Author: Bernama

  • Janin cukup sifat dalam tandas masjid

    Janin cukup sifat dalam tandas masjid

    JANIN yang cukup sifat bersama uri ditemukan seorang pekerja pembersihan dalam tandas wanita di Masjid Kampung Labohan, Kerteh, di Kemaman tengah hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt. Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan janin yang dianggarkan berusia antara empat hingga lima bulan itu daripada ahli jawatankuasa masjid kira-kira jam 3 petang.

    Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku antara 12 tengah malam tadi hingga 12 tengah hari tadi.

    “Pemeriksaan pada kamera litar tertutup (CCTV) masjid tidak menemui apa-apa petunjuk atau imej pelaku.

    “Kita akan siasat dan buat pemantauan di klinik berhampiran untuk mengesan ibu yang mungkin keguguran. Kita juga minta ibu yang mungkin tak sedar perkara ini berlaku supaya datang memberi keterangan di balai polis berdekatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Menurut Hanyan, janin tersebut telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

    Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil segera membuat laporan di balai polis berhampiran.

    Sementara itu saksi kejadian, Kariza Budin, 49, berkata beliau menemukan janin tersebut di lantai tandas wanita kira-kira 12 tengah hari ketika ingin melakukan kerja pembersihan.

    “Ketika saya masuk ke tandas tengok keadaan kotor dan berselerak dengan tong sampah terlingkup. Selepas diamati Saya nampak ada kantung dan dalam tu macam kepala.

    “Memang terkejut, tetapi saya beranikan diri alihkan dahulu janin tu di satu sudut sebelum maklumkan pada ahli jawatankuasa masjid untuk lapor pada pihak yang berkenaan,” katanya. – BERNAMA

  • PRU-15: Parti umum calon berperingkat, ada bertukar angin dan masih berteka-teki

    PRU-15: Parti umum calon berperingkat, ada bertukar angin dan masih berteka-teki

    MENJELANG hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 5 Nov ini, beberapa parti dan gabungan politik mula memperkenalkan calon masing-masing bagi kerusi Parlimen secara berperingkat.

    Ada bertukar angin ke kawasan baharu, ada juga mempertahankan kerusi dimenangi pada PRU14, selain terdapat parti masih berteka-teki tentang calon bakal ditampilkan dalam gelanggang pilihan raya kali ini seperti Barisan Nasional (BN) yang dilaporkan akan mengumumkannya dalam masa terdekat. 

    Setakat ini, DAP telah mengumumkan 16 calon bertanding termasuk tiga penyandang yang bertukar kerusi Parlimen iaitu Yeo Bee Yin dari Bakri, Johor ke Puchong, Selangor; Gobind Singh Deo dari Puchong ke Damansara, Selangor; dan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dari Raub ke Lipis, Pahang.

    Parti itu turut mengekalkan penyandang kerusi semasa PRU14 antaranya Cha Kee Chin bagi  Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook (Seremban), Mordi Bimol (Mas Gading), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Alice Lau (Lanang), Oscar Ling Chai Yew (Sibu) dan Chong Chieng Jen (Stampin).

    DAP turut menggunakan pengalaman penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang untuk menggalas pertandingan di peringkat Parlimen negeri itu iaitu Young Syefura Othman yang juga ADUN Ketari di kerusi Bentong, ADUN Tras Chow Yu Hui (Raub) dan ADUN Tanah Rata Chiong Yoke Kong (Cameron Highlands).

    DAP turut memperkenalkan tiga muka baharu untuk PRU15 di Sarawak iaitu Roderick Wong, Tony Chiew dan Laeryy Jabol masing-masing akan bertanding di Sarikei, Bintulu dan Serian.

    PKR pula telah mengumumkan 10 calon setakat ini termasuk presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di Tambun manakala kerusi disandang Anwar iaitu Port Dickson, akan ditandingi Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

    Penyandang kerusi Simpang Renggam Dr Maszlee Malik pula kekal mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya lepas.

