Author: Bernama

  • Pengurusan kes rayuan cukai tertunggak Najib, anak 17 Januari

    Pengurusan kes rayuan cukai tertunggak Najib, anak 17 Januari

    PENGURUSAN kes rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin terhadap penghakiman terus diperoleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap mereka dalam kes cukai tertunggak ditetapkan pada 17 Januari tahun depan.

    Peguam Wee Yeong Kang, antara peguam yang mewakili Najib dan Nazifuddin memberitahu Bernama, pengurusan kes selanjutnya itu ditetapkan selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Suhaila Haron hari ini.

    “Pengurusan kes seterusnya pada 17 Januari tahun depan adalah untuk mengemas kini status alasan rayuan dan menetapkan tarikh pendengaran,” kata peguam itu.

    Bekas Perdana Menteri dan anaknya merayu terhadap penghakiman terus diperoleh LHDN untuk mendapatkan cukai tertunggak berjumlah lebih RM1.7 bilion daripada mereka.

    Dua Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, telah membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi memperoleh semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

    Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

    Najib dan Mohd Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 September 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu, namun membenarkan permohonan mereka untuk menangguhkan perintah penghakiman terus berkenaan sementara menunggu pendengaran permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

    Pada 10 Mei lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran merayu kepada Najib dan Mohd Nazifuddin berhubung penghakiman terus diperoleh LHDN dalam kes tunggakan cukai tersebut.

  • Sah! PH, BN bentuk kerajaan negeri Perak, Shaarani angkat sumpah MB petang ini

    Sah! PH, BN bentuk kerajaan negeri Perak, Shaarani angkat sumpah MB petang ini

    PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk bersama-sama membentuk kerajaan negeri di Perak.

    Pengerusi BN Perak yang juga Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beliau dan Bendahari DAP Perak Howard Lee Chuan How telah menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan menyembah maklum persetujuan kedua-dua gabungan mengenai perkara itu.

    “Itu yang kami persembahkan dan terpulang kepada Tuanku sama ada baginda yakin dan setuju perkenan dengan cadangan penubuhan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadap Sultan Nazrin di Istana Kint, Ipoh hari ini.

    Ini susulan tiada gabungan yang memperoleh majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.

    Sementara itu, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan Naib Pengerusi PKR negeri Muhamad Arafat Varisai Mahamad ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

    Terdahulu dalam kenyataan bersama, PH dan BN Perak bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri.

    “BN dan PH secara bersama telah memenangi 33 kerusi majoriti di Dewan Undangan Negeri Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang telah diadakan pada 19 Nov 2022.

    “Demi kepentingan rakyat dan negara, BN dan PH Perak telah bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri Perak dan maklumat terperinci akan diumumkan dalam masa yang terdekat,” menurut kenyataan itu.

    Pengerusi Amanah Perak Datuk Asmuni Awi dalam kenyataan video berkata langkah itu akan membentuk kerajaan negeri yang stabil sebagai memenuhi hasrat kebanyakan rakyat yang ingin melihat kerajaan baharu yang berjaya mentadbir negeri.

    Keputusan PRU15 menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh 26 kerusi DUN manakala PH pula menawan 24 kerusi dan sembilan kerusi dimenangi BN.

    Kerajaan Negeri Perak sebelum ini dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu BN, Bersatu dan PAS.

  • Agong titah rakyat bersabar tunggu pembentukan kerajaan baharu

    Agong titah rakyat bersabar tunggu pembentukan kerajaan baharu

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta rakyat Malaysia agar bertenang dan bersabar, sementara menunggu pembentukan kerajaan baharu pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Seri Paduka bertitah pembentukan kerajaan Persekutuan yang baharu memerlukan sedikit masa lagi.

    “Harap bersabar, perlukan masa sikit, kena bersabar, banyak bertenang.

