Author: Bernama

  • Persidangan Dewan Rakyat batal selepas pembubaran Parlimen

    Persidangan Dewan Rakyat batal selepas pembubaran Parlimen

    PERSIDANGAN Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang sebelum ini dijadual bersidang selama 32 hari, dibatalkan selaras dengan pembubaran Parlimen.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata berikutan itu, Persidangan Kamar Khas, Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas, turut dibatalkan.

    “Saya telah menerima Proklamasi Perisytiharan Pembubaran Parlimen Ke-14 berkuat kuasa hari ini (10 Okt) yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalankan kuasa yang diberikan kepada Baginda di bawah Perkara 55 (2) Perlembagaan Pesekutuan.

    “Justeru urusan selanjutnya akan terletak kepada bidang kuasa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan proses pilihan raya umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi siaran langsung stesen televisyen tempatan, mengumumkan pembubaran Parlimen dan menyatakan bahawa ia dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

    Perdana Menteri berkata dengan pembubaran itu, mandat akan dipulangkan kepada rakyat bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang dijadual bersidang selama 32 hari, hanya sempat bersidang selama lima hari bermula 3 Okt, dengan tumpuan kepada pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 (Bajet 2023) yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lepas (7 Okt).- BERNAMA

  • DUN bawah BN bubar serentak pembubaran Parlimen – Zahid

    DUN bawah BN bubar serentak pembubaran Parlimen – Zahid

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) akan dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Bagaimanapun katanya, DUN Melaka, Johor dan Sabah tidak akan dibubarkan kerana belum mencapai tempoh matang.

    “Kerajaan negeri di bawah BN sangat prihatin, bahawa kita tidak mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibebankan dengan perbelanjaan yang tinggi jika Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan secara berasingan.

    “Maka kami mengambil keputusan bahawa negeri-negeri yang berada di bawah BN tidak akan mengadakan PRN berasingan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-76 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

    Sebelum ini, Pakatan Harapan mengumumkan tidak akan membubarkan DUN di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala Pas turut membuat keputusan sama di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata BN sentiasa bersiap sedia menghadapi PRU15 pada bila-bila masa.

    Beliau berkata Dewan Tertinggi BN memutuskan untuk mengekalkan lapan parti sebagai ‘friends of (mesra) BN’ dan sedang meneliti permohonan tujuh parti daripada ‘friends of BN’ itu untuk menjadi parti teras, sekali gus menjadi calon atas tiket BN pada PRU15.

    Tanpa mendedahkan nama parti berkenaan, beliau berkata BN sedang melihat kesesuaian parti-parti yang menawarkan calon itu sebelum merumus formula dalam mencapai keputusan bersama BN.

    Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid berkata BN bersetuju untuk memasukkan kesemua manifesto yang dicadangkan MIC ke dalam manifesto BN dengan mengambil kira sumbangan masyarakat India kepada negara.

    Antara manifesto yang dicadangkan MIC adalah meminta komitmen daripada BN pelaksanaan kedua-dua Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sosio-ekonomi Masyarakat India (JKMPSI) dan Pelan Tindakan Masyarakat India 2.0.

    Sementara itu mengulas kerjasama BN dan Pas, Ahmad Zahid berkata BN berpendirian kerjasama dengan PAS perlu bersifat menyeluruh, dan menyifatkan cadangan kerjasama parti itu untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU15 sebagai satu muslihat.

    “Kalau mahu bekerjasama, biarlah bekerjasama secara total, bukan kerana merundingkan kononnya ada kerusi bagi mengelak tiga penjuru,” katanya.

  • Parlimen bubar, kerajaan sementara tadbir negara

    Parlimen bubar, kerajaan sementara tadbir negara

    NEGARA kini ditadbir oleh kerajaan sementara, dan segala urusan urusan kerajaan akan dijalankan oleh kerajaan berkenaan selepas Parlimen dibubarkan hari ini. 

    Pakar perlembagaan yang juga Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata berdasarkan kepada Konvensyen Perlembagaan, kerajaan sementara atau ‘caretaker government’ akan memerintah sesebuah negara bermula daripada pembubaran Parlimen sehingga kepada penubuhan kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

    Beliau berkata tiada sebarang formaliti diperlukan untuk pembentukan kerajaan sementara kerana ia terbentuk dengan sendiri sebaik Parlimen dibubar.

    “Di Malaysia kita tiada panduan bertulis, tapi kita sepatutnya mengguna pakai amalan konvensyen Perlembagaan yang sesuai dengan sistem demokrasi berparlimen dengan had-had tertentu,” katanya kepada Bernama di sini. 

    Teka teki mengenai bila Parlimen dibubar bagi memberi laluan kepada PRU15 terjawab selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini..

    Muhammad Fathi berkata antara had itu termasuk sekatan ke atas kuasa badan eksekutif, dengan peranan mereka hanya terhad kepada peranan pentadbiran asas untuk memastikan kelancaran hal ehwal pentadbiran kerajaan.

    Berikutan itu, beliau berkata Perdana Menteri dan ahli kabinet tidak harus dibenarkan membuat keputusan dasar utama yang berkemungkinan melakukan sesuatu yang dibuat oleh kerajaan yang baharu, membuat pelantikan ke jawatan penting atau membuat kontrak atau aku janji yang memberi kesan besar.

    Selain itu, Muhammad Fathi berkata kerajaan sementara tidak dibenarkan menggunakan dana dan jentera kerajaan untuk iklan politik semasa tempoh berkempen dalam PRU.

    Bagi Ahli Majlis Profesor Negara Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood prinsip utama kerajaan Persekutuan ialah tiada perbelanjaan boleh dibuat jika ia tidak diluluskan Parlimen.

    Bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berpandangan Perdana Menteri yang menerajui kerajaan sementara juga tidak sepatutnya melantik pembantu kerana kerajaan boleh berjalan dengan sokongan dan bantuan penjawat awam di bawah Ketua Setiausaha Negara.

    Ditanya mengenai tempoh mandat kerajaan sementara, Nik Ahmad Kamal berkata terdapat pandangan mengatakan bahawa kerajaan sementara masih berfungsi selagi belum ada kerajaan baharu dilantik manakala pendapat lain mengatakan bahawa kerajaan sementara ini tamat apabila sampai hari mengundi.

    “Saya lebih cenderung kepada pendapat pertama kerana jentera kerajaan seharusnya terus berfungsi semasa hari pilihan raya, dan selepas, sehinggalah kerajaan baharu dilantik dengan Perdana Menteri yang baharu mengangkat sumpah,” katanya.- BERNAMA

    PRU15, Ismail Sabri, Perdana Menteri, kerajaan sementara, konvensyen perlembangaan

  • Dua termasuk warga emas ditahan seludup arak

    Dua termasuk warga emas ditahan seludup arak

    DUA lelaki termasuk seorang warga emas ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai melibatkan rampasan bernilai RM112,218.60 di sebuah premis di kawasan Bukit Pasir, Muar, semalam.

    Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, suspek masing-masing berusia 47 dan 62 tahun itu ditahan Pasukan Task Force Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Muar serta Pasukan Risik Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6 Bakri menerusi Op Kontraban kira-kira pukul 4 petang.

    “Kita telah merampas 137 karton arak mengandungi 3,288 tin dan 55 karton mengandungi 1,120 botol bernilai kira-kira RM104,218.60, selain sebuah kereta Proton Waja bernilai RM8,000.

    “Jumlah nilai rampasan keseluruhan adalah RM112,218.60,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kedua-dua lelaki tempatan itu ditahan reman selama lima hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

  • 43 rumah hangus, 200 penduduk di Kudat hilang tempat tinggal

    43 rumah hangus, 200 penduduk di Kudat hilang tempat tinggal

    KIRA-KIRA 200 penduduk Kampung Tanjung Kapur di Kudat hilang tempat tinggal selepas 43 rumah jenis tidak kekal hangus dalam kebakaran awal pagi ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah berkata 21 anggota bersama tiga jentera memadam kebakaran bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.28 pagi.

