Author: Bernama

  • Malaysia perlu sistem perlindungan sosial lebih inklusif- KWSP

    Malaysia perlu sistem perlindungan sosial lebih inklusif- KWSP

    SATU sistem perlindungan sosial lebih inklusif perlu dilaksanakan di Malaysia berikutan mekanisme sedia ada terhad serta tidak memadai dengan hanya 9.1% penerima manfaat dilindungi berbanding purata 55.1% di peringkat Asia dan 12.8% di tahap global.

    Ketika menegaskan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amir Hamzah Azizan, berkata kebergantungan usia emas juga terbukti meningkat dengan setiap 10 dewasa yang bekerja perlu menyara seorang warga emas pada 2020 kepada tiga orang dewasa bekerja pada 2050.

    “Perubahan itu perlu dibuat sekarang memandangkan kalangan penduduk Malaysia yang berusia 65 tahun dan ke atas kini semakin bertambah berbanding kumpulan umur lain,” katanya dalam ucapan perasmian di persidangan kesejahteraan sosial antarabangsa 2023 (ISWC 2023).

    ISWC 2023 yang berlangsung selama dua hari dianjurkan bersama oleh KWSP, Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).

    Bertemakan ‘Changing the Game: Building the World We Want’, program itu bertujuan menangani jurang kritikal dalam aspek perlindungan keselamatan sosial selain menyokong hak asas bagi mendapatkan perlindungan sosial.

    Mengulas lanjut, Amir berkata isu kekurangan simpanan turut menjejaskan kesejahteraan persaraan dalam kalangan ahli KWSP.

    Dana persaraan itu menggunakan penanda aras dalam menentukan pencapaian simpanan asas mengikut umur iaitu RM240,000 dan menjadi sasaran minimum apabila mencecah umur 55 tahun yang berjumlah RM1,000 sebulan dalam tempoh persaraan selama 20 tahun.

    Beliau berkata setakat Mei 2023, hanya 30% daripada ahli aktif KWSP berupaya memenuhi simpanan asas mengikut umur manakala 18% daripada jumlah ahlinya memenuhi nilai ambang sama.

    “Oleh itu, kekurangan simpanan persaraan ini adalah sesuatu yang membimbangkan dan membuktikan (masalah) asas dari segi sumbangan seperti struktur gaji rendah, ketidakpadanan atau salah jajaran antara usia pengeluaran penuh dan usia persaraan, caruman tidak konsisten dan kekurangan pekerjaan selain tahap celik kewangan yang rendah.

    “Memandangkan keahlian KWSP kini mencecah 15.8 juta orang, kami berusaha untuk melaksanakan strategi jangka panjang bagi mewujudkan impak positif serta memupuk aspek kesejahteraan tersebut,” katanya.

    Ini termasuk usaha KWSP yang kini memberi tumpuan dalam memperluas liputan dan meningkatkan simpanan persaraan kalangan ahlinya, kata Amir.

    Jelasnya, oleh kerana hanya 56% daripada 16.7 juta tenaga kerja Malaysia mempunyai beberapa bentuk perlindungan sosial formal, KWSP telah memanfaatkan unit bergeraknya bagi menjangkau tujuh juta orang dalam sektor tidak formal dan bekerja sendiri yang berpotensi menjadi ahli KWSP.

    Pada masa sama, dana persaraan itu turut meninjau kaedah pendekatan lain, termasuk pilihan pengeluaran pendapatan untuk mengukuhkan tawaran kepada ahli dengan sumber pendapatan tambahan bagi persaraan.

    “KWSP juga sedang giat meneliti aspek Tonggak 1 Rangka Kerja Pendapatan Pelbagai Peringkat Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menerusi usaha memperkenalkan caruman wajib persaraan kebangsaan,” katanya.

  • Bekas pegawai PTD dipenjara setahun kerana amang seksual terhadap pelajar lelaki

    Bekas pegawai PTD dipenjara setahun kerana amang seksual terhadap pelajar lelaki

    BEKAS pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Rayuan kerana melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun di bilik air asrama sebuah sekolah agama.

    Mohd Zarul Afifi Mohd Zaki diperintahkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail supaya menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.

    Lelaki berusia 36 tahun itu sebelum ini bebas dengan jaminan RM8,000 dan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya selesai.

    Dia gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitannya tetapi berjaya mengurangkan hukuman penjara daripada enam tahun dan dua sebatan kepada penjara setahun.

    Hakim Hadhariah yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin berkata, terdapat bukti kukuh untuk menyokong keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Zarul atas kesalahan itu.

    Hakim itu bagaimanapun berkata, mahkamah bersetuju dengan peguam M M Athimulan yang mewakili Mohd Zarul bahawa hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan adalah keterlaluan kerana tiada sebarang kekerasan atau kecederaan terhadap mangsa.

    Pada 28 April 2021, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Mohd Zarul daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh pergelangan tangan dan perut budak lelaki yang sedang mandi di bilik air asrama sekolah berkenaan di Kuantan, Pahang pada 3.10 petang, 23 Mac 2019.

    Mahkamah Tinggi, pada 18 Januari 2022, membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mensabitkan kesalahan Mohd Zarul serta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan.

    Mohd Zarul kemudiannya merayu kepada Mahkamah Rayuan.

    Dalam rayuan hari ini, Athimulan memohon mahkamah mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen kerana beliau berkata mahkamah itu (Mahkamah Sesyen) telah membebaskan anak guamnya memandangkan kejadian itu berlaku secara spontan dan bukan dengan niat.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Azmi Mashud, yang dibantu oleh TPR Aida Khairuleen Azli berhujah bahawa keterangan Mohd Zarul bahawa dia tidak menyedari telah memasuki perkarangan sekolah kerana bermain permainan Pokemon Go di telefon bimbitnya, hanyalah penafian semata-mata.

    Beliau berkata, keterangan Mohd Zarul bahawa dia memasuki bilik air untuk mengambil bajunya dan secara tidak sengaja menyentuh perut mangsa juga adalah penafian semata-mata.

  • Kanak-kanak maut jatuh dari tingkat 10 kondominium

    Kanak-kanak maut jatuh dari tingkat 10 kondominium

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 10 sebuah kondominium di Labuan, awal pagi ini.

    Ketua Polis Labuan Supt Ahmad Jawila berkata mayat kanak-kanak itu ditemukan di tingkat satu oleh penduduk kondominium berkenaan.

    Beliau berkata kanak-kanak itu dipercayai terjatuh kira-kira 5.28 pagi dan kematiannya disahkan oleh pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian pada 7.42 pagi.

    Katanya siasatan awal mendapati kejadian tidak melibatkan unsur jenayah dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    “Mayat dihantar ke Hospital Labuan untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

  • Dua beradik melecur dalam kebakaran rumah di Pengerang

    Dua beradik melecur dalam kebakaran rumah di Pengerang

    DUA beradik melecur pada bahagian tangan dan badan ketika cuba menyelamatkan diri selepas kediaman mereka di Taman Bayu Damai, Pengerang di Kota Tinggi, terbakar semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai Pegawai Bomba Tinggi II Ezam Mistorerrodin berkata kedua-dua mangsa dikenali sebagai Lim Bee Sing, 59, dan Lim Bee Hea, 70, diberi rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Rengit di Kota Tinggi untuk rawatan lanjut.

    “Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kebakaran dua rumah jenis struktur kekal yang masing-masing musnah 90 peratus dan 30 peratus serta terdapat dua mangsa termasuk seorang warga emas berada di sebuah rumah.

    Dua buah rumah musnah dalam kebakaran dan mengakibatkan dua lelaki melecur di Taman Bayu Damai, Pengerang, Kota Tinggi, semalam. Foto bomba Johor

    “PKO kemudian bertindak membuat pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dan satu aliran 100 kaki dua pancutan sumber pili bomba berhampiran sehingga api padam sepenuhnya,“ katanya menerusi satu kenyataan malam tadi.

    Terdahulu, Ezam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.06 tengah hari sebelum 32 anggota dan jentera digegaskan ke tempat kejadian.

    “Bagaimanapun, punca kebakaran dan anggaran kerugian dua rumah yang bersebelahan itu masih dalam siasatan, operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira 1.54 tengah hari,“ katanya sambil menambah, kebakaran di sebuah lagi rumah tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

  • Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 berkuat kuasa esok

    Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 berkuat kuasa esok

    BERMULA esok, Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) akan berkuat kuasa.

    Menurut Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Jun yang disiarkan Jabatan Peguam Negara, tarikh berkuat kuasa akta berkenaan ditetapkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

    “Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 1(2) Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846), Menteri menetapkan 4 Julai 2023 sebagai tarikh Akta itu mula berkuat kuasa,” menurut warta itu.

    Pada 3 April lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang antara lain bertujuan memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan.

    Melalui undang-undang itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.

  • Tikam bekas isteri hingga maut, lelaki direman tujuh hari

    Tikam bekas isteri hingga maut, lelaki direman tujuh hari

    SEORANG lelaki direman tujuh hari bermula semalam selepas disyaki menikam bekas isterinya Rokiah Ayub, 42, sehingga maut di sebuah rumah di Taman Desa Darul Naim, Pasir Tumboh di Kota Bharu semalam.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata lelaki berusia 51 tahun itu direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    “Lelaki tersebut direman hingga Sabtu ini dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

    Semalam, Bernama melaporkan seorang wanita berusia 42 tahun yang juga ibu tunggal kepada tiga anak berusia antara 14 hingga 24 tahun maut disyaki ditikam bekas suaminya di sebuah rumah sewa di Taman Desa Darul Naim.