    “Kerajaan ‘Caretaker’ masih lagi ada, masih berjalan seperti biasa,” titah baginda ketika mencemar duli menyantuni pengamal media yang berkampung di hadapan pintu 2 Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

    Seri Paduka juga bertitah agar segala perkembangan terkini mengenai pembentukan kerajaan Persekutuan baharu, hendaklah dirujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan pihak Istana Negara.

    “Saya tidak akan buat kenyataan. Ikutlah kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara,” titah baginda.

    Dalam kenyataan media terkini Istana Negara hari ini, Al-Sultan Abdullah berkenan untuk melanjutkan proses bagi ketua parti politik dan gabungan parti politik mengemukakan gabungan parti-parti politik bagi pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri, sehingga 2 petang esok.

    Semalam, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik untuk memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti, dan menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang, hari ini.

    PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung, apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

    PRU15 pada 19 November menyaksikan gabungan parti antaranya Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), manakala Barisan Nasional (30).

    Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi.

  • SPRM buka 8 kertas siasatan babitkan kakitangan kerajaan Pulau Pinang

    SPRM buka 8 kertas siasatan babitkan kakitangan kerajaan Pulau Pinang

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka sebanyak lapan kertas siasatan terhadap kakitangan kerajaan negeri berkaitan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, sepanjang 2020 hingga 2022.

    Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri terbuka bagi menerima sebarang siasatan berkaitan jenayah rasuah dan salah guna kuasa melibatkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Exco), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kakitangan kerajaan Negeri.

    “Sebarang bentuk kesalahan akan disiasat oleh agensi penguatkuasaan dan disabitkan kesalahan oleh pihak pendakwaan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di Georgetown hari ini.

    Beliau menjawab soalan Mohd Yusni Mat Piah (Pas-Penaga) yang ingin tahu mengenai jumlah kes SPRM yang disiasat di Pulau Pinang melibatkan Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan Negeri.

    Chow juga berkata bagi siasatan yang melibatkan kakitangan kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) boleh mengambil tindakan di bawah Peraturan 44, Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pulau Pinang) 1997 bagi tujuan penahanan kerja sekiranya melibatkan prosiding jenayah.

    Selain itu, katanya kerajaan negeri telah dan akan mengambil tindakan terhadap semua laporan lengkap SPRM berhubung salah laku melibatkan Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan Negeri, sekiranya kes tersebut tidak disabitkan kesalahan di peringkat mahkamah.

    “Kerajaan negeri tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan laporan SPRM,” katanya.

  • PN persembah nama calon MB kepada Raja Perlis

    PN persembah nama calon MB kepada Raja Perlis

    PERIKATAN Nasional (PN) Perlis akan mempersembahkan nama calon Menteri Besar baharu bagi mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail petang ini.

    Pengerusi PN Perlis Shukri Ramli berkata PN pusat telah menyampaikan watikah kepada pihaknya untuk mempersembahkan nama calon tersebut dan pelantikan menteri besar perlu mendapat perkenan Raja Perlis sepertimana termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.

     “Semalam kita (PN Perlis) telah melakukan perjumpaan dengan pucuk pimpinan parti dan kami sebulat suara bersetuju untuk mempersembahkan satu nama calon Menteri Besar Perlis yang baharu kepada Raja Perlis petang ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkata urusan pembentukan kerajaan negeri baharu di bawah PN berjalan lancar.

    Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada satu perjumpaan dengan jentera PN Perlis beberapa bulan lepas berkata sekiranya PN menguasai Perlis, menteri besar akan dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PAS sebagai menghormati parti itu yang lebih senior dalam gabungan berkenaan.

    Pada PRU15, PN berjaya menyapu bersih hampir seluruh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila berjaya menawan 14 daripada 15 kerusi, selain memenangi kesemua tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar.

    Hanya satu kerusi DUN dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) menerusi Gan Ay Lin daripada PKR yang mengekalkan kemenangan di DUN Indera Kayangan.

    Barisan Nasional (BN) pula mencatat keputusan terburuk sepanjang PRU di Perlis, apabila gagal mempertahankan sebarang kerusi termasuk kerusi DUN Bintong susulan kekalahan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man kepada calon PN-PAS Fakhrul Anwar Ismail dengan majoriti 4,329 undi dalam persaingan enam penjuru. -BERNAMA

  • Muhyiddin akan kemuka SD Ahli Parlimen sokong beliau hari ini

    Muhyiddin akan kemuka SD Ahli Parlimen sokong beliau hari ini

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengemukakan akuan bersumpah (SD) daripada ahli Parlimen hari ini, bagi membuktikan bahawa gabungan itu mempunyai jumlah yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

    Muhyiddin berkata dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN tidak pernah berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan penubuhan kerajaan bersama PN, tidak menghalang PN untuk membentuk kerajaan melalui sokongan daripada ahli Parlimen.

    “Kalau ada ahli Parlimen yang membuat keputusan untuk menyokong saya, itu hak ahli Parlimen bersandarkan perlembagaan negara. Perlembagaan kata seseorang yang mahu menjadi perdana menteri mestilah mendapat kepercayaan daripada majoriti ahli Parlimen iaitu (sekurang-kurangnya) 112 kerusi,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu, malam tadi.

    Beliau juga menjelaskan bahawa Akta Anti Lompat Parti tidak menghalang mana-mana parti walaupun bukan daripada PN sendiri untuk menyokong beliau sebagai perdana menteri.

    “Mereka tidak keluar daripada parti tetapi mereka secara individu sebagai ahli Parlimen hatta daripada Bebas sekalipun boleh menyatakan sokongan kepada saya. Itu tidak menyalahi Akta Anti Lompat Parti,” katanya.

    Terdahulu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti dan menamakan calon perdana menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang ini.

    PRU-15 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, PN (73), BN (30), GPS (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Parti Warisan (tiga) dan masing-masing satu kerusi untuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua calon Bebas yang menang.


    Majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan adalah 112 kerusi.

  • PRU-15: Shahidan, Ismail pertahan kerusi atas tiket PN

    PRU-15: Shahidan, Ismail pertahan kerusi atas tiket PN

    EPISOD duka digugurkan oleh Barisan Nasional (BN) daripada bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kini berakhir buat Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, apabila mereka berjaya mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing, yang kali ini ditandingi atas tiket Perikatan Nasional (PN).

    Shahidan yang merupakan calon di Parlimen Arau menang dengan majoriti 23,216 undi menewaskan calon BN-UMNO Datuk Rozabil Abd Rahman (8,242 undi) dan calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR Fathin Amelina Fazlie (7,089 undi).

    Kemenangan berkenaan membolehkan Shahidan yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan mempertahankan kerusi Parlimen itu untuk penggal kelima.

    Sementara itu Ismail yang merupakan bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula, mempertahankan kerusi Parlimen Maran buat kali kelima sejak PRU11 dengan 19,600 undi mengalahkan Shahaniza Shamsuddin dari BN (17,779) dalam persaingan empat penjuru.

    Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi dua bekas pemimpin tertinggi PAS Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang masing-masing bertanding di Parlimen Tumpat dan Kuala Nerus atas tiket BN.

    Dalam persaingan lima penjuru itu, Che Abdullah yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan sekadar mendapat 30,633 undi berbanding Datuk Mumtaz Md Nawi dari PN-PAS (65,426 undi), manakala Mohd Khairuddin tewas dengan memperoleh 26,932 undi dalam saingan empat penjuru.

    Turut kecundang pada PRU15 ialah Datuk Zahidi Zainul Abidin yang digugurkan daripada BN, apabila pilihannya untuk bertanding atas tiket Bebas di kerusi Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi tidak membuahkan hasil.

    Di Parlimen Padang Besar, bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu sekadar mendapat 1,939 undi berbanding Rushdan Rusmi (PN) yang menang dengan 24,267 undi manakala di DUN Titi Tinggi, Zahidi juga kecundang di tangan pencabarnya Izizam Ibrahim (PN) dalam persaingan enam penjuru.

    Senasib dengan Zahidi, ialah bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua yang bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Batu dalam pertembungan 10 penjuru, dan ahli DAP Wong Tack yang bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Bentong dalam saingan lima penjuru.

    Di kerusi parlimen Batu itu, Tian Chua cuma memperoleh 3,798 undi manakala Wong Tack memperoleh 798 undi di Bentong.

  • Zahid Hamidi hanya menang dengan majoriti 348 undi

    Zahid Hamidi hanya menang dengan majoriti 348 undi

    BEBERAPA nama besar dalam dunia politik di Perak menerima nasib berbeza dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diumumkan malam tadi.

    Di Parlimen Bagan Datuk, Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menang tipis dengan majoriti 348 undi menewaskan tentangan sengit calon Pakatan Harapan (PH) Shamsul Iskandar Mohd Akin (16,230), calon Perikatan Nasional (PN) Dr Nik Muhammad Faiz Naaman (8,822) dan calon Bebas Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail (226).

    Pengarah Komunikasi BN Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah pula mengekalkan kerusi Parlimen Lenggong yang disandangnya dengan majoriti 879 undi menewaskan calon PN Muhamad Rif’aat Razman (11,709) dan calon PH Jurey Latiff Rosli (3,382). 

    Di Parlimen Gerik, cubaan kali pertama Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bertanding di Perak tidak membuahkan hasil apabila tumbang kepada calon PN, Fathul Huzir Ayob dengan majoriti 1,377 undi.  

    Turut menerima nasib yang sama Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di kerusi Parlimen Lumut apabila tumbang kepada calon PN Komander (B) Nordin Ahmad Ismail dengan majoriti 363 undi.

    Di Parlimen Sungai Siput, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran pula kecundang di tangan penyandangnya  S Kesavan dengan majoriti 1,846 undi, manakala timbalannya Datuk Seri M Saravanan pula kekal di Tapah dengan majoriti 5,064 undi.

    Manakala di Parlimen Tanjung Malim, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon tewas kepada penyandang yang juga Ketua PKR Perak Chang Lih Kang yang memperoleh kemenangan dengan majoriti 3,541 undi.

    Di kerusi Parlimen Tambun, Timbalan Pengerusi PN Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tumbang di tangan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan majoriti 3,736 undi.

    Namun rakannya yang juga Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin mengekalkan kerusi Parlimen Larut yang disandangnya apabila memperoleh majoriti 11,598 undi menewaskan calon BN Mohd Shafiq Fhadly Mahmud (BN), Zolkarnain Abidin (PH) dan calon Berjasa, Auzaie Fadzlan Shahidi.

    Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming mengekalkan kerusi Parlimen Teluk Intan dengan majoriti 15,169 undi. 

  • PN bincang dengan BN tubuh kerajaan di Perak

    PN bincang dengan BN tubuh kerajaan di Perak

    PERIKATAN Nasional (PN) Perak akan berbincang dengan Barisan Nasional (BN) bagi pembentukan kerajaan negeri dalam masa terdekat.

    Timbalan Pengerusi PN 1 Perak Razman Zakaria berkata ini kerana gabungan itu hanya memenangi 26 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Perak memerlukan 30 kerusi bagi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. PN kurang empat kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri untuk tempoh ini dan akan berusaha supaya kerajaan dibentuk bagi mentadbir urus kerajaan dan membuat perbincangan dengan rakan-rakan sebelah sana untuk membentuk kerajaan,” katanya pada sidang medi hari ini.

    Ditanya sama ada perbincangan akan turut diadakan bersama Pakatan Harapan (PH), Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak berkata pihaknya tetap berpendirian tidak bekerjasama dengan gabungan itu.

    “Sekarang ini seperti yang dijelaskan, kita tidak akan bersama PH, ‘No Anwar, No DAP’. Tentang perkara itu, ruang ada (untuk) rakan-rakan kita daripada BN,” katanya menjelaskan perbincangan di peringkat negeri perlu mendapat persetujuan peringkat pusat terlebih dahulu.

    PH memenangi 24 kerusi DUN Perak manakala BN hanya memenangi sembilan kerusi.

  • DUN Pahang: PN menang 17 kerusi, tiada parti peroleh majoriti mudah

    DUN Pahang: PN menang 17 kerusi, tiada parti peroleh majoriti mudah

    KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang menyaksikan buat julung kali dalam sejarah, kerajaan negeri tergantung selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

    Berdasarkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),  Perikatan Nasional (PN) menang 17 kerusi, Barisan Nasional (16) dan lapan kerusi oleh Pakatan Harapan (PH).

    Bagaimanapun, proses pengundian bagi kerusi DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Dis ini ekoran kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61, pada jam 3.30 pagi semalam.

    Pahang mempunyai 42 kerusi DUN dan mana-mana parti perlu menang 22 kerusi untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

    PN memenangi kerusi DUN Cheka, Tanjung Lumpur, Luit, Chenor, Bukit Ibam, Kuala Sentul, Tahan, Damak, Pulau Tawar, Jengka, Beserah, Pulau Manis,  Lanchang, Kuala Semantan, Panching, Lepar dan Sungai Lembing.

    BN pula menang di Inderapura, Benta, Jenderak, Padang Tengku, Batu Talam, Kemayan, Jelai, Guai, Kerdau, Dong, Muadzam Shah, Peramu Jaya, Chini, Pelangai dan Bebar selain turut merampas DUN Sabai daripada PH. 

    PH menerusi DAP pula memenangi DUN Tanah Rata, Tras, Triang, Mentakab, Bilut dan Ketari manakala PKR menang di Semambu dan Teruntum.

    Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mempertahankan DUN Jelai buat kali kelima selepas menang dengan majoriti 6,983 undi, menewaskan calon PN, Dr Abdul Rasid Mohamed (3,109 undi) manakala calon PH, Ismail Mohd Hussin pula hilang deposit apabila hanya memperoleh 1,464 undi. 

    Di DUN Cheka, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mewakili PN, menang dengan majoriti 1,223 undi dalam saingan empat penjuru, menewaskan calon BN, Ho Fong Mee (4,411 undi), Rasid Muhamad (PH-2,255 undi) dan calon Pejang, Aishaton Abu Bakar  dengan 81 undi.

    Seorang lagi calon tumpuan iaitu anak sulung kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohamad Nizar, yang bertanding kali pertama pada PRU15 di DUN Peramu Jaya, memperolehi 19,337 undi menewaskan calon PN, Abu Talib Muhammad (11,514 undi), calon PH, Tugimon Abdul Hamid (2,511 undi) dan calon Bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin (193 undi).

    PRU15 juga menyaksikan semua 13 calon Pejuang yang bertanding di DUN Pahang hilang deposit dan nasib sama juga menimpa 15 calon PH, lima calon Bebas serta calon tunggal Parti Rakyat Malaysia (PRM).  

    Bagi kerusi Parlimen, PN membuat kejutan apabila berjaya merampas empat kerusi daripada BN, iaitu Kuala Krau, Maran, Jerantut dan Rompin selain turut menang di Kuantan, Indera Mahkota dan Temerloh. 

    BN hanya menang di lima kerusi iaitu Bera yang dimenangi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Lipis, Paya Besar, Cameron Highlands dan Pekan manakala PH mengekalkan kerusi mereka di Raub dan Bentong. 

    Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut  mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota manakala bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai yang membuat kemunculan semula di Parlimen Bentong tewas kepada personaliti DAP, Young Syefura Othman atau Rara.