Author: Bernama

  • Sultan Perak perkenan DUN dibubarkan berkuatkuasa hari ini – MB

    Sultan Perak perkenan DUN dibubarkan berkuatkuasa hari ini – MB

    PERAK membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara rasmi hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pembubaran DUN dilakukan selepas beliau menerima warkah pengisytiharan daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang memberi perkenan untuk membubarkan DUN berkuat kuasa hari ini.

    “Watikah tersebut diperoleh pada Ahad,” katanya pada sidang media di sini.

    Dilapor, pada Rabu, Saarani pertama kali menghadap Sultan Nazrin bagi mempersembahkan hasrat pembubaran DUN sebelum dititahkan sekali lagi menghadap pada Jumaat.

    Menurut Saarani, warkah permohonan pembubaran itu dibuat selaras dengan Fasal 2 Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

    Saarani turut menyembah maklum mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Okt, serta syor supaya ketua kerajaan negeri mengambil tindakan untuk membubarkan DUN bagi membolehkan PRU15 diadakan serentak.

    Perak mempunyai 59 kerusi DUN.

    DUN Perak kini terdiri daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Barisan Nasional (BN), DAP (15), Amanah (lima), Bersatu (empat), PAS (tiga), PKR (tiga), PBM (tiga) dan Bebas (satu). – BERNAMA

  • Banjir Langkawi: 37 orang dipindahkan ke PPS

    Banjir Langkawi: 37 orang dipindahkan ke PPS

    SERAMAI 37 orang daripada 10 keluarga dari Kampung Atas di Mukim Padang Mat Sirat di sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Syifa, malam ini, berikutan banjir akibat hujan sejak jam 4 pagi tadi.

    Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapt (PA) Ahmad Shahfikri Darus ,berkata PPS berkenaan dibuka lebih kurang pukul 8 malam ini bagi menempatkan kesemua mangsa banjir itu.

    “Air mula naik sehingga memasuki rumah penduduk kampung ini sekitar pukul 6 petang tadi. Terdapat kawasan di beberapa mukim di daerah ini terjejas dengan banjir seperti Mukim Ayer Hangat dan Kuah namun setakat ini tiada PPS dibuka di mukim berkenaan berikutan air telah surut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Ahmad Shahfikri berkata pihaknya akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa paras air sungai utama serta memantau kawasan yang berpotensi untuk banjir.

    Tinjauan Bernama pada malam ini mendapati air Sungai Melaka di sini mengalir deras dan melimpah ke rumah penduduk sekitar Kampung Atas serta Pasar Awam Padang Mat Sirat di Mukim Padang Mat Sirat.

    Sementara itu, lapan rumah di Kampung Sungai Bongkok di Mukim Gurun, daerah Kuala Muda turut terjejas dengan banjir kira-kira pukul 5 petang tadi berikutan hujan lebat selama tempoh melebihi tiga jam namun tiada PPS dibuka berikutan air telah pun surut. – BERNAMA

  • Kes Cikgu Fadli: PM harap keputusan menang-menang dicapai

    Kes Cikgu Fadli: PM harap keputusan menang-menang dicapai

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap situasi menang-menang dapat dicapai dalam isu melibatkan guru Mohd Fadli Mohamed Salleh dengan Kementerian Pendidikan, yang tular di media sosial Facebook sejak semalam. 

    Beliau berkata dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pagi tadi dan telah berhubung dengan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkhairuddin Ghazali pada petang ini, bagi mendapatkan penjelasan berhubung kejadian tersebut. 

    Jawatankuasa disiplin kementerian juga, menurut Ismail Sabri akan bersidang esok, berhubung isu tersebut,  yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Yusran Shah Mohd Yusof. 

    “Surat tunjuk sebab adalah perkara biasa dalam jabatan kerajaan, namun saya berharap keputusan positif akan dicapai pada mesyuarat esok. Insya-Allah apa yang digambarkan dalam surat itu atau di media sosial seperti akan dipecat, diturunkan pangkat dan sebagainya tidak akan berlaku. 

    Pihak kementerian tidak boleh melepaskan kakitangan yang mengeluarkan komen (di media sosial) namun dalam masa sama, hukuman yang terlalu keras kepada pegawai dan kakitangan juga tidak wajar, selain pegawai dan kakitangan juga perlu menghormati kementerian,” katanya.

    Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Moh Ngeteh Bersama Masyarakat India Parlimen Bera di Dewan Kompleks UMNO Bera di sini hari ini. 

    Beliau juga berpandangan kementerian dalam menjaga integriti mereka, juga perlu mendengar pandangan bukan hanya daripada guru, tetapi juga masyarakat dan berdasarkan reaksi yang diterima selepas isu tersebut tular, ramai yang memberikan maklum balas negatif. 