    “Pemadaman dijalankan menggunakan dua saluran daripada sumber air pili bomba. Kebakaran dapat dikawal pada pukul 4.21 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 6.43 pagi ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Operasi oleh abggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dan BBP Kota Marudu itu turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Bomba Sukarela Kampung Air dan Sabah Electricity Sdn Bhd.

    Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

  • PRU15: GPS bakal tampil beberapa muka baharu

    PRU15: GPS bakal tampil beberapa muka baharu

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) akan menampilkan beberapa muka baharu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengumuman tersebut akan dilakukan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga pengerusi gabungan itu.

    “Budaya kita di GPS, kita akan serahkan kepada Premier kita yang juga Pengerusi GPS untuk menentukan barisan calon yang bakal mewakili GPS pada pilihan raya akan datang.

    “Ada yang telah mengumumkan untuk tidak bertanding lagi, maknanya akan ada muka baharu nanti… berapa ramai saya pun tidak pasti,” katanya selepas menghadiri program ‘Rindok Ati’ media bersama komuniti Petra Jaya anjuran Jabatan Penerangan hari ini.

    Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, jentera GPS juga telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 yang akan diumumkan pada bila-bila masa sahaja.

    “Yang penting kita GPS telah bersiap siaga sebab kita baru lepas mengadakan Pilhan Raya Negeri Sarawak.

    “Saya kira semua orang telah bersedia dan jentera kita juga telah diberikan arahan untuk bersedia menunggu apa sahaja kemungkinan. Tidak kiralah tahun ini atau tahun depan… kita telah bersiap siaga,” kata beliau yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

    PBB yang menerajui GPS ketika ini mempunyai 13 Ahli Parlimen manakala tiga lagi parti komponennya ialah Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang memiliki dua kerusi Parlimen, Parti Demokratik Progresif (PDP) juga dua kerusi dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) satu kerusi.

    Pada PRU14, PBB bertanding di 14 kerusi Parlimen, SUPP (tujuh), PRS (enam) dan PDP (empat).

  • Khairy terbuka bertanding mana-mana kerusi Parlimen, serah kepada pucuk pimpinan UMNO

    Khairy terbuka bertanding mana-mana kerusi Parlimen, serah kepada pucuk pimpinan UMNO

    AHLI Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata beliau terbuka untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Beliau berkata ramai pemimpin tempatan yang menawarkan kerusi Parlimen kepadanya, namun semua itu diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi UMNO untuk menentukan kedudukannya.

    “Saya orang parti, macam-macam pemimpin tempatan tawarkan kerusi kepada saya. Saya terbuka untuk bertanding di mana-mana sama ada di Negeri Sembilan atau Lembah Klang.

    “Setakat ini kedudukan saya (untuk) bertanding di kerusi mana masih belum diputuskan,” kata Menteri Kesihatan itu kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Mencegah Banjir di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di Kota Bharu hari ini.

    Pada PRU14 lepas Khairy memenangi kerusi Parlimen Rembau dengan menewaskan pencabarnya dari parti PAS dan PKR dengan memperoleh 36,096 undi.

  • Didakwa seludup hidupan liar: Rakyat Malaysia diekstradisi ke AS

    Didakwa seludup hidupan liar: Rakyat Malaysia diekstradisi ke AS

    AMERIKA Syarikat (AS) mengekstradisi seorang rakyat Malaysia, Teo Boon Ching yang didakwa terlibat dalam kegiatan penyeludupan hidupan liar dan pengubahan wang haram.

    Teo (bergelar Datuk Seri) 57, didakwa terlibat dengan konspirasi menyeludup lebih 70 kilogram tanduk badak sumbu bernilai lebih US$725,000, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman AS.

    “Teo didakwa atas satu pertuduhan bersubahat melakukan penyeludupan hidupan liar yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan dua pertuduhan pengubahan wang haram yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun.

    “Teo telah ditahan di Thailand pada 29 Jun atas permintaan AS menurut perjanjian ekstradisi dua hala,” menurut kenyataan itu.

    Dia diekstradisi ke AS pada Jumaat (7 Okt) untuk didakwa. 

