Author: Bernama

  • Fahmi Reza dilepas tanpa dibebaskan tuduhan buat hantaran jelik di media sosial

    Fahmi Reza dilepas tanpa dibebaskan tuduhan buat hantaran jelik di media sosial

    PEREKA grafik dan aktivis Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin atau dikenali sebagai Fahmi Reza dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen hari ini daripada pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik di media sosial berhubung isu pengharaman penjualan minuman keras di negara ini.

    Hakim Nor Hasniah Ab Razak membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal peguam     N Yohendra yang mewakili Mohd Fahmi Reza, 45, selaku Orang Kena Saman (OKS) terhadap pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.

    “Mahkamah melepas tanpa membebaskan OKS daripada pertuduhan selepas mendapati pertuduhan tersebut adalah cacat dan tidak berasas,” kata Nor Hasniah pada prosiding yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang

    Pada 30 Ogos lepas, Mohd Fahmi Reza mengemukakan bantahan awal terhadap pertuduhan berkenaan dengan alasan pertuduhan itu tidak mengandungi butiran yang mencukupi, cacat serta bercanggah dengan kehendak di bawah Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah.

    Pada 17 Feb lepas, Mohd Fahmi Reza mengaku tidak bersalah atas pertuduhan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya berhubung isu pengharaman penjualan minuman keras di negara ini, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui laman Facebook miliknya menggunakan profil “Fahmi Reza” pada 11.45 pagi, 1 Jun 2021.

    Hantaran itu kemudian dibaca di sebuah unit Pangsapuri Melur, Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul di sini, pada 9 pagi, 2 Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998  dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

    — BERNAMA

  • Rosmah kemuka 127 alasan ketepikan sabitan, hukuman kes Rasuah projek hibrid solar

    Rosmah kemuka 127 alasan ketepikan sabitan, hukuman kes Rasuah projek hibrid solar

    DATIN Seri Rosmah Mansor mendakwa keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta ke atasnya adalah berat sebelah dan tidak berlandaskan pertimbangan yang betul.

    Berdasarkan 127 alasan dalam petisyen rayuan yang dikemukakan Rosmah selaku perayu, beliau antaranya mendakwa keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan juga tidak berturutan dengan prinsip undang-undang yang telah diputuskan di dalam kes-kes seperti itu sebelum ini.

    Rosmah, 70, memfailkan petisyen rayuan bagi mengetepikan sabitan dah hukuman yang dijatuhkan  terhadapnya menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Rayuan semalam.

    Pada 1 Sept lepas, Mahkamah Tinggi mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

    Mahkamah juga memerintahkannya dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

    Dalam dokumen petisyen setebal 93 muka surat itu, Rosmah mendakwa keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi juga adalah berpandukan kepada kesimpulan yang tidak tepat dan bercanggah dengan keterangan-keterangan yang nyata.

    Menurut Rosmah, adalah mustahil untuk Hakim Mahkamah Tinggi merumuskan bahawa pembelaannya adalah penafian kosong, sedangkan pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap beliau berkenaan wang RM1.5 juta yang kononnya diletakkan di dalam dua beg galas berjalur oren, telah diserahkan kepadanya atau sebaliknya.

    “Apatah lagi, butler yang kononnya mengangkat dua beg galas berjalur oren tersebut tidak dipanggil memberi keterangan di mahkamah dan hal ini juga telah menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan ke atas saya,” katanya.

    Rosmah mendakwa hakim itu juga tidak mengambil pertimbangan terhadap faktor-faktor yang membangkitkan keraguan munasabah ke atas keterangan saksi pendakwaan ke-21 (SP21) Datuk Rizal Mansor bahawa wujud keraguan munasabah sama ada wang RM5 juta dalam dua beg bagasi dimasukkan ke dalam kenderaan Velfire atau Alphard.

    Katanya, wujud keraguan munasabah apabila buku log yang mencatatkan kehadiran tetamu di Seri Perdana tidak dijadikan keterangan di mahkamah dan juga wujud keraguan apabila polis Unit Tindakan Khas (UTK) yang berada di dalam kenderaan tersebut telah gagal dipanggil sebagai saksi pendakwaan.

    Selain itu, Rosmah mendakwa hakim itu  telah terkhilaf dan tersalah arah daripada segi undang-undang dan fakta serta gagal membuat rumusan yang betul di akhir kes pendakwaan sehingga membuat keputusan yang salah dan memerintahkannya untuk membela diri bagi ketiga-tiga pertuduhan itu.

    Rosmah berkata hakim itu gagal membuat rumusan yang betul apabila menyatakan dalam penghakimannya bahawa pembelaan beliau membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh diterima sebagai bukti kerana bekas perdana menteri itu tidak dipanggil memberikan keterangan.

