Author: Bernama

  • Lokman Adam kekal dipenjara sebulan hina mahkamah berkaitan kes 1MDB

    Lokman Adam kekal dipenjara sebulan hina mahkamah berkaitan kes 1MDB

    BEKAS Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, kekal dipenjara sebulan selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Ini berikutan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan hari ini yang menolak rayuan Lokman untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 15 Julai tahun lepas.

    Panel tiga hakim itu turut menolak rayuan silang dikemukakan pendakwaan terhadap hukuman penjara sebulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi tersebut.

    Pada 15 Julai 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDB.

    Saksi itu ialah bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, yang juga saksi utama dalam kes tersebut.

    — BERNAMA

  • Nelayan lapor polis insiden pertengkaran dengan Coast Guard Singapura

    Nelayan lapor polis insiden pertengkaran dengan Coast Guard Singapura

    SATU laporan polis dibuat wakil nelayan Johor susulan insiden pertengkaran mulut antara kumpulan nelayan berkenaan dan Coast Guard Singapura seperti tular dalam media sosial petang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata pihaknya menerima laporan itu pada 2.30 petang semalam dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

    “Terkesan satu video tular melalui media sosial berdurasi lebih dua minit menunjukkan satu insiden pertengkaran mulut melibatkan sekumpulan nelayan Malaysia dan Coast Guard Singapura berlaku di perairan Malaysia berhampiran sempadan Singapura.

    “Satu laporan polis telah dibuat oleh wakil nelayan Malaysia yang terlibat serta siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

    Terdahulu, media melaporkan sekumpulan 10 nelayan tempatan mendakwa dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Link Kedua, Iskandar Puteri, 5.30 petang semalam.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad dilapor berkata mengakui kesal dengan tindakan pihak berkuasa Singapura itu apabila kumpulan nelayan berkenaan mendakwa dihalau dengan kata-kata kesat. – Bernama

  • Hina institusi Diraja Pahang: NGO buat laporan terhadap Tengku Zulpuri

    Hina institusi Diraja Pahang: NGO buat laporan terhadap Tengku Zulpuri

    SEBELAS badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Timbalan Setiausaha Agung DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, yang didakwa menghina institusi Diraja Pahang semasa berceramah baru-baru ini.

    Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Kuantan di sini hari ini. Antara NGO itu ialah Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang.

    Bendaharinya Datuk Setia Penggawa Tengku Datuk Abdul Manan Tengku Temenggung Aziz menyifatkan tindakan ahli politik itu sebagai melampau batas. 

    “Saya memohon pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi memberi pengajaran bahawa ada had dan batasan dalam berpolitik,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

    Abdul Manan berkata pihaknya juga kesal dengan tindakan Tengku Zulpuri Shah yang didakwa turut menyebut nama Yang di-Pertuan Agong dalam ceramah itu, seperti yang ditontonnya menerusi klip video berdurasi 1.53 minit yang diterimanya menerusi aplikasi WhatsApp. – BERNAMA

  • Keputusan rayuan Najib dapatkan dokumen kes dana 1MDB 8 Disember

    Keputusan rayuan Najib dapatkan dokumen kes dana 1MDB 8 Disember

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 8 Dis ini bagi keputusan rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan dokumen perbankan berhubung syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz untuk perbicaraan kesnya melibatkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MBD).

    Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, yang mengetuai panel tiga hakim itu menetapkan tarikh tersebut kerana mereka memerlukan masa untuk berbincang.

    Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan.

    Najib, 68, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd pada 23 Ogos, dibawa ke mahkamah untuk prosiding rayuannya hari ini.

    Isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor juga hadir pada prosiding itu.

    Bekas Perdana Menteri itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Julai tahun lepas yang menolak dua permohonan penemuannya untuk meminta pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDBnya mendedahkan dokumen perbankan yang dikaitkan dengan keluarga Zeti atas dakwaan bahawa keluarganya didakwa menerima wang daripada Jho Low.

    Semasa prosiding hari ini, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa 19 dokumen yang dimohon itu melibatkan syarikat yang dikawal oleh keluarga Zeti dan Jho Low ada pada pihak pendakwaan dan pihak berkuasa Malaysia.

    “Mereka tidak mempertikaikan kewujudannya. Mereka mengelak daripada memberitahu kami. Mereka tunjuk tetapi tidak semuanya,” kata Muhammad Shafee.

    Peguam itu berkata pihak berkuasa Singapura yang menyiasat skandal kewangan 1MDB di negara itu telah memberikan dokumen tersebut kepada pihak berkuasa Malaysia termasuk Bank Negara Malaysia.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata dokumen yang diminta Najib adalah pramatang dan tidak relevan dengan perbicaraannya, sambil menambah bahawa Najib perlu memohon dokumen itu hanya selepas diperintahkan membela diri.

    Beliau berkata tidak dinafikan kewujudan dokumen itu dan bebanan terletak pada pihak pembelaan untuk menunjukkan bahawa permohonan mereka adalah berdasarkan bukti yang boleh diterima dan bukannya keterangan dengar cakap.

    “Keseluruhan kes mereka berdasarkan laporan akhbar (mendakwa) bahawa kami mempunyai dokumen ini, sambil menambah bahawa percubaan untuk mendapatkan dokumen tersebut pada peringkat ini untuk keputusan awal bahawa Zeti bukan saksi yang boleh dipercayai.

    “Mereka mesti membuktikan dokumen itu ada dalam milikan kami,” kata Sri Ram, sambil menambah bahawa pihak pendakwaan akan memanggil Zeti untuk memberi keterangan dan akan datang ke mahkamah serta menjawab dakwaan terhadapnya dan keluarganya.

    Najib memfailkan perintah mahkamah pada 24 Mac tahun lepas untuk meminta pihak pendakwaan memberikan beberapa penyata perbankan daripada syarikat termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd dan Central Holdings Ltd, dipercayai mempunyai kaitan dengan Jho Low dan keluarga Zeti dalam kes 1MDBnya.

    Beliau juga memfailkan permohonan kedua pada 7 April tahun lepas untuk mendapatkan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs Group pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik berhubung telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.

    Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah akan bersambung 7 Nov. – Bernama

  • Bersatu sokong MB Pas jika PN tawan Perlis

    Bersatu sokong MB Pas jika PN tawan Perlis

    BERSATU Perlis akan menyokong pentadbiran yang dipimpin PAS dan calon menteri besarnya sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah.

    Abu Bakar berkata PAS telah lebih lama bertapak di Perlis berbanding Bersatu yang merupakan parti politik baharu di negeri itu dan pastinya PAS mempunyai pengalaman luas untuk mengurus tadbir kerajaan negeri nanti.

    “Kita (Bersatu Perlis) anggap PAS sebagai ‘abang’ dan sedia memberi sokongan jika Menteri Besar Perlis nanti dilantik daripada wakil rakyat PAS,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini dilaporkan memberi bayangan bahawa calon menteri besar akan dilantik daripada PAS jika PN berjaya menawan Perlis.

    Perlis mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga kerusi Parlimen.

    Abu Bakar berkata beliau tidak melihat perkara itu merugikan Bersatu kerana misi utama parti menerusi gabungan PN adalah untuk mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN).

    “Misi utama kita adalah membangunkan Perlis dan membawa perubahan kepada rakyat negeri ini,” katanya.

    Abu Bakar, yang disebut-disebut akan bertanding di kerusi DUN Kuala Perlis, berkata hasil perbincangan dengan PAS sebelum ini secara dasarnya Bersatu akan bertanding di enam kerusi DUN, manakala PAS di sembilan kerusi DUN.

    Untuk Parlimen, Bersatu hanya akan meletakkan calon di satu kerusi Parlimen iaitu Kangar manakala dua lagi adalah PAS.

    Abu Bakar berkata PN akan mengumumkan nama calon yang akan bertanding dalam masa terdekat.- BERNAMA

  • Petugas imigresen didakwa pecah amanah

    Petugas imigresen didakwa pecah amanah

    SEORANG petugas imigresen didakwa di Mahkamah Sesyen di Labuan hari ini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan RM4,750.

    Rafidah Ahmad, 57, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

    Beliau dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di pejabat Jabatan Imigresen Labuan di Financial Park Complex pada 14 Dis 2018 dan 24 Mei 2019.

    Rafidah, sebagai penjawat awam yang diamanahkan dengan wang tersebut, didakwa meluluskan kerja kontrak pengangkutan berjumlah RM1,500 dan RM3,250 untuk kerja penyelenggaraan surau Jabatan Imigresen Labuan, namun kedua-dua kerja itu tidak dilaksanakan.

    Pertuduhan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

    Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Januari 2023 untuk sebutan semula kes.

  • Tekanan kos haji meningkat, wakaf mungkin jawapannya

    Tekanan kos haji meningkat, wakaf mungkin jawapannya

    PEMBERIAN bantuan kewangan haji yang dijangka terus meningkat seiring dengan kos haji bukan satu kewajipan bagi Lembaga Tabung Haji (TH) kerana ia tidak diperuntukkan dalam Akta Tabung Haji.

    Justeru menurut pakar ekonomi, mungkin sudah tiba masanya konsep wakaf yang banyak membantu pembangunan ekonomi umat Islam sebelum ini, diperluaskan untuk turut menangani isu kenaikan kos haji, sekali gus membantu golongan berpendapatan rendah merealisasikan impian menunaikan Rukun Islam kelima itu.

    TH memulakan pemberian bantuan haji kepada jemaah haji Malaysia pada 2001 yang menyaksikan mereka hanya perlu membayar sebahagian daripada kos sebenar mengerjakan ibadah itu. Pada musim haji 2022, jemaah daripada golongan B40 hanya membayar RM10,980 seorang.

    TH pada awalnya menjangkakan kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah pada musim yang baru berakhir ialah sekitar RM25,000 susulan kenaikan cukai dan pengenalan caj perkhidmatan baharu oleh kerajaan Arab Saudi. Namun, angka itu disemak semula dan menurut TH, kos meningkat kepada lebih RM28,000 seorang.

    Untuk musim haji 2023, kos menunaikan ibadah itu dijangka melonjak kepada RM31,000 seorang, bermakna bantuan haji TH juga akan bertambah.

    Peningkatan kos ini yang berlaku disebabkan faktor luar kawal akan memberi tekanan kepada TH kerana pendepositnya juga memerlukan agihan keuntungan yang baik, kata Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School.

    TIADA DALAM AKTA

    Menurut Ahmed Razman, mungkin ramai yang tidak menyedari pengurus dana haji itu tidak disyaratkan membantu pendeposit yang tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menunaikan ibadah tersebut dengan pemberian bantuan kewangan haji.

    “Berdasarkan Akta Tabung Haji 1995, sedikit pun tidak menyebut institusi itu perlu membantu mereka yang tidak cukup simpanan untuk menunaikan ibadat berkenaan dan umat Islam harus faham dan jelas mengenainya.

    “Bagaimanapun, atas dasar untuk menggalakkan lebih ramai umat Islam menunaikan haji, TH telah membantu pendeposit yang tidak cukup wang simpanan menerusi konsep subsidi, namun ia bukanlah hak setiap pendeposit untuk TH berikan (subsidi),” katanya katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.

    Menurut beliau, perkara yang dibimbangi ialah apabila pendeposit menganggap subsidi itu merupakan satu kemestian bagi TH, sedangkan ia sepatutnya boleh dipulangkan kepada semua pendeposit dalam bentuk hibah.

    Tegasnya, jika TH berterusan memberikan bantuan kewangan, ini akan menyebabkan 9.1 juta pendeposit institusi itu tidak menerima pulangan hibah yang sewajarnya kerana kos menunaikan haji meningkat saban tahun.

    Pada masa sama, TH juga perlu memastikan keuntungan yang dijana daripada pelaburan setiap tahun dapat menampung kos operasi termasuk pemberian hibah.

    Menurut Ahmed Razman, keuntungan tinggi diperlukan untuk pemberian hibah atau dividen pada kadar memuaskan kepada pendeposit TH.

    Misalnya, pada 2020, TH memerlukan RM2.24 bilion bagi mengagihkan hibah pada kadar 3.1 peratus kepada semua pendepositnya.

    Pada masa sama, institusi itu memerlukan antara RM300 juta dan RM400 juta sebagai subsidi untuk kira-kira 30,000 jemaah haji negara saban tahun, katanya.

    “Kerana itu, mereka yang ingin mengerjakan haji perlu tahu kos menunaikannya akan sentiasa meningkat. Jadi, biarlah TH memberi bantuan kepada mereka yang lebih memerlukan seperti Orang Kurang Upaya dan golongan sasaran,” katanya.

    Subsidi bersasar yang dilaksanakan kerajaan pada musim haji baru-baru ini dilihat langkah terbaik dalam menangani peningkatan kos haji khususnya dalam membantu golongan kurang berkemampuan terus berpeluang menunaikan Rukun Islam kelima itu.

    TABUNG WAKAF HAJI

    Pakar ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) Prof Dr Barjoyai Bardai pula berpendapat wakaf haji merupakan alternatif terbaik yang boleh dilaksanakan TH dalam menangani tekanan subsidi yang ditanggung institusi itu.

    “Sekiranya langkah ini berjaya, kita akan dapat melihat kesannya dalam masa 10 tahun lagi, yang mana TH dan kerajaan tidak perlu memberikan bantuan subsidi kepada jemaah haji kerana ia akan ditampung oleh tabung wakaf haji.

    “Ia akan menjadi pendekatan lestari yang boleh membantu bakal jemaah haji daripada setiap peringkat, terutamanya golongan berpendapatan rendah, dan ganjarannya berkekalan selagi ada jemaah yang menunaikan haji melalui tabung wakaf berkenaan,” katanya kepada Bernama.

  • Lelaki maut selepas bergaduh kerana baja

    Lelaki maut selepas bergaduh kerana baja

    SEORANG lelaki maut dipercayai selepas bergaduh, gara-gara menuduh seorang individu mencuri baja miliknya dalam kejadian di Bagan Tiang, Tanjung Piandang, Pasir Buntar, petang semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menahan suspek lelaki berusia 40 tahun di sebuah rumah yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian pada kira-kira pukul 6 petang.

    “Suspek mengaku telah bergaduh dengan mangsa yang berusia 47 tahun. Mangsa telah menahan suspek yang sedang menunggang motosikal di tengah jalan sebelum terus mencekak baju dan menumbuk suspek namun, tumbukan hanya terkena sedikit di bahagian pipi,” katanya dalam kenyataan di Pasir Buntar hari ini.

    Menurutnya suspek kemudian bertindak membalas dengan menumbuk mangsa pada bahagian hidung dan berlaku pergelutan antara mereka yang masing-masing bekerja sendiri sehingga kedua-duanya jatuh ke dalam tali air berhampiran.

    Beliau berkata setelah naik ke darat, beberapa penduduk kampung yang melalui tempat kejadian telah meleraikan pergaduhan tersebut dan suspek beredar pulang ke rumahnya namun mangsa dikatakan secara tiba-tiba rebah dan tidak menyedarkan diri berdekatan motosikal miliknya.

    Mohd Yusri berkata pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah ke tempat kejadian untuk mengumpul barang bukti dan ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis Methampethamine.

    Katanya siasatan dijalankan mengikut  Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan permohonan reman terhadap suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk kes dadah itu akan dilakukan di Mahkamah Majistret Parit Buntar hari ini.

  • Pemandu maut kepala terhentak selepas terjun keluar dari lori

    Pemandu maut kepala terhentak selepas terjun keluar dari lori

    SEORANG lelaki maut akibat cedera di bahagian kepala selepas terjun keluar dari lori yang dipandunya ketika sedang terbabas di Kilometer 56 Jalan Gua Musang-Lojing, di Gua Musang malam tadi.

    Mangsa dikenali sebagai Badrul Hisham Kamaruddin, 24, berasal dari Machang.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kejadian berlaku kira-kira 9.15 malam ketika mangsa memandu lori yang membawa muatan buah sawit.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu dipercayai hilang kawalan semasa menuruni bukit. Mangsa yang dikatakan cuba menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari kenderaan terbabit dipercayai telah terhentak kepala pada permukaan jalan dan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sik berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazah telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

    — BERNAMA

  • Dua terbunuh, MPV rempuh tiang MRT

    Dua terbunuh, MPV rempuh tiang MRT

    DUA  lelaki maut, manakala tiga lagi cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas sebelum merempuh tiang Transit Aliran Massa (MRT), berhampiran Eco Cheras Mall, di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

    Komander Operasi Bomba Cheras Mohd Rizuan Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 6.42 pagi sebelum tujuh anggota tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.

    Beliau berkata, kelima-lima mangsa yang tersepit dalam kenderaan jenis Toyota Innova itu berjaya dikeluarkan pada 7.06 pagi.

    “Pemandu dan penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala tiga lagi cedera serta berada dalam keadaan separuh sedar,” katanya ketika dihubungi.

    Menurutnya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menerima rawatan sementara mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Identiti kesemua mangsa serta punca kemalangan masih dalam siasatan, katanya.