Kami mohon maaf. Kami tiada pilihan lain kerana hanya beliau (Muhammad Shafee) yang diberi kuasa mengendalikan kes ini,” katanya.

    Beliau berkata penangguhan kali ini adalah yang ketujuh, namun kebanyakan penangguhan pendengaran rayuan adalah atas sebab Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

    Peguam bank itu, Yoong Sin Min berkata rayuan difailkan pada Ogos 2019 dan sejak itu hingga kini, pihak dalam rayuan melalui enam pengurusan kes kerana enam tarikh perbicaraan ditangguhkan.

    “Saya tidak akan membantah (penangguhan) tetapi memandangkan ia adalah tarikh perbicaraan ketujuh dan sukar bagi saya untuk memberitahu anak guam saya mengapa kes itu asyik ditangguhkan,” katanya dan menuntut kos RM10,000.

    Yoong berkata permohonan penangguhan sebelum ini adalah kerana Muhammad Shafee terbabit dalam dua lagi kes mahkamah serta mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan yang sedang berlangsung. Penangguhan lain kerana Muhammad Shafee terpaksa ke Amerika Syarikat, sebab Covid-19 dan juga isu rekod rayuan.

    Peguam itu berkata beliau hanya dimaklumkan pagi ini tentang keadaan Muhammad Shafee yang tidak boleh menghadiri prosiding mahkamah hari ini. Beliau memohon penangguhan kali ini adalah yang terakhir bagi pendengaran rayuan itu.

    NFCorp, Mohamad Salleh dan tiga anak syarikat menyaman Public Bank pada 22 Mei 2012, memfailkan saman terhadap Public Bank kerana mendakwa maklumat sulit dan rahsia perbankan mereka telah disebarkan kepada umum oleh bank tersebut.

    Dalam penyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa reputasi dan kredibiliti perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) itu.

    Mereka mendakwa maklumat akaun bank mereka yang dibocorkan itu digunakan oleh Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli untuk menyokong dakwaan bahawa plaintif telah mempengaruhi pinjaman kerajaan untuk membeli lapan hartanah KL Eco City. – Bernama

  • Murid digalak kuasai lebih daripada satu bahasa – Radzi

    Murid digalak kuasai lebih daripada satu bahasa – Radzi

    MURID digalakkan menguasai lebih daripada satu bahasa sebagai persediaan untuk mereka berdepan dengan dunia yang penuh persaingan pada masa kini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin. 

    Beliau berkata mereka yang menguasai banyak bahasa dengan baik mempunyai kelebihan berbanding yang lain kerana dalam konteks dunia tanpa sempadan hari ini, setiap bahasa itu memainkan peranan. 

    “Pada masa yang sama kita juga perlu ingat bahawa dunia sekarang ini luas saingannya, sebab itu secara asasnya sesiapa yang menguasai bahasa dengan baik mereka mempunyai kelebihan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan KPM 2022 di sini hari ini.

    Radzi pada masa sama berkata bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga perlu dimartabatkan kerana dalam konteks negara ia adalah untuk pembangunan, manakala dalam konteks kemasyarakatan bahasa kebangsaan diletakkan sebagai tunjang perpaduan. 

    Katanya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu merupakan bahasa asas kepada rakyat negara ini dan sesuatu yang merugikan jika tidak ditingkatkan penguasaannya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM), pihaknya sentiasa menekankan berkaitan penggunaan bahasa yang terbaik apabila bercakap tentang komunikasi polisi dan dasar. 

    “Bukan sahaja dalam konteks penulisan, tetapi penyampaian lisan juga kita berikan keutamaan untuk memastikan mesej atau dasar yang dirangka ini bila diterjemah atas penulisan, ia dapat difahami dan dihayati oleh mereka yang membacanya,” katanya. 

    Radzi berkata KPM juga sentiasa menjalankan pelbagai inisiatif seperti aktiviti penulisan dokumen rasmi kerajaan, pertandingan melafazkan pantun, bicara berirama dan nyanyian lagu puisi, selain menjalin kerjasama dengan pihak luar untuk mengasah bakat penulisan dan sayembara puisi dalam kalangan pelajar. – BERNAMA