Author: Bernama

  • PRU-15: MUDA tanding guna logo sendiri, kerusi Muar diketahui Rabu

    PRU-15: MUDA tanding guna logo sendiri, kerusi Muar diketahui Rabu

    BUAT julung kalinya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan mempertaruh calonnya di tiga kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan menggunakan logo sendiri.

    Timbalan Presiden MUDA Amira Aisya Abd Aziz berkata parti itu akan bertanding di kerusi Parlimen Kepala Batas, Tanjong Karang dan Tanjung Piai.

    Tanpa menyebut jumlah kerusi yang diperuntuk kepada MUDA melalui rundingan bersama Pakatan Harapan (PH), beliau berkata calon bagi beberapa kerusi lain akan diumumkan dalam tempoh terdekat termasuk di Sabah pada Selasa ini.

    Pengarah Pilihan Raya MUDA itu mengumumkan Ketua Parlimen MUDA Pulau Pinang Danial Abdul Majeed akan bertanding di Kepala Batas manakala Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA Siti Rahayu Baharin di Tanjong Karang dan pengasas bersama MUDA Lim Wei Jiet di Tanjung Piai.

    Amira Aisya berkata rundingan MUDA bersama PH petang tadi telah memuktamadkan tiga perkara utama di bawah pakej pakatan pilihan raya termasuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri ke-10.

    “Juga dipersetujui pastikan bahawa tiada pertembungan mana-mana kerusi antara PH dan MUDA bagi memenangi PRU15 dan MUDA diberi fleksibiliti untuk menggunakan logo parti sendiri,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di sini malam ini.

    Beliau juga berkata parti itu akan menggunakan manifesto yang sama dengan PH untuk meraih undi pada PRU15.

    Katanya kesemua kerusi yang bakal ditandingi parti itu adalah di kawasan luar bandar dan kerusi ‘gergasi’ yang disandang oleh menteri atau timbalan menteri Barisan Nasional (BN).

    Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula berkata beliau akan membuat pengumuman berhubung status kerusi Parlimen Muar yang disandangnya pada Rabu depan susulan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang memerintahkan beliau membela diri atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

    “Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, saya menghormati institusi kehakiman dan telahpun menyarankan kepada penyokong MUDA untuk memberi penghormatan tertinggi kepada institusi kehakiman negara… Berkenaan status di Muar, nantikan pengumumannya pada Rabu,” katanya.

    Pada PRU14, Syed Saddiq yang merupakan calon PH daripada Bersatu menewaskan penyandang kerusi Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan Abdul Aziz Talib (PAS) dengan majoriti 6,953 undi.

    Mengenai rundingan bersama PH, beliau berkata rumusan pengagihan kerusi telah diputuskan secara baik dan jumlah kawasan yang ditandingi akan diumumkan dalam masa terdekat.

    Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga berkata setiap calon yang diketengahkan oleh MUDA dikehendaki mengisytiharkan aset untuk ketelusan dalam memastikan niat bertanding adalah tidak bersandarkan kepada politik kuasa, wang serta kontrak.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRU15 manakala 5 Nov sebagai penamaan calon dan pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

  • 63 rakyat Malaysia terkandas di Arab Saudi dijangka pulang minggu depan

    63 rakyat Malaysia terkandas di Arab Saudi dijangka pulang minggu depan

    MENTERI Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, 63 rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi selepas bertolak ke negara itu untuk mengerjakan umrah sejak Jun lepas berkemungkinan dapat dibawa pulang minggu depan.

    Beliau berkata, usaha membawa pulang jemaah terbabit yang terdiri daripada 28 orang dewasa dan 35 kanak-kanak sedang giat dilakukan termasuk menerusi perbincangan bersama Kedutaan Arab Saudi di Malaysia dan pihak berkuasa di negara itu.

    “Mereka ke sana untuk mengerjakan umrah dan saya difahamkan timbul masalah. Bagaimanapun, butiran lengkap akan diumumkan kemudian kerana ia masih dalam rundingan… cuma saya dapat mengesahkan yang kemungkinan besar kita boleh membawa mereka pulang,” katanya pada sidang media di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, di Kuantan hari ini.

    Pada awal bulan ini, Wisma Putra dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi kenyataan bersama mengesahkan kesemua rakyat Malaysia terkandas selepas dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan umrah.

    Mereka bagaimanapun hanya berada di Madinah dan tidak pernah dibawa ke Mekah untuk menyempurnakan ibadah itu manakala ketua kumpulan tarekat tersebut telah diusir oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lepas susulan pelanggaran undang-undang tempatan.

    Pada sidang media itu, Saifuddin turut memaklumkan, lima lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.

    Beliau berkata, setakat semalam, Kementerian Luar Negeri merekodkan bahawa seramai 453 rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan itu di Kemboja, Myanmar, Laos serta Thailand dan 269 orang daripada mereka telah dibawa pulang.

    Seramai 52 orang direkodkan masih berada di depot imigresen negara terbabit dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan 132 individu yang dilaporkan belum dapat dijejaki.

    Saifuddin juga berkata, tujuh rakyat Malaysia yang bekerja sebagai pelabur forex di sempadan Kemboja-Vietnam akan dibawa pulang ke tanah air hari ini.

    “Bagaimanapun, mereka tidak dikategorikan sebagai mangsa sindiket mengambil kira mereka bekerja secara sukarela dan bebas keluar masuk dari kawasan tempat kerja,” katanya. – Bernama

  • PRU15: PN Perak bakal tampil ramai calon anak tempatan

    PRU15: PN Perak bakal tampil ramai calon anak tempatan

    PERIKATAN Nasional (PN) Perak bakal menampilkan lebih ramai calon tempatan dengan pelbagai latar belakang pengalaman politik dan profesion pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

    Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, senarai penuh calon akan diumumkan minggu hadapan serentak bersama-sama manifesto mereka.

    “Bagi kami, kita tiada bawa heavy weight kita semua nama biasa, mungkin dalam Pakatan Harapan (PH) ada nama ‘heavy weights’ yang mereka anggap ‘heavy weights’.

    “Alhamdulillah, sehingga kini di PN amat baik. Saya nampaklah ada yang mereka berharap ingin jadi calon yang merasa kecil hati dan sebagainya, namun saya nampak akhirnya kita istiqamah dengan berhasrat untuk menolong dan terus bantu-membantu parti,” kata penyandang kerusi Parlimen Tambun itu selepas program Perak Foodbank berkaitan pemeriksaan kesihatan hari ini.

    Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, parti tersebut dijangka bertanding lebih banyak kerusi Parlimen di Perak, berbanding rakan komponen PAS dan Gerakan.

    Namun, katanya, sehingga kini tiada berlaku perebutan kerusi di dalam kem PN, kerana telah dimuktamadkan di kesemua peringkat dan komponen mereka.

    Perak mempunyai 59 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 24 kerusi Parlimen.

  • ‘Saya terbuka berdepan mana-mana calon di Bera’ – PM

    ‘Saya terbuka berdepan mana-mana calon di Bera’ – PM

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau terbuka untuk berdepan sesiapa sahaja di kerusi Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Menjawab pengumuman PKR pada Jumaat yang meletakkan Abas Awang sebagai calon untuk berdepan dengannya di kerusi berkenaan, beliau yang juga penyandang kerusi itu berkata, pertandingan dalam mana-mana pilihan raya adalah perkara biasa, dalam sebuah negara demokrasi.

    Malah, ketika ditemui di Kenduri Keluarga Malaysia, di Kuantan hari ini, Naib Presiden UMNO itu berkata, sepanjang beliau bertanding di kerusi berkenaan, tidak sekali pun beliau pernah menang tanpa ada pertandingan.

    Ismail Sabri sebelum ini dilapor mengesahkan untuk sekali lagi mempertahankan kerusi Parlimen Bera pada PRU kali ini.

    PKR dalam majlis pengumuman calon untuk kerusi Parlimen semalam, turut mengumumkan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berpindah dari kerusi Parlimen Port Dickson ke Parlimen Tambun pada PRU15.

    Sementara itu, penyandang kerusi Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin akan bertanding di kerusi Bagan Datuk, berdepan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Mengenai perpindahan kerusi oleh PKR itu, Ismail Sabri berkata, berlainan pula dengan UMNO di mana semua penyandang kerusi dilihat kekal bertanding di tempat sama.

    “Mungkin mereka tak yakin dengan servis dan perkhidmatan yang mereka berikan selama ini kepada pengundi, menyebabkan mereka pergi ke tempat lain dan buat janji-janji baharu supaya dapat pengaruhi pengundi di tempat baharu.

    “Mereka tak boleh bohongi pengundi sama, kalau tak berkhidmat tak beri perkhidmatan, mereka tak boleh janji lagi, rakyat takkan percaya,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, beliau bertanding di Bera sejak 2004 dan masih bertanding di situ untuk PRU15.

    “Kalau saya Perdana Menteri mungkin saya minta pindah tempat lain yang lagi selamat kalau saya tak berkhidmat, tak beri perkhidmatan untuk Bera saya akan takut, takut nak bertanding di tempat sama, kerana janji saya takkan diterima. Tetapi saya kekal.

    “Kalau lihat semua calon UMNO kita kekal di tempat sama, sebab kita selama ini telah beri perkhidmatan terbaik, kalau kita janji untuk beri perkhidmatan pun mereka (pengundi) yakin kepada kita,” katanya.

  • 6 kanak-kanak terbunuh dalam insiden di Oklahoma

    6 kanak-kanak terbunuh dalam insiden di Oklahoma

    ENAM kanak-kanak berumur dari satu hingga 13 tahun terbunuh dalam satu kejadian pembunuhan dan bunuh diri di sebuah rumah di Broken Arrow di Oklahoma di tengah AS pada Khamis, menurut pihak berkuasa pada Jumaat.

    Dua suspek dewasa juga ditemui mati di rumah, Xinhua memetik Ketua Polis Broken Arrow Brandon Berryhill sebagai berkata pada sidang akhbar. Senjata juga ditemui di rumah itu.

    Kebakaran berlaku di bahagian belakang rumah pada petang Khamis dan anggota bomba berjaya memadamkan api dalam beberapa minit dan menemui mayat, kata Moore.

    “Pada masa ini kami tidak percaya mangsa-mangsa mati akibat kebakaran, bagaimanapun punca kematian akan ditentukan oleh pemeriksa perubatan,” kata Ketua Bomba Patah Panah Jeremy Moore.

    Broken Arrow adalah sebuah kawasan di pinggir bandar terletak kira-kira 15 batu tenggara pusat bandar Tulsa, bandar kedua terbesar di Oklahoma.

  • PRU-15: PH Selangor sukar tawan kawasan luar bandar

    PRU-15: PH Selangor sukar tawan kawasan luar bandar

    BUKAN mudah untuk Pakatan Harapan (PH) menawan kerusi Parlimen kawasan luar bandar di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata penganalisis yang melihat pengundi di kerusi itu cenderung untuk memihak kepada Barisan Nasional (BN) atau Pas.

    Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini dilaporkan berkata PH, yang kini menyandang 16 daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor, akan memberikan tumpuan kepada kawasan luar bandar seperti Sungai Besar dan Sabak Bernam bagi memastikan calon parti itu menang pada PRU-15.

    Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kawasan luar bandar di Selangor yang majoriti penduduknya Melayu kebiasaannya adalah kubu kuat Umno atau Pas.

    Beliau berkata, PH mungkin akan menggunakan strategi untuk meraih undi popular dengan meletakkan ‘nama-nama besar’ di kerusi berkenaan bagi meningkatkan sokongan pengundi luar bandar.

    Penganalisis politik Pensyarah Kanan Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub turut senada dengan Noor Nirwandy yang melihat masih sukar untuk PH menawan kerusi Parlimen seperti Sabak Bernam dan sekitarnya yang majoriti dihuni penduduk Melayu.

    “Ini kerana kawasan berkenaan adalah deposit tetap undi BN atau Umno, dengan parti itu dapat mengekalkan kemenangan walaupun ketika gelombang PRU-14 lalu, dan ketika ini gelombang itu sudah tiada dan tiada isu besar untuk dibawa PH bagi menawan kawasan luar bandar,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Sekalipun PH meletakkan calon Melayu di kerusi berkenaan, namun lambang PH yang digunakan tidak mampu menjadi ‘batu loncatan’ untuk memenangi hati penduduk di kawasan itu, katanya.

    Penganalisis politik Dr Azmi Hassan berkata, pengundi di luar bandar terutamanya Melayu dilihat tetap mempunyai persepsi negatif terhadap calon PH terutamanya berkait dengan parti DAP.

    Amirudin sebelum ini mengumumkan PH Selangor akan meletakkan calon PKR di kerusi Parlimen Sungai Besar dan Amanah di kerusi Parlimen Sabak Bernam.

    Kerusi Parlimen Sabak Bernam yang dimenangi Umno pada PRU-14 bertukar menjadi milik Bersatu apabila penyandangnya Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh mengumumkan keluar daripada Umno untuk menyertai Bersatu, manakala penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar adalah Datuk Muslimin Yahaya adalah daripada Bersatu.

  • PRU15: Pas tampil dua calon wanita di Kelantan

    PRU15: Pas tampil dua calon wanita di Kelantan

    PAS akan menampilkan dua calon wanita di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berbanding hanya seorang pada pilihan raya lepas, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Pada PRU14, Pas Kelantan hanya memiliki seorang calon wanita iaitu Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang mewakili Parlimen Rantau Panjang.

    “Ada pertambahan satu kerusi Parlimen yang menonjolkan calon wanita dan perkembangan ini menjadikan dua daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan bakal ditandingi calon wanita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Persatuan Bola Keranjang Kelantan, di Kota Bharu hari ini.

    Perikatan Nasional (PN) Kelantan akan mengumumkan senarai calon yang bakal bertanding di kesemua 14 kerusi Parlimen di negeri itu pada 3 November.

  • Sekurang-kurangnya 13 terkorban dalam banjir kilat

    Sekurang-kurangnya 13 terkorban dalam banjir kilat

    SEKURANG-KURANGNYA 13 orang terkorban pada Jumaat dan ramai lagi hilang selepas hujan lebat semalaman membanjiri beberapa bandar di wilayah Maguindanao di selatan Filipina, lapor Xinhua, memetik seorang pegawai tempatan.

    Memetik laporan awal, ketua pejabat pengurangan risiko dan pengurusan bencana wilayah Maguindanao Nasrullah Imam berkata 13 mati akibat lemas atau tanah runtuh dan pejabat berkenaan masih menilai keadaan.

    Maguindanao ialah wilayah yang terletak di Wilayah Autonomi Bangsamoro Islam Mindanao.

    Media tempatan melaporkan hujan lebat itu ada kaitan dengan ribut tropika Nalgae yang dijangka melanda Ahad ini di pulau utama Luzon.

    Menurut Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina, Nalgae dijangka menjadi ribut tropika yang teruk pada Jumaat dan bertukar kepada taufan menjelang Sabtu.

    Filipina adalah antara negara paling terdedah kepada bencana berrikutan lokasinya di Lingkaran Api Pasifik dan lingkaran taufan Pasifik. Pada puratanya, negara kepulauan itu dilanda 20 taufan setiap tahun dengan beberapa daripadanya teruk dan merosakkan.

  • 70,000 pegawai, anggota pelbagai agensi ditugaskan hadapi banjir -Hamzah

    70,000 pegawai, anggota pelbagai agensi ditugaskan hadapi banjir -Hamzah

    SERAMAI 70,000 pegawai dan anggota membabitkan pelbagai agensi ditugaskan bagi menghadapi bencana banjir Monsun Timur Laut (MTL) di seluruh negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata jumlah itu meliputi pasukan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu 21,018 orang, Angkatan Tentera Malaysia (18,500 orang), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (15,000 orang), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (10,500 orang) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (4,400 orang).

    “Kita telah minta bantuan daripada beberapa agensi untuk membantu PDRM kerana kita sedar ramai anggota kita juga akan terlibat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    “Kita juga ada minta bantuan untuk menggunakan aset-aset daripada agensi terbabit seperti lori, bot dan aset udara,” katanya selepas menghadiri taklimat PRU15 dan persiapan menghadapi MTL di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

    Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 5,500 lokasi ‘hotspot’ banjir di seluruh negara termasuk 186 kawasan berisiko kepala air.

    “Kita telah kaji beberapa strategi untuk pastikan rakyat boleh meletakkan kepercayaan kepada PDRM kerana kita telah bersedia menghadapi kemungkinan bencana akibat hujan lebat,” katanya.

  • KKM, SPR masih berbincang SOP PRU15 – Khairy

    KKM, SPR masih berbincang SOP PRU15 – Khairy

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) masih dalam peringkat perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perkembangan lanjut berhubung SOP tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

    “Masih lagi (SOP PRU15) dalam perbincangan. SPR telah minta maklum balas dari KKM.

    “Ada beberapa perkara yang SPR boleh buat, ada yang mungkin mereka sukar untuk buat. Jadi, KKM akan beri maklum balas dalam sehari dua ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Komanwel dan Luka Global Ke-4 (2022), di Petaling Jaya, hari ini.

    KKM sebelum ini telah mengesyorkan kepada SPR berhubung beberapa SOP PRU15 supaya ia diadakan dalam keadaan ‘Pilihan raya selamat COVID-19’ dengan mengambil kira kepentingan orang ramai agar tidak dimudaratkan dengan kehadiran pesakit COVID-19.

    Mengenai pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah bagi Persidangan Komanwel dan Luka Global Ke-4 2022 itu, Khairy menyifatkan pemilihan itu sebagai pengiktirafan kepada Malaysia yang terpilih menerusi Mesyuarat Persatuan-persatuan Luka Sedunia.

    Katanya, Malaysia turut terpilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran Kongres Persatuan Penyembuhan Luka Sedunia 2026 menerusi bidaan yang diadakan di Abu Dhabi pada Mac lepas.

    “Ini adalah pengiktirafan dan penghormatan besar kepada Malaysia apabila kita (Malaysia) dilihat sebagai antara negara peneraju dalam bidang penjagaan luka,” katanya.

    Mengenai perkhidmatan rawatan dan penjagaan luka, Khairy berkata KKM akan menambah baik perkhimatan tersebut dalam tempoh lima tahun akan datang bagi membolehkan setiap pesakit menerima rawatan sepatutnya termasuk individu yang terlantar di rumah.

    “Untuk lima tahun akan datang, lebih banyak tumpuan akan diberikan terhadap perkhidmatan kesihatan khususnya di peringkat komuniti,” katanya dan menambah kerajaan memperuntukkan RM5 juta setiap tahun kepada fasiliti kesihatan kerajaan bagi memenuhi keperluan rawatan penjagaan luka.