    Dalam pembelaan sebelum ini, Rosmah mendakwa beliau takut akan kemarahan Najib dan tidak sekali-kali cuba mempengaruhinya, apatah lagi memaksa atau menasihatinya berhubung perkara berkaitan hal ehwal kerajaan.

    Dakwa Rosmah, hakikatnya Najib berada dalam senarai saksi pendakwaan yang mana pembelaan  tidak mempunyai beban di bawah undang-undang untuk memanggil beliau (Najib) sebagai saksi.

    Mahkamah Rayuan menetapkan 14 Nov untuk pengurusan kes rayuan itu.

    — BERNAMA

  • 11 individu termasuk seorang wanita didakwa culik warga Palestin

    11 individu termasuk seorang wanita didakwa culik warga Palestin

    SEBELAS  individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

    Mereka ialah Edy Ko’im Said, 40; Mohamad Norakmal Hassan, 41; Dody Junaidi, 42; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39; Mohamad Naziree Mustapha, 39; Faizull Hardey Mohd Isa, 40; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25; Mohamad Sufian Saly, 23; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 21; Nidarahayu Zainal, 34, dan Raibafie Amdan, 39.

    Kesemua tertuduh mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia namun tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara niat bersama telah menahan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

    Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang, Kuala Lumpur, pada 10.40 malam, 28 Sept lepas mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh dijamin selepas Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi memaklumkan pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Dis ini.

    Terdahulu, kesemua tertuduh tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, dengan dikawal ketat sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah.

    Pada 5 Okt lepas, media melaporkan polis menyelamatkan mangsa berumur 31 tahun itu sehari selepas diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

    Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka bermula 29 Sept hingga 4 Okt.

    Siasatan mendapati mangsa masuk ke negara ini pada 21 Sept lepas sebagai pelancong dan dipercayai tinggal di Eropah selain tidak menolak kemungkinan mangsa merupakan ahli perniagaan.

    — BERNAMA

  • DUN Pahang,Perlis bubar hari ini

    DUN Pahang,Perlis bubar hari ini

    DUN Pahang dan Perlis dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Pembubaran itu susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembubaran Parlimen pada Isnin.

    Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, DUN Pahang ke-14 dibubarkan hari ini bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan serentak dengan PRU15.

    Katanya, beliau telah menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah untuk mendapatkan perkenan bagi pembubaran DUN itu.

    Beliau berkata, selaras dengan Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Tengku Hassanal berkenan agar DUN Pahang dibubarkan.

    “Tarikh hari ini dipilih bagi membolehkan pembentangan serta perbahasan mengenai Belanjawan 2023 Negeri Pahang disempurnakan terlebih dahulu, sekali gus mendapat kelulusan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Wisma Sri Pahang, hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Sallehuddin Ishak dan semua anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.

    Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, berkata pembubaran DUN itu telah mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi membolehkan pilihan raya diadakan.

    Katanya, beliau dan Speaker DUN, Hamdan Bahari telah menghadap Raja Perlis di Galeri Diraja Arau, 3 petang semalam dan menyembah maklum memohon pembubaran itu.

    “Baginda juga telah menandatangani pengisytiharan pembubaran DUN Perlis berkuatkuasa hari ini.

    “Jadi PRU Negeri akan diadakan serentak dengan PRU15 dan kita akan serahkan segala urusan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk membuat tindakan sewajarnya,” katanya.

    Pahang dan Perlis adalah negeri dikuasai Umno. Di Pahang Barisan Nasional (BN) menguasai 25 kerusi diikuti PAS (8), DAP (7) dan PKR (2) manakala DUN Perlis, BN 10 kerusi, PKR (3) dan PAS (2).

  • Edar dadah: Bekas pelajar kolej terlepas tali gantung

    Edar dadah: Bekas pelajar kolej terlepas tali gantung

    MENJADI banduan akhir selama lima tahun, akhirnya, bekas pelajar kolej swasta terlepas tali gantung dalam rayuan terakhir selepas Mahkamah Persekutuan, hari ini, mengetepikan sabitan dan hukumannya bagi kesalahan mengedar dadah.

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, melepas dan membebaskan V Sathya selepas membenarkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati bagi kesalahan itu.

    Turut bersidang, Hakim Datuk P Nallini dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

    Dalam keputusan itu, Tengku Maimun berkata, tidak mengambil kira keterangan beramaran Sathya dan keterangan kakaknya oleh mahkamah telah mewujudkan prejudis material yang mengakibatkan salah laksana keadilan.

    Beliau berkata, ini adalah percanggahan undang-undang bawah Seksyen 182A Kanun Prosedur Jenayah.

    “Kami mendapati merit dalam rayuan itu. Mengenai keseluruhan bukti, kami mendapati sabitan itu tidak selamat dan oleh itu, kami membenarkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman,” katanya.

