Author: Bernama

  • Penduduk mula sediakan bot, rak tinggi sebagai persediaan hadapi banjir

    Penduduk mula sediakan bot, rak tinggi sebagai persediaan hadapi banjir

    LEBIH 100 keluarga di Kampung Padang Kijang, di Tanah Merah mula melakukan persediaan seperti menyediakan bot serta menyiapkan rak khas yang tinggi bagi menyimpan barangan mereka apabila berdepan dengan banjir semasa musim tengkujuh nanti.

    Penyelia pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Padang Kijang Mazlan Ashaari, 58, berkata kawasan kampung itu antara ‘hotspot’ banjir justeru penduduk sudah mula mengambil inisiatif membuat persiapan awal.

    “Kampung ini antara kawasan banjir apabila musim tengkujuh, malah kami perlu berpindah tiga atau empat kali ke PPS atau rumah saudara-mara dalam tempoh berkenaan.

    “Sebagai persediaan, penduduk sudah mula menyediakan bot peribadi, malah ada yang membuat stor khas (rak tinggi) bagi menyimpan barangan penting daripada ditenggelami air banjir nanti,” katanya ketika ditemui Bernama, di Tanah Merah, hari ini.

    Mazlan berkata kebiasaannya, paras air sungai di kampung itu boleh mencecah 14 meter seterusnya mengakibatkan banjir yang memaksa penduduk segera berpindah.

    “Keadaan kampung akan berubah seperti sebuah pulau apabila banjir kerana jalan perhubungan utama ditenggelami air sepanjang 800 meter dan sedalam dua meter,” katanya.

    Bagi Lokman Zakaria, 53, mengambil kira pengalaman menghadapi banjir sebelum ini, beliau mengambil inisiatif membina rak khas di dalam rumah untuk menyimpan barangan penting.

    “Saya bina rak khas setinggi dua meter bagi menyelamatkan barangan kerana paras banjir di kawasan ini biasanya antara satu hingga dua meter.

    “Walaupun sudah terbiasa dengan kejadian banjir, saya tetap membuat persiapan bagi mengelak lebih banyak barangan mengalami kerosakan,” katanya.

    Mat Suhaimi Abdullah, 50, berkata beliau menyediakan sebuah bot fiber di rumahnya yang terletak hanya 100 meter dari sungai kampung itu.

    “Bot ini memudahkan kami sekeluarga berpindah kerana kami akan berpindah sebanyak tiga atau empat kali ke PPS sebelum musim tengkujuh berakhir,” katanya.

  • Treler terbalik, sesak kira-kira 4KM selepas Terowong Menora

    Treler terbalik, sesak kira-kira 4KM selepas Terowong Menora

    SEBUAH treler membawa muatan kayu terbalik di KM265 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Ipoh hari ini.

    Menurut laman Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), insiden itu menyebabkan kesesakan trafik sejauh 4.2 kilometer sehingga menyebabkan kesemua lorong terhalang.

    “Semua lorong masih terhalang, trafik terhenti dan sesak sebelum masuk ke Terowong Menora ke Ipoh Utara.

    “Pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif dengan melalui susur keluar ke Kuala Kangsar,” menurut LLM.

    Kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan di lokasi kejadian.

    Tular beberapa gambar dan video menunjukkan lori berkenaan terbalik dengan serpihan papan berselerak atas jalan raya sehingga menyebabkan laluan terhalang.

    Pengguna jalan raya yang berada di lokasi kejadian turut berkongsi video dan gambar mengenai kejadian tersebut menerusi media sosial.

  • PRU-15: Calon Bersatu Sabah guna logo GRS, kata  Muhyiddin

    PRU-15: Calon Bersatu Sabah guna logo GRS, kata Muhyiddin

    CALON Bersatu Sabah yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 akan menggunakan simbol Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Muhyiddin berkata walaupun menggunakan logo GRS, kemenangan calon tersebut akan dikira sebagai kemenangan Bersatu kerana ia adalah sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN).

    “Itu persefahaman yang telah dicapai, tiada isu atau masalah dalam soal itu…situasi agak luar biasa sedikit di Sabah yang terbentuk kerajaan negeri hasil persefahaman parti-parti walaupun peringkat Persekutuan tidak sehaluan, di sini keadaan istimewa, kami menerima perbezaan di Sabah,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada kebijaksanaan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah, badan kepimpinan Bersatu negeri serta GRS bagi mencapai kata sepakat yang memberi keuntungan serta faedah kepada rakyat dan parti.

    Ditanya mengenai hubungan ‘dingin’ antara Pas dan UMNO, Muhyiddin berkata Pas adalah parti pengasas PN dan kekal sebagai rakan kongsi penting, terutama ketika menghadapi PRU15.

