Author: Bernama

  • Didakwa hina Sultan Johor, penganggur mengaku tak salah

    Didakwa hina Sultan Johor, penganggur mengaku tak salah

    SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan membuat komunikasi jelik menghina Sultan Johor dan keluarga diraja Johor, dua tahun lepas.

    Mengikut kedua-dua tuduhan, Reymi Abdul Rahim, 43, didakwa secara sedar membuat komunikasi jelik terhadap Sultan Johor dan keluarga diraja Johor menerusi akaun Twitter miliknya dengan niat menyakiti hati orang lain.

    Kedua-dua hantaran itu dibaca oleh seorang pengguna akaun Twitter pada 12 tengah hari, 8 Okt 2021 di sebuah pejabat di Kota Southkey, Johor Bahru.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu, selepas sabitan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S. Thiviya menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua tuduhan terhadap Reymi.

    Peguam yang mewakili tertuduh, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nurhazneena Zureen Mohamad Hanafiah, memohon agar jaminan dikurangkan kerana tertuduh tidak bekerja dan masih menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail kerana mempunyai skizofrenia dengan kemurungan.

    Hakim V.M. Mabel Sheela menetapkan wang jaminan RM4,500 untuk kedua-dua tuduhan dengan seorang penjamin, serta mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

    Kes akan disebut semula pada 21 Ogos ini untuk serahan dokumen.

  • Bekas ketua risik ESSCom didakwa subahat bunuh pemandu e-hailing

    Bekas ketua risik ESSCom didakwa subahat bunuh pemandu e-hailing

    MAHKAMAH Majistret di Tawau memindahkan kes bekas ketua perisikan ESSCom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) Mat Zaki Md Zain dan tujuh lain, yang didakwa membunuh seorang pemandu e-hailing, ke Mahkamah Tinggi di Tawau.

    Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Suhaila Selag memindahkan kes Mat Zaki, 58, bersama enam pegawai serta anggota polis dan seorang orang awam itu, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad dan Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim.

    Terdahulu, pendakwaan mengemukakan pertuduhan baharu ke atas Mat Zaki.

    Dia didakwa bersubahat dengan John Kennedy untuk membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Baru 5, Tawau antara 7.30 malam hingga 11.30 malam, pada 13 Jan lalu.

    Pertuduhan ke atas Mat Zaki dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minima 30 tahun dan maksimum 40 tahun jika tidak dihukum mati serta hendaklah juga sebat tidak kurang dua belas sebatan, jika sabit kesalahan.

    Enam pegawai dan anggota polis iaitu Rosdi Rastam, 44, Denis Ak Anit, 44, Fabian Ak Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, John Kennedy Sanggah, 44, dan orang awam Vivien Fabian, 34, pula, didakwa atas pertuduhan membunuh Nurman mengikut Seksyen 302.

    Pada 8 Feb lalu, Rosdi, Denis, Fabian, Khairul Azman, Azlan serta Vivien, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman, manakala Mat Zaki didakwa bersubahat dengan enam tertuduh itu membunuh Nurman.

    John Kennedy pula, pada awalnya merupakan saksi kes pendakwaan, namun pada 11 April lepas lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Tawau bagi pertuduhan membunuh bersama enam lelaki itu.

    Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah, berkata kes bunuh itu lebih bersifat peribadi, serta tidak melibatkan isu keselamatan di Sabah.

    Pada 30 Jan lalu, penganggur Nurima Juli, 33, didakwa di Mahkamah Majistret di Tawau atas pertuduhan membunuh bekas suaminya Nurman.

  • Tiada menteri langgar tata kelola, tadbir urus, kata PM

    Tiada menteri langgar tata kelola, tadbir urus, kata PM

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sehingga kini tiada menteri dalam kerajaan perpaduan pimpinannya terlibat dalam amalan yang menyalahi tadbir urus dan tata kelola.

    “Dalam tujuh bulan ini, belum ada kes menteri yang amalkan gelojoh nafsu serakah yang lama untuk menyakau mana-mana kontrak (kerajaan) kerana kita tegas jaga tata kelola ini, elak dari rasuah dan ketirisan,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 warga peneroka Felda sempena Sambutan Hari Peneroka Felda 2023.

    “Kita hadapi masalah ekonomi yang berat, hutang begitu banyak, masalah tak selesai tapi saya yakin sekiranya kita di landasan betul, elak ketirisan, elak tamak haloba, elak nafsu serakah, (elak) ambil kekayaan bukan hak kita, saya yakin Malaysia akan bangkit sebagai negara hebat dan gagah di rantau ini,” katanya.

    Anwar berkata walaupun kerajaan perpaduan dianggotai pelbagai parti seperti PKR, DAP, Umno, Amanah dan Gabungan Parti Sarawak, namun tiada unsur-unsur sabotaj berlaku seperti didakwa sesetengah pihak.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan warga peneroka Felda ketika hadir merasmikan Sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saya dalam PH (Pakatan Harapan), Zahid Hamidi (daripada) Umno, tapi kita ambil keputusan demi Felda, demi kehidupan orang Melayu, dan rakyat Malaysia kita ambil bersama angkat martabat negara ini untuk hebat semula.

    “Bila saya bentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk tolong Felda, disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, disokong Zahid, disokong Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook. Inilah perpaduan yang membawa kebaikan untuk rakyat,” katanya lagi.

    Anwar pada majlis itu menyatakan komitmen kerajaan untuk melupuskan 80 peratus hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

    Beliau turut mengingatkan pengurusan Felda supaya lebih cekap mengurus, tidak mengizinkan sebarang ketirisan, tidak boros dan tidak mengizinkan pelaburan yang merugikan Felda.

    “Jika tidak diurus dengan baik, izinkan pemborosan, amalan melabur ikut suka hati… inilah jadinya sehingga kerajaan terpaksa tanggung hutang sehingga RM8.3 bilion,” katanya.

  • Mayat lelaki warga Indonesia dalam but kereta, tujuh lagi ditahan

    Mayat lelaki warga Indonesia dalam but kereta, tujuh lagi ditahan

    POLIS menahan tujuh lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki warga Indonesia, dalam keadaan berbungkus dengan plastik hitam dan terikat dalam but sebuah kereta di tepi jalan berhampiran Taman Sri Orkid, Seksyen 30, di Shah Alam pada Selasa.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Ramsay Anak Embol berkata kesemua suspek yang ditahan merupakan lelaki warga Indonesia, dan kini direman tujuh hari bermula hari ini.

    Sebelum ini Bernama melaporkan, polis menahan empat suspek termasuk seorang wanita warga Indonesia bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat tersebut.

    Kesemua suspek direman sehingga 10 Julai itu, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selain motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa cemburu.

    Polis menerima laporan berhubung penemuan mayat itu, selepas orang awam yang melalui kawasan berkenaan tercium bau busuk daripada sebuah kereta Honda City berwarna hitam, yang dikatakan berada di lokasi itu selama beberapa hari. 

  • Reman Ketua Polis Daerah: Mahkamah Tinggi tolak semakan SPRM

    Reman Ketua Polis Daerah: Mahkamah Tinggi tolak semakan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini gagal untuk menyemak keputusan Mahkamah Majistret di Kuantan yang menolak permohonannya mendapatkan perintah reman terhadap seorang Ketua Polis Daerah (KPD) bagi membantu siasatan dakwaan rasuah lebih RM1 juta.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zainal Azman Ab Aziz yang menolak permohonan semakan SPRM itu berkata tiada keperluan untuknya mengganggu keputusan tersebut kerana Majistret tidak terkhilaf, membuat keputusan yang betul dan wajar.

    Beliau berkata keputusan Majistret yang bersandarkan kepada keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh yang memutuskan bahawa Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) tidak terpakai untuk permohonan reman bagi kesalahan yang disiasat di bawah Akta SPRM 2009 juga adalah betul kerana ia merupakan ‘keputusan terkini’.

    Pada 11 Mei lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Temerloh Roslan Mat Nor memutuskan SPRM perlu menggunakan aktanya sendiri dan tidak bergantung kepada KTJ kerana Seksyen 49 Akta SPRM 2009 memberi kuasa kepada SPRM untuk membenarkan jaminan ditunda supaya penyiasatan dapat diteruskan selepas 24 jam pertama penahanan.

    “Keputusan mahkamah atas adalah mengikat mahkamah bawahan, seperti jika Mahkamah Persekutuan membuat keputusan, ia perlu diikut oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi dan begitu juga keputusan Mahkamah Tinggi perlu diikut oleh mahkamah di bawahnya.

    “Bagi saya ia akan salah jika ada satu kes diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan sebaliknya Majistret memutuskan untuk menggunakan kes di Temerloh kerana jika terdapat dua keputusan berbeza, keputusan Mahkamah Tinggi di Kuantan adalah lebih mengikat tetapi dalam kes ini, tiada (keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan),“ kata Zainal Azman pada penghakiman ringkasnya hari ini.

    Pada 7 Jun lepas, Mahkamah Majistret menolak permohonan SPRM bagi mendapatkan perintah reman terhadap KPD berusia 53 tahun itu yang ditahan sehari sebelumnya, bagi membantu siasatan dakwaan meminta dan menerima rasuah mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang dikatakan berlaku dalam tempoh lima tahun bermula 2017.

    Suapan itu didakwa diterima secara bulanan antara RM20,000 hingga RM50,000 daripada pengusaha pusat hiburan dan pusat refleksologi dalam daerah dia bertugas sebagai balasan untuk melindungi kegiatan perniagaan mereka daripada gangguan pihak polis.

    Keputusan itu menyebabkan SPRM memfailkan permohonan semakan pada 21 Jun lepas dengan menamakan KPD itu sebagai responden.

    SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala peguam Datuk Bob S Arumugam mewakili KPD itu.

  • Buat hantaran sentuh sensitiviti kaum, pemilik Crackhouse didenda RM8,000

    Buat hantaran sentuh sensitiviti kaum, pemilik Crackhouse didenda RM8,000

    PEMILIK elab komedi Crackhouse Mohamad Rizal Johan Van Geyzel didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur kerana membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum melalui aplikasi Facebook, tahun lalu.

    Hakim N Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Rizal, 40, selaku orang kena saman (OKS) selepas Timbalan Pendakwa Raya Nurul’Ain Abu Bakar memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara telah menerima representasi ketiga difailkan Mohamad Rizal, pada 7 Jun lalu.

    “Hari ini ditetapkan untuk sebutan bagi keputusan representasi dan pihak pendakwaan bersetuju menerima representasi untuk OKS mengaku bersalah bagi pertuduhan pertama dihadapinya.

    “Bagaimanapun, dua lagi pertuduhan dihadapi Mohamad Rizal sebelum ini dipertimbangkan sebagai ‘take into consideration’ (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah,” kata Nurul’Ain.

    Rizal, berkemeja putih kemudian menukar pengakuan kepada bersalah bagi pertuduhan pertama dihadapinya dan mahkamah turut memerintahkan dia dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda berkenaan.

    Bagi pertuduhan pertama, Rizal didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil “Rizal van Geyzel”, pada 4 Julai 2022.

    Hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ di Kuala LUmpur, pada 1.17 tengah hari, 13 Julai tahun lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.

    Dia juga berdepan dua lagi pertuduhan membabitkan penghantaran komunikasi jelik di laman media sosial iaitu Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’ pada 5 dan 6 Julai 2022 dan hantaran itu dibaca pada tempat, masa, dan tarikh sama, mengikut seksyen serupa.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman memohon hukuman denda berat dan bersifat literal, mengambil kira kesalahan dilakukan OKS serius sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat yang mengganggu keharmonian negara.

    “Pengakuan salah OKS bukan bersifat automatik untuk dia mendapatkan hukuman rendah kerana hukuman yang dijatuhi mahkamah ini akan memberi pengajaran bukan sahaja kepada OKS tetapi kepada masyarakat umum supaya tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.

    Peguam M. Pravin yang mewakili Rizal pula, memohon hukuman denda yang rendah atas alasan anak guamnya menanggung tiga anak termasuk seorang anak kurang upaya (OKU).

    “OKS mempunyai bapa berusia 74 tahun menghidap penyakit jantung kronik selain perlu menanggung kos rawatan bapanya. Selepas kejadian ini, OKS telah hilang sumber pendapatan utamanya sebagai ‘stand up comedy’ (komediri) kerana banyak penganjur telah membatalkan penglibatan OKS dalam program mereka.

    “OKS kini telah bercerai dengan isterinya dan menjaga tiga anak masing-masing berusia lingkungan tiga tahun hingga 11 tahun. Dia telah menyesal dan bertaubat dengan kesalahan yang dilakukannya selain tiada niat menyakitkan hati orang lain,” kata peguam itu.

  • Belasah anak kekasih usia 3 tahun sampai pecah tengkorak, maut

    Belasah anak kekasih usia 3 tahun sampai pecah tengkorak, maut

    SEORANG wanita dan teman lelakinya direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kematian anak lelakinya yang berusia tiga tahun, semalam.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, wanita berusia 24 tahun dan lelaki berusia 25 tahun itu, ditahan pada 8 malam tadi di Hospital Melaka.

    Beliau berkata, kanak-kanak itu dibawa oleh wanita berkenaan dan teman lelakinya ke hospital tersebut kira-kira 6.50 pagi semalam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    “Sebaik tiba di hospital, kanak-kanak itu diberikan bantuan pernafasan selama satu jam 10 minit, namun mangsa tidak memberi sebarang respons sebelum disahkan meninggal dunia pada 9.15 pagi semalam.

    “Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka kira-kira 10.30 pagi dan pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat kesan cedera di bahagian kepala serta badan mangsa. Punca kematian disebabkan kecederaan di kepala dan bahagian perut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian itu, ibu mangsa telah membawa kanak-kanak berkenaan yang mengalami muntah-muntah untuk berubat di rumah teman lelakinya di Cheng, di sini kira-kira 5.30 pagi semalam.

    Katanya, bagaimanapun tidak sampai satu jam kemudian, ibu mangsa telah dihubungi teman lelakinya memaklumkan kanak-kanak tersebut telah terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum pasangan itu membawa mangsa ke Hospital Melaka.

    Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

    Christopher turut menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar supaya tidak mengganggu siasatan selain dikhuatiri menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

  • Pas jangka senarai calon dimuktamad dalam tempoh satu atau dua minggu

    Pas jangka senarai calon dimuktamad dalam tempoh satu atau dua minggu

    PAS menjangkakan senarai akhir calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti, dimuktamadkan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

    Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Majlis Syura Ulama Pas akan mengadakan mesyuarat minggu ini bagi membuat tapisan terakhir senarai calon yang sudah diperolehi daripada enam negeri terlibat PRN nanti.

    Beliau berkata Majlis Syura Ulama Pas akan meneliti senarai calon dari segi kelayakan syarie seperti bukan pelaku dosa besar, bukan merosakkan nama parti, dan memastikan mereka adalah ‘orang yang mampu melaksanakan tanggungjawab dan amanah kalau ditakdirkan dipilih’.

    “Kita minta setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) hantar sekurang-kurangnya dua nama, tetapi ada yang hantar tiga, empat malah lima nama,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Mega Pakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) Parlimen Kubang Kerian, di Kota Bharu malam tadi.

    Mengulas lanjut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata senarai calon yang melepasi tapisan berkenaan kemudiannya akan dihantar ke Jawatankuasa Pas Pusat sebelum dipanjangkan kepada Presiden parti dan pimpinan Pas negeri untuk keputusan akhir.

    Sementara itu beliau turut menolak satu maklumat ditularkan media sosial mengenai senarai yang dikatakan calon Pas pada PRN nanti, dan menegaskan bahawa ia adalah maklumat palsu.

  • Pasangan suami isteri cedera disimbah asid

    Pasangan suami isteri cedera disimbah asid

    SEPASANG suami isteri cedera manakala anak lelaki mereka terselamat apabila disimbah asid oleh seorang wanita semasa memasuki lif di sebuah pangsapuri di Batu Caves, Gombak, Kuala Lumpur, kelmarin.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan pukul 3.10 pagi, selepas insiden itu berlaku pada pukul 1.27 pagi.

    Katanya, mangsa adalah seorang wanita tempatan berusia 60 tahun dan suaminya warganegara asing berusia 37 tahun dan anak lelaki mereka berusia 14 tahun.

    Menurutnya, suspek wanita bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke arah kedua-dua mangsa dari luar lif sebelum melarikan diri.

    “Mangsa telah meminta bantuan orang awam untuk menghantar ke Hospital Selayang bagi menerima rawatan selepas cedera di beberapa bahagian badan dan telah dibenarkan pulang manakala anaknya tidak mengalami kecederaan,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kejadian itu yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) turut tular selepas dikongsi di media sosial.

    Noor Ariffin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan pihaknya kini sedang mengesan suspek berkenaan.

    Beliau turut meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Mohd Nizar Adnan di talian 013-9661892 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03- 61262222.

  • Didenda, penalti lebih RM2.4 juta gagal kemuka penyata pendapatan

    Didenda, penalti lebih RM2.4 juta gagal kemuka penyata pendapatan

    SEORANG pengarah syarikat kitar semula didenda RM18,000 selain dikenakan penalti RM2,437,433 oleh Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini atas kegagalan mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2021 sehingga 2022, membabitkan cukai pendapatan bernilai lebih RM3.3 juta.

    Majistret Nurzihan Abdul Rehman menjatuhkan hukuman itu terhadap Wong Siew Lian, 49, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan wanita itu dipenjara 12 bulan, jika gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan, Siew Lian dikehendaki bawah Seksyen 77A (1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan suatu penyata pendapatan dalam borang C bagi tahun taksiran 2021 hingga 2022 mengenai pendapatan berkenaan kepada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Siew Lian didapati gagal mengemukakan penyata tersebut yang mempunyai pendapatan bercukai sebanyak RM1,827,149 juta bagi cukai taksiran 2021 dan RM1,558,176 juta bagi 2022, iaitu dia sepatutnya membayar cukai sebanyak RM438,515.76 bagi 2021 dan RM373,962.24 (2022).

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya dan hendaklah membayar penalti khas tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan, jika didapati bersalah.

    Terdahulu, ibu kepada lima anak itu yang tidak diwakili peguam, merayu denda yang minimum kerana masih menanggung anak yang masih bersekolah, ibu dan ibu mentua yang uzur selain telah membayar cukai pendapatan sebanyak RM60,000 (2021) dan RM60,000 (2022).

    Bagaimanapun, pendakwaan yang diwakili Peguam Kanan Hasil LHDN Norhidayah Yasin memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas Siew Lian kerana jumlah cukai yang dibayar Siew Lian iaitu sebanyak RM60,000 (2021) serta RM60,000 (2022) adalah kecil berbanding nilai sepatutnya dibayar sebanyak RM812,478.

    Nurzihan kemudiannya memerintahkan Siew Lian membayar denda sebanyak RM18,000 selain membayar penalti RM2,437,433 kepada LHDN secara ansuran bermula tarikh perintah hari ini (5 Julai 2023).