    Dalam insiden itu, suspek yang juga bekas suami mangsa turut cedera parah selepas dipercayai menikam dirinya sendiri dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu.

  • Bapa mangsa tragedi kepala air reda pemergian anak sekeluarga

    Bapa mangsa tragedi kepala air reda pemergian anak sekeluarga

    WALAUPUN berat ujian yang ditanggung, Eiyi Johari, 60, bapa kepada Allahyarham Azizah Eiyi, 40, yang terkorban dalam tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman, reda dengan pemergian anaknya.

    Selain Azizah yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik, dia turut kehilangan seorang menantu, Karim Abdullah, 39, (suami Azizah) dan tujuh cucu yang turut sama dalam perkelahan di kawasan rekreasi berkenaan.

    Menurut Eiyi dia tidak menyangka akan kehilangan sembilan ahli keluarga tersayang dalam sekelip mata, apatah lagi mereka baru sahaja menyambut Hari Raya Aidiladha bersama-sama.

    “Saya reda dengan ujian ini… (Pada hari kejadian) saya keluar bekerja dan dimaklumkan oleh isteri yang mereka sekeluarga berkelah.

    “Mereka tidak tinggal serumah dengan kami, tetapi masih dalam kampung yang sama. Suaminya pula berulang-alik kerja dari Felda Lepar Hilir ke Air Putih setiap hari,“ katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman turut menziarahi keluarga mangsa dan menghulurkan sumbangan peribadi sebagai tanda prihatin.

    Ariffin berkata kejadian tragedi kepala air di kawasan Jeram Mawar itu merupakan kejadian luar jangka kerana berlaku di luar musim tengkujuh.

    Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai yang ingin keluar beriadah terutama di kawasan rekreasi air mendapatkan maklumat ramalan cuaca daripada laman web agensi berkaitan.

    “Jabatan Meteorologi ada keluarkan amaran hujan lebat dan ribut melibatkan negeri-negeri Semenanjung sehingga 5 Julai ini.

    “Saya harap sesiapa yang ingin melakukan aktiviti di air lebih peka dengan amaran berkaitan bagi mengelak sebarang tragedi,“ katanya.

    Setakat hari ini, tujuh mangsa telah ditemukan termasuk penemuan mayat Azizah dan anak lelakinya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, pada tengah hari semalam manakala seorang lagi mangsa masih belum ditemukan.

    Operasi mencari dan menyelamat yang dihentikan pada 6 petang semalam akibat cuaca buruk diteruskan semula kira-kira 9 pagi tadi.

  • Lelaki ditemukan lemas ketika menjaring ikan

    Lelaki ditemukan lemas ketika menjaring ikan

    SEORANG lelaki ditemukan lemas ketika menjaring ikan bersama tiga rakannya di Pantai Batu 1, Jalan Pantai, Port Dickson dekat Seremban semalam.

    Ketua Zon 2 Negeri Sembilan Penguasa Kanan Bomba II Jelani Ahad berkata mangsa yang berusia 30-an beralamat di Parit Raja, Johor itu ditemukan di hadapan Waterfront Pulau Arang, iaitu kira-kira satu kilometer dari pantai itu, 8.40 pagi tadi.

    “Mangsa dan tiga rakannya ke pantai itu semalam untuk menjaring ikan ketika air laut surut, namun tidak menyedari berlaku kejadian air pasang sehingga menyebabkan mangsa dibawa arus.

    “Tiga lagi rakannya sempat menyelamatkan diri ke pesisiran pantai. Mereka cuba menyelamatkan mangsa menggunakan kayu namun gagal berikutan ombak yang terlalu kuat,” katanya kepada Bernama di Seremban hari ini.

    Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada 9.32 pagi.

  • Kepala air: Hari kedua operasi SAR disambung, kesan lapan lagi mangsa

    Kepala air: Hari kedua operasi SAR disambung, kesan lapan lagi mangsa

    OPERASI hari kedua mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, dekat Chukai diteruskan pada 9 pagi ini.

    Tujuh daripada mangsa merupakan daripada keluarga yang sama iaitu Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

    Seorang lagi individu yang hilang adalah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor yang turut serta dalam perkelahan keluarga kelmarin, yang berakhir dengan tragedi kepala air, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan dilaporkan berkata dua mayat pertama ditemukan orang ramai pada 12.30 tengah hari semalam iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

    Mayat Azizah ditemukan terapung sejauh 24 kilometer (km) dari lokasi kejadian, dengan polis mengambil kira kedudukan penemuan sebuah kereta jenis Proton Gen 2 dinaiki keluarga malang itu sebagai titik awal insiden.

    Mayat Muhammad Zulqarnain Haikal pula ditemukan 2km dari lokasi kejadian dalam keadaan tersangkut pada dahan pokok selepas dihanyutkan arus deras, dengan paras air dikatakan naik lima hingga 10 meter akibat fenomena itu.

    Selain kereta tersebut, turut ditemukan ialah sebuah motosikal jenis SYM yang dinaiki Muhammad Fikri dan tunangnya.

    Semalam, operasi SAR dihentikan pada 6 petang ekoran hujan lebat yang menyukarkan pencarian selain berisiko kepada pasukan pencarian yang dijalankan oleh polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain turut dibantu orang awam.

    Hanyan berkata sehingga 10 malam semalam, tiada sebarang petunjuk atau penemuan baharu mengenai kedudukan baki mangsa yang masih hilang berjaya dibuat pasukan pencarian.

    Pada operasi hari ini, pasukan akan memulakan pencarian pada radius 8km dari lokasi kejadian di kiri dan kanan tebing jeram selain percaya mangsa mungkin dihanyutkan arus jauh dari lokasi mengambil kira tempat mayat Azizah ditemukan.

    Unit anjing pengesan K9 milik polis dan JBPM akan digerakkan hari ini bagi membantu memudahkan kerja pencarian dengan penambahan kekuatan pasukan SAR juga bakal dibuat di tiga fasa kawasan pencarian yang ditentukan mengikut kekuatan dan bantuan operasi pasukan SAR.

    Semalam, Bernama melaporkan 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Mawar, di Kuala Terengganu kelmarin sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

  • Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti

    Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti

    IDENTITI lapan individu termasuk tujuh sekeluarga yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih dekat Chukai semalam, dikenal pasti.

    Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, tujuh sekeluarga itu ialah Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

    Seorang lagi individu yang hilang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

    Terdahulu, polis menerima maklumat mengenai penemuan dua mayat tragedi itu iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, daripada orang awam pada pukul 12.30 tengah hari.

    “Identiti dua beranak itu dikenal pasti selepas pengecaman dilakukan ahli keluarga di Bilik Forensik Hospital Kemaman, pada malam tadi.

    “Keluarga berkenaan berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang telah datang ke jeram berkenaan sejak 2 petang (Sabtu) untuk berkelah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di Chukai, malam tadi.

    Mayat Azizah ditemukan terapung oleh orang ramai, dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian, manakala Muhammad Zulqarnain Haikal tersangkut pada dahan pokok kira-kira 2km dari tempat kejadian.

    Beliau berkata, pihaknya percaya Karim yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di Hutan Air Putih di Chukai, mahir dengan laluan di lokasi sehingga mampu untuk masuk ke kawasan itu menggunakan kenderaan yang kurang sesuai.

    “Bagaimanapun, mereka mungkin tidak menyedari keadaan kepala air yang datang dengan deras secara tiba-tiba. Kalau tengok keadaan di lokasi tadi, paras air dipercayai meningkat sebanyak lima hingga 10 meter sekali gus, tidak sempat untuk melarikan diri ketika sedang mandi di situ,” katanya.

    Hanyan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan kekuatan 50 anggota daripada pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam telah dihentikan pada 6 petang semalam atas faktor cuaca dan akan disambung semula pada 8 pagi ini.

    “Setakat pukul 10 malam ini (Ahad), tiada sebarang penemuan baharu di lokasi kejadian. Radius kawasan pencarian kita pula seluas 24 km mengambil kira lokasi penemuan mayat pertama.

    “Esok (hari ini) kita akan mula pencarian di tebing kiri dan kanan jeram sejauh 8km. Polis percaya kemungkinan lokasi mangsa boleh berada jauh dari titik awal kejadian kerana dibawa arus kepala air yang deras,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya akan menggunakan khidmat anjing pengesan K9 milik polis dan JBPM, selain akan membuat permohonan menambah kekuatan anggota operasi SAR termasuk bantuan daripada orang luar.

    “Malah kalau ada orang awam yang nak bantu pencarian pun kita amat galakkan, bagaimanapun perlu lapor diri terlebih dahulu di Balai Polis Air Putih. Diingatkan agar tidak membuat kerja pencarian tanpa pengetahuan polis,” katanya.

    Beliau berkata, operasi SAR pada hari ini akan melibatkan tiga fasa kawasan pencarian mengikut kekuatan dan bantuan sedia ada operasi pasukan pencarian.

    Beliau bagaimanapun berkata, maklumat berhubung proses pencarian akan dimaklumkan pada Isnin dan operasi SAR itu bergantung sepenuhnya kepada faktor cuaca.

    Dalam pada itu, katanya mayat Azizah dan Muhammad Zulqarnain Haikal akan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu hari ini untuk bedah siasat.