    “Pas berkali-kali menyatakan mereka akan kekal sebagai rakan kongsi penting PN, itu sudah jelas sekarang dan tiada lagi ketidakpastian…ini akan membuka jalan untuk PN menjadi lebih kuat dan bekerja lebih efektif dalam PRU kali ini,” katanya selepas menghadiri mesyuarat dengan Badan Pimpinan Bersatu Sabah di Pejabat Bersatu Sabah di Alamesra di sini. 

    Turut hadir Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah.

  • Bapa dipercayai bunuh bayi tiga bulan ada lapan rekod jenayah

    Bapa dipercayai bunuh bayi tiga bulan ada lapan rekod jenayah

    LELAKI yang dipercayai membunuh bayi lelakinya berusia tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang, Alor Setar pada Isnin lepas, mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.

    Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata suspek berumur 28 tahun itu sedang ditahan reman selama tujuh hari hingga 17 Okt ini.

    “Kita percaya suspek telah terlibat dengan penagihan dadah ini sejak dua, tiga tahun lepas dan dia mempunyai lapan rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan lain-lain,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes penemuan mayat bayi itu.

    Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir dalam satu kenyataan media memaklumkan polis menerima panggilan telefon berhubung penemuan mayat bayi lelaki berusia tiga bulan di dalam sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang pada Isnin.

    Hasil siasatan membawa kepada tangkapan seorang lelaki yang juga bapa kepada bayi itu di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Lintang dekat Padang Hang pada hari yang sama.

    Sementara itu, Wan Hassan berkata dua lagi anak suspek yang berusia lima dan satu tahun yang dijaga ahli keluarga lain kini berada di bawah pengawasan polis serta sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

    “Kita bimbang ada elemen gangguan seksual, sebab itu mereka dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan setakat ini masih belum dapat keputusan lagi. Bayi lelaki itu maut dipercayai akibat kecederaan di bahagian kepala disebabkan oleh hentakan benda tumpul.

    “Dipercayai terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di dalam rumah suspek, sekiranya benar polis akan buat rampasan bagi membantu siasatan kes,” katanya.

  • Banjir melanda Johor Bahru, satu PPS dibuka

    Banjir melanda Johor Bahru, satu PPS dibuka

    HUJAN lebat lebih dua jam pada 7 malam tadi menyebabkan satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Johor melibatkan daerah Johor Bahru.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan setakat 8 pagi ini, seramai 17 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkah ke PPS selepas rumah mereka dinaiki air.

    “Kesemua mangsa dari Kampung Paya Kenangan di sini ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara yang dibuka pada 10.30 malam tadi,” menurut kenyataan itu.

    Menurut JPBD, paras air Sungai Skudai, Kampung Pasir di sini menunjukkan bacaan 0.3 m iaitu paras waspada selain cuaca di Mersing dan Kota Tinggi dilaporkan hujan, manakala lapan daerah lain mendung hari ini. 

  • Bekas YDP MDKL didakwa terima rasuah RM22,100

    Bekas YDP MDKL didakwa terima rasuah RM22,100

    SEORANG bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 11 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM22,100, empat tahun lepas.

    Mohamad Zain A Hamid, 48, mengaku tidak bersalah, selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga kelapan, Mohamad Zain didakwa menerima wang tunai berjumlah RM9,000 untuk teman wanitanya, sebagai balasan bagi membantu syarikat-syarikat di bawah seliaan dan pinjaman lesen seorang individu, mendapatkan kerja-kerja inden dan sebut harga di MDKL yang mana tertuduh ketahui ada hubungan dengan kerja rasminya sebagai YDP MDKL.

    Bagi pertuduhan kesembilan hingga ke-11, tertuduh didakwa menerima pembayaran kad kredit miliknya berjumlah RM13,100, daripada individu sama berkaitan perkara serupa.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Taman Mutiara, Cheras dan Ibu Pejabat Maybank, Menara A, Dataran Maybank di sini antara 28 Sept 2018 dan 15 Jun 2020.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan, berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Selangor berdekatan sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 26 Okt ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi manakala tertuduh diwakili peguam Zamri Idrus. – BERNAMA

  • Saman fitnah Ismail Sabri, Lokman Adam diarah fail pernyataan pembelaan hari ini

    Saman fitnah Ismail Sabri, Lokman Adam diarah fail pernyataan pembelaan hari ini

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Datuk Lokman Noor Adam menjawab saman yang difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadapnya, hari ini.

    Hari ini adalah tarikh akhir untuk Lokman memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman berhubung dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi akaun media sosial.

    Peguam Joshua Tan yang mewakili Ismail Sabri berkata anak guamnya juga perlu memfailkan jawapan terhadap pembelaan itu selewat-lewatnya pada 25 Okt.

    “Mahkamah menetapkan 25 Nov ini untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama selepas prosiding pengurusan kes hari ini secara dalam talian (e-Review) di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Haleez Hasnan.

    Pada 12 Sept lepas, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya Lokman dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang didakwa memfitnahnya di akaun media sosial.

    Permohonan injunksi inter-parte (kedua-dua pihak) akan didengar pada 29 Nov ini.

    Ismail Sabri, 62, selaku plaintif memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya menerusi pada 8 Sept lepas dengan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan.

    Dalam pernyataan tuntutan, Ismail Sabri mendakwa Lokman pada 22 Ogos lepas telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif dalam satu video bertajuk “Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”.

    Naib Presiden UMNO itu berkata kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube ‘Lokman Adam’, Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’, Instagram ‘lokmannooradam’ dan TikTok ‘datoklokmanadam’.

    Menurutnya, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.

    Ismail Sabri berkata beliau tidak pernah berjumpa Dr Mahathir dan parti-parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati UMNO untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

    Pada 1 Sept 2022, Lokman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap kerajaan dan Ismail Sabri.

  • Thailand banjir: Lebih 154,000 keluarga dari 26 wilayah terjejas

    Thailand banjir: Lebih 154,000 keluarga dari 26 wilayah terjejas

    HUJAN lebat dan limpahan air sungai mencetuskan kejadian banjir di 26 wilayah khususnya di timur laut dan bahagian tengah Thailand.

    Menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) lebih 154,000 keluarga di 4,354 perkampungan dilaporkan terjejas setakat Isnin susulan ribut tropika Noru dan monsun barat daya melanda Laut Andaman dan Teluk Thailand.

    Hujan lebat berterusan menyebabkan banjir dan paras air sungai meningkat.

    Pelepasan air dari empangan juga mengakibatkan banyak kawasan rendah ditenggelami air.

    Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand memaklumkan hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda Bangkok dan wilayah lain di bahagian utara, timur dan selatan pada Isnin dan Selasa (esok).

    Pihak berkuasa juga mengeluarkan amaran untuk penduduk berhampiran lembangan sungai Chao Phraya dan Pa Sak.

    Kerajaan turut melaksanakan pelbagai langkah pencegahan bagi menghadapi kemungkinan banjir termasuk meletakkan guni pasir serta menyediakan pam air di sepanjang tebing sungai dan kawasan rendah. – BERNAMA

  • PRU-15: UMNO percaya boleh diadakan sebelum pertengahan November

    PRU-15: UMNO percaya boleh diadakan sebelum pertengahan November

    UMNO berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) boleh diadakan sebelum pertengahan November, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Bagaimanapun beliau berkata UMNO menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh PRU15.

    “UMNO berpendirian pembubaran Parlimen adalah merupakan jalan terbaik, memandangkan wakil parti-parti yang membentuk kerajaan campuran sebelum ini makin jelas tidak memperlihatkan solidariti terhadap Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), dalam mentadbir negara.

    “Malah mengisytiharkan UMNO dan BN (Barisan Nasional) sebagai musuh utama, hanya lebih menzahirkan tiadanya kepercayaan dan rasa hormat kepada UMNO yang menerajui kerajaan,” katanya yang membaca kenyataan media selepas Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini, malam ini.

    Terdahulu hari ini, Ismail Sabri dalam Perutusan Khas sempena Pembubaran Parlimen Ke-14 memaklumkan, beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tengah hari semalam, bagi menyembah warkah mengenai permohonan pembubaran Parlimen Ke-14.

    Menyentuh mengenai pembubaran Parlimen, Ahmad berkata UMNO turut menjunjung kasih perkenan Al-Sultan Abdullah membubarkan Parlimen Ke-14.

    “UMNO menghormati titah Tuanku, bahkan berpendirian serupa bahawa negara tidak boleh dibiarkan berterusan berada dalam keadaan politik tidak menentu, bahkan perlu mengembalikan mandat kepada rakyat untuk mereka memilih sebuah kerajaan, yang dapat menjamin kestabilan serta kemakmuran negara,” katanya.

    Berhubung perkara dibincangkan dalam Mesyuarat Khas MT UMNO, Ahmad berkata mesyuarat itu membincangkan beberapa isu gerak kerja dan persiapan jentera untuk menghadapi PRU15 setelah Parlimen Ke-14 dibubarkan secara rasmi petang tadi.