    Terdahulu, pada Jumaat Teo dan entitinya telah dikenakan sekatan oleh Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) Jabatan Perbendaharaan AS.

    Kenyataan itu turut mendedahkan bahawa Teo ialah peneraju perusahaan jenayah transnasional yang berpangkalan di Asia serta menjalankan operasi penyeludupan tanduk badak sumbu berskala besar di Malaysia dan Thailand.

    “Ching (Teo) bertindak sebagai penyeludup khusus yang mengangkut tanduk badak sumbu dari pusat operasi pemburuan badak sumbu dari Afrika kepada pelanggan terutamanya di Asia. 

    “Dia juga mendakwa boleh membuat penghantaran tanduk badak sumbu ke AS,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Surat menteri PN tangguh bubar Parlimen, tak timbul isu keabsahan kerajaan – PM

    Surat menteri PN tangguh bubar Parlimen, tak timbul isu keabsahan kerajaan – PM

    TIDAK timbul isu keabsahan kerajaan ketika ini susulan menteri Kabinet dari Perikatan Nasional (PN) mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menangguhkan pembubaran Parlimen, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata mengikut Perlembangaan Persekutuan, kerajaan akan hilang sokongan apabila Ahli Parlimen menarik sokongan hingga sokongan yang diterima kurang daripada 112 atau majoriti mudah.

    “Kalau sokongan Ahli Dewan Rakyat masih lagi utuh, tidak ada perubahan…jadi tidak ada lah isu yang mengatakan kerajaan tumbang.

    “Kalau menteri Kabinet tulis surat dia kata letak jawatan sekalipun, Kabinet masih berfungsi dan kerajaan masih berfungsi…tiada kesan pada keabsahan kerajaan kerana Ahli Parlimen masih memberi sokongan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah/ 2023 Masihi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

    Ismail Sabri berkata situasi kerajaan tumbang apabila Ahli Parlimen menarik sokongan boleh dilihat ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dan seluruh Kabinet terpaksa meletakkan jawatan.

    Ismail Sabri berkata surat yang dihantar oleh menteri-menteri berkenaan adalah untuk meminta Parlimen tidak dibubarkan, namun kuasa untuk pembubaran adalah di bawah Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

    Terdahulu, Ismail Sabri mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke majlis itu.

    Pada Khamis, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) menyerahkan surat kepada Istana Negara bagi menyatakan ketidaksetujuan untuk Parlimen dibubarkan bagi melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

    Kandungan surat itu agar PRU15 tidak dilaksanakan tahun ini sebaliknya menumpukan perhatian untuk persiapan menghadapi risiko banjir besar pada hujung November ini susulan fenomena Monsun Timur Laut.

    Surat berkenaan adalah hasil mesyuarat menteri serta Ahli Parlimen PN selepas menghadiri Majlis Makan Malam Pengerusi PN dan Penyerahan Watikah Ketua Badan Perhubungan Kawasan PN Selangor, di Glenmarie Shah Alam pada Rabu. – BERNAMA

  • Air pasang besar diramal hingga Khamis – Nadma

    Air pasang besar diramal hingga Khamis – Nadma

    AIR pasang besar dijangka berlaku di beberapa kawasan bermula semalam hingga Khamis ini, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

    Nadma menerusi perkongsian di laman Facebook memaklumkan Pusat Hidrografi Nasional meramalkan kawasan terlibat adalah Kuala Muda, Kedah; Bagan Datuk, Perak; Pelabuhan Klang, Selangor serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.

    Menurut Nadma fenomena itu berpunca daripada pengaruh daya tarikan graviti ketika kedudukan bulan dan matahari sejajar, seterusnya berkemungkinan menyebabkan limpahan air di daratan serta banjir di lokaliti kawasan rendah pesisir pantai.

    “Penduduk berhampiran pesisir pantai disaran lebih peka dan berwaspada semasa fenomena ini berlaku,” menurut perkongsian itu. 

    Maklumat lanjut dan jadual pasang surut edisi 2022 boleh didapati di laman web https://hydro.gov/ramalanpasangsurut.my. – BERNAMA