Author: Bernama

  • Lebih 400 km paip uzur di Kelantan sedang dibaik pulih – Tuan Ibrahim

    Lebih 400 km paip uzur di Kelantan sedang dibaik pulih – Tuan Ibrahim

    KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang membaik pulih paip uzur sepanjang lebih 400 kilometer (km) di seluruh Kelantan dengan peruntukan berjumlah RM218 juta, kata Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 106.2 km paip uzur jenis simen asbestos (AC) telah digantikan secara berperingkat.

    “Jumlah keseluruhan penggantian paip uzur AC di Kelantan dianggarkan sepanjang 4,491 km yang mana penggunaannya boleh menjangkau 35 hingga 40 tahun, jadi paip air di Kelantan telah mencecah lebih 40 tahun.

    Oleh itu, kita ketika ini sedang menggantikan paip uzur di beberapa kawasan bagi memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan kepada rakyat Kelantan,” katanya pada sidang media harian Perikatan Nasional, di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata terdapat empat Loji Rawatan Air (LRA) yang dibina di Kelantan telah mula beroperasi dengan kapasiti sebanyak 44 juta liter sehari. 

    “Antara Pembinaan LRA  yang mula beroperasi adalah Kampung Teluk, Kota Bharu berkapasiti 30 juta liter sehari, LRA Mini Telok Mesira, Bachok berkapasiti dua juta liter sehari. 

    Apabila semua LRA baharu beroperasi dengan kapasiti penuh, kadar liputan bekalan air di Kelantan dijangka dapat ditingkatkan daripada 73.1 peratus kepada lebih 80 peratus,” katanya.

    Beliau berkata KASA turut akan membina empat lagi LRA baharu di Kelantan yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM664.8 juta.

    Empat LRA baharu tersebut adalah Chicha Fasa 2, Tanjung Mas, Bukit Chupak dan Tok Bali. – BERNAMA

  • GPS sedia kerjasama dengan mana-mana gabungan bentuk kerajaan stabil – Nanta

    GPS sedia kerjasama dengan mana-mana gabungan bentuk kerajaan stabil – Nanta

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) berhasrat menjalinkan kerjasama dengan mana-mana gabungan yang berupaya membentuk kerajaan Persekutuan yang stabil dan memberikan manfaat kepada rakyat, kata Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Beliau berkata GPS sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan enggan berdepan terlalu banyak ketidaktentuan seperti mempunyai beberapa perdana menteri dalam satu penggal seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    “Sejak dahulu lagi, misi kami adalah untuk memastikan Malaysia ditadbir oleh kerajaan semasa yang stabil dan boleh menumpukan kepada pemulihan ekonomi selain mengambil kira segala aspek demi kebaikan rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan bangunan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Sarawak di sini hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis bahawa  Barisan Nasional (BN) memerlukan bantuan daripada rakan BN Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang stabil meskipun beliau yakin BN mampu menguasai lebih 112 kerusi Parlimen pada PRU15.

    “(Selepas pilihan raya) kita akan bertemu (untuk berbincang sebarang tawaran kerjasama antara gabungan) kerana apa yang lebih penting adalah sesiapa sahaja yang kita bekerjasama, kita mesti yakin bahawa kerjasama itu akan bermanfaat kepada negara. Sudah tentu kita mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan,” kata Nanta. – BERNAMA

  • Ahmad Zahid tarik balik rayuan dapatkan rakaman percakapan saksi daripada SPRM

    Ahmad Zahid tarik balik rayuan dapatkan rakaman percakapan saksi daripada SPRM

    BEKAS Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik rayuannya untuk mendapatkan rakaman percakapan beberapa saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

    Pada 9 Mei lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan rakaman percakapan saksi kerana saksi boleh terdedah kepada intimidasi sebagai contoh diugut agar memberikan keterangan berbeza daripada yang terdapat dalam rakaman kenyataan.

    Ahmad Zahid kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada bulan sama. Notis pemberhentian rayuan itu telah difailkan di Mahkamah Rayuan semalam.

    Seorang peguam yang mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

    Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pendengaran itu yang sepatutnya berlangsung 14 Nov ini telah dilapangkan.

    Setakat ini pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid pada perbicaraan kes bela dirinya yang bermula 13 April lepas.

    Perbicaraan kes itu bersambung 16 Jan tahun depan.

    Ahmad Zahid, 69, menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.

  • Persaingan sengit antara guru dengan bekas pelajar di Hulu Terengganu

    Persaingan sengit antara guru dengan bekas pelajar di Hulu Terengganu

    PERSAINGAN sengit bagi memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada pentas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini akan menyaksikan pola pengundian lebih 87,971 pengundinya sama ada berorientasikan calon ataupun kepartian.

    Umum mengetahui, penyandang kerusi Parlimen itu Datuk Rosol Wahid pada pilihan raya kali ini bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), sedangkan pada PRU lepas beliau memenangi kerusi yang dianggap ‘kubu kuat’ Barisan Nasional (BN) itu atas tiket gabungan berkenaan.

    Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dilihat menerima tentangan hebat daripada bekas anak muridnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong Datuk Rozi Mamat yang mewakili BN, dan kedua-dua mereka pernah berjuang di atas pentas yang sama ketika Rosol masih bersama UMNO.

    Menjadi satu-satunya wakil daripada Bersatu di Terengganu yang akan ‘membawa’ logo PAS di medan PRU15, Rosol mengakui perkara itu bukan tugas mudah, namun bekas guru itu bersyukur kerana mempunyai barisan jentera termasuk daripada PAS yang akan membantu memastikan kemenangannya.

    “Soal kebajikan rakyat dan agenda pembangunan yang dapat meningkatkan ekonomi setempat antara yang akan terus saya fokus jika diberi mandat pada PRU15 nanti, insya-Allah,” kata Rosol kepada Bernama.

    Jawatan sebagai timbalan menteri juga telah membuka ruang kepada Rosol untuk membantu penduduk setempat terutama dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang melalui program-program termasuk Gerobok Prihatin di masjid sekitar Hulu Terengganu dan pelbagai program jualan murah.

    Rosol memulakan langkah dalam dunia politik sebagai ADUN Ajil pada 1999 sehingga berjaya menjadi Ahli Parlimen Hulu Terengganu pada PRU14 dengan kemenangan majoriti 2,868 menewaskan calon PAS dan PKR.

    Dalam pada itu, walaupun PRU15 ialah pengalaman pertama Rozi bertanding di peringkat Parlimen, beliau tidak boleh dianggap sebagai lawan yang mudah ditundukkan kerana telah empat penggal dipilih sebagai ADUN Telemong sejak 2004, dan sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, serta Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri.

    Rozi turut mempunyai pengaruh kuat di Hulu Terengganu dan pastinya beliau mempunyai strategi untuk merampas semula kerusi yang pada awalnya milik BN itu, termasuk akan berusaha bersemuka dengan seramai mungkin pengundi di kawasan itu.

    Selain berhasrat memperkasakan infrastruktur pendidikan di Hulu Terengganu bagi melahirkan lebih ramai golongan cerdik pandai dari daerah itu, Rozi juga bercita-cita untuk memperkasakan infrastruktur pelancongan terutama di Tasik Kenyir jika diberi mandat sebagai Ahli Parlimen.

    “Selain mengikuti manifesto BN di peringkat pusat, dalam konteks UMNO dan BN di Hulu Terengganu ini, saya ingin Tasik Kenyir bukan sahaja terkenal dalam kalangan pelancong domestik malah juga pelancong antarabangsa. Selain itu, lokasi lain seperti Kampung Belukar Bukit yang terkenal dengan flora dan fauna serta air terjun juga boleh diketengahkan kerana ia secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi penduduk,” katanya.

    Meskipun Rosol dan Rozi sering dianggap sebagai calon pilihan, dua lagi pencabar iaitu calon parti Pejuang Mohd Khadri Abdullah dan calon Pakatan Harapan (PH) Alias Ismail tidak boleh dipandang sepi kerana kedua-duanya turut mempunyai misi untuk pengundi di Hulu Terengganu.

    Alias yang juga bekas guru memberitahu Bernama, antara isu yang akan diketengahkan beliau ialah nasib golongan petani di Hulu Terengganu yang menghadapi pelbagai masalah termasuk serangan binatang liar dan tanah yang tidak subur.

    “Saya dapati serangan binatang liar di kebun-kebun di daerah ini seperti tidak diberi perhatian sepenuhnya. Ada yang tanaman sudah mula berbuah tetapi dirosakkan binatang liar seperti gajah dan babi. 

    “Begitu juga ada kawasan yang tanah tidak subur jadi kita perlu membimbing petani mengenai cara penanaman yang berkesan. Ilmu pengetahuan ialah kunci kepada kemajuan dan peningkatan taraf hidup, bukan hanya bantuan seperti kewangan yang bersifat sementara,” katanya.

    Bagi Mohd Khadri pula, walaupun dilabel sebagai calon tidak popular dan agak sukar mengatasi pesaingnya terutama Rosol dan Rozi, beliau tetap bersemangat berkempen terutama menerusi media sosial yang dirasakannya lebih efektif pada masa kini.

    Beliau juga percaya sebarang situasi boleh berlaku pada PRU15 termasuk keputusan pengundian pada 19 Nov ini yang tidak mustahil akan berpihak kepadanya.- BERNAMA

  • PRU-15: Semua calon PN bebas rasuah – Azmin

    PRU-15: Semua calon PN bebas rasuah – Azmin

    Semua calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya umum ke-15 (PRU15) adalah bebas daripada amalan rasuah, kata Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Penyandang kerusi Parlimen Gombak itu berkata rakyat harus bijak memilih calon  supaya PN dapat membentuk kerajaan yang bersih, stabil dan bebas rasuah.

    “Calon-calon PN bersih daripada amalan rasuah dan tiada kes mahkamah melibatkan rasuah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Rakyat PN di Teluk Kumbar, di sini, hari ini.

    Hadir sama Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff dan calon PN kerusi Parlimen Balik Pulau,  Mohd Harris Idaham Mohd Rashid.

    Sebaliknya, Azmin berkata beberapa calon daripada parti lain masih mempunyai kes yang sedang dibicarakan di mahkamah.

    Menurutnya, mereka sepatutnya memberi laluan kepada tokoh-tokoh baharu sementara kes dibicarakan di mahkamah.

    Pada PRU15, 19 Nov ini, PN meletakkan wakil di kesemua 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang. – BERNAMA

  • Lapor SPRM jika ada maklumat, bukti sogokan undi pos di Bera – SPR

    Lapor SPRM jika ada maklumat, bukti sogokan undi pos di Bera – SPR

    INDIVIDU yang mempunyai maklumat atau bukti berlakunya perbuatan sogokan atau rasuah ketika proses pengundian pos di Parlimen Bera, Pahang supaya melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini sebagai maklum balas terhadap dakwaan perbuatan sogokan atau rasuah semasa proses pengundian pos di Parlimen Bera.

    Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, dilaporkan mendakwa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Anwar turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

    Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dakwaan tersebut sebagai fitnah serta tuduhan jahat kepada pasukan keselamatan itu.

    Ismail berkata dakwaan itu juga mencemarkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menghina anggota tentera bukan hanya di Bera, malah di seluruh negara yang selama ini berkhidmat mempertahankan negara serta dihormati masyarakat.

  • JPS keluar notis risiko banjir di 6 negeri

    JPS keluar notis risiko banjir di 6 negeri

    JABATAN Pengaliran dan Saliran Malaysia (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan yang meramalkan kemungkinan banjir di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pahang dan Sarawak jika hujan lebat berterusan.

    JPS, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan kawasan yang mungkin terjejas di Pulau Pinang adalah  di kawasan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

    Seberang Perai Utara:

    *  Kampung Merbau Kudung

    * Taman Desa Murni

    *, Kampung Nyiur Sebatang

    * Sekolah Rendah jenis Kebangsaan Tamil (SRJK(T) Mak Mandin

    * Sekolah Kebangsaan Mak Mandin; Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Mandin

    * Kampung Tok Jawa; Kampung Baru; Kampung Labuh Banting; Kampung Telok

    * Kampung Alor Merah; Kampung Manggis, Kampung Maklom; Kampung Lahar Yooi

    Seberang Perai Tengah:

    * Kampung Labuh Banting; Kampung Kota; Kampung Kubu; Kampung Guar Jering

    * Kampung Terus; Kampung Pertama; Kampung Kubang Semang; Taman Siakap

    * Taman Makok; Taman Tembikai (Taman Mutiara); Taman Sri Rambai; Taman Belimbing

    * Taman Janggus; Kampung Permatang Rawa; Taman Guru; Kampung Tanah Liat;

    * Kampung Permatang Ara; Kampung Baru Alma; Kampung Alma; Taman Alma

    * Taman Permai Jaya; Kampung Kijang; Taman Nangka; Kampung Kebun Sireh

    * Kampung Siam; Taman Binjai; Kampung Kebun Nenas; Jalan Tembikai

    * Taman Cempedak; Taman Mangga; Kampung Juru; Taman Pinang; Taman Sentul

    * Taman Sentul Jaya; Kampung Tok Panjang; Kampung Tok Subuh; Taman Sukun

    * Taman Amra; Taman Murni; Kampung Sungai Permatang Rawa; Taman Desa Damai

    Seberang Perai Selatan:

    *Kampung Masjid

    Timur Laut Pulau Pinang – George Town dan sekitar

    Lembah Klang:

    Petaling

    * Kampung Tengah A; Kampung Kuala Sungai Baru; Kampung Bersatu Batu 13

    *Kampung Melayu Subang; TTDI Jaya; Kampung Aman Bestari; Kampung Sri Aman Berkat

    *Kampung Bukit Lanchong; KTM Batu 3; Seksyen 13 Shah Alam; Kampung Kenangan Puchong

    * Taman Mesra, Shah Alam, Seksyen 13 Shah Alam;  Lebuhraya BESRAYA

    * Kompleks Jabatan Pertanian Serdang; Sri Kembangan

    Klang

    *Kampung Delek; Jalan Kebun Nenas; Kampung Jawa; Taman Melawis; Teluk Pulai

    *Taman Petaling; Taman Sentosa; Taman Saujana; Taman Rashna; Kampung Bukit Naga

    * Batu 8; Jalan Bukit Kemuning; Pandamaran dan sekitar.

    Kuala Lumpur:

    * Bulatan Dato Onn – Bank Rakyat; Jalan Chow Sow Lin; Pekan Salak Selatan

    * Razak Mansion; Jalan Loke Yew; Jalan Raja Chulan; Jalan Sultan Ismail; Jalan Pudu

    *Jalan Tun Perak; Masjid Jamek; Universiti Malaya; Kampung Pantai Dalam

    *Jalan Dang Wangi; Jalan Maarof; Jalan Kia Peng; Jalan Leboh Pasar dan sekitar

    Kuantan (Pahang)

    *Kampung Cherating; Taman Balok Damai dan sekitar

    Temerloh:

    *Kampung Pangkalan Manggis; Kampung Loyang, pusat bandar Temerloh dan sekitar

    Sarawak:

    *Pusat bandaraya Kuching dan sekitar

    *Samarahan – *Kampung Ensika; Kampung Sekitong: Kampung Lubok Manta; Pekan Sebuyau.

    Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa. – BERNAMA

  • Suami isteri didakwa terbabit pengubahan wang haram RM6 juta

    Suami isteri didakwa terbabit pengubahan wang haram RM6 juta

    SEPASANG suami isteri didakwa di dua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini, masing-masing atas lima pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram berjumlah RM6 juta, dua tahun lalu.

    Tan Soon Hin dan isterinya, Teh An See, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid dan Hakim Kamarudin Kamsun.

    Soon Hin, 43, didakwa melibatkan diri secara tidak langsung dalam transaksi wang berjumlah RM6,079,922.75 didepositkan ke dalam akaun semasa milik Miracle Fortune Trends Enterprise di Maybank Islamic Berhad, dua akaun simpanan dan semasa milik isterinya di Malayan Banking Berhad dan Hong Leong Bank Berhad serta dua akaun semasa milik Fickle Sdn Bhd di Public Bank Berhad.

    Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, An See, 47, sebagai pemilik tunggal dan pengawal kepada Miracle Fortune dan pengarah Fickle menerima wang berjumlah RM3,753,805.28, melalui akaun semasa milik Miracle Fortune di Maybank Islamic Berhad dan dua akaun semasa milik Fickle di Public Bank Berhad.

    Bagi pertuduhan keempat dan kelima, wanita itu didakwa menerima wang berjumlah RM2,326,117.47 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di akaun simpanan miliknya di Malayan Banking Berhad dan akaun semasa miliknya di Hong Leong Bank Berhad.

    Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic cawangan Queensbay Mall, Bayan Lepas di Pulau Pinang; di Maybank cawangan Sunway Giza, Petaling Jaya; di Hong Leong Bank cawangan Pulau Tikus di Pulau Pinang dan di Public Bank cawangan Relau di Pulau Pinang, antara 7 Januari 2020 hingga 11 November 2021.

    Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut perenggan 4(1)(a) dan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti 2001.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun, dan boleh didenda sehingga lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau mana-mana lebih tinggi.

    Di hadapan M Bakri, Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Sekuriti (SC), Nurul Rafeeza Hamdan menawarkan jaminan RM800,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC sebulan sekali.

    Sementara itu di hadapan Kamarudin, Timbalan Pendakwa Raya SC, Muhammad Izzat Fauzan menawarkan syarat yang sama untuk jaminan.

    Peguam kedua-dua tertuduh, Lim Kon Keen, memohon agar anak guamnya dikenakan jaminan rendah memandangkan Soon Hin telah bankrap manakala isterinya tidak bekerja dan kesemua akaun bank milik mereka telah dibekukan oleh pihak berkuasa.

    Mahkamah kemudian membenarkan Soon Hin dijamin RM400,000 manakala isterinya RM500,000 berserta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada pegawai penyiasat SC sebulan sekali selain menetapkan tarikh sebutan semula pada 16 Januari tahun depan.

    Sementara itu, di hadapan Kamarudin, peniaga Muhamad Afiq Md Isa, 34, mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan terlibat dalam aktiviti haram membabitkan wang berjumlah RM1,228,070.88.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa sebagai pemilik tunggal dan pengawal Pelham Blue Enterprise serta pengarah PBF Resources Sdn Bhd menerima wang berjumlah RM1,228,070.88 milik pelanggan di akaun semasa milik dua syarikat itu di Malayan Bank Berhad dan Maybank Islamic Berhad.

    Bagi pertuduhan ketiga hingga kelima, Muhamad Afiq didakwa memindahkan wang berjumlah RM640,647.79 daripada akaun semasa milik Pelham Blue di Malayan Banking Berhad dan PBF Resources di Maybank Islamic Berhad ke dalam tiga akaun simpanan miliknya masing-masing di Maybank Islamic Berhad, Malayan Banking Berhad dan Public Islamic Bank Berhad.

    Tertuduh didakwa dengan pertuduhan keenam hingga ketujuh iaitu memindahkan wang berjumlah RM286,232.99 daripada akaun simpanan miliknya di Maybank Islamic Berhad ke satu akaun Amanah Saham Bumiputera milik tertuduh di Permodalan Nasional Berhad dan ke akaun margin miliknya di CGS-CIMB Securities Sdn Bhd.

    Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Maybank cawangan Dataran Maybank, Bangsar; di Public Islamic Bank cawangan Kota Damansara dan di Maybank cawangan Seremban, antara 20 Mei 2020 hingga 25 Oktober 2021, mengikut akta sama.

    Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM80,000 dengan seorang penjamin dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri kepada pegawai penyiasat SC sebulan sekali selain menetapkan tarikh sebutan semula pada 16 Januari tahun depan.

  • Permohonan Najib kes saman 1MDB didengar Februari depan

    Permohonan Najib kes saman 1MDB didengar Februari depan

    PERMOHONAN Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan injunksi mareva diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan satu anak syarikatnya, bagi menghalang bekas perdana menteri itu daripada melupuskan atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga AS$681 juta, akan didengar pada 7 Februari tahun depan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

    Pada 8 Februari lepas, mahkamah membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) bagi injunksi mareva oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited), yang masing-masing merupakan plaintif pertama dan kelima, dalam saman 1MDB terhadap Najib dan beberapa individu lagi.

    Peguam Siva Kumar Kanagasabai mewakili 1MDB ketika dihubungi pemberita berkata, prosiding pendengaran itu akan berlangsung secara fizikal pada 9 pagi di hadapan Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad.

    Pada Khamis, mahkamah menolak permohonan Najib yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang untuk menghadiri prosiding pendengaran itu.

    Injunksi mareva ialah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang.

    Injunksi itu juga mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukannya untuk perbelanjaan sara hidup serta perbelanjaan guaman, namun sekiranya memerlukan lebih daripada jumlah itu, beliau perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.

    Perintah itu juga menyatakan, Najib mesti membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified, berhubung asetnya sehingga pada nilai AS$681 juta, sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

    Dalam saman itu, 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified selaku plaintif manakala Najib, Terrence Geh Choh Heng (bekas Pengarah Kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB), Vincent Beng, Radhi Mohamad (Ketua Pegawai Operasi 1MDB) dinamakan sebagai defendan.

    Turut dinamakan sebagai defendan ialah Kelvin Tan Kay Jim (bekas Pengarah Pelaburan) dan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd).

    Saman AS$8 bilion itu adalah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih AS$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan itu.

  • MPN syor tingkatkan inisiatif penggalakan pelancongan

    MPN syor tingkatkan inisiatif penggalakan pelancongan

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan supaya kerajaan mempertingkatkan inisiatif penggalakan pelancongan dan penambahbaikan infrastruktur negara agar industri itu tidak ketinggalan dalam gelombang pemulihan rantau Asia Tenggara.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan berkenaan dibuat selepas meneliti tempoh empat tahun yang diunjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam Pelaksanaan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PRE 2.0) merupakan tempoh yang panjang.

    “Majlis memandang serius kenaikan kos sara hidup yang dihadapi rakyat Malaysia dan walaupun kadar inflasi di Malaysia antara yang terendah di Asia Tenggara, impak inflasi tetap dirasai oleh segenap lapisan masyarakat dan berpotensi menghambat (menghalang) proses pemulihan ekonomi pascapandemik.

    “Oleh itu, kerajaan disaran menumpukan sepenuh usaha dalam memastikan nikmat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai rakyat Malaysia yang bergelut dengan kos sara hidup semakin meningkat,” katanya.

    Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kegagalan memulihkan industri pelancongan negara dengan agresif mampu merencatkan pemulihan ekonomi.

    PRE 2.0 merupakan inisiatif kerajaan melalui MOTAC dalam usaha merancakkan sektor pelancongan domestik negara seiring fasa peralihan ke endemik.

    Muhyiddin sebelum ini mencadangkan kepada kerajaan agar membuka pintu sempadan sebelum ia diumumkan dibuka bermula 1 April lepas, namun kemasukan pelancong asing menyebabkan penggiat industri berdepan kekurangan tenaga kerja.

    Beliau pada masa sama turut mencadangkan supaya proses permohonan pekerja asing terutama sektor kritikal seperti perladangan, pelancongan serta pembuatan dipercepat dan dipermudahkan, manakala inisiatif serta bantuan dirangka segera bagi memacu semula sektor pelancongan negara.

    Kerajaan ketika itu kemudian menyediakan pelbagai bantuan termasuk Geran Khas Prihatin dan Program Subsidi Upah yang rata-rata mendapat maklum balas positif daripada pengusaha hotel termasuk di Sabah.

    Pengurus Hotel Kingston, Tawau, Sabah, Yusal Fitriya Yusup menyifatkan langkah kerajaan ketika itu membuktikan keperihatinan mereka terhadap nasib rakyat terutamanya para peniaga yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

    “Bantuan yang disalur serba sedikit membantu kami memberi gaji kepada pekerja dan menampung belanja harian,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

    Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah The Elopura Hotel, di Sandakan, Awang Japar berkata, inisiatif bantuan yang disalurkan kerajaan ketika itu memberi nafas baharu buat para peniaga yang terpaksa membekukan urusan perniagaan mereka akibat Covid-19.,