    “Mesyuarat juga bersetuju agar tema utama manifesto bagi PRU15 ialah “Kestabilan Dan Kemakmuran”, tema seumpama ini telah digunakan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor sebelum ini. Ia akan diangkat untuk persetujuan Dewan Tertinggi BN,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata tarikh baharu Perhimpunan Agung UMNO yang sebelum ini ditentukan pada 23 hingga 26 Nov ini, akan diubah kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

    Petang tadi Ahmad menerusi hantaran di laman Twitter beliau memaklumkan, UMNO hari ini mengadakan mesyuarat khas biro politik serta majlis tertinggi parti itu susulan pengumuman Ismail Sabri berhubung pembubaran Parlimen, sekali gus memberi laluan kepada PRU15 diadakan. – BERNAMA

  • 12 PRK, 4 PRN diadakan selepas PRU-14

    12 PRK, 4 PRN diadakan selepas PRU-14

    PILIHAN RAYA Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang berlangsung pada 2018 meninggalkan impak yang besar terhadap landskap politik Malaysia sehingga kini.

    Sejak tarikh 9 Mei 2018, banyak perkara di luar jangka disaksikan rakyat Malaysia termasuk ‘panggilan’ Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) atas pelbagai alasan.  

    Sepanjang penggal Parlimen ke-14, sebanyak 12 PRK diadakan dengan empat PRK pada 2018, lima pada 2019 dan tiga berlaku pada 2020.

    Tiga PRK tidak diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan proklamasi darurat bagi membendung penularan COVID-19 iaitu Parlimen Batu Sapi berkuat kuasa 18 Nov 2020 serta Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya masing-masing berkuat kuasa 12 Dis 2020. 

    Bagaimanapun, pada 6 Okt lepas Al-Sultan Abdullah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan ketiga-tiga PRK berkenaan.

    Dalam tempoh empat tahun lepas, PRK pertama diadakan hanya selepas tiga bulan PRU14 berlangsung iaitu di DUN Sungai Kandis, Selangor pada 4 Ogos 2018 yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mempertahankan kerusi itu.

    Tiga lagi PRK yang berlaku pada 2018 ialah dua di Selangor pada 8 Sept 2018, masing-masing di DUN Balakong dan Seri Setia yang memperlihatkan PH mengekalkan kedudukan sementara satu di Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan pada 13 Okt 2018 juga memberi kemenangan kepada PH. 

    Memasuki 2019, ‘panggilan’ PRK berkumandang sekali lagi pada 26 Jan 2019 di Parlimen Cameron Highlands di mana Barisan Nasional (BN) mengekalkan kedudukan di kawasan itu. Tahun yang sama, PRK DUN Semenyih, Selangor diadakan pada 2 Mac dengan kemenangan memihak kepada BN.

    Seterusnya pada 13 April 2019, PRK DUN Rantau, Negeri Sembilan diadakan menyaksikan kemenangan kekal milik BN manakala pada 11 Mei 2019, PRK Parlimen Sandakan, Sabah diadakan dengan kemenangan berpihak kepada PH.

    Di penghujung 2019, PRK Parlimen Tanjung Piai yang diadakan pada 16 Nov menyaksikan BN menang besar di kawasan itu. 

    Pada 2020, PRK Parlimen Kimanis, Sabah diadakan pada 18 Jan dengan kemenangan berpihak kepada BN manakala PRK DUN Chini, Pahang berlangsung pada 4 Julai 2020 menyaksikan BN kekal menguasai kawasan berkenaan.

    PRK terakhir diadakan adalah di DUN Slim, Perak iaitu pada 29 Ogos 2020 dengan BN terus mengekalkan kedudukan di kerusi itu.

    Sepanjang penggal Parlimen ke-14, sebanyak empat PRN diadakan melibatkan Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor.

    Semasa PRN Sabah ke-16 pada 26 Sept 2020, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Warisan apabila memenangi 38 kerusi. 

    GRS yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN) dan BN serta rakan sekutu Parti Bersatu Sabah (PBS) itu mempunyai kelebihan satu kerusi majoriti mudah daripada keseluruhan 73 kerusi DUN.

    PRN Melaka yang diadakan pada 20 Nov 2021 menyaksikan BN memenangi 21 daripada 28 kerusi, PH memenangi lima kerusi dan PN dua kerusi.

    PRN itu diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt tahun sama, selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Kurang sebulan selepas Melaka mengadakan pilihan raya, PRN Sarawak diadakan pada 18 Dis 2021 dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg membolot 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan. 

    PRN itu mencatatkan rekod penyertaan tertinggi, menjangkau sehingga 349 calon.

    Tahun 2022 menyaksikan PRN Johor diadakan pada 12 Mac dengan BN mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan. 

    Pada PRN itu, PH memenangi 11 kerusi, diikuti PN (tiga), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi. – BERNAMA