Author: Bernama

  • SPRM kesan lelaki bergelar ‘Datuk’

    SPRM kesan lelaki bergelar ‘Datuk’

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya sedang mengesan seorang lelaki tempatan bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes SPRM di Kuala Lumpur.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan lelaki berkenaan dikenali sebagai Datuk Justin Lim Hwa Tat yang berumur 47 tahun.

    “Justin Lim mempunyai alamat terakhir di No. 54, Jalan SS 22/27 Damansara Jaya, 47400 Petaling Jaya, Selangor,” menurut kenyataan itu.

    Sehubungan itu, SPRM meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit agar menghubungi pegawai penyiasat, Freddick Makiun menerusi talian 03-88700480 atau 014-8595925 atau e-mel kepada [email protected].

  • Polis sahkan ada tahanan lolos di lokap IPD Dang Wangi

    Polis sahkan ada tahanan lolos di lokap IPD Dang Wangi

    POLIS mengesahkan seorang tahanan telah meloloskan diri dari lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur, semalam.

    Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ketika kejadian, pihak polis dalam proses membawanya ke mahkamah untuk proses pertuduhan.

    Beliau berkata kejadian berkenaan berlaku pada pukul 9.40 pagi dan polis telah melancarkan Op Cari bagi mengesan tahanan berkenaan.

    “Dalam 1.50 tengah hari (hari yang sama), kami dapat mengesan dan menahan semula tahanan berkenaan (dan bawanya semula ke balai),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata polis juga telah membuka kertas siasatan terhadap enam anggota polis yang sedang bertugas ketika kejadian dan tindakan susulan akan diambil ke atas mereka.

    Mohd Shuhaily berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui sama ada timbul kelalaian daripada anggota bertugas atau suspek berkenaan mempunyai kepakaran tersendiri dalam meloloskan diri.

    Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur mencatatkan lebih 26,000 saman dikeluarkan setakat Ahad lepas.

    Beliau berkata kesalahan halangan lalu lintas direkodkan paling tinggi dengan 18,931 saman diikuti lain-lain kesalahan (3,217) dan kesalahan kenderaan di laluan pejalan kaki sebanyak 1,931 saman.

    Menurutnya, sebanyak 86 individu turut ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah dan trafik serta sebanyak 99 kenderaan telah disita.

    “Yang menjadi kebimbangan saya ketika ini ialah kehadiran warga asing yang menunggang motosikal tanpa lesen. Ada dokumen tapi tiada lesen,” katanya.

    Mengulas mengenai pemilikan motosikal, Mohd Shuhaily berkata rata-rata mereka menyewa daripada warga tempatan dan diberi oleh majikan.

    Beliau berkata, operasi itu mendapat respons yang positif dan kebanyakan pengguna jalan raya di ibu negara memohon agar operasi ini dipanjangkan berbanding tempohnya hanya sebulan.

  • PRN: Kerajaan Perpaduan telah muktamadkan pembahagian kerusi di enam negeri – Anwar

    PRN: Kerajaan Perpaduan telah muktamadkan pembahagian kerusi di enam negeri – Anwar

    MAJLIS Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan telah memuktamadkan pembahagian kerusi di enam negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

    Perkara itu disahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut malam ini.

    “(Pembahagian kerusi) telah dimuktamadkan di semua negeri, ada satu dan dua negeri sahaja (yang ada persoalan) kita akan bincang dan malam ini selesai.

    “Pengumuman calon (bagi PRN) dalam dua ke tiga hari lagi kita bagi tarikh,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di Kuala Lumpur.

    Turut hadir beberapa pemimpin utama Kerajaan Perpaduan iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof dan Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Mohamad Sabu.

    Perdana Menteri berkata ‘Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran’ adalah tema yang akan digunakan oleh parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRN tersebut.

    Bagaimanapun, beliau berkata setiap negeri yang terlibat dengan PRN boleh membuat slogan tambahan manakala manifesto pilihan raya juga akan ditetapkan oleh pimpinan negeri masing-masing.

    “Kita berbincang soal gerak kerja dan strategi dalam menghadapi PRN di enam negeri dan kita berpuas hati. Nampak semangat pendukung setia dapat dilonjakkan dan saya percaya berdasarkan laporan, kita bukan saja boleh bertahan di tiga negeri tapi nampak satu keyakinan untuk menawan beberapa negeri lain,” katanya.

    Anwar berkata mesyuarat juga bersetuju keutuhan Kerajaan Perpaduan terus diperkukuh supaya dapat memacu pertumbuhan ekonomi selain menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

    “Saya sangat terharu dan bangga dengan kenyataan daripada pimpinan menyatakan kesediaan mereka untuk terus memperkukuh dan mengelak desas-desus daripada golongan terdesak menggunakan sentimen perkauman yang sempit atau agama secara melulu serta jumud dan kemudian memberikan gambaran seolah-olah akan ada perubahan (kerajaan).

    “Apa yang disebut di sini yang mewakili majoriti besar Ahli-Ahli Parlimen ialah tetap dengan pengukuhan Kerajaan Perpaduan sehingga selesai dan tamat selama lima tahun,” katanya.

    Perdana Menteri juga berkata Jelajah Perpaduan MADANI dan pelancaran jentera perpaduan akan diteruskan di Kedah pada 15 Julai diikuti Pulau Pinang (16 Julai), Kelantan (23 Julai), Negeri Sembilan (27 Julai) dan Terengganu (28 Julai).

    Mesyuarat malam tadi turut disertai Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup dan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

  • Keputusan rayuan Najib untuk gugur peguam wakili Tommy Thomas dalam saman RM1.9 juta pada 11 Ogos

    Keputusan rayuan Najib untuk gugur peguam wakili Tommy Thomas dalam saman RM1.9 juta pada 11 Ogos

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 11 Ogos ini untuk memutuskan rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggugurkan dua peguam dari Tetuan Tommy Thomas daripada mewakili bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dalam perbicaraan saman RM1.9 juta oleh bekas perdana menteri itu.

    Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Hanipah Farikullah berkata mereka memerlukan masa untuk mempertimbangkan hujah dan kes-kes yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak dalam saman itu.

    Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Azimah Omar dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

    Dalam prosiding hari ini, mahkamah mendengar hujah peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Najib dan peguam Alan Adrian Gomez yang mewakili Thomas.

    Najib merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos tahun lepas yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Gomez dan Mervyn Lai Wei Shiung, yang merupakan rakan kongsi Tetuan Tommy Thomas, daripada mewakili Thomas dalam samannya (Najib).

    Najib memohon pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam dan menuntut RM1.9 juta sebagai ganti rugi, termasuk yuran perundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya.

    Beliau mendakwa tidak wajar Gomez dan Lai mewakili Thomas kerana mereka dari firma guaman yang sama dengan Thomas.

    Najib menyaman Thomas dengan mendakwa telah dituduh di mahkamah dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selari dengan perancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

    Pada 25 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib yang difailkannya terhadapnya (Thomas). Rayuan Najib untuk mengembalikan semula saman akan didengar pada 4 Okt.

    Terdahulu semasa berhujah Firoz, beliau menumpukan kepada Peraturan 5 Peraturan Profesion Undang-undang (Amalan dan Etiket) 1978 yang menyatakan bahawa peguam tidak seharusnya menerima sesuatu kes sekiranya sukar untuk mengekalkan kebebasan profesional.

    Beliau mempersoalkan sama ada peguam dari Tetuan Tommy Thomas boleh mengekalkan kebebasan profesional itu dan berhujah bahawa peguam dari firma guaman yang sama tidak seharusnya mewakili rakan kongsi, perunding atau peguam lain dalam perkara yang menjadi perbalahan.

    Thomas ialah pengasas firma guaman. Beliau menjadi Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020.

    Firoz berkata Thomas mempunyai kepentingan kewangan di firma guaman itu, sambil menambah bahawa dengan dua peguam daripada Tetuan Tommy Thomas bertindak untuknya (Thomas), ia akan mewujudkan konflik kepentingan.

    Sementara itu, Gomez membalas dengan mengatakan Thomas, sebagai perunding dalam firma itu, tidak mempunyai kepentingan kewangan dalam firma tersebut.

    Beliau berkata saman yang difailkan terhadap Thomas adalah kerana dakwaan melakukan misfeasans dalam jawatan awam semasa beliau menjadi Peguam Negara dan bukan sebagai rakan kongsi firma itu, sambil menambah bahawa tiada konflik kepentingan yang menghalang mereka daripada mewakili Thomas kerana mereka tidak terlibat dalam pertuduhan 1MDB, perkara utama saman Najib.

    Najib hadir dalam perbicaraan rayuannya hari ini. Isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya Datuk Mohamad Nazifuddin turut menghadiri prosiding itu.

    Peguam lain yang turut mewakili Najib dalam rayuan itu ialah Daniel Annamalai, Woo J Enn dan Melody Tham Cheng Yee manakala Lai dan Haikaldin Mahyidin juga mewakili Thomas.

  • Wanita warga Thailand terlepas tali gantung edar dadah

    Wanita warga Thailand terlepas tali gantung edar dadah

    SEORANG wanita warga Thailand terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di Kota Bharu, hari ini membebas dan melepaskannya selepas mengetepikan sabitan terhadap tuduhan mengedar 86.8 gram (g) dadah jenis Methapethamine, empat tahun lepas.

    Hakim Roslan Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh Miss Rusneeda Beraheng, 41 tahun.

    Miss Rusneeda didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kubang Juluk, Rantau Panjang, Pasir Mas pada pukul 9 pagi, 4 Sept 2018.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Dalam penghakimannya, Roslan berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen kedua iaitu milikan, jagaan dan kawalan serta pengetahuan tertuduh terhadap dadah yang dijumpai di bawah kerusi kereta jenis Proton Pesona.

    “Elemen ketiga iaitu pengedaran dadah pula secara automatik gagal kerana elemen kedua tidak berjaya dibuktikan. Pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Oleh itu, tertuduh dibebas dan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

    Beliau berkata pihak pendakwaan telah mengemukakan seramai lapan saksi terdiri daripada pegawai penyiasat, pegawai polis dan ahli kimia sepanjang perbicaraan kes itu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aida Fatimah Abd Jabar dan tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed.

  • Jejambat runtuh di Bangkok sekurang-kurangnya dua maut, 10 cedera

    Jejambat runtuh di Bangkok sekurang-kurangnya dua maut, 10 cedera

    SEKURANG-KURANGNYA dua orang maut manakala 10 lagi cedera selepas bahagian sebuah jejantas yang sedang dalam pembinaan runtuh di daerah Lat Krabang di Bangkok pada petang semalam.

    Bahagian jejambat bertingkat sepanjang 500 meter yang sedang dalam pembinaan runtuh ke atas jalan di bawahnya pada kira-kira 6 petang waktu tempatan.

    Segmen itu, yang merupakan sebahagian daripada projek jalan bertingkat On Nut-Lat Krabang sepanjang 2.2 kilometer.

    Kejadian berlaku semasa segmen itu diangkat oleh kren sebelum ia terbalik menyebabkan struktur konkrit dan keluli itu jatuh ke atas kenderaan dan bangunan komersial.

    Bekalan elektrik di kawasan itu terputus dan hanya disambung semula menjelang tengah malam.

    Pengawai pejabat daerah Krabang Chatchaya Kamjan berkata mangsa pertama terbunuh serta-merta apabila segmen itu runtuh.

    Mangsa kedua ditemui pasukan mencari dan menyelamat ketika meninjau lokasi berkenaan.

    “Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berhampiran untuk rawatan,” katanya.

    Siasatan awal menunjukkan kren itu mungkin mengalami tekanan berlebihan atau terdapat kerosakan pada alat pengangkat.

  • Bekas wartawan,pemenang anugerah Kajai meninggal dunia

    Bekas wartawan,pemenang anugerah Kajai meninggal dunia

    BEKAS wartawan dan pemenang Anugerah Kajai, Wan Noor Hayati Wan Alias atau lebih dikenali sebagai Wanti meninggal dunia di Hospital Serdang di sini pada kira-kira 6.10 petang tadi.

    Mengesahkan perkara itu abangnya, Wan Mohd Faizal, 46, berkata Allahyarham  menghembuskan nafas terakhir pada usia 44 tahun akibat kegagalan jantung setelah bergelut dengan penyakit radang paru-paru.

    Beliau berkata jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bintongan, Rembau, Negeri Sembilan, pada 11 malam ini. 

    Sebelum ini, media melaporkan Wan Noor Hayati dirawat di Hospital Putrajaya kerana kekurangan oksigen dan disahkan dijangkiti COVID-19 pada April lepas.

    Sejak itu, tahap kesihatannya mula merosot dan sering berulang-alik untuk menerima rawatan di Hospital Serdang dan Hospital Kajang dipercayai kesan sindrom COVID-19 yang berpanjangan.

    Allahyarham dimasukkan semula ke Hospital Serdang pada dua hari lepas. 

    Selain pernah berkhidmat dengan Utusan Malaysia, Allahyarham merupakan bekas wartawan Berita Harian dan Media Variasi serta pernah memenangi Anugerah Kajai iaitu anugerah tertinggi dalam bidang kewartawanan negara yang diberikan oleh Malaysian Press Institute (MPI) pada 2013.

    Keadaan kesihatan Wan Noor Hayati turut mendapat perhatian pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang melawatnya di rumah baru-baru ini dan meminta laporan penuh perubatannya untuk tindakan lanjut.

    Allahyarham merupakan ibu tunggal dan meninggalkan seorang anak lelaki berumur sembilan tahun.  – BERNAMA

  • Dadah sintetik dijual serendah RM18 di web gelap

    Dadah sintetik dijual serendah RM18 di web gelap

    DADAH jenis sintetik kini dijual pada harga serendah RM18 melalui laman web gelap serta aplikasi Telegram dan WhatsApp, dedah Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon hari ini.

    Beliau berkata bekalan dadah sintetik seperti pil kuda, syabu dan ekstasi itu kemudiannya dihantar kepada pelanggan melalui perkhidmatan kiriman cepat atau orang persendirian.

    “Daripada pergi kepada tokan, mereka (penagih dadah) boleh order pesanan dan ia dihantar terus ke rumah,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2023 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

    Sutekno berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh AADK, penagih dadah membelanjakan RM50 bagi mendapatkan bekalan dadah setiap tiga hari dan jumlah itu meningkat mengikut tahap ketagihan.

    “Dadah ini ikut keaslian atau ketulenan, ada yang murah iaitu serendah RM18 termasuk penghantaran ada direkodkan,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata kerajaan sedang giat merangka Rang Undang-Undang Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) bagi menggantikan Akta Penagih Dadah 1984.

    Sutekno turut memaklumkan bahawa JKMD hari ini bersetuju supaya AADK melaksanakan Kempen Satu Juta Ahli Skuad Antidadah untuk menggiatkan program dan aktiviti gaya hidup sihat.

    Beliau berkata skuad tersebut berperanan sebagai agen perubahan kepada keluarga dalam penyampaian mesej “pencegahan dadah bermula di rumah”.

    Ahmad Zahid selepas mempengerusikan JKMD hari ini berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan AADK diberi tempoh tiga bulan untuk mengkoordinasi usaha merangka inisiatif atau program efektif bagi membendung masalah dadah.

  • Dua maut, tiga parah dalam kemalangan babitkan bas dan kereta

    Dua maut, tiga parah dalam kemalangan babitkan bas dan kereta

    DUA maut manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan sebuah bas dan sebuah kereta di Kilometer 285.5 Lebuhraya Utara Selatan (Arah Utara), kira-kira 5 pagi ini.

    Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Kanan Bomba II Shahrudin Mohd Din berkata setakat ini pihaknya mendapat maklumat terdapat 22 mangsa terlibat dalam kemalangan itu.

    Katanya mangsa yang meninggal dunia melibatkan seorang lelaki iaitu pemandu bas dan penumpang seorang wanita Indonesia manakala dua mangsa yang menaiki kereta selamat.

    “Kemalangan berlaku membabitkan sebuah bas pelancong (La Holiday) dari Singapura ke Kuala Lumpur dengan sebuah kereta Proton Wira, punca kemalangan masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Shahrudin berkata mangsa yang lain belum dikenal pasti kerana telah dibawa ke hospital dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

  • SPR belum terima perakuan hakim bagi kekosongan kerusi Parlimen Kuala Terengganu

    SPR belum terima perakuan hakim bagi kekosongan kerusi Parlimen Kuala Terengganu

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) masih belum menerima perakuan keputusan Hakim Mahkamah Pilihan Raya berhubung kekosongan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

    Perkara itu dimaklumkan Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

    “Belum terima apa-apa lagi secara rasmi,” katanya ketika ditanya sama ada SPR telah menerima notis kekosongan kerusi Parlimen itu daripada Hakim Mahkamah Pilihan Raya.

    Pada 27 Jun lepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dilaporkan berkata calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zubir Embong yang memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar kemenangan Ahmad Amzad itu berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

    Semalam peguam Wan Rohimi Wan Daud, yang mewakili Ahmad Amzad memaklumkan PAS tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

    Pada PRU15, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir.