Author: Bernama

  • PRU-15: PN dahului setakat 12.30 malam

    PRU-15: PN dahului setakat 12.30 malam

    PERIKATAN Nasional (PN) mendahului Pilihan Raya Umum ke-15 dengan memenangi 35 kerusi Parlimen setakat 12.30 malam ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan keputusan di 112 kerusi Parlimen di seluruh negara.

    Pakatan Harapan pula memenangi 33 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak (20), Barisan Nasional (16), Gabungan Rakyat Sabah (empat), Warisan (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan seorang calon Bebas iaitu Riduan Rubin (Tenom) masing-masing satu kerusi. – BERNAMA

  • Polis tutup, lencong laluan berhampiran Istana Negara bermula 7 malam ini

    Polis tutup, lencong laluan berhampiran Istana Negara bermula 7 malam ini

    POLIS menutup dan melencongkan beberapa laluan berhampiran Istana Negara di Kuala Lumpur, bermula 7 malam ini hingga diberitahu kelak, kata Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor.

    Beliau berkata lencongan jalan dilaksanakan di Jalan Tuanku Abdul Halim (Jalan Duta) dari Kuala Lumpur menghala keluar ibu negara (Plaza Tol Duta) dan penutupan jalan dari susur masuk dari Pusat Bandaraya; susur masuk Jalan Tuanku Abdul Halim ke Jalan Semantan; Jalan Semantan ke Jalan Tuanku Abdul Halim dan susur masuk dari Jalan Semantan ke Jalan Changkat Semantan.

    “Penutupan dan lencongan ini bertujuan untuk kelancaran proses Pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan pengguna jalan raya sekitar Kuala Lumpur dinasihatkan merancang semula perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau tersangkut dalam lencongan berikutan penutupan jalan.

    “Pengguna jalan raya juga diminta mematuhi segala arahan daripada pihak polis bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Tiga beradik yatim piatu, ibu bapa dan adik bongsu maut nahas LPT1

    Tiga beradik yatim piatu, ibu bapa dan adik bongsu maut nahas LPT1

    TIGA beradik yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa dan adik bongsu mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 200 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) hala timur, berhampiran Kampung Paya Bungor di sini hari ini. 

    Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata kejadian yang berlaku pada 4 petang, menyebabkan kontraktor Mohamad Shafiq Zailani, 33, dan isterinya Faeiznoor Mansor, 32, maut di tempat kejadian.

    Anak lelaki pasangan itu Daryan Marwa yang berusia 10 bulan pula disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini. 

    Tiga lagi anak pasangan itu Mohamad Danish Uqasha, sembilan; Dhia Medina, lima; dan Damiaa Melissa, dua; pula cedera ringan. 

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda dipandu Mohamad Shafiq dari Bandar Jengka di Maran menghala ke Kuantan terbabas lalu melanggar pokok di bahu jalan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

    Mohamad Shafiq berasal dari Felda Jengka Enam, Maran manakala semua mangsa yang lain beralamat di Felda Bukit Sagu di sini.  

    Wan Mohd Zahari berkata jenazah mangsa dibawa ke HTAA untuk bedah siasat yang akan dijalankan selepas saringan COVID-19 diperoleh.

    Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • PRU15: Dr Mahathir harap SPR terus haramkan telefon bimbit dalam pusat mengundi

    PRU15: Dr Mahathir harap SPR terus haramkan telefon bimbit dalam pusat mengundi

    PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat terus mengharamkan penggunaan telefon bimbit di dalam pusat mengundi pada Pilihan Raya Umum akan datang.

    Menurut bekas Perdana Menteri itu, perkara berkenaan dapat mengelak pengundi daripada ‘membocorkan’ kertas undian mereka kepada pihak tertentu.

    “Bila tidak bawa telefon bimbit di tempat mengundi, mereka tidak boleh dedahkan siapa yang mereka undi. Tetapi, kalau bawa telefon bimbit masuk, boleh ambil dan hantar gambar berkenaan kepada pihak tertentu.

    “Jadi, orang luar boleh tahu siapa yang mereka undi. Kalau yang hendak bagi duit, tunjuk pangkah parti, jadi kena bagi duit dan apabila banyak sangat penggunaan duit ia akan mempengaruhi keputusan undi seseorang,” katanya.

    Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui selepas mengundi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, di Alor Setar, kira-kira 10.55 pagi tadi.

  • PRU-15: Proses pengundian di seluruh negara lancar, terkawal

    PRU-15: Proses pengundian di seluruh negara lancar, terkawal

    PROSES pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung di seluruh negara hari ini berjalan lancar dan terkawal walaupun terdapat kesesakan di beberapa pusat pengundian pada awalnya, kata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

    Beliau berkata tiada sebarang provokasi yang dikesan sepanjang proses berkenaan berlangsung.

    “Semua pengundi melaksanakan pengundian dengan penuh berhemah, tenang dan tenteram dan ini menunjukkan masyarakat kita semakin matang dalam proses pengundian.

    “Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang keluar mengundi kerana telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Kuala Lumpur, hari ini. 

    Acryl Sani berkata berdasarkan tinjauannya pada sebelah pagi mendapati orang ramai berpusu-pusu keluar untuk menunaikan tanggungjawab mereka, namun keadaan mula reda menjelang tengah hari apabila pengundi tidak lagi beratur hingga ke luar pagar pusat mengundi. 

    Turut hadir, Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed dan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi.

    Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan untuk PRU15 mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih yang terdiri daripada 20,853,681 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan dan 2,741 orang pengundi tidak hadir luar negara.

    Sementara itu, Acryl Sani menafikan dakwaan beliau ada menghubungi Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang didakwa dalam satu video yang tular di media sosial malam tadi.

    Beliau berkata dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan pihaknya tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan berhubung perkara itu.

    “Mungkin beliau (Anwar) tersilap cakap dalam keghairahan berceramah dan berkempen,” katanya.

    Terdahulu, satu rakaman video telah tular malam tadi yang mengandungi ucapan bekas timbalan perdana menteri itu ketika berkempen yang menyatakan Acryl Sani meminta beliau bersedia kerana berkemungkinan bakal membentuk kerajaan selepas PH dijangka memperoleh 112 kerusi Parlimen dalam PRU15.

  • ‘Ayah nampak penat lepas kempen’ – Anak arwah calon PN Tioman

    ‘Ayah nampak penat lepas kempen’ – Anak arwah calon PN Tioman

    CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia awal pagi tadi, dikatakan kelihatan agak penat semasa pulang ke rumah selepas tamat berkempen di Sungai Puteri, di Rompin malam tadi.

    Anaknya, Khairyel Harith, 28, berkata ayahnya begitu bersungguh-sungguh berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, walaupun ada mengadu keletihan akibat jadual kempen yang padat.

    “Setiap hari ayah nampak bersemangat untuk keluar berkempen. Selalunya beliau akan keluar dari 8 pagi dan pulang sekejap untuk solat Maghrib di rumah sebelum sambung berkempen hingga tengah malam.

    “Malam tadi, selepas balik ayah hanya memberitahu sakit badan dan minta disapukan minyak angin, beliau nampak terlalu penat,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Taman Aman Jaya, Rompin hari ini.

    Khairyel Harith, anak kedua Allahyarham berkata ayahnya mempunyai rekod sakit jantung dan pernah membuat pembedahan pintasan jantung pada 2013.

    Jenazah Allahyarham masih berada di Hospital Rompin kerana menunggu keputusan saringan COVID-19, sebelum bedah siasat dilakukan dan dijangka akan dikebumikan esok.

    Md Yunus, 61, yang merupakan seorang peniaga disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin pada 3.30 pagi tadi selepas dikejarkan ke hospital itu oleh ahli keluarganya.

    Allahyarham meninggalkan seorang balu Rokiah Md Herham, 62, dan dua lagi anak iaitu Khairunisa Nadirah, 34, dan Khairyel Reezwan, 22.

    Pada PRU15, DUN Tioman menyaksikan persaingan lima penjuru iaitu antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional).

    Allahyarham Md Yunus yang juga Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman sebelum ini pernah bertanding di DUN sama pada PRU14.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan proses pengundian bagi DUN Tioman tidak berlangsung hari ini, dan akan diadakan pada 7 Dis, manakala hari penamaan calon pada 24 Nov dan hari mengundi awal pada 3 Dis ini.

    Sementara itu, Mohd Johari yang turut menziarahi Allahyarham di hospital hari ini, berkata beliau sempat bertemu dengan Md Yunus malam tadi semasa mereka sama-sama berkempen di Sungai Puteri.

    “Kami kenal sudah lama dari 2008. Walaupun berbeza parti, hubungan kami baik dan Allahyarham juga sangat peramah. Jadi kami selalu sahaja berborak tentang politik dan isu setempat di Rompin,” katanya.

  • Lebih 100 penduduk terjejas ribut ‘badai’ Kulai

    Lebih 100 penduduk terjejas ribut ‘badai’ Kulai

    LEBIH 100 penduduk terjejas di Felda Bukit Permai dan kawasan sekitar Kulai, Johor akibat ribut bersama hujan dan angin kencang, awal pagi tadi.

    Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kejadian yang berlaku antara 8 hingga 9 pagi itu melibatkan 19 rumah dan tiga premis kedai.

    “Kita kenal pasti sebanyak 17 rumah dan tiga kedai rosak akibat pokok tumbang dan bumbung terbang dan rosak di kawasan Felda ini.

    “… terdapat dua rumah terjejas, masing-masing satu di Kampung Sungai Besoi dan Kampung Sri Muar yang terletak berdekatan di sini hari ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permai kepada pemberita di Felda itu, hari ini.

    Mohd Jafni berkata ini merupakan kejadian ribut kali ketiga dan terburuk di kawasan Felda berkenaan selepas Mac dan April lepas, memandangkan lokasinya yang terletak di laluan angin.

    Beliau berkata buat masa ini semua keluarga yang terjejas akan dibantu menerusi Tabung Bencana Felda, selain bantuan kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta bantuan segera RM500 dan bakul makanan daripada pejabat Dewan Undangan Negeri Bukit Permai.

    “Kebiasaannya bantuan daripada MAINJ lebih kurang RM1,000 untuk setiap keluarga,” katanya dan menambah kerajaan negeri juga akan melihat kepada bantuan tambahan seperti keperluan persekolahan anak-anak. – BERNAMA

  • PRU15: Calon baharu PN DUN Tioman tetap daripada Pas – Saifuddin Abdullah

    PRU15: Calon baharu PN DUN Tioman tetap daripada Pas – Saifuddin Abdullah

    CALON baharu Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman nanti akan tetap dipilih daripada parti Pas, kata Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    “… secepat mungkin, kerana hari ini tak mungkin kita akan mencari calon baharu. Itu adalah kerusi Pas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Talam, Kuantan, hari ini.

    Calon PN bagi DUN Tioman Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada kira-kira 3.30 pagi tadi di Hospital Rompin, menyebabkan SPR Pahang memaklumkan proses pengundian bagi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini, ditangguhkan.

    Pada PRU15, DUN Tioman sepatutnya melibatkan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional).

    Allahyarham yang juga Ketua Pas Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman sebelum ini pernah bertanding di DUN sama pada pilihan raya umum 2018.

    Saifuddin yang juga penyandang Parlimen Indera Mahkota mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergiannya satu kehilangan kerana peribadi Allahyarham yang baik selain berpotensi untuk menerajui kawasan itu.

  • PRU-15: Pengundi Limbang, Baram redah banjir mengundi

    PRU-15: Pengundi Limbang, Baram redah banjir mengundi

    PENGUNDI di empat pusat pengundian di Limbang dan Baram terpaksa meredah banjir untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan empat pusat pengundian yang terkesan akibat banjir itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Telahak dan SK Meritam di Limbang serta SK Dato Sarif, Kampung Narum, Marudi dan SK Long Bemang di Baram.

    Maklumat daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak menyatakan trend air meningkat dilaporkan di SK Meritam setinggi satu meter dan SK Telahak (0.6 meter), sementara trend menurun dicatatkan di SK Long Bemang (0.33 meter).

    Turut dilaporkan keadaan banjir yang melibatkan laluan menuju ke SK Dato Sarif dengan paras air berada 0.08 meter dari paras jalan raya.

    Di sebalik keadaan bencana alam ini, proses pengundian untuk PRU15 di kawasan berkenaan berjalan lancar.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri yang ditemui pemberita di sini hari ini berkata Ketua Polis Daerah di kawasan terkesan banjir berkenaan melaporkan proses pengundian berlangsung lancar setakat ini.

    Katanya, Polis Sarawak bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan keadaan banjir itu tidak menjejaskan perjalanan proses berkenaan.

    “Sehingga kini saya tidak menerima sebarang (laporan) permasalahan (namun), kita akan sentiasa kemas kini (perkembangan terkini). Nanti petang kita akan keluarkan (kenyataan) selepas proses pengundian tutup (selesai),” tambahnya.

    Semalam, media tempatan melaporkan SPR akan membuat keputusan sama ada pengundian di Parlimen Baram diteruskan hari ini atau ditangguhkan selepas cuaca buruk menghalang usaha menghantar petugas pilihan raya ke 24 daripada 194 pusat mengundi di kawasan Parlimen itu. – BERNAMA

  • PRU-15: Pengundi disaran semak cadangan masa keluar mengundi – SPR

    PRU-15: Pengundi disaran semak cadangan masa keluar mengundi – SPR

    MENJELANG hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati pengundi untuk mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

    Setiausaha SPR Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata seramai 20,853,681 orang pengundi bakal mengundi pada PRU15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

    Beliau berkata SPR berharap semua pengundi menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi esok. Ikmalrudin berkata sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 6 petang di semenanjung manakala 7.30 pagi hingga 5.30 petang di Sabah dan Sarawak atau waktu yang telah diwartakan.

    “Pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Oleh yang demikian, pengundi dinasihatkan untuk membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

    Ikmalrudin berkata SPR juga menyarankan semua pengundi yang hadir esok untuk memakai pelitup separuh muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mensanitasi tangan sepanjang berada di pusat mengundi.

    “SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya.

    Ikmalrudin berkata SPR telah menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan bagi proses pengundian yang akan dijalankan esok dan kesemua peralatan tersebut diagihkan kepada ketua-ketua tempat mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi.

    Beliau berkata semakan itu bagi memastikan kesemua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian lengkap dan berkeadaan baik.

    PRU15 akan diadakan di 8,958 pusat mengundi membabitkan 38,348 saluran dengan seramai 363,515 orang ditugaskan bagi proses pengundian.

    Ikmalrudin berkata SPR juga mengingatkan para majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRU15 dan PRK DUN Bugaya, Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Beliau berkata SPR sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada pukul 11.59 minit malam ini, justeru sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi perlu dihentikan.

    “Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

    “SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi, kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

    Bagi pengundi yang positif COVID-19, Ikmalrudin berkata SPR sekali lagi menyarankan pengundi untuk berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah (PKD), bagi mendapatkan maklumat lanjut dan sewajarnya bagi memudahkan urusan pengundian.

    Beliau berkata SPR telah memaklumkan kepada semua pengundi bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi adalah tidak dibenarkan dan notis atau poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletakkan di luar dan di dalam tempat mengundi sebagai peringatan.

    Ikmalrudin berkata SPR turut menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.

    Menurutnya pelaksanaan tatacara pengundian baharu itu boleh dirujuk menerusi poster Tatacara 10 Langkah Pengundian yang menjelaskan proses pengundian sepenuhnya.

    Selain itu, Ikmalrudin berkata semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi tidak memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau membawa material yang mempunyai nama, lambang, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang ‘tagline’ atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

    “Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh dihalang dari memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya,” katanya.

    Ikmalrudin berkata SPR juga menyarankan semua pengundi yang hadir esok untuk memakai pelitup separuh muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mensanitasi tangan sepanjang berada di pusat mengundi.

    “SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya.