Author: Bernama

  • Bekas isteri MB Perli tuntut muataah,nafkah RM15.34 juta

    Bekas isteri MB Perli tuntut muataah,nafkah RM15.34 juta

    BEKAS isteri Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man hari ini memfailkan tuntutan mutaah dan nafkah tertunggak berjumlah RM15.34 juta di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam selepas mendakwa diceraikan tanpa sebab, April lalu.

    Menurut kenyataan diperoleh pihak media, Sova Ali, seorang warga Indonesia, menuntut mutaah RM15 juta daripada Azlan, yang juga calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bintong kerana mendakwa telah diceraikan tanpa sebab dan tanpa kebenaran mahkamah.

    Sova turut mengemukakan tuntutan nafkah tertunggak berjumlah RM344,250 atas dakwaan beliau tidak diberikan nafkah semasa dalam tempoh perkahwinan mereka.

    Beliau juga akan memfailkan tuntutan harta sepencarian bagi memperoleh pelbagai aset yang dimiliki dalam tempoh perkahwinan mereka di Selangor, Perlis dan luar negara selain tuntutan nafkah idah yang jumlahnya akan ditentukan kemudian.

    “Kedua-dua kes (tuntutan) ini telah ditetapkan untuk Majlis Sulh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 15 Disember ini,” menurut kenyataan itu.

    Peguam Syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, yang mewakili Sova, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Rashidah Sapingi @ Shafie membenarkan pihaknya menyerahkan saman dan penyata tuntutan di luar Selangor iaitu di Perlis.

    Pada 25 Ogos lalu, pasangan itu disahkan bercerai oleh Hakim Syarie Abdullah Zuhdee Ab Halim dengan talak satu pada prosiding yang berlangsung secara tertutup di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat.

    Abdullah Zuhdee mengesahkan lafaz cerai mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 selepas berpuas hati dengan keterangan kedua-dua pihak berhubung perceraian yang dilafazkan oleh Azlan di Jakarta, Indonesia pada 23 April lalu.

    Azlan, 63, dan Sova, 40, berkahwin pada 21 Mac 2010 di Perlis namun tidak dikurniakan cahaya mata. – BERNAMA

  • PN umum dua lagi calon kerusi DUN Perlis

    PN umum dua lagi calon kerusi DUN Perlis

    PERIKATAN Nasional (PN) Perlis hari ini mengumumkan dua lagi calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekali gus melengkapkan senarai 15 calon, selepas 13 calon diumumkan, malam tadi.

    Pengerusi PN Perlis Mohd Shukri Ramli berkata dua calon tersebut ialah Ahli Jawatankuasa Wanita PN Perlis Datin Marzita Mansor yang akan bertanding di DUN Sena atas tiket Bersatu dan Ketua Pemuda PAS Perlis Asrul Aimran Abd Jalil bagi DUN Kayang.

    Bercakap pada sidang media di Kangar, hari ini, Mohd Shukri berharap segala spekulasi yang timbul, dapat dihentikan dan tumpuan kini bagi memenangi PRU-15.

    “Mudah-mudahan kami dapat terus bergerak untuk memastikan PN dapat menawan negeri Perlis pada PRU-15 ini,” katanya.

    Malam tadi, Mohd Shukri mengumumkan senarai 13 calon PN bagi DUN Perlis dengan lapan akan ditandingi calon PAS dan lima daripada Bersatu. Perlis mempunyai 15 kerusi DUN.

  • Penamaan calon PRU-15 bermula 9 pagi esok

    Penamaan calon PRU-15 bermula 9 pagi esok

    PENAMAAN calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung esok di seluruh negara melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang (42) dan Perlis (15).

    Turut diadakan serentak adalah penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.

    Tempoh mengemukakan kertas penamaan calon bermula 9 pagi hingga 10 pagi di 222 pusat penamaan calon antaranya terdiri daripada pejabat daerah, dewan orang ramai dan dewan sekolah di seluruh negara.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

    Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula esok selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding dan akan berakhir pada 11.59 malam, 18 Nov.

    Sebelum penggal Parlimen ke-14 dibubarkan pada 10 Okt lepas, komposisi kerusi Dewan Rakyat menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dengan 90 kerusi, Barisan Nasional (43), Bersatu (28), Gabungan Parti Sarawak (19), PAS (17), Warisan (tujuh), Parti Bangsa Malaysia (enam), Parti Pejuang Tanah Air (empat), Bebas (tiga) dan masing-masing satu kerusi bagi parti MUDA, Parti Sarawak Bersatu dan STAR.

    Dua kerusi kosong selepas kematian penyandangnya iaitu Datuk Hasbullah Osman dari BN bagi kerusi Parlimen Gerik, Perak dan Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah.

    Di peringkat DUN, hanya Pahang, Perak dan Perlis yang akan melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing serentak dengan peringkat Parlimen selepas ketiga-tiga negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing.

    Negeri-negeri diterajui PH iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serta yang diterajui PAS iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah tidak membubarkan DUN dan tidak ada pilihan raya peringkat DUN diadakan.

    Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor sebelum ini telah mengadakan PRN masing-masing. PRN Sabah diadakan pada 26 Sept 2020, Melaka (20 Nov 2021), Sarawak (18 Dis 2021) dan Johor (12 Mac 2022).

    PRK DUN Bugaya pula diadakan bersekali dengan PRU15 berikutan kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah pada 17 Nov 2020 dan tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

    Pada 7 Okt lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik dan DUN Bugaya yang diisytiharkan pada November dan Disember 2020, berkuat kuasa 6 Okt lepas.

    Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Okt akan digunakan untuk PRU15. Ia mengandungi seramai 21,173,638 pemilih yang terdiri daripada 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan, 118,794 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

    Pada PRU14, SPR menerima sebanyak 2,333 kertas pencalonan dalam tempoh sejam penamaan calon dengan 687 daripadanya adalah kertas pencalonan bagi 222 kerusi Parlimen dan 1,646 bagi 505 kerusi DUN.

    Parti paling banyak menghantar borang pencalonan untuk kerusi Parlimen ketika itu ialah BN dengan 222, diikuti PKR (191) dan PAS (158). Parti-parti lain menghantar kurang daripada 30 pencalonan.

    Pada PRU14, hanya Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN Rantau, selepas calon PKR, Dr S. Streram tidak dapat mengemukakan kertas pencalonan kerana gagal membawa bersama pas calon untuk memasuki pusat penamaan calon.

    Apa yang pasti, penamaan calon PRU15 esok pastinya ditunggu-tunggu berikutan kemunculan gabungan-gabungan politik baharu yang berkemungkinan besar menyebabkan berlaku pertembungan sekurang-kurangnya tiga hingga empat penjuru di kebanyakan kerusi Parlimen.

  • [VIDEO] Abdul Hadi dakwa ada lagi pemimpin BN akan sertai PN

    [VIDEO] Abdul Hadi dakwa ada lagi pemimpin BN akan sertai PN

    TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa ada lagi pemimpin Barisan Nasional (BN) menyatakan minat untuk bertanding atas tiket PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata permohonan mereka masih dalam proses sebelum diumumkan pada hari penamaan calon Sabtu ini.

    “Tak boleh sebut berapa kerusi. Yang penting ada di utara, ada di tengah, ada di selatan,” katanya dalam sidang media selepas Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU15 di Rusila di sini, malam ini.

    Ditanya mengenai pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang akan mempertahankan kerusia Parlimen Arau atas tiket PN, Abdul Hadi berkata Shahidan telah bersama dengan PAS sejak di Parlimen dan beliau seorang yang berani mengkritik pimpinan UMNO.

    Selain Shahidan, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib juga diumum akan mempertahankan Parlimen Maran sebagai calon PN.

    Shahidan dan Ismail adalah antara menteri dan timbalan menteri Kabinet BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang digugurkan sebagai calon BN pada PRU15.

    Abdul Hadi berkata rundingan di peringkat parti mengenai calon daripada BN yang akan mewakili PN telah dibincangkan di peringkat pimpinan PAS dan PN, serta ia diterima sebulat suara.

    Malah katanya, bakal calon daripada PN yang disenaraikan juga telah menarik diri secara sukarela bagi memberi laluan kepada pemimpin BN tersebut. – BERNAMA

  • [VIDEO] Shahidan, Ismail diumum tanding tiket PN di Arau dan Maran

    [VIDEO] Shahidan, Ismail diumum tanding tiket PN di Arau dan Maran

    MENTERI Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim akan mempertahankan kerusi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas tiket Perikatan Nasional (PN), kata Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang malam ini.

    Abdul Hadi turut mengumumkan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib akan mempertahankan kerusi Parlimen Maran di Pahang, juga atas tiket PN.

    Shahidan dan Ismail telah digugurkan sebagai calon oleh Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kali ini.

    Terdahulu, Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU15, mengumumkan dua bakal calon baharu mewakili PN bagi kerusi Parlimen di negeri itu.

    Mereka adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Dr Alias Razak yang akan bertanding di Parlimen Kuala Nerus dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh di Parlimen Besut.

    Ahmad Samsuri turut mengumumkan lima penyandang daripada PAS bakal mempertahankan kawasan masing-masing termasuk Abdul Hadi yang bertanding semula di Parlimen Marang.

    Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim bakal mempertahankan Parlimen Kuala Nerus; Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu); Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun); dan Che Alias Hamid (Kemaman).

    Selain itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Rosol Wahid disahkan mewakili PN bagi Parlimen Hulu Terengganu.

    Sementara itu, selepas diumumkan sebagai bakal calon PN bagi Parlimen Arau, Shahidan dalam ucapannya berkata beliau membuat keputusan untuk mewakili PN kerana menyifatkan Abdul Hadi memahami dirinya dan mereka tetap bersahabat walau berbeza pendapat.

    “Saya idamkan perpaduan ummah. Saya nak PAS dan UMNO di Arau sokong saya. Biar Muafakat Nasional bermula di Arau. Saya akan gempur Arau habis-habisan. Sekali saya masuk gelanggang saya nak menang,” katanya.

    Berikut senarai calon PN bagi PRU15 di Terengganu:

    P033 Besut – Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh  

    P034 Setiu – Shaharizukirnain Abd Kadir 

    P035 Kuala Nerus –  Datuk Dr Alias Razak 

    P036 Kuala Terengganu – Datuk Ahmad Amzad Hashim

    P037 Marang – Tan Sri Abdul Hadi Awang 

    P038 Hulu Terengganu – Datuk Rosol Wahid 

    P039 Dungun –  Wan Hassan Mohd Ramli 

    P040 Kemaman – Che Alias Hamid 

    — BERNAMA

  • [VIDEO] Imran Khan cedera ditembak dalam cubaan bunuh

    [VIDEO] Imran Khan cedera ditembak dalam cubaan bunuh

    TERDAPAT percubaan untuk membunuh bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan pada Khamis ketika beliau mengetuai perarakan ke arah ibu kota Islamabad, menurut pemimpin partinya.

    “Pengecut melakukan serangan untuk membunuh di Wazirabad (kawasan wilayah Punjab),” kata pemimpin kanan Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) Farrukh Habib yang berkata Imran mengalami kecederaan.

    Rakaman video menunjukkan Imran dibawa dari trak kontena khas yang dinaikinya ke sebuah kereta oleh pasukan keselamatannya.

    Seorang lagi pemimpin parti berkata bekas perdana menteri itu terkena peluru di bahagian kakinya.

    Rakan rapat Imran dan ahli Senat Faisal Javed Khan turut cedera dalam kejadian itu.

    PTI memulakan “perarakan panjang” dari bandar Lahore pada 28 Oktober untuk menuntut pilihan raya umum diadakan lebih awal. Perarakan itu akan mencapai kemuncaknya di Islamabad pada 4 November namun konvoi terbabit bergerak perlahan susulan jumlah besar orang ramai yang menyertainya di sepanjang perjalanan.

    Pemimpin PTI berkata mereka akan menangguhkan ketibaan di Islamabad untuk tempoh beberapa hari. – BERNAMA

  • SPRM siasat ‘akujanji’ sokong Zahid jadi PM

    SPRM siasat ‘akujanji’ sokong Zahid jadi PM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat penyebaran akujanji didakwa ditandatangani calon UMNO untuk menyokong Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon perdana menteri Barisan Nasional (BN).

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dipetik Bernama sebagai berkata, agensi anti-rasuah itu sudah membuka satu kertas siasatan berhubung perkara itu.

    Semalam, setiausaha akhbar Zahid, Fadzlette Othman Merican berkata, akujanji itu palsu.

    Salinan dakwaan akujanji yang tular itu antara lain menyatakan calon bersetuju menyokong Zahid sebagai calon perdana menteri BN.

    Dokumen bocor itu mengandungi tandatangani calon, Zahid dan Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan.

    Zahid menyifatkan dakwaan beliau meminta calon UMNO menyokongnya untuk jawatan tertinggi negara itu sebagai ‘pembohongan’.

    Gambar akujanji yang tular itu memaparkan tandatangan Shamsul Anuar Nasarah, yang dinamakan sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Lenggong semalam.

    Setiausaha politik Shamsul membuat laporan polis berhubung perkara itu hari ini.

    Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dinamakan sebagai calon perdana menteri BN, sekiranya gabungan itu memenangi PRU15.

    Pada 16 Okt lalu, Zahid dilaporkan berkata, keputusan mencalonkan naib presiden Umno itu bagi jawatan berkenaan muktamad.

  • Pendapatan rendah faktor Selangor terendah Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021-Rina

    Pendapatan rendah faktor Selangor terendah Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021-Rina

    PENDAPATAN rendah dan isu ekonomi antara faktor utama menjadikan Selangor berada pada kedudukan terendah dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ini berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang merekodkan indeks kebahagiaan di Selangor iaitu 5.74 peratus berbanding indeks nasional 6.48 peratus.

    “Indeks paling tinggi direkodkan di Labuan iaitu 9.29 peratus diikuti Kuala Lumpur, Putrajaya, Terengganu dan Selangor paling bawah. Apa yang paling rendah kalau ikut komponennya adalah pendapatan dan ekonomi.

    “Sebab itulah hari ini kita bawakan program KASIH@SMILE di kawasan komuniti Putra Perdana, Puchong bagi memberi pendedahan dan pengalaman kepada usahawan kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), selain program sokongan lain seperti Wanita Bangkit yang menawarkan peluang pekerjaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program KASIH@SMILE di Dewan Komuniti Putra Perdana, Puchong hari ini.

    Rina berkata usaha mempertahankan keutuhan institusi keluarga serta mengekalkan tahap kesejahteraan keluarga merupakan tanggungjawab bersama semua pihak sama ada agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan mahupun setiap individu dalam keluarga.

    Pada majlis itu, Rina turut menyumbangkan 1,000 topi keledar kepada kanak-kanak yang memerlukan di komuniti itu.

    Program KASIH@SMILE diadakan sempena Bulan Keluarga Malaysia yang disambut pada November bertemakan ‘Kasih Keluarga Malaysia’.

    Pelbagai aktiviti disusun seperti bual bicara yang menampilkan personaliti dan pakar kekeluargaan; pameran dan perkhidmatan di bawah KPWKM; program e-sukan dan aktiviti sukan indoor; serta program kerohanian Maulid Akhbar yang akan dikendalikan oleh kumpulan nasyid terkenal tanah air.

  • Lelaki ditahan disyaki belasah ibu kerana tidak kemas rumah

    Lelaki ditahan disyaki belasah ibu kerana tidak kemas rumah

    POLIS menahan seorang remaja lelaki yang disyaki membelasah ibunya kerana tidak mengemaskan rumah mereka di Kampung Lindungan Sungai Way, Petaling Jaya, dekat sini, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata wanita berusia 44 tahun itu cedera di bahagian muka dan badan.

    Beliau berkata semasa kejadian suspek yang berusia 19 tahun dikatakan bertindak mengunci pintu hadapan dan membaling barang perhiasan rumah ke arah mangsa.

    “Suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau itu turut bertindak menumbuk mangsa di bahagian muka dan memijak dada sebelah kiri.

    Bertindak atas laporan dibuat ibunya pada Isnin lepas, polis menahan remaja itu pada 7.30 malam dan kini direman sehingga Sabtu (5 Nov) ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi malam ini.

    Mohamad Fakhruddin berkata suspek didapati negatif dadah dan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau objek merbahaya.

    Beliau turut mengesahkan kejadian berkenaan bukan kali pertama dan pihaknya sedang menyiasat sama ada suspek mempunyai masalah mental atau sebaliknya. – BERNAMA

    Mohamad Fakhruddin, polis, remaja, ibu

  • Harga minyak masak 5KG turun RM30.90 bermula Selasa

    Harga minyak masak 5KG turun RM30.90 bermula Selasa

    HARGA minyak masak kemasan botol lima kilogram (kg) turun 60 sen kepada RM30.90 berbanding RM31.50 berkuat kuasa dari 8 Nov hingga 7 Dis ini, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    KPDNHEP dalam kenyataan hari ini menyebut harga minyak masak kemasan botol tiga kg turun kepada RM19.60 daripada RM19.90, botol dua kg (RM13.30 daripada RM13.50) dan botol satu kg (RM6.90 daripada RM7.10).

    KPDNHEP memaklumkan harga baharu itu ditetapkan selepas kerajaan meneruskan kawalan harga minyak masak sawit botol yang dilaksanakan sejak 8 Ogos lepas. 

    “Kawalan harga ini dilaksanakan mengikut kaedah harga siling bergerak berdasarkan purata harga minyak sawit mentah dunia,” menurut kenyataan itu.

    KPDNHEP menyebut mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

    “KPDNHEP menggalakkan pengguna menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang membabitkan harga runcit minyak masak sawit tulen di pasaran,” katanya. – BERNAMA