Author: Bernama

  • PAS Perlis letak calon wanita di DUN Mata Ayer

    PAS Perlis letak calon wanita di DUN Mata Ayer

    BUAT julung kalinya PAS Perlis akan mengetengahkan seorang calon wanita yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli berkata calon itu ialah Wan Badariah Wan Saad, anak jati Padang Siding yang juga seorang peguam yang mempunyai firma guaman sendiri di Kedah.

    “Sebenarnya PAS Perlis telah lama berhasrat untuk mengetengahkan calon wanita di negeri ini, namun  tiada calon yang sanggup dan berani menawarkan diri pada PRU sebelum ini.

    “Alhamduillah kali ini, kita ada calon wanita di Perlis dan beliau telah mendapat izin daripada keluarga untuk bertanding,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Wanita PN Perlis di Kompleks PAS Perlis malam tadi.

    Mohd Shukri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis berkata pengumuman nama-nama calon akan dibuat pada 2 Nov ini, namun bergantung kepada keputusaan PAS pusat nanti.

    Pada PRU14, calon BN Siti Berenee Yahaya menang dengan majoriti 720 undi di DUN Mata Ayer menewaskan calon PH-PKR, Lt Kol (B) Azhar Omar dan calon PAS Mohammad Yahya.

    Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah pengundi berdaftar di DUN Mata Ayer PRU15 hingga 9 Okt 2022 ialah 9,662 pengundi.

  • Polis tahan wanita kes tipu penganjuran konsert artis popular

    Polis tahan wanita kes tipu penganjuran konsert artis popular

    POLIS menahan seorang wanita di sekitar Klang dua hari lepas, dipercayai terlibat dalam penipuan berhubung penganjuran konsert yang tidak wujud, kononnya melibatkan beberapa artis popular.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita berumur 48 tahun yang didapati memiliki dua rekod lampau termasuk berkaitan kes penipuan itu, ditahan pada kira-kira pukul 10.40 malam dan direman sehingga esok.

    Beliau berkata, perbuatan wanita itu mula dikesan apabila seorang penyanyi ‘rock’ tanah air berumur 53 mendapat maklumat daripada rakannya bahawa terdapat terdapat satu hantaran di Facebook mempromosikan sebuah konsert yang dijadualkan berlangsung pada 4 Februari depan di Kota Kinabalu, Sabah.

    “Suspek menawarkan penjualan tiket konsert berharga RM199 hingga RM649. Penyanyi itu menafikan ada ditawarkan atau menandatangani sebarang kontrak untuk menyertai konsert berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

    Terdahulu tular di media sosial satu poster konsert bertajuk ‘Unplugged Living Legend’ yang memaparkan artis popular tanah air seperti Datuk Awie, Ziana Zain, Ella dan Erra Fazira selain vokalis kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani, yang akan diadakan di Sabah tahun depan. – Bernama

  • Tular ‘air terjun’ tangki pecah rosakkan enam kenderaan di Sepang

    Tular ‘air terjun’ tangki pecah rosakkan enam kenderaan di Sepang

    SEBUAH tangki air berketinggian 18.3 meter (60 kaki) di sebuah blok apartment di Taman Mas di Sepang pecah sehingga mengakibatkan enam kenderaan rosak teruk.

    Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata serpihan tangki air yang jatuh telah menimpa kenderaan di bawah blok apartment terbabit.

    Kejadian itu bagaimanapun, tidak melibatkan kemalangan jiwa, sebaliknya hanya kerosakan harta benda dan mangsa terlibat diminta membuat laporan polis bagi tuntutan insurans, katanya.

    “Bantuan lori air bersih dihantar Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk bekalan air bersih kepada 172 rumah yang terjejas,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

    Semalam, tular di media sosial kejadian ‘air terjun’ akibat tangki air pecah di sebuah pangsapuri di taman berkenaan.

    Video berdurasi hampir empat minit itu turut menunjukkan beberapa kenderaan yang diletakkan di perkarangan bangunan terkena curahan air deras dari tangki pecah itu.

  • Pas yakin rampas Besut daripada BN

    Pas yakin rampas Besut daripada BN

    PAS yakin mampu merampas kerusi Parlimen Besut daripada BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus akan memperkuat parti di peringkat negeri, kata Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang.

    Beliau berkata justeru, keputusan telah dicapai bahawa calon daripada Pas akan bertanding di kerusi Parlimen berkenaan dan perkara itu turut dipersetujui oleh Bersatu selepas penilaian dibuat.

    “Untuk perteguhkan parti di peringkat negeri kita perlu letak (calon) Pas di Besut. Ada peluang untuk Pas menang… Bukan ambil alih, kerusi itu memang sedia ditandingi Pas jadi kita kekalkan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Markas Induk PRU15 dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu di Kuala Ibai malam tadi.