    Semalam, Mohd Fadli guru Matematik di sebuah sekolah rendah di Gombak menerusi Facebooknya mendakwa beliau akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

    Beliau turut menyatakan bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang katanya boleh memudaratkan kesihatan murid.

    Bagaimanapun menurut surat yang dimuat naik guru berkenaan, Mohd Fadli diberikan tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan surat itu untuk mengemukakan representasi kepada Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan untuk membela diri.  

    Hari ini, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan menyatakan kesediaan untuk berjumpa guru tersebut menerusi hantaran di akaun Facebook beliau. Mohd Fadli juga menerusi status terbarunya di akaun media sosial menyatakan akan berjumpa Radzi pada suatu hari nanti.  — BERNAMA 

     

  • PRU-15: Abdul Latiff sedia beri laluan muka baharu di Mersing

    PRU-15: Abdul Latiff sedia beri laluan muka baharu di Mersing

    PENYANDANG kerusi Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad bersedia memberi peluang kepada calon muka baharu mewakili Bersatu untuk bertanding di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-5 (PRU-15) nanti. 

    Beliau berkata telah tiba masanya untuk menonjolkan pemimpin baharu yang bersedia dan bertenaga untuk memberi khidmat di kawasan itu.

    “Saya dah bersedia memberi laluan kepada mereka yang lebih bertenaga kerana saya telah jadi wakil rakyat hampir enam penggal dengan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri dan Persekutuan.

    “Ini adalah masa untuk kita beri peluang kepada calon muka baharu tunjuk bakat mereka yang telah bersedia berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kampung Tersang, Rantau Panjang, di sini, hari ini

    Mengulas lanjut, Abdul Latiff, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), berkata sekiranya namanya tidak dicalonkan pada PRU15, beliau akan masih bergiat aktif dalam politik dan akan membantu calon-calon yang bertanding.

    Pada PRU14 lalu, Abdul Latif yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) ketika itu berjaya memenangi kerusi Parlimen Mersing dengan memperoleh 19,806 undi, menewaskan dua pencabarnya daripada PAS dan PKR.

    Beliau keluar daripada UMNO pada Disember 2018 dan menyertai Bersatu pada Februari 2019.- BERNAMA

  • Nurul Nazihah sempat capai hasrat tunai umrah

    Nurul Nazihah sempat capai hasrat tunai umrah

    NURUL Nazihah Kamalul Arifin yang maut dalam kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara Selatan malam tadi, baru kembali daripada menunaikan umrah bersama suami dan ibu bapanya minggu lepas.

    Bapa Allahyarham, Kamalul Arifin Ahmad, 66, yang masih terkejut dengan pemergian anak keempatnya itu, berkata arwah merancang untuk turut pergi menunaikan ibadah itu setelah mengetahui hasratnya dan isteri Saliah Hood, 56, yang mahu ke Tanah Suci.

    “Rasanya empat hingga lima bulan juga dia dan ibunya merancang serta menguruskan perjalanan umrah kami. Baru kini kami dapat pergi memandangkan arwah pun baru tiga tahun bekerja di sebuah kilang di Pasir Gudang. 

    “Alhamdulillah impian dia nak pergi umrah tercapai. Ketika di Tanah Suci, arwah dan suaminya paling muda jadi merekalah yang banyak membantu kami semua. Dia pun ke Tanah Suci sebagai ikhtiar dan berdoa untuk dapatkan zuriat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lukut, dekat sini hari ini.

    Menurutnya lagi Nurul Nazihah, 28, baru sahaja kembali bekerja dua hari lepas dan ada memaklumkan untuk balik ke rumahnya (Kamalul) minggu depan. 

    Kamalul berkata meskipun sedih dengan pemergiaan anaknya itu, dia reda apatah lagi apabila diberitahu jasad anaknya ditemui sempurna, seolah-olah sedang duduk antara dua sujud.

    “Apabila dimaklumkan oleh ahli keluarga bahawa keadaan jasad arwah masih sempurna, saya rasa syukur dan yakin ini mungkin berkat amalannya ketika hidup yang sangat tegas dalam bab agama,” katanya sambil menyifatkan anaknya itu seorang yang ceria dan penyayang.

    Sementara itu, sepupu kepada suami mangsa, Nurizzah Atikah Jamaluddin, 28, berkata suami mangsa, Redzuan Jamil masih trauma dengan kejadian yang berlaku sehingga mengigau bertanya tentang isterinya malam tadi.

