Author: Bernama

  • TNB siap siaga hadapi musim banjir

    TNB siap siaga hadapi musim banjir

    TENAGA Nasional Berhad (TNB) menyenaraikan lebih 2,500 kakitangan daripada Bahagian Rangkaian Pembahagian untuk menganggotai Pasukan Kecemasan Keselamatan sebagai persiapan menghadapi bencana banjir.

    Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, kakitangan terbabit akan bertugas 24 jam bagi memastikan pengurusan bekalan tenaga elektrik teratur dan meminimumkan kerosakan pepasangan elektrik demi keselamatan orang ramai.

    Beliau berkata bantuan logistik di negeri sering dilanda banjir sudah disiapkan termasuk 296 set janakuasa bergerak; 227 set janakuasa kecil mudah alih 5kW/2.5kW; 279 buah lori; 885 kenderaan pacuan empat roda; 38 buah bot dan 108 lampu limpah.

    Selain itu, Wan Nazmy berkata pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan diperiksa bagi memastikan bekalan elektrik berada dalam keadaan baik.

    “TNB bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah serta akan membuka bilik gerakan di negeri-negeri yang dilanda banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai bekalan elektrik,” katanya.

    Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika banjir dinasihatkan agar segera menghubungi TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk tindakan lanjut.

  • Lima lelaki didakwa beri pinjaman wang tanpa lesen

    Lima lelaki didakwa beri pinjaman wang tanpa lesen

    LIMA lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen sejak Ogos lepas.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Chong Chee Siong, 28, Tan Kim Tai, 26, Chin Yong Xuan, 23, Sia Ming Yang, 32, dan Chong Chee Kim, 24, didakwa menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah dengan meminjamkan wang berjumlah RM6,300 berserta faedah kepada tiga individu di sebuah unit kondominium di Jalan Kuching, Taman Wahyu, di Kuala Lumpur antara 16 Ogos dan 19 Oktober lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara yang boleh sampai lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan tidak boleh dijamin.

    “Namun sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin, saya memohon jaminan RM30,000 untuk setiap pertuduhan bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.

    Peguam Luqman Hakim Azhar, yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan minimum dalam lingkungan RM10,000 bagi setiap pertuduhan untuk setiap tertuduh dan memaklumkan anak guamnya bersedia menerima syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.

    Hakim M Bakri Abd Majid membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan berserta syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 21 November untuk sebutan semula kes.

  • ASP mengaku tidak bersalah ubah wang haram RM20,000

    ASP mengaku tidak bersalah ubah wang haram RM20,000

    SEORANG pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas dua pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram melibatkan RM20,000.

    Ameyrudin Ahmad Zuki, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyembunyikan wang berjumlah RM10,000 yang merupakan hasil aktiviti haram ke dalam akaun rakannya, Shahirudin Mohamad, melalui tiga transaksi deposit di Bank Islam Malaysia Bhd Kepala Batas.

    Pertuduhan kedua pula, dia didakwa menyembunyikan wang hasil aktiviti haram dalam jumlah yang sama juga ke dalam akaun milik Shahirudin, melalui tiga transaksi deposit di Malayan Banking Bhd Kepala Batas.

    Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan pada 4 Ogos 2018.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama.

    Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Shahrom Idris memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan kerana mengambil kira tahap keseriusan kes yang melibatkan anggota polis, namun peguam Ameyrudin, Y Yogeswaran memohon jaminan sebanyak RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

    Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 20 Disember untuk sebutan semula kes.

  • Pemandu maut kereta terbakar

    Pemandu maut kereta terbakar

    SEORANG individu maut dalam kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil di tepi Jalan Shapadu, Kampung Sungai Pinang, Klang, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

    Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata mangsa yang tidak dapat dikenal pasti identitinya itu berada di tempat pemandu dan didapati rentung 100 peratus.

    Beliau berkata pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.27 pagi.

    “Sebaik tiba 10 minit kemudian didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil (nombor plat, BGN 5095) yang terbakar 100 peratus dengan seorang mangsa turut terbakar 100 peratus di tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Pekerja rencam bebas tuduhan bunuh lelaki, mayat ditanam dalam kubur

    Pekerja rencam bebas tuduhan bunuh lelaki, mayat ditanam dalam kubur

    SEORANG pekerja rencam hari ini terlepas tali gantung atas pertuduhan membunuh seorang pemilik kedai cuci kereta yang mayatnya ditemukan ditanam di tanah perkuburan hampir lima tahun lepas.

    Ini selepas S. Soosai, 34, berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan sabitan membunuh dan hukuman mati.

    Ketika membenarkan rayuan Soosai, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan tiada bukti langsung atau keterangan mengikut keadaan bahawa Soosai telah menyebabkan kematian B. Sugumaran, 32.

    Dalam keputusan sebulat suara itu, Hakim Hadhariah berkata mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam Soosai, Afifuddin Ahmad Hafifi iaitu tidak diketahui apakah maklumat sebenar yang diberikan Soosai kepada polis.

    Beliau berkata tindakan Soosai menunjukkan di mana mayat itu ditanam tidak bermakna dia telah menyebabkan kematian mangsa.

    Hakim Hadhariah yang bersidang bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Hashim Hamzah, memutuskan sabitan Soosai bagi pertuduhan membunuh adalah tidak selamat.

    Pada 17 Feb 2020, Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhkan hukuman mati ke atas Soosai selepas didapati bersalah membunuh Sugumaran, 34, di perkuburan Kristian di Kampung Saga Rantau, Port Dickson, Negeri Sembilan antara 6 petang, 13 Sept 2017 dan 6.30 petang, 11 Nov 2017.

    Berdasarkan kes pendakwaan, mangsa dilihat mengikuti dua lelaki menaiki kereta pada 13 Sept 2017 dan susulan itu abangnya membuat laporan polis keesokan harinya selepas dia gagal dihubungi dan ditemui.

    Pada 6 Nov 2017, polis menahan Soosai dan semasa soal siasat, dia kononnya memberi maklumat mayat mangsa berada di kawasan tepi laut. Selepas membawa polis ke tempat itu, Soosai kononnya memberi maklumat lain kepada polis, dengan menyatakan mayat mangsa sebenarnya ditanam di perkuburan Kristian.

    Pasukan polis kemudiannya pergi ke tanah perkuburan tersebut dan menemukan rangka si mati selepas Soosai menunjukkan lokasi di mana ia ditanam.

    Analisis DNA telah dijalankan oleh seorang ahli kimia dan mengesahkan rangka itu ialah Sugumaran.

    Soosai, yang memberi kenyataan tidak bersumpah menafikan dia memberitahu polis bahawa mayat mangsa ditanam di kawasan perkuburan atau telah membunuh si mati.

    Soosai berkata dia tidak mempunyai motif untuk membunuh si mati kerana dia tidak mengenalinya atau bertemu dengannya. Katanya dia memberikan maklumat mayat mangsa ditanam di Pantai Chuah kerana tidak tahan diugut dan dipukul polis.

    Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke yang hadir bagi pihak pendakwaan berhujah bahawa keterangan terhadap Soosai adalah mengikut keadaan kerana beliau mempunyai pengetahuan di mana mayat itu ditempatkan.

  • Dihalang kerajaan Selangor, penganjuran karnival tetap diteruskan demi usahawan – PM

    Dihalang kerajaan Selangor, penganjuran karnival tetap diteruskan demi usahawan – PM

    WALAUPUN berhadapan kesukaran kerana tidak mendapat persetujuan kerajaan negeri, penganjuran Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia Selangor tetap dilangsungkan kerana ia adalah untuk kepentingan golongan usahawan di Selangor.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau difahamkan penganjuran karnival sehari itu berdepan kesukaran kerana kerajaan Selangor tidak bersetuju membenarkan penggunaan tapak karnival itu di Dataran Eco Grandeur, Puncak Alam di sini.

    Namun, katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival itu hari ini, karnival itu dapat dilangsungkan kerana tapak berkenaan adalah milik swasta.

    “Alhamdulillah, tapak yang digunakan ini tapak swasta dan kita dapat kebenaran dari tuan tanah. Jadi saya harap mana-mana kerajaan negeri sekalipun, kalau untuk kepentingan penjaja serta usahawan kecil, elok kita bagi ruang kepada semua,” katanya.

    Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata penganjuran karnival tersebut adalah untuk memberi ruang khususnya kepada usahawan dan peniaga kecil berniaga dan bukan untuk tujuan berkempen. 

    “Karnival keusahawan ini memberi ruang kepada usahawan untuk pamer produk dan berniaga. Program yang baik sepatutnya disokong semua pihak termasuklah kerajaan negeri,” katanya.

    Ismail Sabri berkata penganjuran karnival itu juga merupakan manifestasi tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan ekosistem keusahawanan yang holistik serta kondusif.

    Perdana Menteri percaya bahawa pelaksanaannya akan dapat memperkasakan golongan usahawan dan koperasi yang ada untuk terus berkembang maju serta berdaya saing dalam bidang perniagaan.

    “Alhamdulillah, saya difahamkan program ini berjaya menghimpunkan sebahagian warga Selangor terdiri daripada usahawan, koperasi, penjaja, peniaga kecil dan trak makanan yang menawarkan pelbagai produk dan barangan pada harga berpatutan.

    “Saya ucapkan tahniah kerana dimaklumkan bahawa sasaran kehadiran hari ini hanya 4,000 orang tapi jelas kehadiran menghampiri 10,000 orang. Bukan mudah untuk mengumpulkan seramai ini terutama hari ini hari bekerja,” katanya.

    Turut hadir Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Tan Sri Noh Omar.  – BERNAMA

  • Dua beradik didakwa bunuh anggota Rela

    Dua beradik didakwa bunuh anggota Rela

    DUA beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan membunuh seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di hadapan sebuah unit pangsapuri di Petaling Jaya, 8 Okt lepas.

    R. Shugenthiran, 26 dan R. Mahendran, 24, masing-masing mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama membunuh Yahya Kamarudin, 45, di hadapan sebuah unit pangsapuri di Petaling Jaya pada 9.12 malam, 8 Okt lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 5 Jan 2023 untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Gursharonjit Kaur.

  • Besut dilanda ribut, rumah, sekolah rosak teruk

    Besut dilanda ribut, rumah, sekolah rosak teruk

    PENGHUNI lebih 60 rumah di tujuh kampung di Jertih berdepan detik cemas apabila kawasan itu dilanda ribut sehingga merosakkan kediaman mereka pada petang semalam.

    Kampung terlibat dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu ialah Kampung Pusu Tinggi, Bukit Puteri, Dengir, Tok Has, Lay Out Tok Has, Gong Penaga dan Air Terjun manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Puteri yang terletak di Kampung Tok Has turut mengalami kerosakan dalam insiden itu.

    Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata kebanyakan rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dalam kejadian hujan lebat yang berlarutan hampir satu jam itu.

    “Pihak kami dalam tindakan mendapatkan maklumat jumlah sebenar keluarga yang terjejas kerana kemungkinan ada lagi mangsa yang belum melaporkan kejadian kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Hamdhan Abd Ghafar berkata tiada kecederaan dilaporkan susulan kejadian berlaku selepas waktu persekolahan di mana semua guru dan pelajar telah pulang.

    Katanya, bumbung garaj letak kereta guru diterbangkan ribut sehingga tersangkut pada bumbung bangunan kelas berdekatan.

    “Empat kelas mengalami kerosakan di bahagian bumbung apabila atap diterbangkan angin namun tidak ada sebarang kecederaan. Kejadian berlaku selepas waktu persekolahan, pelajar serta guru telah pulang ke rumah masing-masing.

    “Persekolahan beroperasi seperti biasa hari ini tetapi murid yang kelas mereka terjejas ditempatkan sementara di dewan sekolah dan tindakan segera akan diambil untuk membaiki kerosakan supaya murid-murid dapat mengikuti pembelajaran seperti biasa apabila sekolah dibuka Rabu depan,” katanya.

  • Kos PRU-15, PRK DUN Bugaya cecah RM1 bilion

    Kos PRU-15, PRK DUN Bugaya cecah RM1 bilion

    PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah memerlukan peruntukan dianggarkan berjumlah 1.01 bilion, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

    Beliau berkata seramai 363,515 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU15 dan PRK DUN Bugaya manakala sebanyak 8,958 pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 tempat mengundi dan saluran serta 578 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 970 tempat mengundi dan saluran awal akan digunakan.

    “Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 9,536 dengan 39,318 tempat mengundi dan saluran,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di Menara SPR di Putrajaya hari ini.

    Abdul Ghani berkata SPR telah melantik 222 pegawai pengurus pilihan raya dibantu oleh 1,264 penolong pegawai pengurus bagi menjalankan proses PRU15 dan PRK DUN Bugaya.

    “Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya.

    Beliau berkata sebanyak 222 pusat penamaan calon (PPC) dan 222 pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) akan digunakan.

    Abdul Ghani berkata SPR menyeru kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU15 PRK DUN Bugaya agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri seluruh negara sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan pada 5 Nov 2022 (Sabtu) bagi memudahkan proses penamaan calon.

    Selain itu, beliau berkata bakal-bakal calon juga digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

    “Bagaimanapun, adalah diingatkan bahawa Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus itu hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan oleh SPR,” katanya.

    Abdul Ghani berkata SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses-proses pilihan raya menerusi penstriman langsungbagi pusat dan saluran mengundi yang terpilih di laman Facebook SPR seperti yang dilaksanakan pada pilihan raya sebelum ini.

    Beliau berkata SPR juga menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mana-mana badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRU15 bermula pada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

    “Permohonan untuk menjadi pemerhati pilihan raya telah dibuka pada 11 Okt 2022 dan akan ditutup pada 21 Okt 2022,” katanya.

  • SPR bermesyuarat hari ini, tentukan tarikh penting PRU15

    SPR bermesyuarat hari ini, tentukan tarikh penting PRU15

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada pukul 10 pagi di sini, hari ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Mesyuarat khas yang berlangsung di Menara SPR itu, akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

    Berdasarkan jemputan media yang dikeluarkan oleh SPR, satu sidang media dijangka diadakan pada pukul 12 tengah hari bagi mengumumkan tarikh pengundian, penamaan calon, tarikh writ pilihan raya, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain untuk melaksanakan PRU15.

    Mesyuarat khas itu diadakan susulan pembubaran Parlimen ke-14 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lepas bagi memberi laluan kepada PRU15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    SPR juga dijangka mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N66 Bugaya, yang dijangka diadakan serentak dengan PRU15.

    Kekosongan kerusi DUN Bugaya adalah berikutan kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah pada 17 November 2020 dan PRK DUN itu tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

    SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sabah mengenai kekosongan kerusi DUN berkenaan pada 12 Oktober lepas.

    Pada 7 Oktober lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik dan DUN Bugaya yang diisytiharkan pada November dan Disember 2020, berkuat kuasa 6 Oktober lepas.

    Susulan pembubaran Parlimen ke-14, Ismail Sabri turut menasihati semua ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor untuk mendapatkan perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak.

    PRU kali ini berlainan apabila beberapa DUN tidak dibubarkan antaranya Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak kerana belum mencapai tempoh matang manakala tiga negeri di bawah pentadbiran Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah serta tiga negeri di bawah Pakatan Harapan iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga tidak membubarkan DUN masing-masing.

    Hanya Perak, Pahang dan Perlis membubarkan DUN masing-masing untuk membolehkan PRN diadakan serentak dengan PRU15.

    Tempoh mandat kerajaan Persekutuan sepatutnya berakhir pada Julai 2023.