    Sathya, 30, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 27 November 2017 selepas didapati bersalah mengedar dadah methamphetamine seberat 1.8 kilogram (kg) dan 2.2kg yang disorok dalam dua bagasi berdekatan terminal tambang murah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 26 September 2013.

    Dia kemudian gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan menyebabkan dia memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan atas alasan salah laksana keadilan.

    Sathya diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, M Athimulan, Salim Bashir, Abdul Rashid Ismail, Low Wei Loke dan Kee Wei Lon manakala pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan Ng Siew Wee.

  • Bas terbakar, 18 orang maut termasuk 8 kanak-kanak

    Bas terbakar, 18 orang maut termasuk 8 kanak-kanak

    SEKURANG-kurangnya 18 orang termasuk lapan kanak-kanak terkorban manakala 28 lagi cedera selepas sebuah bas penumpang terbakar di daerah Jamshoro selatan Pakistan, semalam.

    Timbalan Penguasa Polis Wajid Thaheem memberitahu media bahawa bas itu terbakar ketika tiba di kawasan Nooriabad di daerah Jamshoror, Sindh.

    Siasatan awal mendapati kebakaran berlaku akibat sistem penghawa dingin kenderaan terbabit mengalami kerosakan.

    Bas yang membawa 55 penumpang itu dilaporkan dalam perjalanan dari bandar pelabuhan Karachi ke kawasan Khairpur Nathan Shah di daerah Dadu.

    Anggota polis, pasukan penyelamat dan bomba bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran, serta memindahkan mayat dan penumpang yang cedera ke Hospital Universiti Liaquat di Jamshoro.

    Seramai sembilan wanita turut maut dalam kemalangan itu manakala angka kematian dikhuatiri meningkat.

  • Kes SRC: Permohonan Najib semak keputusan Mahkamah Persekutuan tidak bermerit – Pendakwaan

    Kes SRC: Permohonan Najib semak keputusan Mahkamah Persekutuan tidak bermerit – Pendakwaan

    PIHAK pendakwaan kes Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd mendakwa bekas perdana menteri itu diberikan perbicaraan adil dan tiada pratimbangan dalam rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata permohonan semakan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dipohon Najib di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 tidak mempunyai merit dan digunakan sebagai laluan untuk rayuan lanjutan serta penyalahgunaan proses mahkamah.

    “Pendapat pemohon (Najib) bahawa kes ini merupakan kes yang sesuai dan sewajarnya untuk Mahkamah Persekutuan menggunakan kuasa dan bidang kuasa sedia ada di bawah Peraturan 137 adalah salah dan tidak bermerit.

    “Fakta dan hal keadaan kes ini tidak membolehkan penggunaan Peraturan 137 memandangkan kes ini tidak menunjukkan hal keadaan yang luar biasa untuk semakan dilakukan kecuali bidang kuasa ini disalahgunakan sebagai laluan untuk rayuan lanjutan,” katanya dalam afidavit jawapan difailkan untuk menjawab afidavit sokongan Najib yang diikrarkan pada 6 Sept lepas.

    Mohd Ashrof, yang memfailkan afidavit jawapan itu pada 7 Okt lepas, berkata bidang kuasa sedia ada pada mahkamah tidak seharusnya digunakan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan berdasarkan merit sebaliknya akan menyebabkan tiada proses litigasi yang muktamad.

    “Kes ini (semakan Najib) bukanlah kes luar biasa yang semakan semula boleh dibenarkan. Oleh itu permohonan semakan ini wajar ditolak oleh mahkamah,” katanya.

    Mohd Ashrof berkata tiada alasan untuk pemohon terperanjat atau terkejut apabila Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi.

    Katanya, Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa hukuman yang dikenakan terhadap pemohon tidak berlebihan dan mengesahkan sabitan dan hukuman. 

    “Pihak responden (Timbalan Pendakwa Raya) juga tidak mencabar kadar hukuman dikenakan ke atas pemohon. Oleh itu, saya menyatakan bahawa tiada apa-apa tidak sah di sisi undang-undang dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan berhubung hukuman dikenakan ke atas pemohon oleh Mahkamah Persekutuan,” kata Mohd Ashrof.

    Najib, 69, memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya itu kerana menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International.

    Beliau turut memohon agar diberi kebenaran menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lepas yang menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, atau penjara lima tahun.

    Secara alternatif, Najib memohon agar rayuan itu didengar semula oleh korum Mahkamah Persekutuan yang baharu dan terdiri sekurang-kurangnya daripada tujuh hakim.

    Najib, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, juga memohon penangguhan pelaksanaan sabitan dan hukuman sementara menunggu pendengaran permohonan semakan itu.

    Afidavit Najib yang difailkan bagi menyokong permohonan itu menyatakan bahawa beliau benar-benar percaya dan telah dinasihatkan oleh peguam caranya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

  • PRU15: Senarai calon Bersatu di peringkat akhir

    PRU15: Senarai calon Bersatu di peringkat akhir

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini di peringkat akhir untuk menyenaraikan calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Naib Presidennya, Datuk Dr Radzi Jidin.