    Husain berkata sehubungan itu, proses pembahagian kerusi untuk Perikatan Nasional (PN) bagi semua Parlimen di Terengganu kini dianggap selesai dan tidak menolak kemungkinan muka baharu akan dipertaruhkan kali ini.

    Dengan keputusan itu, hanya Parlimen Hulu Terengganu akan diwakili Bersatu iaitu Datuk Rosol Wahid yang akan mempertahankan kerusi dimenanginya itu atas tiket BN pada PRU14 dengan majoriti 2,868 menewaskan calon Pas, Muhyiddin Abdul Rashid dan calon Bersatu, Datuk Razali Idris.

    Sementara itu, mengenai kerusi Parlimen Kuala Nerus, beliau berkata, Pas tidak akan tergugat walaupun bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali akan bertanding atas tiket Bebas untuk mempertahankan kerusi dimenanginya pada PRU14.

    Pada PRU14, Parlimen Besut dimenangi oleh calon BN, Tan Sri Idris Jusoh yang kali ini mengumumkan tidak akan bertanding manakala Mohd Khairuddin yang pada ketika itu mewakili Pas menang di Parlimen Kuala Nerus.

  • Pemandu rentung, kereta terbakar di Kabong, Sarawak

    Pemandu rentung, kereta terbakar di Kabong, Sarawak

    SEORANG rentung apabila kereta dipandunya terbakar di Jalan Nyabor, Kabong kira-kira 100 kilometer (KM) dari bandar raya Sibu, lewat malam tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan satu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok telah digerakkan ke lokasi kejadian pada 11 malam.

    “Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah kereta jenis Kia telah terbakar 100 peratus dan bomba dapat mengawal kebakaran pada 11.40 malam.

    “Terdapat seorang mangsa telah rentung di dalam kereta tersebut dan identiti mangsa masih belum dapat dipastikan,” katanya.

    Jelasnya operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 11.50 malam dan pihak bomba telah menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

  • Bukan janin manusia tapi janin kucing

    Bukan janin manusia tapi janin kucing

    JANIN yang ditemukan seorang pekerja pembersihan dalam tandas sebuah masjid di Kampung Labohan, Kertih di sini disahkan bukan janin manusia sebaliknya adalah janin kucing.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Supt. Hanyan Ramlan berkata perkara itu disahkan oleh Unit Forensik Hospital Kemaman.

    “Ujian oleh Unit Forensik mengesahkan bahawa janin yang ditemui bukanlah milik manusia seperti disangka, tetapi sebenarnya janin kucing,” katanya kepada Bernama malam ini.

    Terdahulu, kira-kira 12 tengah hari tadi, anggota kariah digemparkan dengan penemuan satu janin yang menyerupai janin manusia di atas lantai tandas masjid itu.- BERNAMA

  • PRU15: Agong titah rakyat Malaysia di Singapura tunai undi

    PRU15: Agong titah rakyat Malaysia di Singapura tunai undi

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar rakyat Malaysia yang menetap di Singapura menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

    “Saya ingin mengingatkan tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan untuk mengundi pada pilihan raya umum yang akan datang walaupun (tinggal) jauh sikit tetapi hati mesti tetap menunaikan tanggungjawab yang lebih berhak sebagai pengundi,” titah Seri Paduka.

    Al-Sultan Abdullah berkenan bertitah demikian ketika berucap pada Majlis Santapan Malam bersama diaspora Malaysia di Hotel Shangri-La, di Singapura malam ini.

    Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis santapan itu yang turut disertai anakanda Seri Paduka Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.

    Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian untuk pengundi Malaysia melaksanakan tanggungjawab pada PRU15.

    Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang menetap di Singapura dan telah saling membantu antara satu sama lain daripada pelbagai aspek ketika kedua-dua negara berdepan pandemik Covid-19.

    Turut hadir dalam majlis santapan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin selaku Pegawai Pengiring, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.

    Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri kini dalam rangka lawatan negara ke Singapura selama empat hari yang berakhir esok.

    Lawatan negara itu mencerminkan hubungan dua hala yang rapat serta istimewa antara Malaysia dan Singapura bermula sejak 57 tahun lepas.

  • Tarikh Ujian Penilaian Kelas KAFA dipinda – Jakim

    Tarikh Ujian Penilaian Kelas KAFA dipinda – Jakim

    TARIKH pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) (Bertulis) yang dijadualkan pada 14 hingga 17 Nov depan dipinda kepada 28 Nov hingga 1 Dis berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata ujian Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah) pada 14 Nov dipinda ke 28 Nov serta Sirah Jawi dan Khat pada 15 Nov kepada 29 Nov.

    Selain itu, Adab pada 16 Nov kepada 30 Nov dan Lughah Al-Quran pada 17 Nov kepada 1 Dis.

    “Pindaan ini dibuat bagi memberi ruang persediaan dan pelaksanaan PRU15 yang berlangsung pada 19 Nov,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Jakim hari ini.

    Menurutnya Jakim amat menghargai komitmen semua pihak dalam menjayakan pelaksanaan UPKK kali ini. – BERNAMA

  • Tiada aduan mesin penapis air milik Siti Bainun rosak: Saksi

    Tiada aduan mesin penapis air milik Siti Bainun rosak: Saksi

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa tiada rekod kerosakan mesin penapis air milik pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali dilaporkan sejak Mac 2021.

    Bekas juruteknik penyelenggara sebuah syarikat penapis air, Azrin Aisyah Mohd Razi, 32, berkata, jika ada sebarang kerosakan atau aduan, pelanggan akan melaporkan kepada rakan sekerjanya atau melalui talian penting.

    “Tetapi tiada aduan dan laporan dalam sistem rekod (syarikat),” kata saksi pendakwaan ke-21 itu semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad pada perbicaraan kes pengasas rumah kebajikan itu yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.

    Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi antara Februari dan Jun 2021 di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

    Sebelum ini peguam Siti Bainun mencadangkan kepada saksi lain dalam perbicaraan kes itu bahawa dakwaan Bella dicurah air panas adalah rekaan semata-mata kerana penapis air di rumah anak guamnya rosak sejak Mac 2021.

    Sementara itu, juruteknik syarikat penapis air sama, Mohamed Rezuan Satori, 25, berkata, beliau pergi ke kondominium Siti Bainun di Wangsa Maju pada 24 Mei tahun lepas untuk membuat pemeriksaan ke atas mesin penapis air selepas menerima laporan daripada Siti Bainun mengenai masalah kebocoran.

    Katanya, mesin penapis air berfungsi dengan baik walaupun terdapat kebocoran pada adaptor (kepala paip) pada singki dan beliau menukar adaptor baharu berikutan air menitik pada bahagian adaptor.

    “Apabila masuk ke unit kondominium itu, saya lihat ada lebih kurang lima kanak-kanak berada di situ.

    “Saya terus membuat pemeriksaan ke atas mesin penapis air itu serta melakukan kerja-kerja penukaran yang mengambil masa 30 minit,” kata saksi pendakwaan ke-22 itu.

    Diminta membuat pengecaman ke atas Siti Bainun, Mohamed Rezuan berkata:”Dia (Siti Bainun) duduk sebelah ‘kakak’ yang pakai tudung biru”, namun saksi itu kemudian memberitahu beliau rabun jauh dan Hakim Izralizam Sanusi mengarahkannya untuk memakai cermin mata.

    “Cermin mata saya tertinggal di dalam kereta,” kata Mohamed Rezuan menyebabkan hakim meminta saksi untuk pergi ke kandang tertuduh bagi membuat pengecaman ke atas Siti Bainun dan saksi kemudian mengenal pasti individu itu adalah Siti Bainun.

    Perbicaraan bersambung esok.

  • Waspada taktik penipuan bantuan RM500 e-dompet Touch ‘N Go

    Waspada taktik penipuan bantuan RM500 e-dompet Touch ‘N Go

    ORANG ramai dinasihatikan agak tidak terpedaya dengan taktik penipuan terbaharu yang mengambil kesempatan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang melibatkan pemberian bantuan RM500 menerusi pautan ‘Touch ‘N Go (TNG) yang dikongsi melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS).

    Modus operandi bagi penipuan itu adalah dengan pemberitahuan mengenai bantuan e-dompet RM500 yang diberikan kepada rakyat atas sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerlukan pengesahan identiti menggunakan pautan yang ‘bertopengkan’ aplikasi itu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai, mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan bahawa pautan itu jelas menunjukkan bahawa ia bukan pautan rasmi TNG yang sebenar.

    “Pautan bagi TNG bukannya touchngoemy.top, emy.top itu sahaja jelas menunjukkan ia bukannya link sebenar. Orang ramai dinasihatkan jangan tekan link berkenaan.

    “Pautan yang betul tidak akan ada emy.top itu, kalau ada emy.top ini sudah pasti ia adalah sindiket penipuan dalam talian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beh berkata TNG juga tidak akan menghantar sebarang mesej atau pemberitahuan kepada pengguna dan tindakan sedemikian dilihat berpotensi kepada sindiket penipuan.

    Terdahulu, tular di media sosial mengenai pemakluman bantuan e-dompet RM500 daripada pihak kerajaan melalui pautan TNG sehingga dakwaan seorang mangsa kehilangan RM1,950 selepas mengakses pautan tersebut. – BERNAMA