    Tanpa menamakan kawasan Parlimen yang akan ditandingi, PKR turut mengumumkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Zainal Azman Abu Seman dan anak kepada bekas Mursyidul Am PAS Nik Omar Nik Abdul Aziz untuk bertanding di Perak, serta bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa) Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan di Pahang.

    Pensyarah Kanan di Jabatan Parasitologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz akan mewakili PKR di Wilayah Persekutuan; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Saipolyazan M Yusop (Selangor); bekas presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha (Negeri Sembilan) dan calon berusia 28 tahun, Fathin Amelina Fazlie di Perlis.  

    Amanah pula mengumumkan penyandang kerusi Shah Alam Khalid Samad untuk bertanding di Titiwangsa, Wilayah Persekutuan; ADUN Permatang Pasir, Pulau Pinang Muhammad Faiz Fadzil di Tampin, Negeri Sembilan; Naib Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Datuk Zulkefly Mohamad Omar di Jelebu dan Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional Negeri Sembilan Norwani Ahmat di Jempol.

    Warisan telah mengesahkan empat calonnya akan bertanding di Sabah iaitu Bendahari Warisan Bahagian Sipitang Datuk Adnan Puteh di Sipitang; ADUN Bongawan Dr Daud Yusof di Kimanis; serta Ahmad Hassan dan Isnaraissah Munirah Majilis yang masing-masing adalah penyandang kerusi Parlimen Papar dan Kota Belud.

    Perikatan Nasional (PN) setakat ini telah mengesahkan empat calon Parlimen iaitu tiga daripadanya adalah penyandang kerusi tersebut iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Tambun) manakala Datuk Dr Radzi Jidin pula akan bertanding di Putrajaya.

    Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Bentong, Wong Tack yang sebelum ini bertanding atas tiket DAP pada PRU14 mengumumkan akan menjadi calon bebas untuk mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya kali ini.

    Gabungan baharu Gerakan Tanah Air terdiri daripada Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pula setakat ini baru menamakan seorang calon iaitu pengerusi penajanya, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi kerusi Langkawi.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

  • Pemerdagangan manusia: Lelaki dikurung hampir setahun

    Pemerdagangan manusia: Lelaki dikurung hampir setahun

    SEORANG lelaki tempatan dikurung hampir setahun dipercayai menjadi hamba pemerdagangan manusia di Manila, Filipina sejak November tahun lepas.

    Ibunya Vong Foong Thai, 61, seorang tukang jahit berkata anaknya Choong Chin Yee, 24, pada mulanya mengambil keputusan untuk bekerja dalam bidang perkomputeran di sana kerana ketiadaan kerja selepas pandemik COVID-19.

    “Anak saya mahu bekerja di sana selepas ditawarkan satu pekerjaan yang bergaji lumayan iaitu RM8,000 oleh rakannya di Filipina.

    “Setibanya di sana, pasportnya telah dirampas dan telefon bimbitnya diperiksa secara berkala bagi memastikan anaknya tidak membocorkan (keadaan sebenar) kepada ahli keluarga,” katanya pada sidang media di Ipoh hari ini.

    Vong berkata anak sulungnya itu mula menyedari bahawa dia ditugaskan melakukan penipuan tawaran kerja kepada rakyat Malaysia yang kononnya menawarkan gaji lebih RM9,000.

    “Anak saya tidak mahu melakukan tugas itu jadi memohon untuk dilepaskan. Pada 27 Julai lepas, saya telah diugut oleh seorang lelaki melalui pesanan suara daripada aplikasi WeChat menyatakan saya perlu membayar sejumlah wang tebusan sebanyak RM100,000 bagi melepaskan anak saya pulang,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak Low Guo Nan berkata, pihaknya akan menghubungi pihak kedutaan di Filipina bagi menguruskan kepulangan Choong selepas dia diarahkan bertemu pihak berkenaan oleh pihak polis. – Bernama

  • ‘Saya takkan lari walau badai taufan melanda’ – Ahmad Faizal

    ‘Saya takkan lari walau badai taufan melanda’ – Ahmad Faizal

    “SAYA tidak akan lari ke mana-mana, saya akan kekal (bertanding) di situ (Parlimen Tambun) walau badai taufan datang melanda,” kata penyandang kerusi Parlimen itu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Timbalan Presiden Bersatu itu berkata demikian bagi menegaskan pendiriannya yang dijangka berhadapan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, selepas gabungan itu mengumumkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

    Ahmad Faizal berkata jika PH menamakan Anwar, yang juga presiden PKR sebagai calon perdana menteri, beliau akan membawa dirinya sebagai anak jati yang akan berkhidmat untuk rakyat tempatan.

    “Yang penting bukan sebab Anwar Ibrahim, bukan sebab Peja (Ahmad Faizal). Yang pentingnya adalah rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Forum Eksekutif Muda Global 2022 (FEMG22) di Putrajaya Marriott Hotel, hari ini. 

    Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi.

    Terdahulu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak yang juga Menteri Belia dan Sukan itu dalam ucapan penutup FEMG22 berkata beliau berharap agar golongan belia berusia 18 tahun ke atas dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan mengundi pada PRU15 ini.

    “Inilah masanya para belia memilih pemimpin yang menerajui pentadbiran negara. Saya percaya para belia cukup matang untuk melaksanakan tanggungjawab ini demi kepentingan serrta masa hadapan yang lebih gemilang.

    “Pilihlah pemimpin yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat dan sentiasa meletakkan kepentingan negara di tahap yang tertinggi,” katanya.

    FEMG22 yang menyasarkan belia sektor awam di dalam dan luar negara dianjurkan sebagai platform dua hala antara pemimpin negara dan pemimpin muda sektor awam dalam menyuarakan pandangan bagi mencorak negara pada masa hadapan. – BERNAMA

  • Jangan campur urusan Malaysia hantar pulang pelarian – Hamzah

    Jangan campur urusan Malaysia hantar pulang pelarian – Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin meminta  Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta mana-mana kumpulan hak asasi manusia supaya jangan campur tangan dalam urusan penghantaran pulang pelarian dari Myanmar ke negara asal mereka.

    Beliau berkata warga asing yang ditahan seterusnya dihantar pulang ke negara asal bermakna mereka telah melanggar undang-undang Malaysia.

    “Bukan hanya Myanmar, bukan hanya datang dari sesuatu negara tetapi seluruh dunia yang datang sini melanggar undang-undang ada kesalahan dan sudah sampai tempoh untuk kita hantar balik, kita hantar balik.

    “Jadi UNHCR, United Nations (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) ke atau mana-mana sekalipun kalau orang yang kita tangkap itu masuk ikut cara sah dan mempunyai dokumen , kemudian melanggar undang-undang dan dihukum, kita akan hantar balik,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Kita Demi Negara – Zon Timur yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, di Dataran Lembah Sireh, di sini hari ini.

    Hamzah berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Human Rights Watch (HRW) yang berpangkalan di New York supaya kerajaan menghentikan penghantaran pulang pencari suaka politik dari Myanmar kerana meletakkan nyawa mereka dalam bahaya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya turut memahami ada warga asing yang datang ke negara ini sebagai pelarian dan pencari suaka politik.

    “Kita pun faham dan sedar, dari segi kemanusiaan kita tidak akan hantar orang yang akan menyebabkan mereka nanti ‘hilang’ di negara asal. Kita tidak akan melakukan perkara yang boleh menyebabkan kezaliman terhadap individu yang dihantar pulang,” katanya.

    Mengenai cadangan untuk menutup pejabat UNHCR, Hamzah berkata perkara itu masih diteliti.

    “Kita sedang meneliti dan akan buat keputusan sama ada UNHCR patut ada di sini atau tidak. Sebagai sebuah negara yang bermaruah, saya patut jaga negara kita dulu sebelum menjaga orang luar,” katanya. – BERNAMA

  • Negara beri peluang anak muda pegang jawatan penting

    Negara beri peluang anak muda pegang jawatan penting

    MALAYSIA diyakini sedang bergerak seiring negara luar, dalam memberi ruang kepada anak muda untuk menyandang jawatan penting organisasi termasuk pentadbiran kerajaan.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata anak muda sewajarnya diberi peluang dan dididik sebaik mungkin agar wujud generasi atau pelapis berkaliber pada masa akan datang.

    “Apabila kita cakap tentang kepimpinan muda, setiap daripada kita perlu mainkan peranan dalam mengasuh anak-anak kita.

    “Kita mesti bina generasi baharu yang jauh lebih hebat daripada kita,” katanya pada forum bertajuk ‘Kecemerlangan Kepimpinan’ yang diadakan sempena Forum Eksekutif Muda Global 2022 anjuran Kementerian Belia dan Sukan, di sini hari ini.

    Beliau berkata seorang pemimpin perlu jujur dan ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab, sedia mendengar dan sedia untuk diajar, selain menyusun pandangan yang diterima mengikut keutamaan.

    Memberi contoh dalam mengemudikan Kementerian Pendidikan (KPM) setakat ini, Radzi berkata beliau menggunakan pendekatan berstruktur yang akan memberi impak positif dalam jangka masa panjang kepada pelajar sekolah.

    “Perubahan adalah perkara yang paling ditakuti oleh semua. Sebab itu pemimpin kena berani bawa perubahan tapi berasas, berani berdasarkan maklumat yang tepat dan objektif yang jelas,” katanya merujuk kepada pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

    Katanya setiap perubahan yang dilakukan KPM, termasuk kedua-dua ujian itu, telah melalui pelbagai proses perbincangan teliti dengan pelbagai pihak berkepentingan dan tidak dibuat secara tergesa-gesa seperti yang didakwa ramai pihak. – BERNAMA

  • MB Terengganu beri bayangan tak tanding kerusi Parlimen

    MB Terengganu beri bayangan tak tanding kerusi Parlimen

    MENTERI Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi bayangan tidak akan bertanding untuk kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “Setakat ini Alhamdulillah saya tak tanding Parlimen. Kenapa saya perlu pergi Parlimen?” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Kampus Tetap Kolej al-Quran Terengganu (KQT) dan Bandar Baharu Lestari Durian Mentangau di sini hari ini.

    Spekulasi Ahmad Samsuri, yang juga Naib Presiden PAS, dikatakan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus adalah susulan penyebaran poster yang memaparkan lapan individu yang dikatakan calon Perikatan Nasional (PN) untuk kerusi Parlimen di Terengganu.

    Sementara itu Ahmad Samsuri berkata rundingan akhir agihan kerusi bagi parti komponen dalam PN untuk PRU15 akan diputuskan dalam satu mesyuarat hari ini, manakala pengumuman calon-calon PN pula dijangka dibuat pada 30 Okt, kecuali Terengganu pada 3 Nov.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

  • Bekas pengerusi MyWatch bebas tuduhan peras ugut

    Bekas pengerusi MyWatch bebas tuduhan peras ugut

    MAHKAMAH Rayuan hari ini membebaskan bekas pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) Datuk Seri R. Sri Sanjeevan terhadap pertuduhan memeras ugut seorang ahli perniagaan sembilan tahun lepas.

    Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Ahmad Nasfy Yasin, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Seri Mariana Yahya membenarkan rayuan terakhirnya bagi mengetepikan sabitan, selepas memutuskan bahawa sabitan itu tidak selamat.

    Pada 14 Ogos 2018, Sanjeevan dihukum penjara tiga bulan dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Temerloh selepas didapati bersalah memeras ugut Chan Leong Kwan, 46, dengan meminta wang tunai RM1,500 atau mangsa berdepan risko tidak boleh meneruskan perniagaan.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Dagangan 8, Pusat Dagangan Triang Pahang, Bera pada 9.45 malam 1 Julai 2013 mengikut mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

    Pada 27 Nov 2020, Mahkamah Tinggi Temerloh mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret, dan pada 4 Dis tahun yang sama, Mahkamah Tinggi turut membenarkan permohonan Sanjeevan untuk menangguhkan hukuman penjara sehingga rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

    Dalam keputusan hari ini, Hakim Ahmad Nasfy yang mempengerusikan panel itu berkata Sanjeevan dinafikan perbicaraan yang adil apabila pihak pendakwaan tidak memanggil atau menawarkan kepada pihak pembelaan tujuh saksi yang hadir di tempat kejadian.

    Beliau juga berkata terdapat juga salah pelaksanaan keadilan apabila pegawai penyiasat tidak merekodkan kenyataan Sanjeevan.

    Beliau berkata majistret telah tersalah arah apabila berpendapat bahawa terdapat pengecaman positif perayu (Sanjeevan), dan keputusan magistret meletakkan beban besar pembuktian terhadap Sanjeevan bagi mewujudkan pembelaan alibinya, adalah salah.

    Sementara itu mahkamah turut mengetepikan rayuan balas pendakwaan untuk hukuman lebih berat terhadap Sanjeevan.

    Peguam Datuk V.Sithambaram, S.Preakas dan Miguel Sequerah mewakili Sanjeevan, manakala Timlalan pendakwa raya Zaki Asyraf Zubir dan Aida Khairuleen Azli mewakili pihak pendakwaan.

  • Bicara kes Safiey Ilias Julai 2023, 12 saksi dipanggil

    Bicara kes Safiey Ilias Julai 2023, 12 saksi dipanggil

    PERBICARAAN kes usahawan kosmetik Safiey Ilias yang menghadapi empat pertuduhan termasuk melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap dua remaja lelaki melalui aplikasi Instagram akan bermula 24 Julai tahun depan di Mahkamah Sesyen Ampang.

    Hakim Norhazani Hamzah menetapkan empat hari bermula 24 hingga 27 Julai 2023 untuk perbicaraan kes Safiey, 28, atau nama sebenarnya Mohd Safiuddin Ilias semasa sebutan kes itu hari ini.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurhashimah Hashim berkata pihaknya akan mengemukakan 12 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes berkenaan.

    Safiey Ilias yang diwakili peguam Harjeet Singh Sidhu didakwa atas dua pertuduhan berkomunikasi secara seksual dengan dua mangsa menerusi aplikasi Instagramnya di kediamannya di Bandar Baru Bangi pada 9 pagi, 9 Jun 2021.

    Penyanyi lagu ‘Syinta Gila’ itu juga menghadapi dua pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menggoyang-goyangkan payu dara di hadapan mangsa di lokasi, masa dan tarikh sama.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan Seksyen 15 (a)(i) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Indeks jenayah negeri Pantai Timur tunjuk penurunan – Hamzah

    Indeks jenayah negeri Pantai Timur tunjuk penurunan – Hamzah

    INDEKS jenayah di Kelantan, Terengganu dan Pahang menunjukkan penurunan ketara berbanding sasaran yang ditetapkan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata ia dicapai hasil usaha yang dilaksanakan oleh semua agensi keselamatan melalui operasi dan penguatkuasaan secara berterusan.

    “Misalnya, di Kelantan purata penurunan setahun adalah sebanyak 25 peratus.

    “Walaupun demikian, KDN melalui agensi-agensi di bawahnya sentiasa berusaha mengekang kegiatan jenayah untuk meningkatkan rasa selamat rakyat khususnya di negeri Pantai Timur ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Program Kita Demi Negara – Zon Timur yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Dataran Lembah Sireh, di sini hari ini.

    Untuk rekod, nisbah indeks jenayah bagi 10,000 penduduk di Kelantan mencatatkan 83.17 peratus setakat 30 Sept lepas berbanding 101.50 peratus bagi tempoh sama pada 2021.

    Di Terengganu, indeks jenayah mencatatkan 86.65 peratus berbanding 121.48 peratus manakala di Pahang pula, indeks jenayah menunjukkan penurunan kepada 80.14 peratus berbanding 115.85 peratus bagi tempoh sama tahun lepas. – BERNAMA