    Katanya sepupunya itu ada bercerita bahawa ketika kejadian dia berusaha menyelamatkan Nurul Nazihah atau lebih mesra dipanggil Azi, yang tersepit tetapi gagal sehingga orang awam bertindak menyelamatkan Redzuan melalui pintu belakang kereta.

    “Saya memang tak sangka sebab Azi seorang yang periang, kelakar dan suka ambil gambar atau video” katanya.

    Terdahulu, tinjauan Bernama di rumah keluarga mangsa di Kampung Lukut mendapati ia dipenuhi dengan ahli keluarga, sahabat handai dan jiran yang menunggu ketibaan jenazah Allahyarham dalam suasana hiba. 

    Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, dekat sini sebaik sahaja jenazah tiba dan disembahyangkan.

    Terdahulu, dua individu dilaporkan rentung manakala empat terselamat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan berdekatan Sedenak pada 7.47 malam tadi.

    Nurul Nazihah ditemukan tersepit dalam Proton Wira manakala seorang lagi adalah mangsa dalam Toyota Vios tetapi belum dikenal pasti identitinya. – BERNAMA

  • Kerajaan ada wang laksana Bajet 2023 – PM

    Kerajaan ada wang laksana Bajet 2023 – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata kerajaan mempunyai wang bagi melaksanakan Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Okt lepas, yang merupakan belanjawan terbesar pernah disediakan melibatkan peruntukan RM372.3 bilion. 

    “Apabila kita mengumumkan bajet dalam Parlimen, itu bermaksud kita telah mempunyai duit untuk melaksanakan setiap yang dijanjikan…sudah ada duit cuma (bajet) belum lulus lagi. 

    “Kalau mahu bajet yang cantik sebegini dilaksanakan, undilah kita dan barulah (bajet) boleh dibentang semula dan diluluskan,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

    Hari ini, beberapa media melaporkan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kemampuan kerajaan melaksanakan inti pati Bajet 2023 kerana mendakwa antara lain kerajaan kekurangan dana dan kurang kecekapan untuk melaksanakan projek.

    Ismail Sabri juga menegaskan bajet itu, yang dibuat dengan mencakupi semua lapisan masyarakat, menyasarkan manfaat kepada akar umbi dan bukannya hanya ‘taikun’ seperti dakwaan sesetengah pihak. 

    Perdana Menteri berkata perbelanjaan pembangunan antaranya melibatkan infrastruktur luar bandar seperti jalan raya dan jambatan, turut membabitkan kontraktor kecil, dengan mengambil contoh projek kecil dan sederhana melibatkan peruntukan RM3.7 bilion, akan memanfaatkan kira-kira 5,000 kontraktor kelas G1 hingga G4. 

    “Tambahan pula projek yang dilakukan adalah untuk kebaikan rakyat. Infrastruktur luar bandar, siapa yang mendapat manfaatnya? Setiap projek pembangunan faedah adalah kepada kepada akar umbi termasuk semua masyarakat Orang Asli. 

    “Untuk kesihatan, saya mengarahkan supaya menambah peruntukan kesihatan kepada Sabah dan Sarawak kerana klinik desanya terlalu daif, begitu juga untuk aspek pendidikan, turut ditambah di Sabah dan Sarawak kerana sekolahnya begitu daif. Ini bukan soal kontraktor besar tetapi untuk kebaikan rakyat,” katanya. 

    Ismail Sabri juga menempelak tindakan pembangkang yang gagal menunaikan manifesto yang dicanang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehingga akhirnya menyebabkan Dr Mahathir, sebagai Perdana Menteri ketika itu, mengeluarkan kenyataan manifesto bukan kitab suci yang wajib ditunaikan. – BERNAMA

  • Lelaki gelandangan maut dipercayai dipukul

    Lelaki gelandangan maut dipercayai dipukul

    SEORANG lelaki warga emas dipercayai gelandangan, maut dipukul di lorong berhampiran kaki lima Jalan Leong Sin Nam di sini awal pagi tadi.

    Difahamkan, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian melibatkan mangsa berusia 68 tahun itu pada kira-kira 5.20 pagi tadi.

    Mangsa dipercayai dipukul serta ditendang dan polis telah menahan suspek yang juga gelandangan berusia 51 tahun dalam masa yang singkat.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataan berkata pemeriksaan awal ke atas badan mangsa mendapati terdapat kesan luka di bahagian dagu disebabkan senjata tajam dan calar di kedua-dua tangan.

    “Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.

    Mohd Yusri berkata suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Sabtu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Tinjauan Bernama di lokasi kejadian pagi ini mendapati masih terdapat kesan darah di lorong jalan itu dipercayai milik mangsa.

    Seorang wanita yang bekerja di restoran berhampiran yang enggan dikenali memberitahu dia terdengar bunyi bising dan kaca pecah seperti berlaku pergaduhan ketika menyiapkan makanan pada kira-kira 5 pagi.

    “Saya terus keluar untuk melihat kejadian dan menghubungi pihak polis bagi mendapatkan bantuan untuk mangsa itu yang biasa dilihat tidur di sekitar kawasan ini,” katanya.- BERNAMA

  • Pejuang,Putra gagal capai kata putus pembahagian kerusi di Kelantan

    Pejuang,Putra gagal capai kata putus pembahagian kerusi di Kelantan

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), masih belum memuktamadkan pembahagian kerusi Parlimen di Kelantan yang akan ditandingi calon Gerakan Tanah Air (GTA), pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Ketua Pejuang Kelantan Datuk Sazmi Miah berkata ia susulan mesyuarat GTA hari ini yang dihadiri wakil pimpinan kedua-dua parti tersebut, gagal mencapai kata putus.

    “Jadi tiada keputusan yang dibuat, kerana ada pertindihan calon kerusi Parlimen yang dikemukakan oleh kedua-dua parti, antaranya di Parlimen Kota Bharu, Tumpat dan Pengkalan Chepa.

    “Pengerusi GTA Kelantan Datuk Ibrahim Ali, tidak sepatutnya terburu-buru membuat kenyataan kerana sebarang keputusan perlu mendapat persetujuan semua pimpinan parti Komponen di dalam GTA,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sazmi yang juga Timbalan Pengerusi GTA Kelantan berkata keputusan untuk menempatkan calon masih lagi dalam perbincangan dan perincian, kerana gabungan itu akan mengetengahkan calon-calon yang terbaik.

    Media hari ini melaporkan Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi GTA dan Presiden Putra berkata parti itu akan bertanding di tujuh daripada 14 kerusi Parlimen Kelantan pada PRU15.

    — BERNAMA

  • Polis rampas cecair vape ‘perisa’ dadah RM3.4 juta, tahan 7 individu

    Polis rampas cecair vape ‘perisa’ dadah RM3.4 juta, tahan 7 individu

    KEGIATAN sindiket mengedar dan memproses dadah dalam bentuk cecair vape bernilai RM3.4 juta terbongkar susulan penahanan tujuh individu termasuk seorang wanita warga asing dalam empat serbuan sekitar Lembah Klang, Khamis lalu.

    Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata semua individu berusia 25 hingga 34 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Selangor dan Kuala Lumpur.

    Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas 104.16 liter cecair ketamin, 27.56g syabu dan 160 biji pil yaba selain tiga kenderaan, wang tunai RM2,530 dan barang kemas bernilai RM3,077.

    “Sindiket ini dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan modus operandinya mencampurkan cecair ketamin ke dalam perisa vape dan menggunakan perkhidmatan kurier bagi mengedarkan dadah untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan.

    Noorsiah berkata, lima individu ditahan itu positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo, manakala enam daripadanya mempunyai rekod kesalahan dadah dan jenayah.

    Menurutnya, semua individu termasuk wanita warga Indonesia itu direman lima hingga tujuh hari bermula semalam bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • PRU-15: Agihan kerusi PN selesai sebelum Jumaat depan – Ahmad Samsuri

    PRU-15: Agihan kerusi PN selesai sebelum Jumaat depan – Ahmad Samsuri

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menyelesaikan agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kalangan parti komponennya bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum Jumaat depan.

    Pengerusi PN Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara berkenaan akan dimuktamadkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang.

    “Sebelum Jumaat akan selesai perbincangan kerusi. (Mesyuarat) fokus pada kerusi DUN dan Parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyampaian hadiah kejohanan bola sepak Terengganu Football League di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam tadi.

    Naib Presiden PAS itu berkata mesyuarat tersebut juga akan memperincikan soal pemilihan calon yang bakal diketengahkan gabungan politik itu pada PRU15 dan menurutnya PAS sudah mempunyai senarai calon berpotensi, namun masih memerlukan penelitian bagi memastikan calon terpilih adalah layak dan boleh menang.

    “Senarai calon itu ada…akan dibincangkan dalam mesyuarat itu nanti. Semua sekali kami bincangkan. Kami akan selesaikan cepat kerana sedar pengundi 20 tahun dahulu dengan sekarang berbeza. Dahulu orang tengok (undi) atas parti, tetapi sekarang orang tengok calon,” kata Menteri Besar Terengganu itu.

    Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata senarai akhir calon yang akan bertanding akan diputuskan kepimpinan peringkat pusat selari dengan pembahagian kerusi komponen dalam PN kelak.

    — BERNAMA