Author: Bernama

  • Selesaikan kes culik warga Palestin dalam 48 jam bukti ketangkasan PDRM

    Selesaikan kes culik warga Palestin dalam 48 jam bukti ketangkasan PDRM

    KEJAYAAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelesaikan kes penculikan seorang lelaki warga Palestin dalam tempoh 48 jam, memperlihatkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan itu dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata kejayaan PDRM dalam menyelesaikan kes penculikan berprofil tinggi itu, berikutan kepakaran dan ketangkasan yang dimiliki oleh pasukan berkenaan dalam menangani sebarang ancaman keselamatan.

    “Saya ingin ambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada PDRM di bawah kepimpinan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, yang telah berjaya menumpaskan sindiket yang terlibat dalam penculikan ini.

    “Selain itu, saya menyeru masyarakat untuk tidak mempolitikkan kes berkenaan, kerana ia bukan hanya melibatkan orang luar tetapi juga membabitkan warga tempatan,” katanya dalam rakaman video ringkas di laman Facebook rasminya malam ini.

    Hamzah berkata keselamatan adalah tanggungjawab bersama, maka semua pihak termasuk pemimpin parti-parti politik perlu bekerjasama dan memberikan semangat kepada PDRM untuk terus berjuang mempertahankan keselamatan negara.

    Pada 5 Okt, media melaporkan polis menyelamatkan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda, 31, sehari selepas dia diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, disyaki didalangi agensi perisikan Israel, Mossad.

    Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor, serta di Melaka bermula 29 Sept hingga 4 Okt.

    Pada Jumaat lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menculik Omar, bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit. – BERNAMA

  • Parlimen sudah bubar, permohonan Najib cabar Jabatan Penjara tak lagi relevan

    Parlimen sudah bubar, permohonan Najib cabar Jabatan Penjara tak lagi relevan

    PERMOHONAN Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencabar keputusan Jabatan Penjara yang enggan membenarkan beliau menghadiri sidang Dewan Rakyat kini bersifat akademik kerana Parlimen sudah dibubarkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

    Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), berkata oleh itu, Najib tidak seharusnya dibenar meneruskan permohonan semakan kehakimannya susulan pembubaran Parlimen pada 10 Okt lepas.

    “Ini boleh dilihat daripada pelbagai laporan berita dan paling penting, pengisytiharan mengenai pembubaran Parlimen telah pun diwartakan,” katanya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

    Beliau berkata demikian ketika membantah permohonan Najib untuk memperoleh kebenaran bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara.

    Katanya dakwaan dan aduan yang menjadi asas semakan kehakiman Najib tidak lagi boleh dipertahan manakala relif yang dipohon terhadap responden sudah bersifat akademik dan tidak mempunyai kesan praktikal. 

    Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula berhujah bahawa permohonan anak guamnya masih relevan kerana ia boleh berlaku pada masa akan datang. 

    “Sehingga hari ini, kita tidak tahu sama ada beliau (Najib) masih lagi calon prospektif sebagai Ahli Parlimen Pekan.

    “Tidak mustahil anak guam saya menyaman Jabatan Penjara kerana hak beliau untuk menghadiri Parlimen telah dinafikan,” katanya.

    Ahmad Kamal menetapkan 27 Okt ini untuk memutuskan permohonan Najib.

    Pada 5 Okt lepas, Najib, 69, memfailkan permohonan menamakan kerajaan, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden pertama hingga ketiga.

    Dalam permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden ketiga (Komisioner Jeneral Penjara) yang tidak membenarkannya mengakses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja-kerja Parlimen, perundangan dan pengundi kawasannya.

    Najib juga memohon perintah untuk mengetepikan keputusan responden ketiga itu yang tidak membenarkannya menghadiri Parlimen pada tarikh persidangan yang dijadualkan.

    Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata keputusan responden pertama dan ketiga yang menolak permohonannya atas alasan keselamatan telah disampaikan kepadanya melalui Pejabat Penjara Kajang pada 28 Sept.

    Najib juga menyatakan bahawa keengganan responden pertama dan ketiga untuk membenarkannya mengakses kepada pegawai dan pembantunya bagi tujuan perkara berkaitan Parlimen serta pengundinya dan tindakan tidak diambil oleh responden kedua adalah tindakan tidak munasabah atau tidak rasional.

    Najib berkata menurut Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, beliau mempunyai kewajipan perlembagaan untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan sebagai Ahli Parlimen dalam mewakili pengundi Pekan. – BERNAMA

  • Bidaan nombor pendaftaran DEN kutip RM3.6 juta – JPJ Kelantan

    Bidaan nombor pendaftaran DEN kutip RM3.6 juta – JPJ Kelantan

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mencatatkan kutipan RM3.26 juta hasil bidaan siri pendaftaran DEN dalam tempoh lima hari, kata Pengarahnya Mohd Misuari Abdullah.

    Beliau berkata bidaan itu dibuka bermula 13 sehingga 17 Okt lepas dengan menyasarkan jumlah kutipan RM2.6 juta.

    “Selepas bidaan menerusi aplikasi JPJeBID ditutup jumlah kutipan melangkaui jangkaan yang disasarkan.

    “Bilangan pengguna berdaftar dengan JPJeBID seramai 938,751 dengan keseluruhan pembida seramai 4,473,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Misuari berkata DEN 8 mencatatkan bidaan paling tertinggi dengan harga tertinggi RM98,888.

    “Bidaan paling banyak adalah DEN 1305 dengan harga bidaan tertinggi RM6,200 melibatkan 20 pembida,” katanya.

    Beliau berkata mana-mana pendaftaran yang berjaya dibida mesti didaftarkan pada kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat dikeluarkan JPJ negeri atau cawangan.

    “Baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli oleh orang awam mengikut harga minimum.

    “Orang awam yang berminat untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran ini boleh berurusan di pejabat JPJ negeri atau cawangan dan disarankan memiliki ID mySIKAP awam bagi mendapatkan senarai nombor semasa yang masih belum didaftarkan lagi,” katanya.

    Sementara itu, Mohd Misuari berkata sepanjang tempoh pelaksanaan sistem JPJeBID yang diperkenalkan bermula siri DDP sehingga DEM, JPJ Kelantan mencatatkan jumlah kutipan RM40,147,112. – BERNAMA

  • Rasuah: Bekas Hakim Mahkamah Sesyen dipenjara, denda

    Rasuah: Bekas Hakim Mahkamah Sesyen dipenjara, denda

    SEORANG bekas Hakim Mahkamah Sesyen hari ini dihukum penjara enam bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan rasuah berhubung prosiding mahkamah.

    Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Azmil Muntapha Abas, 48, iaitu bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Mahkamah juga memerintahkan Azmil Muntapha dipenjara enam bulan lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu.

    Bagaimanapun, mahkamah turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menaikkan jumlah jaminan terhadap tertuduh daripada RM6,000 kepada RM12,000 selain memerintahkan notis rayuan difailkan selewat-lewatnya 21 Okt ini.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Hakim Mahkamah Sesyen telah memperoleh untuk dirinya suatu barang berharga iaitu wang tunai sebanyak RM5,000, tanpa suatu balasan pada 8.22 malam, yang mana tertuduh mengetahui mempunyai hubungan dalam suatu prosiding yang berkaitan dengannya iaitu mengendalikan kes-kes jenayah bagi enam Orang Kena Tuduh (OKT).

    Enam OKT tersebut adalah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming dan Chin Chee Keong yang masing-masing telah melakukan kesalahan di bawah subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan di mana Azmil Muntapha telah menjatuhkan hukuman denda terhadap kesemua mereka.

    Azmil Muntapha didakwa melakukan perbuatan tersebut di Maybank Setia Alam 2, dekat sini pada 10 Mei 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya  Allan Suman Pillai, Maziah Mohaide dan Mohd Shahrom Idris manakala tertuduh diwakili peguam Asmadi Hussin serta Azrul Zulkifli Stork.

    Seramai 24 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada September 2021 dan berakhir pada Ogos lepas. – BERNAMA

  • Campak tiga ekor kucing jiran dari tingkat 15, lelaki ditahan polis

    Campak tiga ekor kucing jiran dari tingkat 15, lelaki ditahan polis

    SEORANG lelaki tempatan ditahan semalam kerana disyaki melakukan penganiayaan dan khianat terhadap haiwan dengan mencampakkan tiga ekor kucing dipercayai milik jirannya dari tingkat 15 di sebuah apartment di Jalan PJS 8/9, Petaling Jaya.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata penahanan suspek lelaki berusia 44 tahun itu berdasarkan laporan polis yang diterima pihaknya, pada Isnin (17 Okt) lepas.

    Beliau berkata laporan itu menyatakan suspek telah bertindak mencampakkan haiwan terbabit daripada tingkat kediamannya.

    “Selain penahanan lelaki itu polis turut menemukan tiga ekor kucing yang tidak bernyawa bersamanya. Hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku terlibat dalam kes ini dengan membuang kucing-kucing milik jirannya itu dari kediamannya dari tingkat 15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Fakhruddin berkata suspek kini direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan khianat terhadap haiwan. – BERNAMA

  • Wanita bergelar Datuk dan penjawat awam  ditahan  bantu siasatan kes dokumen palsu

    Wanita bergelar Datuk dan penjawat awam  ditahan  bantu siasatan kes dokumen palsu

    SEORANG wanita bergelar Datuk dan seorang lelaki yang merupakan penjawat awam negeri direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu kepada Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka.

    Perintah reman hingga Jumaat (21 Okt) terhadap kedua-dua suspek, masing-masing berusia 30-an dan 40-an itu dikeluarkan Majistret Nabihah Mohd Noor hari ini.

    Jurucakap SPRM Melaka berkata kedua-dua suspek iaitu seorang pengurus syarikat pelancongan dan penjawat awam itu didakwa mengemukakan Surat Pengesahan Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka kepada Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka bagi mendaftarkan diri sebagai Ahli Majlis tersebut.

    Kedua-dua suspek masing-masing ditahan pada pukul 8 malam dan 8.15 malam semalam ketika memberikan keterangan di pejabat SPRM Melaka bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan atau mengesahkan dokumen mengandungi butiran palsu.

    Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

    — BERNAMA

  • Polis panggil Tommy Thomas, Jeyakumar rakam percakapan

    Polis panggil Tommy Thomas, Jeyakumar rakam percakapan

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang didakwa menyentuh isu berbaur perkauman dalam sebuah forum, bulan lepas.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata mereka akan dipanggil untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat.

    “Siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

    Sebelum ini, dilaporkan polis menerima aduan mengenai kenyataan Tommy dan Dr Jeyakumar dalam ucapan mereka di forum bertajuk Dark Forces Towards GE15 yang diadakan pada 17 Sept lepas anjuran Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini.

    Kedua-duanya merupakan antara ahli panel forum itu. – BERNAMA

  • Palestin ucap terima kasih kepada Malaysia selamatkan rakyatnya yang diculik

    Palestin ucap terima kasih kepada Malaysia selamatkan rakyatnya yang diculik

    KEMENTERIAN Dalam Negeri dan Keselamatan Palestin merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia yang telah menyelamatkan seorang warga Palestin yang diculik di Malaysia baru-baru ini.

    Kementerian itu dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa turut mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia dan pihak keselamatan yang terlibat dalam usaha menyelamat itu.

    Ucapan penghargaan Palestin kepada pihak berkuasa Malaysia

    Media tempatan melaporkan pihak polis berjaya menyelamatkan seorang mangsa berusia 31 tahun sehari selepas diculik sekumpulan rakyat tempatan yang dipercayai direkrut agensi perisikan Israel, Mossad bagi membantu rejim itu memburu anggota Hamas di Malaysia.

    “Selain itu, mereka (polis Malaysia) dapat mendedahkan operasi anggota Mossad dan memburu serta menjejaki rangkaiannya.

    “Kami mengecam jenayah terang-terangan yang dilakukan Israel terhadap seorang daripada rakyat Palestin di Malaysia dan kami menyeru agar pelakunya dikenakan hukuman,” menurut kenyataan itu.

    Mangsa berjaya diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka dari 29 Sept hingga 4 Okt lalu.

    Seramai 11 individu berusia 21 hingga 40 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada 14 Okt berhubung penculikan itu.

    Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di sini, pada 10.40 malam, 28 Sept lepas mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Ceramah politik kecoh: Polis Johor terima 5 laporan

    Ceramah politik kecoh: Polis Johor terima 5 laporan

    POLIS Johor telah menerima lima laporan polis setakat hari ini berhubung kekecohan dalam satu ceramah politik anjuran parti MUDA di Parit Jawa, Muar, Ahad lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, yang mengesahkan perkara itu, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

    “Kita akan maklum nanti (perkembangan). Buat masa ini, polis akan jalankan siasatan,” katanya ringkas menerusi Whatsapp kepada Bernama, hari ini. 

    Terdahulu, ceramah yang membariskan kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan MUDA itu diganggu oleh sekumpulan anak muda menaiki motosikal yang didakwa cuba menimbulkan provokasi.

    Difahamkan beberapa parti politik telah membuat laporan polis berhubung insiden kekecohan tersebut. – BERNAMA

  • Aplikasi  ‘Reading Progress’ bantu murid tingkat penguasaan Bahasa Inggeris

    Aplikasi ‘Reading Progress’ bantu murid tingkat penguasaan Bahasa Inggeris

    SEBANYAK 576 sekolah termasuk di pedalaman di seluruh negara akan terlibat dalam program rintis aplikasi ‘Reading Progress’ bagi membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan murid.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata program rintis yang bermula hari ini itu melibatkan seramai 1,088 guru. 

    “Aplikasi ini akan digunakan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran khususnya untuk membantu murid-murid menguasai sebutan perkataan dalam BI dengan baik. 

    “Melalui pendekatan itu, murid-murid boleh merekodkan audio dan video atau kedua-duanya sekali apabila membaca dalam BI, selain sistem ini akan membantu mereka melihat apakah perkataan, cara sebutan dan sebagainya. 

    “Ini akan dapat membantu murid mengenal perkataan baharu dan penyusunan struktur ayat yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Reading Progress di Shah Alam hari ini.

    Katanya, inisiatif itu merupakan sebahagian konsep dan usaha pendigitalan pendidikan serta memberi ruang kepada murid untuk belajar dalam suasana menyeronokkan.

    Beliau berkata aplikasi itu juga akan memudahkan tugas guru dalam membuat penilaian tahap kemampuan murid.

    Radzi berkata pihaknya menjangkakan penggunaan aplikasi itu diperluas ke semua sekolah menjelang awal tahun hadapan, selain aplikasi dalam Bahasa Melayu bakal menyusul.

    “Kementerian juga akan memperluaskan dalam Bahasa Melayu sekiranya aplikasi telah tersedia dalam Microsoft yang dijangka pada tahun depan.

    “Semua ini merupakan pendekatan bagi memudahkan pembelajaran dan memastikan lebih cekap serta berkesan,” katanya. – BERNAMA