    “Senarai calon sedang diteliti di peringkat akhir dan kita pilih calon terbaik yang boleh membawa kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya yang juga pengerusi jawatankuasa pemilihan calon parti kepada media selepas melancarkan Le Tour de Langkawi (LTdL) Peringkat Ketiga Putrajaya-Genting Highlands di Putrajaya hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa 10 Oktober untuk memberi laluan kepada PRU15 selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin (tengah) bergambar bersama sebahagian pelumba pada Majlis pelepasan para pelumba Jelajah Berbasikal Le Tour De Langkawi (LTDL) 2022 di Dataran Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Ditanya adakah beliau akan bertanding pada PRU15, Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan berkata, beliau menunggu keputusan parti mengenai perkara itu.

    “Insya-ALLAH apa sahaja diumum parti saya akan patuh dan apa yang parti minta saya akan buat,” katanya.

    Radzi pada PRU14 bertanding di kerusi Parlimen Ketereh namun kalah kepada Tan Sri Annuar Musa. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Senator pada 17 Julai 2018. – Bernama

  • Pengarah syarikat didenda RM8,000 jual kelengkapan komunikasi tak diperakui

    Pengarah syarikat didenda RM8,000 jual kelengkapan komunikasi tak diperakui

    SEORANG pengarah syarikat menjual barangan elektrik dan elektronik didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini atas kesalahan menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui.

    Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Chong Hui Yee, 38, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Taman Kota Laksamana pada pukul 12 tengah hari 4 Sept 2020.

    Pertuduhan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang dibaca bersama Peraturan 16(3) Peraturan-Peraturan yang sama dan Seksyen 244 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Chong, yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan memandangkan produk dijual tidak mendapat hasil jualan tinggi dan syarikatnya mengalami kerugian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Mai Zairani Zainal Abidin berkata mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam kerana produk dijual boleh mengganggu frekuensi radio pengguna lain kerana tidak mendapat kelulusan sepatutnya.

    Chong membayar denda itu.

  • Tuntutan Sulu: Kerajaan Persekutuan tidak akan serahkan Sabah – Wan Junaidi

    Tuntutan Sulu: Kerajaan Persekutuan tidak akan serahkan Sabah – Wan Junaidi

    SABAH tidak akan diserahkan atau berada di bawah pentadbiran Filipina dan kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Beliau berkata demikian bagi menjelaskan jawapan beliau kepada soalan yang dikemukakan Chan Foong (PH-Kota Kinabalu) di persidangan Dewan Rakyat pada 6 Okt lepas berhubung isu pertikaian timbang tara tuntutan Sulu, antara pihak yang mendakwa kumpulan Sulu serta kerajaan Malaysia, yang beliau jelaskan ia adalah tuntutan persendirian dan tidak ada kena mengena dengan soal kedaulatan.

    “Sebagai penjelasan kepada jawapan saya mengenai persoalan sama ada Sabah berkemungkinan menjadi sebahagian daripada Filipina susulan keputusan pengisytiharan di Mahkamah Paris, ingin saya tegaskan bahawa situasi ini tidak akan berlaku.

    “Sabah tidak akan diserahkan atau berada di bawah pentadbiran Filipina dan Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

     Final Award Mahkamah Arbitrasi Paris tersebut dibuat oleh penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Feb 2022 yang menganugerahkan pihak menuntut Sulu itu sejumlah US$14.92 bilion.

    “Apabila saya menyatakan bahawa pengisytiharan keputusan Mahkamah Paris tersebut merupakan ‘tuntutan peribadi’, ia merujuk kepada tuntutan yang dibuat oleh individu persendirian (pihak yang mendakwa kumpulan Sulu) dan bukan tuntutan oleh Kerajaan Filipina.

    “Selanjutnya, apabila saya menyatakan bahawa tuntutan Sulu dan pengisytiharan keputusan Mahkamah Paris tidak ada kena mengena dengan soal kedaulatan, kenyataan tersebut adalah merujuk kepada konteks kedaulatan wilayah – sama ada wujud kemungkinan Sabah diserahkan kepada Filipina,” kata beliau.

    Wan Junaidi berkata tuntutan itu adalah provokasi dan pelanggaran ke atas kedaulatan serta kepentingan ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa.

    Pada masa ini, pihak berkenaan sedang menggunakan proses timbang tara yang merupakan mekanisme undang-undang antarabangsa persendirian untuk menyerang kepentingan kedaulatan Malaysia di luar negara, katanya.

    Menurut menteri itu, proses tersebut bukan sahaja disalahguna tetapi ia juga suatu bentuk provokasi ke atas kedaulatan dan kepentingan Malaysia.